Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Liga Malaysia 2013. Show all posts
Showing posts with label Liga Malaysia 2013. Show all posts

Saturday, May 25, 2013

Kelantan Langkah Sebelah Kaki Ke Final Piala FA


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Piala FA, Kelantan melangkah sebelah kaki ke final setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu malam Sabtu.

Dengan kelebihan itu, Kelantan selaku juara trebel musim lepas membawa bekalan selesa dan tidak perlu bekerja keras apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, Selasa ini.

Skuad Penyu bermula garang apabila mengejutkan Kelantan menerusi gol pembukaan yang dijaringkan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin menerusi tandukan seawal minit kedua perlawanan.

Tertekan dengan kedudukan itu, Kelantan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' kembali bangkit pada babak kedua perlawanan apabila Dickson Nwamuso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Kelantan menambah duka Terengganu apabila Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-89 manakala Obinna Nwaneri menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani yang berjaya melepasi pertahanan lawan mengesahkan kemenangan bagi pasukan Kelantan apabila meledakkan gol pada masa tambahan.

Nasib berbeza menimpa pasukan Johor Darul Takzim apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad bimbingan Fandi Ahmad perlu memperoleh jaringan besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan pusingan kedua Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke final.

Pemain Import dari Brazil skuad Harimau Selatan, Leonel George Nunuez menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Kedah mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-32, Alen Guc (minit ke-42 dan ke-58) dan Mohd Sabre Mat Abu pada minit ke-48, manakala gol saguhati PDRM disumbangkan Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-68.

-- BERNAMA

Friday, February 22, 2013

Penyokong Pahang Dan Kelantan Dipisah Tempat Duduk


KUANTAN, 22 Feb (Bernama) -- Polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menimbulkan kekecohan semasa perlawanan Liga Super antara Pahang dan Kelantan di Stadium Darul Makmur di sini malam esok.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof berkata seramai 322 anggota akan ditempatkan untuk berkawal di luar dan di dalam stadium.

"Hasil perbincangan, pihak pengurusan stadium juga bersetuju untuk mengasingkan tempat duduk antara kedua-dua penyokong.

"Kita jangkakan seramai 28,000 penonton akan membanjiri stadium dan dikhuatiri keadaan itu boleh menyebabkan keadaan tidak terkawal serta mencetuskan situasi yang menggugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mohd Jsmani berkata anggota polis akan turut berkawal di 14 pintu masuk stadium bagi memastikan penyokong kedua-dua pasukan tidak membawa masuk sebarang peralatan yang boleh mengancam keselamatan.

Beliau turut meminta orang ramai tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.



-- BERNAMA

Thursday, February 21, 2013

Shahidan Digantung 30 Bulan Dan Denda RM39,000 - FAM

PETALING JAYA, 21 Feb (Bernama) -- Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun setengah dan denda RM39,000 kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan antaranya mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tataterbit FAM yang bersidang hampir tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, Rabu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan Ednan Othaman selepas pengerusinya Datuk Taufik Abdul Razak tidak dapat hadir.

Jawatankuasa tersebut turut menetapkan bahawa Shahidan tidak boleh mengemukakan rayuan.

Berikutan keputusan itu, Shahidan, bekas menteri besar Perlis, hilang status sebagai presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM.

Ednan berkata Shahidan didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM iaitu berkaitan mengkritik pentadbiran badan induk bola sepak kebangsan itu.

"Hukuman terhadap Shahidan akan berkuat kuasa apabila dia (Shahidan) menerima surat daripada FAM iaitu dalam tempoh 14 hari selepas tarikh hukuman dijatuhkan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Dalam tempoh penggantungan itu, Shahidan dilarang terbabit atau memegang jawatan dalam sebarang aktiviti berkaitan dengan bola sepak negara.

Atas pertuduhan pertama, Ednan berkata Shahidan dikenakan denda RM20,000 selepas didapati bersalah membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran.

Susulan daripada penyiaran berita tersebut di bawah pertuduhan kedua, Shahidan dikenakan denda RM10,000 dan digantung selama dua tahun kerana berniat menghina, mengaibkan serta menjatuhkan imej FAM, katanya.

Shahidan turut didapati bersalah atas pertuduhan ketiga apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah atau tidak tepat dengan mana-mana keputusaan FAM dan beliau digantung selama enam bulan dan didenda sejumlah RM8,000.

Ednan berkata Shahidan turut didenda RM1,000 kerana tidak menjawab surat tunjuk sebab selepas menerima surat pertuduhan bertarikh 1 Feb lepas yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

"Dia (Shahidan) tidak bertanggungjawab dan dianggap menghina FAM apabila tidak mengambil sebarang tindakan bagi surat pertuduhan yang dihantar oleh FAM," katanya.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM62,500 kerana gagal mengawal penyokong mereka pada aksi Liga Super antara pasukan The Red Warriors dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu, 15 Jan lepas.

"KAFA tidak boleh membuat rayuan di atas hukuman berkenaan dan ia perlu dijelaskan dalam masa 14 hari selepas menerima surat hukuman tersebut," katanya.

Beliau berkata Kelantan berkemungkinan bermain tanpa kehadiran penyokong sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama pada aksi Liga Super seterusnya menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

"Pegawai Jawatankuasa Disiplin FAM akan memantau perlawanan berkenaan dan sekiranya penyokong Kelantan gagal mengawal disiplin, maka kita akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

Khyril Muhymeen Yakin Kedah Kembali Temui Rentak Tundukkan Pendahulu Liga Perdana

ALOR SETAR, 21 Feb (Bernama) -- Penyerang Kedah Mohd Khyril Muhymeen Zambri yakin pasukannya sudah menemui kembali rentak perlawanan dan mampu untuk mencapai kemenangan ke atas pendahulu Liga Perdana Sime Darby FC dalam pertemuan di Stadium Darul Aman di sini malam esok.

Katanya kemenangan ke atas kelab SPA Putrajaya 2-1 dalam perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam Isnin lepas mengembalikan semula keyakinan dan semangat pemain pasukan untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Perdana.

"Kembalinya pemain import Chayene Santos malam esok akan memberi lebih motivasi kepada pemain lain untuk memburu kemenangan di laman sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pelancaran produk KM Cappuccino Coffee di sini Khamis.

Khyril Muhymeen yang menjaringkan empat gol dalam Liga Perdana musim ini berkata pasukannya akan mempamerkan aksi yang lebih menarik bertemu dengan pendahulu liga itu untuk tontonan penyokong Kedah.

Kedah kini menduduki tempat keempat dengan pungutan 15 mata dalam tujuh perlawanan di belakang pasukan Sime Darby, Johor FA dan Sarawak.

Terdahulu Khyril Muhymeen hadir pada majlis pelancaran produk KM Cappuccino Coffe keluaran BfS Global Sdn Bhd. Mohd Khyril Muhymeen yang juga pemain kebangsaan dipilih menjadi duta kepada produk tersebut.

Khyril Muhymeen berkata dia tidak menyangka dipilih untuk menjadi duta produk cappuccino tersebut dan menganggap ia satu penghargaan syarikat BFS kepadanya.



-- BERNAMA

Kafa Belum Terima Surat Rasmi Berhubung Denda Oleh FAM - Annuar

KOTA BAHARU, 21 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) belum menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung denda sebanyak RM62,500 yang dikenakan berkaitan perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, 15 Jan lalu.

Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata beliau hanya mengetahui mengenai denda itu melalui media, dan enggan mengulas lanjut.

"Sebenarnya saya tidak tahu mengenai hal ini sebab saya tidak menerima sebarang surat secara rasmi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat di sini Khamis.

Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin FAM yang bersidang semalam memutuskan KAFA didenda RM62,500 atas empat kesalahan iaitu penyokong membaling mercun ke dalam padang (RM20,000); penyokong membaling objek ke dalam padang (RM2,500); membaling objek kepada penyokong JDT (RM20,000); dan RM20,000 kerana KAFA gagal mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

KAFA, yang sebelum itu mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan itu, juga diberi amaran terakhir supaya memastikan insiden itu tidak berulang yang boleh mengakibatkan The Red Warriors beraksi di stadium kosong.

KAFA juga tidak dibenarkan mengemukakan rayuan kerana hukuman yang dikenakan adalah maksimum.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong The Red Warrior Kota Baharu Mohd Zaini Mohd Zain berkata: "Saya harap FAM jangan terlalu menghukum Kelantan sedangkan kita tengok tahun-tahun sebelum ini Kelantan yang mengembalikan kegemilangan bola sepak Malaysia."

"Saya juga berharap agar FAM dapat meneliti pelbagai perkara berkaitan sebelum membuat hukuman, terutama mutu pengadilan," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, February 19, 2013

ATM Rampas Gelaran Pendahulu Liga Super Daripada Selangor, Menang 2-0

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Selangor selepas mengalahkan pasukan itu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Gol sumbangan dua pemain import ATM iaitu Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-16 dan Marlon Alex James pada minit ke-89 membolehkan skuad 'The Gladiators' menguasai kedudukan liga dengan mengutip 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Terdahulu, pasukan pelawat ditimpa malang selepas pemain mereka Mohd Raimi Mohd Nor dibuang padang kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-82.

Wakil kelab dari Singapura, Lions XII terus mengekori rapat di kedudukan kedua liga walaupun hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika bertemu pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim, di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Dua gol skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu dijaringkan Hariss Harun pada minit keempat dan Baihakki Khaizan pada minit ke-37 manakala Simone Del Nero dan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing pada minit ke-11 dan 81.

Sementara itu, Kelantan bangkit mencipta kemenangan selepas menundukkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu menerusi jaringan penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou pada minit ke-32 dan 63.

Pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-80 selepas kapten mereka, Faizal Mohamad, dilayang kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain skuad The Red Warriors, Mohd Zamri Ramli.

Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS pula hanya mengutip satu mata selepas terikat 2-2 ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.

Dua gol skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit keenam serta Fauzan Dzulkifli pada minit ke-26 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Rashid Mahmud dan Shahurain Abu Samah, masing-masing pada minit kelapan dan 87.

Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Fazli Baharuddin dilayang kad merah pada minit ke-79 kerana mengasari pemain lawan.

Pahang pula terus dirundung malang selepas kalah 0-1 kepada Perak di Stadium Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut menerusi gol sendiri oleh kapten mereka, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-42.

Sementara itu, T-Team hanya mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan yang berlangsung sebelah petang.

Skuad 'The Titans' bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat oleh Khairul Azuan Jamil seawal minit keempat sebelum Abdul Latif Suhaimi menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

-- BERNAMA

Friday, February 15, 2013

Tempoh Rehat Panjang Liga-M Satu Rahmat Kepada ATM - Sathianathan


KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pengendali pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B. Sathianathan menyifatkan tempoh rehat hampir sebulan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan satu rahmat buat pasukannya untuk kembali berada pada prestasi terbaik.

Beliau berkata tempoh rehat itu turut memberi manfaat kepada pemainnya untuk memulihkan kecederaan sebelum aksi Liga-M bersambung esok, dengan perlawanan Liga Perdana.

ATM akan berdepan Negeri Sembilan pada perlawanan keenam Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.

"Kecuali Marlon (Alex James), yang mengalami kecederaan belakang, saya memiliki barisan penuh pemain untuk dipilih bagi perlawanan Sabtu ini.

"Christie (Jayaseelan) juga sudah kembali pulih tetapi saya berkemungkinan akan menggunakannya sebagai pemain gantian," katanya seperti dipetik laman web pasukan www.atmfa.my.

Sathianathan berkata perlawanan menentang negeri kelahirannya merupakan satu detik manis buat beliau kerana pasukan 'The Gladiators' berjaya menumpaskan lawan sama dengan keputusan agregat 6-3 pada saingan suku akhir Piala Malaysia di Paroi, musim lalu.

"Kami melalui kenangan manis beraksi di Negeri (Sembilan) musim lalu apabila meraih kemenangan 3-1 dan seterusnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia.



-- BERNAMA

Tuesday, January 22, 2013

PDRM Terus Ungguli Liga, Walaupun Catat Keputusan Seri



KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendahului pasukan lain dalam saingan Liga Perdana walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Pos Malaysia pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka Isnin.

Skuad bimbingan R.Nallathamby itu kini mengumpul 13 mata untuk mendahului 11 pasukan lain.

Sementara itu, Kedah berjaya melonjak ke tangga kedua carta liga setelah mengalahkan Sabah 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pasukan Kuala Lumpur pula menang tipis 1-0 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dan Syafiq Johari menjadi wira apabila menjaring gol kemenangan pada minit ke-44.

Di Stadium Pasir Gudang, pasukan Johor menewaskan pasukan tercorot UiTM 2-0, meneruis kesilapan pemain UiTM Mohd Khairul Ismail yang memberi mata percuma kepada tuan rumah apabila menjaring gol sendiri pada minit ke-37 dan Kapten pasukan Johor Mohd Farid Ramli mengganda jaringan pada minit ke-90.

Pasukan Betaria FC mencipta kemenangan pertama pada musim ini setelah mengalahkan pasukan S.P.A, 3-2 di Stadium Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sime Darby pula seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

-- BERNAMA



Tuesday, January 8, 2013

T-Team patah kaki

Oleh Zainuddin Muhammad

Kuala Terengganu: Stadium malap dan kecederaan pemain tonggak mengganggu persiapan T-Team menghadapi musim baru Liga Super yang bermula hari ini.
Sebelum memulakan perjalanan ke Lumut, Perak, semalam, The Titans menerima berita buruk apabila perlawanan tempat sendiri terpaksa berlangsung di bawah sinar matahari petang.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rasid Jusoh berkata, Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah memutuskan perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu terpaksa diadakan pada waktu siang.
“Pemeriksaan tahap pencahayaan gagal menepati keperluan minimum 1,000 lux dan perlawanan membabitkan T-Team dan Terengganu terpaksa berlangsung pada waktu petang.

“Ini bermakna perlawanan menentang Kelantan, Sabtu ini akan memberi kesan ke atas kehadiran penonton.

“Walaupun kecewa, kami berharap sistem lampu limpah baru siap dalam masa tiga bulan lagi,” katanya.
Tambah malang lagi, pemain berpengalaman, Marzuki Yusof disahkan tidak cergas untuk beraksi menentang Perak.

Jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic berkata, lebih membimbangkan ialah pemain itu mungkin terpaksa berehat beberapa minggu lagi kerana kecederaan lututnya masih belum pulih.
“Marzuki sudah boleh menjalani latihan tapi kami tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya dalam perlawanan kompetitif sebelum dia pulih 100 peratus,” katanya.

Ketua jurulatih, Peter Butler bagaimanapun kekal yakin keupayaan pasukannya walaupun tanpa Marzuki.

“Kami masih memiliki pemain lain seperti G Mahathevan dan Hassan Basri yang boleh mengambil tempat Marzuki dan kami yakin benteng T-Team kekal utuh menghadapi asakan lawan,” tegasnya.

Beliau juga dimaklumkan beberapa pemain lain antaranya penyerang baru, Syamim Yahya dan penjaga gol, Iqbal Suhaimi mungkin tidak dapat diturunkan atas faktor kecergasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

--- HARIAN METRO

Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia Dan Polis Kutip Tiga Mata Penuh Liga Perdana


KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan saingan Liga Perdana dengan langkah kanan apabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan Isnin.

PDRM mencatat kemenangan besar apabila membelasah Negeri Sembilan Betaria 5-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan Sarawak pula menang tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Utama Kangar, sementara Impian Kedah untuk memperoleh kemenangan sulung menjadi kenyataan setelah mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengalahkan pasukan berstatus kelab, S.P.A Putrajaya 2-1.

Pos Malaysia pula mencatat kemenangan tipis 3-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang smentara pada perlawanan sebelah malam di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, pasukan Johor seri tanpa jaringan 0-0 kepada Sime Darby.

-- BERNAMA

Wednesday, December 12, 2012

Polis Johor Tubuh Pasukan Khas Pantau Pasukan Johor Dalam Kempen Liga Malaysia

JOHOR BAHARU, 12 Dis (Bernama) -- Polis Johor menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan perjudian dan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Johor pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu Januari depan.

Penubuhan pasukan khas itu dibuat atas permintaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini, yang mahu semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak pada Liga M dibanteras.

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, ACP Azizan Anan khusus untuk memantau pasukan bola sepak negeri itu.

"Pasukan khas itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memantau setiap perlawanan dan latihan membabitkan pasukan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pasukan khas itu akan mempunyai unit risikan dan tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti bookie atau mengatur perlawanan.

-- BERNAMA

Friday, November 23, 2012

Kedah Lantik Pengurus Baru Kendali Skuad Kenari


ALOR SETAR, 22 Nov (Bernama) -- Datuk Jeffrey Low Hang Chow dilantik sebagai pengurus baharu pasukan bola sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Datuk Khazali Din yang memegang jawatan itu sejak 2009.

Presiden KFA Datuk Seri Azizan Abdul RAzak berkata Jeffrey dipilih menjadi pengurus pasukan Kenari kerana beliau adalah seorang yang berbakat dan mengetahui selok-belok dunia bola sepak.

"Datuk Jeffrey juga adalah exco FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Beliau adalah paling sesuai bagi mengisi jawatan itu. Sebab itu kita lantik beliau menguruskan pasukan kita," katanya ketika ditemui pemberita di luar Dewan Undangan Negeri di sini Khamis.

Beliau berkata KFA telah menyusun semula pasukan itu dengan membuat pelantikan baru ketua jurulatih, penolong jurulatih, jurulatih dan pemain bagi musim hadapan.

"Ketua jurulatih bagi pasukan kita ialah Marijo Tot, penolong jurulatih ialah Antonio Sissc dan Talib Saidi dilantik sebagai jurulatih," katanya.



-- BERNAMA

Saturday, November 17, 2012

Del Nero tekad bantu Johor bolot semua kejuaraan

 
Johor Bahru: Pemain import Johor dari Itali, Simone Del Nero bertekad mempamer sentuhan magis bersama skuad Harimau Selatan ketika mengharungi kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Del Nero yang sah menjadi milik Johor selepas bersetuju dengan kontrak setahun dan tambahan setahun lagi akan menggunakan segala pengalaman selama 20 tahun beraksi di Eropah terutama ketika mewakili kelab Lazio pada saingan Serie A Liga Itali.
Satu pengalaman baru beraksi di Asia malah ia juga membuka lembaran baru kepada bola sepak Malaysia yang mula dikenali di Eropah.

Ia bermula selepas PBNJ mengikat kontrak Guiza apabila media di Itali melaporkan mengenai penghijrahan pemain itu ke Johor.

Walaupun keadaan padang di Malaysia mungkin tidak setanding di Eropah, saya tidak anggap ia sebagai alasan untuk mempamer aksi terbaik kerana sebagai pemain profesional, saya harus bersedia dalam apa jua situasi, katanya di Hotel Thisle, petang semalam. Turut menyambut pemain berkenaan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia yang tiba ke Johor Bahru, petang semalam meletakkan sasaran untuk membantu Johor merangkul semua kejuaraan Liga M - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.

Sementara itu, pengurus merangkap ketua jurulatih Johor, Fandi Ahmad mengakui betapa Del Nero memiliki kehebatan skil individu menarik.
Simone (Del Nero) akan menjadi perancang utama Johor dan saya tidak teragak-agak menggandingkannya bersama Safiq Rahim, katanya.

--- BERITA HARIAN

Friday, November 16, 2012

KAFA terkejut kenyataan PBNJ

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terkejut dengan pengakuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menyediakan peruntukan kepada penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala bagi menebus baki kontraknya bersama The Red Warriors.

Perkara tersebut diluahkan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui facebook miliknya semalam selepas PBNJ membuat kenyataan menerusi berita yang di siarkan oleh stesen televisyen berbayar, Astro.

Annuar berkata, kenyataan itu menjadi satu pengakuan bahawa PBNJ cuba mempengaruhi Mat Yo yang masih mempunyai kontrak untuk meninggalkan Kelantan.

"Kenyataan ini adalah satu kesalahan besar yang mengundang tindakan terhadap PBNJ.

"Surat PBNJ untuk menebus kontrak Mat Yo sudah pun merupakan satu kesalahan kerana tebus kontrak tidak boleh dibuat oleh orang ketiga," katanya.

Tambahnya, tindakan PBNJ ini tidak akan menyelesaikan kemelut Mat Yo selain mendedahkan etika perpindahan pemain sudah dicerobohi.

Sebelum ini, Johor dilaporkan perlu membayar harga yang tinggi jika mahu mendapatkan khidmat Mat Yo kerana majikannya KAFA meletakkan nilai yang tinggi terhadap pemain tersebut.

Annuar berkata, kejayaan Mat Yo mengekalkan status Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kali ketiga berturut-turut sudah cukup untuk menggambarkan nilai sebenar penyerang Kelantan itu.

--- KOSMO

Johor ikat pemain Itali



IMPIAN skuad bola sepak Johor untuk merangkul kejuaraan sama ada Piala Liga, Piala FA mahu pun Piala Malaysia dilihat semakin membara apabila dikhabarkan bakal mengambil seorang lagi pemain bertaraf dunia, Simone Del Nero (gambar) untuk memperkuatkan benteng pasukan Harimau Selatan itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Del Nero merupakan bekas pemain sayap kelab Seria A Itali, Lazio dan pernah membantu pasukan itu memenangi Piala Itali pada musim 2008.

Pemain kelahiran Carrara, Itali itu memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain dengan kelab Empoli (1998-2000), Brescia (2000-2007) dan pernah menyarung jersi Livingston secara pinjaman selama setahun bermula tahun 2001 hingga 2002 dan sempat bersama kelab Palermo (2003). 

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu tidak pernah dipanggil untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara kelahirannya itu.

Usaha mendapatkan Del Nero disifatkan sebagai pertaruhan terbaik pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas berjaya menambat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, Getafe CF, Daniel Gonzales Guiza, 32, untuk bersama skuad Johor selama setahun.

Gandingan antara Del Nero dan Guiza disifatkan sebagai satu percaturan paling bijak dan mantap dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, Del Nero akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 2 petang ini.

"Sejurus selepas itu, satu sidang akhbar dan sambutan untuk meraikan kedatangan Del Nero akan diadakan pada pukul 3 petang di Hotel Thistle.

"Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijadualkan turut hadir," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhairi berkata, PBNJ akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor bagi membincangkan isu perpindahan penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ke pasukan itu musim depan.

"Kami seboleh-bolehnya enggan isu ini berpanjangan dan mahu mengelak salah faham dengan mana-mana pihak, mesyuarat pada Isnin ini akan memutuskan segalanya," tegasnya sambil menyatakan kesungguhan Johor untuk mendapatkan khidmat Mat Yo.

Selain isu tersebut, beliau memberitahu, pihaknya juga akan membincangkan hal-hal berbangkit lain seperti persediaan Harimau Selatan menghadapi Liga Malaysia musim depan termasuk hal penjualan tiket.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.

Annuar melalui laman Facebook miliknya baru-baru ini berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor hendaklah mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan PBNJ.

Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

Thursday, November 15, 2012

KAFA letak harga berpatutan

NORSHAHRUL (kiri) terus menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air ekoran kontroversi perpindahannya ke Johor musim depan.


BERDASARKAN reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut bermula 2010, 'nilai' penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha sudah tentu melonjak tinggi.
Maka tidak mengejutkan apabila perpindahan Norshahrul ke Johor musim depan dilapor bakal mencecah jutaan ringgit disebabkan pemain yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama The Red Warriors.
"Mat Yo merupakan pemain tunggal yang berjaya mempertahankan anugerah MVP selama tiga tahun berturut-turut. Musim lalu beliau antara penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super serta penyerang No. 1 negara.
"Dengan reputasi Mat Yo yang hebat, tidak betul jika kita nak letakkan harga beliau dengan murah. Jika kita letakkan harga yang murah, ia akan menjatuhkan maruah pemain tempatan.
"Kalu kita mengagung-agungkan Mat Yo, tiba-tiba harga murah, jatuhlah martabat Liga M. Sebagai contoh, kita hendak beli kasut Gucci tetapi dengan harga kasut Bata, itu mustahil," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perarakan Piala Malaysia di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Telipot dekat sini semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.
Bagaimanapun, Annuar menyerahkan keputusan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk membuat keputusan berhubung tawaran perpindahan Norshahrul ke Johor.
"Saya fikir kalau bekas penjaring terbanyak (Liga Sepanyol) yang berusia 32 tahun (Daniel Gonzales Guiza) dari luar negara (Sepanyol), mereka (Johor) boleh bayar dengan sekian banyak, apatah lagi pemain tempatan yang mempunyai reputasi yang hebat.
"Tolong jangan rendahkan martabat pemain tempatan kerana ia akan menjatuhkan liga kita. Bila kita dengar Safee Sali dibayar dengan harga RM2 juta, kita cukup bangga dengan situasi tersebut," tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.
Annuar melalui laman Facebook miliknya kelmarin berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

Wednesday, November 14, 2012

Azman letak jawatan, Mat Yo dilepaskan

TIGA PIALA... (Dari kiri) Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super yang berjaya disapu bersih oleh Kelantan musim ini.


DESAS-DESUS mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim depan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan trebel dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya ambil alih pasukan ini daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaacob (ketika itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan) pada 2005 apabila Kelantan jatuh ke Liga FAM yang mana tidak ramai yang berminat untuk menguruskan pasukan ini dan kembali ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. 

"Saya percaya Bojan (Hodak) boleh melakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu di Kota Bharu semalam.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata, KAFA membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih dan pengurus pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun, Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.
Ketika ditanya sebab-sebab pengunduran beliau daripada pengurusan pasukan, Azman berkata, beliau ingin memberikan peluang kepada orang baharu supaya Kelantan dapat diuruskan dengan lebih baik.

"(Pengunduran) ini telah lama saya fikirkan tetapi seboleh-bolehnya saya pun nak beri peluang kepada orang lain kerana bila terlampau lama akan banyak perkara yang boleh berlaku.

"Usia saya pun sudah meningkat. Dari segi tekanan dan beban kerja, saya rasa saya harus lepaskan secara beransur-ansur," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.
"Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menyerahkan urusan pemindahan Mat Yo (Norshahrul) kepada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau akan guna budi bicara dan pandangan dia dalam menentukan kedudukan Mat Yo.

"Selain itu, kita telah menghantar surat tawaran kepada PBNJ dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan tawaran yang kita tetapkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan syarat-syarat tersebut.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, KAFA akan mengadakan Majlis Perarakan Tiga Piala pada 20 November ini bagi menghargai penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada The Red Warriors sehingga berjaya menyapu bersih ketiga-tiga piala pada musim ini.

Rosmadi berkata, perarakan itu akan bermula pada pukul 10.30 malam di pekarangan Hotel Renaissance selepas santapan malam bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, selain turut mempersembahkan ketiga-tiga piala tersebut kepada baginda di hotel itu.

--- KOSMO

Tuesday, November 13, 2012

Azman Lepas Jawatan Pengurus Kelantan, Mat Yo Dibenar Ke Johor Dengan Bersyarat

13 November, 2012 17:29 PM

KOTA BAHARU, 13 Nov (Bernama) -- Desas-desus mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim hadapan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan treble dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. Saya percaya Bojan (Hodak) boleh lakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu, di sini, Selasa.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata Kafa membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.



-- BERNAMA

Monday, November 12, 2012

Kemelut Butler Terurai Bila Dilantik Mengetuai Skuad T-Team

12 November, 2012 15:17 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Kemelut bekas jurulatih skuad bola sepak Terengganu James Butler akhirnya terurai apabila beliau dilantik mengendalikan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super tahun depan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Program Khas Sukan/T-Team Ab Rashid Jusoh berkata T-Team memilih Butler bagi menggantikan bekas pemain Liverpool Robbie Fowler.

"Fowler tidak jadi datang kerana mempunyai komitmen yang lain, walaupun kita berminat untuk menggunakan khidmatnya tahun depan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Isnin.

Ab Rashid berkata Butler akan memulakan tugas untuk melatih pasukan T-Team pada 18 Nov ini di padang Kompleks Sukan Gong Badak, dekat sini.

Butler sebelum ini bergelut dengan kontroversi apabila beliau dikenakan tindakan gantung selama enam bulan dan denda RM4,000 oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kerana melanggar peraturan badan induk itu.



-- BERNAMA

Sunday, November 11, 2012

KAFA belum jawab surat PBNJ

"JAWAB dulu surat kami."Demikian reaksi Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang meminta Johor menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat Norshahrul Idlan Talaha.

Menurut Suhairi, pihaknya telah menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi skuad The Red Warriors itu yang lebih dikenali sebagai Mat Yo dengan menghantar dua pucuk surat kepada KAFA sebelum ini.

"Surat pertama yang diserahkan kepada KAFA berupa surat pertanyaan mengenai kontrak Norshahrul manakala surat kedua pula merupakan surat tawaran untuk mendapatkan pemain itu," jelas Suhairi kepada Kosmo! Ahad semalam.

Jelas Suhairi, surat pertama sudah dijawab oleh KAFA, namun sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan berhubung surat kedua yang diserahkan.

"Bagaimana hendak berbincang lebih lanjut kalau surat kami masih belum dijawab, malah saya difahamkan, Mat Yo juga telah menyerahkan surat kepada KAFA untuk dilepaskan kepada pasukan Johor tetapi turut tidak mendapat balasan.

"Saya tidak tahu dari mana datangnya pandangan yang mengatakan kami tidak bersungguh untuk mendapatkan Mat Yo. Semua yang kami lakukan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Annuar mendesak agar Johor perlu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat Mat Yo. 

Katanya, PBNJ perlu mengambil tindakan memandangkan mereka yang ingin mendapatkan khidmat Mat Yo daripada KAFA.

Annuar juga menyebut, Mat Yo tidak pernah bertindak untuk menebus kontraknya bersama KAFA yang masih berbaki setahun manakala sebarang kenyataan hanya dilakukan melalui akhbar.

Dalam pada itu, Suhairi berkata, di sebalik kontroversi yang timbul, Johor masih tetap berminat untuk melihat Mat Yo menyarung jersi Johor musim depan.

"Sudah tentu kami inginkan barisan pemain terbaik buat pasukan Johor tahun depan dan Mat Yo merupakan pemain yang menjadi idaman banyak pasukan," katanya.

--- KOSMO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...