Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Zaquan Adha Abdul Radzak. Show all posts
Showing posts with label Zaquan Adha Abdul Radzak. Show all posts

Tuesday, March 1, 2011

Zaquan mahu ‘lebur’ Kelantan di Kota Bharu (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

2011/03/01

PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak berharap dia mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan untuk beraksi pada pertemuan getir menentang Kelantan dalam saingan Liga Super di gelanggang lawan, malam ini.

Dia menyuarakan tekad mahu terus memberi sumbangan positif demi membantu pasukan melebarkan lagi rekod kemenangan sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta liga, musim ini.
Zaquan berkata semangatnya kian membara selepas Wan Jamak memberi peluang beraksi menentang Sabah tempoh hari tetapi akur prestasinya belum mencapai tahap terbaik.

“Dari segi kecederaan ia tampak sudah hampir pulih sepenuhnya. Fokus saya adalah membantu negeri Sembilan mendapat mata penuh dan ketika sama kembali semula ke pangkuan skuad kebangsaan,” katanya semalam.

“Saya harap dapat sekali lagi diberi kepercayaan turun padang menentang Kelantan esok (malam ini) walaupun hanya sebagai pemain gantian.”

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan Kelantan yang kini mendominasi carta Liga Super, Mohd Zaquan yang juga adik kembar kepada Mohd Aidil Zafuan mengakui Negeri Sembilan bakal menghadapi tugas amat mencabar kerana kelebihan yang dimiliki anak buah Datuk M Karathu itu selain prestasi skuad berkenaan yang belum lagi mengalami kekalahan.

Zaquan harap dapat kepercayaan Wan Jamak (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak berharap mendapat kepercayaan Wan Jamak Wan Hassan untuk berada dalam senarai barisan yang akan diturunkan menentang Kelantan pada saingan Liga Super, di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu, malam ini.

Selepas diturunkan buat pertama kali dan berjaya membantu skuad Hobin Jang Hobin menewaskan Sabah, Sabtu lalu, dia mengakui semangatnya kini membara untuk bersama rakan di padang.

Zaquan akui kecederaan lutut dialaminya ketika bersama skuad kebangsaan menghadapi Sukan Asia tahun lalu sudah hampir pulih, namun memerlukan masa untuk berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Saya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kembali keyakinan dan berada pada tahap prestasi terbaik. Justeru, fokus berikutnya adalah untuk meningkatkan persembahan demi membantu pasukan mencapai kemenangan dan kembali ke pasukan kebangsaan.

“Buat masa ini, saya harap sekali lagi diberi kepercayaan untuk turun menentang Kelantan walaupun hanya sebagai pemain gantian,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan barisan M Karathu yang kini mendominasi carta Liga Super, Zaquan berkata, Negeri Sembilan menghadapi tugas mencabar kerana Kelantan beraksi di halaman sendiri.

“Namun, saya yakin Negeri Sembilan mampu sekurang-kurangnya mencuri satu mata kerana pemain yang turun berada pada tahap terbaik manakala rekod kami musim lalu di gelanggang lawan itu juga membanggakan,” katanya.

Monday, January 24, 2011

Ayu usaha puaskan Zaquan (Kosmo Online)




HUBUNGAN cinta yang disulam sejak lebih setahun lalu akhirnya dimeterai dengan ikatan perkahwinan apabila mereka selamat diijabkabulkan pada petang Jumaat lalu di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Dengan sekali lafaz sahaja, Ayu Raudhah bergelar isteri kepada jejaka tampan, Zaquan Adha sekali gus menjadi permulaan episod suka duka kehidupan berumah tangga.

Menurut pelakon drama Nur Kasih ini yang lebih mesra disapa Ayu, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

"Ayu akan cuba jadi isteri yang sempurna bagi memastikan perkahwinan ini kekal bahagia sehingga ke akhir hayat," katanya usai majlis akad nikah.

Kata Ayu, dia dan Zaquan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan berharap ikatan perkahwinan itu dapat menjadikan hubungan mereka lebih matang.

"Ayu bimbang kalau tidak dapat puaskan hati Zaquan dan sebagai isteri, Ayu akan cuba memahaminya demi ikatan perkahwinan ini," ujarnya.

Ketika diajukan mengenai perbezaan usia di antara dia dan suaminya itu, Ayu berkata, ia bukanlah penghalang mahupun masalah besar yang perlu dibimbangkannya.

"Kami tidak pernah mempersoalkan tentang perkara itu dan walaupun Ayu lebih tua daripada Zaquan, Ayu tidak pernah nak mengarah Zaquan itu dan ini.


PASANGAN ini sepakat untuk tidak menghalang kerjaya masing-masing tetapi harus bijak membataskan pergaulan.


"Zaquan pula matang dalam semua perkara, jadi perbezaan umur bukan satu masalah perhubungan kami suami isteri," jelasnya.

Menurutnya lagi, dia juga telah bersedia untuk menghadapi apa jua gosip liar yang mungkin melanda rumah tangganya.

"Insya-Allah Ayu bersedia untuk menghadapi semua itu dan sebagai manusia waras, Ayu dan Zaquan tidak akan cepat melatah sebaliknya berbincang dengan baik.

"Lagipun semasa kami bercinta dan bertunang pun banyak gosip yang timbul tetapi kami tidak jadikannya satu perkara serius," katanya penuh yakin.

Mengenai dunia lakonannya, Ayu berkata, pembabitannya dalam dunia seni itu akan tetap diteruskan dan ia mendapat sokongan daripada suami tersayang.

"Ayu kini sudah bergelar isteri orang, jadi beberapa perkara perlu diambil kira antaranya membataskan pergaulan dengan lelaki lain serta cara pemakaian yang tidak terlalu seksi.

"Ayu tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri," ujarnya.

Selain itu, katanya, dia juga akan memastikan hanya berlakon dalam watak-watak yang sesuai dengan dirinya yang kini sudah memegang status isteri.

"Ayu buat semua ini kerana mahu hidup bahagia dan saling menyayangi sampai ke akhir hayat," katanya.

Ketika ditanya tentang lokasi berbulan madu, Ayu belum mempunyai sebarang perancangan memandangkan Zaquan sibuk dengan latihan di padang.

"Ayu suka pulau dan jika ada kelapangan kami akan putuskan lokasi bulan madu dan ia mungkin sekitar Mac ini," jelasnya.

Mengenai anak pula, Ayu tidak merancang dan bersedia menjadi ibu pada bila-bila masa.

Zaquan yang juga pemain skuad Negeri Sembilan melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sebelum menandatangani ikrar sebagai pasangan suami isteri.

Ia diikuti dengan acara menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM1,888 dan menyarung cincin ikatan pernikahan dan acara membatalkan air sembahyang.


ZAQUAN mengaku, perasaan berdebar dan puas saat diijabkabulkan lebih hebat daripada menjaringkan gol.


Pada majlis serba sederhana itu, lebih 100 jemputan termasuk ibu Ayu, Zabedah Saat; ibu bapa Zaquan, Abd. Razak Abdul Radzak Salleh dan isteri, Azizah Arshad, anggota keluarga serta rakan kedua mempelai.

Debaran

Perasaan berdebar ketika upacara akad nikah berlangsung benar-benar menguji kejantanan mempelai lelaki yang hebat menggegar gawang gol, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak. Ini kerana Zaquan mengaku debaran yang dirasakan mengalahkan ketika dia beraksi di padang.

Perasaan ketika berjaya menjaringkan gol memberi satu kepuasan kepada penyerang Negeri Sembilan itu tetapi kepuasan yang dialami sejurus jurunikah mengesahkan kabulnya amat berbeza sama sekali.

"Saat ijab dan kabul amat mendebarkan berbeza bermain di padang. Apabila jurunikah mengatakan sah, kepuasan yang dialami lain macam dan amat berbeza.

"Namun, syukur majlis akad nikah berjalan dengan lancar. Saat-saat yang saya tunggu (majlis akad nikah) berlangsung dengan baik," ujar pemain yang memakai jersi nombor 8 itu.

Sebelum upacara berlangsung jurunikah yang juga Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mustafa Kamil Abdul Jamil sempat mengusik Zaquan ketika menyebut satu per satu rukun nikah.

"Pertama lelaki, kedua perempuan, ketiga wali, keempat saksi serta kelima sighah atau lafaz (ijab dan kabul). Di sini ramai saksi, jurugambar dan wartawan juga saksi," ujarnya yang disambut senyum Zaquan.

Seperti mana Ayu yang sudah meluahkan perasaannya rela berkorban apa saja demi kebahagiaan rumah tangga mereka, Zaquan turut mempunyai ikrar yang sama.

"Saya mengharapkan kebahagian ke akhir hayat bersama dengan wanita yang kini bergelar isteri yang saya sayangi iaitu Ayu," kata adik kembar Mohd. Aidil Zafuan itu.

Air mata jantan Zaquan turut menitis ketika berpelukan dengan kembarnya selepas selesai akad nikah yang penuh bersejarah itu.

"Zafuan sempat berpesan, jadilah seorang suami yang bertanggungjawab," ujar Zaquan.

Beraksi semula

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kariernya, Zaquan yang digugurkan dari skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF bulan lalu akibat kecederaan lutut akan turun bersama rakan sepasukan di padang minggu depan.

Namun, Zaquan masih belum boleh beraksi berikutan kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya dan terpaksa menunggu sehingga Mac.

"Saya dinasihatkan doktor supaya berehat. Saya ketika ini cuma menjalani latihan ringan bagi mengekalkan ke cergasan," katanya.

Menyentuh kerjaya si isteri yang cantik itu dalam bidang lakonan selain mempunyai ramai peminat dan tidak kurang di kalangan lelaki Zaquan berfikiran terbuka.


BERI restu. Kakak Ayu, Rozita Che Wan tidak ketinggalan menepung tawar mempelai.


Dunia lakonan yang tidak boleh lari dengan perasaan cemburu apabila si isteri bersama dengan artis lelaki lain mampu ditangani Zaquan menerusi rasa percayanya kepada Ayu.

"Saya mengenali Ayu sebagai seorang insan yang ber kecimpung dalam bidang lakonan, jadi saya tidak punya halangan seperti Ayu yang memahami kerjaya saya dalam bola sepak.

"Saya cuma nasihatkan Ayu, apabila sudah masuk ke alam perkahwinan perlu bijak memilih sama ada keluarga atau kerjaya. Mana yang lebih penting.

"Rasa cemburu, tipulah kalau tidak ada rasa cemburu, semua insan ada perasaan itu. Cuma terpulang kepada Ayu jika dia rasa watak (dalam lakonan) tidak menyinggung perasaan suami dia," katanya.

Apabila berbicara mengenai dunia lakonan lebih-lebih kepada pelakon yang manis seperti Ayu ini tidak boleh lari dari imej seksi.

"Saya seorang yang sangat ringkas. Terpulang kepada individu apabila bergelar isteri kena pandai untuk berpakaian. Takkan depan ibu dan bapa mertua nak berpakaian seksi. Jadi haruslah bijak membawa diri. Itu .perkara yang saya sering ingatkan Ayu," ujarnya.

Saturday, January 22, 2011

Debaran berakhir (Harian Metro Online)

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.
SEMOGA BAHAGIA...Zaquan mengaminkan doa selepas majlis akad nikah.

SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.
SERASI...Zaquan dan Ayu Raudhah sah menjadi suami isteri selepas bertunang pada 17 Oktober lalu.

ALOR SETAR: “Saya rasa debaran ini tak sehebat apabila menjaringkan gol kerana ia satu kepuasan, tetapi hari ini (pernikahan ini) membuatkan saya sungguh berdebar-debar.

“Hari ini (semalam) saya rasa sangat berdebar kerana hari yang saya tunggu-tunggu sudah tiba dan kini saya sah menjadi suami.


“Ia satu tanggungjawab yang berat terpaksa saya pikul. Insya-Allah saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan baik. Alhamdulillah semuanya sudah selamat,” kata pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 24, selepas sah menjadi suami kepada pelakon popular Raudhah Che Wan atau Ayu Raudhah, 27, dalam majlis pernikahan di Masjid Sultanah Bahiyah, di sini, semalam.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu dinikahkan imam masjid berkenaan, Mustafa Kamil Abdul Jamil, dengan mas kahwin RM1,888 pada jam 3.45 petang. Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana berwarna krim rekaan Man Kajang pada majlis akad nikah yang dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan kenalan.

Abang Ayu Raudhah, Roshidi Che Wan menjadi wali dengan mewakilkan imam masjid itu. Pasangan itu turut merahsiakan wang hantaran dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk.

Mohd Zaquan Adha yang dilihat menitiskan air mata selepas majlis pernikahan itu berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahan bersama Ayu Raudhah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, dia sungguh terharu dan gembira kerana semua adik beradiknya termasuk ibu bapa hadir menyaksikan hari bersejarah itu, malah abang kembarnya, Mohd Aidil Zafuan turut serta dalam rombongan pengantin ke negeri ini.

Ayu Raudah yang kelihatan berseri-seri tersipu malu apabila ditanya bila akan menimang cahaya mata, beliau berkata, ia terpulang kepada rezeki dan tidak merancang bahkan sedia mendapat zuriat dalam tempoh terdekat ini.

“Kalau ada rezeki kami terima...kalau cepat pun tak apa. Kami juga belum merancang untuk berbulan madu kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya,” katanya.

“Insya-Allah kalau dua-dua dapat cuti panjang baru kami terfikir nak pergi berbulan madu di destinasi mana,” katanya.

Pasangan popular itu menjalinkan hubungan cinta lebih setahun sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada 17 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan yang ditemui berkata, dia berharap adik kembarnya dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami yang baik.

“Dia kena ingat dia bukannya bujang lagi dan perlu bertanggungjawab. Saya mendoakan pasangan ini bahagia dan kekal ke akhir hayat,” katanya.

Turut kelihatan pada majlis itu kakak Ayu Raudhah yang juga pelakon cantik Rozita Che Wan dan abang iparnya, Mazlan Pet Pet. Majlis bersanding pihak lelaki akan diadakan di Pusat Dakwah Paroi, Seremban pada 30 Januari ini.

Ayu Raudhah, Zaquan selamat diijabkabul (Utusan Malaysia Online)

21/01/2011 5:55pm


ZAQUAN Adha Abd Radzak 23,menyarungkan cincin pernikahan ke jari isterinya Ayu Raudhah Che Wan 26, selepas selamat diijabkabulkan di Masjid Sultanah Bahiyah di Alor Setar.


ALOR SETAR 21 Jan. - Pelakon popular, Ayu Raudhah Che Wan dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak sah bergelar suami isteri setelah selamat diijabkabulkan, di sini hari ini.

Ayu, 27, dan Zaquan, 24, dinikahkan oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil Abdul Jamil dalam satu majlis di masjid itu di sini pada pukul 3.30 petang.

Pada majlis itu, Ayu diwalikan abangnya, Roshidi Che Wan, 31.

Zaquan yang juga pemain skuad Negeri Sembilan melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sebelum menandatangani ikrar sebagai pasangan suami isteri dan kemudian diikuti dengan acara menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM1,888 dan menyarung cincin ikatan pernikahan dan acara membatalkan air sembahyang.

Majlis serba sederhana itu turut disaksikan oleh lebih 100 jemputan termasuk ibu Ayu, Zabedah Saat; ibu bapa Zaquan, Abd. Razak Abdul Radzak Salleh dan isteri, Azizah Arshad, anggota keluarga serta rakan kedua mempelai.

Majlis persandingan mempelai akan berlangsung malam di rumah pengantin perempuan di Taman Mawar di sini bermula pukul 8 malam yang dijangka dihadiri lebih 1,000 jemputan termasuk rakan artis dan pemain bola sepak negara. - Utusan

Thursday, January 20, 2011

Zaquan tak sabar bantu Negeri Sembilan (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak (gambar), yang masih bergelut memulihkan kecederaan lututnya, yakin dapat diturunkan dalam kesebelasan utama lebih awal bagi menggalas cabaran Liga Malaysia, bermula 29 Januari ini.

Ini berikutan kecederaan dialaminya ketika menggalas cabaran pasukan kebangsaan pada Sukan Asia tahun lalu itu dijangka tidak mengambil masa terlalu lama untuk pulih.


“Setakat ini kecederaan itu semakin pulih, malah saya sudah mula menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan berharap dapat beraksi lebih awal daripada dijangka, iaitu Mac ini.

“Buat permulaan, tumpuan saya terarah kepada membantu Negeri Sembilan sebelum berusaha mendapat tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia teruja dengan kejayaan rakan-rakan ketika menjuarai Piala AFF dan akan berusaha merebut kembali posisinya selaku penyerang kebangsaan.

Katanya, Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain kebangsaan dan berpengalaman mampu menjadi pencabar musim ini dan sasaran ditetap pengurusan pasukan untuk mempertahankan trofi Piala FA, menjuarai Liga Super dan merampas kembali Piala Malaysia, mampu direalisasikan.

“Bagaimanapun, ia memerlukan komitmen dan kerjasama berpasukan yang tinggi. Saya yakin dengan adanya pemain berpengalaman seperti Mohd Farizal Marlias, Shukor Adan, Idris Karim, Ahmad Fakri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan Norhafiz Zamani Misbah, matlamat itu akan berhasil,” katanya.

Mengulas mengenai majlis menamatkan zaman bujangnya dengan artis popular Ayu Raudhah Che Wan, pemain berusia 23 tahun itu berkata, ia tidak akan mengganggu tumpuan untuk terus maju dan cemerlang sebagai pemain bola sepak.

Sebaliknya, dia yakin ikatan perkahwinan akan termeterai minggu ini menambahkan lagi semangat dan motivasi untuk terus berusaha ke arah membantu pasukan kebangsaan dan Negeri Sembilan mencapai kejayaan.

“Saya yakin perkahwinan itu tidak akan menjejaskan tumpuan kerana dia (Ayu Raudhah) amat memahami kerjaya saya yang membuatkan saya amat menyenanginya.

Wednesday, January 19, 2011

Zaquan, Ayu nikah Jumaat (Harian Metro Online)


Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Percintaan pasangan sensasi, pemain bola sepak Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, 23, dan pelakon Ayu Raudhah, 26, bakal disempurnakan menerusi majlis akad nikah yang dijadual berlangsung di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Jumaat ini.

Selepas majlis akad nikah yang diadakan sejurus selesai solat Jumaat, majlis resepsi diadakan pada sebelah malam di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Mohd Zaquan, pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan serta Ayu Raudhah mengikat tali pertunangan pada 17 Oktober tahun lalu.

Mohd Zaquan berkata, majlis kenduri bagi pihaknya pula diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini, yang dijangka dihadiri lebih daripada 1,000 jemputan pada 30 Januari depan.

“Kira-kira 500 kad jemputan perkahwinan diedarkan kepada saudara-mara dan rakan-rakan. Namun, kami menyediakan makanan kira-kira 1,500 tetamu.

“Saya berdoa agar semua yang dirancangkan berjalan dengan lancar kerana ia hari paling penting dan detik bersejarah bagi diri saya,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Difahamkan, sebelum majlis akad nikah Jumaat ini, majlis berinai diadakan di rumah pengantin perempuan pada malam esok.

Mohd Zaquan berkata, keserasian hubungannya dengan Ayu Raudhah bukan disebabkan bakal isterinya itu memahami kerjayanya sebagai pemain bola sepak, malah sentiasa memberikan sokongan dan semangat untuk terus berjaya hingga ke persada antarabangsa.

“Perkahwinan ini dan sokongan padu bakal isteri dijadikan sumber motivasi saya untuk terus maju dan cemerlang dalam bola sepak tambahan pula selepas kejayaan pasukan kebangsaan menjuarai Piala AFF Suzuki, baru-baru ini.

“Saya yakin ia tidak menjejaskan tumpuan saya kerana dia (Ayu) amat memahami kerjaya saya,” katanya.

Mohd Zaquan adalah pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan, juga pemain bola sepak kebangsaan yang sebelum ini berkahwin dengan pelakon terkenal, Rita Rudaini.

Sementara itu, bapa Mohd Zaquan, Abd Radzak Salleh, 61, berkata, pihaknya hanya membuat majlis sederhana dengan menjemput saudara-mara dan rakan anak lelakinya.

“Namun, sebagai seorang bapa, saya tetap berharap majlis berkenaan berjalan dengan lancar dan meriah. Saya hanya mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua,” katanya.

Thursday, November 4, 2010

Zaquan, Aidil senasib (Harian Metro Online)

NASIB malang yang menimpa penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak kini turut dialami abangnya, Mohd Aidil Zafuan yang terpaksa berehat panjang.

Tonggak pertahanan tengah kebangsaan dan Negeri Sembilan itu disahkan cedera Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan sekali gus tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan dan dijadual menjalani pembedahan Khamis ini.

Adiknya, Mohd Zaquan turut mengalami kecederaan ACL di lutut kiri September lalu ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Jaish dalam rangka persiapan skuad bawah 23 kebangsaan.

“Saya kecewa selepas menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) dan diberitahu terpaksa berehat panjang serta terlepas Sukan Asia di China dan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini,” kata ketua pasukan kebangsaan itu, semalam.

Menurutnya lagi dia mungkin akan kembali beraksi pada Mei 2011 dan berharap dapat menyumbang tenaga untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan lain seperti pusingan kelayakan Piala Dunia.

“Saya terpaksa menerima hakikat kerana ini adalah asam garam seorang pemain bola sepak,” katanya yang turut dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik di Anugerah Kebangsaan 100PLUS-Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2010

Tuesday, March 2, 2010

Zaquan terpaksa lupakan aksi perlawanan kedua (Berita Harian)

Oleh Norsyarafina Nasrom
norsyarafina@nstp.com.my


PEMAIN Yemen, Zaher Mohammed Farid Al_Fadhl (kiri) cuba melepasi kawalan Zaquan pelawanan persahabatan, kelmarin.

HARGA mahal terpaksa dibayar penyerang, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang diketepikan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa kedua, Rabu ini berikutan kecederaan kepala yang memerlukannya berehat sekurang-kurang seminggu selepas berlaga dengan pemain Yaman ketika skuad negara menang 1-0, kelmarin.

Ini bermakna penyerang Negeri Sembilan berusia 22 tahun itu juga bakal terlepas pertembungan Liga Super menentang Perlis, Sabtu ini ketika doktor bakal menentukan tahap serius kecederaan itu selepas membuka balutannya dalam tempoh tujuh hari.

“Kepala saya dibalut dengan empat jahitan, tetapi saya merasakan kecederaan itu tidak serius dan tidak mengalami sebarang masalah.

Zaquan terbabit dalam pelanggaran dengan Ahmed Sadeq Ahmed Al-Khamri pada babak kedua yang menyaksikan kedua-dua pemain terpaksa diusung keluar.

Mengulas persembahan pasukan, K Rajagobal berpuas hati secara keseluruhan, terutama penyerang Terengganu, Ashaari Samsuddin yang dihadiahkan cap pertama selepas dua tahun.

“Menang atau kalah tidak penting. Apa saya mahu pemain muda menimba ilmu daripada perlawanan ini. Mereka perlu bermain lebih banyak perlawanan meningkatkan diri,” katanya.

Wednesday, February 17, 2010

Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak

Nama Penuh : Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak

Tarikh Lahir : 3 Ogos 1987

Tempat Lahir : Seremban, Negeri Sembilan

Tinggi : 1.71 m

Sukan : Bola Sepak

Posisi : Striker

Nombor Jersi : 6

Thursday, February 11, 2010

Zaquan perlu belajar jadi penyerang sejati - Wan Jamak (Utusan Malaysia)


Pemain Negeri Sembilan, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak (tengah) cuba dihalang oleh tiga pemain Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, kelmarin.


KUANTAN - Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan kecewa dengan prestasi ayam tambatannya, Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak yang setakat kini masih belum mencapai tahap sebenar.

Kekalahan memalukan 1-2 di tangan Pahang yang dibarisi pemain muda, membuktikan penyerang skuad Rusa dan kebangsaan itu perlu lebih banyak belajar untuk menjadi seorang 'penyerang sejati.'

Setakat pertemuan kelmarin, Zaquan gagal memberikan persembahan menyakinkan apabila tidak mampu merobek gawang lawan.

''Dengan usianya yang masih muda, Zaquan perlu banyak belajar dan kancah Liga Super merupakan gelanggang sesuai untuknya," katanya selepas perlawanan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, juara Piala Malaysia musim lalu itu tewas mengejut 1-2 kepada Pahang yang dibimbing Dollah Salleh.

Dua gol Pahang dijaringkan oleh Abdul Rahman Kadir dan Mohd. Fazli Baharudin, masing-masing pada minit ke-37 dan ke-88, manakala gol tunggal Negeri Sembilan disempurnakan oleh K. Thanaraj pada minit ke-65.

Mengulas perlawanan tersebut, Wan Jamak berkata, Mohamad Zaquan Adha, perlu bertindak sebagai penyerang sebenar dengan menjaga posisinya.

''Dia tidak perlu berlari ke sana sini atas padang mengejar bola.

''Dia sepatutnya mendapatkan bola dan menyerang.

''Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan dia atas kekalahan ini," katanya.

Ditanya mengenai prestasi Negeri Sembilan yang agak terumbang ambing sejak awal musim, Wan Jamak menjelaskan, pasukannya masih belum berada pada tahap sebenar.

Para pemain, katanya, belum menemui sentuhan masing-masing dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

''Para pemain sedang mencari rentak dan belum menemui keserasian dan prestasi Negeri Sembilan pada masa ini hanya berada di tahap 60 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyalahkan kealpaan barisan pertahanan yang menyebabkan Negeri Sembilan gagal mengutip sebarang mata, selepas Mohd. Fazli meledakkan gol bagi memastikan Pahang memperoleh tiga mata pada minit terakhir perlawanan kelmarin.

Saturday, February 6, 2010

Wan Jamak lega sentuhan Zaquan (Sinar Harian)

SHAH ALAM - Walaupun sekadar mencatat keputusan seri pada pusingan pertama perlawanan Piala FA, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan masih mampu menarik nafas lega selepas penyerangnya, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak telah menemui semula rentak jaringannya.

Skuad Rusa yang beraksi di Stadium JCORP, Pasir Gudang, Selasa lalu berjaya mengikat pasukan bimbingan Ramlan Rashid, 2-2 hasil jaringan Mohd Zaquan dan Mohd Shukor Adan selepas Nurul Azwan Roya dan Eddy Helmi Manan meletakkan Johor FC di hadapan.

“Zaquan sudah menemui semula rentak jaringannya semula dan ia adalah berita baik bagi kami.

“Dia sebenarnya sentiasa bermain dengan baik pada perlawanan-perlawanan sebelum ini tetapi hanya tidak melakukan jaringan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun Wan Jamak tetap mengingatkan anak buahnya untuk tidak memandang rendah keupayaan lawan yang akan berkunjung ke Stadium Paroi menjelang pusingan kedua, hari ini.

“Pada pusingan kedua kami akan bermain dengan corak permainan kami seperti biasa dan kami perlu mencari gol awal untuk menambah tekanan kepada pasukan lawan.

“Saya sentiasa mengingatkan pemain saya yang apa sahaja boleh berlaku dalam sesuatu perlawanan, apa yang penting kita tidak boleh leka.

“Johor FC adalah satu pasukan yang mantap dan mereka mampu bermain dengan baik,” katanya.

Saturday, January 23, 2010

Zaquan, Norizam tetap jadi sandaran Negeri Sembilan (Berita Harian)

Oleh Mohd Amin Jalil

GANDINGAN Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norizam Salaman tetap menjadi sandaran jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, ketika pasukan itu turun menentang Pahang, dalam saingan Liga Super di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam esok.

Walaupun setakat ini Mohd Zaquan belum menjaringkan sebarang gol selepas empat perlawanan, pengendali itu tetap yakin akan kemampuan penyerang kebangsaan itu melaksanakan tugas yang disandarkan kepadanya.

Baginya, adik kembar kepada Mohd Aidil Zafuan itu ada kelas tersendiri dan dia yakin pemain berkenaan akan dapat membuktikan kemampuan sebenar untuk menjaringkan gol bagi membantu Negeri Sembilan mencapai kemenangan.

"Walaupun setakat ini Zaquan belum dapat menembusi gawang lawan, saya yakin dia sudah berusaha keras untuk membantu pasukan mencapai kemenangan.

"Saya tetap berharap dia dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang Pahang kerana Negeri Sembilan amat mengharapkan kemenangan untuk meletakkan kami dalam kelompok teratas bagi terus bersaing dengan pasukan elit lain," katanya.

Wan Jamak mengakui Negeri Sembilan tidak mempunyai ramai pemain yang mampu menggalas tugas mencabar di barisan depan itu kerana rata-rata pemain skuad itu masih muda seperti Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Asyraff Al-Jafri.

Norizam pula masih baru bersama Negeri Sembilan dan memerlukan masa untuk mengembalikan semula prestasi cemerlang ketika bersama Johor sebelum ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...