Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Asia 2011. Show all posts
Showing posts with label Piala Asia 2011. Show all posts

Monday, January 31, 2011

Jepun kuasa baru Asia (Harian Metro Online)

DOHA: Jepun mengukuhkan status sebagai kuasa bola sepak dengan kemenangan di Piala Asia dan jurulatih Alberto Zaccheroni percaya kejayaan lebih besar menyusul tidak lama lagi.

Pemain gantian, Tadanari Lee menjaringkan gol kemenangan di babak kedua masa tambahan untuk menewaskan Australia 1-0 sekali gus menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu.

Lee melepaskan sepakan voli kaki kiri untuk mengatasi Mark Schwarzer pada minit ke-109 untuk memberikan negaranya gelaran keempat dalam kejohanan peringkat benua itu, sesuatu yang tidak pernah dicapai negara lain.

Kemenangan ini menambahkan koleksi kejuaraan pada 1992, 2000 dan 2004 selain memberikan bonus untuk layak secara automatik ke Piala Konfederasi 2013 di Brazil - kejohanan pemanas badan tradisi sebelum Piala Dunia.

“Ia kemenangan yang hebat. Kami mempunyai pasukan yang sangat bagus. Mereka bersatu dan memenangi kejohanan mengatasi lawan yang sangat kuat,” kata Zaccheroni yang turut memuji Lee.

“Saya tahu dia akan melakukannya. Apa yang menarik tentang pasukan ini adalah pemain di bangku simpanan mampu memberikan persembahan yang baik di tengah padang.” Zaccheroni yang dilantik selepas Piala Dunia lalu dan memiliki misi mengatasi pencapaian pusingan kedua di Brazil pada 2014 menegaskan, pujian harus diberikan kepada pemain selepas memenangi separuh akhir yang sukar.

“Kami mempamerkan peningkatan sepanjang kejohanan. Jentera seranganpantas dan tepat. Ia salah satu kehebatan pasukan pada masa ini Secara fizikal kami keletihan apabila mara ke final,” katanya.

“Pencapaian ini hebat kerana kami menewaskan pasukan memiliki taktikal dan mantap,” katanya. - AFP

Sunday, January 30, 2011

Korea ketiga terkuat Asia (Harian Metro Online)



DOHA: Korea Selatan mengatasi kebangkitan lewat Uzbekistan untuk meraih tempat ketiga Piala Asia dengan kemenangan 3-2 kelmarin dan menempah tiket secara automatik ke pusingan akhir kejohanan seterusnya empat tahun lagi.

Korea mendahului 3-0 selepas 40 minit di Stadium Al Sadd sebelum penyerang Uzbek, Alexander Geynrikh menjaringkan dua gol pada perlawanan yang menghiburkan itu.

“Kami mempamerkan semangat juang sepanjang Piala Asia... ini membuktikan kami boleh bermain bola sepak dengan baik dan saya mahu meneruskan keadaan ini,” kata jurulatih Korea, Cho Kwang Rae.

“Kami bermain tiga perlawanan seminggu dan dua daripadanya dalam tempoh 120 minit. Pemain tidak kalah perlawanan mereka, saya kalah penentuan sepakan penalti,” kata Kwang Rae, merujuk kepada kekalahan 0-3 penentuan sepakan penalti di tangan Jepun pada separuh akhir dan kemenangan selepas masa tambahan ke atas Iran pada suku akhir.

Korea, bermain tanpa kapten Park Ji Sung, yang di samping Lee Young Pyo bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas perlawanan itu, mendahului menerusi serangan balas pantas pada minit ke-17 yang dibantu kesilapan benteng pertahanan Uzbek.

Lee Yong Rae diberi ruang yang cukup untuk meloloskan diri di bahagian tengah Uzbek dan hantarannya disambut Koo Ja Cheol yang mudah menjaringkan gol kelimanya pada kejohanan itu.

Korea mengukuhkan cengkaman 11 minit kemudian menerusi hantaran menarik dalam kotak penalti Uzbek yang menyaksikan Ji Dong Won merembat masuk. Dong Won menambah gol ketiga menanduk melepasi jangkauan penjaga gol Uzbek, Ignatiy Nesterov pada minit ke-39. - Reuters

Piala AFC: Jepun catat rekod kemenangan keempat (Utusan Malaysia Online)

30/01/2011 2:13am

DOHA, Qatar 30 jan. – Jepun memenangi Piala Asia buat kali keempat sekali gus satu rekod bagi kejohanan anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) hasil jaringan tunggal penyerang gantian, Tadanari Lee ke atas Australia 1-0 di sini, malam tadi.

Lee merembat masuk voli dengan kaki kirinya pada minit ke-109 masa tambahan perlawanan akhir di Stadium Antarabangsa Khalifa sebaik sahaja menerima umpanan Yuto Nagatoma dari sebelah kiri tanpa dikawal sesiapa.

Skuad Blue Samurai dan Socceroos terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit masa permainan sebenar. - Agensi

Saturday, January 29, 2011

Jepun tanpa Kagawa (Kosmo Online)


KAGAWA yang disahkan mengalami patah kaki terpaksa melupakan aksi final malam esok.


BERLIN - Kem Jepun menerima tamparan hebat menjelang aksi final menentang Australia dalam kempen Piala Asia 2011 esok.

Ini kerana, perancang The Blue Samurai, Shinji Kagawa terpaksa diketepikan daripada pertemuan tersebut selepas mengalami patah kaki.

Perkara tersebut disahkan oleh kelab Jerman, Dortmund - kelab tempat Kagawa beraksi.

Lebih malang, ekoran kecederaan tersebut, Dortmund turut mengesahkan bahawa pemain berusia 21 tahun itu bakal terlepas aksi saingan Liga Jerman sehingga penghujung musim ini.

Kagawa mengalami patah kaki ketika membantu Jepun menewaskan Korea Selatan pada aksi separuh akhir, Selasa lalu.

Pada pertemuan tersebut, Jepun berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan.

"Berita mengenai kecederaan yang dialami Kagawa itu adalah suatu yang buruk buat kami (Dortmund).

"Dia (Kagawa) merupakan salah seorang perancang utama kami dan memainkan peranannya yang tersendiri sejak saingan liga bermula.

"Saingan Liga Jerman masih berbaki tiga bulan setengah lagi sebelum tamat, namun kecederaan yang dialami Kagawa itu pasti mengambil masa yang lama untuk kembali pulih, jelas pegawai media Dortmund," Hans-Joachim Watzke.

Kagawa mula beraksi bersama Dortmund sejak Jun 2007 daripada Cerezo Osaka dan berjaya menjaringkan 17 gol dalam saingan musim ini. - AFP

Thursday, January 27, 2011

Australia sudah terbayang kejuaraan Piala Asia 2011 (Kosmo Online)


PEMAIN Australia, Harry Kewell (kiri) berebut bola dengan pemain Uzbekistan, Anzur Ismailov pada perlawanan separuh akhir Piala Asia awal pagi semalam.


DOHA - Jurulatih Australia, Holger Osieck mula melancarkan perang psikologi menjelang pertemuan dengan Jepun pada aksi final kempen Piala Asia 2011 di Stadium Antrabangsa Khalifa Sabtu ini.

Osieck melaungkan amaran bahawa anak-anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah kepada Jepun untuk mencatatkan kemenangan pada pertemuan final tersebut.

Jelasnya, tiada apa yang dapat menghalang skuad kendaliannya itu daripada mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam kempen kali ini selain memburu trofi pertama saingan Piala Asia.

Terdahulu, The Socceroos mara ke pentas final selepas menewaskan Uzbekistan 6-0 pada aksi separuh akhir kelmarin manakala Jepun menundukkan musuh tradisi mereka, Korea Selatan 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti.

Osieck yang pernah membawa kelab Jepun, Urawa Reds menjuarai saingan Liga Juara-Juara Asia 2007 sudah pastinya memahami aksi serta penampilan skuad The Blue Samurai.

"Persembahan kami ketika pertemuan menentang Uzbekistan adalah corak sebenar permainan kami.

"Kami beraksi secara tersusun, memiliki corak permainan yang hebat dan beraksi dengan prestasi tinggi serta mencipta peluang menjaringkan gol.

"Usaha serta kesungguhan para pemain wajar diberikan pujian dan apa yang mereka pamerkan ketika menentang Uzbekistan adalah suatu yang menakjubkan," menurut Osieck. - AFP

Ketangkasan Kawashima jadi penyelamat pasukan Jepun (Kosmo Online)


AKSI Kawashima ketika menyelamatkan salah satu sepakan penalti pemain Korea Selatan.


DOHA - Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni memuji kesungguhan barisan pemainnya selepas berjaya mara ke pentas final kempen Piala Asia 2011.

Paling mendapat pujian sudah tentunya penjaga gol, Eiji Kawashima yang tangkas mengawal gawang.

Kelmarin, Jepun mengesahkan tempat di final selepas mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti setelah keputusan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan pada aksi separuh akhir di Stadium Al-Gharafa.

Kawashima merupakan watak penting kemenangan skuad The Blue Samurai itu apabila menyelamatkan dua sepakan penalti yang diambil pemain Korea Selatan, Koo Ja-Cheol dan Lee Jong-Rae manakala sepakan Hong Jeong-Ho tersasar.

Sebelum ini, Kawashima telah dikritik hebat ekoran prestasi hambarnya ketika Jepun menewaskan Qatar 3-2 pada aksi suku akhir namun segala-galanya berubah pada pertemuan dengan Korea Selatan itu.

"Beberapa hari lalu, saya ada memberitahu Kawashima yang saya menaruh kepercayaan penuh terhadapnya dan itulah yang saya beritahu dia hari ini (kelmarin).

Sementara itu, Kawashima pula berkata: "Saya hanya melakukan tugas saya.

"Selepas 120 minit beraksi, semua pemain telah bekerja keras. Apabila tiba ke penentuan sepakan penalti, ia masa untuk saya pula bekerja," katanya.

Pada aksi kelmarin, Korea Selatan membuka tirai jaringan menerusi Ki Sung-Yueng pada minit ke-23 (penalti) sebelum Ryoichi Maeda menyamakan kedudukan buat Jepun pada minit ke-36.

Hajime Hosogai meletakkan The Blue Samurai di depan apabila meledak gol kedua pada minit ke-97 namun Hwang Jae-Won berjaya menyamakan kedudukan buat Korea Selatan pada lewat masa tambahan.

Jepun akan membuat perhintungan dengan Australia yang menewaskan Uzbekistan 6-0 pada aksi final di Stadium Antarabangsa Khalifa Sabtu ini. - AFP

Australia buru mahkota pertama (Harian Metro Online)

2011/01/27

Socceroos mara ke final berentap Jepun selepas benam Uzbekistan 6-0

DOHA: Australia membelasah Uzbekistan 6-0 untuk mara buat kali pertama ke final Piala Asia Sabtu ini bertemu juara tiga kali, Jepun yang menewaskan Korea Selatan 3-0 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 selepas masa tambahan, awal pagi semalam.

Harry Kewell meletakkan Australia di depan pada minit kelima menerusi rembatan kaki kiri dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Matt McKay pada separuh akhir.

Uzbekistan melakukan beberapa hantaran kemas tetapi kerapuhan di bahagian pertahanannya sekali lagi terdedah pada minit ke-34 apabila Tim Cahill menanduk bola sepakan percuma kepada Sasa Ognenovski yang mempunyai masa mengawal bola sebelum merembat masuk untuk gol pertamanya di peringkat antarabangsa.

David Carney menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-65 dan Uzbekistan bertambah parah apabila Ulugbek Bakaev dibuang padang dua minit kemudian kerana menerima kad kuning kedua.

Pemain gantian, Brett Emerton menjaringkan gol keempat pada minit ke-74 sebelum Carl Valeri dan Robbie Kruse - hasil kesilapan penjaga gol - melengkapkan jaringan Australia dengan dua gol dalam tempoh dua minit.

“Pasukan saya mempamerkan permainan menakjubkan malam ini,” kata jurulatih, Holger Osieck. “Semua yang kami mahukan menjadi dan saya puji pemain atas prestasi yang ditunjukkan.”

Jurulatih Uzbekistan, Vadim Abramov berasa yakin sehari sebelum perlawanan itu, menjanjikan bahawa pasukannya mempunyai pengalaman mencukupi dan tidak terlalu mentah untuk mengharungi separuh akhir Piala Asia yang pertama buat mereka, tetapi prestasi ditunjukkan pemainnya menjadikan kenyataannya itu tampak tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Uzbekistan yang yakin dan menaruh harapan. Saya tidak tahu apa yang terjadi. Terdapat terlalu banyak kesilapan selepas dua gol pertama itu, pemain mahu menyerang tetapi terlalu banyak kesilapan di bahagian pertahanan,” kata Abramov. - REUTERS

Sunday, January 23, 2011

Uzbek cipta sejarah ke separuh akhir (Kosmo Online)


PEMAIN-pemain Uzbekistan meraikan kejayaan selepas membenam Jordan 2-1 di suku akhir Piala Asia, kelmarin.


DOHA - Uzbekistan kini mula menempa nama baru dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Asia dengan jurulatihnya, Vadim Abramov berkata, kemaraan pasukan itu ke separuh akhir membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak seharusnya dipandang remeh oleh pihak lawan.

Pasukan dari Asia Tengah itu yang menduduki ranking ke-108 dunia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk berada sebaris dengan pasukan kerdil lain seperti Haiti, Grenada dan Antigua & Barbuda jelas mempamer prestasi mengagumkan di Doha dengan menumpaskan tuan rumah, Qatar dan kemudian Kuwait sebelum seri dengan China di peringkat kumpulan.

Kemenangan tipis 2-1 ke atas Jordan pada suku akhir pagi semalam menyaksikan mereka mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam sejarah dan situasi ini jelas amat menggembirakan Abramov.

"Kini kami adalah sebuah pasukan pencabar dan saya rasa negara kami ketika ini sangat gembira," kata Abramov.

"Saya rasa penonton yang menyaksikannya di TV dapat lihat bagaimana Uzbekistan bermain dan mereka tahu bahawa kami adalah sebuah pasukan yang bagus dan sukar untuk dikalahkan."

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, dua jaringan daripada bekas penyerang CSKA Moscow, Ulugbek Bakaev dalam masa tiga minit telah meranapkan impian Jordan yang merapatkan kedudukan 2-1 hasil jaringan kapten, Bashar Bani Yaseen.

Kemenangan itu membolehkan Uzbekistan kini hanya menanti pemenang antara Australia dan Iraq untuk bertemu di separuh akhir Selasa ini.

"Ketika masa rehat saya beritahu mereka bahawa lima minit pertama babak kedua kita mesti kuat.

"Saya arahkan mereka melakukan serangan sebaik saja babak kedua bermula dan hasilnya kami mendapat dua gol," katanya lagi.

Terdahulu dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Jepun bangkit daripada dua kali ketinggalan untuk menewaskan tuan rumah, Qatar 3-2.

Walaupun terpaksa beraksi 10 pemain, skuad Samurai Biru itu bijak menggunakan setiap peluang yang terhidang untuk memperoleh gol menerusi Shinji Kagawa dan Masahiko Inoha. Manakala dua gol Qatar dijaringkan Sebastian Suria dan Fabio Cesar. - AFP

Tuesday, January 18, 2011

Takdir Uzbekistan (Kosmo Online)


SKUAD Uzbekistan meraikan kejayaan mara ke saingan suku akhir Piala Asia 2011 selepas seri 2-2 dengan China semalam.


DOHA - Uzbekistan mara ke saingan suku akhir Piala Asia 2011 selaku juara Kumpulan A setelah mencatat keputusan seri 2-2 dengan China di Stadium Gharafa awal pagi semalam.

Ketinggalan seawal minit ketujuh hasil jaringan Yu Hai, Uzbekistan menyamakan kedudukan menerusi Odil Ahmedov pada minit ke-30.

Aleksandr Geynrikh berjaya meletakkan Uzbekistan di hadapan selepas seminit babak kedua berlangsung.

Namun, China menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Hao Junmin pada minit ke-56 tetapi gagal mencari gol kemenangan, sekali gus menyebabkan mereka gagal melangkah ke peringkat suku akhir.

"Inilah takdir kami. Saya ucapkan terima kasih kepada para pemain kami yang telah beraksi baik ketika menewaskan Kuwait dan Qatar sebelum ini.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang corak permainan bertahan kami pada perlawanan ini tetapi ia merupakan keputusan yang kami mahukan," kata jurulatih Uzbekistan, Vadim Abramov.

Uzbekistan bakal bertemu naib juara Kumpulan B iaitu sama ada Jepun, Jordan atau Syria.

Sementara itu, hanya penolong jurulatih China, Fu Bo hadir pada sidang media selepas perlawanan setelah jurulatih mereka, Gao Hongbo diarahkan meninggalkan bangku simpanan oleh pengadil pada masa kecederaan.

"Saya perlu katakan, inilah perlawanan paling hebat. Para pemain kami telah melakukan yang terbaik.

"Cuma kami kurang bernasib baik dan terdapat beberapa perkara kecil yang menghalang kami daripada menang," kata Bo.

Ditanya apakah yang begitu menyebabkan Hongbo marah, Bo ringkas berkata: "Mungkin kamu (wartawan) sepatutnya bertanyakan soalan ini kepada pengadil."

- AFP

Monday, January 17, 2011

Iran tekad akhiri badi 35 tahun (Harian Metro Online)

DOHA: Iran mungkin pasukan pertama melangkah ke pusingan suku akhir pada saingan Piala Asia kali ini tetapi mereka belum berpuas hati selagi tidak muncul juara buat kali keempat selepas 35 tahun.

Iran berjaya menembusi benteng kebal Korea Utara 1-0 kelmarin untuk kemenangan kedua beturut-turut bagi mengesahkan tempat ke suku akhir dalam kumpulan dianggap jurulatih, Afshin Ghotbi (gambar) sebagai kumpulan maut.

“Setiap perlawanan penting kerana kami mensasarkan untuk muncul juara Piala Asia kali ini,” katanya menjelang perlawanan terakhir Kumpulan D bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami berupaya untuk beraksi lebih baik. Saya rasa kami akan menunjukkan keupayaan sebenar pada perlawanan seterusnya. Harap pemain lebih cergas dan mempunyai keyakinan tinggi,” katanya.

Ghotbi yang memikul tugas berat selepas Iran gagal beraksi pada Piala Dunia tahun lalu akan merehatkan beberapa pemain ketika bertemu UAE, Rabu ini.

Skuad Iran turut dibelenggu masalah kesihatan termasuk Gotbi yang selesema.

“Hampir separuh pemain berdepan masalah kesihatan. Saya harap setiap pemain kembali sihat dalam beberapa hari lagi.

“Menjelang perlawanan ketiga, kami akan merehatkan beberapa pemain dan pada masa sama memberi peluang kepada pemain lain menunjukkan keupayaan,” katanya.

Ketika bertemu Korea Utara, Ghotbi melakukan empat pertukaran daripada pasukan yang berjaya menewaskan juara bertahan, Iraq 2-1 pada perlawanan pertama kedua-dua pasukan.

Sepanjang perlawanan, Iran yang pernah muncul juara tiga kali sukar menembusi benteng pertahanan Korea Utara yang gemar melakukan serangan balas. - AFP

Iraq kukuh peluang (Harian Metro Online)

DOHA: Juara bertahan, Iraq mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 kelmarin pada saingan Piala Asia hasil gol sendiri lawan pada masa kecederaan bagi mengukuhkan kedudukan ke pusingan kalah mati.

Juara tiga kali, Iran muncul pasukan pertama melangkah ke pusingan suku akhir selepas menewaskan pasukan yang beraksi pada Piala Dunia, Korea Utara 1-0, kelmarin.

Iraq berpeluang cerah menurut jejak Iran yang juga seteru utama selepas pemain UAE, Walid Abbas tersepak bola ke gawang sendiri pada masa kecederaan.

Pada aksi terakhir saingan kumpulan Rabu ini, UAE bertemu Iran manakala Iraq turun menentang Korea Utara.

Iraq mengekalkan kesebelasan utama ketika tewas 1-2 kepada Iran, menguasai 20 minit pertama permainan di Stadium Al-Rayyan tapi penjaga gawang UAE, Majed Naser tidak sekalipun diuji.

Bagaimanapun, UAE berjaya mencipta peluang meledakkan gol pertama perlawanan tapi tandukan pemain pertahanan, Hamdan Al Kamali sekadar terkena palang.

Beberapa minit selepas itu, UAE sekali lagi hampir di depan apabila penyerang, Ismaeil Matar melorongkan bola untuk Ahmed Khalil tetapi penyudahan pemain terbaik Asia 2009 tersasar.

Gandingan Ismaeil dan Ahmed sering mengkucar-kacirkan benteng Iraq. Tendangan percuma kapten, Subait Khater selepas Ahmed dijatuhkan berjaya ditepis penjaga gol Iraq, Mohammaed Kassid.

Seperti babak pertama, babak kedua turut bermula hambar tapi Iraq kemudian meningkatkan persembahan dan berjaya mencipta beberapa peluang tapi mensia-siakannya. Namun, mereka bernasib baik apabila Walid menghadiahkan jaringan kemenangan untuk mengutip tiga mata dan menghidupkan peluang ke pusingan kedua. - AFP

Korea Utara kemas benteng (Harian Metro Online)

DOHA: Korea Utara menyuarakan keazaman memperkemaskan pertahanan dalam perlawanan yang mesti mereka menangi menentang juara bertahan, Iraq, Rabu ini selepas kelemahan menyukarkan peluang mereka dalam saingan Piala Asia.

Mereka tunduk kepada juara tiga kali, Iran 1-0 pada perlawanan kedua kumpulan selepas terikat tanpa jaringan dengan Emiriah Arab Bersatu.


“Kami menguasai bola di kawasan tengah namun tidak mencipta banyak peluang menjaringkan gol kerana kualiti bola terakhir lemah,” kata jurulatih Korea Utara, Jo Tong-Sop.

Friday, January 14, 2011

Gegaran Piala Asia 2011 (tusan Malaysia Online)


Semangat piala Dunia 2010 akan dibawa oleh pasukan Jepun dalam saingan Piala Asia 2011.


PERSEDIAAN yang dirancang untuk penganjuran Kejohanan Piala Asia 2011 pada 7 hingga 29 Januari ini bakal menguji tuan rumah Qatar. Malah pelbagai pihak juga akan memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap penganjuran kali ini.

Berjaya atau tidak tentu bakal memberikan kesan kepada tuan rumah yang terpilih untuk penganjuran lebih besar lagi iaitu Piala Dunia 2022.

Pasukan seperti Jepun, Australia dan Korea Selatan adalah antara 16 negara yang diramal bakal memberikan saingan sengit dalam kejohanan tiga minggu itu bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun laluan mudah sudah tentu tidak sewenangnya diberikan oleh juara bertahan Iran kepada tiga negara itu. Malah pasukan dari Kuwait juga semakin sukar untuk dijinakkan berikutan kejayaan mengungguli Piala Gulf baru-baru ini.

Keadaan ini memberi tanda awal bahawa, Iran, Kuwait dan pasukan Arab Saudi adalah pasukan yang semakin sukar untuk diramal prestasi mereka ketika ini.

Tugas besar yang bakal dipikul oleh Qatar ini memerlukan tuan rumah melakukan persedian yang cukup rapi terutama dalam memastikan fasiliti untuk pemain dan penyokong berada pada tahap yang terbaik.

Keadaan cuaca yang agak panas dengan tiupan angin hangat di Doha sudah tentu memberi kelebihan kepada negara-negara daripada Asia Tenggara selain memerlukan pemain dari Australia menyesuaikan diri dengan persekitaran itu.

Pemain bintang Australia, Tim Cahill mengakui bahawa dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Qatar untuk membolehkannya beraksi dengan lebih baik.

“Terlalu sukar untuk saya mengetahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Banyak yang perlu untuk disesuaikan, malah saya sendiri tidak tahu sama ada akan berada di kesebelasan utama skuad kebangsaan atau sebaliknya.

“Saya masih belum puas bersama skuad kebangsaan menjalani latihan bersama untuk menghadapi pasukan lain yang jauh lebih hebat.

“Semua pasukan yang menyertai kejohanan ini mempunyai keupayaan masing-masing kita tidak boleh memandang rendah dengan prestasi pasukan lain kerana mereka sudah tentu memberikan komitmen yang penuh dalam perlawanan ini,’’ kata Cahill yang juga pemain tonggak Everton.

Selain Cahill, skuad kebangsaan Australia akan dibarisi pemain Blackburn, Brett Emerton, penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer serta dua pemain Galatasaray, Harry Kewell dan Lucas Neill.

Australia berada dalam kumpulan sama dengan Korea Selatan yang cukup dikenali kerana mempunyai pemain Manchester United, Park Ji-Sung.

Korea Selatan akan cuba untuk mendapatkan gelaran pada tahun ini, bagaimanapun mereka masih dibayangi dengan kecederaan pemain penyerang Park Chu-Young.

Jurulatih Korea Selatan, Cho Kwang-Rae masih lagi belum membuat keputusan sama ada mahu menggantikan pemain tersebut menjelang sepak mula Jumaat ini.

“Saya masih belum boleh untuk membuat keputusan sama ada mahu

menggantikan pemain itu kerana kami perlu mencari pemain yang benar-benar serasi dengan pemain yang sedia ada kini,’’ katanya.

Dalam pada itu Jepun kini sudah bersedia mahu memulakan aksi di Piala Asia dan kesebelasan pemain mereka akan diketuai oleh pemain tengah CSKA Moscow, Keisuke Honda.

Malah jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni mempunyai matlamat lain selain mengungguli Piala Asia. Dia juga mahu memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada pemain kebangsaan untuk bekalan menghadapi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Sementara itu, juara bertahan, Iraq akan cuba untuk mengulangi kejayaan yang pernah mereka perolehi pada 2007 yang menyaksikan pasukan itu mampu memperoleh kemenangan di peringkat akhir menewaskan Arab Saudi.

Perlawanan sepak mula akan di adakan di Stadium Khalifa melibatkan pertemuan pasukan Qatar menentang Uzbekistan dan lima venue akan digunakan untuk kejohanan kali ini.

Uzbekistan hampiri suku akhir (Harian Metro Online)

DOHA: Rembatan deras kapten, Server Djeparov (gambar) menghadiahkan Uzbekistan kemenangan 2-1 ke atas Kuwait untuk memastikan mereka semakin menghampiri kelompok lapan pasukan terakhir Piala Asia dengan Kuwait pula kini di ambang penyingkiran.

Djeparov menghasilkan gol menerusi percubaan jarak 20 meter pada minit ke-65 bagi membantu Uzbekistan mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan Kumpulan A selepas menumpaskan tuan rumah, Qatar 2-0 pada perlawanan pembukaan.

Uzbekistan mendahului perlawanan sebelum babak pertama berakhir apabila Azizbek Haydarov menolak sepakan percuma Maksim Shatskikh untuk menewaskan penjaga gol Kuwait sebelum Bader Al Mutwa menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.

“Saya gembira kerana kami dapat menewaskan Kuwait. Saya fikir kami boleh mencipta kejutan di sini,” kata jurulatih Uzbekistan, Vadim Abramov.

“Saya harap Uzbekistan menjadi juara namun banyak lagi pasukan baik di sini seperti Australia, Korea Selatan dan Iran.” Kemenangan itu membolehkan Uzbekistan meraih enam mata daripada dua perlawanan.

“Saya sangat kecewa ketika ini. Kami tumpas dalam kedua-dua perlawanan. Namun, masih ada perlawanan terakhir dengan Qatar. Sasaran kami untuk melangkah ke pusingan kedua namun sekarang terpaksa pulang awal. Apa yang kami boleh buat? Inilah bola sepak.” kata jurulatih Kuwait, Goran Tufegdzic. - AFP

Qatar tebus maruah (Harian Metro Online)

DOHA: Yusef Ahmed meledak dua gol untuk memulihkan maruah Qatar serta menghidupkan peluang melangkah ke pusingan kalah mati Piala Asia menerusi kemenangan 2-0 ke atas China, semalam.

Kemenangan itu kembali menyuntik semangat pasukan tuan rumah selepas tumpas pada perlawanan pembukaan kepada Uzbekistan dengan menyaksikan Uzbekistan kini mengumpul enam mata dalam Kumpulan A manakala China dan Qatar meraih tiga mata dengan baki satu lagi perlawanan.

Kuwait berdepan detik lebih sukar apabila gagal meraih sebarang mata dan mesti menang dalam pertembungan dengan Qatar, Ahad ini.

Pada perlawanan di Stadium Khalifa, Ahmed menjaringkan gol pada minit ke-27 untuk meletakkan pasukannya di depan apabila bijak mengawal bola hantaran tinggi sebelum melepaskan rembatan voli ke penjuru gawang.

Disaksikan penyokong tempatan, pemain berusia 22 tahun itu kemudian menggandakan pendahuluan di akhir babak pertama untuk merobek semangat pemain muda China yang menewaskan Kuwait 2-0 pada perlawanan pertama.

Jurulatih Qatar, Bruno Metsu yang berdepan kemungkinan dipecat jika tewas perlawanan itu bangga dengan kebangkitan pasukannya selepas tumpas perlawanan awal.

“Kami mahu buktikan kemampuan sebenar pasukan ini dan semua pemain berjaya melakukannya. Mereka menunjukkan potensi sebenar dan saya bangga dengan persembahan yang ditunjukkan.

“Kami akan cuba memberikan aksi sama menentang Kuwait untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata pengendali dari Perancis itu.

Meskipun tewas, jurulatih China, Gao Hongbo berkata, ia pengalaman baik untuk pasukan mudanya namun mengakui mereka perlu mencipta banyak peluang.

“Pasukan kami tidak menyerang dengan baik. Qatar mendapat dua gol dan kami tidak memberi tekanan kepada mereka sekali gus memberi peluang lawan mengatur serangan lebih mudah.

“Kami tewas tapi saya fikir kekalahan sebahagian daripada kehidupan. Saya fikir kami boleh melakukan lebih baik pada perlawanan selepas ini yang menjadi perlawanan paling penting buat kami,” katanya. - AFP

Thursday, January 13, 2011

Habuan suntik semangat (Harian Metro Online)

K Rajagobal


PENGHARGAAN diterima menerusi ganjaran RM65,000 setiap seorang daripada kerajaan sudah cukup membuatkan anggota skuad bola sepak kebangsaan terharu. Bagi jurulatih K Rajagobal, ganjaran daripada kerajaan itu sudah mencukupi untuk mengiktiraf kejayaan memahat sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama bulan lalu.

“Bagi saya, sebagai permulaan ini sudah cukup. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sumbangan ini dan saya percaya ia dapat memberi perangsang kepada semua pihak untuk berkerja lebih keras lagi,” katanya yang turut membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim pula berkata, ganjaran yang diterima serta komitmen ditunjukkan kerajaan dalam membantu membangunkan bola sepak tanah air membakar semangat mereka untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Saya terharu dengan sumbangan kerajaan ini kerana menghargai usaha kami. Bagi saya ini satu suntikan semangat untuk kami meningkatkan prestasi kerana kami sedar, banyak lagi tugasan lebih mencabar selepas ini,” katanya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi bersama penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang menyifatkan segala limpahan ganjaran yang diberikan tidak akan sekali-kali membuatkan mereka leka.

Saya tidak fikir ganjaran ini boleh membuatkan kami leka sebaliknya berusaha lebih keras kerana sasaran selepas ini adalah bersaing di peringkat Asia,” katanya yang akan beraksi bersama Kelantan musim ini.

Iran kawal emosi (Harian Metro Online)

Afshin Ghotbi

Jurulatih Iran, Afshin Ghotbi berkata, ketenangan dan kemampuan mengawal emosi dipamer setiap pemain pada babak pertama menentang seteru utama, Iraq kunci kebangkitan skuad kendaliannya itu melakar kemenangan pada saingan Piala Asia, kelmarin.

“Saya rasa pada permulaan permainan, kami agak tertekan kerana melakukan beberapa kesilapan tetapi selepas itu pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik,” katanya selepas Iran mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Iraq di Stadium Al Rayyan.

“Setiap kali dua negara ini bertemu, saingan pasti sengit malah sejarah membuktikan pemain sukar menumpukan kepada permainan di atas padang dan ia lebih kepada diselubungi gangguan emosi serta pergaduhan.

“Saya rasa, apabila perlawanan membabitkan negara jiran, ia pasti berlangsung sengit. Begitu juga permusuhan antara Iran dan Iraq sejak sekian lama yang sebenarnya cukup istimewa serta menarik,” katanya.

Sebelum bermulanya perlawanan, kedua-dua jurulatih saling merendah diri mengenai permusuhan dua negara Timur Tengah itu yang terbabit dengan peperangan pada 1980 hingga 1988.

Bagaimanapun, Ghotbi mungkin dipersalahkan apabila menambah tekanan dalam pasukan selepas menyatakan bakal melakar kejuaraan keempat di saingan Piala Asia untuk menamatkan kemarau kejayaan 35 tahun untuk Iran.

“Bagi saya perlawanan ini sukar bukan saja kerana ia membabitkan Iran dan Iraq tapi ini kali pertama kedua-dua pasukan beraksi sementara Iraq pula adalah juara bertahan. Kami terpaksa berdepan dengan tiga situasi sukar,” kata Ghotbi.

“Apa yang kami cuba lakukan semasa waktu rehat ialah menenangkan emosi setiap pemain dan memberi nasihat supaya memperkuatkan bahagian pertahanan.

“Iraq sebuah pasukan yang sukar. Mereka bermain pantas dan mempunyai semangat juang tinggi selain berbahaya ketika melakukan set piece,” katanya.

Jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka pula amat kecewa apabila pasukan lawan diberikan sepakan percuma dan Iman Mobali kemudian meledakkan gol kemenangan.

“Kedua-dua pasukan bermain dengan semangat juang tinggi. Kami tahu mereka berbahaya apabila melakukan sepakan percuma berhampiran gawang gol,” katanya. - Reuters

Korea Utara makin tertekan (Harian Metro Online)

Hong Yong-Jo

Korea Utara bergantung kepada harapan untuk terus kekal dalam saingan peringkat kumpulan D Piala Asia selepas hanya seri tanpa jaringan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum berdepan dua perlawanan sukar bertemu Iran dan Iraq.

Selepas kapten pasukan, Hong Yong-Jo mensia-siakan sepakan penalti pada minit kelapan, UAE sering melakukan asakan ke atas Korea Utara dengan 23 percubaan tepat termasuk lima di depan gol berbanding enam bagi Korea Utara.

“Selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti, pemain sukar meledakkan gol kerana mereka tertekan. “Oleh kerana ini adalah perlawanan pertama kami, pemain gagal mempamerkan kemahiran dan kemampuan,” kata jurulatih Korea Utara, Jo Tong-Sop.

Pasukan yang pernah melangkah ke separuh akhir Piala Asia 1980 itu terdesak meraih tiga mata untuk melangkah ke pusingan kalah mati pada penampilan ketiga mereka selepas kali terakhir beraksi pada 1992.

Pada perlawanan seterusnya Sabtu ini, Korea Utara akan bertemu juara tiga kali, Iran yang berjaya mengalahkan seteru utama, Iraq 2-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D, kelmarin.

Saya sedar Iran dan Iraq lebih kuat berbanding UAE,” kata Jo yang mengambil alih tugas daripada Kim Jong-Hun yang membimbing Korea Utara beraksi kali pertama di Piala Dunia Afrika Selatan dalam tempoh 44 tahun.

“Kami sudah mengenalpasti kelemahan dua pasukan itu. Kami akan cuba menggunakan maklumat ini untuk meraih mata pada perlawanan itu.” Pengendali berusia 51 tahun itu berkata, Korea Utara tidak boleh bermain secara bertahan sambil mengharapkan penyerang tunggal, Jong Tae-Se di barisan depan. Beliau sebaliknya menukar kepada corak serangan.

“Pada babak kedua, kami tidak mensasarkan untuk mencari gol. Sebaliknya lebih menumpukan kepada bahagian pertahanan dan cuba mencari peluang melalui serangan balas. Bagaimanapun, pemain tidak dapat beraksi dengan baik.

“Apapun, kami mendapat banyak pengalaman daripada perlawanan ini dan akan melakukan yang terbaik pada perlawanan kedua,” katanya.

Jong yang setakat ini sudah menjaringkan lapan gol untuk Bochum sejak berpindah ke kelab itu selepas Piala Dunia, tidak mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol kerana pasukannya bermain secara bertahan. - AFP

Tuesday, January 11, 2011

Jurulatih Jepun tertekan (Berita Harian Online)

2011/01/11

Zaccheroni salahkan pemain tumpul bahagian serangan

DOHA: Jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni mendesak pasukannya yang bergelar ‘Samurai Biru’ itu supaya lebih tajam di bahagian serangan selepas tandukan pada minit akhir oleh pertahanan, Maya Yoshida menyelamatkan pasukan itu untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Jordan dalam perlawanan pembukaan Piala Asia.

“Saya tidak puas hati dengan keputusan itu,” kata jurulatih dari Itali itu selepas perlawanan yang menyaksikan Jepun berada di bawah Syria yang mengejutkan pilihan utama, Arab Saudi dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B semalam.
“Saya tidak pernah terbayang keputusan seperti itu kerana saya mempersiapkan pasukan dengan matlamat mencatatkan kemenangan.

“Dalam perlawanan itu, pasukan kebangsaan Jepun berusaha untuk menang dan kami akan menggandakan usaha untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Zaccheroni yang tertekan untuk menghasilkan prestasi baik seperti jurulatih sebelumnya, Takeshi Okada yang menerajui Jepun ke pusingan kedua Piala Dunia, menyalahkan pemainnya yang kurang tajam di bahagian serangan.

“Jepun menguasai bola sepanjang 90 minit permainan, manakala Jordan lebih banyak bertahan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa percubaan oleh Jepun - 17 percubaan termasuk tujuh percubaan tepat, berbanding tujuh percubaan tepat oleh Jordan yang mana dua mengenai palang gol. - AFP

Peseiro dipecat (Metro)

DOHA: Presiden Persatuan Bola Sepak Arab Saudi memecat jurulatih Jose Peseiro (gambar kecil), kelmarin, sejurus selepas pasukan itu diaib dengan kekalahan mengejut 1-2 kepada Syria pada saingan Piala Asia.

Finalis 2007 yang juga juara tiga kali kejohanan mengumumkan Nasser Al Johar mengambil alih kedudukan jurulatih berusia 50 tahun dari Portugal itu untuk perlawanan seterusnya selepas ini.


Arab Saudi disebut-sebut pencabar kejuaraan bersama Jepun, Australia dan Korea Selatan, namun penyerang Syria, Abdulrazak Al Husein menafikan status pasukan pilihan itu.

Paseiro yang menjadi jurulatih pertama dipecat di Piala Asia dikritik hebat sejak kegagalan Arab Saudi layak ke Piala Dunia, tahun lalu, malah beliau dilaporkan tidak mesra dengan media Saudi.


Media Saudi sekali lagi mempersoal taktik Paseiro dan pemilihan pemain dalam sidang media selepas perlawanan. Malah wartawan mentertawakan beliau selepas berkata pasukan itu masih mampu menjulang Piala Asia.


Keputusan Jepun dan Jordan yang terikat 1-1 sebelum itu, meletakkan Syria mengungguli kumpulan B, satu pencapaian terbaik bola sepak negara itu.

“Saya tidak sangka menang perlawanan ini tetapi kami mampu bermain baik,” kata jurulatih Syria dari Romania, Tita Valeriu yang hanya melatih skuad itu beberapa minggu lalu.


“Perlawanan itu cukup hebat. Saya hanya ada waktu singkat melatih pasukan ini. Saya rasa kami menggunakan formasi tepat dan ia kunci kemenangan.” - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...