Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Perpindahan Pemain Liga Malaysia 2013. Show all posts
Showing posts with label Perpindahan Pemain Liga Malaysia 2013. Show all posts

Saturday, November 17, 2012

‘Usah simpan pemain’

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

“SAYA berpendapat, buat apa simpan pemain yang tidak ada hati untuk bermain dengan pasukan kita, sebaliknya lepaskanlah pemain itu,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.
Tunku Ismail berkata, PBNJ menggunakan saluran tepat dan tidak melanggar peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami sudah membalas surat tawaran dihantar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung perpindahan Mat Yo hari ini (semalam). Surat tawaran dari Kafa mengandungi isu kontrak Mat Yo dan semuanya akan diputuskan pada mesyuarat Isnin ini.
“Nilai yang terkandung dalam surat tawaran itu sebenarnya tidaklah banyak dan saya tidak tahu macam mana boleh keluar cerita RM6 juta itu. Kamipun ikut peraturan ditetapkan FAM dan tidak akan melanggar peraturan.

“Saya tidak tahu jika ada orang cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini namun niat saya hanyalah untuk meningkatkan prestasi dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pemain import baru skuad Johor, Simone Del Nero, 31, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim.
Tunku Ismail berkata, isu Mat Yo bukan satu isu besar dan tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Titahnya, mesyuarat khas akan diadakan Isnin ini bagi menyelesaikan semua masalah berbangkit termasuk isu perpindahan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai negara sebanyak tiga kali berturut-turut itu.

--- HARIAN METRO

Friday, November 16, 2012

KAFA terkejut kenyataan PBNJ

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terkejut dengan pengakuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menyediakan peruntukan kepada penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala bagi menebus baki kontraknya bersama The Red Warriors.

Perkara tersebut diluahkan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui facebook miliknya semalam selepas PBNJ membuat kenyataan menerusi berita yang di siarkan oleh stesen televisyen berbayar, Astro.

Annuar berkata, kenyataan itu menjadi satu pengakuan bahawa PBNJ cuba mempengaruhi Mat Yo yang masih mempunyai kontrak untuk meninggalkan Kelantan.

"Kenyataan ini adalah satu kesalahan besar yang mengundang tindakan terhadap PBNJ.

"Surat PBNJ untuk menebus kontrak Mat Yo sudah pun merupakan satu kesalahan kerana tebus kontrak tidak boleh dibuat oleh orang ketiga," katanya.

Tambahnya, tindakan PBNJ ini tidak akan menyelesaikan kemelut Mat Yo selain mendedahkan etika perpindahan pemain sudah dicerobohi.

Sebelum ini, Johor dilaporkan perlu membayar harga yang tinggi jika mahu mendapatkan khidmat Mat Yo kerana majikannya KAFA meletakkan nilai yang tinggi terhadap pemain tersebut.

Annuar berkata, kejayaan Mat Yo mengekalkan status Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kali ketiga berturut-turut sudah cukup untuk menggambarkan nilai sebenar penyerang Kelantan itu.

--- KOSMO

Johor ikat pemain Itali



IMPIAN skuad bola sepak Johor untuk merangkul kejuaraan sama ada Piala Liga, Piala FA mahu pun Piala Malaysia dilihat semakin membara apabila dikhabarkan bakal mengambil seorang lagi pemain bertaraf dunia, Simone Del Nero (gambar) untuk memperkuatkan benteng pasukan Harimau Selatan itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Del Nero merupakan bekas pemain sayap kelab Seria A Itali, Lazio dan pernah membantu pasukan itu memenangi Piala Itali pada musim 2008.

Pemain kelahiran Carrara, Itali itu memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain dengan kelab Empoli (1998-2000), Brescia (2000-2007) dan pernah menyarung jersi Livingston secara pinjaman selama setahun bermula tahun 2001 hingga 2002 dan sempat bersama kelab Palermo (2003). 

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu tidak pernah dipanggil untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara kelahirannya itu.

Usaha mendapatkan Del Nero disifatkan sebagai pertaruhan terbaik pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas berjaya menambat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, Getafe CF, Daniel Gonzales Guiza, 32, untuk bersama skuad Johor selama setahun.

Gandingan antara Del Nero dan Guiza disifatkan sebagai satu percaturan paling bijak dan mantap dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, Del Nero akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 2 petang ini.

"Sejurus selepas itu, satu sidang akhbar dan sambutan untuk meraikan kedatangan Del Nero akan diadakan pada pukul 3 petang di Hotel Thistle.

"Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijadualkan turut hadir," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhairi berkata, PBNJ akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor bagi membincangkan isu perpindahan penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ke pasukan itu musim depan.

"Kami seboleh-bolehnya enggan isu ini berpanjangan dan mahu mengelak salah faham dengan mana-mana pihak, mesyuarat pada Isnin ini akan memutuskan segalanya," tegasnya sambil menyatakan kesungguhan Johor untuk mendapatkan khidmat Mat Yo.

Selain isu tersebut, beliau memberitahu, pihaknya juga akan membincangkan hal-hal berbangkit lain seperti persediaan Harimau Selatan menghadapi Liga Malaysia musim depan termasuk hal penjualan tiket.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.

Annuar melalui laman Facebook miliknya baru-baru ini berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor hendaklah mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan PBNJ.

Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

Thursday, November 15, 2012

KAFA letak harga berpatutan

NORSHAHRUL (kiri) terus menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air ekoran kontroversi perpindahannya ke Johor musim depan.


BERDASARKAN reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut bermula 2010, 'nilai' penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha sudah tentu melonjak tinggi.
Maka tidak mengejutkan apabila perpindahan Norshahrul ke Johor musim depan dilapor bakal mencecah jutaan ringgit disebabkan pemain yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama The Red Warriors.
"Mat Yo merupakan pemain tunggal yang berjaya mempertahankan anugerah MVP selama tiga tahun berturut-turut. Musim lalu beliau antara penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super serta penyerang No. 1 negara.
"Dengan reputasi Mat Yo yang hebat, tidak betul jika kita nak letakkan harga beliau dengan murah. Jika kita letakkan harga yang murah, ia akan menjatuhkan maruah pemain tempatan.
"Kalu kita mengagung-agungkan Mat Yo, tiba-tiba harga murah, jatuhlah martabat Liga M. Sebagai contoh, kita hendak beli kasut Gucci tetapi dengan harga kasut Bata, itu mustahil," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perarakan Piala Malaysia di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Telipot dekat sini semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.
Bagaimanapun, Annuar menyerahkan keputusan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk membuat keputusan berhubung tawaran perpindahan Norshahrul ke Johor.
"Saya fikir kalau bekas penjaring terbanyak (Liga Sepanyol) yang berusia 32 tahun (Daniel Gonzales Guiza) dari luar negara (Sepanyol), mereka (Johor) boleh bayar dengan sekian banyak, apatah lagi pemain tempatan yang mempunyai reputasi yang hebat.
"Tolong jangan rendahkan martabat pemain tempatan kerana ia akan menjatuhkan liga kita. Bila kita dengar Safee Sali dibayar dengan harga RM2 juta, kita cukup bangga dengan situasi tersebut," tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.
Annuar melalui laman Facebook miliknya kelmarin berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

Wednesday, November 14, 2012

Azman letak jawatan, Mat Yo dilepaskan

TIGA PIALA... (Dari kiri) Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Liga Super yang berjaya disapu bersih oleh Kelantan musim ini.


DESAS-DESUS mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim depan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan trebel dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya ambil alih pasukan ini daripada Datuk Ahmad Jazlan Yaacob (ketika itu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan) pada 2005 apabila Kelantan jatuh ke Liga FAM yang mana tidak ramai yang berminat untuk menguruskan pasukan ini dan kembali ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. 

"Saya percaya Bojan (Hodak) boleh melakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu di Kota Bharu semalam.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata, KAFA membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih dan pengurus pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun, Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.
Ketika ditanya sebab-sebab pengunduran beliau daripada pengurusan pasukan, Azman berkata, beliau ingin memberikan peluang kepada orang baharu supaya Kelantan dapat diuruskan dengan lebih baik.

"(Pengunduran) ini telah lama saya fikirkan tetapi seboleh-bolehnya saya pun nak beri peluang kepada orang lain kerana bila terlampau lama akan banyak perkara yang boleh berlaku.

"Usia saya pun sudah meningkat. Dari segi tekanan dan beban kerja, saya rasa saya harus lepaskan secara beransur-ansur," katanya. 

Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.
"Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menyerahkan urusan pemindahan Mat Yo (Norshahrul) kepada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau akan guna budi bicara dan pandangan dia dalam menentukan kedudukan Mat Yo.

"Selain itu, kita telah menghantar surat tawaran kepada PBNJ dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan tawaran yang kita tetapkan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan syarat-syarat tersebut.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, KAFA akan mengadakan Majlis Perarakan Tiga Piala pada 20 November ini bagi menghargai penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada The Red Warriors sehingga berjaya menyapu bersih ketiga-tiga piala pada musim ini.

Rosmadi berkata, perarakan itu akan bermula pada pukul 10.30 malam di pekarangan Hotel Renaissance selepas santapan malam bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, selain turut mempersembahkan ketiga-tiga piala tersebut kepada baginda di hotel itu.

--- KOSMO

Mat Yo Mungkin Kekal Bersama Kelantan Jika Johor Tidak Terima Syarat KAFA

14 November, 2012 20:12 PM
 
KOTA BAHARU, 14 Nov (Bernama) -- Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan pada Liga Super musim depan jika Johor tidak bersetuju dengan syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu pada tahun ini.

Mat Yo, yang dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' dalam anugerah bola sepak kebangsaan 2012 baru-baru ini, masih mempunyai kontrak selama 13 bulan dengan persatuan itu.

Annuar berkata nilai pakej gaji Mat Yo untuk dua tahun berjumlah RM800,000 tidak termasuk bonus antara RM70,000 dan RM80,000 setahun.

"Kita kena hitung kos untuk menanggung Mat Yo bukan sahaja gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian khusus setiap kali menang anugerah selain pemberian gratuiti.

"Mat Yo kahwin kita bagi hampir RM100,000. Itu semua kos yang kita terpaksa kira," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan tiga piala di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di sini, Rabu.



-- BERNAMA

Tuesday, November 13, 2012

Azman Lepas Jawatan Pengurus Kelantan, Mat Yo Dibenar Ke Johor Dengan Bersyarat

13 November, 2012 17:29 PM

KOTA BAHARU, 13 Nov (Bernama) -- Desas-desus mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim hadapan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan treble dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. Saya percaya Bojan (Hodak) boleh lakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu, di sini, Selasa.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata Kafa membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.



-- BERNAMA

Sunday, November 11, 2012

KAFA belum jawab surat PBNJ

"JAWAB dulu surat kami."Demikian reaksi Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang meminta Johor menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat Norshahrul Idlan Talaha.

Menurut Suhairi, pihaknya telah menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan khidmat penyerang sensasi skuad The Red Warriors itu yang lebih dikenali sebagai Mat Yo dengan menghantar dua pucuk surat kepada KAFA sebelum ini.

"Surat pertama yang diserahkan kepada KAFA berupa surat pertanyaan mengenai kontrak Norshahrul manakala surat kedua pula merupakan surat tawaran untuk mendapatkan pemain itu," jelas Suhairi kepada Kosmo! Ahad semalam.

Jelas Suhairi, surat pertama sudah dijawab oleh KAFA, namun sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan berhubung surat kedua yang diserahkan.

"Bagaimana hendak berbincang lebih lanjut kalau surat kami masih belum dijawab, malah saya difahamkan, Mat Yo juga telah menyerahkan surat kepada KAFA untuk dilepaskan kepada pasukan Johor tetapi turut tidak mendapat balasan.

"Saya tidak tahu dari mana datangnya pandangan yang mengatakan kami tidak bersungguh untuk mendapatkan Mat Yo. Semua yang kami lakukan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Annuar mendesak agar Johor perlu menunjukkan kesungguhan untuk mendapatkan khidmat Mat Yo. 

Katanya, PBNJ perlu mengambil tindakan memandangkan mereka yang ingin mendapatkan khidmat Mat Yo daripada KAFA.

Annuar juga menyebut, Mat Yo tidak pernah bertindak untuk menebus kontraknya bersama KAFA yang masih berbaki setahun manakala sebarang kenyataan hanya dilakukan melalui akhbar.

Dalam pada itu, Suhairi berkata, di sebalik kontroversi yang timbul, Johor masih tetap berminat untuk melihat Mat Yo menyarung jersi Johor musim depan.

"Sudah tentu kami inginkan barisan pemain terbaik buat pasukan Johor tahun depan dan Mat Yo merupakan pemain yang menjadi idaman banyak pasukan," katanya.

--- KOSMO

Saturday, November 10, 2012

Bincang dulu

NORSHAHRUL masih mempunyai baki kontrak setahun dengan Kelantan


JIKA terus berhasrat untuk mendapatkan khidmat Norshahrul Idlan Talaha, Johor perlu menunjukkan ke sungguhan.

Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai hasrat Johor yang berhasrat melamar penyerang terbilang skuad The Red Warriors itu yang lebih popular dengan panggilan Mat Yo.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan kepada pasukan Johor jika mereka betul-betul mahukan pemain tersebut untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, perkara tersebut perlulah dilakukan me ngikut saluran yang betul kerana pemain ini masih mem punyai baki kontrak yang akan berakhir pada hujung tahun hadapan.

“Saya fikir isu Mat Yo ini tidak usah banyak polemik, kalau keluar berita sensasi ia tidak membantu. Di peringkat ini yang perlu mengambil tindakan ialah pihak PBNJ kerana mereka yang ingin mendapatkan khidmat pemain tersebut.

“Sebagai contoh dalam soal tebus kontrak, pemain yang perlu berbuat demikian. Namun dalam isu ini Mat Yo tidak pernah berbuat demikian. Kenyataan dalam akhbar sahaja tidak boleh diterima pakai.

“Kalau perpindahan, ia melibatkan kelab atau pasukan, tetapi jikalau kelab yang minta untuk tebus kontrak itu tidak kena dengan peraturan. Jadi lebih baik kita duduk ber bincang empat mata dan jangan bercakap melalui media dan buat perundingan antara kelab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga seorang penyokong The Red Warriors, Ahmad Zamani Md. Salleh, 34, yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan kompilasi penyakit paru-paru di kampung Kampung Bentong, Seberang Pasir dekat Kota Bharu semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK).

Ketika diminta mengulas langkah yang telah diambil oleh Norshahrul yang merayu kepada KAFA agar merestui penghijrahanya ke Johor pada musim hadapan, Annuar enggan mengulas perkara tersebut.

“Kalau saya cakap lepas, ia mendahului keadaan, orang belum pinang kita dah nak bagi anak. Saya terbuka dalam isu ini tetapi mesti ikut saluran. Lagipun Mat Yo masih ada kontrak dan dia perlu duduk bersama Kelantan sehingga tahun hadapan.” tegasnya.

Kosmo semalam melaporkan bahawa Norshahrul merayu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar merestui penghijrahannya ke Johor musim depan.

Norshahrul mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini.

--- KOSMO

Friday, November 9, 2012

'Lepaskan saya'

NORSHAHRUL berharap KAFA dapat meluluskan hasratnya untuk berhijrah.


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha merayu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar merestui penghijrahannya ke Johor pada musim depan.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini.

Bagaimanapun, permohonan pemain kelahiran Besut, Terengganu itu ditolak.

Justeru, Mat Yo berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cara baik demi mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional.

"Saya berharap KAFA dapat melepaskan saya (berhijrah ke Johor) serta memandang perkara ini dari sudut yang lebih positif.

"Sebelum ini, saya pernah menghantar surat tunjuk sebab mengapa saya mahu berhijrah. Salah satu sebab tersebut adalah faktor keluarga dan KAFA sudah tahu mengenainya melalui surat yang saya hantar.

"Saya semakin berusia dan tidak mampu untuk bermain bola dalam tempoh yang panjang. Saya berharap mereka dapat melihat dari sudut ini dengan memahami situasi saya," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Tambah penyerang yang meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Bojan Hodak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi final Piala Malaysia 2012, dia berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya pada 25 November ini.

"Jika boleh, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki agar ia tidak mengganggu prestasi serta tumpuan saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada KAFA sepanjang saya menabur bakti selama tiga tahun di sana kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya.

"Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berjaya membantu Kelantan menjulang kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan saya percaya penghijrahan ke Johor itu bukan faktor kewangan semata-mata.

"Saya sendiri pun tidak tahu daripada mana timbul isu bayaran RM80,000 itu dan saya cuma ingin beralih angin demi masa depan saya," katanya.

Ditanya mengenai ganjaran selepas Kelantan berjaya meraih gelaran trebel yang mungkin hanya diberikan kepada pemain-pemain setia, Mat Yo berharap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dapat menilai kembali syarat-syarat tersebut.

"Bagi saya, beliau (Annuar) sebagai presiden boleh menilai (situasi) ini dan tahu itu hak siapa," katanya.

--- KOSMO

Thursday, November 8, 2012

Wajah baharu Gergasi Merah


MAHALI (kanan) antara muka baharu Selangor dalam saingan Liga M musim depan.


SELANGOR bakal berwajah baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Selepas sah kehilangan khidmat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang membuat keputusan menyertai Johor, Selangor telah mendapatkan beberapa muka baharu bagi memperkuatkan cabaran skuad Gergasi Merah.
Paling mencuri tumpuan apabila Selangor berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain kebangsaan, antaranya penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli, tonggak pertahanan Harimau Muda A, Mahali Jasuli dan pemain sayap Negeri Sembilan, S. Kunanlan.
Selangor turut berjaya melamar penyerang import Terengganu yang juga pemenang anugerah Kasut Emas musim ini, Francis Forkey Doe bagi menggantikan Bosko Balaban yang tidak melanjutkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin, dengan kombinasi pemain baharu dan lama, ia mampu memberikan satu keputusan positif buat Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

“Kami kini berwajah baharu dan saya menyeru kepada pemain-pemain baharu dan lama Selangor agar menamatkan penantian untuk memenangi trofi Liga Super musim depan.

“Apa yang pasti, saya gembira kerana berjaya mendapatkan pemain-pemain yang memiliki kualiti dan saya percaya, kami berada di landasan tepat pada musim depan.

“Justeru, saya berharap mereka dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mengekalkan reputasi Selangor,” kata Irfan semalam.

Ketika diminta mengulas ketiadaan Safiq mulai musim depan, Irfan mengakui, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Gergasi Merah selepas kehilangan pakar sepakan percuma itu.

“Tidak dapat dinafikan, kehilangan Safiq memberikan kesan kepada Selangor. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang bagus serta pakar dalam gerakan set-piece.

“Namun, bola sepak adalah semangat berpasukan dan ia bukan dalam bentuk individu.

“Apa yang pasti, saya mahu membantu Selangor muncul sebagai juara Liga Super pada musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan bahawa pemain tengah, Azidan Saruddin menyertai Pahang musim depan.

--- KOSMO

Wednesday, November 7, 2012

PAFA tetap tagih janji Azidan


AZIDAN (kiri) pada awalnya menyatakan persetujuan bermain untuk Perak tetapi tiba-tiba dilaporkan terpikat pula dengan Pahang.


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) akan berusaha mendapatkan pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin untuk beraksi dengan skuad Seladang dalam saingan Liga Super musim depan.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, beliau keliru dengan pelbagai berita mengenai kedudukan Azidan.
"Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa Azidan secara peribadi menyatakan hasrat untuk bermain dengan Perak," kata Zainol selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Para Petugas Stadium Perak di sebuah hotel terkemuka di Ipoh malam kelmarin.
PAFA meraikan lebih 200 petugas yang membantu persatuan itu sepanjang perlawanan Liga Super dan Piala Presiden di Stadium Perak, Ipoh musim lalu.

"Hasrat Azidan dipanjangkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan persatuan di Lembah Klang itu bersetuju memberi pelepasan kepada pemain tengah tersebut," tambah Zainol.

Kini, beliau mendengar desas- desus bahawa FAS sudah menghantar surat kepada PAFA bahawa Azidan akan bermain dengan Pahang.
"Mana satu yang betul ni, saya akan meminta Setiausaha PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menghubungi FAS mengenai kedudukan Azidan," katanya.

"Saya berpendapat, jika tuan tubuh (Azidan) ingin bermain di Ipoh, berilah pelepasan kepadanya. Kalau tuan tubuh itu tidak mahu menyarung jersi Perak, PAFA akan mencari pemain lain."

Sebelum ini, PAFA terkejut apabila Azidan yang sudah bersetuju beraksi dengan Perak telah berubah angin ingin bermain dengan Tok Gajah.

Setiausaha PAFA mengakui menerima surat rasmi daripada Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengesahkan bahawa Azidan akan beraksi dengan Pahang minggu lalu.

Bagaimanapun, Azidan belum menandatangani sebarang surat persefahaman atau kontrak dengan PAFA. 

Sementara itu, Zainol memberitahu bahawa beberapa pemain dari Sepanyol dan Brazil berhasrat mengisi kekosongan kuota pemain import Perak.

"Pemain dari kedua-dua negara itu akan menjalani ujian pemilihan pertengahan bulan ini," katanya.

Perak sedang mencari dua pemain import apabila kontrak Michal Kubala dan Albert Bodjongo tidak disambung setelah tamat 31 Oktober lalu.

--- KOSMO

Tuesday, November 6, 2012

Guiza ikat kontrak setahun

GUIZA (kanan) mengikat kontrak setahun bersama Johor.


BEKAS pemain Kelab La Liga Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza, 32, menandatangani kontrak selama setahun dengan Johor semalam.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim, satu majlis khas menandatangani kontrak pemain handalan dunia itu telah berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di Johor Bahru pada tengah hari semalam.

Ia disaksikan oleh Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Pengurus pasukan, Fandi Ahmad.

Berhubung nilai bayaran kontrak dan gaji yang diterima oleh bekas pemenang Kasut Emas ketika bersama pasukan Real Mallorca dalam saingan Liga Sepanyol pada musim 2008 itu, Suhairi enggan mengulas lanjut.

“Mengenai soal nilai pembayaran kontrak termasuk gaji yang diterimanya, kita tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia,” katanya kepada Kosmo!.

Semalam Kosmo! melaporkan Guiza yang menjadi pemain import baharu Johor memasang matlamat untuk memburu Kasut Emas dalam saingan liga tempatan musim depan.

Bekas pemain Real Mallorca dan La Roja itu turut berazam untuk menjaringkan gol pada setiap perlawanan dan mahu muncul sebagai penjaring terbanyak.

Kehadiran Guiza dijangka bakal mengembalikan semula kegemilangan pasukan Johor lebih-lebih lagi apabila dia digandingkan dengan pemain berbisa tempatan seperti Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim dan Safiq Rahim.

Tambah Suhairi, mengikut syarat dalam perjanjian kontrak, pemain antarabangsa seharusnya menjalani latihan pada 1 Disember ini.

“Bagaimanapun, Tunku Ismail memberi pelepasan kepadanya untuk menyambut Krismas di Sepanyol,” ujar beliau lagi.

--- KOSMO

Monday, November 5, 2012

Tekad Guiza



“SAYA bertekad mahu muncul penjaring terbanyak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).”

Demikian azam pemain import baharu Johor, Daniel Gonzales Guiza, 32, yang meletakkan sasaran untuk memburu Kasut Emas dalam saingan liga tempatan musim depan.

Guiza yang merupakan bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, Getafe CF berkata, dia mahu memastikan Johor turut merangkul kejuaraan sama ada Piala Liga, Piala FA mahupun Piala Malaysia.

“Saya yakin kehadiran saya akan dirasai lawan dan saya akan cuba memahami rentak bola sepak di negara ini kerana secara jujurnya, saya tidak tahu langsung mengenai bola sepak Malaysia dan hanya mengetahui perkembangan saingan Liga M menerusi internet sebaik mendapat tawaran dari Johor,” katanya yang pernah muncul pemenang Kasut Emas ketika bersama Real Mallorca dalam saingan Liga Sepanyol pada musim 2008.

Ekoran kejayaan tersebut, dia kemudiannya diserapkan ke dalam skuad antarabangsa Sepanyol hingga menyaksikan pasukan La Roja muncul sebagai juara pada Euro 2008.

“Matlamat utama saya selain mahu muncul sebagai penjaring terbanyak, saya juga bertekad untuk menghasilkan jaringan dalam setiap perlawanan.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya sudah bebas daripada sebarang kecederaan dan sudah bersedia untuk beraksi di depan penyokong setia Johor yang mahu melihat pasukan ini meraih kejuaraan,” ujarnya pada sidang akhbar khas pengumumannya menyertai skuad Johor di Johor Bahru semalam.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

Dalam pada itu, Guiza turut memberitahu bahawa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Getafe CF kerana kurang persefahaman dengan pengurus kelab itu.

Sebelum ini katanya, dia turut dilamar oleh dua pasukan La Liga, Malaga dan Real Zaragoza, namun dia kurang berminat.

Mengulas lanjut, Guiza berkata, dirinya tidak sabar untuk beraksi dengan beberapa pemain handalan Johor yang lain seperti Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd. Radzak, Azmi Muslim dan Safiq Rahim.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, beliau berbangga apabila Johor berjaya mendapatkan khidmat Guiza walaupun pemain antarabangsa itu sudah mendapat tawaran daripada kelab La Liga lain namun tetap memilih skuad Harimau Selatan sebagai pasukan baharunya secara pinjaman daripada Getafe CF.

“Kita bertuah memiliki pemain berstatus bintang dan saya ingin tekankan di sini Johor bukan mengambil pemain berkualiti untuk jangka masa pendek.

“Sebaliknya sudah ada perancangan bagi memastikan pasukan ini sentiasa kuat dan terus hebat dalam jangka masa panjang selain memantapkan program akademi bola sepak,” kata Tunku Ismail.

--- KOSMO

Saturday, November 3, 2012

Johor ubah pendirian

TUNKU Ismail (kanan) menyampaikan kata-kata amanat kepada pemain Johor dan Johor United selepas majlis menandatangani kontrak pemain di Johor Bahru semalam.


“KAMI tidak boleh bayar sehingga RM1 juta.” Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung laporan yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta bayaran RM1 juta untuk melepaskan penyerang sensasinya, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo kepada Johor.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, jumlah yang diminta KAFA itu tidak menepati peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, PBNJ sentiasa merujuk kepada FAM untuk melakukan sebarang tindakan berhubung kedua-dua pasukan di bawah naungan PBNJ iaitu Johor yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super dan Johor United yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Johor sebelum ini dikenali sebagai Johor FC manakala Johor United pula Johor FA.

“Mengikut peraturan FAM, mereka (KAFA) tidak boleh minta sehingga RM1 juta dan lebih untuk kami menebus kontrak Norshahrul.

“Saya kena hormati peraturan yang ditetapkan FAM dan saya tidak akan melanggar syarat-syarat yang telah mereka tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak pemain-pemain Johor dan Johor United di Johor Bahru semalam.

Pada majlis terbabit, seramai 16 pemain telah menandatangani kontrak bersama Johor manakala 24 pemain lagi bersama Johor United.

Antara yang kelihatan, bekas tonggak Harimau Muda yang juga pemain pertahanan, Muslim Ahmad.

Kosmo! semalam melaporkan, KAFA bersedia untuk melepaskan Mat Yo kepada Johor sekiranya PBNJ sanggup membayar nilai kontrak pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu yang dikatakan berjumlah RM1 juta.

Tunku Ismail juga bertitah, pihaknya tidak mahu memaksa sekiranya Mat Yo tidak ingin beraksi bersama Johor.

Dalam pada itu, baginda menyatakan, pemain import, Andre Francisco Da Silva yang beraksi bersama Johor FA dalam saingan liga musim lepas, akan dipindahkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan bersama pasukan Johor.

“Andre mungkin akan bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Daniel Gonzalez Guiza,” katanya.

Menurut Tunku Ismail, Guiza yang merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008, dijangka tiba untuk menandatangani kontrak esok.

--- KOSMO

Piya: 'Dengar pandangan Presiden Kafa sebelum hijrah'

ALAUDIN MA
3 November 2012
Mohd Badhri Radzi atau Piya
Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya
 
“PEMAIN masih terikat dengan kontrak. Kita perlu dengar dahulu pandangan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sebelum membuat keputusan ingin berhijrah ke pasukan lain.

“Tan Sri mungkin mempunyai pandangan yang konkrit untuk sama-sama kita terima dan kita tunggu sekembalinya bos kita itu dari menunaikan Haji di Makkah nanti untuk kita bincangkan perkara berkenaan,” kata Kapten Pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi atau lebih dikenali Piya, di Gua Musang, semalam.

Ditanya mengenai kemelut keputusan ada pemain untuk menyertai pasukan lain selepas ini, beliau berkata, setiap pemain ada hak masing-masing untuk membuat keputusan sendiri, tetapi sebaik-baiknya runding dahulu dengan Presiden Kafa nanti.

Kemelut yang timbul itu membabitkan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan hingga sanggup Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menebus kontrak pemain itu dengan TRW.

Dalam kenyataan terbaru Mat Yo, kelmarin menyuarakan tidak menolak kemungkinan meninggalkan Kelantan sekiranya mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain bagi menghadapi  Liga Malaysia musim depan.

Menurut Piya, dia sendiri ada menerima tawaran daripada Selangor dan Terengganu, tetapi setakat ini tidak terfikir untuk berhijrah kerana menganggap lebih selesa berada dengan pasukan negeri sendiri.

“Perkara biasalah dalam pasukan bola sepak untuk memilih pasukan yang mereka suka kerana ingin menukar perubahan sebagaimana rakan-rakan kita yang membangkitkan perkara berkenaan sebelum ini.

“Namun, bagi saya tidak ada yang dikejarnya asalkan kita boleh bermain dengan cemerlang seperti yang kita berada dengan pasukan TRW sekarang yang mempunyai banyak kelebihannya,” katanya.

Beliau mengakui Presiden Kafa itu adalah pemimpin yang dianggap terbaik dan cemerlang yang bukan sahaja dari segi tunjuk ajar, tetapi juga menjaga kebajikan pemain tanpa ada sebarang masalah.

“Kita boleh tengok sendiri kemajuan dan kecemerlangan pasukan TRW sejak diterajui Tan Sri Annuar dan mungkin agak berlainan sekiranya kita menyertai pasukan lain pula,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Monday, September 17, 2012

Tunggu habis Piala Malaysia: Afiq

MOHD ZAILANI ABDUL RAHMAN
17 September 2012
Mohamad Afiq Azmi
Mohamad Afiq Azmi mampu menunjukkan aksi cemerlang dan menerima pujian daripada peminat Red Warriors.
 
KOTA BHARU- “Saya tidak boleh komen, tunggu habis Piala Malaysia,” kata penyerang yang sedang meningkat naik, Mohamad Afiq Azmi ketika ditanya kesediaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mendapatkan khidmatnya pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Mohamad Afiq yang menjaringkan empat gol sepanjang enam perlawanan bersama The Red Warriors berkata, apa yang penting sekarang adalah membantu Kelantan untuk mendakap Piala Malaysia.

“Mungkin bersedia, tetapi saya tidak berani komen,” katanya yang akan turut bersama The Red Warriors ke Iraq untuk bertemu dengan pasukan Arabil dalam saingan suku akhir Piala Konfederasi Bola Asia (AFC) AFC esok.

Semalam Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, pihaknya sedang menilai prestasi Afiq dan akan berbincang mengenai masa depan pemain Kuala Lumpur itu sebaik sahaja tamat saingan Piala Malaysia.

Ditanya perasaannya dapat bersama pemain ke Iraq, Afiq mengakui teruja dengan pengalaman yang diberikan pihak pengurusan dan akan  menggunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan prestasi semasa.

“Saya akui teruja dengan peluang ini, bukan mudah untuk bersama beraksi dengan pasukan luar negara, Insya-Allah saya gunakan kesempatan ini sebaik mungkin,” katanya.

 Aksi terbaik yang ditunjukkan anak kelahiran Perlis itu mula meniti bibir peminat setia The Red Warriors untuk berganding dengan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamed Ghaddar.

--- SINAR HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...