Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Norshahrul Idlan Talaha. Show all posts
Showing posts with label Norshahrul Idlan Talaha. Show all posts

Thursday, October 22, 2015

PBSNT Rayu FAM Kurangkan Hukuman Mat Yo


KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah mengemukakan rayuan untuk mengurangkan hukuman gantung dan denda ke atas penyerang skuad Terengganu Norshahrul Idlan Talaha.

Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

"Surat rayuan kita hantar semalam dan biasanya dalam masa tiga hari baru kita terima jawapan daripada FAM," katanya kepada Bernama.

Bekas penyerang terbaik negara yang lebih dikenali sebagai Mat Yo dikenakan penggantungan lima perlawanan dan denda RM2,500 selepas didapati bersalah memijak pemain Kedah pada aksi pusingan pertama Kumpulan A Piala Malaysia di Alor Setar pada 18 Sept lepas.

Wan Ahmad Nizam berkata PBSNT terpaksa membuat rayuan itu kerana mereka perlukan khidmat Mat Yo untuk memantapkan pasukan bagi menghadapi baki aksi Piala Malaysia yang sudah hampir memasuki peringkat suku akhir.

Nasib Terengganu untuk melangkah ke suku akhir sekarang ibarat 'telur di hujung tanduk' kerana mereka perlu menang besar dalam baki dua perlawanan peringkat Kumpulan A menentang JTD ll pada 27 Okt, diikuti Lion XII selepas itu.

Setakat ini, Terengganu berada di tangga terbawah kumpulan itu dengan 4 mata.

-- BERNAMA

Saturday, November 17, 2012

‘Usah simpan pemain’

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

“SAYA berpendapat, buat apa simpan pemain yang tidak ada hati untuk bermain dengan pasukan kita, sebaliknya lepaskanlah pemain itu,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo.
Tunku Ismail berkata, PBNJ menggunakan saluran tepat dan tidak melanggar peraturan ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami sudah membalas surat tawaran dihantar Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhubung perpindahan Mat Yo hari ini (semalam). Surat tawaran dari Kafa mengandungi isu kontrak Mat Yo dan semuanya akan diputuskan pada mesyuarat Isnin ini.
“Nilai yang terkandung dalam surat tawaran itu sebenarnya tidaklah banyak dan saya tidak tahu macam mana boleh keluar cerita RM6 juta itu. Kamipun ikut peraturan ditetapkan FAM dan tidak akan melanggar peraturan.

“Saya tidak tahu jika ada orang cuba mengambil kesempatan daripada situasi ini namun niat saya hanyalah untuk meningkatkan prestasi dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor,” katanya pada sidang media selepas memperkenalkan pemain import baru skuad Johor, Simone Del Nero, 31, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim.
Tunku Ismail berkata, isu Mat Yo bukan satu isu besar dan tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Titahnya, mesyuarat khas akan diadakan Isnin ini bagi menyelesaikan semua masalah berbangkit termasuk isu perpindahan pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai negara sebanyak tiga kali berturut-turut itu.

--- HARIAN METRO

Friday, November 16, 2012

KAFA terkejut kenyataan PBNJ

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terkejut dengan pengakuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menyediakan peruntukan kepada penyerangnya, Norshahrul Idlan Tahala bagi menebus baki kontraknya bersama The Red Warriors.

Perkara tersebut diluahkan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui facebook miliknya semalam selepas PBNJ membuat kenyataan menerusi berita yang di siarkan oleh stesen televisyen berbayar, Astro.

Annuar berkata, kenyataan itu menjadi satu pengakuan bahawa PBNJ cuba mempengaruhi Mat Yo yang masih mempunyai kontrak untuk meninggalkan Kelantan.

"Kenyataan ini adalah satu kesalahan besar yang mengundang tindakan terhadap PBNJ.

"Surat PBNJ untuk menebus kontrak Mat Yo sudah pun merupakan satu kesalahan kerana tebus kontrak tidak boleh dibuat oleh orang ketiga," katanya.

Tambahnya, tindakan PBNJ ini tidak akan menyelesaikan kemelut Mat Yo selain mendedahkan etika perpindahan pemain sudah dicerobohi.

Sebelum ini, Johor dilaporkan perlu membayar harga yang tinggi jika mahu mendapatkan khidmat Mat Yo kerana majikannya KAFA meletakkan nilai yang tinggi terhadap pemain tersebut.

Annuar berkata, kejayaan Mat Yo mengekalkan status Pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan kali ketiga berturut-turut sudah cukup untuk menggambarkan nilai sebenar penyerang Kelantan itu.

--- KOSMO

Thursday, November 15, 2012

KAFA letak harga berpatutan

NORSHAHRUL (kiri) terus menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air ekoran kontroversi perpindahannya ke Johor musim depan.


BERDASARKAN reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh tiga tahun berturut-turut bermula 2010, 'nilai' penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha sudah tentu melonjak tinggi.
Maka tidak mengejutkan apabila perpindahan Norshahrul ke Johor musim depan dilapor bakal mencecah jutaan ringgit disebabkan pemain yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo itu masih mempunyai baki kontrak setahun bersama The Red Warriors.
"Mat Yo merupakan pemain tunggal yang berjaya mempertahankan anugerah MVP selama tiga tahun berturut-turut. Musim lalu beliau antara penjaring terbanyak dalam saingan Liga Super serta penyerang No. 1 negara.
"Dengan reputasi Mat Yo yang hebat, tidak betul jika kita nak letakkan harga beliau dengan murah. Jika kita letakkan harga yang murah, ia akan menjatuhkan maruah pemain tempatan.
"Kalu kita mengagung-agungkan Mat Yo, tiba-tiba harga murah, jatuhlah martabat Liga M. Sebagai contoh, kita hendak beli kasut Gucci tetapi dengan harga kasut Bata, itu mustahil," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perarakan Piala Malaysia di Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Telipot dekat sini semalam.
Hadir sama, Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim.
Bagaimanapun, Annuar menyerahkan keputusan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk membuat keputusan berhubung tawaran perpindahan Norshahrul ke Johor.
"Saya fikir kalau bekas penjaring terbanyak (Liga Sepanyol) yang berusia 32 tahun (Daniel Gonzales Guiza) dari luar negara (Sepanyol), mereka (Johor) boleh bayar dengan sekian banyak, apatah lagi pemain tempatan yang mempunyai reputasi yang hebat.
"Tolong jangan rendahkan martabat pemain tempatan kerana ia akan menjatuhkan liga kita. Bila kita dengar Safee Sali dibayar dengan harga RM2 juta, kita cukup bangga dengan situasi tersebut," tegasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.
Annuar melalui laman Facebook miliknya kelmarin berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO

Wednesday, November 14, 2012

Mat Yo Mungkin Kekal Bersama Kelantan Jika Johor Tidak Terima Syarat KAFA

14 November, 2012 20:12 PM
 
KOTA BAHARU, 14 Nov (Bernama) -- Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan pada Liga Super musim depan jika Johor tidak bersetuju dengan syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu pada tahun ini.

Mat Yo, yang dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' dalam anugerah bola sepak kebangsaan 2012 baru-baru ini, masih mempunyai kontrak selama 13 bulan dengan persatuan itu.

Annuar berkata nilai pakej gaji Mat Yo untuk dua tahun berjumlah RM800,000 tidak termasuk bonus antara RM70,000 dan RM80,000 setahun.

"Kita kena hitung kos untuk menanggung Mat Yo bukan sahaja gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian khusus setiap kali menang anugerah selain pemberian gratuiti.

"Mat Yo kahwin kita bagi hampir RM100,000. Itu semua kos yang kita terpaksa kira," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan tiga piala di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di sini, Rabu.



-- BERNAMA

Tuesday, November 13, 2012

Azman Lepas Jawatan Pengurus Kelantan, Mat Yo Dibenar Ke Johor Dengan Bersyarat

13 November, 2012 17:29 PM

KOTA BAHARU, 13 Nov (Bernama) -- Desas-desus mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim hadapan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan treble dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa hadapan. Saya percaya Bojan (Hodak) boleh lakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu, di sini, Selasa.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata Kafa membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.



-- BERNAMA

Saturday, November 10, 2012

Bincang dulu

NORSHAHRUL masih mempunyai baki kontrak setahun dengan Kelantan


JIKA terus berhasrat untuk mendapatkan khidmat Norshahrul Idlan Talaha, Johor perlu menunjukkan ke sungguhan.

Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai hasrat Johor yang berhasrat melamar penyerang terbilang skuad The Red Warriors itu yang lebih popular dengan panggilan Mat Yo.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu rundingan kepada pasukan Johor jika mereka betul-betul mahukan pemain tersebut untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Menurutnya, perkara tersebut perlulah dilakukan me ngikut saluran yang betul kerana pemain ini masih mem punyai baki kontrak yang akan berakhir pada hujung tahun hadapan.

“Saya fikir isu Mat Yo ini tidak usah banyak polemik, kalau keluar berita sensasi ia tidak membantu. Di peringkat ini yang perlu mengambil tindakan ialah pihak PBNJ kerana mereka yang ingin mendapatkan khidmat pemain tersebut.

“Sebagai contoh dalam soal tebus kontrak, pemain yang perlu berbuat demikian. Namun dalam isu ini Mat Yo tidak pernah berbuat demikian. Kenyataan dalam akhbar sahaja tidak boleh diterima pakai.

“Kalau perpindahan, ia melibatkan kelab atau pasukan, tetapi jikalau kelab yang minta untuk tebus kontrak itu tidak kena dengan peraturan. Jadi lebih baik kita duduk ber bincang empat mata dan jangan bercakap melalui media dan buat perundingan antara kelab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga seorang penyokong The Red Warriors, Ahmad Zamani Md. Salleh, 34, yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan kompilasi penyakit paru-paru di kampung Kampung Bentong, Seberang Pasir dekat Kota Bharu semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan wakil Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan (KPBSK).

Ketika diminta mengulas langkah yang telah diambil oleh Norshahrul yang merayu kepada KAFA agar merestui penghijrahanya ke Johor pada musim hadapan, Annuar enggan mengulas perkara tersebut.

“Kalau saya cakap lepas, ia mendahului keadaan, orang belum pinang kita dah nak bagi anak. Saya terbuka dalam isu ini tetapi mesti ikut saluran. Lagipun Mat Yo masih ada kontrak dan dia perlu duduk bersama Kelantan sehingga tahun hadapan.” tegasnya.

Kosmo semalam melaporkan bahawa Norshahrul merayu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar merestui penghijrahannya ke Johor musim depan.

Norshahrul mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini.

--- KOSMO

Friday, November 9, 2012

'Lepaskan saya'

NORSHAHRUL berharap KAFA dapat meluluskan hasratnya untuk berhijrah.


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha merayu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar merestui penghijrahannya ke Johor pada musim depan.

Norshahrul yang lebih dikenali sebagai Mat Yo mendedahkan, dia telah menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Harimau Selatan musim depan dan hasrat itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan KAFA sebelum ini.

Bagaimanapun, permohonan pemain kelahiran Besut, Terengganu itu ditolak.

Justeru, Mat Yo berharap perkara tersebut dapat diselesaikan dengan cara baik demi mengembangkan kariernya sebagai pemain profesional.

"Saya berharap KAFA dapat melepaskan saya (berhijrah ke Johor) serta memandang perkara ini dari sudut yang lebih positif.

"Sebelum ini, saya pernah menghantar surat tunjuk sebab mengapa saya mahu berhijrah. Salah satu sebab tersebut adalah faktor keluarga dan KAFA sudah tahu mengenainya melalui surat yang saya hantar.

"Saya semakin berusia dan tidak mampu untuk bermain bola dalam tempoh yang panjang. Saya berharap mereka dapat melihat dari sudut ini dengan memahami situasi saya," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Tambah penyerang yang meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Bojan Hodak menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 pada aksi final Piala Malaysia 2012, dia berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirainya pada 25 November ini.

"Jika boleh, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki agar ia tidak mengganggu prestasi serta tumpuan saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada KAFA sepanjang saya menabur bakti selama tiga tahun di sana kerana sentiasa memberikan peluang kepada saya.

"Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berjaya membantu Kelantan menjulang kejayaan dalam Liga Malaysia (Liga M) dan saya percaya penghijrahan ke Johor itu bukan faktor kewangan semata-mata.

"Saya sendiri pun tidak tahu daripada mana timbul isu bayaran RM80,000 itu dan saya cuma ingin beralih angin demi masa depan saya," katanya.

Ditanya mengenai ganjaran selepas Kelantan berjaya meraih gelaran trebel yang mungkin hanya diberikan kepada pemain-pemain setia, Mat Yo berharap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dapat menilai kembali syarat-syarat tersebut.

"Bagi saya, beliau (Annuar) sebagai presiden boleh menilai (situasi) ini dan tahu itu hak siapa," katanya.

--- KOSMO

Saturday, November 3, 2012

Johor ubah pendirian

TUNKU Ismail (kanan) menyampaikan kata-kata amanat kepada pemain Johor dan Johor United selepas majlis menandatangani kontrak pemain di Johor Bahru semalam.


“KAMI tidak boleh bayar sehingga RM1 juta.” Itu pendirian Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung laporan yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta bayaran RM1 juta untuk melepaskan penyerang sensasinya, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo kepada Johor.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, jumlah yang diminta KAFA itu tidak menepati peraturan yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, PBNJ sentiasa merujuk kepada FAM untuk melakukan sebarang tindakan berhubung kedua-dua pasukan di bawah naungan PBNJ iaitu Johor yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super dan Johor United yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Johor sebelum ini dikenali sebagai Johor FC manakala Johor United pula Johor FA.

“Mengikut peraturan FAM, mereka (KAFA) tidak boleh minta sehingga RM1 juta dan lebih untuk kami menebus kontrak Norshahrul.

“Saya kena hormati peraturan yang ditetapkan FAM dan saya tidak akan melanggar syarat-syarat yang telah mereka tetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak pemain-pemain Johor dan Johor United di Johor Bahru semalam.

Pada majlis terbabit, seramai 16 pemain telah menandatangani kontrak bersama Johor manakala 24 pemain lagi bersama Johor United.

Antara yang kelihatan, bekas tonggak Harimau Muda yang juga pemain pertahanan, Muslim Ahmad.

Kosmo! semalam melaporkan, KAFA bersedia untuk melepaskan Mat Yo kepada Johor sekiranya PBNJ sanggup membayar nilai kontrak pemain Paling Bernilai pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 itu yang dikatakan berjumlah RM1 juta.

Tunku Ismail juga bertitah, pihaknya tidak mahu memaksa sekiranya Mat Yo tidak ingin beraksi bersama Johor.

Dalam pada itu, baginda menyatakan, pemain import, Andre Francisco Da Silva yang beraksi bersama Johor FA dalam saingan liga musim lepas, akan dipindahkan untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan bersama pasukan Johor.

“Andre mungkin akan bergandingan dengan seorang lagi pemain import, Daniel Gonzalez Guiza,” katanya.

Menurut Tunku Ismail, Guiza yang merupakan penjaring terbanyak La Liga musim 2007/2008, dijangka tiba untuk menandatangani kontrak esok.

--- KOSMO

Saturday, January 7, 2012

‘Misi bukti keupayaan’

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TENANG...Norshahrul (kanan) bersama Daudsu dalam latihan, semalam.

PERSEMBAHAN yang dipamerkan The Red Warriors di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bakal menjadi kayu pengukur sejauh mana skuad kendalian jurulatih Peter James Butler itu mampu menghadirkan saingan merebut kejuaraan dalam kancah bola sepak tempatan musim ini selain cabaran Piala AFC.

Pandangan itu disuarakan ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala yang melihat perlawanan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah menentang juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan itu bakal memberikan gambaran yang jelas tahap sebenar mereka.


“Sepanjang tempoh pra-musim, semua pemain sudah memberikan aksi yang terbaik kepada pasukan dalam setiap perlawanan namun malam esok (malam ini) adalah penentu sebenar kepada kami. “Sejauh mana keupayaan kami,” katanya yang diangkat sebagai pemain paling bernilai dalam kancah bola sepak tempatan musim lalu.

Pemain yang dikenali sebagai Mat Yo itu bakal bergandingan bersama dua lagi penyerang import, Muhamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare di barisan depan bagi merobek gawang Negeri Sembilan dalam mempertahankan piala yang pertama kalinya dimenangi Kelantan pada musim lalu.


“Gandingan kami bertiga sebenarnya masih belum memuaskan hati lagi kerana banyak peluang sebelum ini gagal disempurnakan dengan baik walaupun banyak dicipta. “Jadi saya berharap kami dapat meningkatkan lagi persefahaman malam ini bagi memberikan permulaan yang baik kepada pasukan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.


Sebelum ini, penyerang Harimau Malaya itu pernah menyuarakan kesukarannya berkomunikasi berikutan kesukaran Ghaddar yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Dia ada mempamerkan peningkatan dalam berkomunikasi. Namun saya tidak bermasalah untuk membentuk persefahaman dengan Antwi,” katanya. Mengenai Negeri Sembilan, penyerang negara itu mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah kemampuan lawan walaupun ramai tonggak mereka membuat keputusan berhijrah.


“Mereka mengharungi persediaan cukup serius dengan sejumlah pemain muda yang semakin mantap dan sebenarnya sudah mempunyai pengalaman yang cukup selepas diberikan pendedahan sempurna oleh jurulatih pengelalaman pada musim lalu,” katanya.

Kelantan memenangi piala terbabit untuk kali pertama musim lalu apabila menewaskan Selangor 2-0 namun bermula musim ini perlawanan terbabit tidak menawarkan sebarang mata untuk Liga Super.

--- Harian Metro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...