Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Negeri Sembilan FA. Show all posts
Showing posts with label Negeri Sembilan FA. Show all posts

Friday, July 6, 2012

Liga Super: Azraai tagih khidmat Owana

Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Penyerang berbisanya Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona
Owona akan mengetuai jentera serangan Jang, malam ini.

NEGERI Sembilan menagih khidmat penyerang berbisanya, Jean Emmanuel Effa Owona untuk menggugat benteng pertahanan Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.

Tekad untuk melakukan kebangkitan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kehadiran semula Owona yang menyuntik semangat pasukan untuk menebus maruah yang tercalar sebelum ini.

"Saya yakin dengan kembalinya momentum serangan termasuk Ahmad Shakir Ali mampu membantu kami untuk mencipta kemenangan di laman lawan," katanya yang telah menasihatkan Owona supaya dapat mengawal emosi supaya insiden digantung perlawanan tidak berulang.

Bukan mahu mendabik dada, Azraai yang juga bekas pengendali skuad Kenari berkata, anak buahnya juga perlu memanfaatkan peluang dengan situasi pasukan Kedah yang masih tercari-cari rentak dalam perlawanan.

"Saya mahu mereka kekal fokus dan disiplin yang tinggi kerana kalau boleh saya mahu perlawanan selesai dalam 90 minit dan tidak pulang dengan tangan kosong.

"Namun, kami masih perlu berwaspada terutama dengan ketua pasukan mereka, Baddrol Bakhtiar, penyerang Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan pemain import, Safi Al- Fatah," katanya.

Untuk rekod, skuad Hoben Jang Hoben kini menghuni tangga keenam dengan 33 mata, manakala skuad kendali Wan Jamak Wan Hassan di kedudukan ke-12 dengan 25 mata dalam carta Liga Super setakat ini.

--- SINAR HARIAN

Thursday, July 5, 2012

Liga Super: Taktikal Hodak jerat Rusa

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Julai 2012
Liga Super: Taktikal Hodak jerat Rusa
Mohammad Ghaddar (kiri) merembat masuk gol kedua Kelantan meskipun cuba dihalang Kapten Negeri Sembilan, Muhammad Shukor Adan.

KOTA BHARU – Percaturan Bojan Hodak merencanakan taktikal berkesan membolehkan Kelantan meraih tiga mata penting, setelah menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Abdul Rahman, Paroi.

Meskipun bertandang ke Seremban dengan skuad tempang, namun Hodak bijak memanipulasi kelebihan pemain yang ada bagi membentuk barisan mantap ketika berhadapan skuad Jang itu.

Hakikat itu diakui sendiri Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim yang menyifatkan perancangan jurulatih dari Croatia itu menggunakan tenaga muda, terbukti membuahkan hasil setelah kehilangan ramai pemain akibat penggantungan dan kecederaan.

“Kita pergi ke sana dengan separuh kekuatan hilang setelah ramai pemain mengalami kecederaan. Namun, beliau memanfaatkan segala kekuatan pemain yang ada untuk membolehkan kita meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi.

“Beliau tidak ada pilihan, hanya membawa 16 pemain termasuk tiga pemain Piala Presiden ke sana namun berjaya melakukannya. Saya fikir pujian harus diberikan kepada beliau dan semua pemain yang memastikan kemenangan Kelantan.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan Kelantan seawal minit ke-14 menerusi jaringan Mohd Firdaus Azizul.

Namun Azlan Ismail memastikan kebangkitan Kelantan apabila menyamakan kedudukan dua minit sebaik babak kedua bersambung.

Mohammad Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin terus menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol pada minit ke- 63 dan 69 perlawanan.

Gol hasil tandukan Kapten Negeri Sembilan, Muhammad Shukor Adan sudah terlalu lewat untuk pasukannya mencipta kebangkitan.

Menurut Azman, kemasukkan Mohammad Ghaddar dan Mohd Badhri Radzi pada babak kedua, ternyata menghidupkan kembali corak persembahan Kelantan setelah dilihat terikut-ikut dengan rentak pemain tuan rumah pada awal permainan. "Aksi kita kurang menjadi pada awal babak pertama, sehingga membenarkan Negeri Sembilan menjaringkan gol awal. Namun sesuatu yang positif bagi pemain kita ialah tidak mudah tertekan, sebaliknya bangkit melawan sehingga mampu mendapatkan tiga gol,” katanya.

Sementara itu, Azman memberi peringatan kepada barisan pemainnya tidak memandang mudah baki tiga perlawanan selepas ini, meskipun Kelantan hanya memerlukan tiga mata untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

--- SINAR HARIAN

Sunday, March 4, 2012

Kelantan Tewaskan Negeri Sembilan 2-1

KOTA BAHARU, 4 Mac (Bernama) -- Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Ahad malam.

Kelantan yang bermula garang di hadapan penyokong sendiri tidak perlu menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 hasil rembatan kencang ketua pasukan Mohd Badri Radzi.

Gol pembuka semangat itu menyaksikan pasukan The Red Warriors terus mengasak namun beberapa percubaan tidak membuahkan hasil.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan apabila tandukan Shakir Ali pada minit ke-53 menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Hasrat pasukan pelawat itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagaimanapun tidak kesampaian apabila S. Chanturu menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit terakhir perlawanan.

-- BERNAMA

Saturday, January 7, 2012

Azraai idam piala pelengkap koleksi


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMUA kejuaraan utama sudah menjadi milik jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, namun pengendali berusia 59 tahun itu tetap menganggap karier kejurulatihan diceburi sejak 1991 itu masih belum lengkap.

Sasarannya kini adalah mengucup Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan memastikan anak buahnya mencipta kemenangan ke atas juara Liga Super Kelantan pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.


Keinginan itu disuarakan Azraai yang cukup yakin dengan kemampuan skuad Rusa musim 2012 meskipun dibarisi ramai pemain muda selepas penghijrahan beramai-ramai tonggak utama selepas tamat musim lalu.

Katanya, beliau akan menggunakan 'resepi' yang sama ketika membantu Kedah mencipta kegemilangan treble dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 dengan memberi peluang kepada pemain muda menonjolkan kemampuan bersaing dengan pemain lebih ternama.


“Saya memang teringin menang Piala Sumbangsih. Agak aneh tahun ini format lain sikit kerana tidak ada mata dalam perlawanan ini, tapi saya dan juga Negeri Sembilan tidak pernah merasai kejuaraan ini, jadi kami mahu membawa balik piala ini ke Negeri Sembilan. Insya-Allah dengan usaha keras semua pemain kami yakin boleh melakukannya.


“Memang Negeri Sembilan memiliki ramai muka muda kerana ramai pemain utama sebelum ini menyertai pasukan lain. Musim ini saya tidak mengambil pemain yang mempunyai nama-nama besar sebaliknya memilih pemain muda. Saya yakin pemain muda dapat menyumbang kepada pasukan seperti yang saya lakukan di Kedah,” katanya pada sidang media Perlawanan Sumbangsih, semalam.

Azraai yang mula membimbing skuad Rusa tahun lalu pantas menukar nasib pasukan itu yang terumbang-ambing di awal musim sehingga berjaya menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 di pentas final.


Pengendali kelahiran Alor Setar, Kedah itu membawa masuk beberapa pemain baru, antaranya penyerang Ahmad Shakir Ali dari Kedah, Mohd Nazrin Mohd Nawi (Kuala Lumpur), Muhamad Bukhairi Idris (Harimau Muda B), Rashid Mamud (Felda United) dan juga pemain import dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona. selepas tonggak utama Hairuddin Omar, Mohd Zaquan Adha Radzak, Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Ahmad Fakri Saarani berpindah ke pasukan lain.

Ternyata sentuhan magis Azraai Khor ditagih sekali lagi penyokong Hoben Jang Hoben bagi menidakkan hajat skuad kendalian Peter Butler yang dilihat memiliki barisan pemain lebih berpengalaman.

--- Harian Metro

‘Tidak rela kecewa lagi’

SELEPAS kempunan pada 2004, kapten Negeri Sembilan, Mohd Norhafiz Zamani Misbah tidak rela kekecewaan itu berulang dan bertekad membantu pasukannya membenam Kelantan dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berkata, walaupun ramai yang menganggap piala sempena pembuka tirai saingan Liga Malaysia itu kurang berprestij berbanding kejuaraan lain serta tidak menawarkan mata kali ini, namun bagi dirinya piala itu kekal menjadi rebutan skuad Rusa.


“Ini kali kedua saya akan beraksi dalam perlawanan Sumbangsih selepas tewas kepada MPPJ FC (4-2) pada 2004. Secara peribadi, saya mahu menebus kegagalan itu bersama Negeri Sembilan kali ini,” katanya.

Zamani yang diberi tanggung jawab selaku kapten selepas Muhammad Shukor Adan belum pasti diturunkan kerana kecederaan betis menyeru rakan sepasukan memberikan aksi terbaik sebagai hadiah untuk penyokong Hoben Jang Hoben.


Apatah lagi tugas yang digalas Zamani cukup berat malam ini apabila bakal menjadi benteng menahan asakan jentera serangan Kelantan yang dibarisi dua pemain import, Denny Antwi dan Mohammed Ghaddar serta Norshahrul Idlan Talaha.


“Semua pemain perlu memberikan komitmen dan bekerja sama dalam satu pasukan. Saya rasa kami tidak berdepan sebarang tekanan kerana situasi seperti ini sudah biasa kami lalui sebelum ini.

“Memang pasukan kali ini ramai pemain muda tapi dengan bakat dan peluang yang diberikan jurulatih Azraai, saya yakin Negeri Sembilan mampu memberi saingan hebat,” katanya. yang mengharapkan permulaan lebih baik musim ini selepas mengalami kecederaan teruk awal musim lalu.

--- Harian Metro

Effa impi kejuaraan

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

“KAMI datang ke sini untuk menang dan saya akan pastikan Piala Sumbangsih menjadi milik Negeri Sembilan esok (hari ini). Itu janji saya,” kata penyerang import, Jean-Emmanuel Effa Owona yang tidak sabar-sabar untuk menghadiahkan piala pertama bersama pasukan barunya itu.

Pemain kelahiran Cameroon berusia 28 tahun itu menjadi pemain import tunggal beraksi dengan skuad Rusa musim ini selepas seorang lagi pemain Marquen Goncalves Ferreira dari Brazil tidak dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana gagal mematuhi syarat ditetapkan.


Effa, bekas pemain Hatta Club Dubai berkata, dia sudah dapat menyesuaikan diri bersama skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu dan bersedia untuk menggempur kubu juara bertahan Liga Super, Kelantan dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Saya tidak sabar untuk merasai pengalaman bermain dalam Liga Malaysia dan perlawanan esok (hari ini) amat saya nanti-nantikan sejak menyertai Negeri Sembilan. “Pasukan ini mempunyai ramai pemain muda, tapi kami semakin menunjukkan peningkatan ketika latihan pra musim,” katanya ketika ditemui Arena Metro pada sesi latihan rasmi di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


Ternyata kelibat Effa ini amat dinanti-nantikan penyokong Hoben Jang Hoben selepas kali terakhir mereka memiliki awang import berbisa, Christian Bekamenga Bekamengo, juga dari Cameroon yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Liga Super pada musim 2005/06.


Effa yang pernah beraksi secara pinjaman bersama kelab Liga Dua Perancis, FC Metz mula menunjukkan taringnya dengan meledak hatrik ketika membantu Negeri Sembilan menang 3-0 pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, Harimau Muda B, baru-baru ini.

Dan dia mengakui tidak mempunyai masalah jika Azraai memilih Mohd Firdaus Azizul atau Ahmad Shakir Mohd Ali untuk digandingkan bersamanya di bahagian serangan kerana sudah dapat membaca corak permainan masing-masing.


Ketika ditanya mengenai kekuatan pasukan Kelantan, Effa mengakui mereka bakal berdepan pasukan lawan yang sukar untuk ditewaskan.

“Kami sudah bertemu dengan Kelantan sebelum ini dalam perlawanan persahabatan, mereka sememangnya pasukan yang kuat. “Tapi itu tidak bermakna kami tidak mempunyai peluang. Saya tetap yakin kami boleh mencipta kemenangan dan sasaran saya untuk menjaringkan gol esok (hari ini),” katanya.

--- Hariam Metro

Karathu yakin Kelantan atasi Negeri Sembilan


KELANTAN mempertaruhkan pemain import dari Lebanon, Mohammad Ghaddar pada saingan musim ini.


KOTA BHARU - Bekas pengendali Red Warriors, Datuk M. Karathu percaya Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih apabila berdepan Negeri Sembilan esok.

Karathu berkata, skuad bimbingan Peter Butler lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain berkualiti.

"Kelantan mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah dengan pemain sedia ada Kelantan mampu membentuk gandingan mantap pada semua posisi.

"Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tunggak import, Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi perlawanan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Karathu berpendapat penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini, memberi sedikit kelebihan kepada Kelantan dalam pertemuan esok.

"Begitupun kemampuan skuad bimbingan Azrai Khor Abdullah tidak boleh dipandang remah.

"Mereka pasti mempunyai perancangan tersendiri untuk perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi pertemuan ini," ujarnya.


--- Utusan Malaysia

Karathu ramal Kelantan juara


GHADDAR, tonggak import berbisa Kelantan musim ini.


“SAYA ramal Kelantan mampu menewaskan Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih tahun ini.”

Demikian ramalan bekas pengendali The Red Warriors (TRW) 2011, Datuk M. Kara- thu menjelang pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, berdasarkan ramuan pemain yang dimiliki oleh TRW musim ini, skuad bimbingan Peter Butler itu dilihat lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain yang berkualiti.

“Saya lihat musim ini TRW mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah pula dengan pemain sedia ada, Kelantan mampu membentuk gandingan mantap di semua posisi.

“Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tonggak import iaitu Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada ketua jurulatihnya Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih kelak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kemasukan pemain tersebut bakal mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain seterusnya membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Karathu memberitahu, penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini dilihat memberi sedikit kele- bihan kepada Kelantan.

“Begitupun kemampuan skuad bimbingan Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tidak boleh dipandang remah oleh Kelantan. Mereka pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi lawan mereka itu yang juga juara Piala Malaysia musim lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, beliau sempat sempat menonton dua aksi bekas pasukannya itu ketika menentang Persabaya baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan pusingan pertama, Kelantan masih mampu mempamerkan corak serangan dan tidak mudah hilang fokus.

“Begitu juga dalam aksi kedua, walaupun beraksi di atas padang yang tidak berapa baik, namun mereka masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus,” jelasnya.


--- Kosmo

NS, Kelantan ghairah

Oleh Hussain Said dan Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com.my
2012/01/07



‘Saya teringin sangat tumbangkan The Red Warriors’

“SAYA teringin sangat-sangat...,” demikian pengakuan jujur jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah yang berharap skuad bimbingannya dapat menumbangkan Kelantan – sekali gus merampas Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih, malam ini.

Detik ghairah Azraai itu tidak sukar ditafsirkan kerana sepanjang kerjayanya, jurulatih itu belum pernah menjulang piala berkenaan walaupun pernah membantu Kedah melakar sejarah memenangi kejuaraan treble - Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA - 2007 dan 2008.

Malah, jurulatih yang mula membimbing Negeri Sembilan sejak pertengahan musim lalu sudah tentu mahu menambah koleksi kejuaraan bersama Negeri Sembilan selepas membantu pasukan ‘Hoben Jang Hoben’ itu menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga dengan menewaskan Terengganu 2-1, tahun lalu.

“Walaupun pertandingan kali ini tampil dengan format baru tanpa mata dan hadiah kemenangan, tetapi saya tetap mahu pemain dengan cara apa sekali pun membawa pulang piala ini kerana Negeri Sembilan belum pernah memenanginya dan tewas dalam dua penampilan sebelum ini pada 2004 dan 2010,” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Azraai bagaimanapun tetap berpijak di bumi nyata dengan mengakui di atas kertas Kelantan harus diletakkan selaku pilihan apalagi pasukan bimbingan Peter Butler itu yang membuat persiapan rapi pra-musim selain bakal menggunakan khidmat dua pemain import.

“Kepulangan ‘Tiga Abdul’ (Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat Rose) ke Kelantan semula juga pasti akan memantapkan lagi pasukan itu, tetapi saya tetap percaya barisan baru Negeri Sembilan tetap mampu melakukan kejutan.

“Walaupun kami kehilangan lima tonggak (Hairuddin Omar, Irwan Fadly Idrus, Mohd Farizal Harun dan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak) yang mengangkat kaki meninggalkan pasukan tetapi saya percaya pemain muda yang diberi kepercayaan menggantikan mereka mampu membuktikan kemampuan,” katanya.

‘Semua pemain saya sudah sedia untuk menggempur’

“JANGAN beraksi untuk diri sendiri, tapi main untuk kejayaan pasukan,” demikian kenyataan ketua jurulatih pasukan Kelantan, Peter Butler menjelang perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Peringatan pengendali The Red Warriors itu kepada pemain jelas menggambarkan keinginan untuk membawa Kelantan kembali berada di landasan betul menjulang trofi sulung musim 2012.

“Saya tahu Negeri Sembilan pasukan bagus. Tapi saya juga percaya semua pemain saya sudah bersedia menghadapi perlawanan malam esok (hari ini).

“Kami ke Bukit Jalil bukan mahu kalah atau seri... Kami datang hanya untuk menang. Bagi saya, pada perlawanan ini kita tidak boleh bermain secara bertahan. Setiap pemain perlu bekerjasama ketika menyerang serta bertahan,” katanya semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim, berkata dia menaruh keyakinan tinggi terhadap penyerang import dari Lubnan membuktikan kemampuan malam ini.

“Perlawanan ini menjadi aksi pertama kami bermain dalam keadaan padang baik selepas terpaksa mengharungi pra musim yang tidak begitu sempurna ekoran beberapa masalah termasuk cuaca buruk.

“Sebelum ini, pemain import kami, Muhamad Ghaddar tidak pernah bermain dalam keadaan padang baik. Saya percaya dia mampu melakukan yang terbaik membantu kami kekalkan trofi Sumbangsih untuk musim kedua berturut-turut,” katanya.

--- BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...