Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Akmal Rizal Rakhli. Show all posts
Showing posts with label Akmal Rizal Rakhli. Show all posts

Sunday, January 2, 2011

Akmal paling berjaya di luar negara (Harian Metro Online)

BUKAN mudah untuk pemain bola sepak tempatan mendapat tawaran beraksi bersama pasukan di luar negara seperti mana yang ditawarkan kepada penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam era bola sepak moden, hanya ada beberapa pemain tempatan yang pernah berani mencuba nasib di luar namun sayangnya tidak sempat untuk menunjukkan bakat sebenar, mereka diminta atau terpaksa pulang ke tanah air sehingga akhirnya menamatkan karier di liga tempatan.

Antara nama terawal pernah berkelana di luar negara termasuklah Lim Teong Kim yang pernah bermain untuk Hertha Berlin di liga Jerman pada tahun 1988 dan kini menjadi jurulatih untuk pasukan remaja Bayern Munich.

Memasuki dekad 2000, Akmal Rizal Ahmad Rakhli boleh dianggap pemain paling berjaya mencuba nasib di luar negara apabila pernah beraksi di RC Strasbourg dan FCSR Haguenau di Perancis. Ketika eranya juga muncul Mohd Fadzli Saari dan Rudie Ramli pernah beraksi di SV Wehen sebelum ketiga-tiga pemain ini kini beraksi di liga tempatan. Tidak lupa Titus James Palani yang pernah mencuba nasib di FC Villenoy kini beraksi di kelab divisyen tiga Perancis Nanteuil FC.

Sunday, December 5, 2010

Akmal Rizal kesal tidak dapat bonus (Utusan Malaysia Online)


Akmal Rizal Rakhli akan menyertai pasukan Perak musim depan.


KOTA BHARU - Bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli kesal dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwanya tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal mendakwa, dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

"Saya bersama Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney Syed Hussin tidak mendapat bonus sedangkan kami berada dalam skuad utama.

"Pada masa yang sama, saya mendapat tahu pemain yang kekal telah diberikan bonus kemenangan itu mengikut kadar tertentu tetapi saya berharap Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa akan dapat menyelesaikannya selepas pulang daripada luar negara nanti," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Difahamkan, pembayaran bonus mengambil kira persembahan dan gaji pokok pemain yang rata-rata dipercayai antara RM3,000 hingga RM20,000.

Sepanjang musim lepas, pasukan Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap tanpa sebarang masalah membabitkan pemain, bagaimanapun sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia beberapa tonggak dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.

Dua pemain iaitu Akmal Rizal dan Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan, bagaimanapun kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Syed Adney masih belum diketahui biarpun desas-desus mengatakan mereka akan berhijrah ke T-Team.

Selasa lalu, Anuar melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa diri selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.

Beliau meluahkan kekecewaan itu melalui laman sosial Facebook peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain Kelantan sebagai 'pemain yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka nobody (tidak terkenal)'.

Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana memberikan bonus RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya secara adil.

"Saya percaya KAFA akan mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, luahan Anuar itu bukan dituju kepadanya dan Hairuddin kerana mereka tidak ditawarkan kontrak secara rasmi.

"Sebaik sahaja musim ini habis, KAFA telah menawarkan kontrak kepada saya tetapi secara mulut sahaja, tidak ada hitam putih sehingga saya buat keputusan berhijrah ke Perak," katanya.

Akmal bidas KAFA (Kosmo Online)


AKMAL berharap KAFA mengagihkan bonus secara adil kepada semua pemain yang membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia.


BEKAS penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli membidas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa tidak berpegang kepada janji dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal mendakwa, dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja Liga Malaysia musim 2010 berakhir.

"Saya bersama Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose dan Nor Farhan Mohamad tidak mendapat bonus seperti yang dijanjikan, sedangkan kami berada dalam skuad utama pada musim lalu.

"Dalam masa yang sama, saya dapat tahu pemain yang kekal telah diberikan bonus kemenangan itu mengikut kadar tertentu," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, dia berharap Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dapat menyelesaikan masalah pembahagian bonus itu apabila pulang dari luar negara.

Sepanjang musim lepas, pasukan Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap dan sempurna tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia, beberapa tonggak utama dikatakan akan mengangkat kaki berhijrah ke pasukan lain.

Akmal Rizal dan Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan.

Bagaimanapun kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Nor Farhan Mohamad masih belum diketahui biarpun ada desas-desus mengatakan mereka akan berhijrah ke T-Team.

Pada Selasa lalu, Kosmo! melaporkan, Annuar melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa diri selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.

Annuar meluahkan kekecewaan itu melalui laman sosial Facebook peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain Kelantan sebagai 'pemain yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka nobody (tidak terkenal)'.

Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana memberikan bonus sebanyak RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya secara adil kepada semua pemain.

"Saya percaya KAFA akan mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Wednesday, November 24, 2010

Akmal Rizal sah sertai Perak (Utusan Malaysia Online)


Akmal Rizal yang membantu Kelantan memenangi Piala Malaysia musim ini, menyertai Perak musim depan kerana mahukan cabaran baru serta membuktikan sentuhannya masih berbisa.


KOTA BHARU - Kelantan kehilangan penggempur berbisa Akmal Rizal Ahmad Rakhli, apabila pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan dia akan menyarung jersi Perak, musim depan.

Akmal Rizal, yang membantu Red Warriors muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama baru-baru ini, mengakui dia akan menyertai skuad Seladang dengan kontrak dua tahun.

Menurutnya, dia sudah pun menandatangani perjanjian dengan Perak, yang kini dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Kelantan, Norizan Bakar.

"Begitupun, saya belum menandatangani sepenuhnya kontrak tersebut. Kontrak saya bersama Kelantan akan tamat hujung bulan ini, jadi saya perlu menghormati baki kontrak tersebut.

"Walaupun hanya semusim bersama Red Warriors, saya gembira kerana dapat menjalankan tugas sebagai seorang pemain dengan baik, membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, kejayaan membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia amat bermakna sepanjang bergelar pemain profesional.

Ditanya mengapa beliau memilih Perak, Akmal Rizal memberitahu dia mahu mencuba sesuatu yang baru bersama skuad tersebut.

"Sebagai pemain profesional, saya inginkan cabaran dan membuktikan sentuhan saya masih berbisa.

"Kejayaan membantu Kelantan pastinya mahu diulangi apabila mewakili pasukan Perak musim hadapan," ujarnya.

Tambahnya, sebelum meninggalkan Kedah pada 2006, dia sememangnya bercita-cita untuk menyertai banyak pasukan.

Jelasnya, dia mungkin akan beraksi untuk tiga atau empat tahun lagi sebelum bersara.

Sepanjang bersama Red Warriors, bekas pemain kebangsaan itu menjaringkan sembilan gol, iaitu tiga pada saingan Liga Super dan enam gol pada Piala Malaysia.

Akmal Rizal pernah beraksi bersama beberapa pasukan termasuk Kedah (2001-2006), Selangor (2007- 2008) dan Kuala Muda NAZA (2009), juga kelab luar negara iaitu Strasborg di Perancis selama dua tahun.

Monday, November 15, 2010

Akmal hampir pasti milik Perak

Oleh Azizan Hashim

BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli besar kemungkinan menyarung jersi Perak dalam kancah bola sepak Liga M musim depan.

Pemain berasal dari Kedah itu yang musim ini beraksi untuk juara Piala Malaysia, Kelantan selepas mencurah kudrat di Selangor pada 2009 dijangka berada di Ipoh hari ini untuk memeterai ikatan dengan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kedatangan pemain yang pernah menimba pengalaman dengan kelab dalam Liga Perancis satu masa dulu untuk menyertai skuad bimbingan Norizan Bakar, musim ini.

“Kami akan adakan perbincangan dan jika semua lancar pemain itu akan mengikat perjanjian esok (hari ini),” katanya.

Zainol berkata, beberapa pemain termasuk dua pemain kebangsaan yang kini berada di Guangzhou dan seorang lagi pemain skuad Red Warriors juga menyatakan keinginannya menyertai Seladang.

“Dua daripada pemain itu adalah anak negeri Perak manakala seorang dari luar. Kita hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya.

Pafa sebelum ini menyenaraikan beberapa pemain berpengalaman termasuk Sharulnizam Mustapa, Chan Wing Hoong, Khairi Zainuddin dan Nasril Nourdin.

Saturday, October 30, 2010

Penyerang berbisa The Red Warriors (Kosmo)



NORSHAHRUL IDLAN yakin Kelantan berada pada tahap terbaik.


KOMBINASI dua penyerang terbaik yang dimiliki Kelantan, Akmal Rizal Rakhli dan penggempur skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pasti menjadi tumpuan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Bagi Akmal Rizal, ketika mendapat panggilan daripada ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan pada awal musim lalu yang memberikan tawa- ran untuk beraksi dengan skuad Kijang, nalurinya mengatakan bahawa Kelantan akan sekali lagi melangkah jauh.

Menurutnya, dia sudah lama memasang impian untuk beraksi bersama Kelantan kerana pasukan ini adalah antara yang terbaik selain berjaya menghimpunkan ramai pemain berbakat selain pihak pe- ngurusan yang baik dan cukup prihatin.

“Masa saya membuat keputusan untuk ke sini (Kelantan), saya tahu keputusan yang saya buat adalah tidak silap. Saya tahu saya mampu kembali ke prestasi sebenar di bawah kendalian jurulatih Sathia.

“Ini aksi pertama saya dalam perlawa- nan akhir Piala Malaysia, saya tidak mahu mensia-siakannya. Saya mahu momen indah mendakap piala berprestij tanah air ini dikongsi bersama pasukan Kelantan yang buat pertama kali memenanginya,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, segala percaturan di tangan jurulatih dan sama ada beraksi se- bagai kesebelasan utama atau tidak bukan menjadi masalah, sebaliknya berjanji akan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang beraksi.

Jelasnya, beliau begitu teruja untuk bersama-sama pasukan mencipta sejarah baru bola sepak Kelantan yang tidak per- nah memenangi piala tersebut dan yakin rakan-rakan sepasukan juga sudah sedia untuk menggalas cabaran tersebut.

“Persiapan setakat ini berjalan lancar. Kecederaan tulang rusuk saya masih terasa tetapi saya percaya ia semakin pulih dan saya yaki telah bersedia untuk beraksi jika disenaraikan.

“Ini adalah peluang untuk saya bukti- kan yang saya masih antara penyerang terbaik negara. Pengalaman beraksi pada peringkat tinggi sebelum ini akan saya gunakan. Peluang ini tidak selalu datang, saya perlu lakukan yang terbaik,” ujarnya yang masih berhasrat untuk menyarung jersi kebangsaan.

Sementara itu, seorang lagi ‘ayam tambatan’ The Road Warriors, Norshahrul Id- lan percaya dia dan rakan-rakan yang lain berada pada tahap terbaik.

Dia meminta kerjasama daripada rakan-rakan untuk turut sama memberikan komitmen sepenuhnya ketika perlawanan berlangsung.

“Tiada apa yang kita perlu bimbang dengan Negeri Sembilan, mereka juga sama seperti kita tetapi bezanya kita mahu piala tersebut pulang ke Kota Bharu kali ini dan kita tidak rela mereka mendakapnya sekali lagi.

“Saya pernah beraksi bersama Negeri Sembilan sebelum ini. Pernah bermain bersama Aidil Zafuan, Idris Karim dan Ching Hong Aik dan ia mungkin kelebihan bagi saya,” ujarnya.

Akmal janji aksi terbaik (Utusan Malaysia)




Akmal Rizal Ahmad Rakhli


KOTA BHARU - Suatu ketika dahulu nama Akmal Rizal Ahmad Rakhli hampir dilupakan oleh peminat sukan bola sepak di negara ini selepas mengalami kecederaan yang memaksanya berehat panjang.

Namun, sebaik sahaja menyarung jersi keramat The Red Warriors, kelibat Akmal Rizal di atas padang menjadi perhatian dan sebutan di kalangan peminat setia pasukan tersebut.

Beraksi bersama Kelantan, Akmal yang jarang-jarang diturunkan bagaikan mendapat sentuhan ajaib apabila mempamerkan kebangkitan sebaik sahaja aksi Piala Malaysia dimulakan.

Enam gol yang diledakkan sepanjang kempen Piala Malaysia membuktikan anak kelahiran Jitra, Kedah ini masih memiliki sentuhan berbisa, malah status sebagai penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan kelibatnya digeruni lawan.

Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak menoleh ke belakang lagi apabila terus mencatatkan nama selaku pencetak utama The Red Warrios.

Terakhir jaringannya ketika Kelantan menewaskan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor di Kota Bharu 3 Oktober lalu membangkitkan semangatnya untuk membantu Kelantan membawa pulang piala berprestij itu ke Kota Bharu.

Akmal Rizal ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia mahu mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Menurutnya, pentas perlawanan akhir malam ini cukup istimewa, kerana ia adalah pentas akhir yang pertama buat dirinya sepanjang bergelar pemain profesional.

"Jadi saya mahu menghadiahkan kejuaraan pertama Piala Malaysia diri saya sendiri, pasukan dan penyokong setia Kelantan.

"Namun begitu, semuanya terletak di bahu ketua jurulatih sama ada mahu menyenaraikan saya sebagai pemain utama atau tidak. Sebagai pemain, saya akan mengikut segala percaturan yang telah ditetapkan.

Tambahnya, beraksi di hadapan lebih 50,000 peminat setia tidak memberikan tekanan buat dirinya, malah Akmal menganggap ia akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk memberikan aksi terbaik.

"Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut kerana apa yang lebih utama saya mahu memberi fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan," ujarnya.

Ditanya adakah dia membuat kesilapan menyarung jersi Kelantan, Akmal menafikannya, malah tidak berasa kesal.

Sebaliknya, dia berterima kasih kepada ketua jurulatih dan Persatuan Bola Sepak Kelantan yang masih percaya sentuhannya.

"Apa yang saya buat ini adalah satu keputusan yang sangat tepat," katanya.

Saturday, October 23, 2010

Nor Shahrul, Akmal mampu benam Kedah (Kosmo Online)


tonggak penyerang Kelantan, Nor Shahrul Idlan Talaha (dua dari kanan) dan Akmal Rizal Rakhli (tiga dari kanan) giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam sebagai persediaan menentang Kedah dalam Piala Malaysia, hari ini. - UTUSAN/Hafiz Johari


KOTA BHARU - Meskipun Kedah mempunyai rekod baik di Stadium Sultan Muhammed IV musim ini, Kelantan sudah bersiap sedia untuk menjadikan lawan mereka itu sebagai mangsa, selepas menjinakkan Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Beraksi di depan 25,000 penyokong setia mereka, Kelantan pasti mempunyai kelebihan psikologi pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, hari ini.

Kelantan dilimpahi pelbagai berita gembira apabila penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talha akan beraksi, setelah digantung akibat menerima kad merah.

Gandingan Nor Shahrul dan Akmal Rizal Rakhli, pasti meresahkan pertahanan Kedah.

Gandingan Nor Shahrul-Akmal telah meledak lapan gol setakat ini dan ini memaksa pertahanan Kedah, terutama penjaga gol mereka, Helmi Eliza Elias perlu bekerja lebih keras.

Ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan berkata, pasukannya membuat persiapan rapi untuk perlawanan hari ini.

"Kedah sebuah pasukan yang hebat. Prestasi di atas kertas juga memihak kepada mereka.

''Kedah mempunyai lima pemain kebangsaan. Mahu tak mahu, kita kena bagi yang terbaik pada perlawanan malam esok,'' katanya ketika ditemui, semalam.

Ditanya mengenai peluang pasukannya pada perlawanan hari ini, bekas pengendali skuad kebangsaan itu memberitahu: "Saya yakin kita mampu ke perlawanan akhir. Ini berdasarkan apa yang pemain tunjukkan pada perlawanan separuh akhir pertama, walaupun kita terpaksa membuat pertukaran pemain dalam tempoh sepuluh minit.

"Pemain tetap fokus dan berjaya mencipta beberapa peluang gol dalam perlawanan tersebut, inilah yang kita mahukan,'' katanya.

Tambahnya, untuk perlawanan hari ini, beliau akan membuat sedikit perubahan taktikal bagi mengisi kekosongan Azizi Mat Rose, yang cedera.

"Perubahan taktikal terpaksa dilakukan, namun bagi saya ia tidak menjejaskan persiapan saya. Rata-rata pemain yang saya miliki mampu beraksi seperti yang saya mahukan.

"Inilah peluang mereka yang tidak tersenarai sebelum ini untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan,'' katanya.

Sathianathan juga berkata, Kelantan juga bersedia jika permainan diheret sehingga ke masa tambahan.

Norshahrul, Akmal Rizal nasib berbeza (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Ada nada berbeza dilontarkan oleh penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan peledak sensasi Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam memperkatakan peluang masing-masing membantu pasukan Kelantan mengharungi perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Bagi Norshahrul Idlan Talaha, ini merupakan peluang terbaik beliau mengembalikan sentuhannya setelah diketepikan dua perlawanan lalu kerana menerima kad merah ketika menentang Selangor dalam perlawanan suku akhir baru-baru ini.

“Perlawanan malam ini merupakan peluang terbaik bagi saya untuk membina semula keyakinan diri setelah kali terakhir menjaringkan gol dalam perlawanan menentang KL Plus FC di peringkat kumpulan. Pada perlawanan suku akhir menentang Selangor tempoh hari saya hanya berkesempatan bermain separuh masa pertama kerana dilayangkan kad merah. Jadi ini peluang terbaik bagi saya membuktikan sentuhan berbisa saya.

“Jentera serangan kita berada dalam keadaan terbaik dengan rangkaian penyerang bersedia meledakkan jaringan menentang Kedah malam ini kecuali Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) yang mengalami kecederaan. Buat peminat Kelantan, saya menjanjikan aksi terbaik pada perlawanan malam ini. Saya dan rakan sepasukan cukup yakin bahawa kita mampu melakarkan kejayaan mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pagi semalam.

Sementara itu, penjaring terbanyak skuad Kelantan dalam kempen Piala Malaysia musim ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, beliau belum pasti dapat diturunkan pada perlawanan malam ini kerana mengalami kecederaan serius di bahagian tulang rusuk.

“Sakit pada tulang rusuk masih lagi terasa. Saya tidak turun menjalani latihan hari ini (semalam). Hanya melakukan proses urutan dan melakukan ujian imbasan. Segalanya bergantung kepada latihan terakhir pagi esok (hari ini), sama ada saya boleh beraksi atau tidak.

“Saya harap dapat sembuh menjelang perlawanan malam esok (ini). Saya mahu bersama rakan-rakan membantu Kelantan layak ke perlawanan akhir. Perasaan terkilan tetap ada kalau tidak dapat beraksi cuma saya percaya sekalipun tanpa kehadiran saya, kombinasi jentera serangan diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Hairuddin Omar cukup bersedia menggegarkan pintu gol Kedah.

“Seperti biasa, stadium kita akan kembali penuh malam esok (ini). Saya berharap para penyokong memberi sokongan padu dari minit pertama sehingga ke akhir. Insya-Allah, dengan keyakinan yang tinggi kita berharap dapat mencipta kemenangan dan kita sama-sama raikan kejayaan layak ke perlawanan akhir bersama penyokong Kelantan malam esok (ini),” katanya.

Football / Malaysia Cup: Indra revitalises Akmal (New Straits Times Online)

2010/10/23
Devinder Singh
devinder@nst.com.my

Akmal Rizal’s partnership with Indra Putra (inset) is beginning to reap rich dividends for Kelantan.

Akmal Rizal’s partnership with Indra Putra (inset) is beginning to reap rich dividends for Kelantan.


AKMAL Rizal Ahmad Rakhli owes part of his renaissance with Kelantan to teammate Indra Putra Mahayuddin in a rekindling of a relationship that began eight years ago.

Indra and Akmal, both 29, have formed a unique telepathy over the years while playing for the national team and Selangor, and now the combination is beginning to reap dividends for Kelantan.

The hunger-starved east coast state are on the verge of making their second consecutive Malaysia Cup final when they welcome Kedah to Kota Baru for the semi-final second leg today.


For Kelantan to return to Bukit Jalil, Indra and Akmal will need to do to Kedah what they did to Selangor in the quarter-finals when Indra instinctively hit a cross into the box for a perfectly positioned Akmal to head into goal for the opener.

"Akmal and I have played together for so long that we are very familiar with each other's play," said Indra after Wednesday's 0-0 draw with Kedah in the first leg in Alor Star. "That goal against Selangor was the result of all our years together. Akmal is also much more confident in front of goal and if he can continue scoring, we will make the final for sure."

The duo first came to prominence at the 2002 Asean Tiger Cup when Malaysia reached the semi-finals in Singapore by routing the hosts 4-0 and outplaying Thailand 3-1.


At domestic level, they combined for the first time at Selangor where they reached the Malaysia Cup and FA Cup finals but lost in both.

They were reunited at Kelantan this season and the hunger for success remains just as deep after all these years.

"We are desperate to get to the final again and make up for losing last year. We also want to avenge our exit in the FA Cup to Kedah and don't want history to repeat itself," said Indra in referring to their FA Cup second round meeting which Kedah won on the away goals rule after a 1-1 draw in Kota Baru.


Kelantan will be strengthened by the return of striker Norshahrul Idlan Talaha, who is expected to replace Hairuddin Omar in the first XI but could have a problem in defence with Azizi Matt Rose ruled out and S. Subramaniam doubtful.

Kedah will be without left-back Azmi Muslim, who picked up a hamstring injury, and midfielder Saifulnizam Mustapha (suspended) but centre-back Khairul Helmi Johari and midfielder Sabre Mat Abu return from one-game bans.

Wednesday, October 20, 2010

Akmal sedia gempur pertahanan Kedah (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Enam gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini sudah cukup membuktikan bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kembali mencapai prestasi kemuncaknya, biarpun pada awal musim ramai pihak yang mempertikaikan penampilan beliau bersama Kelantan yang diibaratkan sebagai penumpang.

Malam ini, Akmal Rizal sekali lagi bersedia menjadi ‘duri dalam daging’ bagi menghadapi negeri kelahirannya, Kedah dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

“Perasaan saya cukup gembira kerana akhirnya Kelantan berpeluang bertemu dengan negeri kelahiran saya, Kedah dalam peringkat separuh akhir. Begitu pun saya menyedari laluan sukar menanti Kelantan apabila bertemu dengan Kedah di Alor Setar nanti.

“Apabila menyarung jersi Kelantan, sudah pasti tanggungjawab saya terhadap majikan saya (Kelantan) biarpun terpaksa menentang negeri kelahiran sendiri. Saya akan membuktikan kepada peminat Kedah bahawa sentuhan saya masih lagi berbisa.

“Apa yang penting, saya akan menunjukkan aksi terbaik bagi membantu Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini. Sebagai penyerang utama, tanggungjawab besar tergalas dibahu saya untuk menjaringkan gol. Saya berjanji akan berikan persembahan yang terbaik pada perlawanan malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum bertolak ke Alor Setar semalam.

Ketika tumpuan peminat Kedah sendiri pasti terarah kepada aksi beliau di stadium yang pernah mengangkat nama beliau sebagai pemain bola sepak profesional, Akmal Rizal mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan dengan penyokong negeri kelahirannya malam ini.

“Soal kritikan dan sebagainya merupakan satu kebiasaan bagi saya sejak berkelana bermain dengan pasukan lain empat tahun yang lalu. Tidak menjadi masalah besar kepada saya.

“Ketika bermain dengan Selangor dan KM Naza dahulu pun saya biasa menerima kritikan daripada peminat Kedah sendiri. Begitu pun masih ada peminat yang menyanjung saya. Saya melihat perkara tersebut sesuatu yang positif yang saya untuk meningkatkan prestasi saya,” katanya.

Akmal juga turut berpesan kepada para penyokong Kelantan yang berkunjung ke Alor Setar malam ini untuk menjaga tingkah laku dan disiplin sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini.

“Kepada peminat setia Kelantan yang berkunjung di Stadium Darul Aman malam ini, saya berharap mereka semua menjaga nama baik sebagai penyokong Kelantan. Tunjukkan kita mempunyai disiplin yang baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan Kelantan,” katanya.

Tuesday, October 19, 2010

Akmal dapat semula rentak (Utusan Malaysia Online)


Akmal Rizal Ahmad Rakhli


KOTA BHARU – Ketika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan mengambil khidmat bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, ramai peminat The Red Warriors ragu-ragu dan menggelengkan kepala.

Suara-suara sinis kedengaran mempersoalkan keputusan tersebut.

Bagi segelintir peminat, Akmal hanyalah sejarah dan dia bukan lagi pemain yang suatu ketika dulu bermain dengan kelab bola sepak di Perancis.

Harapan besar penyokong untuk melihat Kelantan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala musim ini mendorong keinginan mahu penyerang yang terbaik.

Bagaimanapun, Kelantan menutup kempen Liga Super sebagai naib johan, namun prestasi Akmal ketika itu tidaklah boleh dikatakan ‘hebat’.

Bagaimanapun, berbeza apabila bermulanya saingan Piala Malaysia, Akmal mula menunjukkan taringnya. Mulut pengkritik dikunci rapat melalui persembahannya di atas padang.

Enam gol yang dijaringkan setakat ini menjadikan pemain berusia 29 tahun ini pujaan peminat, malah status sebagai penjaring terbanyak yang dipegang setakat ini membuatkan tumpuan terarah kepada Kelantan untuk dinobatkan sebagai juara pada edisi ke-84 saingan itu.

Bermula dengan jaringan ketika aksi menentang PKNS Kelana Jaya 17 September lalu, Akmal tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mencatatkan nama selaku penjaring utama The Red Warrios.

Terbaru, pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, Akmal terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan apabila jaringannya pada minit ke-24 dan lambungan cantiknya kepada Mohd. Badri Radhi di minit ke-79 mengakibatkan Gergasi Merah tumbang dek amukan Sang Kijang.

Akmal ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini berkata, kemenangan ke atas juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor adalah hadiah berharga buat seluruh pemain, pengurusan dan peminat setia The Red Warriors.

Menurutnya, kejayaan tersebut akan terus dijadikan sebagai pembakar semangat buatnya dalam usaha membantu Kelantan layak ke perlawanan akan akhir dan muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama.

“Untuk perlawanan seterusnya saya akan terus memberikan tumpuan sepenuhnya kerana saya mula mendapat rentak yang dicari-cari sebelum ini.

“Di awal musim lalu, saya akui, saya masih lagi tercari-cari rentak tersebut, namun hasil kerjasama dan persefahaman baik dalam pasukan akhirnya saya mendapat semula sentuhan tersebut,” katanya.

Tambahnya, inilah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan sesuatu kepada pasukan.

“Ini adalah usaha saya untuk membina kekuatan diri. Bagi saya kritikan peminat kepada saya sebelum ini, saya anggap ia sebagai sesuatu yang positif," katanya.

Sunday, October 17, 2010

Akmal mahu buktikan (Berita Harian)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2010/10/17

pix_gal0
'Saya masih berupaya menjadi penyerang terbaik'

WIRA Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menjaringkan satu gol dan mencipta peluang untuk gol ketiga ketika pasukan itu menang 3-0 ke atas Selangor di Kota Bharu kelmarin, bertekad mahu membuktikan dia masih mampu menjadi penyerang berbisa.

Pernah ditolak negeri kelahirannya, Kedah, untuk mewakili pasukan itu, Akmal menanam impian untuk sekali lagi menjadi wira Kelantan sekiranya bertemu Kedah pada separuh akhir, sekali gus menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan permainannya sudah merosot.

“Saya pernah terfikir untuk pulang mewakili Kedah, tetapi mereka tidak menerima saya,” kata bekas penyerang kebangsaan itu. “Jadi kali ini saya mahu buktikan yang saya masih berupaya menjadi penyerang yang baik.”

Akmal yang mula bersama Kelantan musim ini berharap dapat mengukir sejarah bersama Red Warriors untuk sama-sama menjulang Piala Malaysia buat kali pertama. “Saya seperti juga Kelantan, belum pernah menjuarai Piala Malaysia,” katanya.

“Saya harap tahun ini dapat mencipta sejarah bersama Kelantan untuk merangkul Piala Malaysia buat kali pertama. Semangat saya juga berkobar-kobar melihat keazaman pemain-pemain Kelantan memburu kejuaraan kali ini.”

Pada perlawanan di Stadium Sultan Mohd ke-IV kelmarin, tuan rumah mendapat suntikan gol awal menerusi Mod Nor Farhan Muhammad (minit ke-14) sebelum Akmal menanduk masuk gol kedua (m25) dan membuat larian kencang di kiri untuk mengumpan gol ketiga kepada Mohd Bahdri Razi (m77).

Tuesday, February 23, 2010

Gambar Akmal Rizal Rakli


Akmal Rizal Rakli

Antara aksi menarik Akmal Rizal bersama pasukan Kelantan







Wednesday, November 18, 2009

Syed Adney, Akmal perkuat skuad Kelantan

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


ANNUAR menunjukkan senarai baru pemain bola sepak Kelantan untuk musim 2010 di pejabat Kafa, semalam.

KEKECEWAAN menjuarai Piala Malaysia sekadar menguatkan lagi azam Kelantan untuk tampil lebih perkasa musim depan, apabila menamakan penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussin dan Akmal Rizal Rakhli dalam senarai 25 pemainnya untuk mengharungi saingan Liga Super 2010.

Kehadiran dua pemain dari UPB-MyTeam dan Kuala Muda (KM) Naza itu juga menyaksikan penjaga gol kontroversi, Halim Napi dan penyerang, Khalid Jamlus diketepikan bersama empat lagi pemain skuad musim ini, manakala lima lagi pemain dibawa masuk.

Turut bergelar The Red Warriors kini ialah dua lagi pemain MyTeam - Nor Shahrul Idlan Talaha (penyerang) dan Shakir Shaari (tengah) - bekas pertahanan KM Naza, Azizi Mat Rose; bekas kapten Perak, S Subramaniam (pertahanan) dan penyerang Pulau Pinang, S Chanturu.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) juga sedang dalam rundingan mendapatkan khidmat pertahanan kebangsaan yang kini beraksi bersama KL Plus, Nor Hafiz Zamani Misbah, sebelum menumpukan perhatian menghadapi musim baru yang bermula Januari depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, ketika mengumumkan senarai pemain terbabit, berkata semua pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan dan akan diperkenalkan kepada peminat pada majlis di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Sabtu ini.

"Sebahagian besar pemain musim ini termasuk kapten, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azlan Zainal dikekalkan selepas pengurusan berpuas hati dengan prestasi mereka terutama kejayaan memasuki final Piala FA dan Piala Malaysia.

"Kami berharap kehadiran tujuh pemain yang masing-masing mempunyai kelebihan dan pengalaman tersendiri itu dapat mengatasi kelemahan ketara Kelantan musim ini terutama di posisi penjaga gol, pertahanan dan tengah," katanya.

Annuar berkata, Kafa sudah mengemukakan tawaran kepada Halim untuk mengisi jawatan penolong jurulatih kepada penjaga gol kerana pengalaman luasnya dalam liga tempatan dan Kafa kini masih menunggu jawapan daripada pemain berusia 38 tahun itu.

"Khalid pula diketepikan kerana pada musim depan kerana kami mahu mengamalkan corak permainan pantas yang menuntut setiap pemain memiliki tenaga, daya tahan dan stamina dan atas sebab itu kami membawa masuk pemain baru yang lebih pantas," katanya.

Beliau turut mengumumkan B Sathianathan terus diberikan kepercayaan memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih bersama pembantunya, Hashim Mustapha, Sidek Shamsuddin dan Ismail Bakar.


--- BERITA HARIAN

Tuesday, November 17, 2009

Kelantan usaha kumpul yang terbaik

KOTA BHARU - Shakir Shaari, pemain muda anak Kelantan yang beraksi dengan UPB MyTeam adalah antara beberapa nama yang dikatakan akan kembali ke negeri ini untuk menyarung jersi Kijang dalam saingan musim depan.

Ia dalam usaha persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyiapkan pasukan terbaik untuk memberi cabaran sebenar bagi memenuhi harapan penyokong yang begitu tinggi.

Dia bersama dengan sekurang-kurangnya empat lagi pemain yang akan diserapkan dalam senarai baru skuad Kijang itu bagi meneruskan gelombang kebangkitan Kelantan ke puncak arena bola sepak tanah air.

Pemain yang dilihat mampu mencipta nama dalam arena bola sepak tanah air itu dikatakan bagi mengerakkan percaturan barisan tengah yang agak tempang dan beberapa nama lagi bagi mempertajamkan barisan serangan dan mengukuhkan benteng.

Shakir memiliki kelebihan melalui hantaran tepat selain mampu memberi kesan di bahagian tengah dengan teknik pengawalan bola yang dikuasainya.

Difahamkan penyerang kebangsaan yang juga bekas pemain UPB-My Team, Nurshahrul Idlan Talaha dan penyerang muda Pulau Pinang, S. Chanturu bakal menjadi jentera penggempur terbaru.

Mereka yang memiliki kelebihan melalui larian kencang akan digandingkan dengan Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad yang sudah mengesahkan kekal bersama skuad Kelantan.

Penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussien juga turut dikaitkan sebagai antara pemain baru yang akan menyarung jersi Kelantan selepas pasukan lamanya UPB MyTeam menarik diri dari Liga Malaysia musim depan.

Kelantan dikhabarkan gagal untuk mendapatkan khidmat pertahanan Felda United, Nazrulerwan Makmor yang mewakili skuad Kijang sebagai pemain berstatus pinjaman pada aksi Piala Malaysia dan Norhafiz Zamani (Kl-Plus) kerana gagal mendapat pelepasan majikan masing-masing.

Bagaimanapun, Kafa dikatakan mendapatkan khidmat ketua pasukan Perak, S. Subramaniam yang mampu menampung kekurangan di bahagian pertahanan tengah dan dia memiliki kualiti yang baik untuk beraksi di bahagian kiri dan kanan benteng Kelantan.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan yang beraksi bersama Kuala Muda NAZA (KM NAZA), Akmal Rizal Rakhli dan pertahanan Perlis, Azizi Che Ros serta pemain tengah Selangor, Hardi Jaafar turut disebut-sebut untuk membarisi skuad Kijang.

Hardi dikatakan gagal mencapai kata sepakat dengan pihak pengurusan pasukan manakala kedudukan dua lagi pemain itu dikatakan masih menjadi tanda tanya.

Walau apa pun, senarai 23 pemain skuad Kelantan bagi musim baru dijangka akan diumumkan oleh Kafa hari ini dan akan diperkenalkan kepada umum pada 21 November ini

--- UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...