Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Manchester United FC. Show all posts
Showing posts with label Manchester United FC. Show all posts

Saturday, June 11, 2011

Young milik United


YOUNG berhijrah dari Villa dengan harga perpindahan RM98.5 juta.


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson berjaya mendapatkan khidmat Ashley Young dengan harga perpindahan £20 juta (RM98.5 juta) semalam.

Pembelian Young dari Aston Villa menyaksikan jumlah perbelan- jaan United pada musim perpindahan ini mencecah £55 juta (RM271 juta).

Kehadiran pemain berstatus bintang itu melengkapkan pembelian ketiga oleh Ferguson.

Sebelum ini, Liverpool telah berbelanja £20 juta (RM98.5 juta) apabila membeli perancang Sunderland, Jordan Henderson, manakala pengurus Arsenal, Arsene Wenger hanya mengeluarkan £1 juta (RM4.9 juta) ke atas pertahanan Charlton Athletic, Carl Jenkinson.

Lebih mengejutkan, kelab yang sebelum ini terkenal dengan pembelian pemain secara besar-besaran, Chelsea dan Manchester City masih belum me- ngeluarkan belanja selepas tamat saingan musim ini.

Young, 25, melepasi ujian perubatan di padang latihan United di Carrington semalam dan menandatangani kontrak selama empat tahun.

Dia kini menyertai Phil Jones seba- gai pemain baharu di Old Trafford se- lepas berpindah dari Blackburn Rovers dengan harga £16.5 juta (RM81.3 juta), Rabu lalu.

United juga sebelum itu telah membeli penjaga gol Sepanyol, David De Gea dari Atletico Madrid dengan harga £18.5 juta (RM91.2 juta).

Ferguson merampas Jones dari tangan pencabarnya, Liverpool, manakala pengurus The Reds, Kenny Dalglish turut dikatakan berminat ke atas Young.

Young boleh beraksi sebagai pemain sayap atau penyerang kedua dan dia merupakan pemain yang mampu memberi sumbangan besar kepada United di bahagian serangan.

Pemain ini mula menarik perhatian ketika bermain dengan kelab Watford sebelum dibeli oleh Villa dengan £8 juta (RM39.4 juta) pada Januari 2007.

Dia membuat 193 penampilan dengan menjaringkan 39 gol, namun statistik mencipta peluang jaringan sebanyak 54 kali telah membuatkan Young sebagai aset yang bernilai.

Pembeliannya juga mula mencetuskan persoalan mengenai masa depan Nani di Old Trafford.

Baru-baru ini, Nani mengesahkan dia bersedia mengubah haluan dengan menyertai kelab lain. - Agensi

----- Kosmo Online

Monday, May 30, 2011

Hajat Van der Sar punah

Sumber: Harian Metro Online

LONDON: Edwin van der Sar mengakui Barcelona menjejaskan penampilan terakhirnya sebagai penjaga gol Manchester United apabila tewas 1-3 pada final Liga Juara-Juara.

Van der Sar mengumumkan awal musim ini dia akan bersara pada hujung musim dan dia terpaksa menamatkan karier dengan episod duka apabila Barca merobek gawang United di Stadium Wembley.

Kenangan terakhir pemain berusia 40 tahun dari Belanda itu pasti pahit selepas ditewaskan tiga kali melalui sentuhan penyudah yang sempurna menerusi Pedro Rodriguez, Lionel Messi dan David Villa.

“Saya beraksi pada satu perlawanan namun terlalu banyak yang difikirkan, adalah tidak bagus untuk tewas pada aksi ini. Mereka mempunyai peluang yang lebih baik dan kami melakukan satu atau dua kesilapan yang membolehkan mereka menghukum anda,” kata Van der Sar.

“Ia mengecewakan namun itu adalah kehidupan. Adalah lebih baik jika mencipta kemenangan.

“Saya tidak emosional. Ini adalah masa yang sesuai untuk saya (bersara).

Van der Sar berasakan gol Messi pada minit kesembilan separuh masa kedua adalah titik perubahan yang menyebabkan United terpaksa mengejar lawan menentang lawan yang lebih hebat.

“Ia mengambil masa 20 minit untuk mereka menguasai permainan dan kemudian selepas gol penyamaan serta menuju separuh masa pertama dengan kedudukan terikat anda berharap peluang masih terbuka namun kami tidak bermula dengan baik dan melepaskan satu lagi gol,” kata Van der Sar.

“Ia memihak kepada mereka. Anda boleh menghalang mereka, mereka pernah tewas musim ini namun mereka mempunyai pemain yang hebat dan ia tidak berlaku malam ini.” Van der Sar dikritik kerana posisi dan tindak balasnya apabila lambat melayangkan badannya bagi menghalang percubaan jauh Messi namun pemain veteran itu menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Saya fikir sudah berada dalam posisi betul,” katanya. “Dia cenderung menyepak ke arah penjuru gol namun tidak melakukannya.” Selepas karier hebat bersama Ajax, Juventus, Fulham dan United, Van der Sar bercadang untuk menjauhkan diri daripada permainan itu untuk seketika. - AFP

Tuesday, March 8, 2011

Nani alami ‘luka dalam’ di kaki (Berita Harian Online)

2011/03/08

LIVERPOOL: Pemain sayap Manchester United, Nani mengalami satu ‘luka dalam’ di kakinya ketika kekalahan 3-1 pasukannya kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield kelmarin.

Seorang jurucakap kelab itu berkata, kecederaan pemain Portugal itu akan dinilai pada semalam.
Nani, pemain United paling kreatif musim ini terkena terjahan bahaya oleh Jamie Carragher di bahagian betis tidak lama sebelum separuh masa dan dikeluarkan menggunakan pengusung.

Carragher dilayangkan kad kuning oleh pengadil Phil Dowd. - Reuters.

Monday, March 7, 2011

Liverpool malukan United (Kosmo Online)


KUYT (tengah) meledakkan hatrik untuk membantu Liverpool menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam tadi.


STATUS Manchester United selaku pendahulu Liga Perdana England semakin tercalar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Setelah tewas 1-2 kepada Chelsea pada awal pagi Rabu lalu, skuad kendalian Alex Ferguson itu menerima malu lebih besar apabila tunduk 1-3 kepada Liverpool di Anfield malam tadi.

Hatrik daripada penyerang Belanda, Dirk Kuyt sudah cukup untuk membuatkan Liverpool terus melonjak ke tangga keenam liga.

United kini kekal dengan kelebihan tiga mata di persada liga berbanding pasukan di tangga kedua, Arsenal tetapi skuad The Gunners kurang satu perlawanan.

Kuyt membuka tirai jaringan pada minit ke-34 setelah mudah menolak masuk bola hasil gerakan solo Luis Suarez yang berjaya memperdayakan beberapa pemain pertahanan United.

Lima minit kemudian, Kuyt sekali lagi mudah menolak masuk gol kedua Liverpool berpunca daripada kesilapan Nani.

Sejurus kemudian, Nani terpaksa diusung keluar setelah diterjah keras oleh Jamie Carragher.

Sisa perjuangan United berakhir selepas Kuyt melengkapkan hatriknya pada minit ke-65 setelah penjaga gol United, Edwin van der Sar gagal menangkap kemas sepakan percuma Suarez.

Javier Hernandez yang masuk menggantikan Nani bagaimanapun berjaya menjaringkan gol sagu hati buat United pada masa kecederaan. – Agensi

Thursday, March 3, 2011

United kalah angkara pengadil (Kosmo Online)


LAMPARD (kiri) meledakkan gol kemenangan Chelsea ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Frank Lampard muncul wira Chelsea apabila meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Begitupun, gol yang dijaringkan pemain tengah skuad The Blues itu mengundang kontroversi apabila ia diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.

Pengadil perlawanan, Martin Atkinson menghadiahkan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan United, Chris Smalling menjatuhkan Yuri Zhirkov dalam kotak penalti.

Terdahulu, skuad The Red Devils berjaya membuka jaringan menerusi penyerang England, Wayne Rooney pada minit ke-29 sebelum tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz menyamakan kedudukan (ke-54).

Kemenangan yang dilakar Chelsea itu turut membuka pintu buat kelab-kelab teratas liga bersaing bagi memburu trofi kejuaraan musim ini.

Begitupun, pengurus United, Alex Ferguson tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dengan beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat.

Ia termasuk keputusan Atkinson menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea dan tidak melayangkan kad merah kepada Luiz yang melakukan terjahan keras.

"Kami (United) gagal bertahan dengan baik ketika melepaskan gol pertama buat Chelsea. Ia memang tidak sepatutnya berlaku tetapi sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada mereka memang satu keputusan yang tidak boleh diterima.

"Sudah tiga tahun berturut-turut keputusan pengadil mengubah situasi perlawanan di sini (Stamford Bridge). Ia memang luar biasa.

"Luiz telah melakukan kekasaran ke atas (Javier) Hernandez dan tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan ke atas pemain itu. Bukan itu sahaja, dia juga melakukan perkara yang sama ke atas Rooney.

"Sekiranya kamu bercakap mengenai apa yang mengubah situasi perlawanan pada babak kedua, ia adalah disebabkan keputusan pengadil yang sepatutnya tidak berlaku," jelas Ferguson.

Sementara itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui pertemuan menentang United itu bukan satu tugas yang mudah buat anak-anak buahnya.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kami (Chelsea) apabila menentang sebuah kelab hebat seperti United yang mempamerkan kualiti begitu tinggi dalam corak permainan mereka.

"Kami sukar untuk mendekati pemain-pemain mereka tetapi pada babak kedua perlawanan, kami beraksi dengan lebih baik kerana kami memberi tekanan kepada mereka dan beraksi dengan lebih agresif," kata Ancelotti. - AFP

Lampard cetus sinar Chelsea (Berita Harian Online)

2011/03/03

LAMPARD (kanan) meraikan gol kemenangan Chelsea menentang United awal pagi semalam.
LAMPARD (kanan) meraikan gol kemenangan Chelsea menentang United awal pagi semalam.

Penalti kontroversi minit terakhir beri kekalahan kedua buat United

LONDON: Frank Lampard meniupkan kesegaran dalam saingan pemburuan Liga Perdana Inggeris apabila sepakan penalti kontroversi lewat babak permainan oleh perancang Chelsea itu membantu pasukannya menewaskan pendahulu, Manchester United 2-1, kelmarin.

Jaringan kemenangan dramatik Lampard itu hadir selepas pengadil, Martin Atkinson menghadiahkan sepakan itu selepas pertahanan United, Chris Smalling menjatuhkan pemain gantian Chelsea, Yuri Zhirkov ketika baki saingan 10 minit di Stamford Bridge.

Alex Ferguson jelas marah dengan keputusan penalti Atkinson dan kegagalan pegawai perlawanan itu memerintahkan Luiz keluar padang selepas beberapa siri kekasaran yang dilakukannya.

"Kami terlalu bergantung kepada jaringan pertama. Ia adalah kekalahan yang perit tetapi sepakan penalti itu terlalu lembut," kata pengurus The Red Devils itu.

Kekalahan itu adalah tamparan buat United yang tewas buat kali kedua musim ini walaupun mendahului menerusi jaringan babak pertama Wayne Rooney.

Pertahanan Brazil, David Luiz menyamakan kedudukan yang juga gol pertama bersama Chelsea selepas separuh masa dan Lampard memastikan tiga mata sebelum kapten Nemanja Vidic di perintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua sebelum tamat permainan.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menambah: "Ini satu perlawanan yang amat sukar bagi kami menentang lawan yang cukup menakjubkan.

"Kami menang kerana berjaya memberi tekanan kepada lawan pada separuh masa kedua dan usaha ini memberi hasil. Ini satu kemenangan besar bagi pasukan." - AFP

Tuesday, March 1, 2011

Rooney ada misi peribadi (Kosmo Online)


ROONEY bertekad untuk merobek gawang Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.


LONDON - Wayne Rooney ada misi peribadi yang mahu dilunaskan ketika Manchester United menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana England awal pagi esok.

Selepas beraksi hambar sepanjang musim ini, Rooney mahu menjadikan Stamford Bridge sebagai medan untuk kembali memulihkan reputasinya.

Musim ini, Rooney tampak bergelut untuk mendapatkan semula sentuhan berbisa apabila dia diheret dengan isu peribadi, masalah kecederaan dan tarik tali berhubung kontrak barunya bersama United.

Biarpun sejak beberapa minggu ini Rooney kembali menampakkan semula sentuhannya, dia tetap dibayangi dengan berita-berita negatif.

Rooney yang menyumbang satu gol ketika United membe- lasah Wigan Athletic 4-0 pada Sabtu lalu, dikritik hebat pengu- rus Wigan, James McCarthy yang mendakwa penyerang England itu sepatutnya dilayangkan kad merah kerana menyiku James McCarthy.

Namun menurut Rooney, kontroversi terbaru itu tidak akan menjejaskan persembahannya bagi menghadapi dua perlawanan penting menentang Chelsea awal pagi esok dan Liverpool pada Ahad ini.

"Memang ini musim sukar saya dan mungkin juga musim terburuk saya tetapi apa yang penting, saya kini berasa kembali cergas dan segar.

"Saya mahu memulakan kembali rentak bermula seka- rang dan mahu memberikan impak besar kepada pasukan dalam pertemuan paling penting menentang Chelsea ini," kata Rooney.

Andai United berjaya menewaskan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok, mereka mampu melebarkan jurang kepada tujuh mata berbanding pasukan di tangga kedua, Arsenal.

Namun kali terakhir anak-anak buah Alex Ferguson itu mencatat kemenangan di Stamford Bridge ialah pada April 2002.

"Rekod kami di Stamford Bridge memang buruk. Sepanjang karier, saya belum pernah menikmati kemenangan di sana.

"Tetapi ia bukanlah perkara yang bermain dalam fikiran saya. Malah ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk mencipta kemenangan pada perlawanan ini.

"Ia jelas suatu perlawanan yang cukup penting. Chelsea pasti mahukan kemenangan lebih daripada kami. Diharap mereka akan lebih merasai tekannya," jelas Rooney. - AFP

Rooney ghairah mahu ‘roboh’ Stamford Bridge (Berita Harian Online)

2011/03/01

LONDON: Manchester United belum lagi menikmati kemenangan di Stamford Bridge pada 13 perlawanan lalu sejak 2002 dan Wayne Rooney ghairah mahu memadamkan rekod itu apabila menentang Chelsea, hari ini.

Tidak dinafikan penyerang prolifik skuad England itu yang akur meniti musim terburuk dalam kerjayanya kini tampak ghairah mahu membantu The Red Devils merakamkan kemenangan penting ke atas juara bertahan yang kian hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Ia adalah musim paling sukar buat saya - mungkin yang paling teruk yang pernah saya lalui,” katanya kepada News of the World.

“Minggu ketika saya memohon perpindahan adalah saat yang tidak mahu saya lalui lagi. Kemudian saya mengalami kecederaan dan terlepas aksi beberapa perlawanan, jadi saya tidak merasakan seperti saya mengambil bahagian.

“Perkara penting adalah saya kini berasa segar. Saya betul-betul mahu bermula dari sekarang dan mencetuskan impak ke atas perlawanan penting ini pada musim ini.”

Apapun, Rooney berazam untuk tidak membiarkan kontroversi itu menjejaskan persembahannya ketika United memasuki minggu yang akan menentukan musim mereka, yang menampilkan kunjungan ke Stamford Bridge, hari ini sebelum ke Liverpool. - Agensi

Monday, February 21, 2011

Brown sekat impian Crawley (Harian Metro Online)

LONDON: Crawley Town hampir melakar kejayaan paling hebat dalam saingan Piala FA sebelum tumpas 0-1 di tangan Manchester United pada pusingan kelima di Old Trafford, semalam.

Walaupun jaringan menerusi tandukan Wes Brown di minit ke-28 menamatkan impian mereka untuk muncul pasukan bukan Liga pertama dalam tempoh 97 tahun mara ke suku akhir, Crawley tetap boleh berbangga dengan aksi yang ditunjukkan.

Crawley, yang dikenali kerana terletak berhampiran Gatwick Airport, hampir menyamakan kedudukan di akhir permainan apabila tandukan lambung Richard Brodie melepasi jangkauan penjaga gol United, Anders Lindegaard namun terkena palang gol.

Mereka sepatutnya berhak meraih gol itu jika mengambil kira semangat juang yang ditunjukkan pasukan dari Sussex itu yang turun menentang pasukan pendahulu Liga Perdana serta juara Piala FA 11 kali di depan 75,000 penyokong di gelanggang United.

Sembilan ribu penyokong adalah dari Crawley yang mempunyai purata 1,800 penonton setiap perlawanan di laman sendiri. “Keputusan ini tidak penting kerana ini adalah hari mereka. Dengan usaha dan komitmen dipamer, mereka berhak mendapat keputusan seri khususnya pada babak kedua.

“Kadang kala anda mendapat laluan mudah dalam saingan ini dan bergelut melepasi pusingan pertama. Kami sudah merasai pengalaman itu sebelum ini dan melaluinya sekali lagi hari ini (semalam),” kata pengurus United, Alex Ferguson. - Reuters

Ferguson dakwa anak buah tak peka (Harian Metro Online)

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mendakwa pemain Manchester United tidak memahami betapa pentingnya memenangi Piala FA selepas pasukan juara 11 kali itu bergelut untuk mara ke pusingan keenam mengatasi lawannya, semalam.

Pendahulu Liga Perdana itu terpaksa berhempas pulas menewaskan pasukan dari liga kelima bola sepak Inggeris, Crawley Town 1-0 di Old Trafford untuk menempah tiket ke suku akhir semalam.

Kemenangan United itu terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas Anderson, Rafael da Silva dan Fabio da Silva mengalami kecederaan dan mungkin tidak dapat beraksi bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Marseille di gelanggang lawan.

Ferguson memberi mesej jelas mengenai aksi hambar anak buahnya.

Walaupun pemain utama seperti Edwin van der Sar, Patrice Evra, Nemanja Vidic dan Dimitar Berbatov direhatkan namun pemain seperti Bebe, Michael Carrick dan Gabriel Obertan gagal menyerlah.

“Ada pemain yang diberi peluang beraksi tidak menggunakannya sebaik mungkin. “Pada babak kedua kami gagal bersaing. Ia mengecewakan. Kami mungkin mempunyai pemain yang tidak memahami pentingnya Piala FA. Ini pengajaran terbaik buat mereka,” kata Ferguson.

Anderson mengalami kecederaan hamstring manakala Rafael dan Fabio da Silva turut berdepan masalah kecederaan.

Ferguson berkata, beliau akan menilai tahap kecergasan pemain terbabit sebelum membuat keputusan untuk menyenaraikan skuad ke Perancis pertengahan minggu ini. - AFP

Wednesday, February 9, 2011

City bakal jadi mangsa - Fletcher (Kosmo Online)

LONDON - Darren Fletcher menegaskan, Manchester United akan mempamer kebangkitan semula dengan menjadikan Manchester City sebagai mangsa mereka Sabtu ini.

Rekod tanpa kalah The Red Devils dalam 29 perlawanan akhirnya musnah selepas tumpas 1-2 kepada Wolves minggu lepas.

Begitupun, perancang United, Fletcher percaya pertemuan dengan jiran setempat, City di Old Trafford hujung minggu ini adalah masa yang sesuai untuk menebus semula maruah mereka.

"Kami kalah kepada Wolves dan kami perlu bangkit semula mencatat kemenangan serta menunjukkan karakter sebenar," kata Fletcher.

"Dan tiada lagi masa yang paling sesuai untuk melakukannya selain pertemuan dengan jiran setempat, City Sabtu ini.

"Ia satu perlawanan yang penting dan semua pemain sudah bersedia untuk menghadapinya," jelasnya lagi.

Fletcher, 27, menambah bahawa rekod 30 perlawanan tanpa kalah mungkin lebih manis seandainya menang ke atas Wolves, namun sasaran utama United ialah merangkul kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-19, sekali gus mengatasi pencapaian Liverpool.

"Perkara utama ialah memenangi saingan musim ini dan kekalahan kepada Wolves tidak akan menjejaskan misi kami.

"Kami mungkin boleh mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini, tetapi tiada guna kalau kami gagal menjuarai gelaran liga," katanya. - Agensi

Monday, February 7, 2011

Ferdinand rehat dua minggu (Metro Online)

LONDON: Pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand terpaksa berehat dua minggu akibat kecederaan betis ketika sesi memanas badan sebelum saingan yang menyaksikan pasukannya tewas 2-1 di tangan Wolverhampton Wanderers, kelmarin.

“Betisnya cedera ketika memanaskan badan dan dia tidak boleh bermain hingga dua minggu,” kata pengurus pasukan, Alex Ferguson selepas anak buahnya ditundukkan pasukan yang berada di kedudukan tercorot liga itu. - Reuters

Ferguson luah rasa kecewa (Kosmo Online)



REAKSI Rooney selepas United tewas 1-2 kepada Wolves awal pagi semalam.


WOLVERHAMPTON – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson (gambar) ternyata kecewa apabila skuad kendaliannya tewas mengejut di tangan Wolverhamton Wanderers awal pagi semalam.

Pada aksi Liga Perdana England yang berlangsung di Stadium Molineux itu, United pulang dengan tangan kosong apabila tewas 1-2.

Kekalahan tersebut sekali gus meng- akhiri rekod tanpa kalah skuad The Red Devils dalam saingan liga musim ini.

Sebelum ini, anak-anak buah Ferguson ternyata unggul dengan merekodkan 15 kemenangan dan sembilan kali seri.

“Kami memang sangat kecewa. Itu tidak boleh dinafikan lagi,” kata Fergu- son.

“Namun, pemain-pemain sudah boleh berbangga dengan pencapaian yang dilakar mereka selepas berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah untuk tempoh jangka masa yang panjang. Ia bukan mudah.

Sekalipun saingan liga akan berhenti seketika bagi memberi laluan terhadap perlawanan persahabatan antarabangsa pada pertengahan minggu ini, Ferguson tetap percaya anak-anak buahnya akan bangkit pada pertemuan menentang Manchester City di Old Trafford, Sabtu ini.

“Ia merupakan satu perlawanan yang terbaik buat para pemain saya untuk menebus semula kekecewaan yang dialami hari ini (awal pagi semalam).

“Malangnya, ada pemain- pemain akan pulang beraksi bersama skuad kebangsaan masing-masing untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan, sebaliknya kami perlu bekerja keras.

“Kami memiliki ramai pemain yang tidak pada perlawanan persahabatan itu dan sudah pasti mereka akan turun beraksi pada perte- muan menentang City nanti.

“Saya akan beri pengecualian terhadap pemain-pemain yang mempunyai tugas antarabangsa,” jelas Fergu- son.

Pada aksi semalam, pemain sayap Portugal, Nani meletakkan United di depan apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum George Elokobi menyamakan kedudukan buat Wolverhampton tujuh minit kemudian.

Nasib malang skuad The Red Devils hadir selepas Kevin Doyle meledak gol kemenangan Wolves pada minit ke-40.

Sebelum itu, Nani terlebih dahulu membuka tirai jaringan United seawal minit ketiga sebelum penyerang Wolves, George Elokobi menyamakan kedudukan pada minit ke-10.

Sekalipun tewas, anak-anak buah Ferguson masih kekal selaku pendahulu liga apabila mengumpul 54 mata, empat mata meninggalkan Arsenal yang menduduki tangga kedua. – AFP

Sunday, February 6, 2011

Berbatov ditawar kontrak baru (Kosmo Online)

LONDON - Dimitar Berbatov bakal ditawarkan kontrak baru selama tiga tahun oleh Manchester United.

Penyerang berusia 30 tahun itu mempunyai baki setahun lagi dalam kontraknya yang akan berakhir hujung musim ini.

Begitupun, United mahu menawarkan kontrak baru yang bakal menyaksikan gajinya meningkat daripada £100,000 (RM490,297) kepada sekitar £120,000 (RM588,356) seminggu.

Kontrak tersebut akan ditawarkan sebelum hujung musim ini, namun Berbatov yang meledak 19 gol dalam Liga Perdana England musim ini mahu The Red Devils menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

Situasi itu telah mengubah nasib Berbatov kerana sebelum ini, United dikatakan bersedia melepaskannya pada musim panas nanti.

Penyerang antarabangsa Bulgaria itu bergelut dengan prestasinya dalam dua musim pertama di Old Trafford sejak berpindah dari Tottenham Hotspur dengan harga £30.75 juta (RM151 juta) pada 2008.

Berbatov mula menampilkan prestasi terbaiknya musim ini ketika rakan gandingannya, Wayne Rooney pula bergelut dengan prestasi setelah hanya meledak empat gol sahaja setakat ini. - Agensi

Sunday, January 23, 2011

Wenger perli United (Harian Metro Online)


NASIB...United sekadar bernasib baik catat keputusan tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
NASIB...United sekadar bernasib baik catat keputusan tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

LONDON: Arsene Wenger (gambar) berkata Manchester United agak “bernasib baik hingga kini” untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris, namun beliau berasakan mereka tidak akan mula memikirkan untuk menyamai pencapaian mengagumkan Arsenal tujuh musim lalu hinggalah lima perlawanan terakhir musim.

Pengurus Arsenal itu, yang menganggap kejayaan pasukannya menjuarai liga tanpa mengalami sebarang kekalahan pada musim 2003-04 sebagai pencapaian terulungnya, berkata adalah mustahil untuk meramalkan United akan mengikut jejak langkah pasukannya itu kali ini.

Bagaimanapun apa yang beliau tidak pasti sama ada anak buah Alex Ferguson berpeluang untuk melakukannya kali ini, kerana pasukannya bersedia untuk meranapkan impian mereka.

Seorang atau dua pemain daripada skuad terhebat Wenger pernah berkata secara peribadi bahawa mereka benci jika United mampu mengekalkan rekod tanpa kalah kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan apa yang mereka capai selama ini.

Arsenal akan menanti kunjungan United di Stadium Emirates pada 30 April depan, ketika musim berbaki empat perlawanan untuk ditamatkan.

“Adakah anda bertanyakan saya, bolehkah mereka melakukannya?” kata Wenger.

“Pastinya, kerana mereka belum kalah lagi. Mereka agak bernasib baik hingga kini? Pastinya, tapi kita akan lihat. Saya tidak tahu lebih daripada anda. Anda benar-benar memikirkan untuk memenangi kejuaraan liga tapi dengan lima perlawanan untuk dilalui, anda mula memikirkan: ‘Oh, kami boleh menambah sesuatu terhadap kejuaraan ini. Itulah yang berlaku terhadap kami. Tapi anda tidak memikirkan mengenainya dengan berbaki 16 perlawanan lagi.” United masih memiliki 17 perlawanan untuk dimainkan dan rekod mereka selepas 21 perlawanan pertama sama dengan pencapaian Arsenal pada 2003-04; United seri sembilan kali manakala Arsenal tujuh. Lagipun, elemen tuah amat penting seperti yang diakui Wenger sendiri.

United sebelum ini bergelut beberapa kali di gelanggang lawan dan kemenangan 2-1 di West Bromwich Albion, apabila Peter Odemwingie gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 ketika kedudukan 1-1, mungkin mampu mengubah nasib mereka.

Arsenal hampir kalah pada September 2003 di Old Trafford tetapi penyerang United, Ruud van Nistelrooy terlepas sepakan penalti pada masa kecederaan ketika kedudukan 0-0.

“Di West Brom, sebagai contoh,” kata Wenger, apabila ditanya di mana beliau menganggap United amat bernasib baik musim ini. - Agensi

Saturday, January 22, 2011

Giggs sambung aksi semusim lagi (Berita Harian Online)

2011/01/22

pix_gal0

LONDON: Semalam, Ryan Giggs mengesahkan akan beraksi untuk Manchester United semusim lagi pada usia 37 tahun dan ia harus memberi tonik tambahan kepada Red Devils apabila menentang Birmingham, hari ini buat melebarkan lagi posisi pendahulu di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketua pegawai eksekutif, David Gill sudah pun mengesahkan keputusan kelab berkenaan memberi kontrak kepada penyerang Wales itu menyambung sumbangan buat musim ke-21 bersama gergasi Inggeris itu.

“Saya gembira masih dapat bermain. Saya juga gembira dengan pujian daripada pengurus (Alex Ferguson). Tapi ini semua untuk pasukan,” katanya, semalam. Sementara itu, pemain United sedar mereka perlu segera kembali kepada prestasi terbaik untuk memastikan kekal berada di puncak liga, Mei ini.

“Tentunya kami mahu bermain sebaik yang boleh kerana ia akan memberi peluang lebih baik untuk memenangi perlawanan,” kata pemain tengah United, Michael Carrick. “Kita tidak mahu bergelut setiap perlawanan dan bergantung kepada kebolehan individu semata-mata untuk menang. Kita mahu bermain dengan baik secara konsisten. Tapi sasarannya untuk berakhir di tangga teratas - itulah yang kita mahukan.”- Agensi

Tuesday, January 18, 2011

United konsisten (Kosmo Online)


PENGADIL Mike Dean melayangkan kad kuning kepada Rafael ketika United menentang Spurs awal pagi semalam.


LONDON - Sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Manchester United masih mampu tampil dengan aksi penuh konsisten. Ia terbukti apabila skuad kendalian Alex Ferguson itu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam.

Keputusan itu sekali gus meyakinkan Ferguson bahawa anak-anak buahnya memiliki kekuatan mental yang tinggi bagi menjulang trofi kejuaraan liga musim ini.

Pada aksi yang berlangsung di White Hart Lane itu, skuad The Red Devils terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Rafael da Silva dilayangkan kad merah ekoran menerima kad kuning kedua pada minit ke-74.

Bagaimanapun, situasi tersebut sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan United yang kini merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga.

Walaupun berkongsi 45 mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua, United lebih layak berada di puncak liga berdasarkan jumlah jaringan gol.

Masih memiliki kelebihan dua perlawanan iaitu menentang Chelsea dan Blackpool, Ferguson percaya skuad kendaliannya mampu muncul selaku juara liga jika anak-anak buahnya terus tampil dengan aksi yang lebih konsisten.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, siapa yang bakal bergelar juara liga hanya akan diketahui pada penghujung saingan musim ini.

"Kesemua lima kelab teratas liga dilihat memiliki peluang yang sama rata untuk muncul selaku juara termasuk Spurs.

"Kami perlu mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan yang menjadi kelebihan buat kami iaitu menentang Chelsea pada 1 Mac depan dan Blackpool yang kini dilihat semakin konsisten," jelas Ferguson.

Dalam pada itu, Ferguson ternyata kurang senang dengan tindakan pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah kepada Rafael.

"Saya tidak mahu berbicara mengenai perkara ini kerana kamu sendiri boleh menilainya," kata Ferguson.

Pengurus Spurs, Harry Redknapp turut sependapat dengan Ferguson apabila dia menganggap Rafael menjadi mangsa keadaan dan tidak bernasib baik. - AFP

Man United harus kuat mental: Fergie (Berita Harian Online)

2011/01/18

PENYERANG United, Javier Hernandez (kanan) berebut bola dengan pertahanan Tottenham, William Gallas dalam saingan EPL di White Hart Lane, kelmarin.
PENYERANG United, Javier Hernandez (kanan) berebut bola dengan pertahanan Tottenham, William Gallas dalam saingan EPL di White Hart Lane, kelmarin.

LONDON: “Kejuaraan liga musim ini adalah soal kekuatan mental.” Itulah firasat diluahkan pengurus Manchester United, Alex Ferguson yang akur cabaran memburu mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-19, musim ini makin menjadi sukar.

Apapun, pengurus berbangsa Scotland itu yakin pasukannya dalam kedudukan baik merampas semula kejuaraan andai mereka mampu mengekalkan ketenangan ketika beraksi di bawah tekanan.

“Seperti yang saya katakan beberapa minggu lalu, musim ini adalah mengenai soal kemenangan dan kekuatan mental. Semua lima pasukan mempunyai peluang dan Tottenham belum terkeluar daripada saingan,” kata Ferguson.

Kelmarin, United sekadar seri 0-0 ketika menentang Tottenham Hotspur di White Hart Lane tapi masih dianggap pilihan menjuarai gelaran.

Barisan Ferguson kembali ke persada liga atas perbezaan jaringan mengatasi Manchester City, selepas memanjangkan rekod tanpa kalah kepada 21 perlawanan walaupun Rafael da Silva mendapat kad merah yang mencipta rasa marah pengurus ke atas pengadil, Mike Dean.

Hukuman itu kerana dia menjatuhkan pemain bek kiri, Benoit Assou-Ekotto pada minit ke-75. - Agensi

Thursday, January 13, 2011

Dzeko perli United (Harian Metro Online)

Edin Dzeko

Penyerang Manchester City, Edin Dzeko tidak menunggu lama untuk mencetuskan permusuhan dengan seteru utama kelab barunya Manchester United.

Pemain antarabangsa Bosnia itu mengambil kesempatan pada majlis rasmi memperkenalkannya sebagai pemain baru City apabila memperlekehkan United dengan mengeluarkan kenyataan kelabnya mempunyai lebih ramai peminat di England dan seluruh dunia.

“Saya mendengar kebanyakan peminat di Manchester menyokong Manchester City,” kata Dzeko sambil ketawa pada sidang media.

Kenyataan itu pastinya tidak disenangi United yang kini mendahului pasukan di tangga kedua City dengan dua mata untuk menghuni tangga teratas Liga Perdana selepas separuh musim.

Dzeko yang melengkapkan perpindahan dari kelab Jerman Wolfsburg minggu lalu dengan yuran perpindahan AS$42 juta (RM128.5 juta) berkata, dia amat teruja dengan cita-cita besar kelab berbelanja besar itu.

“Saya melihat sesuatu yang berbeza di City. Ia kelab besar dan saya pemain yang mempunyai cita-cita tinggi. Saya fikir kami boleh melakar kejayaan bersama-sama.

“Ini satu projek yang dibimbing jurulatih bagus. Saya gembira di Wolfsburg namun mahu berubah, mencuba sesuatu yang baru dan lebih baik, itu sebabnya saya berada di sini,” katanya.

Dzeko menandatangani kontrak empat setengah tahun dengan City dan akan membuat penampilan pertama dalam perlawanan Liga Perdana menentang Wolverhampton, Sabtu ini.

“Bagi saya, dia salah seorang penyerang terbaik di Eropah,” kata pengurus City, Roberto Mancini.

Pengendali dari Itali itu berkata, pemain pertahanan kiri City, Wayne Bridge akan melakukan ujian perubatan di West Ham yang kini berada di tangga tercorot Liga Perdana dan berkemungkinan akan dipinjamkan ke Upton Park.

Pemain pertahanan England itu gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama City berikutan kehadiran pemain antarabangsa Serbia, Aleksandr Kolarov. - AP

Tuesday, January 11, 2011

Pertemuan nostalgia United, Southampton (Metro)

LONDON: Manchester United akan bertandang ke Southampton pada pusingan keempat Piala FA selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas musuh tradisi Liverpool, kelmarin.

Undian itu dilakukan beberapa minit selepas aksi di Old Trafford berakhir dan perlawanan dengan Southampton yang menewaskan Blackpool 2-0 Sabtu lalu akan sekali lagi bertemu wakil dari Liga Perdana, sekali gus mengimbau nostalgia buat kelab dari pantai selatan itu.


Southampton yang ketika itu beraksi dalam Divisyen Dua mencipta kejutan terbesar di Wembley dengan mengalahkan Manchester United 1-0 pada final Piala FA 1976.

Sementara itu, pertembungan antara pasukan Liga Perdana pula membabitkan perlawanan Fulham dengan Tottenham, Bolton diundi bersama Wigan dan Aston Villa berdepan Blackburn.


Chelsea akan bertandang ke Everton manakala Wolves akan menentang Stoke jika kelab itu masing-masing memenangi perlawanan ulangan dengan Doncaster dan Cardiff.


Pasukan divisyen ketiga, Stevenage yang mencipta kejutan pada pusingan ketiga menewaskan Newcastle 3-1 Sabtu lalu, menanti kunjungan pasukan Liga Kejuaraan Reading manakala Birmingham akan beraksi menentang Coventry dalam pertarungan setempat Midlands. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...