Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011. Show all posts
Showing posts with label Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011. Show all posts

Thursday, December 1, 2011

Norshahrul tak ikut jejak Safee

TERBAIK...Annuar (kanan) menyampaikan Anugerah Supermokh kepada Norshahrul semalam.

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

PENYERANG Terbaik 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak berminat mengikut jejak langkah rakan baiknya, Mohd Safee Sali berhijrah ke Indonesia meskipun mengakui menerima banyak tawaran lumayan beraksi bersama kelab Liga Super negara jiran itu.

Dia yang turut menerima anugerah Supermokh selaku Pemain Paling Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 semalam menyatakan tidak tertarik untuk beraksi di Indonesia, sebaliknya lebih berminat untuk mewakili kelab di Vietnam atau Thailand.


“Saya mendapat banyak tawaran daripada kelab Indonesia sejak Safee mula berpindah ke negara itu. Tapi bagi saya sendiri, saya sebenarnya lebih berminat untuk beraksi di Vietnam atau Thailand.

“Buat apa saya mahu pergi ke Indonesia sebab kita lebih baik berbanding mereka. Sukan Sea pun kita boleh mengalahkan mereka. Kalau hanya sebab sokongan penyokong kelab di sana bagus, penyokong di Kelantan juga bagus,” katanya yang ditemui pemberita semalam.


Norshahrul, 25, yang turut senang disapa dengan panggilan Mat Yo mengakui dirinya masih mahu memberikan komitmen bersama juara Liga Super, Kelantan selepas menandatangani kontrak baru selama dua tahun.


Dia yang meledak 19 gol musim lalu bagaimanapun terkejut dengan anugerah Supermokh yang diterimanya itu kerana menjangkakan rakan sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat turut berpeluang cerah.

“Saya sebenarnya terkejut kerana menerima anugerah Supermokh yang pertama kali diperkenalkan tahun ini kerana Apek (Khairul Fahmi) beraksi banyak perlawanan. Apapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu,” katanya yang turut meraih dua anugerah sama tahun lalu.


Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Norshahrul mahu memberi fokus untuk membantu Kelantan merebut trofi di peringkat domestik dan juga dalam kempen kejohanan Piala AFC.

Malah dia turut berazam membantu skuad kebangsaan mempertahankan Piala AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan serta muncul pemain paling bernilai kejohanan dwitahunan itu.


“Saya berharap agar Malaysia dapat mengekalkan kejuaraan (Piala AFF) dan sasaran peribadi saya adalah untuk merampas anugerah pemain terbaik kejohanan itu yang diraih pemain Indonesia, Firman Utina,” katanya.

--- Harian Metro

Anugerah gagal ubati kecewa Wan Zack

ANUGERAH Pemain Harapan Terbaik 2011 yang diterima Wan Zack Haikal Wan Noor belum cukup untuk mengubati kekecewaannya terhadap keputusan buruk skuad Olimpik negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik London 2012 minggu lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, kekalahan di tangan Bahrain 3-2, Ahad lalu seperti terus menghantui dirinya yang mengakui cukup sukar untuk diterima.


“Anugerah ini tidak dapat mengubati kekecewaan saya. Saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya sendiri. Saya tidak tahu kenapa saya tidak boleh beraksi dengan baik, mungkin kerana tertekan mahu menjaringkan gol,” katanya yang ditemui pemberita sewaktu majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Pemain kelahiran Pahang itu dinobatkan selaku Pemain Harapan Terbaik selepas mengetepikan dua lagi rakan sepasukan dalam Harimau Muda A, Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Irfan Fazail.


Wan Zack Haikal terlepas peluang menikmati kejayaan skuad bawah 23 tahun negara meraih pingat emas Sukan Sea Indonesia kerana diketepikan akibat kecederaan.


Bagaimanapun aksinya begitu menyerlah ketika beraksi bersama Harimau Muda A dalam kancah Liga Super serta berjaya menambat hati pengurusan kelab liga Slovakia, Vion Zlate Moravce untuk beraksi secara pinjaman selama tiga bulan bermula September lalu.

Katanya, dia menyimpan hasrat untuk terus menimba pengalaman di luar negara bagi meningkatkan prestasinya.


“Kontrak saya sudah tamat dengan kelab Vion, jadi saya tidak tahu sama ada masih ada peluang lagi selepas ini. Tapi jika diberi peluang, saya mahu beraksi di sana,” kata Wan Zack yang mahu berehat seketika sebelum kembali menyambung latihan bersama skuad Olimpik, Isnin depan.

--- Harian Metro

Wednesday, November 30, 2011

Norshahrul Idlan Tidak Sangka Menang Anugerah Supermokh

Khairul Fahmi, Penjaga Gol Terbaik Malaysia 2011

Norshahrul, Penyerang terbaik & Pemain Paling bernilai Malaysia 2011 yang seterusnya layak menerima anugerah pertama Anugerah Supermokh


PETALING JAYA, 30 Nov (Bernama) -- Penyerang berbisa pasukan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha tidak menyangka terpilih untuk memenangi dua anugerah utama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011.

Norshahrul Idlan, 24, meraih Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Supermokh/Pemain Paling Bernilai yang pertama kali diperkenalkan sempena memperingati lagenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari

Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu menyifatkan Anugerah Supermokh merupakan kejayaan paling besar yang diterimanya pada tahun ini dan cukup bermakna buat dirinya.

"Saya kurang beraksi dalam skuad negara pada musim ini akibat kecederaan hamstring namun tidak sangka dipilih untuk menerima anugerah ini," katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.

Beliau berkata anugerah itu meniupkan semangat kepada dirinya untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada tahun depan.



Menjawab satu pertanyaan, Norshahrul Idlan berkata penyertaan pemain import dalam Liga Malaysia tidak akan menjejaskan prestasi beliau dan pemain tempatan yang lain tahun depan.

"Saya akan buktikan bahawa pemain tempatan adalah lebih baik daripada mereka (pemain import)," katanya.

Sementara itu bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang akan menyertai pasukan Selangor tahun depan memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik 2011.

Irfan Bakti berkata beliau rasa gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah tersebut dan ia hasil kerja keras seluruh pasukan Terengganu.

"Ini kali pertama saya menerima anugerah seperti ini dan saya akan jadikannya sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras untuk membantu pasukan baru saya iaitu Selangor pada musim baru tahun depan," katanya.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011

Penjaga Gol Terbaik

Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pemain Pertahanan Terbaik

Norhafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan)

Pemain Tengah Terbaik

Safiq Rahim (Selangor)

Penyerang Terbaik

Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Jurulatih Terbaik

Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu)

Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai

Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)

Persatuan Negeri Terbaik

Persatuan Bola Sepak Selangor

Kelab Bola Sepak Terbaik

Kelab Bola Sepak Selangor PKNS

-- BERNAMA

Monday, November 28, 2011

Wan Zack idam Pemain Harapan Terbaik

PENYERANG muda negara, Wan Zack Haikal Wan Noor mahu memenangi anugerah Pemain Harapan Terbaik untuk mengubat kekecewaan tidak disenaraikan pada saingan Sukan Sea, awal bulan ini.

Pemain berusia 20 tahun itu terpaksa digugurkan dalam skuad bawah 23 tahun negara yang memenangi pingat emas berikutan masalah kecederaan buku lali.

“Memang amat sedih digugurkan dalam skuad Sukan Sea. Saya berusaha bersungguh-sungguh dengan harapan dapat mengikut rakan sepasukan ke Jakarta tetapi saya tidak sempat pulih daripada waktu yang ditetapkan.

“Jadi saya harap dengan memenangi anugerah ini kerana ia sekurang-kurangnya dapat melupakan kekecewaan saya sebelum ini,” kata pemain berasal dari Kuala Lumpur itu.

“Tapi saya bangga terpilih sebagai salah seorang pemain yang dicalonkan untuk anugerah Pemain Harapan Terbaik ini dan saya tahu ada beberapa lagi pemain yang mampu memenangi anugerah ini, terutama pemain dalam skuad Sukan Sea.

“Saya harap saya sudah melakukan yang terbaik sepanjang musim ini sekali gus meyakinkan panel pemilih.” Selepas menyertai skuad Piala Presiden Kuala Lumpur pada 2005 seawal usia 14 tahun, Wan Zack kemudian menyertai Felda United pada 2007 dengan meledak dua gol sepanjang enam penampilan.

Pada 2008, dia menyertai Harimau Muda di bawah kendalian Ong Kim Swee yang berjaya menjuarai Liga Perdana Malaysia setahun selepas itu. Pada September 2011, Wan Zack beraksi secara pinjaman dengan kelab FC ViOn Zlat� Moravce selama tiga bulan bersama-sama rakan sepasukan, Irfan Fazail dan Mohd Fadhli Shas. Penampilan antarabangsa pertamanya adalah pada Kejohanan Remaja AFF bawah 19 tahun yang mungkin menjadi kenangan manis untuknya selain menjaringkan gol kemenangan ketika skuad Olimpik negara menang 2-1 ke atas Lebanon pada Jun lalu.

“Saya masih muda dan percaya perjalanan karier saya masih jauh,” tambah Wan Zack Haikal.

“Sudah pasti saya berharap dapat memenangi anugerah ini kerana inilah kali pertama saya dicalon merebut anugerah.” Tahun ini, semua jurulatih Liga Super dan Liga Perdana diminta memilih pemain yang mereka rasakan calon terbaik dalam pelbagai kategori. Pemenang akan diumum pada satu majlis Rabu ini.

----- Harian Metro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...