Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Ching Hong Aik. Show all posts
Showing posts with label Ching Hong Aik. Show all posts

Saturday, November 6, 2010

Hong Aik tetap setia (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PEMAIN paling senior skuad Negeri Sembilan, Ching Hong Aik tidak berhasrat berhijrah ke pasukan lain sebaliknya berharap kekal bersama pasukan itu bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia musim depan.

Pemain tengah berpengalaman berusia 37 tahun itu mahu terus menabur bakti kepada skuad Hoben Jang Hoben selepas lebih enam tahun bersama skuad itu sejak dikendalikan jurulatih K Devan pada 2005 dan bertukar kepada Hatem Soussi sebelum diambil alih jurulatih Wan Jamak Wan Hassan.

“Kalau boleh saya ingin kekal bersama Negeri Sembilan bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan kerana sudah serasi dengan pemain skuad berkenaan dan corak latihan yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan.

“Malah, persefahaman antara saya dengan pemain lain dalam skuad ini termasuk kalangan pemain muda semakin kukuh kerana sudah lama bersama mereka iaitu sejak 2005 hingga musim ini,” katanya.

Pemain berasal dari Melaka ini mengesahkan kontraknya bersama Negeri Sembilan tamat 31 Oktober lalu iaitu sebaik tamat saingan musim ini.

Sejak Wan Jamak mengendalikan skuad Rusa bermula musim lalu, Hong Aik sering disenaraikan dalam kesebelasan utama dan menjadi tonggak penting membantu kepada kejayaan pasukan itu termasuk ketika menjulang Piala Malaysia musim lalu dan Piala FA musim ini.

Justeru, tidak hairanlah pemain veteran itu melahirkan rasa bangga kerana berjaya membantu Negeri Sembilan melakar sejarah tersendiri sepanjang mewakili pasukan itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh bersama Negeri Sembilan, dia mengecapi kejuaraan tiga piala iaitu Liga Super pada 2006 dan Piala Malaysia tahun lalu serta Piala FA tahun ini.

Namun, dia mengaku sedikit terkilan kerana gagal membantu pasukan berkenaan mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila Negeri Sembilan tewas kepada Kelantan 2-1 pada final, 30 Oktober lalu.

“Saya puas sepanjang bersama Negeri Sembilan dan saat paling menggembirakan ialah ketika memenangi Piala Malaysia tahun lalu tetapi agak terkilan tahun ini kerana gagal mempertahankan kejuaraan berprestij itu selepas tewas kepada Kelantan walaupun kami sebenarnya berpeluang mempertahankannya,” katanya.

Menurut Hong Aik, walaupun berstatus pemain paling tua, dia yakin mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan seperti mana dibuktikannya sepanjang saingan musim ini dan berharap khidmatnya bersama Negeri Sembilan dapat disambung Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Dia mengakui ada beberapa pasukan lain menghubunginya untuk bersama mereka musim depan tetapi belum memberikan jawapan kerana mahu meneruskan khidmat bersama pasukan lamanya itu.

“Kini saya menunggu perkembangan daripada PBNS sebelum membuat keputusan dan berharap PBNS dapat membuat pertimbangan kerana saya mahu meneruskan khidmat bersama pasukan ini,” katanya lagi

Thursday, October 28, 2010

Hong Aik dedah rahsia 'awet muda' (Berita Harian Online)

Oleh Harris Rajahdin dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/28

Ching Hong Aik
Ching Hong Aik

Pada usia 37 tahun kelibatnya tetap ditagih Wan Jamak

KETIKA ramai rakan seangkatannya pada era Semi-Pro sudah menggantung but, kelibatnya masih boleh disaksikan di padang pada setiap minggu pada usia 37 tahun.

Tonggak Negeri Sembilan, Ching Hong Aik mungkin tidak glamour seperti rakan sepasukannya, namun pengalaman dan kelibatnya tetap ditagih jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan dengan kehadirannya menjadi antara kunci utama pasukan layak final Piala Malaysia, Sabtu ini menentang Kelantan.

Namun, tidak ramai yang mengetahui rahsia ‘awet muda’ pertahanan itu yang bakal menjadi pemain tertua pada pentas akhir, jika tidak yang paling berusia dalam sejarah Piala Malaysia.

“Tiada rahsia sebenarnya, cuma setiap minggu saya akan pulang ke Melaka untuk menjalani sesi urut selama tiga atau empat kali seminggu,” katanya, semalam dan bertekad beraksi untuk dua musim lagi.

Mengimbas kerjanya, Hong Aik yang memulakan pembabitannya dalam bola sepak ketika berusia 20 tahun, berkata dia menghabiskan hampir keseluruhan kerjayanya di Negeri Sembilan, sungguh pun memulakan kerjayanya di Melaka.

“Saya memulakan kerjaya saya di Melaka pada 1993 dan bermain di sana selama tiga tahun sebelum menyertai Negeri Sembilan. Kecuali 2001 ketika beraksi buat Sarawak, saya menghabiskan keseluruhan kerjaya saya di Negeri Sembilan,” kata bekas pemain skuad Olimpik kebangsaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...