Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Malaysia 2012. Show all posts
Showing posts with label Piala Malaysia 2012. Show all posts

Monday, October 8, 2012

Kelantan menghampiri final

AKSI penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) ketika melepasi halangan pemain pertahanan Selangor pada saingan separuh akhir pertama di Kota Bharu kelmarin.


KEMENANGAN 1-0 Kelantan ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke pentas akhir musim ini.

Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, beliau belum mahu mendabik dada dengan keputusan tersebut, sebaliknya mahu pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan kedua di Shah Alam nanti.

"Keputusan ini belum selamat buat kita kerana perlawanan masih berbaki 90 minit untuk diharungi. Bagaimanapun, saya gembira kerana kita tidak melepaskan gol pada perlawanan ini.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong setia terpaksa menunggu sehingga minit ke-62 untuk memperoleh jaringan tunggalnya menerusi Nor Farhan Mohamad.

Ketika ditanya mengenai ketua pasukannya, Mohd. Badri Radzi yang tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut, Azman memberitahu pemain itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

"Insya-Allah Badri akan kembali beraksi dalam perlawanan kedua di Shah Alam nanti.

"Kehadirannya dijangka akan memantapkan lagi jentera tengah skuad Kelantan," tegasnya.

Sementara itu, penjaring gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan itu Nor Farhan memberitahu, jaringan tersebut menjadi pembakar semangat buat pasukannya untuk mengharungi perlawanan kedua nanti.

"Bekalan satu gol menjadi pembakar untuk dibawa ke Shah Alam. 

"Kami akan memberikan yang terbaik untuk memastikan laluan kita ke perlawanan akhir terjamin.

"Gol yang saya jaringkan malam ini (kelmarin) adalah hasil kerjasama rakan-rakan sepasukan yang banyak memberikan sokongan. 

"Kejayaan ini menguatkan lagi semangat saya untuk menjulang Kelantan menjadi juara musim ini," katanya.

--- KOSMO

Friday, October 5, 2012

Piala Malaysia: Piya terkilan dengan kecaman

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Oktober 2012
Mohd Badhri Radzi
Mohd Badhri Radzi
 
KOTA BHARU – “Sebagai pemain, kami juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan," luah Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang nyata kecewa dengan kecaman hebat dilontarkan segelintir penyokong terhadap prestasi terburuk The Red Warriors dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini.

Mengakui terkilan dengan situasi tersebut, Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, tidak ada salah untuk para peminat menyuarakan rasa tidak kurang puas hati mereka, namun biarlah secara berlapik dan tidak menjatuhkan maruah seseorang pemain.

“Memang saya akui itulah aksi terburuk saya (perlawanan dengan Felda United tempohari) pada musim ini. Kalau peminat mahu 100 peratus komitmen dari pemain, kami sebenarnya beri lebih daripada itu. Tak ada mana-mana pasukan pun bermain untuk kalah,” katanya semalam.

Menurutnya, namun, janganlah sampai mengeluarkan kata-kata kesat atau cercaan kepada pemain sehingga melibatkan ibu-bapa mereka.

"Kalau main teruk sedikit kena kutuk, apatah lagi jika kalah, pasti pelbagai tohmahan dilemparkan. Sehingga ada yang menganggap kami jual permainan.

“Kadang-kala saya sedih dengan situasi seperti ini. Kami pun ada keluarga, hati serta maruah yang perlu dijaga.

"Tapi itulah adat bola sepak, ketika menang disanjung, apabila kalah macam-macam kata cacian kami terima. Apa pun kami terima semua ini dengan hati terbuka,” katanya.

Isi hati jeneral padang berusia 30 tahun itu diluahkan setelah tindakan jurulatih, Bojan Hodak mengeluarkannya rentetan prestasi buruk mengundang cemuhan penyokong ketika pertemuan suku akhir kedua menentang Felda United FC di Kota Bharu pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, pemain yang pernah menyarung jersi pasukan PDRM musim 2005 hingga 2007 itu menolak andaian prestasi buruk Kelantan berpunca daripada kemerosotan permainan beliau sendiri.

“Tak adil untuk membuat penilaian sedemikian. Kalau orang kata saya main bagus, jadi Kelantan pun main bagus, itu pendapat yang tidak betul. Bola sepak dimainkan dengan 11 pemain. Semua pemain ada peranan masing-masing, bukan saya seorang yang bertanggungjawab jika pasukan kita beraksi cemerlang,” katanya.

Justeru, menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Selangor malam esok, Mohd Badhri mengharapkan sesuatu kelainan daripada penyokong setia Kelantan dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi menenggelamkan kehebatan pemain Gergasi Merah di Kota Bharu.
Dalam perkembangan sama, pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad menganggap prestasi rakan sepasukannya itu tidak seburuk yang disangka.

“Saya harap peminat faham, prestasi pemain ada turun naiknya. Ada hari kita boleh bermain dengan cemerlang, ada hari kita main teruk. Begitulah yang terjadi kepada Piya.

"Saya pun pernah melalui perkara yang sama. Janganlah nilai prestasi buruk pemain hanya menerusi satu perlawanan sahaja,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Tuesday, October 2, 2012

Piala Malaysia 2012 | Kelantan yakin

MOHD. AFIQ AZMI (kanan) merupakan senjata sulit dalam skuad Kelantan.


KELANTAN cukup optimis untuk melangkah ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia 2012.

Malam ini, mereka bakal melayan kunjungan Felda United pada aksi suku akhir kedua di Kota Bharu.
Selepas berjaya memperoleh kelebihan dua gol di gelanggang lawan, di atas kertas Kelantan sudah pastinya berdepan tekanan hebat untuk menjadi pasukan pilihan mara ke pusingan seterusnya.

Malah, saingan daripada Felda United juga seharusnya tidak boleh dipandang mudah terutama apabila anak-anak buah E. Elavarasan mempamerkan aksi mantap dan telah banyak kali Felda United membuktikan mereka adalah pasukan berstatus kelab yang berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimanapun, hakikat tersebut pantas disedari oleh pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang sudah merasakan bahawa cabaran yang bakal dihadapi pasukannya malam ini pastinya cukup sengit.

“Kita mempunyai segala kelebihan, beraksi di laman sendiri selain reputasi semasa sudah pastinya menjadikan kita pasukan pilihan berbanding Felda United yang beraksi tanpa tekanan.

“Saya fikir gol awal akan membantu memudahkan tugas kita melangkah ke separuh akhir. Sudah tentu ia akan menjarakkan kedudukan dan memberi tekanan kepada Felda United.

“Tetapi ia bukan tugas yang mudah kerana mereka (Felda United) juga akan turun habis-habisan untuk mencari kemenangan,” katanya di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, beliau menjangkakan Felda United yang tewas 1-2 dalam perlawanan minggu lalu akan turun dengan taktikbertahan dan memburu gol melalui serangan pantas yang sudah tentunyamenyukarkan jentera hadapan dan benteng pertahanan The Red Warriors. 

Katanya, mungkin sokongan daripada para peminat mampu memberi tonik tambahan kepada para pemain Kelantan.

“Mungkin sembilan atau 10 pemain mereka akan berkampung di kawasan pertahanan dan saya harap kita tidak melakukan kesilapan dan terlalu ghairah memburu gol sehingga menyebabkan kita terperangkap.”

Jelasnya, dua gol melalui aksi di gelanggang lawan sudah memberi kelebihan namun beliau tidak mahu anak-anak buahnya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Hodak mahu Kelantan melangkah dengan penuh bergaya dengan jumlah jaringan yang lebih besar.

Mengulas mengenai kemungkinan berlaku beberapa rombakan yang akan dilakukannya, Hodak menjawab:

“Saya akan lakukan perubahan satu atau dua pemain tetapi saya belum fikir tentang rombakan tersebut lagi, mungkin saya akan tengok dalam sesi latihan petang ini (semalam).
“Muhammad Ghaddar masih berada di bangku simpanan. Saya bersedia menurunkan dia pada babak kedua. Saya yakin kita boleh menewaskan Felda United malam esok (malam ini). Dengan stadium penuh dan sokongan peminat, kita boleh menewaskan Felda United untuk ke separuh akhir,” jelasnya.

--- Kosmo

Friday, September 14, 2012

Kelantan ada kelebihan - Badhri



KOTA BHARU - Red Warriors mempunyai kelebihan ke atas seteru tradisi Terengganu pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini selepas pasukan lawan dilanda kontroversi.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menganggap kontroversi yang melanda skuad Peteh memberikan kelebihan buat Kelantan untuk meraih kemenangan bagi mengesahkan tempat ke suku akhir.

Sehubungan itu, Mohd. Badhri menuntut rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik dan fokus bagi meraih kemenangan.

"Ini peluang terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan tumpas 0-2 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan Piala Malaysia.

"Jadi saya harap rakan sepasukan dapat mengulangi aksi terbaik seperti mana yang ditampilkan ketika menumbangkan ATM di Kota Bharu sebelum ini," katanya di sini, semalam.

--- UTUSAN MALAYSIA

Saturday, September 1, 2012

Hai-O tekad julang maruah ATM



KAPTEN Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar (gambar) sudah memasang azam membantu pasukannya mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

Berdasarkan persembahan ATM sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Hairuddin atau lebih di- kenali sebagai Hai-O menganggap pasukannya sudah bersedia untuk melaksanakan misi tersebut.

"Sepanjang tiga perlawanan lalu, kami beraksi dengan baik apabila berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri.

"Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin rakan-rakan sepasukan begitu bersemangat untuk mempamer- kan aksi lebih baik pada tiga baki perlawanan akan da- tang.

"Saya berharap mereka berjuang habis-habisan memandangkan ATM tidak pernah berjaya mara ke pering- kat suku akhir," jelas Hai-O kelmarin.

Ditanya mengenai perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini, Hai-O meramalkan pertemuan sengit antara kedua-dua pasukan.

"Saya akui perlawanan di Kota Bharu nanti sukar buat kami tetapi berbekalkan semangat tinggi, kami tekad untuk mengekalkan aksi cemerlang sebelum ini.

"Umum mengetahui bahawa ATM berada dalam 'kumpulan maut' yang mana selepas kami bertemu Ke- lantan, kami akan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Jadi, satu mata amat penting ketika menentang Kelantan dan saya yakin kami mampu berbuat demikian berdasarkan prestasi semasa," katanya yang pernah membantu Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu muncul juara Piala Malaysia sebelum ini.

--- KOSMO

Wednesday, August 29, 2012

Aksi Kelantan, ATM tegang


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) bersaing dengan pemain pertahanan ATM, Azmi Muslim pada aksi Piala Malaysia di Stadium MPS malam tadi.


PERTEMBUNGAN antara juara Liga Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang malam tadi cukup hangat.

Seperti diramal, kedua-dua pasukan menampilkan aksi bertenaga dengan melancar- kan serangan ke kubu lawan masing-masing sebaik perlawanan bermula.

Begitupun, aksi menarik yang ditampilkan Kelantan dan ATM itu yang berkesudahan seri 1-1, dicemari dengan insiden kekecohan yang dicetuskan segelintir penyokong The Red Warriors ketika perlawanan memasuki minit ke-64.

Kekecohan itu berpunca daripada tindakan pengadil perlawanan, Mohd. Amirul Iz- wan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan selepas kapten, Mohd. Badri Radzi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Akibatnya, perlawanan terpaksa dihenti- kan sementara selama 14 minit.

Sebelum itu, ATM terlebih dahulu berjaya merobek gawang Kelantan hasil jaringan pe- nyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Kelantan memusnahkan impian ATM untuk meraih tiga mata penuh apabila memperoleh gol penyamaan menerusi Obinna Nwaner pada lewat perlawanan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, skuad Tok Gajah, Pahang 'naik minyak' apabila mengerjakan Sarawak 6-0 dalam aksi Kumpulan D.

Penyerang berbisa Pahang, Mohd. Fauzi Roslan muncul wira tuan rumah apabila berjaya melakar hatrik dalam perlawanan itu.

Tiga lagi gol Tok Gajah berjaya diledak oleh Hafiz Kamal, Boris Kockhin dan R. Gopina- than, sekali gus meletakkan skuad kendalian Dollah Salleh selesa menerajui Kumpulan D dengan tujuh mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selangor menghidupkan semula 'Misi 33' apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan berstatus kelab, T-Team dalam satu lagi aksi Kumpulan D.

Safiq Rahim muncul wira pasukan pelawat apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain pinjaman, S. Veenod dikasari Norfazly Alias pada minit ke-80.

Dengan kemenangan itu, Selangor kini berkongsi empat mata dengan Sarawak manakala T-Team terperosok di tangga tercorot kumpulan apabila sekadar mengutip satu mata setakat ini.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah boleh menarik nafas lega selepas meraih kemenangan pertama setelah mene- waskan Terengganu 2-1 dalam saingan Kumpulan B.

'Ayam tambatan' Kedah, Khyril Muhymeen Mohd. Zambri muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol berharga di bawah sentuhan pertama jurulatih dari Croatia, Mario Tot.

Kemenangan itu mencerahkan peluang skuad Kenari menyambar slot suku akhir setelah tewas kepada ATM (2-0) dan Kelan- tan (2-1) sebelum ini.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, juara bertahan, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika berdepan Perak dalam aksi Kumpulan C.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, impian Johor untuk mencatat kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII.

Dengan keputusan tersebut, Lions XII kekal menerajui Kumpulan A dengan lima mata. Satu lagi perlawanan kumpulan menyaksikan Johor FC sekadar seri 1-1 dengan Selangor PKNS.

--- KOSMO

Saya bukan terkena buatan orang - Sharbinee



PENJAGA gol utama Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli (gambar) menafikan dakwaan yang dia terkena buatan orang atau sihir ketika aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Piala Malay- sia, Sabtu lalu.

Sebaliknya Sharbinee berkata, dia hanya mengalami masalah pernafasan ketika insiden yang berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang itu.

Kejadian tersebut menyaksikan pemain yang berusia 25 tahun itu pengsan sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Selayang pada malam tersebut.

Bagaimanapun, dia dibenarkan keluar dari hospital itu pada pukul 2 pagi keesokan harinya.

"Saya pengsan (pada perlawanan itu) kerana masalah kesihatan dan tiada kaitan langsung dengan terkena sihir.

"Pada mulanya, simptom-simptom awal akibat gatal di badan menunjukkan saya mengalami keracunan makanan atau alahan.

"Sebenarnya, saya tidak mengalami alahan sebagaimana yang diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu memandangkan saya sudah biasa menikmati makanan laut itu (udang) sebelum ini.

"Buat masa ini, saya masih belum mendapat apa-apa maklumat berhubung penyakit itu.

"Doktor telah menjalankan ujian terhadap sampel darah saya dan keputusan (penyakit) akan diketahui dalam tempoh beberapa hari," kata Sharbinee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Shar- binee berharap spekulasi liar yang mengatakan dia terkena sihir dihentikan segera.

"Saya agak terkejut apabila ada pihak yang mendakwa saya terkena buatan orang (sihir).

"Sebenarnya, susah untuk saya menjelaskan perkara ini selagi tiada informasi mengenai penyakit saya daripada pihak hospital.

"Saya sudah biasa makan makanan laut dan pada pendapat saya, alergi pada udang itu bukan punca saya pengsan.

"Namun, saya memanjat syukur dan terharu terhadap semua sokongan dan semangat yang diberikan daripada peminat-peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan saya," katanya.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira 10 minit sejurus aksi babak kedua bermula di Stadium MPS, Sharbinee rebah di padang akibat pitam dan terpaksa diusung keluar sebelum dikejarkan ke hospital.

Difahamkan, sebelum pengsan, dia sempat menanggalkan sarung tangan serta jersinya bagi mengurangkan rasa gatal yang dialaminya.

--- KOSMO

Tuesday, August 28, 2012

Berikan Rozaimi sedikit masa lagi - Irfan Bakti


ROZAIMI (kanan) masih belum serasi bermain bersama Selangor pada saingan Piala Malaysia musim ini.


PRESTASI hambar peledak muda kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman dalam saingan Piala Malaysia musim ini sedikit sebanyak mengundang resah dalam kalangan peminat fanatik juara 32 kali, Selangor.

Menggalas tanggungjawab sebagai pencetak gol utama skuad Gergasi Merah gara-gara ketiadaan kapten, Amri Yahyah yang digantung tiga perlawanan, sentuhan penyudah Rozaimi, 20, sebagai pemain pinjaman Selangor sepanjang edisi Piala Malaysia kali ini dilihat tidak setajam mana.

Situasi itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan kehebatan Rozaimi yang berjaya meledak 11 gol semasa membantu Harimau Muda mengharungi saingan Piala AFC Bawah 22 Tahun di Myanmar, Jun lalu.

Pada masa sama, dia juga masih gagal meletakkan nama selaku penjaring skuad Merah Kuning setakat ini apabila seolah-olah 'tenggelam' dengan persembahan bertenaga penyerang import, Bosko Balaban dan seorang lagi penyerang pinjaman daripada USM FC, S. Veenod.

Disebabkan itu, sudah ada 'kata-kata sumbang' di luar padang yang mula mempertikaikan kemampuan penyerang muda Sabah itu berdasarkan persembahannya setakat ini.

Begitupun, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih percaya dengan kredibiliti Rozaimi yang dilihat masih relevan bagi membantu Selangor merealisasikan 'misi 33' tahun ini.

"Berikan Rozaimi masa, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan. Saya percaya, Rozaimi akan kembali menemui sentuhannya dalam beberapa perlawanan lagi," kata Irfan Bakti.

Selepas dua perlawanan setakat ini, Gergasi Merah yang sekadar mengutip satu mata kini ketinggalan di belakang Sarawak dan Pahang yang berkongsi empat mata dalam saingan Kumpulan D.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan kekalahan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan sebelum sekadar seri 2-2 dengan skuad Tok Gajah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam masa sama, Irfan Bakti kekal berteka-teki sama ada mahu menurunkan Rozaimi ataupun tidak semasa berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini ekoran persembahan bertenaga yang dipamerkan Veenod semasa menentang Pahang, Sabtu lalu.

"Prestasi Veenod dilihat cukup cemerlang (semasa menentang Pahang), jadi kita tengok dahulu macam mana (sama ada menurunkan Rozaimi ataupun Veenod) menentang T-Team nanti.

"Yang paling utama, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team tidak kira di tempat lawan (malam ini) ataupun di gelanggang sendiri (Sabtu ini) bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak," katanya optimis.

--- KOSMO

Monday, August 27, 2012

Kelantan di landasan tepat


MOHD. AFIQ (tengah) diasak penjaga gol Kedah, Helmi Eliza pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.


LALUAN Kelantan kembali cerah selepas mencatat kemenangan sulung 2-1 ke atas Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Kemenangan tersebut cukup bermakna selepas skuad The Red Warriors tewas mengejut 0-2 kepada Terengganu pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, keputusan positif yang dicatat pasukan itu cukup menggembirakan terutama ketika beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menang.

Menurutnya, Kelantan nyata menguasai permaianan tersebut dengan melakukan asakan serta mencipta banyak peluang biarpun pasukan itu dilihat agak tempang tanpa beberapa tonggak utama.

"Saya gembira dengan keputusan ini terutamanya dalam tempoh 60 minit pertama kecuali kelalaian kita menyebabkan Kedah berjaya mencipta gol seawal minit kelima. Sepatutnya ia tidak berlaku kerana ini adalah perlawanan kedua.

"Kita melakukan asakan awal dan situasi itu menyebabkan kami agak keletihan pada penghujung perlawanan. Selain itu, kami juga membenarkan lawan menguasai permainan pada 20 minit terakhir tetapi kami mampu menyerap asakan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Tambahnya, selepas berjaya mendahului Kedah pada babak pertama, Kelantan bermain lebih santai dan mengawal perlawanan kecuali beberapa serangan balas pantas untuk memerangkap pemain Kedah.

"Dua perlawanan dalam tempoh tiga hari cukup memenatkan, pemain tidak boleh berlari sepanjang masa, turun dan naik. Selepas ini kita berdepan perlawanan yang cukup penting.

"Kita beraksi tanpa beberapa tonggak, Indra (Putra Mahayuddin) menghadiri perkahwinan adiknya dan ia memang dirancang sejak sekian lama dan saya tidak mempunyai pilihan kecuali memberinya pelepasan.

"Khairul Fahmi juga ada masalah kecederaan termasuk Muhammad Ghaddar dan saya tidak mahu mengambil risiko. Saya memberi mereka rehat untuk pulih sepenuhnya. Namun, keputusan ini cukup baik dan saya gembira menerimanya," ujarnya.

Mengulas mengenai pertembungan dengan ATM, Selasa ini, Hodak cukup optimis pasukannya mampu melakukan sesuatu untuk berada pada kedudukan lebih selepas melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Kami akan cuba menang, mereka mempunyai beberapa pemain kebangsaan tetapi kami pasukan yang baik. Mungkin sukar untuk memenangi perlawanan di tempat lawan tetapi kami mampu melakukannya di gelanggang sendiri.

"Saya perlu jujur, sebelum menentang Terengganu kita berdepan masalah besar. Enam atau tujuh pemain tidak beraksi pada perlawanan persahabatan, empat pemain baru kembali dari skuad kebangsaan dan sebahagiannya cedera.

"Saya rasa malam ini (kelmarin) kami beraksi dengan lebih baik berbanding ketika menentang Terengganu dan saya harap aksi kami akan sentiasa meningkat dari semasa ke semasa," jelasnya.

--- KOSMO

Selangor belum panik


BALABAN (kanan) cuba mengekang pergerakan pemain Pahang, Mohd. Fauzi pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam kelmarin.


PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih belum mahu menekan ‘butang’ panik biarpun ‘misi 33’ tampak semakin samar selepas seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Menurut beliau, masih terlalu awal untuk ‘mengibar bendera putih’ kerana aksi peringkat kumpulan baharu sahaja memasuki perlawanan kedua.

“Masih terlalu awal untuk mengaku kalah, saya percaya pemain akan bangkit dalam baki perlawanan selepas ini.

“Tahun lepas (semasa mengendalikan Terengganu), saya lihat Selangor juga ‘lambat panas’ dalam aksi awal kempen Piala Malaysia.

“Justeru, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team sama ada di tempat lawan ataupun di gelanggang sendiri selepas ini bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak,” katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan kelmarin, skuad Gergasi Merah ketinggalan menerusi jaringan penyerang pelawat, Maycon Calvalho seawal minit ke-14.

Begitupun, kelebihan skuad Tok Gajah tidak bertahan lama selepas arkitek Selangor, Safiq Rahim berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik dua minit kemudian.

Pahang kembali di depan apabila Mohd. Fauzi Roslan bijak memanfaatkan hantaran Maycon pada minit ke-24 sebelum Bosko Balaban menyelamatkan maruah Merah Kuning apabila bijak menyamakan kedudukan kira-kira 20 minit sebelum perlawanan tamat.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan keputusan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan di Stadium Kuching, Rabu minggu lalu.

Pahang pula berkongsi empat mata dengan Sarawak yang sekadar seri tanpa jaringan dengan T-Team dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang sedikit kecewa dengan kegagalan pasukannya menguasai jentera tengah kelmarin turut mengakui penyerang pinjaman, Rozaimi Abdul Rahman masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal Gergasi Merah.

“Saya percaya Rozaimi akan kembali bangkit dalam beberapa perlawanan lagi, jadi berikannya sedikit masa,” katanya yang turut memuji persembahan seorang lagi pemain pinjaman dari USM FC, S. Veenod.

Malam esok, Selangor akan berkunjung ke Kuala Terengganu menentang T-Team sementara Pahang akan melayan kunjungan Bujang Senang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

--- KOSMO

Kelantan azam bangkit


GHADDAR (kanan) dijangka kembali memperkuatkan jentera serangan Kelantan pada
pertemuan menentang Kedah malam ini.


KELANTAN tidak mempunyai pilihan selain menundukkan Kedah pada aksi kedua Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini jika mahu mencerahkan kembali peluang mara ke pusingan suku akhir.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kekalahan 0-2 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan Rabu lalu perlu dilupakan segera dan beliau tetap optimis barisan pemainnya mampu bangkit dan meraih tiga mata pada pertemuan dengan Kedah.

"Saya harap pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Peluang beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mendapatkan tiga mata penting.

"Namun, berdepan dengan Kedah bukanlah satu tugas yang mudah dan mereka pasti akan bermain mati-matian selepas tumbang pada perlawanan pertama lalu.

"Bagaimanapun, Kelantan juga telah bersedia untuk perlawanan itu nanti," katanya.

Beliau demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Seri Puri Bukit Marak, Kota Bharu semalam.

Azman turut memberitahu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak akan membuat rombakan kecil bagi menghadapi perlawanan itu nanti.

"Mohammad Ghaddar akan kembali semula ke pangkuan pasukan selepas penggantungan satu perlawanan sebelum ini.

"Kehadiran Ghaddar dijangka menguatkan lagi jentera serangan pasukan. Namun, semuanya terserah kepada kebijaksanaan Bojan Hodak untuk menyusun strategi bagi menumpaskan Kedah," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berharap penyokong setia Kelantan supaya tidak terlalu memberi tekanan kepada barisan The Red Warriors sebaliknya terus menyokong agar pemain dapat turun dengan semangat baharu bertemu Sang Kenari.

"Terlalu banyak kritikan diterima para pemain akibat rasa tidak puas hati (penyokong) selepas kekalahan kepada Terengganu Rabu lalu hingga ada pemain yang berasa tertekan. Saya harap perkara itu tidak berterusan kerana Kelantan masih ada lima lagi pertemuan untuk ditempuhi.

"Kelantan bukannya tidak bermain dengan baik tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi apabila banyak percubaan terus ke gawang digagalkan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee," ujarnya.

--- KOSMO

Sunday, August 26, 2012

ATM tidak mahu terlalu yakin


BARISAN pemain ATM lebih rela dilabel sebagai pasukan bukan pilihan pada kempen Piala Malaysia.


JUARA Liga Premier 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mahu dilabel sebagai pasukan pilihan pada saingan bola sepak Piala Malaysia yang akan membuka tirainya hari ini.

Pengendalinya, B. Sathianathan mengakui bahawa saingan Piala Malaysia adalah lebih sengit memandangkan hanya pasukan terbaik sahaja yang layak bertanding.

Menurut Sathianathan, beliau tidak menyangka ATM diundi bersama juara Liga Super, Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam Kumpulan B yang dianggap sebagai pasukan cukup berpengalaman dan berwibawa.

Bekas jurulatih Kelantan itu menga- kui bahawa ATM bakal menempuhi laluan sukar dalam misi untuk merebut slot ke pusingan suku akhir.

“Selepas menyaksikan undian Piala Malaysia, saya mengakui laluan kami memang sukar kerana berada dalam ‘kumpulan maut’.

“Semua mengetahui bahawa juara Liga Super, Kelantan dan finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu merupakan pasukan cukup unggul dalam kumpulan tersebut.

“Begitu juga dengan Kedah yang memiliki pemain berpotensi dan berpengalaman dan mereka salah satu pasukan yang hebat di Liga Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan ATM, tiga pasukan tersebut memiliki 24 pemain yang cukup berkaliber baik dalam skuad utama mahu pun barisan simpanan.

“Berdepan dengan Kelantan dan Terengganu merupakan pertemuan penting bagi ATM. Jika berjaya mencuri satu mata sudah memadai buat kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru- baru ini.

Walaupun diundi dalam kumpulan maut, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa mereka tidak akan menyerah mudah dan akan berusaha untuk memberikan cabaran.

Sathianathan juga mengakui bahawa laluan untuk mara ke peringkat final lebih mudah sekiranya mereka mampu melepasi saingan peringkat kumpulan ini.

“Saya mahu barisan pemain ATM menggunakan peluang (menentang Terengganu, Kelantan dan Kedah) sebagai persiapan terbaik untuk mengharungi Liga Super pada musim depan.

“Sudah tentu kami mengidamkan Piala Malaysia tetapi saya mahu mengambil pendekatan realistik dan hanya mahu menumpukan kepada satu perlawanan terlebih dahulu,” ujarnya.

--- KOSMO

Thursday, August 2, 2012

Kelantan sukar digugat

Ghaddar membantu Kelantan menjuarai Liga Super & Piala FA 2012, FOTO - Forum Paramedik

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Berehat sejak 10 Julai lalu, kancah bola sepak tempatan akan kembali dimeriahkan dengan persaingan Piala Malaysia yang bakal kembali menemui peminat pada 22 Ogos depan.

Namun, debaran mulai terasa kurang tiga minggu menjelang sepak mula dilakukan kerana undian kejohanan bakal diketahui hari ini.

Kelantan, Lions XII, Selangor dan Perak yang mengungguli tangga teratas Liga Super pasti menjadi pasukan yang cuba dielakkan oleh pesaing mereka.

Kelantan, yang memenangi kejuaraan Liga Super dan Piala FA pasukan paling digeruni dan turun untuk melengkapkan misi kejuaraan 'trible' dengan menjadikan Piala Malaysia sebagai trofi pelengkap bagi menutup tahun 2012 dengan penuh gemilang.

Konsisten sepanjang persaingan Liga Super, skuad Kijang itu dilihat sebagai calon utama mendakap kembali kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu, namun Lions XII dan Selangor mampu menghalang impian besar Bojan Hodak yang mahu memulakan tahun pertama kariernya di Red Warriors dengan nota cemerlang.

Kehadiran semula negara jiran, Singapura yang menggunakan nama Lions XII kembali menimbulkan nostalgia peminat bola sepak tempatan selepas kali terakhir mereka memenangi Piala Malaysia pada 1994.

Tidak boleh dipandang enteng, Lions XII mempunyai cukup ramuan membawa pulang semula piala keagungan bola sepak negara itu ke Singapura memandangkan skuad bimbingan V. Sundram Moorthy itu sentiasa menampilkan rentak berdisiplin dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, Selangor yang kembali mendendangkan 'Misi 33' berada di landasan tepat untuk bangkit di penghujung musim dan kedatangan penyerang muda sensasi negara, Rozaimi Abdul Rahman sebagai pemain pinjaman, pasti akan menambah sengat di barisan serangan Red Giants.

Ditambah pengalaman Irfan Bakti selaku pencatur strategi, Selangor boleh dianggap antara salah satu calon pilihan utama menjulang Piala Malaysia pada tahun ini.

Juara bertahan, Negeri Sembilan, walaupun tidak menyerlah pada perlawanan liga tetapi jika menghadapi persaingan Piala Malaysia, skuad Hobin Jang Hobin ini mampu menampilkan aksi yang berbeza.

Jangan terlalu terkejut jika pasukan bimbingan Mohd. Azraai Khor ini mampu menjelmakan kecemerlangan dan mempertahankan kejuaraan sekali lagi walaupun tidak diberikan harapan terlalu tinggi.

Para peminat Perak sudah tentu mengharapkan kebangkitan semula skuad kesayangan mereka setelah mendapat khidmat jurulatih baru, Jang Jung yang menggantikan Norizan Bakar.

Terengganu pula pasti mahu menjadikan Piala Malaysia sebagai penawar kekecewaan selepas mempamerkan prestasi hambar sepanjang musim ini.

Jangan dilupakan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai ramai pemain berpengalaman boleh melakukan sesuatu.

Pahang yang masih segar dengan kejayaan memburu slot playoff ke Liga Super selepas menyingkirkan Kedah juga harus diberi perhatian.

Beberapa pasukan lain seperti PKNS FC, Johor FC dan T-Team mampu menjadi pasukan 'kacau daun' menghalang niat pasukan lain biarpun dilihat mungkin sukar mara ke perlawanan akhir.

--- UTUSAN MALAYSIA

Monday, July 16, 2012

Apex janji pamer aksi terbaik

Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex

KUALA LUMPUR - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat bertekad untuk mempamerkan aksi mantap dalam setiap perlawanan mewakili negara dan negeri Kelantan, walaupun menghadapi jadual perlawanan padat sehingga hujung tahun ini.

"Perlawanan bola sepak memang banyak tahun ini, tetapi saya tetap fokus dan saya mahu menghadapi perlawanan itu satu persatu kerana setiap jurulatih tahu bagaimana untuk mengatur strategi permainan.

"Bagi saya, yang penting adalah fokus ketika menjalani latihan serta memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang saya serta rakan sepasukan akan hadapi nanti," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai duta produk terbaharu minuman tenaga 100PLUS.

Dipetik Bernama, Khairul Fahmi, 23, atau lebih mesra dengan panggilan 'Apex', menjadi pilihan utama skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di laman sendiri, November ini selain menjadi pilihan jurulatih
Bojan Hodak untuk membantu skuad Kelantan menghadapi Piala AFC dan Piala Malaysia dalam masa terdekat serta perlawanan persahabatan dengan Kelab LIga Inggeris QPR.

Khairul Fahmi merupakan atlet kebangsaan keempat yang dilantik menjadi duta syarikat minuman tenaga itu selepas penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Pelantikan Khairul Fahmi selama dua tahun sebagai duta produk itu menyaksikan wajah beliau dipaparkan dalam semua iklan 100PLUS bermula dengan Kempen Ramadan dan Hari Raya 100PLUS yang berjudul 'Sentiasa Cergas di Bulan Mulia ini'.

Mengulas mengenai harapan menggunung peminat setia pasukan Kelantan yang mahu melihat dua lagi piala iaitu Piala Malaysia dan Piala AFC dibawa pulang ke negeri itu, Khairul Fahmi berkata beliau berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Kelantan merangkul dua trofi musim ini iaitu mempertahan piala Liga Super yang dimenangi mereka musim lepas dan juara Piala FA buat pertama kali sejak 22 tahun.

"Bagi aksi suku akhir Piala AFC, kita semua tahu bahawa pasukan luar terutama dari negara Arab mempunyai skil permainan yang menarik, jadi saya harap rakan sepasukan akan mampu memberikan kejutan," katanya.

Skuad The Red Warriors bakal menempuh laluan sukar dalam suku akhir Piala AFC apabila dijadual bertemu pendahulu Liga Super Iraq iaitu Arbil FC pada perlawanan timbal balik bermula di Iraq pada 18 September dan 25 September ini di Kota Bharu.

Selain itu, mereka akan bersaing dalam Piala Malaysia yang dijangka bermula 22 Ogos.

Sementara itu, Jenny berkata Khairul Fahmi dipilih oleh syarikat minuman tenaga itu berdasarkan pencapaian beliau dalam membantu skuad bola sepak kebangsaan termasuk menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010 di Indonesia.

"Dia merupakan atlet yang bersemangat untuk mengejar kejayaan dan menepati slogan yang digunakan oleh 100plus iaitu 'Atasi Segalanya'.

"Kami percaya beliau adalah role model yang baik bagi mereka yang mahu menjalani gaya hidup aktif," katanya.

--- SINAR HARIAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...