Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Ramzul Zahini Adenan. Show all posts
Showing posts with label Ramzul Zahini Adenan. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Ramzul mahu tebus kegagalan ketika menentang Selangor (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Penyerang muda Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mahu menebus kegagalan memanfaatkan beberapa peluang gol ketika menentang Selangor pada separuh akhir kedua Piala FA di sini, kelmarin.

Ramzul terkilan kerana gagal mengulangi persembahan terbaiknya ketika membantu Kelantan membenam Selangor 5-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA Jumaat lalu.

“Saya memohon maaf kepada penyokong Kelantan kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang gol pada perlawanan tersebut.

“Jika peminat berasa kecewa, saya lebih kecewa kerana mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, kegagalan saya itu memberi kesan kepada pasukan secara keseluruhan.

“Saya masih baru dan banyak lagi yang perlu dipelajari, saya kena terus fokus dan memperbaiki segala kelemahan,” ujarnya.

Menurutnya, untuk perlawanan dengan Felda United hari ini, dia telah bersedia sepenuhnya jika diturunkan.

“Saya akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu dan cuba hasilkan gol ataupun membuka ruang kepada rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Kata Ramzul, perlawanan hari ini merupakan peluang terbaik untuk dia mendapatkan semula kepercayaan selepas mempamerkan aksi kurang menyakinkan.

Tuesday, May 17, 2011

Sentuhan pemusnah Ramzul masih berbisa (Kosmo Online)


RAMZUL (dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukannya giat menjalani latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.


NAMA Muhammad Ramzul Zahini Adenan tiba-tiba kembali meniti di bibir penyokong serta peminat bola sepak Kelantan.

Semuanya bermula apabila Ramzul meledak dua gol bagi membantu Kelantan mencipta kemenangan bergaya 5-1 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Tampil selaku pemain utama dalam perlawanan tersebut, pemain kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu pantas menyambar peluang yang diberikan oleh ketua jurulatihnya, Datuk M. Karathu.

Dia menggegar gawang Selangor seawal minit kesepuluh menerusi gol pembukaan Kelantan sebelum meledak satu lagi gol lima minit sebelum babak pertama berakhir.

Ramzul berkata, dua gol yang dijaringkannya itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius yang dialami ketika bertemu Negeri Sembilan pada awal Mac lalu.

"Ia merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya mahu merakamkan terima kasih kepada ketua jurulatih (Karathu) kerana memberikan peluang untuk kembali berada dalam skuad utama.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum itu, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan.

"Alhamdulillah saya berjaya kembali dan lebih manis, menjaringkan gol ketika menentang Selangor," kata Ramzul kepada Kosmo! semalam.

Mengulas pertemuan menentang Selangor minggu lalu, Ramzul mengakui, ia antara aksi terbaik yang ditunjukkan oleh skuad The Red Warriors itu musim ini.

"Saya sendiri terpaku dengan apa yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan. Kami bermain sebagai satu pasukan dan mengikut apa yang telah diarahkan oleh jurulatih.

"Tidak keterlaluan saya katakan inilah aksi terbaik untuk musim ini yang pernah saya saksikan.

"Namun, saya harap kejayaan ini tidak akan membuatkan kami leka, sebaliknya kami perlu bekerja dengan lebih keras dan memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

Ramzul menambah, dia kini semakin bersemangat untuk terus memburu gol dan seterusnya membawa Kelantan menjulang Piala FA musim ini.

"Sekiranya terus diberikan peluang selepas ini, saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting, saya kena terus berusaha dan belajar daripada mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa," ujarnya.

Ramzul mahu terus ledak gol (Utusan Malaysia Online)


Muhammad Ramzul Zahini (kiri) dan Norshahrul ketika menyertai sesi latihan pasukan Kelantan di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU - Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh penyerang muda The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa dia sudah bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.

Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven bagaikan dipukau aksi mantap The Red Warriors.

Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat untuk kembali merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius ketika bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.

"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi dengan Kuala Lumpur 30 April lalu.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan menjaringkan gol semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh hari adalah hasil bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya untuk membuktikan ketajaman penyudah.

Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006 itu memberitahu, keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus mempamerkan aksi terbaik.

"Sekiranya terus diberikan peluang untuk perlawanan malam esok (ini), saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat kali kedua seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan belajar dari mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa terutama daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.

Tuesday, March 1, 2011

Kelantan berdepan ujian sukar lawan NS

KOTA BHARU - Pendahulu Liga Super, Kelantan dijangka berdepan ujian getir apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Meskipun beraksi di laman sendiri, pengendali Red Warriors, Datuk M. Karathu, berkata, perlawanan hari ini adalah tugas sukar, kerana pasukan lawan menewaskan Sabah 1-0, Sabtu lalu.

Menurutnya, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk memastikan tiga mata menjadi miliknya hari ini.

"Saya akan menurunkan barisan terbaik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan, termasuklah Zairul Fitree (Ishak) dan S.Chanturu, yang sudah pulih selepas cedera pada perlawanan menentang Kedah tempoh hari.

"Di bahagian serangan, saya akan mempertaruhkan kombinasi Ramzul (Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan (Talaha).

"Mereka mempunyai kepantasan yang baik untuk merobek gawang Negeri Sembilan," katanya ketika di hubungi di sini semalam.

Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Karathu tetap berwaspada dan menghormati kemampuan lawan yang bakal dihadapinya.

"Mereka sebuah pasukan yang hebat. Jentera hadapan yang mereka miliki cukup efektif dengan kombinasi empat rangkaian utama iaitu Zaquan (Adha), Ahmad Fakhri (Shaarani), Hairuddin (Omar) dan Kuna (S.Kunanlan).

"Saya mahu semua pemain pertahanan bersedia dan memberikan fokus sebaik mungkin dalam perlawanan tersebut," ujarnya.

Monday, January 31, 2011

Ramzul Zahini Adenan


Nama : Muhammad Ramzul Zahini Adnan

Tarikh Lahir : 11 Disember 1987

Tempat Lahir : Wakaf Bharu, Kelantan Darul Naim

Tinggi : 1.76 m

Sukan Bola Sepak

Posisi : Penyerang

Pencapaian:-

Naib Juara Piala Presiden 2007 (Kelantan B23)

Juara Piala Emas Raja-Raja 2010 (Kelantan)
Naib Juara Liga Super 2010 (Kelantan FA)
Naib Juara Piala Malaysia (Kelantan FA)

Juara Piala Sumbangsih 2011 (Kelantan FA)
Juara Liga Super 2011 (Kelantan FA)

Juara Piala FA 2012 (Kelantan FA)
Juara Liga Super 2012 (Kelantan FA)
Naib Juara Piala Sumbangsih 2012 (Kelantan FA)

Saturday, December 11, 2010

Ramzul jadi sandaran (Berita Harian Online)

2010/12/11

  RAMZUL (kiri) semakin menyerlah dengan sentuhan berbisa sepanjang saingan musim ini termasuk ketika membantu Kelantan membenam Terengganu 3-1 pada separuh akhir lalu.
RAMZUL (kiri) semakin menyerlah dengan sentuhan berbisa sepanjang saingan musim ini termasuk ketika membantu Kelantan membenam Terengganu 3-1 pada separuh akhir lalu.

Galas harapan Kelantan julang Piala Emas Raja-Raja

KELIBAT penyerang Mohd Ramzul Zahini Adenan pasti sekali lagi ditagih Kelantan untuk berdepan Kedah pada perlawanan akhir PUNCAK Piala Emas Raja-Raja di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, malam ini.
Mohd Ramzul, antara lima pemain Liga Super Kelantan yang diserap untuk memperkuat skuad Piala Emas Raja-Raja negeri itu musim ini, semakin menyerlah dengan sentuhan berbisa sepanjang saingan musim ini termasuk ketika membantu Kelantan membenam Terengganu 3-1 pada separuh akhir lalu.

Pemain 23 tahun itu adalah antara penyerang berbakat yang mampu pergi jauh selepas pulih daripada kecederaan dan bertekad memikul peranan penting untuk memastikan Kelantan menjulang Piala Emas Raja-Raja buat kali ke-13, selain kembali merebut tempat dalam kesebelasan skuad Kelantan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya terpaksa berehat panjang sebelum ini untuk memastikan kecederaan benar-benar pulih dan kini, saya sudah bersedia membantu Kelantan menjulang kejuaraan malam esok,” katanya yang mula mengukir nama dalam skuad Piala Presiden Kelantan pada 2007.

Ramzul pernah menjadi peledak utama Kelantan pada 2008 di bawah bimbingan jurulatih ketika itu, Norizan Bakar selain Peter James Butler tetapi namanya mula menjadi sebutan dalam aksi Piala Emas Raja-Raja musim ini apabila menyumbang gol pada perlawanan separuh akhir ketika menentang Terengganu.

Tatkala tiada masalah kecederaan dalam skuad bimbingan jurulatih Zahasmi Ismail, selain mendapat sedikit kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, pengurus Kelantan Nudin Awang mengingatkan pemainnya supaya tidak bersikap terlalu yakin.
“Memang di atas kertas nampak ada kelebihan, terutama dalam perlawanan penting seperti final ini tetapi pada masa sama, kami perlu lebih berhati-hati kerana apa saja boleh berlaku,” katanya

Sunday, December 5, 2010

Ramzul sedia galas tugas (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU – Bekas penyerang Liga Super Kelantan musim lalu Muhammad Ramzul Zahini Adenan kini bersedia menggalas tugas selaku penyerang utama The Red Warriors jika diberi peluang untuk beraksi dalam Liga Super 2011.

Menurutnya, kecederaan lulut yang dialami pada pertengahan musim lalu sehingga memaksa dia berehat panjang daripada beraksi bersama Kelantan, sudah pulih sepenuhnya.

“Alhamdulillah kecederaan saya sudah pulih. Walaupun masih wujud perasaan takut terutama dalam perebutan bola dengan pihak lawan, saya berharap ia akan lenyap sedikit masa lagi.

“Untuk musim baru tahun depan, saya bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan saya mendapatkan semula tempat saya dalam pasukan,” katanya ketika di hubungi di sini, semalam.

Tambahnya, dia mengakui cabaran untuk mendapatkan tempat dalam pasukan bukanlah tugas yang mudah.

“Saya perlu bekerja dengan lebih keras untuk memikat hati ketua jurulatih dan pihak pengurusan bagi merebut tempat selaku peledak utama,” katanya.

Ditanya mengenai penghijrahan dua penyerang sensasi The Red Warriors musim ini, Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, dia memberitahu ia memberikan sedikit kelebihan buat dirinya dan bakat muda yang gagal mendapat tempat musim lalu.

“Inilah peluang terbaik saya untuk membuktikan sesuatu buat pasukan selepas berehat panjang pada musim lalu dan saya tidak mahu lagi dibayangi oleh pemain tetap yang beraksi lalu.

“Begitu juga dengan rakan-rakan yang jarang beraksi, bagi saya Kelantan ada ramai pemain muda yang berbakat seperti Nizad (Ayub), Zamri (Ramli) dan ramai lagi, cuma rezeki belum memihak kepada pemain-pemain muda seperti kami ini,” ujarnya.

Muhammad Ramzul memulakan karier sebagai pemain bola sepak Kelantan apabila membarisi skuad Piala Presiden pada 2006 sebelum dipanggil menyertai pasukan utama dua tahun kemudian.

Kecederaan lutut yang dialami pada pertengahan tahun lalu, memaksa karier bola sepaknya bersama Kelantan terhenti buat seketika.

Pada masa ini, dia dipinjamkan mewakili Kelantan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70.

Thursday, December 2, 2010

Ramzul sedia jadi penggempur (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Bagi bekas penyerang Liga Super Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan tempoh rehat selama setahun setengah cukup memeritkan dalam sejarah karier bola sepak beliau apabila terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan lutut yang serius.

Kecederaan yang dialami pada pertengahan tahun lalu, memaksa karier bola sepak beliau bersama Kelantan terhenti seketika sementara kehebatannya selaku penyerang muda yang disegani suatu ketika dahulu tenggelam begitu sahaja.

Muhammad Ramzul Zahini, 23, mula menyarung jersi Kelantan selama dua tahun (2006-2007) mewakili skuad Piala Presiden Kelantan sebelum menjadi peledak utama Kelantan pada 2008 di bawah bimbingan jurulatih Kelantan ketika itu, Norizan Bakar dan tahun berikutnya beliau bermain untuk Kelantan di bawah kendalian Peter James Butler.

Beliau mengalami kecederaan lutut ACL (Anterior Cruciate Ligament) setelah bertembung dengan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Ching Hong Aik dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu yang berkesudahan Kelantan tewas 0-1 dalam perlawanan itu.

“Bermula musim baru tahun depan, saya berazam menunjukkan prestasi terbaik kepada pihak pengurusan bagi memastikan saya terpilih membarisi kesebelasan utama pemain Kelantan.

“Saya sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Walaupun ada sedikit perasaan gerun ketika beraksi terutamanya dalam perebutan bola dengan pemain lawan rentetan kecederaan tersebut, saya berharap perasaan sedemikian akan lenyap sedikit demi sedikit tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, bukan mudah untuknya memikat hati jurulatih dan pihak pengurusan dan dia akan berusaha keras untuk merebut tempat sebagai penyerang utama musim depan. Penghijrahan dua penyerang utama Kelantan musim ini, Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli mungkin memberi sinar baru kepada pemain berasal dari Wakaf Baru itu.

“Pemain muda Kelantan bukannya tidak berbakat. Kita mempunyai ramai pemain seperti Nizab (Ayub), Zamri (Ramli) dan Zul Yusri (Che Harun) yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang. Mereka menjadi aset penting kepada Kelantan.

“Cuma kadang-kala rezeki belum memihak kepada pemain-pemain muda seperti kami ini. Saya berharap tidak lagi dibayangi oleh pemain regular selepas ini. Ini peluang terbaik saya untuk kembali bermain bersama Kelantan setelah berehat panjang.

“Saya terpaksa berehat panjang sepanjang musim ini bagi memastikan benar-benar pulih daripada kecederaan sementara dalam aksi Liga Malaysia musim ini saya langsung tidak beraksi kecuali dalam kejohanan Sukma di Melaka pada Jun lalu membantu Kelantan mara ke peringkat suku akhir,” katanya," katanya.

Ketika ini, Muhammad Ramzul Zahini dipinjamkan mewakili Kelantan dalam saingan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-70 yang sedang memasuki fasa saingan suku akhir. Walaupun hanya menjaringkan satu gol daripada empat perlawanan yang diharungi ketika ini, tetapi sentuhan beliau masih lagi berbisa mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...