Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, June 11, 2011

Harap pamer aksi terbaik

Oleh Asmizan Mohd Samiran
mizan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Jelitawan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang bukan saja mahu melihat pasukan Kelantan membawa pulang Piala FA ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, tetapi pada masa sama berharap pemain Kelantan mempamer aksi terbaik yang bakal dikenang sampai bila-bila.

Penyanyi dan pelakon, Samiha @ Aishah Omar atau Misha Omar, 29, berkata, sokongan padu dan doa seluruh rakyat Kelantan seharusnya dijadikan azimat untuk pemain Kelantan berusaha meraih kemenangan, sekali gus tidak mengecewakan penyokong terutama yang sanggup bersusah payah menempuh perjalanan ratusan kilometer semata-mata untuk menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Bukan saya saja, tetapi seluruh rakyat Kelantan mahu Kelantan menang. Diharap sokongan yang diberi tidak dibalas dengan kekecewaan.

“Bermain dengan ikhlas, insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada Kelantan. Tunjukkan juga aksi cemerlang supaya perlawanan malam ini akan dikenang sebagai perlawanan terbaik sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Misha yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dia sentiasa mengikuti perkembangan pasukan Kelantan, terutama selepas prestasi pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors itu naik mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya suka melihat penjaga gol (Khairul Fahmi Che Mat) dan penyerang (Norshahrul Idlan Talaha). Mereka memang berbakat besar dan cemerlang.

“Cuma, saya lihat Norshahrul nampak berisi sikit selepas kahwin. Harap dapat jaga badan,” katanya.

Misha turut berpesan kepada penyokong Kelantan supaya menjaga diri dan berdisiplin.

“Kita tak mahu orang lain melihat penyokong Kelantan dengan pandangan yang negatif sebab kita sering menjadi mangsa tuduhan liar apabila berlaku sesuatu perkara tidak diingini ketika perlawanan membabitkan pasukan Kelantan.

“Tunjukkan kita adalah penyokong yang terbaik. Andai kata takdir tidak menyebelahi kita, kenalah terima dengan hati terbuka,” katanya yang meramal Kelantan akan menundukkan Terengganu dengan jaringan 2-0.

Bagaimanapun, Misha mengakui kekangan kerja menghalang dia daripada berkunjung ke stadium menonton perlawanan berkenaan.

Pendatang baru seni suara, Noor Qalisha Ahmad Rashid, 20, atau Qalisha pula berkata, sebagai anak jati Kelantan kelahiran Pasir Mas, dia bangga melihat pasukan bola sepak negerinya melangkah ke final Piala FA malam ini.

“Dulu tiada siapa peduli, tetapi kini pasukan Kelantan sering menjadi perhatian dan digeruni lawan. Pada perlawanan malam ini, saya nak lihat Kelantan menang.

“Buktikan Kelantan bukan calang-calang pasukan,” katanya yang meramalkan Kelantan menang 3-1 ke atas Terengganu.

Menurut penyanyi berdarah campuran Arab, Pakistan, Afghanistan, Melayu dan Bugis itu, dia mengharapkan kesebelasan pemain Kelantan yang beraksi malam ini mempamer aksi terbaik, sekali gus mampu menghiburkan dan memuaskan hati penyokong.

“Kelantan bukan saja perlu menang, tetapi perlu juga menang daripada segi aksi yang dipamer,” katanya.

----- Harian Metro Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...