Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label KL Plus. Show all posts
Showing posts with label KL Plus. Show all posts

Saturday, November 6, 2010

Harimau Muda A ganti KL Plus (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - KL Plus kekal menjadi satu-satunya pasukan yang menarik diri daripada persaingan Liga Malaysia musim depan selepas tarikh tutup pendaftaran pasukan, 1 November lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, ketiadaan KL Plus di Liga Super akan digantikan dengan Harimau Muda A . ''Ini menjadikan jumlah pasukan pada saingan Liga Super kekal sebanyak 14 pasukan, sementara Liga Perdana adalah 12, '' katanya yang ditemui pada sidang media JPKT di Wisma FAM, semalam.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan penyertaan beberapa pasukan masih tergantung kerana terikat dengan masalah kewangan.

''Beberapa masalah kewangan yang melibatkan soal tunggakan gaji, pembayaran denda, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masih belum diselesaikan.

''Sepatutnya segala isu ini patut diselesaikan sebelum 30 Oktober lalu, namun JKPT FAM melanjutkan masa sehingga 25 November ini kepada semua pasukan menyelesaikan masalah yang saya nyatakan tadi.

''Bagi memudahkan semua pasukan berkenaan, pada 12 November depan, JPKT FAM akan mencari jalan penyelesaian dengan memanggil semua Persatuan Bola Sepak(FA) negeri yang terlibat untuk duduk sama berbincang bersama wakil KWSP, LHDN dan Perkeso, '' jelasnya.

Selepas isu kewangan tersebut selesai, JKPT FAM akan mengatur jadual perlawanan pada 26 November, sehari selepas tarikh akhir yang diberikan oleh FAM kepada setiap FA negeri menyelesaikan masalah kewangan.

''Mulai musim depan semua perlawanan akan dijadualkan bermain pada hari Isnin dan Jumaat namun sama ada bermain di sebelah petang atau malam semuanya bergantung kepada FA negeri.

''Mungkin beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang bercuti pada hari Jumaat sesuai memilih bermain di sebelah petang,'' katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah dan Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad.

Tirai Liga Malaysia 2011 akan dimulakan dengan aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, Selangor dan juara Piala Malaysia, Kelantan yang mana Red Giants akan menjadi tuan rumah.

Juara Liga Perdana 2010, Felda United dan naib juara, Sabah akan menjadi pendatang baru Liga Super sementara Johor dan Pulau Pinang diturunkan pangkat ke Liga Perdana.

Melaka dan Shahzan Muda bakal beraksi di Liga FAM manakala Sime Darby serta SDM Kepala Batas akan menyertai Liga Perdana.

Tuesday, March 9, 2010

NS enggan pandang mudah cabaran KL Plus (Berita Harian)

oleh Mohd Amin Jalil

TURUN mencari kemenangan selesa menjadi misi Negeri Sembilan apabila berdepan KL Plus dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Walaupun menyedari misi itu bukan mudah dicapai berdasarkan prestasi KL Plus dalam saingan liga, jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan melahirkan keyakinannya terhadap anak buah yang kini berada pada tahap terbaik.

Katanya, selain dapat menurunkan barisan pemain cergas tanpa sebarang kecederaan, kemenangan yang dicapai ke atas Perlis dalam saingan Liga Super di laman sendiri Sabtu lalu, menjadi pembakar semangat buat pemain untuk meneruskan rentak cemerlang.

Kemenangan sudah tentu menjadi matlamat utama kami dan kalau boleh mendapatkan kelebihan jaringan untuk memudahkan tugas pada perlawanan timbal balas nanti, tetapi ia bukan suatu tugas mudah.

Namun saya yakin pemain Negeri Sembilan boleh melakukannya jika dapat memberikan komitmen penuh dan memanfaatkan setiap peluang jaringan, katanya semalam.

Wan Jamak berkata, berpandukan kepada perlawanan menentang Perlis tempoh hari, anak buahnya perlu meningkatkan lagi kekuatan mental apabila menangani asakan barisan Mat Zan Mat Aris kerana saingan suku akhir Piala FA lebih mencabar.

Mengenai barisan pemain, bekas pengendali kebangsaan itu berkata, ayam tambatan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak akan mengetuai jentera depan sambil dibantu pemain muda Mohd Firdaus Azizul atau Mohd Asyraf Al-Jafri.

Saya berharap jentera tengah yang diketuai kapten Rezal Zambery Yahya dan gandingan pertahanan Mohd Shukor Adan serta Mohd Aidil Zafuan berfungsi dengan baik, katanya.

Saturday, February 6, 2010

KL Plus tak rela tersingkir awal (Berita Harian)

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my

Terengganu, Kedah pula bawa bekalan selesa

STATUS sebagai pasukan Liga Super tidak menjamin laluan mudah dalam saingan Piala FA seperti apa yang dialami KL Plus dan Pahang menjelang timbal balik pusingan pertama, hari ini.

Mendahului 1-0, KL Plus tersentak dengan persembahan berani Harimau Muda yang bangkit dengan dua gol untuk meraih kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama.

Pahang pula diambang kekalahan kepada pendahulu Liga Perdana, Felda United apabila disentak dengan jaringan Abdul Ghani Rahman pada minit ke-42 sebelum Shahrizan Salleh menyelamatkan maruah Tok Gajah dengan jaringan penyamaan pada minit ke-90.


Kini KL Plus berdepan tugas sukar meraih kemenangan dua gol untuk mara bagi mengikis gol kelebihan tempat di Stadium Hang Jebat manakala Pahang perlu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri tanpa jaringan.

Melihatkan prestasi lesu dua pasukan dalam Liga Super itu, berkemungkinan mereka akan ditunjukkan jalan keluar oleh dua pasukan Liga Perdana yang belum lagi tewas sehingga kini.

Juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan juga perlu berhati-hati dengan keputusan 2-2 kepada Johor FC yang akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam ini.


Perlawanan lain yang masih dilihat terbuka adalah pertembungan Perak dengan Perlis yang seri tanpa jaringan dengan giliran Perlis untuk bertandang ke Stadium Perak.

Pasukan Liga Super lain, Terengganu dan Kedah dijangka tidak berdepan masalah selepas masing-masing meraih kemenangan 4-1 ke atas Pos Malaysia dan 2-0 ke atas Sabah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...