Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label England - Queen’s Park Rangers. Show all posts
Showing posts with label England - Queen’s Park Rangers. Show all posts

Friday, July 6, 2012

500 tiket dijual hari pertama

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
5 Julai 2012
500 tiket dijual hari pertama
.

HARI pertama kaunter jualan tiket perlawanan persahabatan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) menentang penyandang juara Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, 20 Julai ini mendapat sambutan daripada kalangan penyokong kedua-dua pasukan, hari ini.

Ia dijual di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam mulai tengah hari tadi.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah berkata, meskipun jualan tiket tidak mencapai sasaran hari ini, beliau menjangkakan jualan akan meningkat menjelang tarikh perlawanan.

"Pada hari ini, kita berjaya menjual hampir 500 keping tiket sejak kaunter jualan dibuka pada jam 12.30 tengah hari.

"Saya akui pada hari pertama jualan tiket sedikit suram. Mungkin bahang kehangatan masih belum dirasai, namun saya percaya ia akan terus meningkat pada jualan seterusnya nanti.

"Untuk itu, kaunter akan terus dibuka setiap hari sehingga 18 Julai ini bagi membolehkan penyokong mendapatkan tiket perlawanan tersebut," kata Nasir yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Tambah Nasir, selain jualan melalui kaunter tiket di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Kafa turut membuka kaunter termasuk di Restoran MZ Kampung Baru, TRW Cafe Kota Bharu, Pejabat Kafa Kota Bharu dan di rangkaian terpilih Restoran Hassan Nasi Ayam serta secara online di RedTix.AirAsia.com.

--- SINAR HARIAN

Hughes teruja jelajah pertama

Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes
Pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes

TERUJA untuk memulakan jelajah pertamanya ke Asia, pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes berharap Super Hoops dapat memikat hati “peminat baru” terutama penyokong di Malaysia.

Menyifatkan jelajah pra-musim sebagai medium mengeratkan hubungan antara pasukan dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Asia Tenggara, Hughes yakin lawatan mereka sememangnya amat tepat di dalam dan di luar padang.

“Saya tahu betapa besarnya EPL di sana (Asia Tenggara). Jadi saya yakin ia pasti sangat hebat apabila kita bertemu de ngan mereka. “Jelajah ini juga bukan sekadar untuk menarik peminat baru, sebaliknya berharap pemain akan dapat kembali ke England dengan skuad yang lebih cergas di penghujung lawatan," katanya.

QPR bakal bertandang ke Kota Kinabalu pada aksi persahabatan pertama menentang Sabah di Stadium Likas sebelum bertemu The Red Warriors di Stadium Shah Alam 20 Julai nanti. Hughes yang menyertai QPR pada pertengahan musim lalu turut berhasrat untuk mempersiapkan pemainnya dalam bentuk yang sempurna bagi menghadapi musim baru.

--- SINAR HARIAN

Monday, July 2, 2012

Kelantan, QPR tampil barisan terkuat

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
2 Julai 2012
Kelantan, QPR tampil barisan terkuat
.

KOTA BHARU – Juara Piala FA musim ini, Kelantan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) berjanji akan menampilkan barisan terkuat apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam pada 20 Julai ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan kendalian Bojan Hodak itu tidak akan menggunakan mana-mana pemain jemputan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada barisan pemain yang dimiliki sekarang.

“Inilah cabaran besar yang perlu ditangani pemain The Red Warriors. Ia bukan sekadar perlawanan persahabatan untuk suka-suka sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu titik permulaan untuk kedua-dua pihak menjalinkan hubungan lebih erat selepas ini.

“Peluang beraksi dengan pasukan ternama yang sudah pasti berada jauh lebih baik daripada kita merupakan satu pendedahan yang sangat berguna kepada semua pemain. Baik Kelantan atau QPR, masing-masing tidak mahu kalah dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media mengenai pengumuman perlawanan tersebut, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis, Ketua Pegawai Eksekutif Red Warriors, Kevin Ramalingam dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Malah Annuar secara berseloroh turut menjelaskan ada ganjaran istimewa menanti barisan pemainnya sekiranya mampu menewaskan skuad bimbingan Mark Hughes dalam pertemuan tersebut.

Kelab yang berpengkalan di London dan dimiliki Pengerusi Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes itu akan mengadakan Jelajah Asia dengan bertemu Sabah pada 17 Julai, Kelantan (20 Julai) diikuti Persebaya Surabaya (Indonesia) tiga hari kemudian.

Sementara itu, Inglis turut membayangkan tidak ada laluan mudah bagi Kelantan untuk menewaskan pasukannya memandangkan mereka juga akan menurunkan barisan terkuat dalam pertemuan itu nanti. “Ini merupakan sebahagian daripada persiapan pra-musim kami.

Saya sempat menyaksikan rakaman melibatkan pasukan Kelantan beberapa lalu.

Mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami tidak memandang rendah walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya. Antara beberapa pemain QPR yang mengesahkan akan turun beraksi ialah Robert Green, Dijbril Cisse, Shaun Wrigh-Phillips, Anton Ferdinand dan Bobby Zamora.

Sementara itu harga tiket bagi menyaksikan perlawanan ini ditetapkan RM33, RM53 dan RM 73. Tiket perlawanan boleh dibeli di Stadium Sultan Muhammad IV dan pejabat Kafa mulai Khamis ini.

--- SINAR HARIAN

Friday, June 22, 2012

QPR FC akan bertemu Red Warriors dan Sabah All Stars pada Julai

22 Jun 2012

SEPANG - Kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) merupakan pasukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan dan Sabah bulan depan sebagai sebahagian daripada pra-musim Asia Tour kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif QPR Philip Beard berkata perlawanan menentang Kelantan akan diadakan di stadium Shah Alam pada 20 Julai manakala dengan pasukan Sabah Allstars di Kota Kinabalu pada 17 Julai.

"Kami akan membawa pemain kesebelasan pertama pada pertemuan itu. Ia satu penghormatan bagi QPR untuk datang dan bermain di Malaysia dan Indonesia bulan depan. Setiap orang di kelab itu sangat teruja mengenai lawatan ini.

"Kami berharap ia akan membolehkan peminat kami di Asia menyaksikan pasukan kami beraksi. Ini merupakan langkah yang besar bagi QPR untuk datang dan bermain di Asia dan kami berharap ini merupakan peluang pertama bagi lebih banyak peluang yang akan datang," katanya kepada pemberita mengenai pengumuman QPR Asia Tour di Akademi Air Asia di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Komersial Kumpulan Air Asia Kathleen Tan, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak.

QPR atau lebih diknali sebagai 'Hoops' dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia Tan Sri Tony Fernandes.

Semasa Asia Tour, pasukan itu akan berada di tiga bandar raya - Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Surabaya ( Indonesia). Pasukan itu dijadual bermain menentang Persebaya FC di Surabaya pada 23 Julai.

Sementara itu, Beard berkata semasa lawatan itu, pasukan itu akan mencuba mencungkil bakat baru di Asia dan percaya pertemuan dengan Kelantan akan menjadi satu perlawanan yang menarik.

"Kami benar-benar mahu mengadakan latihan dengan bakat muda Malaysia. Saya akan meluangkan lebih banyak masa dengan pengerusi kelab Tan Sri Tony Fernandes untuk mencari bakat muda," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata perlawanan bersama QPR adalah persediaan pemanas badan untuk barisan utama Kelantan bagi menghadapi perlawanan Piala AFC menentang kelab dari Iraq, Arbil FC pada 18 Sept di negara itu dan 25 September di Kelantan.

"Satu penghormatan buat Kelantan apabila berpeluang bermain dengan pemain peringkat tinggi. Ini adalah persiapan untuk mereka (pemain). Mungkin membantu mereka supaya tidak berasa rendah diri ketika di padang," katanya.

Baru-baru ini dua kelab EPL - Arsenal dan Manchester City - memasukkan Malaysia dalam Asia Tour mereka. Arsenal dan juara EPL Manchester City akan mengadakan perlawanan
persahabatan dengan skuad senior Malaysia yang dilatih Datuk K.Rajagobal.

Arsenal akan bermain pada 24 Julai manakala Manchester City pada 30 Julai dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di stadium Shah Alam. - Bernama

Monday, May 14, 2012

Milik City

2012/05/14

pix_gal0
Skuad Mancini menang aksi terakhir penuh drama

MANCHESTER City akhirnya bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menanti 44 tahun, itupun memastikan kejuaraan dengan penuh dramatik apabila Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan beberapa saat sebelum tamat, untuk menewaskan Queen’s Park Rangers, 3-2 di Stadium Etihad, malam tadi.

Dengan tiga mata terakhir itu, City mengumpul 89 mata, mengatasi tetangga yang juga juara bertahan, Manchester United - menerusi perbezaan 8 gol - selepas juara bertahan itu turut menang 1-0 menewaskan Sunderland.
Begitupun, episod duka skuad Roberto Mancini hampir berlarutan apabila QPR mendahului saingan 2-1 pada baki 20 minit sebelum Edin Dzeko mengikat kedudukan dan Aguero muncul dengan rembatan emas beberapa saat sebelum ditamatkan untuk memulakan pesta kejayaan. - Agensi

--- BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...