Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Artikel Bola Sepak. Show all posts
Showing posts with label Artikel Bola Sepak. Show all posts

Sunday, September 4, 2011

Baiki ranking jika mahu tembus pasaran dunia

KUANTAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan pemain-pemain pasukan kebangsaan supaya membaiki kedudukan ranking negara di peringkat antarabangsa.

Tegas beliau, ia penting jika mereka berhasrat untuk bermain dalam pasukan liga antarabangsa termasuklah Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Mungkin pemain-pemain kita ada sedikit sebanyak peluang tetapi disebabkan pasukan kebangsaan kita kedudukan terlalu bawah menyebabkan mereka tidak dipilih.
“Mereka (FA) ada dasar mereka dengan hanya boleh menerima pemain daripada negara pada kedudukan 70 ke atas sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama media di sini, semalam.

Tambah Tengku Abdullah, ini merupakan satu peringatan kepada pasukan kebangsaan supaya dapat membaiki kedudukan di peringkat antarabangsa.
“Kalau boleh kita perlu membaiki ranking kita bukan sekadar kita menang Sukan SEA atau Piala Suzuki tetapi apa yang lebih penting lagi adalah di peringkat Piala Asia dan Sukan Olimpik,” ujarnya.
Dalam pada itu Tengku Abdullah turut berbangga kerana ramai pemain negara diberi peluang untuk bermain di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya dengan adanya peluang ini akan memberi keyakinan kepada pemain itu untuk lebih bersemangat beraksi di mana-mana sahaja.
“Para pemain yang ditawarkan untuk bermain di peringkat antarabangsa juga perlulah mempamerkan permainan yang bermutu bagi membolehkan mereka diberi kontrak yang lebih lama,” katanya.

----- Utusan Malaysia Online

Wednesday, March 16, 2011

'Sukan Terbaik Hanya di RTM' hanya gah pada nama (Kosmo Online)


LAMAN Facebook yang dibuka dan dinamakan 'Kami 100,000 Rakyat Desak Rais Yatim/RTM Siarkan Live Liga Malaysia'.


PARA peminat sukan tempatan nampaknya seperti sudah hilang sabar apabila Radio dan Televi- syen Malaysia (RTM) masih terus gagal menyiarkan siaran langsung perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2011 sehingga malam tadi.

Selepas berlalu tujuh perlawanan Liga Super yang bermula pada 29 Januari lalu tanpa sebarang perlawanan pun disiarkan secara langsung oleh RTM, aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi turut gagal disiarkan.

Malah aksi final Kejohanan Badminton Seluruh England yang menemukan Datuk Lee Chong Wei dengan Lin Dan pada awal pagi kelmarin, turut tidak disiarkan secara langsung oleh RTM yang sering melaungkan slogan 'Sukan Terbaik Hanya di RTM'.

Kecewa dengan sikap acuh tak acuh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim tentang soal siaran langsung sukan tempatan itu, satu laman Facebook yang dinamakan 'Kami 100,000 Rakyat Desak Rais Yatim/RTM Siarkan Live Liga Malaysia' telah dibuka.

Sehingga semalam, seramai 2,485 sudah menyertai laman Facebook berkenaan sebagai tanda desakan supaya Rais sebagai orang yang paling berkuasa di RTM mendengar rintihan rakyat Malaysia yang mahu- kan aksi Liga M disiarkan secara langsung.

RTM sebelum ini merupakan pemegang hak penyiaran Liga M dengan nilai tajaan RM6 juta setahun tetapi pada 2 Januari lalu, Astro diumumkan sebagai pemegang baru hak tersebut dari 2011 hingga 2014 dengan nilai tajaan RM30 juta setahun.

Namun, Astro bukanlah pemegang hak eksklusif siaran langsung Liga M kerana mana-mana stesen televisyen tempatan lain tetap dibenarkan untuk membeli hak penyiaran tersebut daripada stesen televisyen satelit itu.

Masalah timbul apabila RTM dikatakan mahukan 'diskaun berlebi- han' sedangkan bayaran yang dikenakan Astro ialah RM6 juta setahun, sama seperti jumlah dibayar RTM kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Bukan semua rakyat Malaysia melanggan saluran berbayar Astro terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut melaungkan slogan 'Sukan menyatukan kita semua' tetapi bagaimana untuk menyatukan rakyat jika RTM tidak menyokong sukan tempatan.

Wednesday, February 2, 2011

Santokh, Rajagobal dapat anugerah bergelar Datuk (Sinar Harian Online)


LEGENDAbola sepak negara yang mewakili Selangor dan Malaysia pada era 70-an, Santokh Singh sah bergelar Datuk secara rasminya sempena Hari Wilayah Persekutuan yang diadakan di Putrajaya, hari ini.

Santokh, 59, ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu tidak menyangka dianugerahkan gelaran Datuk dan merakam setinggi penghargaan kepada semua pihak yang mengiktiraf jasanya kepada negara selama ini sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

“Saya mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua pihak atas anugerah ini,” katanya.

Santokh mewakili Malaysia pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 1980, namun tidak menyertainya kerana kerajaan Malaysia memboikot temasya itu pada tahun berkenaan.

Menerusi rekod, Santokh berjaya memiliki 176 caps sepanjang mewakili pasukan kebangsaan bermula pada 1972 hingga 1980.

Sementara itu, pada majlis sama, pengendali kebangsaan, K Rajagobal membawa skuad Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 lalu turut dianugerahkan gelaran Datuk.

Saturday, January 29, 2011

Cadang ambil alih pengurusan stadium (Sinar Harian Online)



IPOH - Persatuan bola sepak negeri dicadangkan mengambil-alih pengurusan stadium di setiap negeri supaya dapat menjana pendapatan mengisi tabung persatuan dan tidak hanya mengharap bantuan Kerajaan Negeri.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin berkata, langkah itu dapat memastikan persatuan bola sepak negeri mempunyai kewangan yang mencukupi untuk mengharungi sai-ngan Liga Super dan pelbagai kejohanan.

“Pihak pengurusan lebih peka dengan peraturan dan ketetapan FAM seperti masalah lampu yang berlaku.

“Sekiranya stadium berada dalam pengurusan persatuan, pelbagai langkah boleh diambil memastikan prasarana stadium sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak bermaksud mengatakan pengurusan stadium pada masa sekarang tidak baik.

“Saya tidak mengatakan pengurusan stadium pada masa ini tidak baik, cuma sekiranya ia diserahkan kepada persatuan bola sepak negeri, pengurusan stadium itu akan lebih mantap dan boleh digunakan untuk menolong mengisi ‘kantung’ persatuan,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, persatuan bola sepak negeri boleh menggunakan ruang itu untuk mengumpul dana bagi me-ngadakan pelbagai program berkaitan sukan bola sepak.

Menurutnya, ia akan memberikan peluang kepada pengurusan untuk memperoleh pendapatan bagi menampung segala kos berkaitan stadium termasuk penyelenggaraan kecil bagi memastikan stadium sentiasa selamat. - Bernama

Saturday, January 22, 2011

Juara Piala AFF 2029 layak automatik (Harian Metro Online)

BUKAN hanya di Malaysia, sebaliknya cadangan Asean untuk menganjurkan Piala Dunia pada 2030 turut hangat dibincangkan di kalangan negara rantau ini.

Antara topik perbahasan adalah pasukan mana yang layak beraksi di Piala Dunia atas tiket selaku tuan rumah jika bidaan bersama negara rantau ini berjaya memikat hati badan induk bola sepak antarabangsa Fifa.

Jika pencetus idea, Menteri Luar Datuk Anifah Aman menyatakan cadangan awal untuk membentuk satu pasukan terbaik dari Asean, laporan berita dalam laman web Bangkok Post pula mempunyai versi berbeza.

Penolong Penyelidik Institut Hal Ehwal Asia Timur, Fuadi Pitsuwan berkata, pasukan yang muncul juara Piala Asean 2029 (Piala AFF) patut diberikan hak automatik beraksi pada Piala Dunia 2030 memandangkan tidak semua negara rantau ini boleh beraksi dalam kejohanan membabitkan 32 negara itu.


“Juara Piala Asean 2029 adalah pasukan yang layak untuk beraksi pada Piala Dunia Asean 2030,” katanya.

Bagaimanapun cadangan Fuadi itu sukar diterima memandangkan mengikut perkiraan penganjuran Piala AFF, acara dwi tahunan yang bermula sejak 1996 tidak akan diadakan pada 2029.

Namun ia tidak mustahil berlaku kerana pernah terjadi Piala AFF yang sepatutnya berlangsung pada 2006 ditunda pada 2007.

Berdasarkan ketetapan Fifa, setiap pasukan tuan rumah mesti mempunyai kemudahan telekomunikasi, pengangkutan dan penginapan yang baik. Negara tuan rumah pula mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 12 stadium dengan 10 daripadanya berkapasiti 40,000 penonton dan dua stadium boleh memuatkan 80,000 penonton untuk acara pembukaan dan final.

Fuadi mengakui, infrastruktur dan komunikasi adalah cabaran besar yang perlu dihadapi namun beliau yakin ia boleh diatasi.

“Setiap negara anggota Asean harus menyediakan sekurang-kurangnya satu stadium untuk kejohanan ini. Dengan jangkaan Timor-Leste akan menyertai Asean awal tahun depan, sekali gus menjadikan Asean mempunyai 11 anggota, Asean mampu membina 11 stadium baru,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Worawi Makudi berpendapat cadangan Asean untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2030 bukan mudah.

“Bukan mudah untuk Asean menjadi tuan rumah Piala Dunia. Jika mereka (Asean) mahu menganjurkan Piala Dunia, perlu hanya ada empat negara yang menganjurkannya. Adalah mustahil untuk Piala Dunia dianjurkan lebih daripada empat negara,” katanya yang dipetik dalam laman web rasmi persatuan itu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura, Zainudin Nordin mengalu-alukan usaha Asean untuk membuat bidaan.

“Tidak mustahil Asean boleh menjadi tuan rumah bersama dalam tempoh 20 tahun akan datang dengan pembangunan bola sepak yang agresif di kalangan anggota Asean, kita boleh memenuhi standard bola sepak antarabangsa,” katanya yang dipetik dalam laporan laman web The Times of India.

Thursday, January 20, 2011

Bida Piala Dunia tanpa campur tangan kerajaan (Sinar Harian Online)


CADANGAN negara-negara ASEAN untuk membida penganjuran Piala Dunia pada 2030 mesti dikemukakan oleh persatuan bola sepak induk negara masing-masing tanpa campurtangan pihak kerajaan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa menyatakan demikian berikutan cadangan Menteri-Menteri Luar ASEAN baru-baru ini berhubung pembidaan tersebut.

Beliau yang menyifatkan cadangan itu lebih kepada ‘keputusan politik antara negara ASEAN’ berkata, prosedur cadangan pembidaan itu sendiri tidak menepati peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Mengikut peraturan FIFA, cadangan pembidaan harus dikemukakan oleh persatuan bola sepak induk sesebuah negara dan disokong oleh pihak kerajaan dan bukannya pihak kerajaan mengarahkan persatuan untuk membuat bidaan,” katanya mengulas mengenai cadangan Menteri-Menteri Luar ASEAN yang bersidang di Lombok, Indonesia pada Ahad yang memberi mandat kepada Malaysia untuk menyediakan kertas kerja berhubung proses pembidaan tersebut.

Menurut Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberi tanggungjawab untuk berbincang dengan FAM berhubung penyediaan kertas kerja tersebut.

“Piala Dunia menjadi rebutan negara-negara yang bergabung dengan FIFA dan bukannya gabungan negara-negara. Tidak pernah berlaku ada gabungan negara-negara bertanding pada temasya tersebut.

“Ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002, masing-masing menghantar pasukan sendiri dan bukan gabungan kedua-dua negara,” katanya.

Ditanya adakah FAM menolak cadangan pembidaan itu walaupun menerima arahan dari KBS, Annuar berkata persatuan tersebut akan meneliti terlebih dahulu semua aspek peraturan FIFA.

“Kita bekerjasama rapat dengan KBS tetapi perlu meneliti kewajaran pembidaan tersebut terlebih dahulu berdasarkan peraturan FIFA,” katanya.

Annuar yang mahu bersikap lebih realistik berkata cadangan liga bola sepak di kalangan negara-negara Asean sendiri belum menjadi kenyataan.

Brazil akan menganjurkan Piala Dunia 2014, Russia (2018) dan Qatar (2022) sementara tuan rumah pada 2026 dan 2030 belum dipilih. - Bernama

Tuesday, January 18, 2011

Raja Ahmad Gesa Ahli Jawatankuasa FAM Letak Jawatan Peringkat Negeri (BERNAMA)

TAIPING, 18 Jan (Bernama) -- Pegawai persatuan negeri yang telah dipilih menganggotai jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melepaskan jawatan di peringkat negeri bagi mengelak berlakunya kontroversi.

Ahli Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata walaupun mereka boleh memilih untuk mengekalkan kesemua jawatan di peringkat FAM dan persatuan negeri tetapi ia hanya mengundang konflik kepentingan.

"Kita tidak mahu wujudnya pertentangan atau percanggahan antara individu, kelompok atau organisasi terhadap sesuatu perkara yang menjadi keutamaan khususnya jika mereka ini sekadar mendapat gaji bulanan dari persatuan yang diwakili.

"Konflik ini boleh wujud dalam pelbagai keadaan seperti perbezaan pendapat dan pandangan, perebutan jawatan, perebutan sumber yang terhad, persaingan yang tidak sihat, kronisme dan nepotisme," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian komputer kepada Ketua-Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah, dekat sini, hari Selasa.

Raja Ahmad berkata dengan melepaskan jawatan peringkat negeri, ahli jawatankuasa FAM boleh memberikan masa dan tumpuan kepada pembangunan sukan bola sepak negara yang kini telah menunjukkan peningkatan yang baik dan jauh berbeza.

Pada Oktober lepas, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah telah melantik Raja Ahmad, bekas naib presiden FAM, untuk menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Pertandingan FAM bagi penggal 2010-2014.

-- BERNAMA

Friday, January 14, 2011

Gegaran Piala Asia 2011 (tusan Malaysia Online)


Semangat piala Dunia 2010 akan dibawa oleh pasukan Jepun dalam saingan Piala Asia 2011.


PERSEDIAAN yang dirancang untuk penganjuran Kejohanan Piala Asia 2011 pada 7 hingga 29 Januari ini bakal menguji tuan rumah Qatar. Malah pelbagai pihak juga akan memberikan tumpuan yang lebih mendalam terhadap penganjuran kali ini.

Berjaya atau tidak tentu bakal memberikan kesan kepada tuan rumah yang terpilih untuk penganjuran lebih besar lagi iaitu Piala Dunia 2022.

Pasukan seperti Jepun, Australia dan Korea Selatan adalah antara 16 negara yang diramal bakal memberikan saingan sengit dalam kejohanan tiga minggu itu bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun laluan mudah sudah tentu tidak sewenangnya diberikan oleh juara bertahan Iran kepada tiga negara itu. Malah pasukan dari Kuwait juga semakin sukar untuk dijinakkan berikutan kejayaan mengungguli Piala Gulf baru-baru ini.

Keadaan ini memberi tanda awal bahawa, Iran, Kuwait dan pasukan Arab Saudi adalah pasukan yang semakin sukar untuk diramal prestasi mereka ketika ini.

Tugas besar yang bakal dipikul oleh Qatar ini memerlukan tuan rumah melakukan persedian yang cukup rapi terutama dalam memastikan fasiliti untuk pemain dan penyokong berada pada tahap yang terbaik.

Keadaan cuaca yang agak panas dengan tiupan angin hangat di Doha sudah tentu memberi kelebihan kepada negara-negara daripada Asia Tenggara selain memerlukan pemain dari Australia menyesuaikan diri dengan persekitaran itu.

Pemain bintang Australia, Tim Cahill mengakui bahawa dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Qatar untuk membolehkannya beraksi dengan lebih baik.

“Terlalu sukar untuk saya mengetahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Banyak yang perlu untuk disesuaikan, malah saya sendiri tidak tahu sama ada akan berada di kesebelasan utama skuad kebangsaan atau sebaliknya.

“Saya masih belum puas bersama skuad kebangsaan menjalani latihan bersama untuk menghadapi pasukan lain yang jauh lebih hebat.

“Semua pasukan yang menyertai kejohanan ini mempunyai keupayaan masing-masing kita tidak boleh memandang rendah dengan prestasi pasukan lain kerana mereka sudah tentu memberikan komitmen yang penuh dalam perlawanan ini,’’ kata Cahill yang juga pemain tonggak Everton.

Selain Cahill, skuad kebangsaan Australia akan dibarisi pemain Blackburn, Brett Emerton, penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer serta dua pemain Galatasaray, Harry Kewell dan Lucas Neill.

Australia berada dalam kumpulan sama dengan Korea Selatan yang cukup dikenali kerana mempunyai pemain Manchester United, Park Ji-Sung.

Korea Selatan akan cuba untuk mendapatkan gelaran pada tahun ini, bagaimanapun mereka masih dibayangi dengan kecederaan pemain penyerang Park Chu-Young.

Jurulatih Korea Selatan, Cho Kwang-Rae masih lagi belum membuat keputusan sama ada mahu menggantikan pemain tersebut menjelang sepak mula Jumaat ini.

“Saya masih belum boleh untuk membuat keputusan sama ada mahu

menggantikan pemain itu kerana kami perlu mencari pemain yang benar-benar serasi dengan pemain yang sedia ada kini,’’ katanya.

Dalam pada itu Jepun kini sudah bersedia mahu memulakan aksi di Piala Asia dan kesebelasan pemain mereka akan diketuai oleh pemain tengah CSKA Moscow, Keisuke Honda.

Malah jurulatih Jepun, Alberto Zaccheroni mempunyai matlamat lain selain mengungguli Piala Asia. Dia juga mahu memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada pemain kebangsaan untuk bekalan menghadapi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Sementara itu, juara bertahan, Iraq akan cuba untuk mengulangi kejayaan yang pernah mereka perolehi pada 2007 yang menyaksikan pasukan itu mampu memperoleh kemenangan di peringkat akhir menewaskan Arab Saudi.

Perlawanan sepak mula akan di adakan di Stadium Khalifa melibatkan pertemuan pasukan Qatar menentang Uzbekistan dan lima venue akan digunakan untuk kejohanan kali ini.

Lepaskan pemain sertai pasukan luar (Sinar Harian Online)




PASUKAN bola sepak di negara ini diminta melepaskan pemain yang ingin berhijrah atau mendapat tawaran bermain dengan pasukan luar negara bagi membolehkan pemain itu memperoleh pendedahan dan pengalaman.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar ketika membuat saranan itu berkata, ia adalah jalan terbaik bagi meningkatkan mutu permainan bola sepak dalam negara, yang pada dasarnya masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Beliau berkata, keengganan pasukan melepaskan pemain tidak menjanjikan perubahan kepada kemahiran pemain itu, terutama di kalangan pemain muda yang t memerlukan pendedahan.

“Jika negara ingin kembali menjadi gergasi bola sepak di rantau ini, negeri atau negara hendaklah mengorbankan pemain mereka beraksi di luar negara,” katanya.

Katanya, di pihak pemain pula, mereka juga hendaklah berani keluar bermain dengan pasukan luar terutama di Eropah yang mempunyai mutu permainan yang jauh berbeza.

“Janganlah hanya mengharap ilmu bola sepak yang ada dalam negara saja, sebaliknya tanam sikap berani berubah dan pergi ke pasukan lain (luar negara) demi mencari pengalaman,” katanya.

Raja Ahmad menasihati pemain agar tidak meletak sasaran berhijrah menyertai pasukan rantau Asia Tenggara yang corak permainan hampir dengan Malaysia.

“Bertekadlah untuk bermain di negara yang pernah melahirkan lagenda bola sepak. Indonesia, Singapura dan Thailand adalah negara jiran yang mempunyai corak permainan hampir sama dengan Malaysia, pergilah ke Eropah, Jepun atau Korea Selatan yang lebih baik,” katanya.

Menurutnya, setiap pemain hendaklah memberanikan diri mengharungi pelbagai rintangan bagi menimba ilmu dan mencari pengalaman jika ingin menaikkan mutu permainan bola sepak. - Bernama

Wednesday, January 5, 2011

Perjuangan skuad Harimau Malaya masih panjang, belum selesai (Berita Harian Online)

Oleh Markus Lim

2011/01/04

KEJAYAAN pasukan bola sepak negara Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF di depan lebih 90,000 penonton Indonesia di Jakarta baru-baru ini adalah sesuatu yang cukup manis dan barangkali akan terpahat dalam sanubari rakyat untuk tempoh lama.

Apa tidaknya, pemandangan sedemikian jarang sekali kelihatan dalam tempoh dua dekad ini. Detik manis inilah yang amat dinanti-nantikan peminat sukan tanah air.
Sepanjang tempoh dua dekad yang dipenuhi dengan kesuraman yang tidak berkesudahan, bola sepak negara sudah mengharungi pelbagai suka-duka dan zaman kemalapan yang hampir mematahkan semangat bukan saja peminat bola tetapi juga pemain sendiri.
Imej pasukan bola sepak negara bukan saja berada di persimpangan kerana persembahan hambar mereka malah sering menjadi bualan kalangan peminat tanah air.

Tetapi selepas dua kejayaan cemerlang berturut-turut yang menyaksikan pasukan kebangsaan kita dinobatkan sebagai juara Sukan SEA di Vietnam dan terbaru, Piala Suzuki AFF– nampaknya keyakinan yang menghilang selama ini, kini sudah mula kembali.

Barangkali jika Allahyarham Mokhtar Dahari dan pemain seangkatan yang masih hidup hingga ke hari ini, mereka sudah pasti berasa gembira di atas pencapaian anak buah K Rajagobal.

Tidak ada salahnya untuk keyakinan berkenaan ditonjolkan atau diuar-uarkan. Ini kerana, keyakinan adalah senjata utama yang paling ampuh dalam mencetuskan momentum.
Melalui keyakinan jugalah, ia mampu membawa kita jauh ke hadapan.

Kerana keyakinan yang tinggi, apa yang dilihat tidak mungkin sebelum ini, kini menjadi kenyataan. Dan inilah yang sudah berjaya ditunjukkan oleh pasukan kebangsaan negara.

Apapun, usahlah membiarkan kejayaan serta keyakinan yang melambung tinggi melalaikan kita. Kejayaan Piala Suzuki AFF harus diraikan tetapi secara sederhana.

Pasukan bola sepak kebangsaan harus berpijak pada bumi nyata. Mereka perlu menyedari bahawa kejayaan yang dikecapi ini hanyalah satu langkah kanan signifikan ke arah mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara.

Sesungguhnya, perjuangan itu masih panjang dan belum selesai. Pasukan kebangsaan kita sudah pun bergelar sebagai juara di Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF tetapi itu tidak bermakna kecemerlangan tersebut harus berhenti di situ.

Sebaliknya, kecemerlangan berkenaan harus diteruskan dan pasukan bola sepak negara harus mengambil kesempatan ini untuk terus memperbaiki prestasi mereka.

Bergelar sebagai juara ASEAN adalah satu permulaan baik tetapi berbekalkan keyakinan yang dimiliki, tidak mustahil satu hari nanti pasukan kebangsaan negara mampu menggegarkan rantau Asia biarpun ada antara peminat yang mungkin berasa sinis di atas keyakinan itu.

Yang pastinya, segala-galanya adalah berkemungkinan. Jika Jepun dan Korea Selatan satu ketika dulu bukan saingan kepada pasukan bola sepak negara ketika era Allahyarham Mokhtar Dahari tetapi mampu melangkah jauh seperti yang kita lihat sekarang, maka skuad Harimau Malaya boleh juga berbuat begitu.

Kuncinya terletak pada disiplin pemain dan kemampuan skuad Harimau Malaya untuk mempamerkan persembahan konsisten sepanjang masa.

Jangan ulangi kesilapan masa lalu dengan berasa senang hati dengan kejayaan dikecapi.

Juga, jangan terlalu ghairah mendapat publisiti hinggakan fokus utamanya tersasar.

Ibarat sebuah bidalan Inggeris yang berbunyi: Rom tidak dibina dalam sehari. Barangkali bidalan itu harus dijadikan sebagai peringatan bahawa usaha untuk memusnahkan segala kejayaan yang dikecapi oleh skuad Harimau Malaya sekarang boleh hilang dalam sekelip mata, tetapi untuk membina asas, kekuatan dan keyakinan ini memakan masa cukup lama.

'Harimau Malaya' sudah sebati (Berita Harian Online)

Oleh Shaarani Ismail dan Sazarina Shahrim
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/04

Ahmad Shabery tegaskan ia jadi ikon pasukan kebangsaan pada jersi atlit

PENGGUNAAN lambang Harimau Malaya dan gelaran haiwan itu yang diberikan kepada pasukan bola sepak negara tidak ada sangkut paut dengan semangat Tanah Melayu (Malaya) tetapi ia diambil bersempena semangat Harimau Malaya atau Malayan Tiger atau nama saintifiknya (panthera tigris malayensis) yang digunakan sejak sekian lama termasuk pada jata negara dan logo pelbagai agensi dan institusi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata lambang spesis Harimau Malaya sudah digunakan pasukan bola sepak negara dan tidak seharusnya ia menjadi isu kerana ia merujuk kepada spesis Harimau Malaya yang sifatnya penuh dengan semangat keberanian.
“Saya cuba tekankan bahawa lambang yang menjadi ikon kepada pasukan kebangsaan pada jersi dan pakaian rasmi ahli sukan terdapat belang harimau dari spesis Harimau Malaya.

“Jadi kalau kita rujuk dalam ensiklopedia mahupun wikipedia, nama yang digunakan adalah nama saintifik, begitu juga dengan Harimau Bengal atau Harimau Sumatera, mahupun kucing Parsi atau kucing Siam, tidak semestinya hanya orang Parsi atau orang Siam saja yang boleh memeliharanya.

“Kebetulan Harimau Malaya itu hanya ditemui di Semenanjung dan tidak terdapat di Borneo dan asas digunakan adalah sifat berani, corak belang serta habitatnya sebagai asas penilaian,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil Pengakap Malaysia ke Persidangan Pengakap Antarabangsa di Brazil, di pejabatnya, semalam.

Ahmad Shabery mengulas laporan berhubung kenyataan beberapa Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah meminta gelaran Harimau Malaya untuk pasukan bola sepak negara diubah kepada Harimau Malaysia bagi mencerminkan konsep 1Malaysia.

Menurutnya, lambang dan nama Harimau Malaya jelas semata-mata simbol dan perlu dikekalkan, namun pihaknya tidak menolak mana-mana cadangan yang mahu namanya ditukar bagi memastikan ia berperanan melambangkan kesepaduan masyarakat Malaysia.

“Bagaimanapun, jika mahu nama yang menjadi simbol ikon bola sepak itu ditukar maka kita terpaksalah melupakan spesis berkenaan dan jika mahu ia dikaitkan dengan nama pasukan bola sepak, kita lupakan belang yang ada dan kita lupakan ciri-ciri makhluk yang digelar Harimau Malaya.

“Kita boleh panggil pasukan bola sepak kita pasukan Harimau Malaysia tetapi tidak boleh dikaitkan dengan spesis Harimau Malaya kerana Harimau Malaysia memang tidak wujud,” katanya.

Monday, January 3, 2011

Usah terlalu ghairah terima lamaran kelab luar: Tengku Abdullah (Harian Metro Online)

KEJAYAAN menjulang buat kali pertama Piala Suzuki AFF nyata membawa tuah kepada beberapa pemain utama skuad kebangsaan apabila ditawarkan beraksi di beberapa kelab di negara jiran, terutama Indonesia.

Antara yang mendapat perhatian adalah penyerang terbanyak kejohanan dengan lima gol, Mohd Safee Sali serta rakan serangannya, Norshahrul Idlan Talaha serta pemain sayap kanan dari Selangor, Mohd Amirulhadi Zainal.

Ketika Mohd Safee dan Norshahrul secara terbuka bersungguh-sungguh untuk beraksi di Indonesia mahupun Vietnam sekiranya mendapat tawaran yang serius, pandangan sebaliknya dilontarkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Menurutnya sekiranya tahap dan kualiti di negara yang ingin mereka wakili itu adalah sama dengan saingan liga tempatan, Tengku Abdullah berpandangan mereka wajar untuk kekal beraksi di dalam negara.

“Kalau ada tawaran dari kelab Jepun atau Korea Selatan, mungkin itu adalah yang sewajarnya untuk dibuat pertimbangan yang serius kerana kedua-duanya adalah negara yang menyajikan saingan liga yang kompetitif dan bertaraf tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tambahnya lagi, pemain tidak boleh terlalu ghairah dengan kemenangan yang dicapai sejak kebelakangan ini sebaliknya perlu kembali kepada perkara asas.

“Saya cuma menasihatkan mereka berfikir berulang kali. Kami di FAM tidak boleh menghalang sekiranya mereka benar-benar serius untuk beraksi di luar negara.

“Malah kehebatan dan kekuatan sebenar pasukan itu juga kita tidak mengetahuinya, cuma melalui media massa,” tambahnya.

Sebelum ini sebilangan pemain Malaysia turut berkelana di luar negara seperti Lim Teong Kim (Hearta Berlin, Jerman), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (RC Strasbourg dan FCSR Haguenau, Perancis) serta Mohd Fadzli Saari dan Rudie Ramli yang beraksi di SV Wehense, Jerman.

Mengenai cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memasukkan bola sepak di program Road To London 2012, Tengku Abdullah berkata pihaknya mengalu-alukan perkara itu kerana kos untuk mengurus satu pasukan bola sepak adalah tinggi dan persatuan itu tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

Berkenaan imbuhan pemain kerana kejayaan menjulang Piala Suzuki AFF, beliau berkata Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan mengumumkannya di dalam tempoh terdekat.

Magis Raja buat B-23 (Harian Metro Online)

SENTUHAN magis ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal ke atas pemain muda mungkin diperlukan skuad bawah 23 tahun kebangsaan dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea di Indonesia, penghujung tahun ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjelaskan perkara itu ada di dalam pertimbangan badan induk bola sepak negara itu.

“Jika khidmatnya diperlukan, ia akan dilakukan tanpa menyisihkan jurulatih bawah 23 tahun kebangsaan, Ong Kim Swee,” katanya yang enggan mengulas peranan sebenar Rajagobal, sama ada sebagai penasihat atau sebagainya.

Ketua jurulatih kebangsaan itu dilihat tidak mempunyai sebarang tugas rasmi pada tahun ini selain membimbing skuad utama untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang dilaporkan diadakan pada pertengahan tahun ini, selain kemungkinan diberikan tugas bagi perlawanan persahabatan menentang Chelsea pada 21 Julai ini.

Kim Swee pula bertanggungjawab untuk menyediakan anak buahnya bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Pakistan pada Februari depan selain Sukan Sea di Indonesia itu.

Pada edisi sukan dwitahunan itu di Laos, Rajagobal membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan, menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas apabila menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir.

Adunan dan sentuhan jurulatih berusia 54 tahun itu membabitkan pemain senior dan muda terus memperlihatkan hasilnya apabila Malaysia mara ke pusingan kedua selepas 32 tahun pada aksi di Sukan Asia, Guangzhou pada November lalu.

Kemuncaknya, walaupun dilanda kecederaan sebilangan besar pemain utama, Rajagobal berjaya mengakhiri penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Piala Suzuki AFF kali pertama.

Kejayaan demi kejayaan yang diraihnya itu menyebabkan beliau berkemungkinan besar turut diberikan peranan yang aktif dalam usaha Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan pingat emas Sukan Sea.

BolaShebbie: Cabaran kita baru bermula (Harian Metro Online)

RASANYA belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua pembaca Harian Metro, akhbar yang ramai pembaca dan disegani.

Tahun 2011 bakal menjanjikan tahun mencabar untuk sukan bola sepak di negara kita. Ini kerana kita akan beraksi mempertahankan pingat emas Sukan Sea yang dimenangi di Laos, dua tahun lalu. Seterusnya, sebagai langkah mengukuhkan pembangunan bola sepak, kita harus mengemukakan pemain yang baru untuk mempertahankan pingat emas itu.

Walaupun ada pemain yang masih layak beraksi di peringkat umur itu, kita harus meneruskan pembangunan untuk memantapkan lagi skuad kebangsaan yang muncul juara Piala AFF Suzuki 2010.

Seperti mana diramalkan dalam kolum ini minggu lalu, pasukan Indonesia terbenam di Kuala Lumpur dengan persembahan terburuk mereka. Kebangkitan pasukan lawan itu di Jakarta harus diambil sebagai iktibar kerana kekalahan ini menimbulkan beberapa soalan.

Pasukan kebangsaan kita terus lemah selepas pemain tengah bertahan, Amar Rohidan dikeluarkan. Mungkin atas sebab kecederaan tapi ketiadaan pemain itu meninggalkan satu jurang yang besar di bahagian tengah mahupun di depan barisan pertahanan.

Pemain ini bagi saya adalah ‘wira yang tidak didendang’ (unsung hero), tapi pemain paling berpengaruh dengan ketenangan serta kebolehannya membaca pergerakan lawan.

Kita memerlukan seorang lagi pemain seperti Amar untuk bertindak sebagai gantian agar prestasi pasukan Malaysia tidak turun mendadak.

Pemilihan pemain Indonesia, Firman Utina sebagai Pemain Terbaik amat melucukan. Pemilihan ini sekadar pilihan politik di depan Presiden Indonesia yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Pemain Terbaik sepatutnya menjadi milik Safee Sali dengan golnya mencipta kejayaan sebenar buat negara. Pemain yang paling mempunyai skil dan menyuntik rasa gerun lawan adalah Norsharul Idlan Talaha. Setiap kali pemain ini mempunyai bola, dia begitu yakin dan berjaya menampilkan gelecekan yang membawa hasil.

Pasangan bek tengah, Mohamad Muslim dan Mohamad Fadhli Shas begitu kental dan berani dan kita memerlukan sekurang kurangnya dua lagi pemain seperti mereka.

Kita juga harus mencari pengganti sekiranya Safiq Rahim mengalami kecederaan atau digantung bermain.

Saya berharap dalam keghairahan menjadi juara Asean, kita terus mengambil langkah untuk menyediakan pasukan kebangsaan yang lebih kukuh serta pembangunan sistematik jangka panjang.

Tahniah diucapkan buat ketua jurulatih, K Rajagobal kerana berani dengan pemilihan pemain serta percaturan taktik yang membawa kejayaan ini. Biarlah kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 ini menjadi langkah pertama ke arah pembentukan sebuah pasukan yang disegani sekali lagi.

Bagi skuad negara, cabaran sebenarnya baru saja bermula!

Sunday, January 2, 2011

Pertimbangkan Sewajar Sebelum Terima Tawaran Kelab Bola Sepak Asing (BERNAMA)

02 Januari, 2011 18:47 PM

PETALING JAYA, 2 Jan (Bernama) -- Pemain bola sepak negara yang menerima tawaran daripada kelab asing diingati agar menilai kualiti kelab dan tahap permainan liga negara berkenaan sebelum menerima tawaran itu, nasihat Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Jika tahap dan kualiti mereka kurang atau pun sama dengan kita, saya rasa lebih baik sahaja mereka menempa nama dalam negara.

"Kita hanya mendengar kehebatan pasukan atau kelab luar negara itu dari media negara mereka namun sejauh mana kehebatan kelab mereka sukar ditentukan," katanya ketika diminta mengulas minat beberapa kelab luar negara seperti Indonesia dan Vietnam untuk mendapatkan khidmat pemain negara.

Tengku Abdullah yang juga Tengku Mahkota Pahang berkata FAM tidak akan menyekat pemain negara bermain untuk kelab asing kerana mereka mempunyai hak untuk menempa nama dalam pilihannya.

"Namun saya harap mereka fikir berkali-kali sebelum membuat keputusan akhir kerana risiko dan kekangan yang bakal mereka tempuhi berbeza dengan negara kita," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Exco di Wisma FAM di sini.

Media sejak kebelakangan ini melaporkan beberapa pemain negara antaranya Mohd Safee Sali, Mohd Amirulhadi Zainal dan Norshahrul Idlan Talaha ditawarkan bermain untuk kelab bola sepak dari negara jiran.

Baginda berpendapat sekiranya tawaran penghijrahan itu datang dari kelab negara Jepun ataupun Korea Selatan, ia lebih wajar dipertimbangkan kerana kualiti permainan mereka dikatakan lebih kompetitif.

Ditanya ura-ura bola sepak akan dimasukkan dalam program 'Road To London 2012', Tengku Abdullah berkata beliau mengalu-alukan sekiranya sukan itu tersenarai.

Program "Road To London 2012" setakat ini menyenaraikan empat jenis sukan iaitu badminton, terjun, berbasikal dan hoki untuk menyertai Sukan Olimpik 2012 di London.

Tengku Abdullah berkata ganjaran kerana membawa pulang Piala AFF Suzuki oleh pemain kebangsaan akan diumumkan Presiden FAM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada pertengahan bulan ini.

-- BERNAMA

Pemain Terima Tawaran Kelab Luar Negara Perlu Fikir Pembangunan Karier (BERNAMA)

02 Januari, 2011 16:53 PM

PARIT BUNTAR, 2 Jan (Bernama) -- Pemain bola sepak negara yang menerima tawaran bermain dengan kelab luar negara, perlu menimbang beberapa perkara sebelum bersetuju dengan tawaran berkenaan terutama dalam aspek pembangunan karier mereka pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pemain boleh membuat beberapa pilihan dengan menimbangkan sama ada kelab berkenaan boleh dijadikan kayu pengukur dalam karier serta akan membantu dalam pembangunan pemain pada masa akan datang atau sebaliknya.

"Apakah mereka sendiri berasa selesa untuk bermain di kelab yang lain. Dalam soal ini kita mesti terbuka. Banyak pemain seperti pemain England yang tidak semestinya bermain di England dan begitu juga pemain Sepanyol yang tidak semestinya bermain di Sepanyol.

"Ini perkara biasa tetapi apabila dikerahkan untuk tanggungjawab nasional mereka akan menjalani latihan pusat dan mewakili negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah sempena Larian Sawah Perdana dan Sukan Rakyat anjuran Umno Bahagian Parit Buntar di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyerang skuad kebangsaan Mohd Safee Sali yang menerima sekurang-kurangnya empat tawaran kontrak untuk menyertai kelab di luar negara iaitu Indonesia dan Vietnam.

Ahmad Shabery berkata pemain juga perlu memikirkan sama ada berbaloi mereka bersetuju menerima tawaran kelab berkenaan dengan meninggalkan negara dan sama ada diletakkan di bawah jurulatih terbaik serta bersama-sama pemain terbaik serta proses pembangunan diri, mestilah diambil kira dan bukan hanya memikirkan aspek pulangan gaji dan kewangan sahaja.

Beliau berkata sememangnya sudah sampai masanya pemain seperti Mohd Safee dan beberapa pemain lain yang mempunyai nilai tersendiri untuk bergelar pemain profesional.

"Kita juga melihat sekiranya bola sepak dipersetujui diletakkan di bawah program 'Road to London', kita juga fikirkan untuk program berkaitan pendedahan ke luar negara serta memperkemaskan sistem kejurulatihan kita, program peningkatan kecergasan dan fizikal. Ini semua kita perlu fikirkan untuk pembangunan bola sepak negara," katanya.

Menurutnya beliau akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) esok untuk mendapatkan gambaran sebelum membentangkan ke Kabinet Rabu ini berhubung persiapan 'Road to London' yang perlu dilakukan untuk pasukan negara.

Mengenai saranan MIC supaya jurulatih bola sepak negara K.Rajagobal dianugerahkan gelaran 'Datuk', Ahmad Shabery berkata penganugerahan itu hanya diberikan oleh Sultan dan Yang Dipertua Negeri dan ia tidak diberikan atas desakan mana-mana pihak.

Bagaimanapun katanya pihaknya boleh memberi cadangan berhubung anugerah 'Datuk' itu, namun sama ada diberi atau sebaliknya, ia tidak menjadi sesuatu yang berbeza.

"Anugerah 'Datuk' juga boleh diberikan kepada beberapa pemain tetapi sebagai seorang profesional, gelaran itu bukan menjadi kayu pengukur untuk beliau memberi khidmat yang lebih baik atau tidak. Saya rasa ini ada dalam profesionalisme bola sepak itu sendiri," katanya.

-- BERNAMA

Sokongan Kepada Skuad Harimau Malaysia Haruslah Konsisten (BERNAMA)

Oleh Markus Lim

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Perasaan gembira dan lega jelas terpancar pada wajah-wajah ribuan peminat setia bola sepak negara selepas menyaksikan skuad Harimau Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF Suzuki di Stadium Gelora Bung Karno, minggu lalu.

Pujian demi pujian malah sambutan luar biasa yang diberikan para penyokong Malaysia ketika menanti kepulangan skuad Harimau Malaysia, menceritakan segala-galanya.

Selama 20 tahun lamanya, persada bola sepak negara berada di persimpangan. Pasukan kebangsaan kita seolah-olah hilang punca, tidak bermaya dan sudah hilang keazaman untuk bermain.

Jurulatih yang diupah, datang dan pergi tanpa sebarang kejayaan manakala tahap keyakinan dan optimisme para penyokong terhadap masa depan bola sepak negara, turun naik.

Mereka terus tertanya-tanya di manakah silapnya skuad bola sepak negara hingga kedudukan skuad bola sepak negara makin corot dan pernah tewas kepada pasukan kerdil seperti Filipina dan Laos satu ketika dahulu?

Namun segala-galanya itu telah dilupakan seketika selepas skuad Harimau Malaysia bimbingan jurulatih K.Rajagobal meraih kejayaan paling signifikan semenjak Sukan Asia di Indonesia 1962 dan Teheran 1974 yang menyaksikan pasukan bola sepak kebangsaan negara meraih pingat gangsa.

Apa yang pasti, perasaan positif dan minat para penyokong setia terhadap pasukan bola sepak kebangsaan negara kini beransur kembali.

Pelbagai harapan diletakkan pada skuad Harimau Malaysia ini untuk terus mencapai sesuatu yang lebih gemilang di masa-masa hadapan.

Sememangnya, senario sedemikian adalah sesuatu yang lumrah di mana-mana negara apabila pasukan kebangsaan memperoleh kejayaan.

Dua kejayaan besar skuad Harimau Malaysia di Sukan SEA Vietnam dan Piala AFF Suzuki dalam tempoh dua tahun ini, ibarat penyuntik semangat kepada para penyokong bahawa masih ada sinar harapan buat pasukan kebangsaan negara.

Para penyokong setia negara seolah-olah dikejutkan daripada tidur mereka bahawa pasukan bola sepak negara tidaklah seburuk atau selemah mana seperti yang diuar-uarkan dalam media.

Dan apabila sokongan dan pujian terus diberikan kepada skuad Harimau Malaysia ekoran kejayaan terbaru ini, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan. Malah sudah menjadi naluri untuk kita sebagai manusia memberikan sokongan apabila keadaan dilihat baik dan positif.

Namun apa yang lebih penting, pujian dan sokongan yang datang bertali-arus ini tidak harus hadir ketika prestasi skuad Harimau Malaysia berada pada tahap yang terbaik sahaja. Sebaliknya, sokongan sedemikian perlu ada setiap masa.

Sehubungan itu, saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar sokongan peminat kepada pasukan bola sepak negara haruslah konsisten dan tetap, adalah kena pada masanya.

Ini kerana terdapat banyak insiden sebelum ini yang mana skuad bola sepak negara bukan sahaja dimaki-hamun malah dikutuk kerana memberikan persembahan yang hambar. Kutukan demi kutukan tersebut seolah-olah menggambarkan skuad kebangsaan tidak bernilai.

Terdapat juga insiden yang mana kebanyakan perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan tidak dihadiri penonton malah lebih buruk lagi, ada penyokong yang memilih untuk tidak hadir kerana putus asa dengan prestasi mereka.

Kekecewaan yang pernah diluahkan oleh para penyokong setia negara sebelum ini, sememangnya berasas dan tidak dapat dinafikan.

Tetapi itu tidak bermakna ia akan menghalang seseorang daripada terus memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak negara. Hanya disebabkan prestasi pasukan turun naik, sokongan itu ditarik balik. Ini bukanlah satu sokongan yang mahu dilihat.

Sesungguhnya, sokongan yang diberikan harus diterjemahkan dalam bentuk yang lebih konkrit dan bersifat dua hala. Sebagai seorang yang bergelar penyokong setia, haruslah mereka mempamerkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi baik semasa tempoh sukar mahupun senang.

Bermakna mereka tidak akan menghilang tetapi terus berdiri teguh di belakang skuad Harimau Malaysia. Jangan menyokong hanya pada nama sahaja.

Menerusi pendekatan sedemikian, kita berupaya menghantar satu mesej yang cukup jelas bahawa skuad Harimau Malaysia, pasukan bola sepak kebangsaan negara tidak akan keseorangan. Ibarat slogan popular pasukan Liverpool yang berbunyi: " You will never walk alone'' (Anda tidak akan berjalan berseorangan), begitu juga halnya dengan pasukan kebangsaan negara.

Adalah diyakini sokongan yang konsisten dan berterusan boleh membantu pasukan bola sepak kebangsaan negara mengekalkan momentum dan keyakinan dalam menghadapi cabaran-cabaran akan datang.

Bayangkan apakah perasaan para pemain skuad Harimau Malaysia jika mereka mengetahui bahawa para penyokong setia tidak berdiri teguh di belakang mereka bila keadaan memerlukan?

Kalau tidak ada penyokong yang mahu menyokong, siapakah lagi yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memberikan keyakinan kepada para pemain? Jurulatih sekadar bertindak sebagai fasilitator.

-- BERNAMA

Bola sepak dan kerakusan politik (Utusan Malaysia Online)

SAMA ada saya berada di Jakarta, Indonesia sebagai wakil baru akhbar ini tepat pada waktunya atau tidak, bukanlah idea yang bijaksana untuk dikongsi dalam tulisan ini.

Berkongsi dengan pembaca perkembangan mutakhir sukan bola sepak di negara yang mempunyai populasi penduduk 236 juta ini sebaliknya, menjadi nota yang mahu dimuatkan dalam perenggan seterusnya penulisan ini.

Suasana di Jakarta khususnya menjelang perlawanan akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF 2010 saling tidak ubah seperti agenda nasional yang cukup besar bagi seluruh rakyat di negara republik ini.

Maka benarlah pandangan yang mengatakan sukan mampu menerobos aliran pemikiran masyarakat. Sukan juga berupaya mencetus polemik, perdebatan dan percaturan idea di kalangan pencinta tegar sama ada yang berpusat di coffe house hotel-hotel waima di warung-warung kecil di tepi jalan.

Penangan sukan bola sepak di Indonesia sendiri misalnya telah mengubah secara total landskap sosio budaya masyarakat dari segenap lapisan.

Kerana mahu mendapatkan sekeping tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno sahaja hampir-hampir meragut nyawa mereka yang berpusu-pusu di pintu masuk stadium.

Itu belum lagi ditambah dengan permainan media tempatan yang cukup ghairah memberikan liputan kepada skuad Garuda yang dari kaca mata mereka harus diangkat ke taraf yang paling tinggi biarpun sebelum memasuki gelanggang.

Liputan meluas media-media tempatan terhadap sukan bola sepak di negara ini amat luar biasa sekali dan tidak pernah dilakukan di Malaysia.

Sepanjang demam Piala Suzuki AFF 2010 lebih-lebih lagi selepas Garuda dibaham oleh Harimau Malaya 0 - 3 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur di peringkat final pertama, liputan berbentuk provokasi menghiasi dada-dada akhbar serta dikupas dalam pelbagai bentuk perdebatan.

Pasukan bola sepak Indonesia kepada rakyat negara itu tidak boleh tunduk pada pasukan tetangga. Kesilapan itu bagaikan satu 'dosa besar' dan wajar ditebus semula meskipun secara relatifnya sukan bola sepak sewajarnya dijadikan senjata untuk mengakrabkan hubungan dua buah negara.

Rasa kasih dan sayang media tempatan terhadap para pemainnya dalam satu perspektif lain barangkali wajar diberi kepujian. Pemain-pemain skuad kebangsaan diangkat pada kedudukan yang paling tinggi biarpun sebelum waktunya kerana didorong oleh semangat nasionalisme yang tinggi.

Prestasi pasukan merah putih itu dianalisis dari pelbagai sudut pandang. Sehingga ke hari ini, satu Indonesia bercakap mengenai bola sepak meskipun kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 musim ini sudah berada dalam genggaman Malaysia.

Emosi rakyat negara ini terhadap pembangunan sukan bola sepak juga sangat mengagumkan berbanding perkembangannya sekitar lebih sedekad lalu.

Generasi skuad Garuda hari ini barangkali boleh disifatkan amat beruntung kerana di tengah-tengah sebahagian besar rakyat Indonesia terhimpit dengan kesulitan hidup, mereka seperti memberi 'nyawa' dan harapan baru.

Masakan tidak, di bumi negara ini masih ramai yang merasakan masa depan mereka semakin gelap kerana kadar inflasi yang meningkat. Itu belum lagi mengambil kira cabaran besar kepimpinan negara untuk menguruskan masalah rakyat dan rasuah yang bukan kecil jumlahnya.

Alternatif

Ketika ini, pasukan kebangsaan memberi alternatif membawa rakyat Indonesia untuk keluar daripada kedukaan.

Sukan bola sepak Indonesia merentangi segala sempadan permasalahan dan sekali gus mencuri perhatian segenap lapisan rakyat negara ini.

Piala Suzuki AFF 2010 mencetuskan kebangkitan masyarakat di negara ini untuk kembali menghijaukan padang yang sudah semakin pudar warnanya.

Biarpun skuad Garuda yang di bawah bimbingan jurulatih, Alfred Riedl itu tidak ditabalkan sebagai juara AFF Rabu lalu, ia bukanlah isu yang harus dipanjangkan lagi.

Sebaliknya, apa yang perlu diberi perhatian oleh seluruh pemerhati sukan ialah, bola sepak di negara ini telah membangkitkan gelombang nasionalisme yang lebih kental dalam jiwa rakyat Indonesia.

Namun, kecintaan yang semakin menebal itu, sayang sekali dicemari dengan kerakusan segelintir pihak yang menjadikan bola sepak sebagai agenda kepentingan politik mereka.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang dipimpin Nurdin Halid dilihat saling tidak ubah mencari ruang dan kesempatan meraih keuntungan agenda peribadi sehingga mengenepikan keharmonian semangat kesukanan.

Pelbagai kerapuhan dalam struktur pengurusan penganjuran AFF di Indonesia tidak diendahkan oleh Nurdin. Kesudahannya, penganjuran AFF di Jakarta khususnya pada peringkat akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta menyaksikan kacau bilau di kalangan penyokong tegar sukan bola sepak.

Kerana prestasi pasukan bola sepak itu yang kurang menyenangkan menyebabkan Nurdin didesak supaya meletakkan jawatan dan memberi ruang memimpin skuad itu kepada pemimpin yang lebih muda dan dinamik.

Di tengah-tengah keghairahan rakyat Indonesia berusaha mengembalikan semula maruah bola sepak negara juga, muncul pula politikus-politikus yang sengaja mahu menumpang perhatian dengan menawarkan habuan-habuan yang lumayan untuk para pemain skuad kebangsaan negara ini.

Andai benar janji-janji manis yang ditaburkan oleh penggiat-penggiat politik menjelang perlawanan akhir tempoh hari, Bambang Pamungkas, Christian Gonzales, Irfan Bachdim dan pemain-pemain lain tentunya boleh menggantung but dan hidup senang lenang tanpa perlu beraksi di padang lagi.

Undangan politik buat pasukan kebangsaan negara itu menjelang detik penting perlawanan akhir benar-benar meresahkan banyak pihak terutamanya Reidhl yang menyuarakan rasa kurang senangnya dengan tindakan-tindakan itu.

Bahkan, Reidhl juga dalam satu temubual dengan media menyifatkan, keghairahan media Indonesia mengangkat pemain kebangsaan serta kaum keluarga mereka sebagai bintang yang hebat merupakan percaturan yang kurang bijaksana.

Faktor-faktor inilah yang memberikan tekanan dan bebanan psikologi yang bukan kecil kepada pemain-pemain bola sepak negara itu.

Masakan tidak, harapan masyarakat yang digalas amat tinggi sedangkan menjelang hari perlawanan skuad lebih banyak menghabiskan masa menghadiri acara sosial anjuran ahli politik.

Laporan lidah pengarang beberapa media tempatan turut merumuskan kegagalan pasukan Garuda di gelanggang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bukanlah menandakan ia kekalahan pemain-pemainnya.

Pemain-pemain skuad kebangsaan itu tidak wajar dipersalahkan kerana mereka sudah melaksanakan tugas masing-masing.

Garuda sudah mula berani untuk terbang tinggi. Para pemainnya serta jutaan penyokong sukan itu di negara ini sebetulnya juga sudah berada beberapa langkah ke hadapan daripada pemimpinnya menyorak kebanggaan terhadap pasukan itu.

Sebaliknya, yang tewas dan paling kecewa ialah para pemimpin, oportunis politik dan mereka yang gemar mengeksploitasi maruah bangsa. Harus diingatkan, politik dan sukan merupakan dua agenda yang berasingan dan seharusnya dipisahkan secara total.

Bukan saja buat Indonesia, bahkan Malaysia juga sewajarnya menjadikan hal ini sebagai panduan untuk membangunkan sukan bola sepak pada masa depan.

Kita tentunya tidak mahu melihat Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi dan lain-lain menjadi mangsa eksploitasi politik di Malaysia.

Lebih baik serahkan saja mereka yang bijak pandai menguruskan pasukan bola sepak. Orang politik kerjanya membela nasib rakyat.

Bung Karno 'zon perang' (Harian Metro Online)

KEJAYAAN Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF benar-benar melonjakkan kembali semangat dan keyakinan rakyat terhadap bola sepak negara. Bagaimanapun perjalanan untuk meraih kejayaan itu tidak ditempuh dengan mudah.

Ikuti pengalaman AZLAN MUHAMMAD ZAIN ketika membuat liputan aksi final kedua kejohanan itu dalam gelora lautan merah di Stadium Gelora Bung Karno.

“TERASA tercabar juga apabila lagu Negaraku dihina oleh penyokong Indonesia yang membuat bising tanpa sedikit pun rasa bersalah ketika ia berkumandang pada aksi final kedua Piala Suzuki AFF, Rabu lalu.

Malah sejak saya tiba di Jakarta dua hari sebelum final itu, sentimen anti-Malaysia yang sememangnya wujud sejak beberapa tahun ini semakin menebal di kalangan penduduk di republik itu di tambah pula dengan kemenangan 3-0 memihak Malaysia pada final pertama.

Perjalanan yang dilalui skuad kebangsaan cukup berliku apabila dimalukan, dikritik, dihina dan terpaksa mengharapkan pasukan lain untuk mara ke peringkat separuh akhir sebelum bangkit bagaikan Harimau Malaya yang kelaparan dengan menyingkirkan juara bertahan, Vietnam.

Mara dengan gagah mengharungi lautan merah pada peringkat separuh akhir, satu lagi lautan merah yang lebih dahsyat menanti barisan pemain muda negara di final, kali ini lawan yang dianggap lebih sukar kerana situasi dan isu semasa yang mencetuskan ketegangan di antara dua negara.


Skuad bimbingan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal mengharunginya dengan baik di final pertama pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan menumbangkan Indonesia sebelum terbang bersemangat untuk menghadapi final kedua di Jakarta.

Penyokong Sang Garuda pula sudah bersedia untuk ‘menyambut’ Harimau Malaya dengan pelbagai cara dan perangai bermula di saat pemain kebangsaan menjejakkan kaki di bumi republik itu seterusnya di hotel penginapan pemain, sesi latihan dan kemuncaknya pada hari perlawanan.

Media massa Indonesia juga terus mengapi-apikan suasana yang sudah tegang dengan menuduh pancaran laser membantu kemenangan 3-0 Malaysia selain didakwa menggunakan bomoh dan serbuk putih yang boleh menyebabkan pemain berasa gatal.

Skuad kebangsaan dihina dengan pelbagai sepanduk seperti “Tim Laser” (Skuad Laser), ‘Laser No...Football Yes’ (Laser Tidak...Bola Sepak Ya) dan ‘Raja Gombal pasti hancur’ (gombal bermaksud kain yang digunakan untuk mengelap kekotoran) dan sebagainya.

Sesi latihan juga tidak dapat dilangsungkan dengan sempurna apabila hanya menjalani latihan ringan sepanjang dua hari sebelum perlawanan final kedua yang berlangsung di gelanggang kebanggaan republik itu, Stadium Gelora Bung Karno.

Saya dapat rasakan mental pemain benar-benar teruji dengan provokasi yang dilakukan oleh penyokong negara jiran itu selain hanya ‘terkunci’ di dalam bilik hotel penginapan malah Rajagobal sendiri bagaikan “mahu meletup” apabila diasak oleh media massa Indonesia yang seolah-olah enggan menerima kekalahan final pertama.

Di setiap pelusuk bandar Jakarta, rakyat republik itu pula tetap bersemangat dengan tidak lekang bercerita mengenai perlawanan final itu malah jika ada yang melihat rakyat Malaysia pasti ada yang menjerit, “Indonesia...Indonesia...Indonesia”.

Kemuncaknya adalah pada hari perlawanan apabila terpaksa menaiki kereta perisai yang dikenali ‘Baracuda ’dari hotel penginapan ke stadium bagi mengelakkan sebarang kekacauan dan keselamatan pemain serta pegawai Malaysia.

Lima Baracuda digunakan oleh pihak keselamatan yang dianggarkan berjumlah 10,000 berkawal di stadium untuk menghadapi lebih daripada 100,000 penyokong fanatik Timnas (skuad kebangsaan Indonesia) dengan setiap satu Baracuda membawa tujuh pemain kebangsaan.

Manakala ratusan peminat Malaysia yang berkunjung ke Jakarta pula hanya menyaksikan perlawanan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta selepas Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia hanya memberikan mereka di tempat duduk belakang gawang gol, melalui pintu dua, di tengah lautan penyokong Indonesia.

Keadaan di luar stadium pada hari perlawanan boleh disifatkan sebagai ‘berbahaya’ kepada sesiapa yang memakai baju, jersi atau sebarang tanda yang menunjukkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Malah semua petugas media Malaysia yang hadir untuk membuat liputan terpaksa bergerak secara berkumpulan dan memakai baju berwarna “neutral” seperti kelabu, ungu, putih malah ada yang memilih untuk memakai warna merah bagi mengelakkan menjadi tumpuan ramai. Malah saya sendiri memilih untuk memakai baju berwarna kelabu pada hari itu.

Saya melihat keadaan itu tidak ubah seperti “zon perang” dengan kehadiran sejumlah kereta perisai, unit anti rusuhan dan anggota polis yang lengkap bersenjata berkawal walaupun pada hakikatnya ia adalah perlawanan akhir bola sepak di peringkat Asia Tenggara saja, malah bukannya bagi merebut Piala Dunia.

Puluhan ribu penyokong Sang Garuda pula sudah memenuhi segenap ruang sekitar stadium untuk membentuk lautan merah dengan pelbagai aktiviti jual beli dijalankan termasuklah menjual barangan seperti kemeja-t yang menghina Malaysia.

Terdetik di hati saya apa pula yang bakal mereka lakukan jika rakyat Malaysia bertindak balas seperti itu.

Keadaan di dalam stadium pula gamat dengan nyanyian lagu patriotisme dan lagu rasmi Timnas, Garuda Di dadaku oleh beberapa artis tempatan yang disiarkan berulang kali sejak tiga jam sebelum perlawanan.

Malah stadium itu sudah memuatkan 95,000 penyokong, dua jam sebelum perlawanan sebenar bermula pada jam 7 malam (waktu Indonesia) dengan puluhan ribu lagi tidak dapat memasuki stadium kerana kehabisan tiket namun tetap menontonnya di layar gergasi yang disediakan di luar stadium.

Setiap saat perlawanan itu pula mendapat sorakan penyokong Sang Garuda yang mahu membangkitkan semangat pemain mereka yang perlu mencari sekurang-kurangnya empat gol bagi menafikan kejayaan Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF sejak ia mula dipertandingkan pada 1996 lalu.

Namun saat yang ditunggu mereka bertukar menjadi milik negara apabila penjaring terbanyak kejohanan, Mohd Safee Sali yang juga menjadi pemain Malaysia pertama meraih gelaran itu meledak gol kelimanya pada minit ke- 54.

Gol itu bagaimanapun tidak mendapat sorakan termasuk dari kalangan petugas media Malaysia yang tenang mengawal emosi walaupun perasaan untuk menyorak gembira itu membuak-buak kerana bimbang tindak balas penyokong Merah Putih itu.

Mujur juga kata hati kecil saya, Indonesia menjaringkan dua gol selepas itu untuk agregat akhir 4-2 berpihak kepada Malaysia, setidak-tidaknya penyokong mereka dapat pulang dengan kemenangan walaupun tanpa trofi yang masih menjadi buruan mereka apabila tewas pada kali keempat di pentas final.

Penyokong Indonesia bersurai dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini manakala pemain Malaysia tetap pulang ke hotel penginapan dengan menaiki Baracuda untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010.

Bagi kami, petugas media Malaysia terpaksa menunggu kira-kira tiga jam sehingga keadaan benar-benar selamat untuk keluar dari stadium sebelum kembali ke hotel penginapan.

Ia pengalaman yang cukup menguji kesabaran tetapi segalanya berbaloi dengan kejayaan Malaysia mengakhiri penantian 14 tahun Piala AFF untuk menutup tirai 2010.”

Saturday, January 1, 2011

Harimau Malaya simbol berani (Berita Harian Online)

2011/01/01

SAYA terpanggil untuk menjawab isu remeh yang tiba-tiba dibangkitkan supaya istilah ‘Harimau Malaya’ ditukarkan kepada ‘Harimau Malaysia’. Ini gara-gara kemenangan skuad kebangsaan menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010.

Sebenarnya ‘Harimau Malaya’ adalah sejenis spesies harimau yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia dan tidak terdapat di Sabah dan Sarawak.

Haiwan ini dikategorikan sebagai binatang di bawah perlindungan hidupan liar. Dianggarkan tidak sampai 600 ekor saja yang masih tinggal di hutan Semenanjung dan dibimbangi boleh pupus dalam jangka panjang. Sebelum ini ia dianggap sebagai spesies Harimau Sumatera, tetapi kajian baka pada 2004 mendapati harimau yang terdapat di Semenanjung ini adalah dari sub-spesies berlainan.

Pengkaji di Makmal Kepelbagaian Genomik di Amerika Syarikat kemudiannya menamakannya sebagai ‘Harimau Malaya’ atau ‘Malayan Tiger’ dengan nama saintifik Panthera tigris jacksoni sempena nama pakar kajian harimau Peter Jakson.

Disebabkan Kerajaan Malaysia dan pihak berkaitan di Malaysia tidak dirunding untuk penamaan ini, ia dibantah, namun kemudiannya setuju dengan gelaran ‘Harimau Malaya’ tetapi dengan nama saintifik rasmi Panthera tigris malayensis.

‘Harimau Malaya’ melambangkan ketangkasan, kekuatan dan keberanian yang mana ia digunakan sekian lama sebagai ikon dan simbol dalam Jata Negara (sejak 1948) dan sebagai lambang yang sama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maybank, Proton dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Adalah tidak salah untuk menggelarkan skuad kebangsaan sebagai skuad ‘Harimau Malaya’ yang sudah sekian lama digunakan sebagai ikon oleh Kerajaan Malaysia dan FAM sendiri.

PEMINAT SUPERMOKH,
Kuala Terengganu, Terengganu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...