Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Razali Umar Kandasamy. Show all posts
Showing posts with label Razali Umar Kandasamy. Show all posts

Tuesday, January 8, 2013

Felda United buru tiga mata

Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Ketua jurulatih, K Devan yakin anak buahnya dapat menterjemahkan strategi dirancang bagi meraih tiga mata walaupun beraksi di gelanggang lawan.
Katanya, selepas gigih menjalani latihan dan berjaya menunjukkan prestasi serta persefahaman baik, kini tiba masanya setiap pemain membuktikan kemampuan dengan memberikan persembahan bertenaga pada cabaran sebenar saingan berprestij ini.

“Kami sudah bersedia untuk memulakan cabaran dan saya harap pemain dapat memberikan persembahan terbaik pada aksi pembuka tirai ini dengan keputusan membanggakan sebagai suntikan semangat untuk meneruskan cabaran berikutnya.

“Walaupun Terengganu memiliki reputasi lebih baik dalam Liga Malaysia, ia tidak bermakna kami tidak boleh mencapai kemenangan. Saya sudah mengingatkan pemain supaya beraksi sebagai satu pasukan dan berikan yang terbaik,” katanya.

Mengenai pemain yang bakal diturunkan, Devan berkata, semua pemain berada pada prestasi baik dari segi fizikal dan mental dan beliau mempunyai beberapa pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik petang nanti.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menggandingkan Muhamad Ghaddar dan Razali Umar Kandasamy di posisi penyerang sambil mengharapkan mereka dapat melakukan sentuhan berbisa dengan merobek gawang Terengganu.

--- HARIAN METRO

Monday, May 30, 2011

PAFA tamatkan kontrak Razali lebih awal

Sumber: Berita Harian Online

Oleh Azizan Hashim

2011/05/30

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pemain bermasalah, Razali Umar Kandasamy mulai Rabu ini (1 Jun) kerana masih mengulangi perbuatan ponteng latihan buat kali ketiga musim ini.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan PAFA Jumaat lalu.
“Razali boleh lupakan saja musim bola sepak 2011. PAFA mengambil keputusan menamatkan kontraknya. Keputusan dibuat selepas mempertimbang segala aspek termasuk betapa banyak peluang diberikan kepada Razali selama ini.
“Banyak janji dan pengakuan diberikannya tetapi tiada perubahan, malah dia masih mengulangi perbuatan yang sama. Ini adalah tindakan wajar yang difikirkan semasak-masaknya supaya tidak merosakkan pasukan.

“Ia bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengikut prosedur dan ketetapan dalam kontrak,” kata Zainol.

Begitupun, katanya, PAFA akan membayar gaji bulan Mei berdasarkan potongan kedatangan ketika latihan pemain itu yang melebihi 50 peratus walaupun mula ponteng selepas perlawanan dengan Pahang di Ipoh, 6 Mei lalu.

Sementara itu, Presiden PAFA itu lega dengan kejayaan 2-0 Perak ke atas T-Team kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Super, mengatasi Kedah dengan kelebihan jaringan walaupun masing-masing terikat 38 mata.

Thursday, March 31, 2011

Razali Umar berdepan tindakan disiplin (Sinar Harian Online)


TEKA-teki status Razali Umar Kandasamy terjawab setelah pemain itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di pejabatnya, kelmarin.

Razali sebelum ini telah menghilangkan diri sejak 9 Mac lepas dan hanya menghantar SMS kepada seorang pegawai pasukan menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.

Menurut Zainol, Razali turut membawa sepupunya menjadi saksi kepada pertemuan itu dan saksi ikrar janji yang disuarakan.

Namun, tindakan disiplin tetap dikenakan terhadap Razali kerana dia telah melanggar syarat–syarat kontrak berikutan kegagalannya hadir ke sesi latihan harian.

“Saaya ingin tegaskan di sini pertemuan saya dan Razali tidak bermakna dia boleh terus bermain. Semuanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Berdasarkan kontrak, tiada kompromi bagi mana-mana pemain yang didapati melanggar peraturan, jika terpaksa potong gaji, kita akan potong,” katanya.

Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan yang keras.

Pada awal musim, Pafa memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu.

Thursday, March 17, 2011

Razali Umar 'hilang' lagi (Utusan Malaysia Online)


Razali Umar


IPOH - Penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy berdepan hukuman lebih keras daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kerana tidak hadir latihan skuad Perak.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, masalah ketidakhadiran Razali dalam latihan harian skuad Liga Super akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan PAFA hujung bulan ini.

"PAFA memandang serius ketidakhadiran Razali dalam latihan tanpa sebab dan kami akan membincangkan perkara ini secara terperinci.

"Razali juga perlu memberikan surat tunjuk sebab tidak hadir latihan,'' kata di sini, semalam.

Penyerang berbisa skuad Seladang itu sekali lagi 'menghilang' di bawah kendalian jurulatih, Norizan Bakar sehingga gagal dikesan sejak 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Razali juga tidak menjalani latihan selama tiga minggu selepas skuad Seladang pulang daripada menjalani latihan di Bangkok pada 26 Disember lalu.

Ekoran itu, PAFA memberi amaran terhadap penyerang tersebut.

Sebelum ini, Razali juga gagal hadir menjalani latihan pusat skuad kebangsaan apabila dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tahun lalu.

Kehilangan terbarunya sejak 9 Mac lalu sekali lagi memeningkan PAFA. Namun Razali ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang pegawai skuad Seladang baru-baru ini, dengan menyatakan dia cirit-birit.

Namun selepas itu, penyerang tersebut gagal dikesan sehingga namanya tidak disenaraikan dalam skuad Seladang ketika menentang T-Team dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu 12 Mac lalu.

Razali juga tidak disenaraikan dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA antara Perak dengan Terengganu di Ipoh, kelmarin.

"Saya tidak tahu mengapa Razali mengambil tindakan sedemikian yang menjejaskan perancangan jurulatih Norizan.

"PAFA juga sudah memotong gaji Razali selama dua bulan atas kesalahan ponteng latihan tetapi dia masih gagal mengubah tabiatnya," kata Presiden PAFA itu.

Zainol Fadzi meminta Razali berjumpa dengan mana-mana pegawai PAFA jika pemain itu mempunyai masalah.

"Razali mempunyai pengikut dan peminatnya tersendiri yang mahu melihat dia beraksi bersama skuad Seladang.

"Oleh itu jangan hampakan mereka," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad Seladang, Norizan berkata, ketiadaan Razali bukan masalah besar buat pasukannya.

"Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat beraksi dengan pasukan ini,'' katanya.

Tuesday, March 15, 2011

Razali buat perangai lagi (Harian Metro Online)

ALAH bisa tegal biasa! Pepatah lama itu menepati perwatakan pemain bermasalah Perak, Razali Umar kandasamy yang ternyata sukar membuang tabiat buruk lamanya apabila mengulangi tindakan ponteng latihan walaupun berjanji untuk berubah.

Ternyata peluang dan pengampunan diberikan pengurusan pasukan kepadanya selepas ponteng latihan selama hampir tiga minggu sekembali pasukan Perak dari lawatan ke Bangkok penghujung Disember lalu gagal menyedarkan Razali mengenai tugas dan tanggungjawabnya selaku pemain bola sepak profesional.

Dalam perkembangan terbaru, Razali mengulangi tabiat buruknya apabila tidak hadir latihan sejak Rabu lalu. Bermula dengan penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pasukan memaklumkan dia mengalami cirit-birit pada 9 Mac itu, pemain itu terus menghilangkan diri tanpa sebarang perkhabaran. membuat pengurusan pasukan Seladang tertanya-tanya apa gerangan yang menimpanya selepas itu.

Berikutan itu, dia diketepikan ketika Perak bertandang ke Kuala Terengganu menghadapi T-Team dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Malah sehingga semalam, kelibat Razali masih tidak kelihatan ketika skuad Perak turun dalam sesi latihan sebelah pagi untuk membuat persiapan menjelang pertemuan dengan Terengganu dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Ipoh, malam ini.

Jurulatih pasukan, Norizan Bakar ketika ditanya mengenai perkara itu mengesahkan mengenai ketidakhadiran Razali, tapi berkata dia tiada kuasa untuk bertindak terhadap pemain itu.

“Saya hanya bertanggungjawab terhadap masalah pemain semasa dalam padang dan latihan. Tindakan terhadap pemain tidak hadir latihan itu kena tanya pengurus pasukan,” katanya.

Norizan yang mengakui tidak mengetahui punca pemain itu tidak hadir latihan sehingga semalam, berharap ada pihak yang mampu memberitahunya kenapa pemain itu bertindak sedemikian.

“Saya amat berbesar hati jika ada sesiapa boleh menjelaskan kenapa Razali berkelakuan seperti ini. Saya tidak faham kerana ini bukan kali pertama dia berbuat demikian,” katanya.

Walaupun kecewa, Norizan tidak mahu menjadikan Razali sebagai isu besar kerana perlu menjaga kepentingan anak buahnya yang lain.

“Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat mencurah kudrat kepada pasukan. Jadi Razali bukan faktor penting dalam pasukan ini,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...