Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Fakhri Saarani. Show all posts
Showing posts with label Fakhri Saarani. Show all posts

Friday, November 25, 2011

Saya juga ada perasaan - Fakri


FAKRI dikutuk peminat tempatan gara-gara persembahan yang kurang meyakinkan sebagai peledak utama skuad Harimau Muda.


“SAYA juga ada perasaan, sesiapa pun pastinya terkilan jika dikutuk sebegitu rupa.“Mulut orang memang susah nak ditutup, jadi saya tidak peduli dengan kutukan itu dan menganggapnya sebagai suatu cabaran buat saya.”

Demikian respons ringkas penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Saaraini ketika menjawab segala tohmahan dan kejian yang dihamburkan kepadanya ketika ini.

Kegagalan Ahmad Fakri, 22, dalam menyempurnakan beberapa peluang terhidang ketika tewas 0-2 kepada Syria dalam aksi kelayakan Olimpik Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, ternyata mengundang kemarahan majoriti peminat fanatik bola sepak tempatan yang lantang mengecam pemain Negeri Sembilan itu secara terbuka, tidak kira dari tepi padang mahupun di laman sosial Facebook.

Ternyata, peminat tempatan masih belum dapat melupakan ‘dosa’ Ahmad Fakri yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini.

Sama ada sedar atau pun tidak, mungkin ada yang terlupa dengan jasa pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang berjaya meledak gol tunggal ketika menewaskan Myanmar pada pusingan separuh akhir, sekali gus menempah slot untuk beraksi di final Sukan SEA 2011.

Malah, mungkin ramai juga yang tidak percaya betapa Ahmad Fakri sebenarnya merupakan antara penyerang termuda terbaik yang dimiliki negara selain Thamil Arasu ketika ini, gara-gara kecederaan yang menimpa Syahrul Azwari Ibrahim dan Izzaq Faris Ramlan.

“Apa salah saya sebenarnya? Bukannya saya sengaja tidak mahu menjaringkan gol, cuma saya kurang bernasib baik.

“Hendak kutuk pun biarlah berpada-pada dan ada batasnya, namun setakat ini saya masih mampu bersabar,” katanya kecewa.

Menurut Ahmad Fakri, dia berazam untuk membuktikan sesuatu sekiranya diturunkan Ong Kim Swee ketika menentang Bahrain, Ahad ini.

“Jika saya berjaya menjaringkan gol ketika menentang Bahrain nanti, sudah tentu ia memberikan moti- vasi yang lebih baik buat saya.

“Cuma pada masa sama, saya tetap berharap supaya penyokong faham dengan kesungguhan saya setiap kali beraksi. Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat saya, sudah tentu ia tidak semudah dijangkakan,” katanya yang memohon dimengertikan.


--- Kosmo

Thursday, March 10, 2011

Hairuddin, Fakhri sandaran NS hadapi Selangor (Harian Metro Online)

GANDINGAN dua penyerang, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, bakal menjadi kunci kepada misi Negeri Sembilan untuk bangkit mencipta kemenangan apabila bertemu Selangor, dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Sekalipun setakat ini persembahan kedua-dua pemain itu belum begitu menyerlah dengan Hairuddin baru saja menyumbang dua gol termasuk satu pada saingan Piala FA manakala Ahmad Fakri masih buntu menemui sentuhan, namun kelibat mereka bakal menjadi penentu kepada kebangkitan yang diharapkan nanti.

Ini diakui ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, yang menyifatkan kematangan dan kebijaksanaan kedua-dua pemain terbabit akan terus ditagih dalam misi mencapai kemenangan selepas prestasi tidak konsisten dipamer pasukan itu terutama di halaman sendiri.

“Walaupun kedua-dua pemain terutama Hairuddin tidak konsisten dalam menyumbang gol kepada pasukan setakat ini tetapi mereka sudah berusaha keras dalam setiap perlawanan, sebagai contoh banyak percubaan ke pintu gol lawan dilakukannya ketika saingan Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Paroi, Jumaat lalu, tapi tidak menepati sasaran.

“Hakikatnya, Hairuddin dan Ahmad Fakri yang tidak beraksi ketika bertemu Kuala Lumpur tetap menjadi sandaran kami untuk merobek gawang Selangor dan saya harap mereka mempamerkan gandingan mantap demi memastikan kutipan mata berharga disasar di halaman sendiri kali ini tidak lagi tercicir,” katanya semalam.

Wednesday, March 9, 2011

Fakri mahu balas kepercayaan (Harian Metro Online)

PENYERANG skuad Olimpik negara, Ahmad Fakri Saarani (gambar) mahu membalas kepercayaan yang diberikan dengan menjadikan perlawanan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 dengan Pakistan, malam ini sebagai titik tolak kebangkitannya.

Walaupun sentuhannya belum menjadi musim ini apabila masih gagal menghasilkan gol dalam kempen liga tempatan dan juga perlawanan antarabangsa, pemain berusia 21 tahun itu yakin mampu meledak gawang lawan sekali gus menamatkan badi kekecewaannya itu.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih (Ong Kim Swee) kerana masih memberi tempat kepada saya dalam skuad ini. Jika diberi peluang pada perlawanan kedua menentang Pakistan, saya akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Mungkin tak ada rezeki lagi untuk saya menjaringkan gol tapi saya saya yakin masih boleh melakukan tugas dengan baik,” katanya.

Fakri antara tonggak di barisan serangan skuad Olimpik negara tiba bersama 17 pemain lagi di Lahore, kelmarin bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Pakistan di Stadium Punjab, malam ini untuk merebut tiket ke pusingan kedua.

Selain Fakri, Kim Swee turut mempertaruhkan tiga lagi penyerang, Ahmad Shakir Ali, Syahrul Azwari Ibrahim dan A Thamil Arasu. Bagi perlawanan kali ini, jurulatih negara itu mungkin akan meletakkan Fakri penyerang tunggal berbanding ketika Malaysia menang 2-0 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam di mana dia bergandingan dengan Shakir.

Pada perlawanan itu, Fakri gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai beberapa peluang terbaik berdepan Pakistan yang beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.

“Peluang untuk menang masih 50-50 dan kami perlu beri komitmen 100 peratus. Kami tidak boleh pandang rendah pihak lawan. Saya tidak ada masalah untuk bermain dengan Shakir dan juga pemain lain. Saya amat berharap dapat diturunkan sekali lagi,” katanya.

Kali terakhir Fakri, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan menjaringkan gol di peringkat antarabangsa adalah ketika skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish, Ogos tahun lalu.

Friday, March 4, 2011

Hairuddin, Fakhri kunci utama Negeri Sembilan (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/04

SELEPAS mendapat 'bye' pada pusingan pertama, Negeri Sembilan memulakan cabaran dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila berarak turun ke gelanggang menentang Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Namun prestasi yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super termasuk yang terbaru, tewas 0-3 kepada Kelantan, Selasa lalu, meresahkan pengendali skuad itu, Wan Jamak Wan Hassan, yang bimbang jika situasi berkenaan berterusan mungkin misi mempertahankan trofi kejuaraan menjadi sukar.

“Saya berharap prestasi kurang baik itu tidak berulang lagi apabila turun berdepan Kuala Lumpur malam esok (ini), sebaliknya setiap pemain perlu memberi persembahan terbaik dan jangan sesekali hilang fokus terutama pada penghujung babak,” katanya, semalam.

Dia menambah Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani masih menjadi sandaran utama di barisan depan dan berharap kedua-dua penyerang berkenaan dapat memainkan peranan berkesan ke arah merealisasikan kemenangan disasarkan.

Belum serasi (Sinar Harian Online)


PENYERANG skuad Olimpik negara, Ahmad Shakir Md Ali menafikan gandingannya bersama Ahmad Fakri Saarani kurang menyerlah sewaktu Malaysia membenam Pakistan 2-0 pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Pada perlawanan itu, mereka gagal meledakkan sebarang gol sebaliknya jaringan pasukan negara dihasilkan menerusi pemain posisi tengah iaitu Wan Zaharulnizam Zakaria dan Mohd Irfan Fazail pada setiap babak permainan.

Menurut Shakir ketika dihubungi Sinar Harian, itu adalah aksi pertamanya bergandingan dengan Fakri dan memerlukan masa untuk membentuk keserasian dalam pasukan.

“Saya memberikan aksi terbaik sewaktu menentang pasukan Pakistan dan pertama kali digandingkan bersama Fakri dalam skuad Olimpik.

“Cuma, kami memerlukan sedikit masa menyesuaikan diri untuk membentuk kombinasi persefahaman yang mantap,” katanya.

Difahamkan, penyerang asal Jitra, Kedah itu baru pulih daripada kecederaan pergelangan kaki sewaktu mewakili pasukannya bertemu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia, tahun lalu.

Mengulas mengenai peluang menebus kehampaan menjaringkan gol jika diturunkan jurulatih, Ong Kim Swee pada aksi kedua di Lahore, 9 Mac ini, Shakir berkata, terpulang kepada taktikal panel kejurulatihan menentukannya.

“Segala-galanya terpulang kepada taktikal jurulatih. Jika diturunkan pada pertemuan itu (menentang Pakistan), saya tekad menebus kedukaan dan berjanji bermain habis-habisan,” katanya.

Monday, February 21, 2011

Shakir, Fakri berjaya temui sentuhan jaringan (Kosmo Online)


SHAKIR (belakang) menjadi taruhan utama skuad kebangsaan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, Rabu ini.


DUA penyerang skuad Olimpik kebangsaan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani berjaya menemui sentuhan jaringan menjelang pertemuan dengan Pakistan pada Rabu ini.

Aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 itu bakal berlangsung di Stadium Shah Alam manakala aksi kedua pula dijadualkan berlangsung di Lahore, Pakistan pada 9 Mac depan.

Petang semalam berlangsung perlawanan simulasi membabitkan pemain utama skuad Olimpik kebangsaan menentang pemain simpanan Harimau Muda A di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Keputusannya, skuad pemain utama itu berjaya mencatat kemenangan 4-0 menerusi dua jaringan Shakir dan masing-masing satu gol oleh Fakri dan Gary Steven Robbat.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, dia lega kerana Shakir dan Fakri akhirnya menamatkan kemarau gol sepanjang mereka beraksi bersama Kedah dan Negeri Sembilan musim ini.

“Walaupun sekadar aksi persahabatan, tapi tahap permainan pada petang ini (semalam) cukup tinggi. Apa yang penting, Shakir dan Fakri menjaringkan gol.

“Saya harap ia dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk bergandingan di jentera serangan pada aksi bertemu Pakistan nanti,” katanya ketika ditemui petang semalam.

Sentuhan Shakir, 22, dan Fakri, 22, ditagih selepas dua penyerang utama Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim terpaksa diketepikan akibat kecederaan baru-baru ini.

Pada aksi semalam, kesebelasan bayangan untuk aksi Rabu ini menampilkan Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Affize Faisal Mamat, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K. Gurusamy, Irfan Fazail, Fandi Othman, Shakir dan Fakri.

Pada babak kedua, Kim Swee melakukan tujuh pertukaran dengan memasukkan Gary Steven, Izham Tarmizi Roslan, Wan Zack Haikal Wan Noor, D. Saarvindran, S. Sivanesan, Faizal Muhamad dan Faizal Abu Bakar.

“Selepas menilai prestasi kesemua 25 pelatih, saya akan umumkan senarai 18 pemain untuk aksi Rabu ini pada esok (hari ini),” jelas Kim Swee.

Sunday, February 6, 2011

Fakri tekad buru semula tempat dalam Harimau Malaya (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/02/06

 Ahmad Fakri (dua dari kanan)   berlatih bersama rakan sepasukan  pada sesi latihan skuad kebangsaan, kelmarin.
Ahmad Fakri (dua dari kanan) berlatih bersama rakan sepasukan pada sesi latihan skuad kebangsaan, kelmarin.
Selepas kecewa terlepas aksi Piala AFF tahun lalu gara-gara kecederaan

KECEWA terlepas peluang menyarung jersi kebangsaan ketika rakan sepasukan lain menjulang Piala AFF Suzuki hujung tahun lalu, Ahmad Fakri Saarani bertekad mahu memburu semula tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Memang kecewa tidak dapat meneruskan aksi ke Piala AFF Suzuki selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan peringkat kumpulan di Sukan Asia Guangzhou tahun lalu,” kata Fakri yang dipanggil semula jurulatih K Rajagobal dalam latihan skuad kebangsaan sejak Rabu lalu.
“Mungkin bukan rezeki saya bersama skuad kebangsaan ketika itu, tetapi ia tidak bermakna peluang tertutup sepenuhnya. Masih banyak kejohanan besar menanti skuad negara, mungkin rezeki saya pada kejayaan lebih besar.”

Skuad kendalian Rajagobal mula berlatih di Wisma FAM Kelana Jaya sebagai persiapan menghadapi skuad kebangsaan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam Rabu ini.

Seramai 24 pemain dipanggil dengan sebahagian besar adalah pemain skuad Piala AFF Suzuki.

“Saya akan memberikan persembahan terbaik sepanjang sesi latihan, tidak timbul soal terpilih atau tidak dalam kesebelasan utama. Bagi saya, matlamat utama adalah kemenangan skuad negara,” kata Fakri yang mewakili Negeri Sembilan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Bekas pemain Perlis tahun lalu turut berharap kehadirannya mampu membantu bahagian serangan lebih berbisa, bersama-sama Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Selain Fakri, Rajagobal turut menyenaraikan G Mahathevan, S Chanturu, Shahrizal Saad, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak dan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias bagi memperkuat skuadnya yang dikumpulkan pertama kali tahun ini.

Friday, December 17, 2010

Fakhri janji bantu Hoben Jang Hoben (Harian Metro Online)

SEKALIPUN mengakui bukan suatu tugas mudah menggalas cabaran besar melaksana sasaran memenangi tiga piala pada kempen Liga Malaysia musim depan, penyerang baru Negeri Sembilan (NS), Ahmad Fakhri Saarani tetap yakin misi itu boleh dicapai hasil kemantapan pasukan selain sumbangan terbaik setiap pemain.

Bekas penyerang Perlis itu berazam memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan barunya itu sebaik tirai saingan bermula 15 Januari ini.

“Saya bertekad menggalas tanggungjawab diamanah sebaik mungkin bagi menjulang nama pasukan demi membalas kepercayaan pengurusan.

“Saya yakin menerusi persiapan rapi dan kerjasama rakan sepasukan, sasaran merangkul tiga kejuaraan tidak mustahil dicapai,” katanya.

Pemain berasal dari Ipoh berusia 21 tahun itu adalah antara tujuh anggota baru skuad NS musim depan yang dibimbing Wan Jamak Wan Hassan dengan enam lagi pemain membabitkan Mohd Farizal Marlias, Ahmad Aminuddin Shaharuddin (Perlis), Norhafiz Zamani Misbah (gambar) dan Irwan Fadzli Idrus (KL Plus), Hairuddin Omar (Kelantan) dan G Mahathevan (PKNS Selangor).

Ahmad Fakhri berkemungkinan besar diganding dengan Hairuddin bagi mengemudi barisan depan NS berikutan ketiadaan ayam tambatan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak, yang berehat panjang hingga Mac kerana kecederaan lutut.

Dia mula menjalani latihan bersama skuad Hoben Jang Hoben awal bulan ini dan mengaku kehadiran pemain kebangsaan meningkatkan semangat untuk membuktikan kemampuannya.

“Saya tiada masalah menjalinkan persefahaman dengan rakan lain kerana mereka berpengalaman selain pernah bersama dalam skuad kebangsaan dan Harimau Muda.

“Tahap kecergasan kini mencapai 90 peratus dan saya yakin memiliki tahap maksimum sebaik saingan bermula,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...