Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Kelantan FA Vs Queens Park Rangers FC 2012. Show all posts
Showing posts with label Kelantan FA Vs Queens Park Rangers FC 2012. Show all posts

Monday, July 16, 2012

Apex janji pamer aksi terbaik

Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex

KUALA LUMPUR - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat bertekad untuk mempamerkan aksi mantap dalam setiap perlawanan mewakili negara dan negeri Kelantan, walaupun menghadapi jadual perlawanan padat sehingga hujung tahun ini.

"Perlawanan bola sepak memang banyak tahun ini, tetapi saya tetap fokus dan saya mahu menghadapi perlawanan itu satu persatu kerana setiap jurulatih tahu bagaimana untuk mengatur strategi permainan.

"Bagi saya, yang penting adalah fokus ketika menjalani latihan serta memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang saya serta rakan sepasukan akan hadapi nanti," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai duta produk terbaharu minuman tenaga 100PLUS.

Dipetik Bernama, Khairul Fahmi, 23, atau lebih mesra dengan panggilan 'Apex', menjadi pilihan utama skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di laman sendiri, November ini selain menjadi pilihan jurulatih
Bojan Hodak untuk membantu skuad Kelantan menghadapi Piala AFC dan Piala Malaysia dalam masa terdekat serta perlawanan persahabatan dengan Kelab LIga Inggeris QPR.

Khairul Fahmi merupakan atlet kebangsaan keempat yang dilantik menjadi duta syarikat minuman tenaga itu selepas penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Pelantikan Khairul Fahmi selama dua tahun sebagai duta produk itu menyaksikan wajah beliau dipaparkan dalam semua iklan 100PLUS bermula dengan Kempen Ramadan dan Hari Raya 100PLUS yang berjudul 'Sentiasa Cergas di Bulan Mulia ini'.

Mengulas mengenai harapan menggunung peminat setia pasukan Kelantan yang mahu melihat dua lagi piala iaitu Piala Malaysia dan Piala AFC dibawa pulang ke negeri itu, Khairul Fahmi berkata beliau berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Kelantan merangkul dua trofi musim ini iaitu mempertahan piala Liga Super yang dimenangi mereka musim lepas dan juara Piala FA buat pertama kali sejak 22 tahun.

"Bagi aksi suku akhir Piala AFC, kita semua tahu bahawa pasukan luar terutama dari negara Arab mempunyai skil permainan yang menarik, jadi saya harap rakan sepasukan akan mampu memberikan kejutan," katanya.

Skuad The Red Warriors bakal menempuh laluan sukar dalam suku akhir Piala AFC apabila dijadual bertemu pendahulu Liga Super Iraq iaitu Arbil FC pada perlawanan timbal balik bermula di Iraq pada 18 September dan 25 September ini di Kota Bharu.

Selain itu, mereka akan bersaing dalam Piala Malaysia yang dijangka bermula 22 Ogos.

Sementara itu, Jenny berkata Khairul Fahmi dipilih oleh syarikat minuman tenaga itu berdasarkan pencapaian beliau dalam membantu skuad bola sepak kebangsaan termasuk menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010 di Indonesia.

"Dia merupakan atlet yang bersemangat untuk mengejar kejayaan dan menepati slogan yang digunakan oleh 100plus iaitu 'Atasi Segalanya'.

"Kami percaya beliau adalah role model yang baik bagi mereka yang mahu menjalani gaya hidup aktif," katanya.

--- SINAR HARIAN

Friday, July 6, 2012

500 tiket dijual hari pertama

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
5 Julai 2012
500 tiket dijual hari pertama
.

HARI pertama kaunter jualan tiket perlawanan persahabatan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) menentang penyandang juara Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, 20 Julai ini mendapat sambutan daripada kalangan penyokong kedua-dua pasukan, hari ini.

Ia dijual di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam mulai tengah hari tadi.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah berkata, meskipun jualan tiket tidak mencapai sasaran hari ini, beliau menjangkakan jualan akan meningkat menjelang tarikh perlawanan.

"Pada hari ini, kita berjaya menjual hampir 500 keping tiket sejak kaunter jualan dibuka pada jam 12.30 tengah hari.

"Saya akui pada hari pertama jualan tiket sedikit suram. Mungkin bahang kehangatan masih belum dirasai, namun saya percaya ia akan terus meningkat pada jualan seterusnya nanti.

"Untuk itu, kaunter akan terus dibuka setiap hari sehingga 18 Julai ini bagi membolehkan penyokong mendapatkan tiket perlawanan tersebut," kata Nasir yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Tambah Nasir, selain jualan melalui kaunter tiket di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Kafa turut membuka kaunter termasuk di Restoran MZ Kampung Baru, TRW Cafe Kota Bharu, Pejabat Kafa Kota Bharu dan di rangkaian terpilih Restoran Hassan Nasi Ayam serta secara online di RedTix.AirAsia.com.

--- SINAR HARIAN

Hughes teruja jelajah pertama

Wartawan Sinar Harian
6 Julai 2012
Pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes
Pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes

TERUJA untuk memulakan jelajah pertamanya ke Asia, pengurus Queens Park Rangers (QPR), Mark Hughes berharap Super Hoops dapat memikat hati “peminat baru” terutama penyokong di Malaysia.

Menyifatkan jelajah pra-musim sebagai medium mengeratkan hubungan antara pasukan dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Asia Tenggara, Hughes yakin lawatan mereka sememangnya amat tepat di dalam dan di luar padang.

“Saya tahu betapa besarnya EPL di sana (Asia Tenggara). Jadi saya yakin ia pasti sangat hebat apabila kita bertemu de ngan mereka. “Jelajah ini juga bukan sekadar untuk menarik peminat baru, sebaliknya berharap pemain akan dapat kembali ke England dengan skuad yang lebih cergas di penghujung lawatan," katanya.

QPR bakal bertandang ke Kota Kinabalu pada aksi persahabatan pertama menentang Sabah di Stadium Likas sebelum bertemu The Red Warriors di Stadium Shah Alam 20 Julai nanti. Hughes yang menyertai QPR pada pertengahan musim lalu turut berhasrat untuk mempersiapkan pemainnya dalam bentuk yang sempurna bagi menghadapi musim baru.

--- SINAR HARIAN

Monday, July 2, 2012

Kelantan, QPR tampil barisan terkuat

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
2 Julai 2012
Kelantan, QPR tampil barisan terkuat
.

KOTA BHARU – Juara Piala FA musim ini, Kelantan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers (QPR) berjanji akan menampilkan barisan terkuat apabila kedua-dua pasukan turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam pada 20 Julai ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pasukan kendalian Bojan Hodak itu tidak akan menggunakan mana-mana pemain jemputan sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada barisan pemain yang dimiliki sekarang.

“Inilah cabaran besar yang perlu ditangani pemain The Red Warriors. Ia bukan sekadar perlawanan persahabatan untuk suka-suka sahaja. Sebaliknya ia merupakan satu titik permulaan untuk kedua-dua pihak menjalinkan hubungan lebih erat selepas ini.

“Peluang beraksi dengan pasukan ternama yang sudah pasti berada jauh lebih baik daripada kita merupakan satu pendedahan yang sangat berguna kepada semua pemain. Baik Kelantan atau QPR, masing-masing tidak mahu kalah dalam perlawanan ini,” katanya dalam sidang media mengenai pengumuman perlawanan tersebut, di sini semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Perdagangan QPR, Euan Inglis, Ketua Pegawai Eksekutif Red Warriors, Kevin Ramalingam dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim.

Malah Annuar secara berseloroh turut menjelaskan ada ganjaran istimewa menanti barisan pemainnya sekiranya mampu menewaskan skuad bimbingan Mark Hughes dalam pertemuan tersebut.

Kelab yang berpengkalan di London dan dimiliki Pengerusi Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes itu akan mengadakan Jelajah Asia dengan bertemu Sabah pada 17 Julai, Kelantan (20 Julai) diikuti Persebaya Surabaya (Indonesia) tiga hari kemudian.

Sementara itu, Inglis turut membayangkan tidak ada laluan mudah bagi Kelantan untuk menewaskan pasukannya memandangkan mereka juga akan menurunkan barisan terkuat dalam pertemuan itu nanti. “Ini merupakan sebahagian daripada persiapan pra-musim kami.

Saya sempat menyaksikan rakaman melibatkan pasukan Kelantan beberapa lalu.

Mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami tidak memandang rendah walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan,” katanya. Antara beberapa pemain QPR yang mengesahkan akan turun beraksi ialah Robert Green, Dijbril Cisse, Shaun Wrigh-Phillips, Anton Ferdinand dan Bobby Zamora.

Sementara itu harga tiket bagi menyaksikan perlawanan ini ditetapkan RM33, RM53 dan RM 73. Tiket perlawanan boleh dibeli di Stadium Sultan Muhammad IV dan pejabat Kafa mulai Khamis ini.

--- SINAR HARIAN

Friday, June 22, 2012

QPR FC akan bertemu Red Warriors dan Sabah All Stars pada Julai

22 Jun 2012

SEPANG - Kelab bola sepak Queens Park Rangers (QPR) merupakan pasukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kelantan dan Sabah bulan depan sebagai sebahagian daripada pra-musim Asia Tour kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif QPR Philip Beard berkata perlawanan menentang Kelantan akan diadakan di stadium Shah Alam pada 20 Julai manakala dengan pasukan Sabah Allstars di Kota Kinabalu pada 17 Julai.

"Kami akan membawa pemain kesebelasan pertama pada pertemuan itu. Ia satu penghormatan bagi QPR untuk datang dan bermain di Malaysia dan Indonesia bulan depan. Setiap orang di kelab itu sangat teruja mengenai lawatan ini.

"Kami berharap ia akan membolehkan peminat kami di Asia menyaksikan pasukan kami beraksi. Ini merupakan langkah yang besar bagi QPR untuk datang dan bermain di Asia dan kami berharap ini merupakan peluang pertama bagi lebih banyak peluang yang akan datang," katanya kepada pemberita mengenai pengumuman QPR Asia Tour di Akademi Air Asia di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Komersial Kumpulan Air Asia Kathleen Tan, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak.

QPR atau lebih diknali sebagai 'Hoops' dimiliki oleh ahli perniagaan Malaysia Tan Sri Tony Fernandes.

Semasa Asia Tour, pasukan itu akan berada di tiga bandar raya - Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan Surabaya ( Indonesia). Pasukan itu dijadual bermain menentang Persebaya FC di Surabaya pada 23 Julai.

Sementara itu, Beard berkata semasa lawatan itu, pasukan itu akan mencuba mencungkil bakat baru di Asia dan percaya pertemuan dengan Kelantan akan menjadi satu perlawanan yang menarik.

"Kami benar-benar mahu mengadakan latihan dengan bakat muda Malaysia. Saya akan meluangkan lebih banyak masa dengan pengerusi kelab Tan Sri Tony Fernandes untuk mencari bakat muda," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata perlawanan bersama QPR adalah persediaan pemanas badan untuk barisan utama Kelantan bagi menghadapi perlawanan Piala AFC menentang kelab dari Iraq, Arbil FC pada 18 Sept di negara itu dan 25 September di Kelantan.

"Satu penghormatan buat Kelantan apabila berpeluang bermain dengan pemain peringkat tinggi. Ini adalah persiapan untuk mereka (pemain). Mungkin membantu mereka supaya tidak berasa rendah diri ketika di padang," katanya.

Baru-baru ini dua kelab EPL - Arsenal dan Manchester City - memasukkan Malaysia dalam Asia Tour mereka. Arsenal dan juara EPL Manchester City akan mengadakan perlawanan
persahabatan dengan skuad senior Malaysia yang dilatih Datuk K.Rajagobal.

Arsenal akan bermain pada 24 Julai manakala Manchester City pada 30 Julai dan kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di stadium Shah Alam. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...