Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Tentera (ATM). Show all posts
Showing posts with label Tentera (ATM). Show all posts

Friday, March 14, 2014

ATM 'Tempang' Tanpa Empat Tonggak Utama


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'tempang' menjelang aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok selepas empat tonggak utamanya disahkan cedera.

Mereka ialah penyerang Marlon Alex James yang berdepan masalah kecederaan belakang, pemain pertahanan iaitu K. Reuben dan Amiridzwan Taj Tajuddin (lutut) manakala pemain sayap kanan, Christie Jayaseelan dilaporkan bergelut dengan kecederaan pangkal paha.

"Senarai kecederaan kami semakin panjang dengan Marlon, Reuben, Taj tidak akan diturunkan manakala Christie belum pulih 100 peratus," kata Ketua jurulatih ATM, B. Sathianathan dalam laman web pasukan itu www.atmfa.my.

Pengendali berusia 55 tahun itu bagaimanapun optimis skuad 'The Gladiators' mampu bangkit pada perlawanan esok selepas tewas 1-4 kepada Pahang di Kuantan, minggu lepas.

"Terus terang saya katakan, persembahan kami pada perlawanan lepas adalah yang paling buruk sejak saya mengambil alih sebagai jurulatih ATM (pada 2012).

"Sebelum ini, kami tidak pernah tewas dengan jurang tiga gol, paling banyak pun dua gol. Kali terakhir kami bolos empat gol ialah pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lepas, yang menyaksikan kami tewas 3-4 (kepada Sime Darby FC).

"Saya menagih persembahan yang lebih baik daripada pemain pada pertemuan menentang Selangor (esok)," kata Sathianathan.

Rekod kedua-dua pasukan menyaksikan ATM menang empat daripada lima pertemuan termasuk kemenangan dramatik 3-2 dalam saingan kumpulan Piala Malaysia musim lepas di Stadium Shah Alam manakala satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

-- BERNAMA

Saturday, October 5, 2013

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, Jumaat.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

Dalam pada itu, juara dua kali, Pahang turut mengikuti jejak langkah ATM selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pahang mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh yang menumpaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada suku akhir pertama, Jumaat lepas, bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Matias Ruben Conti pada minit ke-28.

Azamuddin Mohd Akil terus menambah duka untuk skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol kedua pada minit ke-60 sebelum Muhammad Khairu Azrin Khazali merapatkan jurang jaringan untuk Selangor PKNS FC pada minit ke-65.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

Tuesday, February 19, 2013

FAM Nafi Lambat Selesai Isu Pergaduhan Pemain Selangor Dan ATM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sengaja mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Jan lepas.

Menurut kenyataan FAM Selasa, badan itu perlu mengambil masa mendapatkan rakaman video selepas perlawanan itu daripada sumber lain kerana video yang dihantar Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta laporan daripada pengadil perlawanan hanya melibatkan aksi perlawanan sebenar dan tiada rakaman insiden di luar padang.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan FAM 'pilih kasih' dalam menyelesaikan isu berkenaan dan turut menyatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Setiausaha Agung FAS telah campur tangan bagi menyelesaikan isu itu di luar pengetahuan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Kenyataan FAM itu turut menjelaskan bahawa pihak sekretariat telah meneliti laporan yang dibuat 'match commissioner' (wakil FAM dalam perlawanan itu) yang dengan jelas menyebut supaya rujukan lanjut hendaklah dibuat melalui rakaman video.

FAM juga ada menerima laporan daripada pengadil dan penolong pengadil tetapi tidak menyebut mengenai insiden itu kerana pegawai berkenaan telah pun meninggalkan padang sebelum kejadian berlaku.

"Oleh demikian, sekretariat (FAM) sedang berusaha mendapatkan rakaman daripada sumber lain iaitu daripada stesen televisyen lain dan ini mestilah mengambil masa," menurut kenyataan itu.

Menurut FAM, setelah rakaman tersebut diperoleh, ia akan dibentang kepada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk proses perbincangan dan penelitian klip video itu di kalangan ahli jawatankuasa berkenaan sebelum pertuduhan dibuat.

"Ini bertujuan supaya FAM tidak membuat pertuduhan yang salah atau tidak tepat. Jika tiada klip video tersebut, kes ini akan juga dirujuk kepada mesyuarat jawatankuasa tatatertib (yang akan bersidang) pada esok untuk diteliti sebelum pertuduhan dibuat," menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa insiden pergaduhan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib di mana jawatankuasa FAM yang lain seperti JKPT tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan yang akan, sedang atau sudah diambil oleh jawatankuasa itu.

Ini selaras dengan kedudukan jawatankuasa tersebut sebagai badan bebas di bawah Statut FAM.

Kenyataan itu juga menyebut pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan semasa perlawanan boleh dibuat dalam masa dua tahun dari tarikh kejadian iaitu mengikut Perkara 6.1.1 Kod Tatatetib FAM yang selaras dengan Artikel 42.1 Kod Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Artikel 42.1 Kod Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)(2011).

"Bagaimanapun FAM tidak pernah mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuat pendakwaan," kata kenyataan itu.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Selangor Mohd Afiq Azmi dikatakan ditumbuk oleh pemain ATM selepas beliau melakukan provokasi melampau ke atas pemain lawan selepas pasukan Gergasi Merah menang 3-2 menerusi sepakan penalti. Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.



-- BERNAMA

ATM Rampas Gelaran Pendahulu Liga Super Daripada Selangor, Menang 2-0

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Selangor selepas mengalahkan pasukan itu 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Gol sumbangan dua pemain import ATM iaitu Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-16 dan Marlon Alex James pada minit ke-89 membolehkan skuad 'The Gladiators' menguasai kedudukan liga dengan mengutip 14 mata selepas tujuh perlawanan.

Terdahulu, pasukan pelawat ditimpa malang selepas pemain mereka Mohd Raimi Mohd Nor dibuang padang kerana mengasari pemain lawan pada minit ke-82.

Wakil kelab dari Singapura, Lions XII terus mengekori rapat di kedudukan kedua liga walaupun hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika bertemu pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim, di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Dua gol skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu dijaringkan Hariss Harun pada minit keempat dan Baihakki Khaizan pada minit ke-37 manakala Simone Del Nero dan Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing pada minit ke-11 dan 81.

Sementara itu, Kelantan bangkit mencipta kemenangan selepas menundukkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu menerusi jaringan penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou pada minit ke-32 dan 63.

Pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-80 selepas kapten mereka, Faizal Mohamad, dilayang kad merah oleh pengadil perlawanan kerana mengasari pemain skuad The Red Warriors, Mohd Zamri Ramli.

Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS pula hanya mengutip satu mata selepas terikat 2-2 ketika melayan kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.

Dua gol skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit keenam serta Fauzan Dzulkifli pada minit ke-26 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Rashid Mahmud dan Shahurain Abu Samah, masing-masing pada minit kelapan dan 87.

Terdahulu, pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Mohd Fazli Baharuddin dilayang kad merah pada minit ke-79 kerana mengasari pemain lawan.

Pahang pula terus dirundung malang selepas kalah 0-1 kepada Perak di Stadium Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut menerusi gol sendiri oleh kapten mereka, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-42.

Sementara itu, T-Team hanya mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan yang berlangsung sebelah petang.

Skuad 'The Titans' bagaimanapun dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat oleh Khairul Azuan Jamil seawal minit keempat sebelum Abdul Latif Suhaimi menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

-- BERNAMA

Friday, February 15, 2013

Tempoh Rehat Panjang Liga-M Satu Rahmat Kepada ATM - Sathianathan


KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pengendali pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B. Sathianathan menyifatkan tempoh rehat hampir sebulan Liga Malaysia (Liga-M) merupakan satu rahmat buat pasukannya untuk kembali berada pada prestasi terbaik.

Beliau berkata tempoh rehat itu turut memberi manfaat kepada pemainnya untuk memulihkan kecederaan sebelum aksi Liga-M bersambung esok, dengan perlawanan Liga Perdana.

ATM akan berdepan Negeri Sembilan pada perlawanan keenam Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu.

"Kecuali Marlon (Alex James), yang mengalami kecederaan belakang, saya memiliki barisan penuh pemain untuk dipilih bagi perlawanan Sabtu ini.

"Christie (Jayaseelan) juga sudah kembali pulih tetapi saya berkemungkinan akan menggunakannya sebagai pemain gantian," katanya seperti dipetik laman web pasukan www.atmfa.my.

Sathianathan berkata perlawanan menentang negeri kelahirannya merupakan satu detik manis buat beliau kerana pasukan 'The Gladiators' berjaya menumpaskan lawan sama dengan keputusan agregat 6-3 pada saingan suku akhir Piala Malaysia di Paroi, musim lalu.

"Kami melalui kenangan manis beraksi di Negeri (Sembilan) musim lalu apabila meraih kemenangan 3-1 dan seterusnya mara ke separuh akhir Piala Malaysia.



-- BERNAMA

Sunday, January 27, 2013

Siapa pukul Afiq?

SITI ZUBAIDAH MAT ISA
FOTO: SAFWAN MANSOR

27 Januari 2013
Piala FA
Shukur (kiri) menjadi ‘mangsa’ kesilapan pengadil selepas dilayangkan kad kuning kedua.
 
SELANGOR akan siasat pemain yang cuba memukul dan melemparkan botol ke arah penyerang mereka, Muhammad Afiq Azmi sebaik tamat pertemuan kontroversi antara Red Giants dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Piala FA, kelmarin.

“Biasalah selepas perlawanan, pemain akan pergi ke tempat duduk lawan untuk bersalaman. Mungkin kerana keadaan masih tegang, berlaku pertelingkahan dan tolak-menolak antara pemain.

“Kita akan buat laporan, sepatutnya perlawanan sudah tamat dan kekecohan yang tercetus selepas tamat permainan tidak sepatutnya terjadi.

“Mengenai Afiq. Kita sudah kenal pasti siapa yang memukul dan melemparkan botol ke mukanya,” kata Jurulatih Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim kepada media sebaik tamat perlawanan.

Mengenai kesilapan pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaccob, Irfan Bakti tidak menyalahkan sepenuhnya keputusan tersebut, sebaliknya berkata, kekeliruan mungkin timbul sehingga layangan kad merah diberikan.

“Shukur (Abd Shukur Jusoh) sememang layak menerima kad kuning, tetapi bukanlah kad kuning kedua. Tetapi dia memang salah kerana  masuk padang tanpa kebenaran pengadil.

“Mungkin dia (pengadil) hendak beri kepada Nasriq (Mohd Nasriq Baharom, jersi No 6), tetapi kerana Shukur memakai jersi nombor 8, dia berikan kad kuning kedua kepada Shukur.

“Ini kesilapan biasa dan dia (pengadil) mungkin tidak mencatat dengan betul, jadi sebab itu Amirul Izwan bertindak memanggil semula Shukur masuk ke dalam padang dan kad merah ditarik balik,” katanya.

Mengulas mengenai pertembungan pusingan pertama kelmarin, Irfan Bakti berpuas hati dengan kebangkitan ditunjukkan pemain setelah ketinggalan 0-2 kepada ATM.

“Mereka tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan seterusnya memenangi penalti.

“Pada pertemuan ini, seramai enam pemain utama tidak diturunkan dan saya bangga dengan pencapaian pemain gantian. Mereka menunjukkan persembahan terbaik untuk bangkit.

“Pemain perlu bersedia kerana kita kehilangan Amri Yahyah, Bunyamin Omar dan S Kunalan dan keputusan mengeluarkan Francis Forkey Doe sedikit pun tidak melemahkan pasukan,” katanya.

Kelmarin, Selangor kembali bangkit selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama untuk mengekalkan kedudukan 2-2 sehingga tamat 120 minit masa permainan.

Pertemuan yang diakhiri dengan sepakan penalti memihak Selangor (3-2) untuk bertemu Sabah di Stadium Likas, 12 Februari depan.

--- SINAR HARIAN

Saturday, September 1, 2012

Hai-O tekad julang maruah ATM



KAPTEN Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar (gambar) sudah memasang azam membantu pasukannya mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

Berdasarkan persembahan ATM sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Hairuddin atau lebih di- kenali sebagai Hai-O menganggap pasukannya sudah bersedia untuk melaksanakan misi tersebut.

"Sepanjang tiga perlawanan lalu, kami beraksi dengan baik apabila berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri.

"Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin rakan-rakan sepasukan begitu bersemangat untuk mempamer- kan aksi lebih baik pada tiga baki perlawanan akan da- tang.

"Saya berharap mereka berjuang habis-habisan memandangkan ATM tidak pernah berjaya mara ke pering- kat suku akhir," jelas Hai-O kelmarin.

Ditanya mengenai perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini, Hai-O meramalkan pertemuan sengit antara kedua-dua pasukan.

"Saya akui perlawanan di Kota Bharu nanti sukar buat kami tetapi berbekalkan semangat tinggi, kami tekad untuk mengekalkan aksi cemerlang sebelum ini.

"Umum mengetahui bahawa ATM berada dalam 'kumpulan maut' yang mana selepas kami bertemu Ke- lantan, kami akan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Jadi, satu mata amat penting ketika menentang Kelantan dan saya yakin kami mampu berbuat demikian berdasarkan prestasi semasa," katanya yang pernah membantu Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu muncul juara Piala Malaysia sebelum ini.

--- KOSMO

Wednesday, August 29, 2012

Aksi Kelantan, ATM tegang


PENYERANG Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) bersaing dengan pemain pertahanan ATM, Azmi Muslim pada aksi Piala Malaysia di Stadium MPS malam tadi.


PERTEMBUNGAN antara juara Liga Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Selayang malam tadi cukup hangat.

Seperti diramal, kedua-dua pasukan menampilkan aksi bertenaga dengan melancar- kan serangan ke kubu lawan masing-masing sebaik perlawanan bermula.

Begitupun, aksi menarik yang ditampilkan Kelantan dan ATM itu yang berkesudahan seri 1-1, dicemari dengan insiden kekecohan yang dicetuskan segelintir penyokong The Red Warriors ketika perlawanan memasuki minit ke-64.

Kekecohan itu berpunca daripada tindakan pengadil perlawanan, Mohd. Amirul Iz- wan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan selepas kapten, Mohd. Badri Radzi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Akibatnya, perlawanan terpaksa dihenti- kan sementara selama 14 minit.

Sebelum itu, ATM terlebih dahulu berjaya merobek gawang Kelantan hasil jaringan pe- nyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Kelantan memusnahkan impian ATM untuk meraih tiga mata penuh apabila memperoleh gol penyamaan menerusi Obinna Nwaner pada lewat perlawanan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, skuad Tok Gajah, Pahang 'naik minyak' apabila mengerjakan Sarawak 6-0 dalam aksi Kumpulan D.

Penyerang berbisa Pahang, Mohd. Fauzi Roslan muncul wira tuan rumah apabila berjaya melakar hatrik dalam perlawanan itu.

Tiga lagi gol Tok Gajah berjaya diledak oleh Hafiz Kamal, Boris Kockhin dan R. Gopina- than, sekali gus meletakkan skuad kendalian Dollah Salleh selesa menerajui Kumpulan D dengan tujuh mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selangor menghidupkan semula 'Misi 33' apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan berstatus kelab, T-Team dalam satu lagi aksi Kumpulan D.

Safiq Rahim muncul wira pasukan pelawat apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain pinjaman, S. Veenod dikasari Norfazly Alias pada minit ke-80.

Dengan kemenangan itu, Selangor kini berkongsi empat mata dengan Sarawak manakala T-Team terperosok di tangga tercorot kumpulan apabila sekadar mengutip satu mata setakat ini.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah boleh menarik nafas lega selepas meraih kemenangan pertama setelah mene- waskan Terengganu 2-1 dalam saingan Kumpulan B.

'Ayam tambatan' Kedah, Khyril Muhymeen Mohd. Zambri muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol berharga di bawah sentuhan pertama jurulatih dari Croatia, Mario Tot.

Kemenangan itu mencerahkan peluang skuad Kenari menyambar slot suku akhir setelah tewas kepada ATM (2-0) dan Kelan- tan (2-1) sebelum ini.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, juara bertahan, Negeri Sembilan gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika berdepan Perak dalam aksi Kumpulan C.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, impian Johor untuk mencatat kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia tidak kesampaian apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII.

Dengan keputusan tersebut, Lions XII kekal menerajui Kumpulan A dengan lima mata. Satu lagi perlawanan kumpulan menyaksikan Johor FC sekadar seri 1-1 dengan Selangor PKNS.

--- KOSMO

Sunday, August 26, 2012

ATM tidak mahu terlalu yakin


BARISAN pemain ATM lebih rela dilabel sebagai pasukan bukan pilihan pada kempen Piala Malaysia.


JUARA Liga Premier 2012, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mahu dilabel sebagai pasukan pilihan pada saingan bola sepak Piala Malaysia yang akan membuka tirainya hari ini.

Pengendalinya, B. Sathianathan mengakui bahawa saingan Piala Malaysia adalah lebih sengit memandangkan hanya pasukan terbaik sahaja yang layak bertanding.

Menurut Sathianathan, beliau tidak menyangka ATM diundi bersama juara Liga Super, Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam Kumpulan B yang dianggap sebagai pasukan cukup berpengalaman dan berwibawa.

Bekas jurulatih Kelantan itu menga- kui bahawa ATM bakal menempuhi laluan sukar dalam misi untuk merebut slot ke pusingan suku akhir.

“Selepas menyaksikan undian Piala Malaysia, saya mengakui laluan kami memang sukar kerana berada dalam ‘kumpulan maut’.

“Semua mengetahui bahawa juara Liga Super, Kelantan dan finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu merupakan pasukan cukup unggul dalam kumpulan tersebut.

“Begitu juga dengan Kedah yang memiliki pemain berpotensi dan berpengalaman dan mereka salah satu pasukan yang hebat di Liga Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan ATM, tiga pasukan tersebut memiliki 24 pemain yang cukup berkaliber baik dalam skuad utama mahu pun barisan simpanan.

“Berdepan dengan Kelantan dan Terengganu merupakan pertemuan penting bagi ATM. Jika berjaya mencuri satu mata sudah memadai buat kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru- baru ini.

Walaupun diundi dalam kumpulan maut, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu menjelaskan bahawa mereka tidak akan menyerah mudah dan akan berusaha untuk memberikan cabaran.

Sathianathan juga mengakui bahawa laluan untuk mara ke peringkat final lebih mudah sekiranya mereka mampu melepasi saingan peringkat kumpulan ini.

“Saya mahu barisan pemain ATM menggunakan peluang (menentang Terengganu, Kelantan dan Kedah) sebagai persiapan terbaik untuk mengharungi Liga Super pada musim depan.

“Sudah tentu kami mengidamkan Piala Malaysia tetapi saya mahu mengambil pendekatan realistik dan hanya mahu menumpukan kepada satu perlawanan terlebih dahulu,” ujarnya.

--- KOSMO

Sunday, February 19, 2012

'Tentera tak bernasib baik'

PEMAIN Perak Akmal Rizal Rakhli (kanan) mengawal bola sambil cuba dihalang pemain Tentera pada saingan Piala FA di Stadium Perak, kelmarin.

Oleh Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/19


SEMANGAT melawan anak buahnya tetap membanggakan B Sathianathan biarpun Tentera tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tumpas 1-0 kepada Perak di Ipoh, kelmarin.

“Nasib nyata tidak menyebelahi kami kerana gagal mendapatkan gol yang diperlukan walaupun memberi tentangan sengit pada babak kedua.
“Kami kalah melawan. Pemain bangkit untuk mencipta banyak peluang tetapi malangnya gagal melakukan penyudah,” kata jurulatih merangkap pengurus Tentera itu.
Menurut Sathia, dia terpaksa mengubah perancangan dan strategi selepas anak buahnya ketinggalan seawal minit ketiga permainan hasil jaringan Michal Kubala.

“Ia jaringan daripada sepakan percuma dan tiada siapa boleh dipersalahkan.
Berikutan itu kami terpaksa mengamal corak menyerang untuk mencari gol tetapi gagal. Bila itu berlaku benteng Tentera terdedah kepada serangan balas Perak, mujur mereka juga gagal menambah gol.

“Apapun saya berbangga dengan persembahan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang kental. Itu petanda baik buat pasukan. Saya memandang ke depan untuk kami mencuba nasib dalam Piala Malaysia pula nanti,” katanya.
Sementara itu jurulatih Perak, Norizan Bakar memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan permainan bermutu untuk menghasilkan kejayaan.

“Tahniah kepada pemain kerana bermati-matian hingga berjaya mengutip kemenangan. Tetapi masih ada kelemahan dan kepincangan yang perlu diperbaiki.
Rehat hampir dua minggu selepas ini akan digunakan untuk mengatasi kelemahan ini.”

--- BERITA HARIAN

Tuesday, February 7, 2012

Hai-O masih belum puas hati


MOHD FAHMI ISMAIL
5 Februari 2012
Hairuddin Omar

MESKIPUN berjaya memungut tiga mata maksima mengalahkan Pahang 3-2 kelmarin, kapten ATM Hairuddin Omar tetap kurang berpuas hati persembahan dipamerkan rakan sepasukan pada perlawanan tersebut.

Menurut Hai-O, dua gol mudah dilepaskan kepada pihak lawan, sepatutnya tidak berlaku namun Pahang yang bermain dengan sembilan pemain selepas dibuang padang dimanfaatkan sepenuhnya skuad pimpinan B Sathianathan.

“Ketika kedudukan terikat 2-2, agak sukar kami menambah jaringan. Tetapi, selepas Saiful Nizam Miswan diarah meninggalkan padang, barulah kami berjaya meledak gol kemenangan,” katanya.

Namun begitu, Hai O turut terkilan kerana banyak peluang keemasan dilepaskan begitu sahaja oleh rakan-rakan dan menyifatkan mereka mampu menang besar ke atas Pahang.

“Sayang sekali peluang menambah jaringan gol dipersia-siakan begitu sahaja. Tetapi, kami bersyukur atas kemenangan keempat saingan Liga Perdana musim ini,” katanya.

Pada aksi berkenaan, gol ATM disumbangkan menerusi Bruno Marteloto, Marlon Alex James dan Christie Jayaseelan, manakala skuad Tok Gajah membalas hasil jaringan Saiful Nizam dan Azamuddin Akil.


--- SINAR HARIAN

Tuesday, February 23, 2010

Tentera idam trofi Piala FA musim ini (Berita Harian)

Oleh Mohd Ali Majid
bhsukan@bharian.com.my

TENTERA yang mengidam kejuaraan Piala FA, musim ini akan menggandakan latihan bagi menghadapi Kedah dalam saingan suku akhir, bulan depan.

Setiausaha Persatuan Bola Ssepak Angkatan Tentera (PBAT), Mejar Abdul Rani Rahim, berkata seluruh tenaga pasukan akan dikerah bagi memastikan pasukan mencatat kejayaan dalam pertemuan ini.

“Kita akan kerah segenap tenaga pemain bagi memastikan pasukan mencatat kejayaan - sekali gus layak ke separuh akhir,” katanya.

Katanya, pertemuan ini pasti sengit ketika Kedah bukan calang-calang pasukan apa lagi selepas menyingkirkan finalis tahun lalu, Kelantan dengan agregat kelebihan jaringan di tempat sendiri, Sabtu lalu.

Tentera layak selepas menumpas Melaka dan Kelab Sukan Bola Sepak UiTM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...