Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Bosko Balaban. Show all posts
Showing posts with label Bosko Balaban. Show all posts

Saturday, March 3, 2012

Selangor elak terlalu bergantung kepada Balaban

KUALA LUMPUR - Jurulatih Selangor, Irfan Bakti, memberikan peringatan kepada semua pemainnya agar tidak meletakkan bebanan yang terlalu berlebihan kepada pemain import baru, Bosko Balaban dalam merencanakan serangan dan melakukan jaringan buat pasukan.

Walaupun mengakui suasana dalam pasukan Red Giants itu bagaikan mendapat semangat baru semenjak kehadiran bekas pemain kebangsaan Croatia itu, dia tidak mahu pemain bersikap lepas tangan dalam membantu pasukan memburu gol.

''Kebanyakan pemain saya lihat semakin bermotivasi semenjak kehadiran Balaban di samping rentak permainan pasukan juga semakin positif.

''Namun, saya tidak mahu para pemain jangan terlalu berharap kepada Bosko Balaban semata-mata di bahagian serangan walaupun saya akui kehadirannya bantu banyak perubahan.

"Pemain lain juga perlu membantu pasukan mendapatkan gol dan jangan mengambil kesempatan atas kehadiran Balaban," katanya yang dihubungi, semalam.

Selangor yang menamatkan rekod tanpa kalah Kelantan dalam saingan Liga Super pada perlawanan kelapannya, dilihat sudah menemui jawapan terhadap kebuntuan di bahagian serangan selepas mengikat bekas pemain antarabangsa Croatia, Balaban pada 13 Februari lalu.

Balaban menjaringkan salah satu gol ketika menewaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan turut menyumbangkan satu gol dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA bertemu Shahzan Muda yang dimenangi Selangor 4-0.

Bertemu Kedah pada malam ini di Stadium Darul Aman, Selangor berhajat meneruskan rentak kemenangan dalam usaha merapatkan jurang dengan kelompok pasukan atasan biarpun masih belum pasti dapat menggunakan empat tonggak utamanya yang baru pulang dari Manila.

"Keempat-empat (Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Norazlan Razali, Bunyamin Omar) tidak mengalami apa-apa kecederaan dan saya akan menguji tahap kecergasan mereka pada sesi latihan terakhir, jika keadaan mengizinkan, kemungkinan saya akan gunakan khidmat mereka dalam kesebelasan utama.

"Sementara ketiadaan K. Gurusamy yang cedera, tidak menjadi masalah besar buat saya kerana kami mempunyai banyak pilihan di bahagian tengah dan saya pun tidak menurunkannya pada dua perlawanan terakhir tetapi kami masih mampu meraih kemenangan," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, February 8, 2012

Selangor tidak bimbang tanpa kelibat Balaban

SEKALIPUN tanpa kelibat penyerang import, Bosko Balaban, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis skuad kendaliannya itu mampu mencatatkan kemenangan menjelang pertemuan menentang Lion XII FC dalam saingan Liga Super malam ini.

Irfan berkata, sehingga semalam, pihaknya masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) bagi membolehkan Balaban turun beraksi pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Justeru, tidak mahu menganggap isu tersebut sebagai satu masalah, bekas jurulatih Terengganu itu meletakkan sandaran terhadap barisan pemain tempatan untuk mengutip tiga mata penuh ke atas Lion XII FC.

“Biarpun tanpa khidmat Balaban, saya percaya pemain-pemain tempatan mampu beraksi dengan baik dan sekali gus mencatatkan kemenangan.

“Apa yang saya mahu, semua pemain perlu memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan esok (malam ini) dan tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan. Kami perlu menang kerana kami beraksi di tempat sendiri.

“Saya mahu pemain-pemain memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri ini sebaik mungkin,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Irfan, sekiranya hari ini, pihaknya masih belum menerima ITC bagi membolehkan Balaban beraksi, beliau akan meletakkan sandaran ke atas kapten, Mohd. Amri Yahyah bagi menerajui jentera serangan skuad Gergasi Merah.

Dalam pada itu, tonggak pertahanan import Selangor, Ramez Dayoub terpaksa diketepikan pada aksi malam ini selepas dikenakan hukuman penggantungan sebanyak satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Ketika ini, anak-anak buah Irfan menghuni tangga kelima carta liga apabila mengumpul lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

--- KOSMO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...