Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Idris Karim. Show all posts
Showing posts with label Idris Karim. Show all posts

Thursday, October 28, 2010

Tugas berat gamit Idris (Berita Harian Online)

Oleh Harris Rajahdin dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/28

IDRIS (kiri) bersama rakan dan Wan Jamak pada sesi latihan petang semalam.
IDRIS (kiri) bersama rakan dan Wan Jamak pada sesi latihan petang semalam.

Pikul tanggungjawab lebih besar tanpa Rahman, Rezal

KETIKA detik final Piala Malaysia berbaki dua hari lagi, Negeri Sembilan kembali pincang dan Wan Jamak Wan Hassan harus terasa gelisah apabila turun ke gelanggang menentang Kelantan yang bakal hadir dengan misi membalas dendam, Sabtu ini.

Semalam, Mohd Rahman Zabul – pemain yang dicanang sebagai pengganti Rezal Zambery Yahya – dilanda demam dan tidak turun menjalani latihan sejak dua hari ini. Ia sekadar menambah perit tugasan Idris Karim yang tampak bakal menggalas tanggungjawab lebih besar di Stadium Nasional, Bukit Jalil andai kedua-dua pemain ini gagal pulih.

Kelantan yang bimbang dengan limpahan pemain berbakat milik Negeri Sembilan harus terasa sedikit lega mendengar perkembangan dari Seremban tapi jurulatih, B Sathianathan dan anak didiknya mengerti Wan Jamak sentiasa ada muslihat membentuk kesebelasan terbaik pada saat genting ini.

Idris ketika ini dalam perancangan bergandingan dengan Qhairul Anwar Roslani, Abd Halim Zainal dan Shukor Adan menjana bahagian tengah dan akur misi itu sukar tanpa Rezal.

“Terasa juga detik sukar beraksi dengan ketiadaan mereka, begitu pun ia bukan kali pertama saya beraksi dengan Qhairul dan Halim. Gandingan ini adalah baru bagi final Piala Malaysia tetapi jurulatih sebelum ini selalu menukar ganti Halim dan Rezal.

“Keserasian tetap ada ketika bergandingan dengan mereka,” kata pemain berusia 34 tahun itu yang tidak beraksi pada separuh akhir pertama menentang Johor FC akibat penggantungan.
Idris dan seorang lagi pemain veteran, Ching Hong Aik, 37, kini menjadi contoh kepada pemain muda lain yang semakin meningkat dalam skuad Hoben Jang Hoben menghadapi suasana perlawanan akhir di hadapan ribuan penyokong majoriti Kelantan.

“Saya lihat pemain muda dalam pasukan ini memiliki semangat tinggi dan sentiasa mahu memajukan diri. Mereka juga tidak memiliki sifat gementar.

Idris, Shahurain terajui serangan (Harian Metro Online)

PEMAIN berpengalaman dijangka menjadi watak utama melaksanakan misi pasukan masing-masing apabila Negeri Sembilan dan Kelantan turun membuat perhitungan pada final Piala Malaysa, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Hairuddin Omar dan Akmal Rizal Rakhli hampir pasti menjadi sandaran Kelantan menerajui barisan depan sekalipun skuad itu mempunyai beberapa pilihan menurunkan antara Norshahrul Talaha dan Nor Farhan Mohamad.

Namun, juara bertahan Negeri Sembilan sudah pasti menyandarkan harapan kepada Idris Karim dan Shahurain Abu Samah untuk menjadi watak utama di barisan depan dalam misi merobek gawang Kelantan dan meleburkan impian mereka merampas trofi kejuaraan.

Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui Idris dan Shahurain antara pemain pilihannya menerajui barisan depan skuad bimbingannya itu sekalipun sehingga kini belum membuat keputusan muktamad mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan.

Apa yang jelas beliau mengakui kedua-dua pemain berkenaan berada pada tahap terbaik menghadirkan ancaman merobek gawang Kelantan.

“Walaupun terdapat beberapa pemain lain seperti Norizam, L Ragesh dan pemain muda seperti Mohd Asyraf, Mohd Syaffik serta Mohd Firdaus, pada pentas final seperti ini, hanya pemain yang sudah membuktikan keupayaan menjadi pilihan,” katanya.

Tuesday, October 26, 2010

Idris sedia galas tugas (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

PEMAIN berpengalaman Negeri Sembilan, Idris Karim sedia menggalas tugas di barisan depan skuad itu jika keputusan itu ditetapkan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan pada final Piala Malaysia menentang Kelantan, di Stadium Nasionl Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurutnya, dia sedia menggalas tanggungjawab berat itu demi memastikan kejayaan Negeri Sembilan walaupun menyedari tugas itu bukan mudah dilaksanakan dan memerlukan sokongan rakan-rakan yang lain.

“Saya tidak kisah jika jurulatih mengekalkan saya di posisi depan walaupun pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Johor FC lalu, saya gagal menjaringkan gol tetapi matlamat setiap kali diturunkan ialah berusaha membantu pasukan mencapai kemenangan tanpa mengambil kira siapa menjaringkan gol.

“Walaupun berasal dari Johor, saya berazam untuk memberikan sumbangan cemerlang pada final bagi memastikan Negeri Sembilan mempertahankan kejuaraan selain membalas kepercayaan majikan dan peminat,” katanya.

Sejak ketiadaan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak yang berehat panjang kerana kecederaan lutut serius, Idris dianggap tonggak utama barisan depan berikutan pengalaman dan kelincahannya mencabar benteng lawan.

Justeru, tidak hairan dia kini menjadi senjata utama pasukan dan mendapat kepercayaan Wan Jamak, tambahan pula jurulatih itu mengakui tidak punya banyak pilihan berikutan pemain muda cetek pengalaman.

“Kami layak ke final selepas mengharungi pelbagai cabaran dan walaupun pada awalnya tidak ramai berani meramalkan keupayaan kami, Negeri Sembilan berjaya tampil dengan kekuatan tersendiri untuk pergi lebih jauh.

“Saya dan rakan lain pasti tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk melakar sejarah mempertahankan kejuaraan. Saya yakin kami ada ramuan untuk menang walaupun Kelantan berazam menebus kekecewaan tahun lalu,” katanya.

Bagi Idris, dia berazam memahatkan nama sebagai penjaring gol pada final itu bagi membolehkan namanya diingati peminat selain kenangan manis selepas enam musim bersama skuad Rusa itu.

Saturday, October 23, 2010

Idris jadi sandaran NS (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

2010/10/23

'Detik terbaik untuk saya buktikan kepada peminat'

AKUR dengan kelebihan satu gol yang dimiliki Johor FC, jurulatih Negeri Sembilan meminta anak buahnya meningkatkan lagi prestasi dan usaha supaya misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini, tidak terkubur.

Menjelang kunjungan untuk perlawanan kedua separuh akhir di Stadium JCorp Pasir Gudang, malam ini, Wan Jamak Wan Hassan terus meniupkan semangat kepada pemainnya supaya mempamer komitmen tinggi walaupun sedar Johor FC berada dalam situasi cukup selesa di depan penyokong sendiri.

Dengan persiapan yang kurang sempurna tidak seperti diharapkannya kerana masalah kecergasan dan kecederaan kapten berpengaruh, Rezal Zambery Yahya, Wan Jamak menoleh kepada Idris Karim untuk bertindak sebagai pembimbing dan penggerak di dalam padang.

Saya tidak banyak pilihan selepas kehilangan Rezal tetapi kehadiran Idris yang tidak beraksi kerana penggantungan Rabu lalu, dapat menutup ruang itu dan menyeimbangkan rentak permainan. Cuma saya berharap beberapa pemain lain termasuk Shahurain (Abu Samah) sempat sembuh.

Hakikatnya saingan peringkat tertinggi seperti ini memerlukan pemain yang kaya pengalaman kerana mereka boleh mencorakkan persembahan dan memikul strategi yang sudah dirancang tatkala pemain muda yang tidak biasa berdepan tekanan, kerap hilang tumpuan dan gagal membaca pergerakan rakan sendiri, katanya, semalam.

Wan Jamak mengakui belum memutuskannya barisan utama yang akan diturunkan tetapi ada beberapa pilihan seperti Norizam Salaman dan L Ragesh serta tiga pemain muda, Mohd Shaffik Abd Rahman, Mohd Asyraf Al-Jafri dan Mohd Firdaus Azizul.

Saya hanya akan menyenaraikan pemain terbaik kerana 90 minit aksi malam esok (malam ini) adalah ibarat hidup mati pasukan musim ini. Terpulang kepada pemain untuk menterjemahkannya kepada kemenangan.
Tetapi saya minta pemain terutama barisan depan supaya lebih tenang ketika mengasak kubu lawan bagi memastikan setiap cubaan tepat menuju ke sasaran, katanya

Saturday, February 6, 2010

Idris Karim

Nama Penuh : Idris Abdul Karim

Tarikh Lahir : 29 November 1976

Tempat Lahir : Johor

Sukan : Bola Sepak

Posisi : Defensive Midfielder
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...