Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Hairuddin Omar. Show all posts
Showing posts with label Hairuddin Omar. Show all posts

Saturday, September 1, 2012

Hai-O tekad julang maruah ATM



KAPTEN Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar (gambar) sudah memasang azam membantu pasukannya mara ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

Berdasarkan persembahan ATM sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, Hairuddin atau lebih di- kenali sebagai Hai-O menganggap pasukannya sudah bersedia untuk melaksanakan misi tersebut.

"Sepanjang tiga perlawanan lalu, kami beraksi dengan baik apabila berjaya mencatatkan dua kemenangan dan satu seri.

"Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin rakan-rakan sepasukan begitu bersemangat untuk mempamer- kan aksi lebih baik pada tiga baki perlawanan akan da- tang.

"Saya berharap mereka berjuang habis-habisan memandangkan ATM tidak pernah berjaya mara ke pering- kat suku akhir," jelas Hai-O kelmarin.

Ditanya mengenai perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini, Hai-O meramalkan pertemuan sengit antara kedua-dua pasukan.

"Saya akui perlawanan di Kota Bharu nanti sukar buat kami tetapi berbekalkan semangat tinggi, kami tekad untuk mengekalkan aksi cemerlang sebelum ini.

"Umum mengetahui bahawa ATM berada dalam 'kumpulan maut' yang mana selepas kami bertemu Ke- lantan, kami akan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Jadi, satu mata amat penting ketika menentang Kelantan dan saya yakin kami mampu berbuat demikian berdasarkan prestasi semasa," katanya yang pernah membantu Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu muncul juara Piala Malaysia sebelum ini.

--- KOSMO

Tuesday, February 7, 2012

Hai-O masih belum puas hati


MOHD FAHMI ISMAIL
5 Februari 2012
Hairuddin Omar

MESKIPUN berjaya memungut tiga mata maksima mengalahkan Pahang 3-2 kelmarin, kapten ATM Hairuddin Omar tetap kurang berpuas hati persembahan dipamerkan rakan sepasukan pada perlawanan tersebut.

Menurut Hai-O, dua gol mudah dilepaskan kepada pihak lawan, sepatutnya tidak berlaku namun Pahang yang bermain dengan sembilan pemain selepas dibuang padang dimanfaatkan sepenuhnya skuad pimpinan B Sathianathan.

“Ketika kedudukan terikat 2-2, agak sukar kami menambah jaringan. Tetapi, selepas Saiful Nizam Miswan diarah meninggalkan padang, barulah kami berjaya meledak gol kemenangan,” katanya.

Namun begitu, Hai O turut terkilan kerana banyak peluang keemasan dilepaskan begitu sahaja oleh rakan-rakan dan menyifatkan mereka mampu menang besar ke atas Pahang.

“Sayang sekali peluang menambah jaringan gol dipersia-siakan begitu sahaja. Tetapi, kami bersyukur atas kemenangan keempat saingan Liga Perdana musim ini,” katanya.

Pada aksi berkenaan, gol ATM disumbangkan menerusi Bruno Marteloto, Marlon Alex James dan Christie Jayaseelan, manakala skuad Tok Gajah membalas hasil jaringan Saiful Nizam dan Azamuddin Akil.


--- SINAR HARIAN

Saturday, July 9, 2011

Amri, Hairuddin dipanggil hadapi Chelsea

KUALA LUMPUR - Dua bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah dan Hairuddin Omar berpeluang membolosi gawang gergasi Liga Perdana England sekali lagi apabila kedua-dua mereka dipanggil jurulatih, Ong Kim Swee untuk menyertai pemilihan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Chelsea, 21 Julai ini.

Penyerang Selangor, Mohd. Amri pastinya diingati bagaimana rembatan voli jarak jauhnya membolosi gawang Manchester United yang dikemudi bekas penjaga golnya, Edwin van der Sar, dua tahun lalu.

Malah, dia juga menghukum kecuaian Darron Gibson yang cuba membuat hantaran ke belakang kepada Ben Foster, walaupun Malaysia tewas tipis 2-3 dalam perlawanan itu.

Hairuddin, penyerang Negeri Sembilan, pula merupakan penjaring gol sulung menerusi tandukan kencang ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan Chelsea pada 2003.

Namun, sebelum memasang impian menyarung semula jersi kebangsaan, mereka terlebih dahulu perlu membuktikan kemampuan diri masing-masing daripada sekumpulan besar 23 pemain bukan skuad Olimpik yang turut dipanggil Kim Swee.

Kim Swee bakal menggandingkan kumpulan pemain tersebut dengan 16 lagi pemain skuad Harimau Muda A bimbingannya bagi membentuk pasukan pilihan Malaysia mantap untuk berentap dengan The Blues.

"Seramai 11 daripada 23 yang terpilih itu merupakan pemain bawah 22 tahun yang juga saya akan pertimbangkan untuk diserap ke dalam skuad Olimpik dan Sukan SEA.

"Langkah itu adalah perlu memandangkan ketiadaan beberapa tonggak skuad Olimpik yang juga diperlukan untuk skuad senior kebangsaan,

"Bayangkan barisan belakang kami tanpa Mahali (Jasuli), Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Muslim (Ahmad), Fadhli (Shas)... maka barisan alternatif perlu dicari kerana andai Malaysia menewaskan Singapura pada kelayakan Piala Dunia nanti, mereka akan terus diperlukan untuk Harimau Malaya," katanya kepada pemberita, semalam.

Kesemua 39 pemain yang dipanggil akan melapor diri untuk menjalani latihan berpusat di Wisma FAM, Isnin ini.

Kim Swee dijangka menamakan skuad bertemu Chelsea tiga atau empat hari sebelum tarikh perlawanan. Dia bagaimanapun tidak terlalu runsing memikirkan mengenai perlawanan Chelsea, kerana keutamaan tetap kepada kelayakan Olimpik.

"Pertembungan Chelsea hanya merupakan satu lagi perlawanan, semudah itu. Saya tidak terlalu mementingkan perlawanan tersebut, namun adalah bagus untuk para pemain menimba pengalaman beraksi menentang lawan bertaraf dunia.

"Pada akhirnya, pusingan akhir kelayakan Olimpik adalah menjadi keutamaan," katanya yang akan menyenaraikan 25 pemain untuk menjalani latihan di Slovakia selama sebulan iaitu 23 Julai hingga 28 Ogos ini.

----- Utusan Malaysia Online

Thursday, March 10, 2011

Hairuddin, Fakhri sandaran NS hadapi Selangor (Harian Metro Online)

GANDINGAN dua penyerang, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, bakal menjadi kunci kepada misi Negeri Sembilan untuk bangkit mencipta kemenangan apabila bertemu Selangor, dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Sekalipun setakat ini persembahan kedua-dua pemain itu belum begitu menyerlah dengan Hairuddin baru saja menyumbang dua gol termasuk satu pada saingan Piala FA manakala Ahmad Fakri masih buntu menemui sentuhan, namun kelibat mereka bakal menjadi penentu kepada kebangkitan yang diharapkan nanti.

Ini diakui ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, yang menyifatkan kematangan dan kebijaksanaan kedua-dua pemain terbabit akan terus ditagih dalam misi mencapai kemenangan selepas prestasi tidak konsisten dipamer pasukan itu terutama di halaman sendiri.

“Walaupun kedua-dua pemain terutama Hairuddin tidak konsisten dalam menyumbang gol kepada pasukan setakat ini tetapi mereka sudah berusaha keras dalam setiap perlawanan, sebagai contoh banyak percubaan ke pintu gol lawan dilakukannya ketika saingan Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Paroi, Jumaat lalu, tapi tidak menepati sasaran.

“Hakikatnya, Hairuddin dan Ahmad Fakri yang tidak beraksi ketika bertemu Kuala Lumpur tetap menjadi sandaran kami untuk merobek gawang Selangor dan saya harap mereka mempamerkan gandingan mantap demi memastikan kutipan mata berharga disasar di halaman sendiri kali ini tidak lagi tercicir,” katanya semalam.

Friday, March 4, 2011

Hairuddin, Fakhri kunci utama Negeri Sembilan (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/04

SELEPAS mendapat 'bye' pada pusingan pertama, Negeri Sembilan memulakan cabaran dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila berarak turun ke gelanggang menentang Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Namun prestasi yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super termasuk yang terbaru, tewas 0-3 kepada Kelantan, Selasa lalu, meresahkan pengendali skuad itu, Wan Jamak Wan Hassan, yang bimbang jika situasi berkenaan berterusan mungkin misi mempertahankan trofi kejuaraan menjadi sukar.

“Saya berharap prestasi kurang baik itu tidak berulang lagi apabila turun berdepan Kuala Lumpur malam esok (ini), sebaliknya setiap pemain perlu memberi persembahan terbaik dan jangan sesekali hilang fokus terutama pada penghujung babak,” katanya, semalam.

Dia menambah Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani masih menjadi sandaran utama di barisan depan dan berharap kedua-dua penyerang berkenaan dapat memainkan peranan berkesan ke arah merealisasikan kemenangan disasarkan.

Monday, February 28, 2011

Hairuddin wira NS (Harian Metro Online)

Hairuddin Omar

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PENYERANG berpengalaman, Hairuddin Omar berjaya memulihkan maruah Negeri Sembilan apabila gol tunggal jaringannya pada minit ke-76 membantu juara Piala FA musim lalu itu menewaskan Sabah, pada saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.

Skuad Hobin Jang Hobin itu yang dahagakan kemenangan selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini, kini menarik nafas lega apabila menduduki tempat ketiga liga dengan sembilan mata berbanding Kelantan dan Perak yang mendominasi dua tangga teratas dengan 11 mata.

Namun, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan tidak terlalu gembira dengan keputusan tipis yang dicatat anak buahnya itu kerana menyifatkan kesebelasan utama yang diturunkan tidak mempamerkan keupayaan sebenar.

“Rata-rata pemain belum menyerlahkan kehebatan sebenar apabila banyak gerakan kurang menjadi selain barisan depan perlu digilap untuk lebih mantap menjelang cabaran akan datang,” katanya.

Monday, February 21, 2011

Jang sasar bangkit (Harian Metro Online)

Hairuddin Omar

PENYERANG utama Negeri Sembilan, Hairuddin Omar (gambar) berharap pertemuan pasukan itu dengan Sabah pada saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini bakal menamatkan kemarau gol dalam empat perlawanan lalu, sekali gus membantu kebangkitan pasukan itu selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.

Bekas penyerang Kelantan berusia 31 tahun itu menyedari peranan yang perlu dipikulnya selaku penyerang utama skuad Hoben Jang Hoben, namun mengakui setakat ini misinya untuk mencatat nama sebagai penjaring belum berhasil.

“Impian selaku pemain penyerang pastinya mencatatkan nama sebagai penjaring. Meskipun belum berhasil, saya yakin masanya akan tiba. Yang penting memastikan Negeri Sembilan mencapai kemenangan,” katanya.

Menurut Hairuddin, prestasi tidak konsisten dipamer pemain pada peringkat awal saingan Liga Super ketika ini hanyalah bersifat sementara kerana dia yakin pasukan itu bakal bangkit dengan kejayaan cemerlang selepas keserasian pemain baru dalam skuad itu semakin mantap.

Dia mengakui memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan prestasi sebenar kerana dalam proses membentuk keserasian selepas persiapan pasukan dan momentum terjejas dengan perjalanan liga yang terhenti disebabkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina selain pembabitan beberapa pemain dalam skuad kebangsaan.

“Walaupun situasi itu tidak memberikan kesan secara langsung, ia tetap mempengaruhi persembahan pasukan.

“Saya yakin setiap pemain menyedari tanggungjawab yang digalas dalam setiap perlawanan dan tidak menolak kami memerlukan sedikit masa untuk mempamerkan prestasi sebenar,” katanya yang pernah membantu Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2009.

Mengenai cabaran menentang Sabah, Negeri Sembilan tiada pilihan kecuali bangkit mencatat kemenangan dan memastikan tiga mata di halaman sendiri itu tidak lagi tercicir.

Dia yang dijangka bakal menggalas tanggungjawab selaku kapten selepas Mohd Shukor Adan tidak dapat beraksi kerana mengumpul tiga kad kuning berazam untuk memberikan persembahan terbaik dan memastikan Negeri Sembilan mencatatkan kemenangan bagi mengembalikan semula reputasi pasukan yang tercalar selepas tewas kepada Perak dan Felda United.

“Kami berazam turun dengan persembahan yang lebih baik dan memastikan tiga mata,” katanya.

Sunday, February 6, 2011

NS bakal terima ujian getir (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/02/06

HAIRUDDIN mengemudi barisan depan Negeri Sembilan.
HAIRUDDIN mengemudi barisan depan Negeri Sembilan.
Wan Jamak mahu anak buah kekal fokus bertemu Perak Sabtu ini

SELEPAS dua kemenangan berturut-turut dalam aksi di laman sendiri, kekuatan mental dan fizikal Negeri Sembilan bakal teruji apabila turun bertemu Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini.
Ini diakui ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang lantas mengingatkan anak buahnya supaya berusaha mengekalkan disiplin tinggi bagi memastikan rentak pasukan tidak terjejas, sekali gus melebarkan rekod kemenangan.
Menurutnya, cabaran di gelanggang lawan amat berbeza dan pemain tidak boleh terlalu yakin walaupun menang dalam dua perlawanan lalu.

“Mereka perlu mengekalkan prestasi terbaik dan fokus kepada cabaran itu nanti bagi memastikan rekod kemenangan dapat dipertahankan, tambahan Perak adalah antara pencabar terkuat yang menampilkan beberapa pemain berpengalaman,” katanya semalam.

Negeri Sembilan menduduki tangga teratas carta liga dengan enam mata hasil dua kemenangan menewaskan Harimau Muda A, 1-0, dan T-Team, 3-1.

Begitupun, bekas pengendali kebangsaan itu mengakui persembahan anak buahnya belum mencapai tahap 100 peratus kerana masih ada beberapa kelemahan terutama di bahagian tengah dan jentera depan.
“Saya akui jentera depan yang diterajui Hairuddin Omar, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan Fakri Saarani masih perlu dimantapkan lagi menjelang perlawanan akan datang kerana setakat ini banyak peluang gagal disudahkan dengan baik,” katanya.

Wan Jamak berpuas hati dengan persembahan Hairuddin yang menunjukkan peningkatan terutama ketika bertemu T-Team apabila memperdayakan benteng lawan dan mencipta peluang jaringan kepada rakan.

“Saya berharap dia (Hairuddin) dapat terus memainkan peranan berkesan walaupun masih belum menjaringkan gol.”

Saturday, January 29, 2011

Hairuddin tak sabar tunggu arahan jurulatih (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my

2011/01/29

PENYERANG Negeri Sembilan, Hairuddin Omar berharap dia dapat diturunkan pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Super bertemu Harimau Muda A, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini, demi membantu rakan sepasukan merealisasikan sasaran kemenangan sekali gus mengutip tiga mata.

Walaupun mengalami sedikit kecederaan lutut dalam latihan sejak beberapa hari lalu, namun dia menyedari harapan diletakkan pengurusan pasukan dan peminat terhadapnya membuat dia begitu bersemangat beraksi membuktikan kemampuan.

“Setakat hari ini (semalam) kedudukan saya belum pasti sama ada boleh beraksi atau sebaliknya, walaupun kecederaan lutut yang saya alami tidak berapa serius tetapi ia boleh mengganggu persembahan dan kini hanya akan bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang akan dibuat jurulatih menjelang perlawanan malam esok (ini).

“Saya sedar harapan yang diletakkan pengurusan dan peminat yang ingin melihat pasukan mencapai kemenangan serta mengutip tiga mata pada saingan pertama ini, justeru saya amat berharap agar dapat diturunkan untuk membantu rakan-rakan merealisasikan sasaran berkenaan,” katanya semalam.

Apapun, dia menegur rakan pasukan usah pandang remeh Harimau Muda yang sudah membuktikan keupayaan mereka peringkat antarabangsa.

Saturday, January 8, 2011

Hairuddin pelengkap 'skuad impian' NS (Utusan Malaysia Online)

Hairuddin Omar

KUALA LUMPUR - Musim lalu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan sering mengeluh dengan kualiti kesebelasan utama dan barisan simpanan skuad Rusa yang jauh berbeza, malah terlalu bergantung harap kepada sentuhan penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak.

Atas faktor itu, Negeri Sembilan sering berputih mata dalam banyak perlawanan, walaupun mencipta banyak peluang di depan gawang lawan.

Bagaimanapun, itu cerita lama. Untuk musim 2011, Hoben Jang Hoben bakal muncul antara skuad yang akan dicemburui lawan, malah tidak keterlaluan untuk menggelarkan pasukan itu adalah 'pasukan impian' buat mana-mana jurulatih.

Negeri Sembilan bakal mendapat sentuhan bekas penyerang Kelantan, Hairuddin Omar dan tiga bekas pemain Perlis, Ahmad Fakri Saarani yang juga penyerang kebangsaan serta bekas penyerang Harimau Muda, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan penjaga gol, Farizal Marlias.

Pemain lain yang melengkapkan senarai tujuh muka baru di Negeri Sembilan ialah dua bekas pertahanan KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadzli Idrus serta pemain tinggi lampai PKNS, G. Mahathevan.

''Musim ini saya rasa boleh menarik nafas lega kerana skuad Negeri Sembilan dibarisi ramai pemain yang berpengalaman yang mampu mengubah cabaran serta hala tuju pasukan.

''Paling saya gembira adalah di jentera serangan kerana mendapat sentuhan tiga pemain baru, walaupun Fakri masih belum cergas sepenuhnya sementara Zaquan dijangka akan pulih Mac nanti.

''Apa yang pasti, saya kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk diturunkan, paling penting masalah ketumpulan penyudah yang kami pernah alami pada musim lepas tidak akan berulang kembali, '' katanya ketika dihubungi, semalam.

Musim lalu, Negeri Sembilan gagal menyerlah di peringkat saingan Liga Super, walaupun muncul juara Piala FA dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia, ekoran masalah kecederaan pemain utama di samping ketandusan penyudah oleh Zaquan.

Walaupun begitu, Wan Jamak berkata, dia tidak mahu bersikap terlalu selesa, kerana baginya apa yang menjadi keutamaan buat masa ini adalah mahu mencari kombinasi terbaik di antara pemain baru dan lama di dalam pasukan.

''Tugas pertama sebelum perlawanan sepak mula pada 29 Januari ini adalah membentuk keserasian di kalangan muka baru dan lama.

''Tiada guna juga jika skuad ini dibarisi ramai pemain berprofil tinggi, tetapi gagal bermain sebagai dalam satu pasukan, '' ujarnya.

Selain itu, Wan Jamak berkata biarpun Negeri Sembilan menerima kehadiran ramai muka baru, peluang untuk pemain muda di dalam skuad itu tetap terbuka luas, kerana perjalanan liga yang ketat serta melebihi 40 perlawanan.

''Saya akan melakukan perubahan pemain, jika perlu tambahan kami mungkin melalui dua perlawanan dalam masa seminggu.

''Maka peluang buat pemain muda untuk turun beraksi tetap ada bagi mereka mendapat pendedahan sewajarnya dan saya sama sekali tidak akan meminggirkan mereka, '' katanya.

Sunday, December 5, 2010

Hairuddin Omar dapat pengiktirafan (Kosmo Online)


HAIRUDDIN (kanan) menerima anugerah daripada Mohd. Jidin kelmarin.


PEMAIN terbaik final Piala Malaysia 2010, Hairuddin Omar yang berasal dari Kampung Saujana dekat Setiu, Terengganu diberi penghargaan Anugerah Jasamu Dikenang daripada Persatuan Bola Sepak Daerah Setiu (PBSDS) malam kelmarin.

Hairuddin, 31, menerima anugerah itu sempena Malam Anugerah Seribu Penghargaan 2010 anjuran PBSDS, sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai RM1,000 serta cenderahati yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Anugerah itu diberi berdasarkan penglibatan beliau dalam sukan bola sepak sejak di bangku sekolah rendah lagi se- belum mula mewakili Terengganu pada 1990 selain menghargai sumbangan serta kecemerlangan anak jati daerah Setiu dalam sukan itu.

Selain itu, beberapa pemain lain di daerah berkenaan turut diberi pengiktirafan pada majlis yang dihadiri Timbalan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof.

Kategori Pemain Tunas Terbaik Dae- rah Setiu pula disandang oleh Azrul Abdul Rahim dan dia menerima wang tunai RM300 serta cenderahati.

Manakala Pemain Terbaik Keseluruhan pula disandang Nor Hisyam Yaacob, juga menerima RM300 dan cenderahati.

Rusli Hasyim, Mohd. Shahairizam Mat Rani, Ismail Abdul Rahman, Mohd. Hafis Abdullah, Mohd. Zubir Mohd. Azmi, Syamsul Kamal dan Al-Amin Abdullah masing-masing menerima RM300 seorang serta hadiah cendera- hati bagi kategori Anugerah Sanjungan Pemain Terbaik.

Anugerah Sanjungan Pengadil Bola Sepak Daerah Setiu pula dimenangi oleh Razi Ismail, Mamat Hasyim Muda (Tokoh Pembangunan Bola Sepak Dae- rah Setiu) dan Ismadi Ibrahim (Anuge- rah Khas Pengadil FAM).

Mereka menerima RM300 dan cende- rahati.

Pasukan Futsal Terbaik disandang oleh Pasukan Keranji Telaga Papan manakala skuad bola sepak Guntung menerima pengiktirafan untuk anugerah Pengurusan Pasukan Bola Sepak Terbaik.

Mereka masing-masingnya menerima wang tunai RM500 serta cenderahati.

Presiden PBSDS, Marzuki Sulong ketika berucap pada majlis tersebut berkata, pihaknya bercadang menganjurkan lebih banyak kegiatan sukan serta pertandingan bola sepak di daerah itu sepanjang tahun depan.

Menurutnya, sejak tahun lalu sehingga sekarang, PBSDS telah mengadakan 17 pertandingan termasuk kejohanan bola sepak serta futsal membabitkan peserta di kalangan pelajar sekolah, remaja dan golongan dewasa.

Saturday, November 13, 2010

Hairuddin Omar


Nama Penuh : Hairuddin Bin Omar

Tarikh Lahir: 29 September 1979

Tempat Lahir : Seteiu, Terengganu

Tinggi : 1.77 m

Sukan : Bola Sepak

Posisi: Penyerang

Thursday, November 11, 2010

T-Team mahu pikat Hairuddin

2010/11/11

SKUAD T-Team dalam persiapan menghadapi kempen Liga Super musim depan mahu memanggil kembali dua pemain Terengganu yang beraksi bersama Kelantan, Hairuddin Omar dan Norfahan Mohamad dalam usaha memantap barisan serangan.

Hasrat itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat, semalam.

“Kita akan cuba menghubungi kedua-dua pemain itu seberapa segera dan bersedia mengemukakan tawaran itu,” katanya.
Rozi berharap kedua-dua pemain terbabit menerima tawaran itu untuk menabur bakti di tempat kelahiran sendiri.

Mengenai jurulatih, Che Ku Marzuki Mohd Nor yang dikenakan pergantungan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini berikutan kenyataan dalam media, Rozi berkata, jurulatih itu sudah membuat rayuan kepada FAM dan belum mendapat keputusan lagi.

Che Ku Marzuki dikenakan tindakan pergantungan selama enam bulan dan denda RM2,000, menyebabkan pihak pengurusan T-Team sedang mencari seorang jurulatih baru bagi menggantikan tempat Che Ku Marzuki.

Rozi berkata, pihaknya berminat untuk menawarkan jawatan kepada jurulatih Perlis, Yunus Alif supaya dapat mengendalikan latihan skuad T-Team musim depan.

Monday, November 1, 2010

Hairuddin terbaik (Sinar Harian Online)


PENYERANG Kelantan, Hairuddin Omar sudah tiga kali menjulang Piala Malaysia sepanjang kerjayanya dalam arena bola sepak tempatan.

Lebih manis, Hairuddin dijulang sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala Malysia edisi ke-84 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Bermula dengan kejayaan pertama sewaktu mewakili pasukan Terengganu menewaskan Perak pada final 2001 dan tahun lalu ketika bersama Negeri Sembilan.

Tahun ini, nama Hairuddin terus meniti di bibir peminat tempatan apabila menjaringkan gol penyamaan buat pasukan The Red Warriors dan dinobatkan Pemain Terbaik perlawanan akhir 2010.

Saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab untuk Kelantan tahun ini,” katanya.

“Sebelum kejohanan lagi, saya mempunyai keyakinan tinggi Kelantan akan muncul juara malam ini (kelmarin), tetapi pada babak pertama kami masih gugup sehingga dibolosi gol pertama oleh Negeri Sembilan,” katanya.

Sejak tahun 2000, Hairuddin sudah bermain dengan lima pasukan bermula dengan Terengganu, Pahang (2003-2008), T-Team (2009), Negeri Sembilan (status pemain pinjaman untuk Piala Malaysia, 2009) dan terkini, pasukan The Red Warriors.

Hairuddin puas, Piya Meledak (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

TUAH nyata menjadi milik penyerang Kelantan, Hairuddin Omar apabila berjaya menjulang Piala Malaysia dua tahun berturut-turut bersama dua pasukan berbeza selain dipilih pemain terbaik perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Penyerang kelahiran Terengganu itu turut mempunyai sebab lain untuk bergembira kerana berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas skuad The Red Warriors itu ketinggalan seawal minit ke-14 permainan melalui sepakan penalti Shahurain Abu Samah.

“Saya sangat gembira kerana menjaringkan gol penyamaan dan berjaya menghadiahkan Piala Malaysia kepada Kelantan,” katanya yang turut menyumbangkan satu gol ketika Negeri Sembilan menumbangkan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu.

Menurutnya lagi, Kelantan berhak menang piala berprestij itu selepas mempamerkan aksi mantap dengan sering kali melancarkan serangan ke kubu lawan sepanjang perlawanan itu.

“Persembahan ini membuktikan pada usia 31 tahun, saya masih mampu bermain di tahap tertinggi termasuk beberapa pemain seangkatan yang lain seperti Mohd Syukor Adan,” katanya yang menjulang Piala Malaysia untuk kali ketiga.

Malah Hairuddin turut menyuarakan keyakinan kembali beraksi untuk skuad kebangsaan sekiranya diberikan peluang oleh jurulatih kebangsaan, K Rajagobal.


Ulasan Badri Radzi @ Piya (Penjaring Kemenangan Kelantan)

Sementara itu, penjaring gol kemenangan Kelantan, Mohd Badri Radzi menganggap gol Hairuddin pada minit ke-57 itu memberikan semangat kepada dirinya dan rakan sepasukan yang lain untuk terus berjuang bagi mencipta sejarah.

“Secara jujur, gol pertama Negeri Sembilan melunturkan semangat dan semua pemain enggan memegang bola dengan lama kerana takut melakukan kesilapan.

“Namun, semuanya berubah pada babak kedua apabila Hairuddin menjaringkan gol dan saya turut enggan mensia-siakan peluang selepas mendapat bola hantaran Mohd Norfarhan Muhamad untuk merembat kencang menewaskan penjaga gol lawan,” katanya.

Bekas ketua pasukan dan anak jati Kota Bharu itu turut dipilih pemain terbaik Outdo Yourself 100 PLus selepas tersisih daripada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kerana patah kaki.

Mimpi ‘Piya’ Jadi Kenyataan (Berita Harian Online)

BADRI meraikan gol kemenangan Kelantan pada separuh masa kedua perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Hairuddin dinobat pemain terbaik final bantu Kelantan tewaskan NS.

MIMPI menjulang Piala Malaysia pada malam sebelum aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil ternyata menjadi kenyataan buat Mohd Badri Mohd Radzi apabila gol jaringannya pada minit ke-65 menjulang Kelantan sebagai juara ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-1 malam tadi.

“Semalam saya bermimpi menjulang trofi kejohanan ini, dan saya bersyukur ia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Mohd Badri, pemain tengah berusia 28 tahun itu. “Walaupun pada babak pertama kami ketinggalan, saya tetap yakin kami mampu bangkit menebus kecewa tahun lalu.

Mohd Badri yang lebih dikenali sebagai ‘Piya’ sebelum ini menjaringkan gol dalam gaya sama ketika melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Selangor dalam suku akhir kedua di Kota Bharu.

Pada perlawanan final malam tadi, Mohd Badri meledak gol kemenangan Kelantan selepas menerima hantaran cantik daripada Mohd Norfarhan Mohamad. Sebelum itu Hairuddin Omar yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik kejohanan menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

“Saya gembira dapat melunaskan tanggungjawab untuk Kelantan tahun ini,” kata Hairuddin yang tahun lalu menjulang piala sama ketika dipinjamkan kepada Negeri Sembilan oleh T-Team. Pada final 2009, Hairuddin turut menyumbangkan gol ketika kemenangan 3-1 ke atas Kelantan.

“Sebelum kejohanan lagi, saya mempunyai keyakinan tinggi Kelantan akan muncul juara malam ini (malam tadi), tetapi pada babak pertama kami masih gugup sehingga membawa kepada gol pertama oleh Negeri Sembilan,” kata Hairuddin.

Saturday, October 30, 2010

Hairuddin sedia jadi pemusnah lawan (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Kalau dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, beliau menjadi pemusnah kepada cita-cita Kelantan untuk mendakap piala, tetapi berbeza pula musim ini. Kini beliau bersama Kelantan, pasukan yang pernah dikecewakan beliau pada pentas final Piala Malaysia musim lalu.

Masih ingat lagi, jaringan Hairuddin Omar seawal babak kedua menerusi tandukan cantik yang memerangkap penjaga gol veteran, Halim Napi akhirnya membunuh semangat juang pemain Kelantan dalam perlawanan itu.

Sebaik sahaja skuad Jang memperoleh gol kedua tersebut, penyokong setia Kelantan terdiam seketika di Stadium Nasional Bukit Jalil. Tapi itu cerita lama, kali ini anak kelahiran Kampung Saujana, Setiu itu mahu menjadi ‘wira’ baru bersama majikannya, Kelantan.

Kini beliau sudah bersedia sepenuhnya memusnahkan impian pasukan pinjamannya musim lalu, Negeri Sembilan dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim lalu dalam pentas final malam esok.

“Jika tahun lepas saya membantu Negeri Sembilan menjulang piala, tahun ini saya berazam untuk membantu Kelantan membawa pulang piala tersebut buat pertama kali ke Kota Bharu.

“Saya sudah sedia sepenuhnya menggempur pintu gol Negeri Sembilan sekiranya diberi peluang turun beraksi dalam kesebelasan utama pemain malam esok.

“Ini merupakan penampilan kali ketiga dalam saya dalam pentas final. Sudah pasti saya mahu ianya berakhir dengan kegembiraan. Saya pernah membantu Terengganu muncul juara pada tahun 2001 diikuti Negeri Sembilan pada musim lalu. Kali ini saya mahu melakukannya untuk Kelantan ,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Hairuddin berkata, soal sama ada siapa yang menjaringkan gol itu tidak penting kerana yang lebih penting ialah mencipta kemenangan dalam perlawanan tersebut.

“Saya percaya rakan-rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan malam esok. Mereka sudah mempunyai pengalaman kerana beraksi dalam pentas akhir musim lalu. Jadi saya berharap kita akan bermain sebagai satu pasukan.

“Pasukan yang berjaya meminimumkan kesilapan, mendominasi perlawanan serta menjaringkan gol awal mungkin berpeluang menjadi juara malam esok,” katanya.

Tanpa sebarang tekanan, skuad Kelantan dijangka berlepas ke ibu negara dengan menaiki pesawat pada pagi ini sebelum turun dalam sesi memanaskan badan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada sebelah petang.

Thursday, October 28, 2010

'Saya nikmati bola sepak sebenar di Kelantan' (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/28

HAIRUDDIN ketika sesi latihan, petang semalam.
HAIRUDDIN ketika sesi latihan, petang semalam.

Senario sama hangat seperti di luar negara: Hairuddin

SESUAI dengan namanya, Kelantan Darulnaim ternyata menjanjikan kenikmatan buat pemain bola sepak yang mewakili negeri itu. Antara pemain yang sudah mengecap kenikmatan itu ialah Hairuddin Omar yang menyertai Kelantan sejak awal musim ini.

“Di Kelantan saya dapat rasai nikmat bola sepak sebenar,” kata Hairuddin yang sebelum ini pernah bersama Negeri Sembilan, T-Team, Pahang dan Terengganu. “Memang mengujakan bermain di bawah tekanan penyokong yang sentiasa bersemangat dan lantang. Itu nikmat bola sepak sebenar.

“Malah pengurusan bola sepak di sini juga adalah yang terbaik dan perlu dicontohi pasukan lain di negara ini. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, senario bola sepak Kelantan sama hangat dengan liga di luar negara.

“Saya amat berharap Kelantan berjaya merangkul Piala Malaysia Sabtu ini, dan saya sendiri akan memberi persembahan terbaik memastikan impian itu tercapai.”

Pada final tahun lalu, Hairuddin menjadi pemusnah impian Kelantan apabila meledak gol kedua Negeri Sembilan.

Namun kali ini Hairuddin menjadi antara tonggak utama Kelantan untuk menebus kekecewaan 2009 kepada lawan sama di Bukit Jalil Sabtu ini. “Tanggungjawab saya adalah untuk Kelantan pula tahun ini, saya harap dapat mengekalkan kejuaraan untuk diri saya dan membantu Kelantan membawa pulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama,” katanya.

Final unik Hairuddin (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
am@hmetro.com.my

BEKAS penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar berhasrat mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi Piala Malaysia buat dua tahun berturut-turut dengan dua pasukan berbeza apabila bakal turut membantu Kelantan pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, selepas berjaya menjulangnya bersama Negeri Sembilan (NS), tahun lalu.

Final kali ini ibarat ulangan tahun lalu dan Hairuddin bersemangat membantu Kelantan memenanginya walaupun terpaksa menentang bekas rakan sepasukan.

“Saya akan memberikan yang terbaik kepada Kelantan bagi memastikan The Red Warriors mampu memenangi perlawanan akhir.


“NS memiliki kelebihan kerana mempunyai pemain berpengalaman dalam kejohanan Piala Malaysia tapi saya percaya The Red Warriors mampu memenangi perlawanan akhir,” katanya.

Anak jati Setiu, Terengganu itu yakin tahun ini adalah masa terbaik Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas empat kemunculan di perlawanan akhir sebelum ini gagal membuahkan hasil.

Mengulas perlawanan Sabtu ini, Hairuddin berkata, dia tidak akan sesekali memberi peluang kepada pemain NS walaupun saling mengenali antara satu sama lain.

“Pada perlawanan akhir, semua pemain NS akan saya anggap sebagai musuh dan bermain bersungguh-sungguh untuk membawa piala kebanggaan itu ke Kota Bharu,” katanya.

Piala Malaysia buat peminat setia (Utusan Malaysia Online)


Penyerang Kelantan, Hairuddin Omar menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Zulhanifa Sidek


KOTA BHARU - Bekas penyerang pinjaman Negeri Sembilan, Hairuddin Omar yang kini beraksi untuk pasukan Kelantan bertekad untuk merampas Piala Malaysia sebagai hadiah buat penyokong setia The Red Warriors pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Katanya, jika diberikan kepercayaan untuk beraksi pada perlawanan tersebut dia akan berjuang habis-habisan untuk membantu pasukannya muncul juara buat kali pertama.

"Jika tahun lepas saya membantu Negeri Sembilan muncul juara, untuk perlawanan Sabtu ini saya akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan piala berprestij itu dibawa balik ke Kelantan.

"Ini adalah waktu terbaik untuk membalas kepercayaan pihak pengurusan yang telah memberi peluang saya beraksi bersama Kelantan pada musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Hairuddin, dia mahu menghadiahkan piala berprestij itu Ke Kota Bharu sebagai hadiah buat penyokong setia The Red Warriors yang tidak putus-putus memberikan sokongan selama ini.

Dalam pada itu, anak kelahiran Setiu, Terengganu ini turut memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan sepasukannya kini bersedia untuk menggempur kubu skuad Rusa.

''Semua pemain berada dalam prestasi terbaik dan masing-masing berjanji akan fokus pada perlawanan tersebut," katanya.

Perlawanan kali ini merupakan penampilan ke tiga buat Hairuddin selepas membantu negeri kelahirannya Trengganu muncul juara pada 2001 dan ketika mewakili Negeri Sembilan tahun lalu. Justeru kali ini saya berusaha pula memastikan kejayaan itu berulang kembali,'' ujarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...