Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Sumbangsih 2012. Show all posts
Showing posts with label Piala Sumbangsih 2012. Show all posts

Saturday, January 7, 2012

Butler congak strategi menyerang


RENTAK permainan berbeza bakal disajikan Kelantan apabila turun mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Keadaan padang Stadium Nasional yang baik amat diharapkan pengendali barunya, Peter James Butler agar pemain The Red Warriors mampu menghadirkan corak permainan menyerang yang menarik selepas negeri Pantai Timur itu sering dilanda hujan hingga menyebabkan padang becak yang seterusnya menjejaskan aksi mereka.

“Padang kelihatan bagus, kami mahu memberikan permainan yang menarik namun pemain perlu berdisiplin ketika menyerang atau pun bertahan kerana peluang untuk meraih kemenangan adalah seimbang walaupun kami dianggap sebagai pasukan pilihan. Namun kami tidak hadir untuk mencatatkan keputusan seri atau kalah,” katanya berkeyakinan mempertahankan piala rebutan di awal musim Liga Malaysia itu.

Butler yang menegaskan anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi aksi penting itu tetap mengingatkan semua pihak harus memahami ia bukanlah seratus peratus sempurna apabila sesebuah pasukan turun beraksi buat kali pertama.

“Ini adalah perlawanan kompetitif pertama, mungkin adalah kelemahan yang perlu diperbaiki dalam beberapa perlawanan selepas itu. Pemain import kami, Muhamad Ghaddar masih memerlukan lebih banyak masa bagi menyesuaikan diri dalam membentuk persefahaman bersama pemain lain.

“Namun Antwi Dennis Agyare mempamerkan aksi yang bagus sepanjang pra-musim terutamanya dilihat tidak mementingkan diri apabila turun beraksi dalam aksi persahabatan,” katanya yang dijangka menggandingkan Ghaddar, Antwi serta Norshahrul Idlan Talaha untuk mengetuai jentera serangan.

Dua bekas pemain Kelantan yang kembali musim ini, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Nor Farhan Muhammad dijangka membentuk barisan tengah bergandingan bersama-sama Mohd Shakir Shaari dengan empat tonggak tempatan terus menjadi taruhan di benteng pertahanan selain Khairul Fahmi Che Mat mengawal gawang gol.

--- Harian Metro

Shakir tiup semangat

KERJASAMA semua pemain amat diperlukan bagi memastikan Kelantan memulakan musim mencabar ini dengan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah.

Peringatan itu disuarakan pemain tengah The Red Warriors, Mohd Shakir Shaari yang bakal memainkan peranan penting untuk menjadi nadi pasukan bagi menewaskan juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan di Stadium Nasional malam ini.

“Kami memang berharap dalam memulakan rentak yang baik pada awal musim ini. Namun ini adalah perlawanan pertama dengan kebanyakan pemain cuba mencari rentak terutamanya dengan formasi baru yang diperkenalkan jurulatih (Peter James Butler),” katanya.

Secara tidak langsung, sistem ini menuntut semua pemain bekerjasama dan sentiasa mengingati peranan masing-masing terutamanya ketika melakukan serangan atau bertahan.

“Masih terdapat beberapa pemain yang tidak biasa dengan formasi baru yang digunakan namun kami tidak boleh mengalah dan perlu menggandakan usaha sekiranya mahu mencatatkan kejayaan bermula malam ini,” katanya.

Sementara itu penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut mengharapkan langkah pertama Kelantan musim ini mampu menghadirkan sesuatu yang positif. “Secara tidak langsung, ia bakal membakar semangat kami untuk terus menyahut cabaran pihak pengurusan yang mengharapkan lebih banyak piala pada musim ini,” katanya.

--- Harian Metro

Azraai idam piala pelengkap koleksi


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEMUA kejuaraan utama sudah menjadi milik jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, namun pengendali berusia 59 tahun itu tetap menganggap karier kejurulatihan diceburi sejak 1991 itu masih belum lengkap.

Sasarannya kini adalah mengucup Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan memastikan anak buahnya mencipta kemenangan ke atas juara Liga Super Kelantan pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.


Keinginan itu disuarakan Azraai yang cukup yakin dengan kemampuan skuad Rusa musim 2012 meskipun dibarisi ramai pemain muda selepas penghijrahan beramai-ramai tonggak utama selepas tamat musim lalu.

Katanya, beliau akan menggunakan 'resepi' yang sama ketika membantu Kedah mencipta kegemilangan treble dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 dengan memberi peluang kepada pemain muda menonjolkan kemampuan bersaing dengan pemain lebih ternama.


“Saya memang teringin menang Piala Sumbangsih. Agak aneh tahun ini format lain sikit kerana tidak ada mata dalam perlawanan ini, tapi saya dan juga Negeri Sembilan tidak pernah merasai kejuaraan ini, jadi kami mahu membawa balik piala ini ke Negeri Sembilan. Insya-Allah dengan usaha keras semua pemain kami yakin boleh melakukannya.


“Memang Negeri Sembilan memiliki ramai muka muda kerana ramai pemain utama sebelum ini menyertai pasukan lain. Musim ini saya tidak mengambil pemain yang mempunyai nama-nama besar sebaliknya memilih pemain muda. Saya yakin pemain muda dapat menyumbang kepada pasukan seperti yang saya lakukan di Kedah,” katanya pada sidang media Perlawanan Sumbangsih, semalam.

Azraai yang mula membimbing skuad Rusa tahun lalu pantas menukar nasib pasukan itu yang terumbang-ambing di awal musim sehingga berjaya menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 di pentas final.


Pengendali kelahiran Alor Setar, Kedah itu membawa masuk beberapa pemain baru, antaranya penyerang Ahmad Shakir Ali dari Kedah, Mohd Nazrin Mohd Nawi (Kuala Lumpur), Muhamad Bukhairi Idris (Harimau Muda B), Rashid Mamud (Felda United) dan juga pemain import dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona. selepas tonggak utama Hairuddin Omar, Mohd Zaquan Adha Radzak, Mohd Aidil Zafuan Radzak dan Ahmad Fakri Saarani berpindah ke pasukan lain.

Ternyata sentuhan magis Azraai Khor ditagih sekali lagi penyokong Hoben Jang Hoben bagi menidakkan hajat skuad kendalian Peter Butler yang dilihat memiliki barisan pemain lebih berpengalaman.

--- Harian Metro

‘Tidak rela kecewa lagi’

SELEPAS kempunan pada 2004, kapten Negeri Sembilan, Mohd Norhafiz Zamani Misbah tidak rela kekecewaan itu berulang dan bertekad membantu pasukannya membenam Kelantan dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berkata, walaupun ramai yang menganggap piala sempena pembuka tirai saingan Liga Malaysia itu kurang berprestij berbanding kejuaraan lain serta tidak menawarkan mata kali ini, namun bagi dirinya piala itu kekal menjadi rebutan skuad Rusa.


“Ini kali kedua saya akan beraksi dalam perlawanan Sumbangsih selepas tewas kepada MPPJ FC (4-2) pada 2004. Secara peribadi, saya mahu menebus kegagalan itu bersama Negeri Sembilan kali ini,” katanya.

Zamani yang diberi tanggung jawab selaku kapten selepas Muhammad Shukor Adan belum pasti diturunkan kerana kecederaan betis menyeru rakan sepasukan memberikan aksi terbaik sebagai hadiah untuk penyokong Hoben Jang Hoben.


Apatah lagi tugas yang digalas Zamani cukup berat malam ini apabila bakal menjadi benteng menahan asakan jentera serangan Kelantan yang dibarisi dua pemain import, Denny Antwi dan Mohammed Ghaddar serta Norshahrul Idlan Talaha.


“Semua pemain perlu memberikan komitmen dan bekerja sama dalam satu pasukan. Saya rasa kami tidak berdepan sebarang tekanan kerana situasi seperti ini sudah biasa kami lalui sebelum ini.

“Memang pasukan kali ini ramai pemain muda tapi dengan bakat dan peluang yang diberikan jurulatih Azraai, saya yakin Negeri Sembilan mampu memberi saingan hebat,” katanya. yang mengharapkan permulaan lebih baik musim ini selepas mengalami kecederaan teruk awal musim lalu.

--- Harian Metro

‘Misi bukti keupayaan’

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TENANG...Norshahrul (kanan) bersama Daudsu dalam latihan, semalam.

PERSEMBAHAN yang dipamerkan The Red Warriors di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bakal menjadi kayu pengukur sejauh mana skuad kendalian jurulatih Peter James Butler itu mampu menghadirkan saingan merebut kejuaraan dalam kancah bola sepak tempatan musim ini selain cabaran Piala AFC.

Pandangan itu disuarakan ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala yang melihat perlawanan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah menentang juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan itu bakal memberikan gambaran yang jelas tahap sebenar mereka.


“Sepanjang tempoh pra-musim, semua pemain sudah memberikan aksi yang terbaik kepada pasukan dalam setiap perlawanan namun malam esok (malam ini) adalah penentu sebenar kepada kami. “Sejauh mana keupayaan kami,” katanya yang diangkat sebagai pemain paling bernilai dalam kancah bola sepak tempatan musim lalu.

Pemain yang dikenali sebagai Mat Yo itu bakal bergandingan bersama dua lagi penyerang import, Muhamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare di barisan depan bagi merobek gawang Negeri Sembilan dalam mempertahankan piala yang pertama kalinya dimenangi Kelantan pada musim lalu.


“Gandingan kami bertiga sebenarnya masih belum memuaskan hati lagi kerana banyak peluang sebelum ini gagal disempurnakan dengan baik walaupun banyak dicipta. “Jadi saya berharap kami dapat meningkatkan lagi persefahaman malam ini bagi memberikan permulaan yang baik kepada pasukan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.


Sebelum ini, penyerang Harimau Malaya itu pernah menyuarakan kesukarannya berkomunikasi berikutan kesukaran Ghaddar yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Dia ada mempamerkan peningkatan dalam berkomunikasi. Namun saya tidak bermasalah untuk membentuk persefahaman dengan Antwi,” katanya. Mengenai Negeri Sembilan, penyerang negara itu mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah kemampuan lawan walaupun ramai tonggak mereka membuat keputusan berhijrah.


“Mereka mengharungi persediaan cukup serius dengan sejumlah pemain muda yang semakin mantap dan sebenarnya sudah mempunyai pengalaman yang cukup selepas diberikan pendedahan sempurna oleh jurulatih pengelalaman pada musim lalu,” katanya.

Kelantan memenangi piala terbabit untuk kali pertama musim lalu apabila menewaskan Selangor 2-0 namun bermula musim ini perlawanan terbabit tidak menawarkan sebarang mata untuk Liga Super.

--- Harian Metro
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...