Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala FA 2013. Show all posts
Showing posts with label Piala FA 2013. Show all posts

Saturday, May 25, 2013

Kelantan Langkah Sebelah Kaki Ke Final Piala FA


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Piala FA, Kelantan melangkah sebelah kaki ke final setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu malam Sabtu.

Dengan kelebihan itu, Kelantan selaku juara trebel musim lepas membawa bekalan selesa dan tidak perlu bekerja keras apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, Selasa ini.

Skuad Penyu bermula garang apabila mengejutkan Kelantan menerusi gol pembukaan yang dijaringkan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin menerusi tandukan seawal minit kedua perlawanan.

Tertekan dengan kedudukan itu, Kelantan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' kembali bangkit pada babak kedua perlawanan apabila Dickson Nwamuso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Kelantan menambah duka Terengganu apabila Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-89 manakala Obinna Nwaneri menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani yang berjaya melepasi pertahanan lawan mengesahkan kemenangan bagi pasukan Kelantan apabila meledakkan gol pada masa tambahan.

Nasib berbeza menimpa pasukan Johor Darul Takzim apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad bimbingan Fandi Ahmad perlu memperoleh jaringan besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan pusingan kedua Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke final.

Pemain Import dari Brazil skuad Harimau Selatan, Leonel George Nunuez menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Kedah mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-32, Alen Guc (minit ke-42 dan ke-58) dan Mohd Sabre Mat Abu pada minit ke-48, manakala gol saguhati PDRM disumbangkan Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-68.

-- BERNAMA

Tuesday, February 19, 2013

FAM Nafi Lambat Selesai Isu Pergaduhan Pemain Selangor Dan ATM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sengaja mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, 25 Jan lepas.

Menurut kenyataan FAM Selasa, badan itu perlu mengambil masa mendapatkan rakaman video selepas perlawanan itu daripada sumber lain kerana video yang dihantar Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta laporan daripada pengadil perlawanan hanya melibatkan aksi perlawanan sebenar dan tiada rakaman insiden di luar padang.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan FAM 'pilih kasih' dalam menyelesaikan isu berkenaan dan turut menyatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Setiausaha Agung FAS telah campur tangan bagi menyelesaikan isu itu di luar pengetahuan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Kenyataan FAM itu turut menjelaskan bahawa pihak sekretariat telah meneliti laporan yang dibuat 'match commissioner' (wakil FAM dalam perlawanan itu) yang dengan jelas menyebut supaya rujukan lanjut hendaklah dibuat melalui rakaman video.

FAM juga ada menerima laporan daripada pengadil dan penolong pengadil tetapi tidak menyebut mengenai insiden itu kerana pegawai berkenaan telah pun meninggalkan padang sebelum kejadian berlaku.

"Oleh demikian, sekretariat (FAM) sedang berusaha mendapatkan rakaman daripada sumber lain iaitu daripada stesen televisyen lain dan ini mestilah mengambil masa," menurut kenyataan itu.

Menurut FAM, setelah rakaman tersebut diperoleh, ia akan dibentang kepada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk proses perbincangan dan penelitian klip video itu di kalangan ahli jawatankuasa berkenaan sebelum pertuduhan dibuat.

"Ini bertujuan supaya FAM tidak membuat pertuduhan yang salah atau tidak tepat. Jika tiada klip video tersebut, kes ini akan juga dirujuk kepada mesyuarat jawatankuasa tatatertib (yang akan bersidang) pada esok untuk diteliti sebelum pertuduhan dibuat," menurut kenyataan itu.

FAM juga menjelaskan bahawa insiden pergaduhan berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib di mana jawatankuasa FAM yang lain seperti JKPT tidak boleh mempengaruhi apa-apa keputusan yang akan, sedang atau sudah diambil oleh jawatankuasa itu.

Ini selaras dengan kedudukan jawatankuasa tersebut sebagai badan bebas di bawah Statut FAM.

Kenyataan itu juga menyebut pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan semasa perlawanan boleh dibuat dalam masa dua tahun dari tarikh kejadian iaitu mengikut Perkara 6.1.1 Kod Tatatetib FAM yang selaras dengan Artikel 42.1 Kod Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Artikel 42.1 Kod Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)(2011).

"Bagaimanapun FAM tidak pernah mengambil masa sehingga dua tahun untuk membuat pendakwaan," kata kenyataan itu.

Pada perlawanan berkenaan, penyerang Selangor Mohd Afiq Azmi dikatakan ditumbuk oleh pemain ATM selepas beliau melakukan provokasi melampau ke atas pemain lawan selepas pasukan Gergasi Merah menang 3-2 menerusi sepakan penalti. Kedua-dua pasukan sebelum itu seri 2-2 pada aksi 120 minit termasuk 30 minit masa tambahan.



-- BERNAMA

Monday, January 28, 2013

TMJ tidak pernah minta tukar venue Piala FA

NORSHIKIN MOHD SALLEH
28 Januari 2013
TUNKU ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
TIADA permohonan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menukar  venue perlawanan dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA bulan depan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, dakwaan itu tidak benar dan tidak mengetahui dari mana isu tersebut ditimbulkan.

“Kita tidak tahu dari mana cerita ini datang dan seterusnya disebarkan, malah kami tidak mengetahui niat sebenar cerita ini dibuat.

“Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak pernah menyatakan untuk menukar venue Piala FA, malah kami ikut  seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah untuk beraksi di Darul Aman atau di mana sahaja kerana ia perkara biasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon kepada FAM untuk menukar venue dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA menentang Kedah.

--- SINAR HARIAN

PBNJ sedia dihukum jika cuai dalam isu lagu


NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
28 Januari 2013
PERSATUAN bola Sepak Johor (PBNJ) mengesahkan belum menerima sebarang surat amaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung ‘kecuaian’ mereka tidak memainkan lagu Negaraku serta lagu negeri pasukan pelawat ketika Johor Darul Takzim bertemu Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim ketika dihubungi bagaimanapun berkata, pihaknya akur dan bersedia untuk dihakimi oleh FAM.

"Tetapi, sekiranya kami didenda, kami akur dan bersedia untuk membayar hukuman yang dikenakan oleh FAM.

"Kami tiada masalah, bagi saya kalau melakukan kesalahan dan didapati bersalah, kita harus menerimanya dan membayar denda tersebut," kata Suhairi kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media tempatan hari ini iaitu PBNJ berdepan hukuman denda RM2,000 serta surat amaran daripada FAM berikutan kecuaian mereka tidak memainkan lagu Negaraku serta lagu negeri pasukan pelawat ketika Johor Darul Takzim bertemu Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,  Jumaat lalu.

Dalam insiden yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen berbayar itu, hanya lagu negeri Johor dimainkan ketika pemain kedua-dua pasukan berdiri sebelum perlawanan bermula tanpa disusuli lagu negeri Perak dan paling utama lagu Negaraku.

Enggan mengulas lanjut mengenai kecuaiaan pihak PBNJ, Suhairi berkata, "saya tidak mahu komen mengenai hal itu."

"Kita tunggu sahaja surat FAM. Jika dikenakan denda, kita akan membayarnya," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya dakwaan berhubung perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Kedah dan Johor Darul Takzim, 26 Februari depan dikatakan akan ditukar ke Larkin, Suhairi menafikannya dan berkata: “Tidak benar. Siapa yang buat cerita mengarut ini."

"Dari mana mereka dengar dan siapa yang mengeluarkan kenyataan ini.

"Setahu saya, perlawanan itu masih kekal di Stadium Darul Aman, Alor Setar seperti ditetapkan mengikut susunan ketika undian Piala FA," katanya lagi.

--- SINAR HARIAN

Saturday, January 26, 2013

Darul Takzim FC Ketuai Cabaran 14 Pasukan Ke Pusingan Kedua Piala FA

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pasukan kelab berstatus bintang Johor Darul Takzim (JDT) FC mengetuai senarai 14 pasukan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua Piala FA selepas perlawanan pusingan pertama Jumaat.

JDT FC, yang dibimbing oleh lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, mara selepas menundukkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan pemain pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak pada minit ke-59.

Pada pusingan kedua 26 Feb ini, skuad Harimau Selatan itu dijadualkan bertemu Kedah yang membelasah wakil Negeri Sembilan, Betaria FC 3-0 di Stadium Alor Seta.

Pendahulu Liga Super, Pahang turut mara ke pusingan kedua setelah mengalahkan Johor 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bharu.

Pahang akan menentang Tentera Darat FC pada pusingan kedua selepas pasukan yang bersaing dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menumpaskan wakil kelab dari Pahang, Kuantan Port/Shahzan Muda dengan kemenangan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Juara lima kali Piala FA, Selangor mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi sepakan penalti ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan sengit yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan ATM terlebih dahulu mendahului 2-0 menerusi penyerang import, Marlon Alex James dan Mohd Affize Faisal Mamat masing-masing pada minit ketujuh dan ke-25 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.

Skuad Gergasi Merah akan membuat perhitungan dengan Sabah pada pusingan kedua selepas skuad Badak menjinakkan Felda United 2-1 dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Turut mara ke pusingan kedua ialah Terengganu yang mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, SPA Putrajaya FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Terengganu akan menentang Pulau Pinang di pusingan kedua selepas pasukan Harimau Kumbang mengejutkan pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kemenangan 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Keadaan hujan lebat di sekitar Lembah Klang memaksa dua perlawanan melibatkan perlawanan UiTM FC menentang Negeri Sembilan di Stadium UiTM, Shah Alam dan Selangor PKNS menentang Lions XII di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya ditunda pada Sabtu.

Dua finalist Piala FA musim lepas iaitu Kelantan dan Sime Darby FC tidak beraksi pada pusingan pertama kerana mendapat 'bye'.

-- BERNAMA

Friday, January 25, 2013

Piala FA: Kelantan kekal gelaran atau lahir juara baru?

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH DAN SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI
25 Januari 2013
Piala FA
Piala FA
 
TIGA puluh pasukan berentap dalam saingan Piala FA mencari gelaran juara.
Dan hari ini, aksi Piala FA 2013 membuka tirai dengan kesemuan pasukan turun, diiringi satu tekad - memulakan kempen dengan langkah kanan.

Begitupun, pasukan tumpuan iaitu juara dan naib juara musIm lalu, Kelantan dan Sime Darby - mendapat 'bye' di pusingan pertama -  tidak akan beraksi kerana layak secara automatik ke pusingan kedua.

Umum mengetahui, Piala FA merupakan saingan kalah mati - setiap pasukan perlu bertungkus-lumus mengalahkan pasukan lawan masing-masing untuk mara ke peringkat seterusnya bagi memastikan gelaran juara musim ini berada di dalam genggaman.

Apa yang pasti, 15 pasukan negeri, sembilan berstatus kelab, tiga pasukan bersenjata, satu pasukan jemputan dari Singapura dan Cambodia serta satu pasukan dari pusat pengajian tinggi awam, akan memeriahkan pentas Piala FA 2013

Pasukan manakah akan merangkul gelaran kali ini?

Mungkin masih terlalu awal untuk menjangka pasukan mana yang akan layak kerana setiap pasukan pasti memberikan saingan sengit dengan membariskan bintang mereka serta pemain-pemain muda berkualiti.

Namun di atas kertas, pasukan berpengalaman seperti Kelantan , Johor Darul Takzim, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang dijangka menguasai saingan.

Kelantan yang gah selaku juara bertahan pastinya inginkan piala tersebut terus kekal di gengaman walaupun sedar pasukan lain bakal menjanjikan cabaran serta mempunyai hasrat sama.

Namun persoalannya, mampukah Kelantan bangkit daripada prestasi hambar dan kembali menunjukkan taring sekali gus membuktikan kredibilit ebagai juara treble.

Tidak dinafikan, tugas mempertahankan gelaran agak sukar dari yang mengejarnya, namun tidak mustahil mempunyai pasukan seimbang dari segi semua posisi dan tidak hanya terlalu mengharapkan kepada seorang pemain serta beraksi secara berkumpulan mampu meletakkan Kelantan terus dicemburi pesaing lain.

Begitu pun, cabaran Kelantan musim ini nyata sengit kerana setiap pasukan mempunyai strategi tersendiri, ditambah dengan keserasian barisan muka-muka baru dan lama yang mendapat sentuhan jurulatih berkaliber masing-masing.

Selain Kelantan, juara Piala FA lima kali, Selangor sudah tentu ingin menambah koleksi kemenangan di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim.

Gagal meraih sebarang piala musim lalu sudah tentunya satu tamparan buat pengurusan dan pemain walaupun pada awalnya sasaran Misi 33 gah dilaungkan.

Kini dengan barisan pemain Merah Kuning rata-rata dibarisi pemain baru. Mereka pastinya mempunyai sasaran dalam aksi kali ini yang ternyata kecewa selepas ditunjukkan jalan keluar oleh Johor FC musim lalu pada pusingan kedua.

Pasukan berwajah skuad kebangsaan, Johor Darul Takzim sudah tentunya menjadi perhatian peminat bola sepak tempatan.

Dibarisi rata-rata pemain kebangsaan di semua posisi kekuatan, pasukan bimbingan Fandi Ahmad sememangnya tidak perlu dipersoalkan apatah lagi dengan kemasukan bintang import dari Sepanyol dan Itali.
Pahang dan ATM juga harus diberikan perhatian. Dua pasukan daripada Liga Perdana musim lepas nyata mempamerkan prestasi cemerlang terutama dalam saingan Liga Super apabila kedua-dua pasukan itu kini mengungguli liga.

Selain itu, harus diingat pasukan berstatus kelab dari negeri juga tidak boleh dipandang rendah.
Semut Api, Budak Felda dan The Titans yang turut beraksi dalam saingan Liga Super 2013 menjanjikan persaingan menarik.

Lihat sahaja Pembunuh Gergasi, siapa sangka aksi 11 pemain jersi belang oren merah mewarnai pentas akhir di Stadium Bukit Jalil, 19 Mei lalu.

Tewas 0-1 melalui sepakan penalti perlu dibanggakan anak didik Ismail Zakaria yang memberikan persembahan menarik, namun beraksi dengan pasukan lebih pantas dan penuh taktikal seperti Kelantan sudah cukup menceritakan segala-galanya.
Siapakah juara musim ini?\

Adakah Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan atau nama baru akan muncul? Atau piala atau gelaran kali ini akan berpindah tangan.

Berikut jadual perlawanan pertama Piala FA hari ini:
PKNS lwn Lions XII
Stadium Petaling Jaya
4.15 petang
Pulau Pinang PBAPP lwn PKRFC (CAM)
Stadium Bandaraya
4.15 petang
Kuala Lumpur lwn Pos Malaysia
Stadium Kuala Lumpur
4.15 petang
UiTM FC lwn Negeri Sembilan
Stadium UiTM, Shah Alam
4.15 petang
PDRM lwn Pulau Pinang
Stadium Hang Jebat, Melaka
4.15 petang
Kuala Lumpur SPA lwn Terengganu
Stadium MPS, Selangor
4.15 petang
Sabah lwn Felda United
Stadium Likas
4.15 petang
Pahang Kuantan lwn ATM Tentera Darat
Stadium MP Temerloh
4.15 petang
T-Team lwn Perlis
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
4.15 petang
Sarawak lwn Melaka
Stadium Negeri
8.15 malam
Johor lwn Pahang 
Stadium MPPG, Johor Bahru
8.45 malam
Kedah lwn NS Betaria FC
Stadium Darul Aman
8.45 malam
Selangor lwn ATM 
Stadium Shah Alam
8.45 malam
Johor Darul Takzim lwn Perak
Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos
8.45 malam

--- SINAR HARIAN

Thursday, January 24, 2013

T-Team Turun Tanpa Kelibat Pemain Import Esok

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Pasukan berstatus kelab, T-Team tidak akan menurunkan pemain importnya pada aksi sulung menentang Perlis dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, esok.

Ketua jurulatih Peter James Butler berkata kedua-dua pemain import Caleb Forlan dan George Boateng tidak dapat diturunkan akibat masing-masing mengalami kecederaan.

Katanya mereka akan mempertaruhkan barisan pemain tempatan bagi melayan kunjungan Perlis, bukan memandang rendah terhadap lawan tetapi lebih selesa dengan pemain yang sedia ada.

"Ini adalah perlawanan pertama penting jadi saya buat percaturan akan menurunkan barisan terkuat menentang Perlis untuk meraih kemenangan pertama Piala FA.

"Saya lebih yakin dengan barisan pemain yang diturunkan ini yang diharap mampu merealisasikan impian kita untuk menang perlawan penting ini esok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Bola Sepak 'The Titans' di Gong Baru di sini hari Khamis.

Butler berkata beliau mempunyai barisan pemain muda yang mampu memikul tanggungjawab apabila beraksi menentang Perlis.

Bagaimanapun, dia masih belum menentukan barisan utama yang akan diturunkan menentang pasukan kendalian Yunus Alif.

"Meskipun, Perlis merupakan pasukan Liga Perdana, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dalam perlawanan pembukaan Piala FA itu kelak.

"Senario Piala FA berbeza berbanding Liga Super malah apa-apa sahaja boleh berlaku," katanya.

Menurutnya Perlis mempunyai beberapa pemain berbahaya seperti Emmanuel Okine dan Dennis Antwi yang perlu diberi perhatian dalam perlawanan itu.

Katanya, beliau berharap anak buahnya dapat memberi sepenuh tumpuan sepanjang tempoh perlawanan sekali gus meraih kemenangan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...