Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Perak FA. Show all posts
Showing posts with label Perak FA. Show all posts

Friday, December 6, 2013

Pemain Dari Brazil, Burkina Faso Antara Yang Ikat Kontrak Dengan Skuad Seladang

IPOH, 5 Dis (Bernama) -- Tiga pemain import dari Brazil, Burkina Faso dan Myanmar adalah antara tiga pemain import yang sudah mengikat kontrak untuk bermain dengan Perak musim depan.

Mereka ialah Kyaw Zayar Win dari Myanmar yang dijangka diletak di bahagian midfield, Wendwoga Didier Martin (Burkina Faso) di bahagian pertahanan dan Anderson Rodrigues Cardosa (Brazil) selaku penyerang.

Pengurus Skuad Liga Super Perak Datuk Azhar Ahmad berkata Perak dijangka mengikat seorang lagi pemain import dari New Zealand untuk diletak bermain di bahagian penyerang.

Pemain ini dijangka tiba di Perak sebelum 10 Dis.

"Corak permainan pemain-pemain import sangat meyakinkan dan kita berpuas hati dengan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak 23 pemain di sini malam tadi.

Beliau berkata Perak juga telah mengikat kontrak selama dua hingga tiga tahun seramai 10 pemain Piala Presiden yang elaun mereka turut dinaikkan kepada RM5,000.

"Mereka ini telah menunjukkan komitmen yang sangat baik. Jika kita tidak ikat pemain ini, saya yakin mereka akan dicuri oleh negeri lain seperti sebelum ini," katanya.

Azhar berkata Perak akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kelantan pada 10 Dis ini di Stadium Perak.

Pada Januari depan para pemain akan memulakan latihan dengan turut beraksi pada perlawanan persahabatan di beberapa daerah, katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, November 7, 2012

PAFA tetap tagih janji Azidan


AZIDAN (kiri) pada awalnya menyatakan persetujuan bermain untuk Perak tetapi tiba-tiba dilaporkan terpikat pula dengan Pahang.


PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) akan berusaha mendapatkan pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin untuk beraksi dengan skuad Seladang dalam saingan Liga Super musim depan.
Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, beliau keliru dengan pelbagai berita mengenai kedudukan Azidan.
"Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa Azidan secara peribadi menyatakan hasrat untuk bermain dengan Perak," kata Zainol selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Para Petugas Stadium Perak di sebuah hotel terkemuka di Ipoh malam kelmarin.
PAFA meraikan lebih 200 petugas yang membantu persatuan itu sepanjang perlawanan Liga Super dan Piala Presiden di Stadium Perak, Ipoh musim lalu.

"Hasrat Azidan dipanjangkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan persatuan di Lembah Klang itu bersetuju memberi pelepasan kepada pemain tengah tersebut," tambah Zainol.

Kini, beliau mendengar desas- desus bahawa FAS sudah menghantar surat kepada PAFA bahawa Azidan akan bermain dengan Pahang.
"Mana satu yang betul ni, saya akan meminta Setiausaha PAFA, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin menghubungi FAS mengenai kedudukan Azidan," katanya.

"Saya berpendapat, jika tuan tubuh (Azidan) ingin bermain di Ipoh, berilah pelepasan kepadanya. Kalau tuan tubuh itu tidak mahu menyarung jersi Perak, PAFA akan mencari pemain lain."

Sebelum ini, PAFA terkejut apabila Azidan yang sudah bersetuju beraksi dengan Perak telah berubah angin ingin bermain dengan Tok Gajah.

Setiausaha PAFA mengakui menerima surat rasmi daripada Setiausaha FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengesahkan bahawa Azidan akan beraksi dengan Pahang minggu lalu.

Bagaimanapun, Azidan belum menandatangani sebarang surat persefahaman atau kontrak dengan PAFA. 

Sementara itu, Zainol memberitahu bahawa beberapa pemain dari Sepanyol dan Brazil berhasrat mengisi kekosongan kuota pemain import Perak.

"Pemain dari kedua-dua negara itu akan menjalani ujian pemilihan pertengahan bulan ini," katanya.

Perak sedang mencari dua pemain import apabila kontrak Michal Kubala dan Albert Bodjongo tidak disambung setelah tamat 31 Oktober lalu.

--- KOSMO

Sunday, July 8, 2012

Kelantan pertahan juara Liga Super


Wartawan Sinar Harian
7 Julai 2012
Kelantan pertahan juara Liga Super
Pemain Kelantan Mohd Ghadar dikawal ketat pemain Perak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV. Kelantan menumpaskan Perak 6-0. - Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] KOTA BHARU - Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat dua tahun berturut-turut dengan membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Kejayaan ini lebih manis apabila Red Warriors muncul juara Piala FA Mei lalu.

Semalam, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (
ATM) muncul sebagai juara Liga Perdana.

Kemenangan ke-17 daripada 24 perlawanan liga itu membolehkan mereka memungut 57 mata, berkelebihan tujuh mata daripada pencabar terdekat, Lions XII dari Singapura dengan masing-masing masih mempunyai dua baki perlawanan.

Kelantan merupakan pasukan ketiga yang berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi oleh Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 sebelum Mohammed Ghaddar Mahmoud menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas memanfaatkan bola hasil lorongan Indra Putra.
Bernama melaporkan, Kapten skuad The Red Warriors,Mohd Badhri Mohd Radzi menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga, empat minit kemudian menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Nasril Nourdin di gawang Perak.

Indra Putra melengkapkan malam kegemilangan Kelantan apabila melakukan hatrik dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-29 dan gol keenam pada minit ke-48.

Satu lagi gol Kelantan dijaringkan oleh Nurul Azwan Roya pada minit ke-38.

Perak bertambah malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-47 apabila kapten mereka, Shahrul Nizam Mustapa dikenakan kad merah oleh pengadil, Rahmat Jantan kerana mengasari Mohammed Ghaddar.

Sementara itu, pasukan tangga keempat liga, Selangor mencatat kemenangan 4-0 ke atas jiran mereka, Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Azidan Sarudin pada minit ke-33, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-46 dan ke-79 dan Ramez Dayoub pada minit ke-62.

Gergasi Merah diekori rapat oleh Terengganu yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie pada minit keempat, Mohamad Ashari Samsudin (minit ke-44) dan gol sendiri Mohd Reithaudin Awang Emran pada minit ke-77 manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ketujuh.

Felda United turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hasil jaringan Farderin Kadir pada minit ke-22.

Negeri Sembilan yang tewas 2-3 kepada Kelantan, Selasa lepas bangkit dengan menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42 dan S. Kunanlan pada minit ke-82.

Satu lagi pasukan dari Terengganu, T-Team pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 dengan Johor FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat menerusi Mohd Haris Safwan Kamal pada minit ke-31 sebelum Mohd Fadzli Saari menyamakan kedudukan untuk T-Team menerusi jaringan pada minit ke-56.

--- SINAR HARIAN

Kelantan kekal kejuaraan

  Pemain Kelantan meraikan kejayaan mengekalkan juara Liga Super 2012 selepas   berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Pemain Kelantan meraikan kejayaan mengekalkan juara Liga Super 2012 selepas berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Menang penuh bergaya berpesta gol belasah Perak 6-0 di KB

Kota Bharu: Kelantan mengesahkan gelaran juara Liga Super buat musim kedua berturut-turut dengan penuh bergaya selepas berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kejayaan skuad The Red Warriors itu dicapai ketika saingan musim ini masih berbaki dua perlawanan, lebih mudah berbanding ketika mereka hanya mengesahkan kejuaraan Liga Super musim lalu pada perlawanan terakhir.

Selepas 24 perlawanan, Kelantan tidak mampu lagi dicabar di tangga teratas dengan 57 mata sambil pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII turut mengesahkan status sebagai naib juara Liga Super musim ini dengan 50 mata.

Perebutan tempat ketiga masih terbuka.

Kelantan kendalian jurulatih dari Croatia, Bojan Hodak ternyata unggul musim ini apabila mereka bukan saja muncul juara Piala FA menewaskan Sime Darby 1-0, Mei lalu, malah mara ke suku akhir Piala AFC untuk bertemu kelab Iraq, Arbil, 18 dan 25 September depan.

Pada aksi malam tadi, Kelantan tampil garang dengan mendahului 5-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-16 dan 29, Mohamad Ghaddar (18), Badhri Radzi (22) dan Nurul Azwan Roya (38).

Perak bertambah parah apabila kaptennya, Shahrulnizam Mustapha dilayangkan kad merah selepas bertindak kasar terhadap Ghaddar pada masa kecederaan.

Pada babak kedua, Kelantan membawa masuk Norshahrul Idlan Talaha menggantikan Ghaddar manakala Perak memasukkan penjaga gol simpanan, Kamarul Effandy Abdul Rahim menggantikan Nasril Nourdin.

Namun gawang Perak terus bocor apabila Indra Putra melengkapkan hatriknya pada minit ke-48 untuk gol keenam Kelantan.

--- BERITA HARIAN

Kelantan juara Liga Super 2012

PEMAIN-pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2012 selepas membelasah Perak 6-0 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu semalam. - MINGGUAN/ Aizzul A. Majid

KOTA BHARU - Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan penuh bergaya selepas membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Red Warriors menjuarai kejohanan musim ini, meskipun saingan masih berbaki dua perlawanan selepas mengumpul 57 mata setakat ini. Pencabar terdekat mereka, Lions XII sekadar mengutip 50 mata.

Beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu 20,000 penyokong mereka, tuan rumah beraksi garang dengan ledakan lima gol pada separuh masa pertama.

Gol pertama Kelantan berjaya dijaringkan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke 16 sebelum Mohd. Ghaddar menambah derita pelawat dua minit ke 18. Selang empat minit kemudian gawang Perak bocor lagi melalui rembatan leret ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi.

Indra Putra berjaya menjaringkan gol keduanya pada mnit ke 29 sebelum Nurul Azwan Roya menyumbat gol kelima Kelantan pada minit ke 39. Kapten Perak, Shahrul Nizam Mustapha yang gagal mengawal emosi dilayangkan kad merah pada minit ke 45 oleh pengadil perlawanan, Rahmat Jantan selepas dia mengkasari Mohd. Ghaddar.

Skrip sama kekal sebaik wisel separuh masa kedua ditiup yang menyaksikan Indra Putra berjaya mencipta hatrik dengan jaringan gol pada minit ke 48. Meskipun bermain dengan 10 orang, Perak berjaya mengelak gawang mereka daripada dibolosi lebih banyak gol pada separuh masa kedua.

Kemasukan penjaga gol simpanan mereka, Kamarul Efendi ternyata memberi kesan positif apabila dia berjaya menggagalkan beberapa percubaan pemain Kelantan. Kekalahan tersebut mengekalkan kedudukan Perak di tangga ketiga liga dengan pungutan 39 mata.

--- UTUSAN MALAYSIA

Saturday, May 26, 2012

Kubala pakar sepakan percuma

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI
26 Mei 2012
Michal Kubala
Michal Kubala

PADA awal kemunculannya, ramai yang meragui kewibawaan import Slovakia ini bagi membantu Perak mengharungi saingan sengit dalam kancah Liga Malaysia, khususnya Liga Super.

Namun, jaringan gol Michal Kubala melalui rembatan ketika menewaskan Terengganu pada perlawanan sulung di laman sendiri menjadikan namanya kini bermain dibibir penyokong setia skuad Kejor Yob Kejor itu.

Pernah bersama skuad bawah 18 dan 21 tahun Slovakia, pemain itu juga pernah beraksi dengan kelab paling berjaya dalam Corgon Liga (liga bola sepak Slovakia), Slovan Bratislava sektiar musim 2008 – 2009 lalu.

Karier, Kubala seterusnya berkembang bola sepaknya dengan beraksi bersama kelab gergasi Liga 1 Bergenbier Romania (liga utama bola sepak Romania) Gaz Metan Medias pada musim 2010 sebelum berhijrah mewakili Astra Ploiesti dalam liga yang sama musim berikutnya.

Pada detik awal kedatangannya ke negara ini, Kubala difahamkan beraksi mewakili skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu perlawanan persahabatan menentang Perak.

Aksi hebat Kubala ketika beraksi pada perlawanan berkenaan telah berjaya memikat pihak pengurusan bola sepak Perak yang pada ketika itu sedang dalam usaha melengkapkan kuota pemain importnya.

Setelah ATM diberitakan tidak berminat untuk mendapatkan khidmatnya, pihak pengurusan Perak telah menyenaraikan Kubala serta seorang lagi pemain import dari Serbia, Lazar Popovic dalam siri perlawanan persahabatan pra-musim Perak di Medan Indonesia awal Januari lalu.

Usaha membawa Kubala untuk beraksi bersama skuad Seladang itu nyata berbaloi apabila Perak berjaya mencatat keputusan memberangsangkan pada siri perlawanan persahabatan pramusim di Medan dengan berjaya mengikat Pon Sumut FC dan PSMS Medan A tanpa jaringan dan menewaskan PSMS Medan B 1-0, menerusi jaringan tunggal Michal Kubala pada perlawanan terakhir.

Kini, Kubala meneruskan aksi cemerlangnya dalam aksi saingan Liga Super pula dengan mendahului senarai penjaring bagi skuad Perak dengan sembilan gol setakat ini.

Lebih menarik, kebanyakan gol yang dihasilkannya adalah menerusi sepakan percuma cantik yang sama sekali akan menewaskan penjaga gol lawan. Ketika ditemui, baru-baru ini, Kubala menyatakan hasratnya untuk membantu Perak mengharungi saingan Liga Super musim ini.

Katanya lagi, Perak memiliki ramai pemain berbakat dan adalah tidak mustahil untuk Seladang melakar lebih banyak kejayaan musim ini.

“Sehingga ke hari ini, Perak adalah pasukan yang baik. Suasana dalam pasukan juga baik dan harmoni selain memiliki kelompok penyokong yang hebat.

“Perkara-perkara seperti ini pastinya akan menyemarakkan semangat semua pemain untuk beraksi dengan baik pada setiap perlawanan selepas ini dan untuk itu saya berjanji untuk memberi yang terbaik demi kejayaan Perak musim ini,” katanya lagi.


Profil

Nama: Michal Kubala
Tarikh lahir: 12 Jun 1980
Umur: 31 tahun
Tempat lahir: Levice, Slovakia
Ketinggian: 6 kaki
Posisi: Tengah
Karier
Slovakia U18 (1998)
Slovakia U21 (2001)
Slovan Levice (2001-2002)
Vinohrady Bratislava (2003-2004)
Petrzalka (2005-2007)
Ljungskile (2007-2008)
Slovan Brastislava (2008-2009)
Gaz Metan Medias (2009-2011)
Astra Ploiesti (2011)
Perak FA (2012)


--- SINAR HARIAN

Sunday, February 19, 2012

'Tentera tak bernasib baik'

PEMAIN Perak Akmal Rizal Rakhli (kanan) mengawal bola sambil cuba dihalang pemain Tentera pada saingan Piala FA di Stadium Perak, kelmarin.

Oleh Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
2012/02/19


SEMANGAT melawan anak buahnya tetap membanggakan B Sathianathan biarpun Tentera tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tumpas 1-0 kepada Perak di Ipoh, kelmarin.

“Nasib nyata tidak menyebelahi kami kerana gagal mendapatkan gol yang diperlukan walaupun memberi tentangan sengit pada babak kedua.
“Kami kalah melawan. Pemain bangkit untuk mencipta banyak peluang tetapi malangnya gagal melakukan penyudah,” kata jurulatih merangkap pengurus Tentera itu.
Menurut Sathia, dia terpaksa mengubah perancangan dan strategi selepas anak buahnya ketinggalan seawal minit ketiga permainan hasil jaringan Michal Kubala.

“Ia jaringan daripada sepakan percuma dan tiada siapa boleh dipersalahkan.
Berikutan itu kami terpaksa mengamal corak menyerang untuk mencari gol tetapi gagal. Bila itu berlaku benteng Tentera terdedah kepada serangan balas Perak, mujur mereka juga gagal menambah gol.

“Apapun saya berbangga dengan persembahan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang kental. Itu petanda baik buat pasukan. Saya memandang ke depan untuk kami mencuba nasib dalam Piala Malaysia pula nanti,” katanya.
Sementara itu jurulatih Perak, Norizan Bakar memuji persembahan anak buahnya yang menunjukkan permainan bermutu untuk menghasilkan kejayaan.

“Tahniah kepada pemain kerana bermati-matian hingga berjaya mengutip kemenangan. Tetapi masih ada kelemahan dan kepincangan yang perlu diperbaiki.
Rehat hampir dua minggu selepas ini akan digunakan untuk mengatasi kelemahan ini.”

--- BERITA HARIAN

Saturday, July 9, 2011

Pengurus Perak letak jawatan

IPOH - Pengurus bola sepak Perak, Khairul Azwan Harun meletakkan jawatan berkuat kuasa, semalam berikutan kegagalan Perak menamatkan saingan Liga Super selaku lima teratas.

Khairul Azwan beranggapan kejayaan Perak menduduki tangga keenam liga tidak memadai menyebabkan beliau mengambil keputusan nekad meletak jawatan.

Beliau mengurus skuad Seladang sejak November lalu setelah Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dipilih memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) tahun lalu.

Perak mengakhiri musim 2011, kelmarin dengan mencatat keputusan seri 0-0 dengan Selangor di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan itu meletakkan Perak di tangga keenam liga dengan mengumpul 40 mata daripada masing-masing 10 kemenangan dan seri serta kalah enam perlawanan.

Sebelum ini, PAFA menetapkan sasaran lima pasukan terbaik pada akhir musim.

''Seseorang perlu bertanggungjawab atas kegagalan ini," tegas Khairul Azwan dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Khairul Azwan yang juga bendahari PAFA sedia memikul tanggungjawab ekoran kegagalan membimbing skuad Seladang dalam kelompok lima pasukan terbaik.

Namun begitu, beliau bersyukur dapat membawa skuad Seladang ke tangga keenam liga dari kedudukan 11 musim lalu.

Khairul juga menyatakan bahawa tugas pengurusan skuad Seladang akan disandang oleh penolong pengurus, Ahmad Shahrul Azhar bagi menghadapi saingan Piala Malaysia akan datang.

''Ahmad Shahrul akan bertanggungjawab untuk menyediakan laporan secara berkala mengenai prestasi skuad Seladang kepada Jawatankuasa Pengurusan Liga Super PAFA kelak," tambahnya.

Selain itu katanya, barisan jurulatih yang diketuai oleh Norizan Bakar dan para pemain yang sedia ada tetap dikekalkan.

'' Walaupun saya tidak mengurus skuad Seladang tetapi saya akan tetap memberi khidmat dari aspek pengurusan kewangan, pemantauan dan pembangunan bola sepak PAFA demi memartabatkan permainan ini di Perak," jelasnya.

Khairul memberitahu, Perak sedang merangka persiapan awal untuk membawa masuk beberapa pemain baru secara pinjaman bagi memperkuatkan skuad Seladang dalam saingan Piala Malaysia kelak.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya para penyokong yang memberi sokongan padu kepada skuad Seladang sejak awal musim ini.

----- Utusan Malaysia Online

Thursday, July 7, 2011

Perak kecewakan hajat Merah Kuning



PERAK gagal memungut sebarang mata dan mengakhiri saingan Liga Super 2011 di tangga keenam selepas mencatat keputusan seri 0-0 ketika menentang Selangor di Stadium Perak, malam tadi.

Keputusan berkenaan sekali gus menyaksikan Perak gagal menepati matlamat untuk muncul sebagai antara lima pasukan terbaik sebagaimana yang disasarkan pada awal musim.

Perlawanan semalam bermula seimbang dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu masing-masing.

Selangor nyaris membuka jaringan pada minit ke-34 menerusi percubaan, Amirul Hadi Zainal yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan Perak, namun sekadar menggegar tiang dan melantun keluar.

Peluang terbaik Perak bagi menjaringkan gol pendahuluan pada minit kecederaan separuh masa pertama hasil sepakan percuma Mohd Noor Hazrul Mustaffa yang sekadar menggegarkan palang gol.

Kedua-dua pasukan dilihat semakin hebat mengasak di minit-minit akhir perlawanan, namun semua asakan itu hanya sia-sia bagi kedua-dua pasukan berkongsi satu mata bagi menutup tirai Liga Super musim 2011.

----- Sinar Harian Online

Wednesday, July 6, 2011

Khairul optimis mampu kekang Selangor

Oleh Azizan Hashim
am@hmetro.com.my

PENGURUS Perak, Khairul Azwan Harun menagih persembahan terbaik daripada pemain Seladang apabila turun membuat perhitungan dengan Selangor dalam perlawanan terakhir Liga Super 2011 di Ipoh, malam ini.

Walaupun tuan rumah turun tanpa penjaring utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhili yang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu baru-baru ini, Khairul Azwan yakin anak buahnya mampu menggapai impian mengutip mata penuh.

“Ketiadaan Akmal tidak seharusnya dijadikan alasan gagal memenangi perlawanan. Perak mempunyai pemain muda berbakat untuk membawa cabaran pasukan,” katanya.

Menurutnya, dalam beberapa perlawanan terakhir, jurulatih Norizan Bakar mengetengahkan pemain muda, Mohd Shazuan Ashraf, Md Nurridzuan serta Isma Alif Md Salim yang melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan.

Malah Perak dapat menurunkan semula khidmat Md Shafiq Jamal yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Peluang beraksi ini perlu digunakan pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka. Jadi saya lontar cabaran kepada mereka supaya menunjukkan apa yang mampu mereka lakukan terutama kepada peminat sendiri,” katanya.

Khairul Azwan yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata kelebihan beraksi di gelanggang sendiri seharusnya dimanfaatkan untuk merealisasikan impian itu.

“Ini perlawanan terakhir liga. Kami mahu menamatkannya dengan mengutip mata penuh agar dapat mengukuhkan kedudukan carta,” katanya.

----- Harian Metro Online

Tuesday, June 14, 2011

Seladang mahu tambah derita Kijang


PERAK tidak akan memberi laluan mudah kepada Kelantan untuk memburu kejuaraan Liga Super 2011 ketika kedua-dua pasukan bertembung di Kota Bharu, malam ini.

Kapten Seladang, Shahrul Nizam Mustapha ketika dihubungi berkata, pasukannya sedar anak buah Datuk M Karathu itu akan bermain bermati-matian bagi meraih kemenangan mutlak selepas impian merangkul Piala FA musnah setelas tewas 1-2 kepada Terengganu, Sabtu lalu.

“Walaupun bermain di tempat lawan, namun kami sudah bersedia dan akan memberi tentangan kepada Kelantan.

“Kami berharap dapat membawa pulang tiga mata maksimum ke Ipoh malam ini,” katanya.

Pada masa sama, Shahrul Nizam berharap rakan sepasukannya mengambil kesempatan dengan situasi yang melanda kem Kelantan ketika ini.

“Saya pasti moral pemain Kelantan sedikit merudum ketika ini selepas kegagalan mereka menjulang Piala FA.

“Ini merupakan peluang terbaik Perak, apa yang penting pemain bermain seperti biasa dan mengikut arahan jurulatih.

“Kami juga sedar Kelantan bakal menerima sokongan lebih 20,000 penyokong setianya, tapi itu bukan alasan untuk kami tewas malam ini,” katanya.

Pada perlawanan pusingan pertama 12 April lalu, anak buah Norizan bakar membelasah Kelantan 4-0 di ipoh.

----- Sinar Harian Online

Monday, May 30, 2011

PAFA tamatkan kontrak Razali lebih awal

Sumber: Berita Harian Online

Oleh Azizan Hashim

2011/05/30

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pemain bermasalah, Razali Umar Kandasamy mulai Rabu ini (1 Jun) kerana masih mengulangi perbuatan ponteng latihan buat kali ketiga musim ini.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan PAFA Jumaat lalu.
“Razali boleh lupakan saja musim bola sepak 2011. PAFA mengambil keputusan menamatkan kontraknya. Keputusan dibuat selepas mempertimbang segala aspek termasuk betapa banyak peluang diberikan kepada Razali selama ini.
“Banyak janji dan pengakuan diberikannya tetapi tiada perubahan, malah dia masih mengulangi perbuatan yang sama. Ini adalah tindakan wajar yang difikirkan semasak-masaknya supaya tidak merosakkan pasukan.

“Ia bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengikut prosedur dan ketetapan dalam kontrak,” kata Zainol.

Begitupun, katanya, PAFA akan membayar gaji bulan Mei berdasarkan potongan kedatangan ketika latihan pemain itu yang melebihi 50 peratus walaupun mula ponteng selepas perlawanan dengan Pahang di Ipoh, 6 Mei lalu.

Sementara itu, Presiden PAFA itu lega dengan kejayaan 2-0 Perak ke atas T-Team kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Super, mengatasi Kedah dengan kelebihan jaringan walaupun masing-masing terikat 38 mata.

Saturday, May 21, 2011

Tak patut serang pengadil (Harian Metro Online)

Oleh Shukri Matt Ali
sukan@hmetro.com.my

TIDAK pulang hampa, tapi sedikit kecewa kerana aspek keselamatan longgar. Begitulah rumusan pasca perlawanan menyaksikan Sabah terikat 1-1 dengan Perak dalam pertemuan Liga Super di Stadium TLDM, Lumut, petang kelmarin.

Walaupun skuad bimbingan jurulatih, Justin Ganai mengutip satu mata hasil jaringan saat akhir Md Rozaimi Rahman, pemain Sabah terkejut dengan tindakan penyokong Perak menyerang pengadil, Mohd Sabri Mat Ladzim selepas perlawanan.

Puncanya dipercayai bermula daripada keputusan Mohd Sabri memberikan sepakan percuma kepada Sabah yang menghasilkan gol penyamaan selepas Perak mendahului 1-0 pada minit ke-52 menerusi sepakan penalti kapten, Shahrulnizam Mustapha.

“Kami terkejut dengan insiden itu. Belum pernah kami alami babak sebegitu yang menyaksikan pengadil diserang penonton,” kata penolong pengurus Sabah, Adzhar Mohamad.

Friday, May 20, 2011

Yob gigit jari (Harian Metro Online)

Oleh Azizan Hashim

SABAH mengecewakan Perak pada saat-saat akhir melalui jaringan Md Rozaimi Rahman untuk mengikat skuad Seladang 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Lumut, petang semalam.

Begitupun perlawanan dalam keadaan cuaca panas itu menjadi bertambah panas apabila penyokong Perak menyerang pengadil, Mohd Sabri Mat Ladzim selepas perlawanan kerana memberikan sepakan percuma kepada Sabah yang menghasilkan gol penyamaan. Begitupun tindakan pantas pihak keselamatan stadium berjaya menghalang berlaku insiden tidak diingini terhadap pegawai perlawanan itu. Sebelum itu Perak tampak mengecap kejayaan melalui gol sepakan penalti kapten, Shahrulnizam Mustapha pada minit ke-52 selepas Mohd Shazuan Asyraff dijatuhkan lawan dalam kotak penalti.

Begitupun, bermula daripada sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti, Rozaimi yang masuk menggantikan Razlan Oto memanfaatkan sepakan itu bola terkena benteng pemain Perak terlebih dulu, sebelum menggegar gawang untuk menyelamatkan pasukan bimbingan Justin Ganai itu.

Apa yang pasti, pemain Perak bagaikan menolak tuah kerana walaupun menguasai sebahagian besar permainan, mereka gagal menterjemahkan rentetan peluang.

Perak yang tampil dengan hasrat meraih mata penuh selepas seri dua perlawanan terakhirnya tampak bernafsu dan mengasak bertubi-tubi, tapi malangnya Akmal Rizal Ahmad Rakhili dan Wan Hossein Wan Abd Ghani gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Wednesday, May 18, 2011

Perak terdesak cari kemenangan (Berita Harian Online)

2011/05/18

PERAK perlu menghasilkan kemenangan apabila bertemu Sabah di Stadium Lumut, petang esok bagi mengembalikan pasukan di atas landasan betul serta mengikis tanggapan buruk terhadap kemampuannya dalam Liga Super 2011.

Selepas hanya mengutip lima mata daripada enam perlawanan pada pusingan kedua setakat ini, Shahrulnizam Mustapha dan rakan sepasukan tiada pilihan kecuali memastikan tiga mata penuh.

Kali terakhir Perak menang ialah ketika menumpaskan Kuala Lumpur 5-3 di Ipoh pada 26 April lalu manakala dalam perlawanan terakhirnya, skuad Seladang pimpinan Norizan Bakar seri 1-1 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, 9 Mei lalu.
Berikutan persembahan merudum itu, sokongan peminat terhadap pasukan juga berkurangan seolah-olah hilang minat untuk memenuhi tempat duduk di stadium berbanding keghairahan yang disaksikan pada pusingan pertama liga.

Kini selepas berehat hampir 10 hari, pemain seharusnya dalam keadaan segar dan sempat pulih daripada kecederaan berbanding ketika menempuh jadual padat sebelum ini hingga menjejaskan prestasi sebenar pemain.

Tuesday, April 19, 2011

Perak azam kekal posisi ke-2 liga (Berita Harian Online)

Oleh Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
2011/04/19

PEMAIN Perak, Isma Alif Mohd Salim (kanan) mencabar Amri Yahyah pada perlawanan Liga Super  di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
PEMAIN Perak, Isma Alif Mohd Salim (kanan) mencabar Amri Yahyah pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Mahu lupa memori pahit tewas di tangan Selangor, bangkit bertemu Penyu

PERAK mahu menamatkan pusingan pertama dengan nota kemenangan bagi meletakkan pasukan pada kedudukan baik dalam carta Liga Super, sekali gus kekal di landasan tepat menjelang kempen pusingan kedua.

Justeru ketua jurulatih, Norizan Bakar berharap anak buahnya mempamer aksi terbaik apabila turun melayani kunjungan Terengganu di Stadium Perak, malam ini.
“Kemenangan penting bagi memastikan pasukan terus berada pada kedudukan baik di akhir pusingan pertama.

“Ini penting untuk menyemarakkan moral pasukan dan penyokong. Setakat ini, Perak berpeluang menduduki tangga kedua di belakang Selangor pada akhir pusingan pertama andai mampu mengutip mata penuh malam esok (malam ini),” katanya, semalam.

Jurulatih Perak itu mahu anak buahnya melupakan keperitan kekalahan 1-0 kepada Selangor, Sabtu lalu dan meraih kemenangan ke atas barisan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim malam ini.

“Matlamat kami ialah menang. Pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan saya yakin mereka tidak akan menghampakan penyokong setia,” katanya.
Namun Norizan sedar Terengganu bukanlah sebuah pasukan yang mudah kerana lawan turut hadir dengan impian meraih kemenangan.

Sehubungan itu, dua pertemuan di pentas suku akhir Piala FA lalu, menjadi rujukannya untuk mencatur strategi bagi memastikan tiga mata penuh dan kekal tanpa kalah di gelanggang sendiri.

Wednesday, April 13, 2011

Perak baham Red Warriors (Berita Harian Online)

Oleh Hamid Salleh, Azizan Hashim, Suzianah Jiffar, Mohd Amin Jalil dan Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my
2011/04/13

DUA pertahanan Kelantan cuba menghalang kemaraan Akmal Rizal dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. - Foto Muhaizan Yahya
DUA pertahanan Kelantan cuba menghalang kemaraan Akmal Rizal dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam tadi. - Foto Muhaizan Yahya

Kelantan kecundang di Ipoh, Kedah menang di Paroi atasi NS

PERAK melonjak ke tangga kedua Liga Super selepas meratah pendahulu sebelumnya, Kelantan 4-0 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi dengan dua gol pada setiap babak walaupun pelawat lebih banyak menguasai permainan.

Pesta gol tuan rumah bermula dengan gerakan solo Fazrul Hazli Kadri dari sebelah kanan padang yang menewaskan dua pertahanan, sebelum meledak bola di luar jangkauan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan kembali mengasak menerusi gandingan S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha, tetapi kekangan padu ke atas dua penyerang berbisa itu menyaksikan setiap serangan mudah dipatahkan benteng pertahanan Perak.

Anak buah Norizan Bakar sebaliknya menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi Shafiq Jamal, bermula dengan gerakan pantas Akmal dari sisi kiri padang sebelum melakukan hantaran lintang yang mudah disempurnakan Shafiq.

Pada babak kedua, kemasukan Razali Umar Kandasamy menyaksikan rentak permainan Perak semakin berbisa dengan dua lagi gol dihasilkan menerusi Akmal Rizal Rakhli (m-79) dan Razali (m-2) untuk mengakhiri pesta gol tuan rumah.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pertembungan adik abang antara T-Team dan Terengganu berkesudahan dengan pasukan berstatus negeri mengatasi kelab 1-0 hasil jaringan Abdul Hadi Yahya, dua minit sebaik babak kedua bersambung.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan yang mengharungi perlawanan kelima di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah terus dibelenggu kemarau kemenangan apabila tewas kepada Kedah 2-0 hasil jaringan Azlan Ismail (m-61) dan Baddrol Bakhtiar (m-88).

Di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang sekadar seri tanpa jaringan menentang Johor FC.

Di Stadium Likas, pertemuan antara dua pasukan tercorot berkesudahan dengan keputusan 2-2 untuk masing-masing memungut satu mata.

Thursday, March 31, 2011

Razali Umar berdepan tindakan disiplin (Sinar Harian Online)


TEKA-teki status Razali Umar Kandasamy terjawab setelah pemain itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di pejabatnya, kelmarin.

Razali sebelum ini telah menghilangkan diri sejak 9 Mac lepas dan hanya menghantar SMS kepada seorang pegawai pasukan menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.

Menurut Zainol, Razali turut membawa sepupunya menjadi saksi kepada pertemuan itu dan saksi ikrar janji yang disuarakan.

Namun, tindakan disiplin tetap dikenakan terhadap Razali kerana dia telah melanggar syarat–syarat kontrak berikutan kegagalannya hadir ke sesi latihan harian.

“Saaya ingin tegaskan di sini pertemuan saya dan Razali tidak bermakna dia boleh terus bermain. Semuanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Berdasarkan kontrak, tiada kompromi bagi mana-mana pemain yang didapati melanggar peraturan, jika terpaksa potong gaji, kita akan potong,” katanya.

Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan yang keras.

Pada awal musim, Pafa memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu.

Thursday, March 17, 2011

Razali Umar 'hilang' lagi (Utusan Malaysia Online)


Razali Umar


IPOH - Penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy berdepan hukuman lebih keras daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kerana tidak hadir latihan skuad Perak.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, masalah ketidakhadiran Razali dalam latihan harian skuad Liga Super akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan PAFA hujung bulan ini.

"PAFA memandang serius ketidakhadiran Razali dalam latihan tanpa sebab dan kami akan membincangkan perkara ini secara terperinci.

"Razali juga perlu memberikan surat tunjuk sebab tidak hadir latihan,'' kata di sini, semalam.

Penyerang berbisa skuad Seladang itu sekali lagi 'menghilang' di bawah kendalian jurulatih, Norizan Bakar sehingga gagal dikesan sejak 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Razali juga tidak menjalani latihan selama tiga minggu selepas skuad Seladang pulang daripada menjalani latihan di Bangkok pada 26 Disember lalu.

Ekoran itu, PAFA memberi amaran terhadap penyerang tersebut.

Sebelum ini, Razali juga gagal hadir menjalani latihan pusat skuad kebangsaan apabila dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tahun lalu.

Kehilangan terbarunya sejak 9 Mac lalu sekali lagi memeningkan PAFA. Namun Razali ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang pegawai skuad Seladang baru-baru ini, dengan menyatakan dia cirit-birit.

Namun selepas itu, penyerang tersebut gagal dikesan sehingga namanya tidak disenaraikan dalam skuad Seladang ketika menentang T-Team dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu 12 Mac lalu.

Razali juga tidak disenaraikan dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA antara Perak dengan Terengganu di Ipoh, kelmarin.

"Saya tidak tahu mengapa Razali mengambil tindakan sedemikian yang menjejaskan perancangan jurulatih Norizan.

"PAFA juga sudah memotong gaji Razali selama dua bulan atas kesalahan ponteng latihan tetapi dia masih gagal mengubah tabiatnya," kata Presiden PAFA itu.

Zainol Fadzi meminta Razali berjumpa dengan mana-mana pegawai PAFA jika pemain itu mempunyai masalah.

"Razali mempunyai pengikut dan peminatnya tersendiri yang mahu melihat dia beraksi bersama skuad Seladang.

"Oleh itu jangan hampakan mereka," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad Seladang, Norizan berkata, ketiadaan Razali bukan masalah besar buat pasukannya.

"Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat beraksi dengan pasukan ini,'' katanya.

Seladang belum selamat (Harian Metro Online)

PELUANG Perak ke separuh akhir Piala FA belum terjamin berikutan kejayaan 3-2 ke atas Terengganu, malam kelmarin.

Malah berdasarkan apa yang berlaku di Stadium Perak dalam saingan suku akhir pertama itu, Seladang dijangka menghadapi detik sukar apabila membuat perhitungan di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Selepas menikmati kedudukan selesa apabila mendahului 3-1 malangnya pemain tuan rumah membenarkan anak buah Irfan Bakti Abu Salim merapatkan jurang pada saat-sat akhir perlawanan melalui Reeshafiq Alwi.

Keputusan itu kini menyaksikan skuad Penyu hanya perlu menang 1-0 di Kuala Terengganu nanti untuk mara ke separuh akhir berdasarkan jaringan di tempat lawan sekali gus membuatkan Seladang dalam keadaan tertekan.

Begitupun berdasarkan perlawanan itu, Terengganu berjaya membawa cabaran kepada pasukan tuan rumah tapi penyudah tumpul menyaksikan mereka gagal menghukum Seladang yang beraksi di bawah tahap.

Segalanya bagaikan tidak kena buat tuan rumah berbanding pelawat yang berjaya menguasai bahagian tengah yang menyaksikan K Nanthakumar sering bersendirian berusaha menyekat kemaraan lawan terpaksa berkeja keras untuk memenangi bola.

Jelas strategi yang diamalkan Irfan meletakkan Joseph Kalang Tie di bahagian tengah berkesan mengimbangi pasukannya bagi menyekat Shahrulnizam Mustapa mengatur gerakan serta mengumpan bola kepada penyerang Perak.

Manakala benteng Terengganu kental bertahan untuk menyukarkan Akmal Rizal yang bergandingan dengan Khairul Izzat buat pertama kali berikutan kecederaan Shafiq Jamal melakukan sebarang kemusnahan.

Sokongan padu kira-kira 18,000 penonton termasuk Sultan Azlan Shah yang berangkat ke stadium pada babak kedua, menyuntik semangat tuan rumah mempertingkatkan usaha menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit melalui Md Fazrul Hazli dan Akmal Rizal pada m-79 dan 82 selepas jaringkan Isma Aliff Md Salim pada m-14 dipadam Abdul Manaf Mamat lima minit sebelum rehat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...