Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala AFC 2012. Show all posts
Showing posts with label Piala AFC 2012. Show all posts

Monday, July 16, 2012

Apex janji pamer aksi terbaik

Wartawan Sinar Harian
16 Julai 2012
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex
Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat @ Apex

KUALA LUMPUR - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat bertekad untuk mempamerkan aksi mantap dalam setiap perlawanan mewakili negara dan negeri Kelantan, walaupun menghadapi jadual perlawanan padat sehingga hujung tahun ini.

"Perlawanan bola sepak memang banyak tahun ini, tetapi saya tetap fokus dan saya mahu menghadapi perlawanan itu satu persatu kerana setiap jurulatih tahu bagaimana untuk mengatur strategi permainan.

"Bagi saya, yang penting adalah fokus ketika menjalani latihan serta memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang saya serta rakan sepasukan akan hadapi nanti," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai duta produk terbaharu minuman tenaga 100PLUS.

Dipetik Bernama, Khairul Fahmi, 23, atau lebih mesra dengan panggilan 'Apex', menjadi pilihan utama skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di laman sendiri, November ini selain menjadi pilihan jurulatih
Bojan Hodak untuk membantu skuad Kelantan menghadapi Piala AFC dan Piala Malaysia dalam masa terdekat serta perlawanan persahabatan dengan Kelab LIga Inggeris QPR.

Khairul Fahmi merupakan atlet kebangsaan keempat yang dilantik menjadi duta syarikat minuman tenaga itu selepas penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Pelantikan Khairul Fahmi selama dua tahun sebagai duta produk itu menyaksikan wajah beliau dipaparkan dalam semua iklan 100PLUS bermula dengan Kempen Ramadan dan Hari Raya 100PLUS yang berjudul 'Sentiasa Cergas di Bulan Mulia ini'.

Mengulas mengenai harapan menggunung peminat setia pasukan Kelantan yang mahu melihat dua lagi piala iaitu Piala Malaysia dan Piala AFC dibawa pulang ke negeri itu, Khairul Fahmi berkata beliau berjanji untuk memberikan yang terbaik dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

Kelantan merangkul dua trofi musim ini iaitu mempertahan piala Liga Super yang dimenangi mereka musim lepas dan juara Piala FA buat pertama kali sejak 22 tahun.

"Bagi aksi suku akhir Piala AFC, kita semua tahu bahawa pasukan luar terutama dari negara Arab mempunyai skil permainan yang menarik, jadi saya harap rakan sepasukan akan mampu memberikan kejutan," katanya.

Skuad The Red Warriors bakal menempuh laluan sukar dalam suku akhir Piala AFC apabila dijadual bertemu pendahulu Liga Super Iraq iaitu Arbil FC pada perlawanan timbal balik bermula di Iraq pada 18 September dan 25 September ini di Kota Bharu.

Selain itu, mereka akan bersaing dalam Piala Malaysia yang dijangka bermula 22 Ogos.

Sementara itu, Jenny berkata Khairul Fahmi dipilih oleh syarikat minuman tenaga itu berdasarkan pencapaian beliau dalam membantu skuad bola sepak kebangsaan termasuk menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010 di Indonesia.

"Dia merupakan atlet yang bersemangat untuk mengejar kejayaan dan menepati slogan yang digunakan oleh 100plus iaitu 'Atasi Segalanya'.

"Kami percaya beliau adalah role model yang baik bagi mereka yang mahu menjalani gaya hidup aktif," katanya.

--- SINAR HARIAN

Saturday, July 14, 2012

Mijo Dadic pemain import baru Kelantan

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
14 Julai 2012
Mijo Dadic
Mijo Dadic

BAGI memperkuatkan jentera pasukan Kelantan menjelang perlawanan menentang Queen Park Rangers (QPR) dan saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang kelab Iraq, Arbil, pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak memilih untuk mendapatkan khidmat pemain Croatia, Mijo Dadic.

Mengesahkan pengambilan pemain import berusia 30 tahun itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, pemain terbabit menandatangani kontrak selama enam bulan bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan akan tiba di Kelantan minggu depan sebelum perlawanan menentang QPR pada 20 Julai ini.

“Dadic dipilih sendiri oleh Bojan memandangkan Dadic pernah bermain di bawah kendaliannya dulu. Pihak pengurusan tiada sebarang masalah dengan pemilihan tersebut dan kami percaya pemilihannya adalah tepat," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum in, Kelantan berjaya mengikat kontrak dengan Keita Mandjou dalam persiapan untuk menghadapi saingan suku akhir Piala AFC.

Bakal bertemu pasukan Arbil FC September ini, Azman berharap kedua-dua pemain import baru mereka ini mampu membantu TRW untuk mencipta kemenangan.

“Kita sedia maklum, Arbil sebuah pasukan yang kuat, jadi kami menagih sentuhan mereka dalam perlawanan itu nanti," jelasnya lagi.


Profil Mijo Dadic

Nama: Mijo Dadic
Tarikh Lahir: 15 Oktober 1981
Tempat Lahir: Rijeka, SFR Yugoslavia
Umur: 30 tahun
Posisi: Pertahanan tengah
Ketinggian: 1.90 meter (6 kaki 3 inci)
Karier @ Pengalaman Skuad Junior:
- Rijeka ( 2000-2004)
- NK Pomorac (2000, Loan)
- NK Orijent ( 2008, Loan)
- MK Land (2004-2005)
- Hrvatski Dragovoljac (2006)
- UPB-MyTeam (2006-2008)
- Persiba Balikpapan (2008-2011 )
- Deltras (2011-2012)


--- SINAR HARIAN

Monday, June 4, 2012

Keita Mandjou sarung jersi Kelantan

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

2012/06/01

BEKAS pemenang Kasut Emas 2006, Keita Mandjou akan memperkuatkan cabaran The Red Warriors yang bercita-cita mahu melangkah jauh dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Keita, 32, yang menggantikan Nwoha Onyekachi yang tamat kontraknya, akan mengukuhkan jentera serangan Kelantan bersama-sama Mohammad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam laman Facebooknya apabila menyatakan persetujuan sudah dicapai dan pemain Guinea itu dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.

Dalam kenyataan sama, Annuar berkata, Keita yang beraksi bersama kelab India, Pune FC akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 8 Jun ini.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pengambilan Keita adalah untuk diserapkan dalam skuad AFC.

“Memang kita ambil dia (Keita) untuk menggantikan Nwoha yang tamat kontrak dan Keita bakal beraksi untuk saingan AFC. Dia dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.

“Setakat saya tahu, Keita akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang ATM, 8 Jun ini dan kita berharap kehadirannya akan menguatkan lagi pasukan,” katanya.

Selepas layak ke peringkat suku akhir Piala AFC, gergasi Pantai Timur itu kini tampak lebih serius untuk menempa nama di persada antarabangsa dan pengambilan Keita dilihat satu persiapan rapi untuk melakukan kejutan musim ini.

--- BERITA HARIAN

Friday, March 9, 2012

Kelantan lepas peluang


Pemain Navibank Saigon, Edison Fonseca Pulgarin (tengah) diasak pemain pertahanan Kelantan, Nwaneri Obinna (kanan) dalam saingan Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam. - UTUSAN/hafiz johari


KUALA LUMPUR - Kelantan gagal mengikuti jejak Terengganu apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan wakil dari Vietnam, Navibank Saigon dalam pertemuan pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Walaupun diramalkan mampu meraih kemenangan, Kelantan yang membariskan keempat-empat pemain importnya termasuk Mohamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare dilihat gagal memberikan persembahan cemerlang di samping ketumpulan penyudah menyebabkan Red Warriors sekadar terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

Di hadapan 2,000 penonton, Navibank lebih banyak menguasai bola di awal perlawanan dan hampir mendahului pada minit ke-8 melalui Edison Fonseca, namun mujur kecekapan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan keadaan apabila bertindak bijak menampan percubaan penyerang dari Colombia itu.

Kelantan yang bermula kurang menyakinkan dalam perlawanan itu perlahan-lahan mula mendapat rentak dalam perlawanan itu apabila banyak melakukan gerakan berbahaya melalui Ghaddar dan Badri Radzi.

Peluang terbaik menerusi Ghaddar pada minit ke-26, namun rembatannya tersasar ke arah kiri pintu gol walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol Navibank, Santos selepas berjaya mengatasi kawalan pertahanan Navibank, Vincent Bossou.

Namun, persembahan Nwoha dan Antwi dilihat tidak banyak membantu serangan Kelantan kerana mempamerkan prestasi hambar dan sering kali gagal membaca dengan baik hantaran-hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukan.

Sepuluh minit sebelum separuh masa kedua tamat, perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dalam keadaan permukaan padang yang bertakung dan becak yang mengganggu tempo permainan.

Melalui hantaran lintang Mohd. Zamri Ramli, Nwoha sepatutnya boleh memecahkan kebuntuan pada minit ke-67 tetapi tandukannya tersasar ke arah kanan.

Kelantan melakukan beberapa pertukaran memasukkan S. Chanturu, Mohd. Norfarhan Mohd. dan Mohd. Ramzul Zaini Adnan pada penghujung separuh masa kedua tetapi ia tidak merubah keputusan perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Dalam satu lagi pertemuan, Arema Indonesia sekadar terikat 1-1 dengan wakil dari Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Gajayana.

--- UTUSAN

Thursday, March 8, 2012

Empat import tak menyengat

azlanmz@hmetro.com.my
Oleh Azlan Muhammad Zain

KELANTAN gagal meraih tiga mata penuh pada penampilan sulung saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Juara Liga Super 2011 itu sekadar mengutip satu mata apabila terikat tanpa jaringan menentang kelab Vietnam, Navibank Saigon pada perlawanan Kumpulan H yang berlangsung dalam keadaan hujan dan padang becak. Tuan rumah kendalian Bojan Hodak menurunkan empat pemain import dalam kesebelasan utama namun ‘lemas’ pada peringkat awal penampilan pertama mereka di pentas Piala AFC.


Akibatnya pelawat hampir membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi penyerang importnya dari Colombia, Edison Fonseca Pulgarin namun Khairul Fahmi Che Mat tangkas menutup ruang.

Tersentak dengan itu, The Red Warriors bangkit meningkatkan rentak permainan dan mendapat beberapa peluang namun gagal menemui sentuhan penyudah termasuk sepakan penalti yang dinafikan pengadil selepas Mohamad Ghaddar dijatuhkan pada penghujung babak pertama.


Keadaan padang semakin becak pada babak kedua menyukarkan kedua-dua pasukan melancarkan serangan ketika jaringan amat dinantikan kira-kira 3,000 penonton yang hadir.


Kedua-dua pasukan cuba mengatur serangan ke kubu lawan namun keadaan padang jelas mengganggu hantaran dan gerakan direncanakan.

Namun Kelantan yang dilihat menguasai babak kedua mendapat dua peluang terbaik menerusi Nwoha Onyekachi dan Ghaddar yang dinafikan kecekapan penjaga gol lawan, Santos.


Sementara itu kelab Indonesia, Arema FC terikat 1-1 menentang Ayeyawady United dari Myanmar dalam satu lagi aksi Kumpulan H.

--- HARIAN METRO

‘Petanda positif’

sukan@hmetro.com.my
Oleh Malik Muhamad

JURULATIH Terengganu, Mat Zan Mat Aris menyifatkan kejayaan merakam kemenangan ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An, 1-0 pada pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di Stadium Vinh, petang kelmarin sebagai petanda positif kebangkitan skuad itu terutama menjelang pertemuan dengan Perak dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Mat Zan berkata, kemenangan menewaskan kelab Vietnam itu tidak hadir dengan mudah kerana pemainnya terpaksa berhempas-pulas mematahkan serangan lawan sebelum Abdul Manaf Mamat meledak gol tunggal perlawanan.


“Bermain di gelanggang lawan agak sukar kerana kami mengambil masa untuk menyesuaikan diri, apatah lagi kali pertama bermain di stadium itu tapi pemain mampu menang walaupun kerap diasak lawan,” katanya. Selain itu, menurut Mat Zan, kemenangan itu juga membuktikan Terengganu mampu bersaing di peringkat itu biarpun sebelum ini corak dipamerkan pasukannya tidak konsisten dengan beberapa pemain gagal mempamerkan aksi diharapkan.

“Sebelum wisel permulaan, kami tidak tahu kekuatan dan kelemahan lawan, apatah lagi pemain Vietnam memang terkenal dengan corak permainan pantas tapi sebaik babak kedua bersambung, pemain sudah mula mengetahui corak permainan lawan.


“Saya berharap kemenangan ini dapat diteruskan dalam saingan Piala FA,” katanya.


Menurut Mat Zan, selepas ini Terengganu akan melayan kunjungan kelab Hong Kong, Kitchee di Kuala Terengganu, pada 20 Mac ini sebelum ke Singapura bertemu Tampines Rovers pada 4 April depan.


--- HARIAN METRO

Bolasepak: Kelantan Gagal Capai Impian Kutip Tiga Mata

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Impian Kelantan untuk mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pertama, kumpulan H, Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkecai setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Navibank Saigon pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Corak permainan pada babak pertama agak seimbang apabila kedua-dua pasukan melakukan serangan namun gagal mendapat penyudah yang baik.

Pemain tengah pasukan kelab dari Vietnam, Dang Khanh Lam membuat cubaan seawal minit kelapan namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan yang menurunkan empat pemain importnya gagal mempamerkan aksi cemerlang di hadapan 5,000 penonton.

Pemain import pasukan tuan rumah, Mohamad Ghaddar melepaskan peluang terbaik untuk menghasilkan gol pertama pada minit ke-26 tetapi rembatan kencangnya tersasar.

-- BERNAMA

Terengganu Menang 1-0 Ke Atas Kelab Vietnam Pada Saingan Pertama Piala AFC

KUALA TERENGGANU, 6 Mac (Bernama) -- Terengganu mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan kelab Vietnam, Song Lam Nghe An 1-0 pada saingaan pembukaan kumpulan F Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Vinh, Vietnam petang Selasa.

Terengganu terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk menjaringkan gol menerusi Abdul Manaf Mamat pada minit ke-51.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan tersebut iaitu Kitchee FC dari Hong Kong dan Tampines Rovers dari Singapura akan bertemu malam ini.

Bagi perlawanan kedua, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu akan melayan kunjungan Kitchee FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 20 Mac ini.



-- BERNAMA

Saturday, January 7, 2012

Arahan: ‘Sapu’ semua piala!

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad

2012/01/01

ANNUAR (kiri) bersama sebahagian pemain Kelantan memperaga jersi baru The Red Warriors pada majlis pelancaran di Kota Bharu, semalam.

Kelantan harus jadi berani apabila ke persada antarabangsa: Annuar

SKUAD Kelantan memikul tugas berat tahun ini dalam misi memastikan setiap piala dipertandingkan musim 2012 dapat dibawa pulang, termasuk Piala AFC.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, menegaskan barisan The Red Warriors (TRW) itu harus mencipta sejarah dalam sukan bola sepak tanah air dengan membawa pulang semua piala berkenaan ke bumi Cik Siti Wan Kembang.
Katanya, semua itu bukan misi mustahil atau mimpi di siang hari kerana TRW sudah mempunyai Peter James Butler, seorang jurulatih yang mempunyai banyak pengalaman di peringkat antarabangsa selain pemain import yang berkaliber serta berkualiti tinggi.
“KAFA sudah memberitahu kepada Butler bahawa beliau harus lebih cemerlang daripada apa yang dicipta TRW tahun ini, kalau sebelum ini menjadi naib juara Piala FA, jurulatih itu harus mencipta kejayaan dengan menjuarainya.

“Begitu juga dengan pemain terutama pemain import, harus bekerja keras mempertahankan piala yang pernah kita genggam, bukan sekadar berpuas hati dengan menjadi naib juara saja.

“Malah, Kelantan harus menjadi pasukan yang berani apabila memasuki persada antarabangsa iaitu dalam Piala AFC terutama menentang kelab rantau ini.
Pengurusan KAFA hanya boleh memberi rempah ratus, hendak masak bagaimana, terpulang kepada jurulatih dan pemain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi baru TRW, di sini, semalam.
Untuk musim baru ini, TRW akan memiliki empat jenis jersi baru iaitu dua bagi perlawanan di gelanggang sendiri dan dua pemain di tempat lawan, manakala bagi Piala AFC, akan memakai jersi lain pula

--- Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...