Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Kuala Lumpur FA. Show all posts
Showing posts with label Kuala Lumpur FA. Show all posts

Thursday, August 16, 2012

KL selesai masalah tunggakan gaji


RAZIP


SKUAD bola sepak Kuala Lumpur mula tersenyum menjelang 1 Syawal yang akan disambut tidak lama lagi apabila tunggakan gaji sejak Mei lalu sudah dilunaskan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh jurulatih skuad warga kota itu, Razip Ismail ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Razip berkata, beliau berasa bersyukur kerana pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) telah melunaskan tunggakan gaji itu yang sebelum ini amat membimbangkan mereka.

“Syukur kepada Allah dan terima kasih buat pihak pengurusan KLFA atas kurniaan tersebut dan semoga perayaan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat seluruh pemain dan pegawai KLFA.

“Dengan pembayaran tunggakan gaji ini, setidak- tidaknya ia dapat mengurangkan beban perbelanjaan kami menjelang Aidilfitri nanti,” kata Razip semalam.

Sementara itu, Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib bersetuju menjadi Penasihat KLFA.

Menurutnya lagi, Ahmad Phesal turut memberi jami- nan berhubung bayaran gaji dua pemain import Kuala Lumpur iaitu Zakaria Cha- rara dari Lubnan dan Emmanuel Okine (Ghana) yang kini bercuti di negara masing-masing.

Ditanya mengenai kemungkinan KLFA akan menghadapi masalah yang sama pada masa akan datang, Astaman berkata, KLFA perlu membuktikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) keupayaan mereka membayar gaji pemain dan pegawai yang sebelum ini sering membelenggu persatuan itu.

“Kita kena buktikan terlebih dahulu kepada FAM bahawa kita mempunyai dana yang mencukupi untuk membuat pembayaran kepada pemain dan pegawai pasukan untuk semusim.

“Oleh itu, kita akan beker- jasama dengan DBKL merangka satu strategi yang bersesuaian supaya kegagalan membayar gaji pada masanya tidak berulang lagi pada masa akan datang,” kata Astaman.

Skuad warga kota itu akan bersaing dalam Liga Perdana musim depan sele- pas menduduki tangga terakhir pada saingan Liga Super musim ini dengan mengumpul hanya lima mata sahaja selepas mengharungi 26 perlawanan.

--- KOSMO

Sunday, September 4, 2011

Masalah gaji skuad KL selesai

KUALA LUMPUR - Penantian pemain bola sepak Kuala Lumpur untuk mendapat gaji tiga bulan yang tertunggak berakhir apabila Dewan Banda Raya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju menyumbangkan RM350,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada geran tahunan DBKL dan majlis penyampaian sumbangan tersebut akan disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Stadium KLFA, Cheras hari ini.

Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz menyifatkan sumbangan tersebut sebagai 'nyalaan sinar' yang cukup bermakna kepada KLFA terutamanya menjelang sambutan 1 Syawal.

"Saya yakin sumbangan ini akan dapat menyelesaikan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai sebelum menjelang Syawal," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Astaman menambah, kehadiran Raja Nong Chik sebagai Penaung KLFA memberi sinar baru kepada hala tuju skuad ibu kota itu untuk menghadapi Liga Super musim depan.

"Apa yang diharapkan kedua-dua perkembangan terbaru yang diterima KLFA ini bakal menjadi suntikan semangat buat para pemain dalam mempersiapkan diri mereka bagi mengharungi cabaran Liga Super musim depan," ujarnya.

Jelasnya, pasukan Kuala Lumpur sewajarnya menerima sokongan penuh daripada Kementerian berkenaan, khususnya dalam membantu membina skuad bola sepak yang mantap.

----- Utusan Malaysia Online

Monday, July 11, 2011

KL lega beraksi di Liga Super

Oleh Sukhairi Abd Thani

2011/07/11

KUALA Lumpur yang nyaris tersungkur ke kancah Liga Perdana, bersyukur apabila masih mampu berada dalam kelompok pasukan elit Liga Super, musim depan.

Pasukan kendalian Razip Ismail yang menamatkan saingan liga dengan kemenangan 3-2 ke atas T-Team Rabu lalu, merumuskan saingan musim ini sebagai gudang mengutip pengalaman berguna untuk tidak terus melakukan kesilapan.

Kaptennya, Muhammad Shahrom Abdul Kalam berkata, Kuala Lumpur yang dilanda masalah kecederaan dan beberapa kekangan lain mempamer mutu kurang konsisten.
“Kami tidak mempunyai pemain hebat berbanding pasukan lain dan banyak masalah kecederaan pemain. Ada kalanya kami bermain dengan baik tetapi ada kalanya tidak. Ini perlu diperbaiki.

“Seminggu sebelum bertemu T-Team, kami mula memikirkan nasib pasukan dan kami sendiri merasai tekanannya andai tersingkir daria Liga Super. Syukur kami dapat melakar kemenangan ke atas T-Team dan terus berada dalam Liga Super musim akan datang,” katanya.

Muhammad Shahrom berkata, Kuala Lumpur melepasi sasarannya awalnya iaitu mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super tetapi tugas lebih mencabar menanti untuk memenuhi sasaran antara lima pasukan terbaik musim depan.

“Pemain muda sudah mendapat pendedahan sewajarnya dan jika dapat ditambah dengan beberapa pemain berpengalaman, saya percaya matlamat itu mampu menjadi kenyataan,” katanya.

----- Berita Harian Online

Wednesday, May 11, 2011

Kejayaan baham Singa Utara bakar semangat Kuala Lumpur (Berita Harian Online)

Oleh Khairil S Iswan
mkhairil@bharian.com.my
2011/05/11

SELEPAS mengharungi derita perit enam perlawanan tanpa sebarang kemenangan, kejayaan menundukkan Perlis di laman sendiri bagai pencetus semangat buat barisan pemain Kuala Lumpur yang sedang bergelut di kedudukan bawahan Liga Super, ketika ini.

Pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata keputusan menumbangkan Singa Utara itu berjaya menambah keyakinan pemain yang selama ini dahagakan kemenangan namun masih banyak perlu dilakukan terutama memperbaiki nasib pasukan yang berada kedudukan kedua tercorot liga.

“Pemain memang tercari-cari kemenangan ini. Sekalipun kedudukan pasukan ketika ini tidak begitu baik, namun peluang memperbaikinya masih terbuka dan saya berharap, semua pemain akan berusaha lebih untuk mendapat keputusan lebih baik selepas ini.”
Kali terakhir Kuala Lumpur mencipta kemenangan adalah ketika menentang T Team, April lalu sebelum tumpas kepada Felda United, Perak, Kelantan, Selangor dan Terengganu sebelum kembali meraih kemenangan ketika menerima kunjungan Perlis.

“Kami bermain lebih baik pada separuh masa kedua memanfaatkan segala peluang yang ada,” kata Razib.

Wednesday, April 13, 2011

Harimau Muda A bangkit benam KL (Berita Harian Online)

Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/04/13

ANAK didik Ong Kim Swee yang dahagakan kemenangan selepas kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut Liga Super, kembali bangkit apabila menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Muhd Syahid Zaidon memecah ketandusan gol Harimau Muda A pada babak pertama perlawanan apabila berjaya menembusi gawang gol lawan selepas menerima hantaran lintang daripada Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-15.

Begitupun, serangan demi serangan dilakukan skuad remaja negara berjaya dipatahkan barisan pertahanan skuad warga kota biarpun tanpa kehadiran pemain pertahanan berbisa mereka, Farouk Hashim.

Harapan bagai muncul kembali buat Kuala Lumpur apabila menerima sepakan penalti pada minit ke-60 namun sepakan leret Khairul Razi Kamaruddin gagal mengelirukan penjaga gol Harimau Muda A, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Babak kedua menyaksikan skuad Olimpik kebangsaan itu seperti kehilangan punca apabila penyumbang gol tunggal mereka dikeluarkan kerana kecederaan, selain pasukan lawan dibimbing Razip Ismail mengambil kesempatan menyerang.

Tambahan masa empat minit pada separuh masa kedua nyata tidak dimanfaatkan sebaiknya oleh Kuala Lumpur yang tampak berada dalam keadaan tertekan.

Friday, March 18, 2011

Kuala Lumpur tidak patah semangat (Sinar Harian Online)

TEWAS 1-2 kepada Pahang pada pertemuan suku akhir pertama di laman sendiri Selasa lalu, tidak mematikan semangat pasukan Kuala Lumpur untuk bangkit pada perlawanan timbal balik di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Pengendali skuad Warga Kota, Mohamed Razip Ismail mengakui anak buahnya bakal berhadapan kesukaran menentang skuad kendalian Dollah Salleh kerana tidak mempunyai kelebihan gol di samping beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, peluang anak buahnya untuk ke pusingan separuh akhir masih terbuka.

“Saya akui perlawanan malam ini amat sukar buat kita, tapi tiada yang mustahil sekiranya pemain berusaha dan bermain bersungguh-sungguh kita mampu membuat kejutan.

“Saya berpendapat, Pahang belum selesa dengan kemenangan 2-1 dan tekanan lebih terarah kepada mereka kerana beraksi di laman sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pasukannya berkunjung ke Stadium Darul Makmur tanpa kehadiran pertahanan kiri, Mohd Farid Ramli yang terpaksa diketepikan akibat cedera.

Namun katanya, ketiadaan Farid tidak menjejas rentak pasukan yang bersemangat untuk layak ke separuh akhir.

KL perlu dua gol ke separuh akhir (Berita Harian Online)

Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/03/18

KUALA Lumpur memerlukan sekurang-kurangnya dua gol malam ini andai bercita-cita mahu meneruskan langkah ke separuh akhir Piala FA.

Itu disuarakan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail yang mengharapkan kerjasama anak didiknya untuk memastikan pertemuan malam ini, mendatangkan hasil kepada pasukannya yang terpaksa mengharungi kedua-dua perlawanan di gelanggang lawan.

“Perlawanan kedua akan menentukannya. Kami ketinggalan dua gol (perlawanan pertama) tetapi boleh bernafas untuk kali kedua walaupun peluang nampak tipis. Jika mahu ke pusingan seterusnya, pemain perlu gandakan usaha dan bekerja lebih kuat.

“Walaupun bermain di Pahang untuk kedua-dua perlawanan, Kuala Lumpur tidak menghadapi kesan psikologi dan tidak tergugat di depan penyokong setia mereka,” kata Razip yang mengakui Kuala Lumpur perlu memperkukuhkan benteng pertahanan untuk perlawanan kedua itu.

Begitupun, Kuala Lumpur mungkin kehilangan pertahanan berusia 24 tahun, Mohd Farid Ramli yang masih belum sembuh daripada kecederaan dialami ketika menentang Johor FC dalam saingan Liga Super, minggu lalu.

Wednesday, March 16, 2011

'2 tuan rumah' buru jaringan selesa (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Dua 'tuan rumah di gelanggang lawan', kelebihan buat Pahang dan Kelantan, peluang kebangkitan juara 2009 dan sejauh mana kemampuan kelab dan pasukan Liga Perdana, semuanya bakal teruji dalam suku akhir Piala FA 2011 secara timbal balik, hari ini.

Angkara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang masih dikenakan 'perintah berkurung' oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad Helang dan Felda United terpaksa merelakan kelebihan itu berpihak kepada lawan mereka dari Pantai Timur, dua kali berturut-turut.

Bola kini seperti di kaki Pahang dan Kelantan namun tiada siapa pun dapat menafikan unsur kejutan persaingan kalah mati mampu diulangi Kuala Lumpur dan Felda United seperti mana berlaku ke atas juara, Negeri Sembilan dan naib juara musim lalu, Kedah.

Namun, dengan mencairkan kekebalan Kelantan dalam Liga Super, keyakinan dan moral Pahang kian meninggi sekarang sekali gus rintangannya bukan kepalang buat anak buah Razip Ismail dalam memburu modal awal sebelum kembali ke Kuantan, Sabtu ini.

Ketumpulan penyudah dan kadar jaringan rendah Kelantan apabila sekadar melepasi T-Team menerusi penentuan penalti dan Johor FC 1-0 dalam pusingan pertama dan kedua pula meyakinkan Felda merencana sesuatu yang menggugat Si Wira Merah dan ribuan penyokong setianya di Kota Bharu.

Hasil kejayaan Pahang dan kemampuan sendiri, Felda sudah pun mengekori Si Kijang dalam Liga Super dan anak buah E. Elavarasan kini pasti semakin teringin untuk melangkah megah sebagai kelab pertama mencecah separuh akhir Piala FA.

Selangor seperti lambat panas dalam Liga Super biarpun terikat 14 mata dengan Kelantan yang menerajui carta namun tuah berdepan Johor yang menduduki tempat keempat Liga Perdana ketika ini, tidak wajar disia-siakan Gergasi Merah yang berkubu lebih awal di Shah Alam.

Perlu juga diingat bahawa kemampuan anak buah K. Devan dalam Piala FA belum begitu teruji lagi setelah hanya mendapat laluan percuma pusingan pertama, bulan lalu dan melepasi skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda 'B' dalam pusingan kedua, awal bulan ini.

Sebaliknya 'buku bertemu ruas' menanti di Stadium Perak, Ipoh apabila Perak melayani kunjungan Terengganu setelah tuan rumah cuma melepasi ujian dengan mudah, PDRM dan Sime Darby dari Liga Perdana dalam pusingan pertama dan kedua.

Begitu juga Terengganu, selepas hanya berdepan USM dan Angkatan Tentera selain kurang konsisten dalam Liga Super, Irfan Bakti Abu Salim pasti mengidamkan kerja keras berganda pasukannya apabila berdepan lawan yang belum kalah musim ini.

Friday, March 11, 2011

Tekad gasak KL (Harian Metro Online)

TAKTIK menyerang akan diterapkan Johor FC bagi memburu tiga mata penting ketika melayan kunjungan Kuala Lumpur dalam satu-satunya aksi Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam ini.

Selepas mengharungi enam perlawanan, skuad bergelar Lebah itu masih berada di kelompok bawahan liga, malah belum lagi mencatat kemenangan apabila beraksi di laman sendiri, sekali gus memberi tekanan buat jurulatih, Azuan Zain yang perlu mengelak daripada terus diaibkan lawan.

Walaupun terpaksa membariskan kesebelasan utama yang agak tempang ketika pemain utama dibelenggu kecederaan, bekas pertahanan Johor itu tetap optimis kemenangan mampu diraih dalam usaha keluar dari kelompok dasar liga elit domestik itu.

“Tiga mata amat penting walaupun sukar kerana kami kehilangan Abdul Rahman Zabul akibat kecederaan manakala Hasni Zaidi Jamian diserang demam campak. Jadi, saya perlu rombakan kecil,” katanya

Sunday, February 27, 2011

KL tekad tebus kekalahan di Kangar(Berita Harian Online)

Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/02/27

TEWAS 1-2 kepada Terengganu yang melonjak ke tangga ketiga Liga Super kelmarin, memberi isyarat betapa Kuala Lumpur perlu menebus semula kekalahan tipis itu apabila bertemu Perlis, Selasa ini.

Berada di tangga ke-10 liga tidak cukup untuk membuatkan ketua jurulatih, Kuala Lumpur, Razip Ismail berpuas hati kerana bekas bek kebangsaan itu beranggapan, pemainnya mampu berada di kedudukan yang lebih selesa berdasarkan corak permainan yang ditonjolkan anak didiknya.

Apa yang penting buat Razip kini ialah memastikan Kuala Lumpur mampu mengumpul sebanyak mata mungkin dalam setiap perlawanan dan pertemuan dengan pasukan tercorot Perlis, diharap mampu memberi kelebihan untuk mencatat kemenangan.

“Kami akan menebus kembali kesilapan itu. Pada saya, kami bermain dengan baik semasa bertemu Terengganu tetapi tiada penyudahan berkesan. Kami akan cuba mendapatkan mata penuh apabila bertemu Perlis nanti kerana tidak mahu tercicir terlalu jauh.

“Berdasarkan corak permainan dan prestasi, saya yakin Kuala Lumpur boleh mendapatkan mata nanti (di Kangar),” katanya.

Thursday, January 6, 2011

KL 'ikat perut' hadapi Liga M (Utusan Malaysia Online)


KUALA LUMPUR - Peruntukan terhad atau perlu banyak berbelanja 'mengikat perut', memaksa Kuala Lumpur melakukan persediaan menghadapi Liga Malaysia 2011 secara berhemah atau sekadar perlu, dengan berharapkan sebilangan besar pemain muda.

Skuad bimbingan Razip Ismail ini juga akur untuk tidak menyertai perlumbaan mendapatkan pemain bertaraf bintang yang menjadi idaman pasukan gergasi lain seperti Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Malah dengan usia sekitar awal 20-an, pemain mereka yang dinaikkan daripada skuad Piala Presiden musim lalu, Si Helang sebenarnya cukup berat untuk melupakan pemergian ketua pasukannya musim lalu, Azidan Sarudin ke jiran Lembah Klang, Selangor.

"Bagaimana boleh kami halang apabila ia melibatkan masa depan dan karier seseorang pemain? Pada era sekarang, sesiapa yang dapat tawaran lebih baik, pasti dia akan pergi dan kami memang terasa dengan kehilangan Azidan sesudah dia begitu lama bersama Kuala Lumpur.

"Kami ke Liga M musim ini dengan belanjawan terhad dan perlu betul-betul mengikut kemampuan yang ada. Pasukan lain sibuk berbelanja besar dan memburu bintang dan nama besar, tetapi kami hanya ambil apa yang patut dan gunakan sebaik mungkin.

"Malah dengan keadaan itu, kami sukar untuk bertandang ke luar bagi perlawanan persahabatan pramusim hinggakan hampir semuanya dijalankan sekitar Lembah Klang sahaja," kata Razip ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Musim lalu menyaksikan Kuala Lumpur yang bebas daripada sebarang masalah gaji tertunggak pemain, menduduki tempat kesembilan Liga Super, terkandas pada pusingan kedua Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Namun, bagi menghadapi musim 2011, mereka sudah mengadakan lima persahabatan pramusim antaranya dikalahkan skuad negara 0-2, menewaskan Sarawak 2-0 dan Majlis Perbandaran Muar 2-1, mengikat Terengganu 2-2 selain kalah kepada Negeri Sembilan di Paroi, 0-1.

Kata Razip, mereka mempunyai dua lagi perlawanan persahabatan menjelang aksi Liga Super yang bermula 29 Januari ini, iaitu dengan menentang Kaki Bukit Singapura (esok) dan Johor (Sabtu ini), kedua-duanya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

"Setakat ini, siri persahabatan itu memberikan banyak idea untuk saya dalam mencari persefahaman dan kemantapan pasukan malah beberapa calon sedang dikenal pasti untuk dipilih sebagai ketua pasukan," katanya.

Tiga tonggak berpengalaman luas mereka ialah bekas bek tengah negara, Perak dan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal selain Yong Kuong Yong, pemain tengah yang pernah memikat jurulatih negara, K. Rajagobal serta penjaga gol Remezey Che Ros.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...