Sahabat Blog Bola Sepak
Tuesday, November 13, 2012
Safiq tidak hiraukan kritikan peminat
Wednesday, November 30, 2011
Norshahrul Idlan Tidak Sangka Menang Anugerah Supermokh
PETALING JAYA, 30 Nov (Bernama) -- Penyerang berbisa pasukan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha tidak menyangka terpilih untuk memenangi dua anugerah utama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011.
Norshahrul Idlan, 24, meraih Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Supermokh/Pemain Paling Bernilai yang pertama kali diperkenalkan sempena memperingati lagenda bola sepak negara Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari
Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu menyifatkan Anugerah Supermokh merupakan kejayaan paling besar yang diterimanya pada tahun ini dan cukup bermakna buat dirinya.
"Saya kurang beraksi dalam skuad negara pada musim ini akibat kecederaan hamstring namun tidak sangka dipilih untuk menerima anugerah ini," katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.
Beliau berkata anugerah itu meniupkan semangat kepada dirinya untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada tahun depan.
Menjawab satu pertanyaan, Norshahrul Idlan berkata penyertaan pemain import dalam Liga Malaysia tidak akan menjejaskan prestasi beliau dan pemain tempatan yang lain tahun depan.
"Saya akan buktikan bahawa pemain tempatan adalah lebih baik daripada mereka (pemain import)," katanya.
Sementara itu bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang akan menyertai pasukan Selangor tahun depan memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik 2011.
Irfan Bakti berkata beliau rasa gembira kerana dipilih untuk menerima anugerah tersebut dan ia hasil kerja keras seluruh pasukan Terengganu.
"Ini kali pertama saya menerima anugerah seperti ini dan saya akan jadikannya sebagai pembakar semangat untuk bekerja lebih keras untuk membantu pasukan baru saya iaitu Selangor pada musim baru tahun depan," katanya.
Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011
Penjaga Gol Terbaik
Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
Pemain Pertahanan Terbaik
Norhafiz Zamani Misbah (Negeri Sembilan)
Pemain Tengah Terbaik
Safiq Rahim (Selangor)
Penyerang Terbaik
Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
Jurulatih Terbaik
Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu)
Anugerah Supermokh untuk Pemain Paling Bernilai
Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
Persatuan Negeri Terbaik
Persatuan Bola Sepak Selangor
Kelab Bola Sepak Terbaik
Kelab Bola Sepak Selangor PKNS
-- BERNAMA
Monday, September 5, 2011
Safiq sudah sedia pikat Cardiff City
|
|
|
SAFIQ mahu mengembangkan kariernya dengan berkelana ke luar negara.
|
PEMAIN tengah Selangor, Safiq Rahim benar-benar berhajat menyarung jersi Cardiff City.
Meskipun hanya menjalani ujian percubaan selama dua minggu bersama Cardiff City pada penghujung bulan depan, Safiq berazam menampilkan aksi terbaik bagi memikat hati pihak pengurusan kelab Liga Divisyen Dua England itu.
"Ini adalah masanya untuk saya pamerkan aksi cemerlang dan yang pasti, saya tidak akan menolak (peluang) jika mendapat tawaran mewakili Cardiff City.
"Saya menganggap perkara ini (berhijrah) sebagai cabaran baharu buat diri saya sendiri demi melihat karier selaku pemain bola sepak terus meningkat," kata Safiq semalam.
Safiq berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran dan dugaan apabila beraksi di England kelak.
"Memang saya dah bersedia. Saya dah fikirkan, apabila beraksi di England, mental perlu kuat dan saya sendiri akan berusaha keras untuk meningkatkan kualiti permainan memandangkan persaingan yang cukup hebat di sana.
Sunday, September 4, 2011
Safiq ke Eropah
fakhrul@kosmo.com.my
SAFIQ (kiri) bakal menyarung jersi Cardiff City dalam Liga Divisyen 2 England.
|
Wednesday, July 13, 2011
Safiq mahu ikut Safee
Namun pemain berusia 24 tahun itu menganggap hasratnya itu masih di peringkat awal dan komitmennya kini adalah bersama Selangor. Malah Safiq juga lebih berminat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas selaku kapten skuad kebangsaan yang akan berdepan Arsenal dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
“Masih lagi di peringkat perbincangan (dengan kelab Indonesia) dan buat masa ini saya masih pemain Selangor. Kontrak saya akan tamat hujung tahun ini.
“Saya juga mahu memberi tumpuan kepada pasukan kebangsaan kerana kami mempunyai tugas penting berdepan Singapura dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan perlawanan dengan Arsenal esok (hari ini) adalah persediaan terbaik untuk kami,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Safiq menjadi tonggak skuad Harimau Malaya ketika melakar sejarah memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala Suzuki AFF Disember lalu.
Biarpun beraksi sebagai pemain tengah, kehebatannya meledak gol cukup dikagumi termasuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan menentang Taiwan untuk membolehkan Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Singapura 23 Julai ini.
Mengulas pertemuan dengan skuad The Gunners yang dikendalikan pengurus Arsene Wenger, Safiq berkata, skuad Harimau Malaya mampu memberikan tentangan sengit seperti yang dibuktikan ketika menentang Manchester United pada 2009.
----- Harian Metro Online
Monday, June 20, 2011
Kekalkan momentum: Safiq
“Kemenangan ini cukup bagus dan tepat pada masanya. Malah kita masih mengekalkan momentum kemenangan selepas kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF kira-kira enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berakhir.
Pada masa, tonggak utama Selangor itu memuji kesungguhan rakan sepasukan yang beraksi cemerlang meskipun bermain dalam keadaan padang yang becak.
“Tempoh sembilan hari kita akan gunakan sebaiknya bagi menghadapi Taiwan nanti. Kemenangan ini mampu menyuntik moral pasukan secara keseluruhannya.
“Malah kembalinya penyerang kelab Pelita Jaya, Mohd Safee Sali dan beberapa pemain skuad Olimpik dijangka akan memperkuatkan lagi pasukan kita,” katanya.
----- Sinar Harian Online
Wednesday, June 1, 2011
Pemain baru, semangat baru - Safiq
SHAH ALAM - Bukan masalah besar buat beberapa pemain senior skuad kebangsaan untuk bergabung dengan pemain baru yang dipanggil jurulatih negara, K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong Jumaat ini, jelas ketua pasukan, Safiq Rahim.
Menurut pemain Selangor itu, ia seolah-olah satu semangat baru yang disuntik ke dalam skuad kebangsaan dengan kehadiran pemain seperti Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail, Ismail Faruqi Ashari dan Abdul Hadi Yahaya.
"Sekarang ini semua pemain yang dipanggil jurulatih perlu merebut tempat untuk beraksi dalam kesebelasan utama, ia adalah persaingan yang sihat dalam skuad kebangsaan, semua pemain mempunyai kelebihan masing-masing," katanya ketika ditemui media pada pelancaran Liga Komuniti MiziSports di sini, semalam.
Jelasnya, rata-rata pemain yang dipanggil Rajagobal beraksi baik dalam saingan Liga Malaysia musim ini, malah kesemua pemain juga dilihat berada pada tahap kecergasan yang sama kerana mengharungi jadual yang padat.
"Apa yang membezakan antara pemain baru dan lama adalah dari segi faktor pengalaman, jika hendak diukur dari segi fizikal dan mental semuanya masih lagi letih bermain dalam jadual liga yang padat, peluang antara pemain amat terbuka.
"Selepas dipanggil menyertai kem latihan Ahad lalu kami banyak menjalani latihan ringan bagi memulihkan semula kecergasan masing-masing, mungkin petang ini (semalam) kami akan menjalani latihan berat," kata Safiq.
Safiq, 23, membayangkan dengan mulanya latihan yang lebih berat maka 'peperangan' bakal bermula antara pemain baru dan lama, di mana masing-masing akan cuba untuk memikat jurulatih menjelang perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong.
"Saya rasa pemain baru tidak berdepan masalah untuk mengikuti corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih, saya juga lebih senang melihat skuad Malaysia mempunyai pemain yang boleh dipanggil pada bila-bila masa menyarung jersi kebangsaan.
"Kita mempunyai banyak perlawanan selepas ini termasuk yang paling penting, kelayakan Piala Dunia, jika dalam senarai keseluruhan kita mempunyai antara 50 hingga 60 pemain yang bakal dipanggil menyertai kem latihan pada bila-bila masa ia adalah sesuatu yang mengagumkan," katanya.
Ditanya harapannya bertemu Hong Kong pada perlawanan persahabatan nanti, Safiq berkata, seluruh pasukan meletakkan harapan yang tinggi walaupun kali kedua bertemu Hong Kong dan pertemuan pertama mereka menang 2-0.
"Kami mahu mengekalkan prestasi terbaik ini, kemenangan demi kemenangan perlu diteruskan, bukan sahaja penyokong dan seluruh rakyat Malaysia, pemain juga menaruh harapan yang tinggi, tiada sasaran lain iaitu mencatatkan mengalahkan Hong Kong," katanya.
Skuad negara dijangka berlepas ke Hong Kong pagi ini dan mereka akan bertemu dengan Myanmar dalam satu lagi perlawanan persahabatan 18 Jun ini di Kota Bharu.
- Utusan Malaysia Online
Monday, March 7, 2011
Norshahrul juga! (Berita Harian Online)
Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
2011/03/07
SELEPAS aksi cemerlang Safee Sali pada penampilan sulung bersama Pelita Jaya FC kelmarin, pengurusan pasukan itu kini mula berkira-kira untuk memancing seorang lagi penyerang negara bagi digandingkannya.
Gandingan mantap bekas penyerang Selangor itu ketika mewakili negara di Piala AFF Suzuki Disember lalu – Norshahrul Idlan Talaha – dikatakan mampu mempertajamkan lagi barisan serangan Pelita Jaya musim depan andai kontrak Safee dilanjutkan.
“Saya juga mengharapkan Norshahrul dapat menyertai saya di sini kerana dia lebih memahami corak permainan saya, malah saya juga cukup serasi dengan pergerakannya di dalam padang.”
Safee yang menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menundukkan Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa kelmarin berkata, suasana Liga Super Indonesia (ISL) tidak seperti yang dihebohkan sebelum ini.
“Bagi saya tidak timbul soal keselamatan pemain terancam seperti yang digembar-gemburkan,” katanya yang diberi layanan seperti bintang oleh peminat tempatan. “Malah saya jadi lebih bersemangat untuk memenuhi harapan yang diletakkan peminat.
“Saya rasa untuk permulaan, bagus jika ada pemain negara lain beraksi di sini kerana suasana perlawanan mingguan liga sama seperti final Piala FA atau Piala Malaysia. Ia memberikan motivasi yang cukup tinggi kepada pemain.”
Selain Norshahrul, peminat di sini turut mengharapkan kedatangan pemain kebangsaan lain seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, pemain tengah Safiq Rahim dan pemain sayap lincah, S Kunalan.
Saturday, January 22, 2011
4,000 rai Safiq (Utusan Malaysia Online)
| |
| Safiq Rahim diarak dengan kereta antik pada majlis meraikan pemain itu yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF bulan lalu pada majlis khas di Taman Purnama Bestari Jaya, Kuala Selangor semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi |
KUALA SELANGOR - Safiq Rahim yakin pasukannya, Selangor mampu menyaingi pencabar terkuat mereka, Negeri Sembilan pada Liga Malaysia musim ini.
Safiq, yang juga ketua pasukan kebangsaan berkata, jika pasukannya bijak mengambil kesempatan daripada kelemahan Negeri Sembilan, sasaran untuk memenangi treble pada musim ini, lebih mudah untuk dicapai.
"Semua pasukan ada peluang untuk menguasai saingan musim ini, kerana setiap pasukan pasti ada kelemahan masing-masing.
"Jika kami mengikut arahan jurulatih, saya yakin sasaran musim depan pasti akan dapat dicapai," katanya.
Dia mengadakan kenduri kesyukuran di kediamannya di Taman Purnama, Bestari Jaya, di sini selepas membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF, bulan lalu.
Pada majlis tersebut, hampir 4,000 penduduk sekitar Bestari Jaya menyertai majlis meraikan Safiq, yang diangkat sebagai wira di kawasan mereka.
Safiq diarak menaiki kereta antik mengelilingi kawasan Bestari Jaya.
Mengulas mengenai statusnya sebagai ketua pasukan kebangsaan selepas kembalinya Aidil Zafuan Abd. Razak daripada kecederaan, Safiq berkata, atas semangat kerjasama berpasukan, dia tetap akan memberi sokongan kepada siapa sahaja yang menjadi ketua pasukan.
"Siapa yang jadi ketua pasukan, ia bukan masalah kerana pada saya yang paling penting adalah kami perlu mengekalkan prestasi dan mempunyai semangat berpasukan," tegasnya.
Dalam pada itu, bapa Safiq, Rahim Mohd. Yatim berkata, dia tidak menggalakkan anaknya beraksi di luar negara, jika ada tawaran daripada mana-mana kelab.
"Saya tidak akan menghalang jika anak saya mahu beraksi bersama pasukan lain di dalam negara selain Selangor jika menerima tawaran sedemikian, tetapi saya tidak menggalakan dia beraksi di liga luar negara," katanya.
Sebelum ini, Safiq mendedahkan dia menolak tawaran beraksi dengan sebuah kelab di Indonesia, kerana mahu meneruskan aksi dalam saingan tempatan.
Friday, January 14, 2011
Safiq tidak sabar untuk beraksi (Berita Harian Online)
Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/01/14
TEMPOH 'berpesta' sudah tamat dan skuad juara Piala AFF Suzuki 2010 yang diberi sambutan wira dan pelbagai imbuhan berupa wang tunai, unit saham amanah, tanah dan rumah, kini kembali meneruskan tugas di atas padang.
Selain bersiap untuk membantu pasukan masing-masing dalam saingan Liga Malaysia yang bermula 29 Januari ini, skuad Harimau Malaya kendalian K Rajagobal sekali lagi akan bergabung bulan depan dalam persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014.
“Ini tanggungjawab kami sebagai pemain bola sepak,” kata Safiq. “Apapun yang diterima adalah bonus kepada usaha kami, tetapi ia sesekali tidak akan membuat kami lupa kepada tugas sebenar - menjulang maruah bola sepak negara ke peringkat tertinggi.”
Tanggal 29 Januari ini, Safiq akan bersama Selangor menentang Kelantan pada perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah. Selepas itu dia dan pemain lain akan kembali berkumpul di Wisma FAM dari 2 hingga 10 Februari untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa.
Perlawanan menentang Hong Kong di Stadium KLFA, Cheras pada 9 Februari itu adalah persiapan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2014 yang bermula Jun depan. Harimau Malaya juga perlu berdepan Pakistan untuk perlawanan pra kelayakan Olimpik 2012, 23 Februari dan 9 Mac, selain skuad B-23 yang diharap mengekalkan emas Sukan SEA di Jakarta, November ini.
Skuad 24 pemain yang dinamakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi perlawanan 9 Februari depan turut menampilkan Ahmad Fakri Saarani, G Mahathevan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, Mohd Farizal Marlias, S Chanturu dan Shahrizal Mohd Saad
Sunday, January 2, 2011
Safiq melakar sejarah peribadi (Kosmo Online)
n.jagatheswary@kosmo.com.my
| |
| SAFIQ menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 selepas Malaysia menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia, Rabu lalu. |
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu! Begitulah perumpamaan terbaik untuk menggambarkan untung nasib kapten skuad bola sepak kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim.
Safiq mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 biarpun baru dua bulan menggalas tugas selaku kapten skuad negara.
Pemain tengah berusia 23 tahun ini sudah mengetepikan pencapaian bekas kapten skuad kebangsaan terdahulu yang belum pernah mengecap pengalaman tersebut.
Sejak kejohanan itu diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada tahun 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.
Bagaimanapun, sejarah yang dilakar Safiq bersama 21 pemain yang lain di bawah bimbingan jurulatih, K. Rajagobal tidak boleh dinilai berlandaskan nasib baik semata-mata.
Ironinya, faktor usaha yang gigih, komitmen tinggi, kepimpinan utuh dan semangat kesukanan yang tulus ikhlas mendorong mencipta sejarah itu.
"Kemenangan yang diraih hari ini bukan daripada usaha perseorangan sebaliknya kerjasama dan kegigihan sebuah pasukan yang mendahagakan kegemilangan sejak 14 tahun yang lalu.
"Dulu saya memang ada impian untuk menyertai Piala Suzuki AFF tetapi tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan dalam masa yang begitu singkat," kata anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini.
Anak sulung pasangan Rahim Mohd. Yatim, 51, dan Aidah Majid, 42, berkata, selaku kapten skuad negara yang digalas buat julung-julung kalinya telah memberi tekanan kepadanya.
Begitupun, sikap rakan-rakan sepasukan yang fleksibel dan terbuka membuatkan dia memimpin pasukan dengan begitu cekap, sekali gus berjaya merangkul piala berprestij di Asia Tenggara itu.
Dia tidak berdepan masalah untuk memimpin rakan-rakan lain ke arah mencapai matlamat yang sama dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam semua perlawanan.
Bercerita mengenai pengalaman pada final kedua Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Indonesia pada Selasa lalu, Safiq berkata, perlawanan itu tidak begitu kritikal tetapi seimbang sahaja.
"Disiplin tinggi yang ditunjukkan semua pemain telah memudahkan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.
"Bekalan jaringan 3-0 yang telah diperoleh pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia telah meningkatkan lagi keyakinan saya dan pemain lain.
"Justeru, saya begitu yakin dan memberi harapan tinggi serta berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF itu," ujarnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, kapten muda itu tetap merendah diri dengan memuji pasukan lawan, Indonesia.
Shafiq berkata, mereka masih lagi pasukan yang bagus dan memberi persaingan yang hebat, sekali gus tertarik dengan sikap pemain lawan yang tidak mudah putus asa.
Dia juga mengakui kemenangan ini, sama sekali mengubah persepsi masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.
Ia telah menjadi laluan baru ke arah menjadi sebuah pasukan gergasi Asia dan memiliki Piala Asia pada masa akan datang.
Bagi Safiq impian untuk melayakkan ataupun menawan trofi Piala Dunia masih jauh lagi.
Bagaimanapun dia percaya bahawa cita-cita itu pasti dapat dicapai secara berperingkat-peringkat dan menimba pengalaman sebelum menjadi juara dunia.
"Ini adalah perkara biasa dalam senario arena sukan, apabila mana-mana piala yang berprestij tinggi menjadi milik negara tertentu sudah pasti matlamat yang lebih mencabar serta tinggi diletakkan ke atas pasukan tersebut.
"Saya rasa memang mudah untuk meletak matlamat besar tetapi bukan mudah bagi merealisasikan dalam masa yang singkat. Maka, adalah penting bersikap realistik dan berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan," jelasnya lagi.
Untuk rekod, Safiq merupakan pemain tengah Selangor dan bekas pemain KL PLUS serta penjaring gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Presiden Malaysia 2007/2008 menentang Perak.
Dia pernah mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia ke Piala Belia Asia 2006 dan Sukan Asia 2006 di Doha.
Dia membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2007 ketika menentang Myanmar dan kemudian hanya bermain untuk pasukan bawah 23 tahun.
Saturday, January 1, 2011
Safiq semakin 'laris' (Kosmo Online)
megat@kosmo.com.my
MESKIPUN baru pulang ke tanah air ini kelmarin, jadual padat Safiq Rahim yang memikul tugas sebagai kapten skuad kebangsaan Piala Suzuki AFF 2010 sudah bermula seawal pagi semalam.
Menurut Safiq, dia menerima pelbagai undangan daripada stesen penyiaran dan syarikat percetakan untuk diwawancara mengenai kejayaan Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF pada Rabu lalu.
“Pada sebelah pagi, saya bersama rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dan selepas itu stesen radio Hot FM manakala pada malam ini (tadi) pula televisyen Al Hijrah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu Tiga, Shah Alam semalam.
Safiq memberitahu, dia juga belum berkesempatan untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Taman Purnama, Bestari Jaya, Kuala Selangor kerana jadual yang sangat padat.
Katanya, pada pagi ini, dia akan terbang pula ke Perth, Australia untuk latihan pramusim skuad Liga Super Selangor selama sembilan hari sebelum Liga Malaysia 2011 bermula 29 Januari ini.
“Bagaimanapun ini sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemain bola sepak kepada negara yang perlu dipikul.
“Selepas semua ini, saya ada juga bercadang untuk mengambil cuti rehat sekejap supaya dapat bersama sekeluarga seketika,” ujarnya.
Sementara itu, bapanya, Rahim Mohd. Yatim, 51, berkata, beliau dan isterinya, Aidah Majid, 42, memahami tugas dan tanggungjawab anak mereka dan disebabkan itu, mereka berkunjung ke rumah Safiq semalam.
Menurutnya, satu kenduri kesyukuran yang dijangka diadakan di rumahnya di Bestari Jaya selepas anaknya pulang ke tanah air terpaksa ditangguhkan kerana Safiq akan berangkat ke Australia pula hari ini.
Safiq tolak tawaran Indonesia (Utusan Malaysia Online)
SHAH ALAM - Ketua pasukan bola sepak negara, Safiq Rahim mendedahkan dia menolak tawaran untuk beraksi dengan sebuah kelab di Indonesia, kerana mahu meneruskan aksi dalam saingan liga tempatan.
Menurut pemain berusia 24 tahun itu, tawaran tersebut disuarakan seorang ejen pada perlawanan akhir menentang pasukan negara itu pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF di Jakarta.
Bagaimanapun dia mengakui memikirkan dan mengutamakan pasukan negara sebelum membuat sebarang keputusan.
"Jika saya mahu mengembangkan bakat di luar negara pada usia muda, inilah masanya.
"Namun, tawaran ejen tersebut tidak saya beri sebarang maklum balas kerana saya telah mengikat kontrak dengan pasukan Selangor dan sayangkan pasukan negara.
"Saya juga mengutamakan negara berbanding yang lain, kerana rasa puas dapat membantu menaikkan nama negara dan membawa kemenangan negara seperti kelmarin melebihi segala-galanya buat saya," kata beliau kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Turut menemani beliau ialah bapanya, Rahim Mohd. Yatim, 51, ibunya, Aida Majid, 42, adik bongsu Safiqa Rahim, 21, dan keluarga bapa saudaranya.
Menceritakan tentang perlawanan Piala Suzuki AFF, Safiq berkata, selepas mengetahui akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir, dia gementar tetapi cuba mengawal diri kerana merupakan ketua pasukan.
Ini kerana, semasa perlawanan pertama, pasukan negara kalah 5-1 kepada Indonesia dan beliau sendiri pernah merasakan dirinya seperti tidak bertuah sebagai kapten.
"Ketika ini jurulatih, K. Rajagobal membantu membakar semangat kami agar tidak hilang arah dan saya sendiri rasa lebih bertanggungjawab untuk membawa pasukan ke arah kemenangan,'' katanya.
'Terpulang kepada coach' (Kosmo Online)
KAPTEN skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2010, Safiq Rahim menyerahkan sepenuhnya kepada jurulatih K. Rajagobal sama ada mahu dia terus kekal menggalas tugas tersebut, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Biarpun baru memakai lilitan lengan selaku ketua pasukan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu, Safiq, 23, telah mencipta sejarah tersendiri.
Namun, timbul persoalan sama ada Rajagobal akan terus memberikan peranan tersebut kepada Safiq atau memulangkan semula lilitan lengan kepada Aidil Zafuan Radzak atau Norhafiz Zamani Misbah.
Aidil, 23, sebelum ini merupakan pemain yang sering diberi peranan kapten jika Zamani, 29, tidak dipanggil Rajagobal.
Kecederaan panjang kedua- dua pemain pertahanan tengah itu telah membuka ruang buat Safiq bergelar kapten baru di samping Norshahrul Idlan Talaha sebagai penolong kapten.
"Kekal sebagai kapten atau tidak, itu saya tak boleh nak komen. Keputusan itu terletak di tangan coach (jurulatih).
"Saya bersedia jika dikekalkan sebagai kapten kerana memiliki pengalaman pada Sukan Asia 2010 dan Piala Suzuki AFF.
"Tetapi apa yang lebih penting adalah kerjasama sepasukan oleh semua pemain dalam skuad ini," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, tiada istilah rehat buat Safiq dan lima lagi pe- main kebangsaan iaitu Safee Sali, Amri Yahyah, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan.
Mereka akan terbang pula ke Perth, Australia esok untuk lati- han pramusim skuad Liga Super Selangor selama sembilan hari sebelum Liga Malaysia 2011 bermula 29 Januari depan.
Wednesday, December 29, 2010
Sayur kot... (Kosmo Online)
fakhrul@kosmo.com.my
JAKARTA – “Indonesia tak sehebat Vietnam. Bagi saya Vietnam lagi mantap berbanding Indonesia, cuma Indonesia ada kelebihan beraksi di tempat sendiri... sayur kot!”
Itu tegas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim yang semakin yakin untuk mencatat sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menjulang trofi Piala Suzuki AFF malam ini.
Bagi Safiq, 23, pasukan Indonesia tidaklah sehebat mana berbanding dua pasukan bekas juara iaitu Vietnam dan Thailand yang disifatkannya lebih kuat.
"Saya rasa, Vietnam jauh lebih bagus dan kuat. Malah Thailand pun sebenarnya lebih baik daripada Indonesia," kata Safiq ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan ringan skuad kebangsaan di pekarangan Hotel Sultan di sini pagi semalam.
Safiq yang mengakui cukup teruja dan tidak sabar untuk mengesahkan kejuaraan pertama buat Malaysia selepas berakhirnya final kedua malam ini turut berkongsi pengalaman menjadi kapten.
“Jurulatih (K. Rajagobal) umum pelantikan saya sebagai kapten ketika aksi persahabatan bertemu Maldives beberapa hari sebelum ke Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
“Bagaimanapun pada perlawanan itu, Nasriq Baharom cedera dan jurulatih terpaksa menyenaraikan pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah dan tugas kapten diberikan kepada Zamani.
“Tetapi Zamani pula cedera pada aksi sulung Sukan Asia menentang Krgyzstan. Saya jadi kapten untuk baki perlawanan menentang Jepun, China dan Iran, semuanya tewas.
“Bermula pada Piala Suzuki AFF, kita tewas kepada Indonesia. Ketika itu saya tertekan kerana tewas semua perlawanan. Tetapi tak sangka dapat juga bawa pasukan ke final sebagai kapten,” jelas Safiq.
Menjelang aksi final kedua malam ini, pemain tengah Selangor itu mengharapkan skuad kebangsaan berjaya memperoleh gol awal bagi menambah tekanan buat pasukan tuan rumah.
“Jika kita dapat jaring satu gol, Indonesia terpaksa cari lima gol. Tetapi jangan pula kita beri mereka gol awal kerana ia akan membangkitkan semula semangat pasukan lawan.
“Apa pun ini pertama kali saya berpeluang menjulang trofi selaku kapten. Tak pernah langsung sebelum ini. Lagipun menjulang trofi di hadapan penyokong Indonesia, lebih memberi kepuasan.
“Saya harap, kita akan pulang Khamis ini (esok) bersama-sama trofi Piala Suzuki AFF,” ujar pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.
'Indonesia tidak sekuat Vietnam' (Utusan Malaysia Online)
| |
| Pasukan Malaysia berlatih di kawasan hotel penginapan mereka di Jakarta, semalam selepas jadual asal latihan di Stadium Senayan terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas faktor keselamatan. |
JAKARTA - Kapten Malaysia, Safiq Rahim melaungkan keyakinan Malaysia mampu sekali lagi menggempur benteng Indonesia dan sekali gus, memastikan gelaran juara Piala Suzuki AFF menjadi milik Harimau Malaya.
Pemain kelahiran Kuala Selangor itu berkata, kejayaan skuad negara menyekat kemaraan juara bertahan Vietnam di Hanoi sebagi bukti mereka mampu mengulangi kecemerlangan sama ketika turun menentang Indonesia.
''Jika Vietnam kami mampu sekat ketika beraksi di Hanoi, saya rasa tiada alasan yang kami tidak boleh mengulanginya semasa bertemu Indonesia.
''Bagi saya, cara permainan skuad Indonesia tidak berbahaya seperti Vietnam atau Thailand," itu pengakuan kapten Malaysia, Safiq Rahim menjelang pertemuan getir berdepan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.
Menurut Safiq, kejayaan menyingkirkan Vietnam di separuh akhir banyak menyuntik semangat pasukan Harimau Malaya untuk beraksi lebih baik ketika berdepan Indonesia.
''Walaupun, kami bermain dalam cuaca sejuk di Hanoi pada separuh akhir kedua, kami mampu membendung setiap asakan Vietnam ketika beraksi di gelanggang lawan.
''Saya lihat kami boleh mengulangi kecemerlangan yang sama, tambahan pula kami sudah ada pengalaman beraksi di Bung Karno," katanya ketika ditemui di lobi Hotel Sultan, semalam.
Bagi mematahkan semangat melawan Indonesia, Safiq mahu rakan sepasukan mencari gol awal kerana pasukan tetangga itu sudah pasti memerlukan lima gol jika mahu mengatasi defisit Malaysia.
''Kami tidak akan bermain bertahan sepanjang perlawanan, jika boleh kami mahu mendapatkan gol awal terlebih dahulu kerana ia memberikan kelebihan jaringan di tempat lawan.
''Namun, seandainya kami dibolosi terlebih dahulu, saya akan pastikan rakan-rakan tidak cepat hilang semangat dan dapat mempertahankan bekalan yang kami bawa dari Kuala Lumpur," katanya.
Safiq menjelaskan, dia kini sudah mula terbayang untuk menjulang Piala Suzuki AFF di hadapan puluhan ribu penyokong lawan di Gelora Bung Karno.
Malah bertambah manis, kejayaan skuad negara itu dapat dilakar di hadapan penyokong fanatik Indonesia dan kejuaraan itu kelak merupakan yang pertama buat Safiq sebagai kapten pasukan kebangsaan.
''Bayangan menjulang trofi Piala AFF semakin berkobar-kobar dalam diri ini dan saya semakin teruja untuk merealisasikannya.
''Tetapi, masih ada 90 minit yang perlu kami selesaikan dan saya mahu rakan-rakan yang diturunkan pada perlawanan esok (hari ini) memberi fokus kepada permainan dan memperkuatkan mental untuk menghadapi tekanan menggila penyokong Indonesia," jelasnya.
Pemain Selangor itu juga tidak takut dengan provokasi yang dibangkitkan oleh sebahagian besar penyokong Indonesia yang masih mengungkit isu penggunaan laser ketika aksi di Kuala Lumpur.
''Kami semua tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana yang penting kemenangan Malaysia bukan dibantu atas faktor laser sebaliknya memang berdasarkan hasil permainan kami yang lebih baik daripada Indonesia," tegasnya. - Utusan
Mahu akhiri kempunan 14 tahun: Safiq (Berita Harian Online)
Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta
smriduan@nstp.com.my
2010/12/29
DENDAM menebus kekalahan pertama kepada Indonesia sudah dilunas skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu, kini kapten Malaysia, Safiq Rahim (gambar kecil) mahu mengulangi kemenangan ke atas lawan dari seberang itu untuk meraih mahkota kejuaraan pertama.
“Saya mahu menamatkan kemarau 14 tahun negara dan menjulang Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karno,” kata Safiq. “Saya yakin kami akan pulang sebagai juara.”
Menurut Safiq, sukar buat Indonesia mengulangi kemenangan 5-1 ke atas Malaysia kali ini, dan memerlukan keajaiban untuk mengatasi kelebihan tiga gol tanpa bekalan gol di tempat lawan.
“Kami perlu mengekalkan kelebihan yang ada ini dengan melakukan apa yang sudah kami lakukan sepanjang kempen ini,” kata Safiq. “Kami perlu kekal fokus dan disiplin pada baki 90 minit nanti.
Malaysia turun tanpa Mohd Amirulhadi Zainal dan Mahali Jasuli yang mengumpul kad kuning kedua pada aksi di Bukit Jalil, manakala Indonesia turut kehilangan Oktavianus Maniani atas sebab yang sama serta Yongki Ari Wibowo kerana kecederaan.
Saturday, December 25, 2010
Safiq bakal cipta sejarah
| |
| SAFIQ (kanan) bakal mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala AFF Suzuki. |
ANDAI Malaysia berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, individu yang paling gembira pastinya ketua pasukan skuad kebangsaan pada kejohanan kali ini, Safiq Rahim.
Biarpun menggalas tugas selaku kapten seawal usia 23 tahun, pemain tengah Selangor itu mampu mencipta sejarah untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala AFF Suzuki.
Kapten-kapten skuad kebangsaan terdahulu belum pernah mengecap pengalaman tersebut kerana sejak kejohanan ini diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.
Justeru Safiq menyifatkan situasi tersebut sebagai motivasi tambahan kepada dirinya untuk membantu skuad kebangsaan menewaskan Indonesia pada dua aksi final pada Ahad ini dan Rabu depan.
"Memang ini membuatkan saya lebih bermotivasi untuk memastikan Malaysia muncul juara buat pertama kali pada kejohanan kali ini. Saya begitu teruja untuk menjulang trofi Piala AFF Suzuki selaku ketua pasukan.
"Oleh itu, misi kami pada final pertama Ahad ini ialah untuk mencari bekalan gol yang cukup selesa untuk dibawa ke Jakarta Rabu depan.
"Saya sendiri turut memasang impian untuk menjaringkan gol pada kedua-dua aksi final nanti selepas sudah lama tidak menjaringkan gol," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.
Safiq turut memberitahu bahawa tidak apa yang perlu diragukan terhadap jentera serangan Malaysia jika hendak dibandingkan dengan Indonesia biarpun pasukan lawan sudah meledak 15 gol manakala Malaysia hanya lapan gol.
"Secara peribadi, saya lebih percaya dan yakin terhadap barisan penyerang kita yang sebenarnya lebih baik daripada Indonesia. Cuma pada perlawanan pertama ketika kita dibelasah Indonesia, kami belum cukup bersedia dan tidak pada prestasi terbaik.
"Indonesia biarpun mempunyai Cristian Gonzales, saya tak anggap ia masalah yang cukup besar kerana saya yakin barisan pertahanan Malaysia mampu mengawal pergerakannya," tegas Safiq.
Safiq mahu tamat kemarau gol (Utusan Malaysia Online)
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Nama ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim mungkin agak sedikit tenggelam berbanding Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, selepas berakhir saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010, apabila sehingga kini dia masih gagal menjaringkan sebarang gol.
Justeru itu, anak jati Kuala Selangor itu berazam mahu menamatkan kemarau jaringan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi membantu Malaysia mendapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Jakarta.
‘‘Agak sedikit kecewa kerana sehingga kini saya masih gagal menjaringkan sebarang gol, sama ada di perlawanan peringkat kumpulan atau separuh akhir.
‘‘Diharapkan pada perlawanan akhir nanti, nama saya akan tertera sebagai penjaring gol, malahan memang impian saya untuk mendapatkan gol pada perlawanan akhir sambil disaksikan puluhan ribu penyokong setia Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Felda United di Wisma FAM, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Malaysia menang 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali pada separuh masa kedua.
Bagaimanapun, Safiq menjadi kunci penting di sebalik kejayaan Malaysia membenam Vietnam 2-0 pada saingan separuh akhir pertama, apabila dua gol yang dijaringkan Safee Sali berpunca daripada percubaan dan hantaran sepakan percuma yang dilakukannya.
Dia juga cemerlang ketika Malaysia menang besar 5-1 ke atas Laos, perlawanan yang membuka pintu ke separuh akhir buat skuad negara.
Safiq juga mahu memperbaiki kelemahan dalam memberi hantaran yang dirasakannya agak sedikit lemah dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
‘‘Memang diakui, hantaran saya kepada rakan sepasukan ada sedikit kelemahan, saya akan cuba memperbaikinya dalam dua atau tiga hari semasa sesi latihan, '' jelasnya.
Mengenai reaksi yang ditunjukkan peminat, dia meluahkan rasa bangga dan terharu dengan sokongan bertambah yang ditunjukkansejak kebelakangan ini dan diharapkan ia berterusan sehingga pada masa akan datang.
‘‘Teruja melihatkan cara sokongan yang diberikan oleh penyokong tempatan, masa perlawanan persahabatan malam ini pun masih ada peminat yang sanggup turun melihat kami bermain walaupun dalam cuaca hujan.
‘‘Sokongan sebegini biarlah berterusan sampai bila-bila dan harap situasi ini akan kekal,” ujarnya.
Thursday, December 16, 2010
Safiq: Kami tidak gentar hadapi Vietnam di Hanoi (Kosmo Online)
"KAMI sudah mengalami tekanan di tempat lawan ketika aksi peringkat kumpulan di Jakarta. Jadi harap ia dapat dikekalkan apabila kami beraksi di Hanoi nanti."
Demikian jelas kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim ketika ditanya tentang persediaan mereka menentang Vietnam pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.
Safiq telah beraksi cemerlang pada aksi separuh akhir pertama malam tadi apabila sepakan percumanya pada minit ke-60 berjaya ditanduk masuk Safee Sali untuk gol pertama Malaysia.
Pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi terlibat untuk gol kedua Malaysia setelah rembatan awalnya gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam sebelum disambar kemas oleh Safee pada minit ke-79.
"Ketika dalam bilik persalinan sewaktu rehat separuh masa pertama, jurulatih (K. Rajagobal) telah memberi kami nasihat dan tunjuk ajar terhadap segala kesilapan yang dilakukan pada babak pertama.
"Jadi, apabila memasuki padang untuk babak kedua, kami cuba baiki segala kesilapan tersebut dan alhamdulillah kami berjaya mendapatkan dua gol," kata Safiq selepas perlawanan.
Menjelang aksi kedua Sabtu ini, Safiq berkata: "Kami akan cuba untuk terus mempamerkan aksi seperti separuh masa kedua tadi (semalam) serta meningkatkan mentaliti untuk menghadapi tekanan penyokong lawan."