Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Surat Penyokong Bola Sepak. Show all posts
Showing posts with label Surat Penyokong Bola Sepak. Show all posts

Friday, January 14, 2011

Pemain Harimau Malaya jangan lupa diri jika terima tawaran luar (Berita Harian Online)

2011/01/14

BELUM terlambat untuk rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada pemain, jurulatih dan pengendali pasukan Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk bola sepak tanah air, tahniah kerana berusaha untuk memastikan pasukan Malaysia dalam keadaan amat selesa ketika mengharungi perlawanan akhir yang sangat mencabar.

Pasukan Malaysia harus bersedia meneruskan langkah gagah memastikan kejuaraan pada beberapa kejohanan seperti Sukan SEA di Indonesia penghujung tahun ini.
Kejayaan pasukan Malaysia adalah gabungan persediaan pemain, jurulatih dan FAM dalam menghadapi setiap perlawanan. Pemain yang beraksi dalam pasukan Malaysia juga bermain untuk Liga Malaysia.

Hasil latihan pasukan negeri atau kelab mereka berupaya digabungkan menjadi pasukan kebangsaan.

Pelbagai pihak mula membuka mata untuk mendapatkan pemain kita. Pengurusan pasukan kita perlu bersikap terbuka dengan tawa-ran terbabit.

Jika masih ada kontrak belum tamat, sebagai kumpulan pengurusan profesional berbincanglah untuk mendapatkan keputusan menang-menang.

Kepada pemain, anda ialah warga Malaysia yang berjaya dididik sebagai pemain bola sepak di pentas antarabangsa. Anda dikenali selepas pasukan dipimpin jurulatih dan FAM mencapai kejayaan. Oleh itu, kesetiaan kepada negara menjadi fokus utama.

Anda mengejar kejayaan dan pendapatan lumayan tetapi keperluan membalas jasa pasukan perlu dipahatkan di hati. Bersedialah menerima pelawaan pasukan lain sama ada tempatan atau luar negeri.

PEMINAT VETERAN,

Saturday, January 8, 2011

Setiap pemain skuad Harimau Malaya patut terima imbuhan sama rata (Berita Harian Online)

2011/01/08

RASANYA masih belum terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada Pasukan Harimau Malaya yang berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki 2010. Rasanya bahang keseronokan kerana kejayaan Malaysia masih terasa di sanubari setiap rakyat negara ini yang setia menyokong pasukan bola sepak kebangsaan.

Berbalik kepada kejayaan yang diraih pemain kita yang bertarung untuk negara memang wajar diberikan imbuhan.

Tidak kira ia imbuhan yang bagaimana. Cuma yang saya rasa tidak wajar adalah mengapa imbuhan diberi mengikut anak negeri di mana mereka dilahirkan.
Sebelum ini Kelantan mendahului dengan berjanji memberikan penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat, sebuah rumah, kemudian diikuti oleh Terengganu ingin memberikan tanah kepada lima anak negerinya dan Perak memberikan imbuhan kepada tiga anak negerinya iaitu Mohd Safee Sali, Mohd Sabree Mat Abu dan Mohd Fadhli Mohd Shas.

Bagaimana dengan pemain yang lain? Sehingga saat ini belum ada lagi negeri lain yang mengumumkan imbuhan kepada pemain lain.

Bagaimana pula dengan mereka yang kerajaan negeri masing-masing tidak memberikan imbuhan atau mereka memberi imbuhan kerana terpaksa atau melepaskan batok di tangga saja semata-mata untuk menjaga perasaan pemain.

Jika kerajaan negeri ingin memberi imbuhan biarlah melalui persatuan bola sepak masing-masing dan bila dikumpulkan akan menjadi satu jumlah yang besar dan boleh diagihkan sama rata untuk setiap pemain.

Melalui cara ini akan lebih memberikan motivasi kepada pasukan sukan yang lain terutamanya pemain yang turut sama mengharumkan nama negara.

Sukan di negara ini hanya sebilangan saja yang boleh diangkat bertaraf dunia seperti skuasy dan badminton, tetapi bola sepak belum lagi boleh kita banggakan terutama di peringkat dunia, kecuali peringkat ASEAN.

Unsur-unsur yang boleh melemahkan semangat pemain dan pasukan hendaklah dielakkan demi untuk pembangunan sukan itu. Mungkin di mulut pemain mereka boleh berkata tidak apa tetapi di dalam hati mereka yang tidak mendapat imbuhan yang setimpal bagaimana pula. Fikir-fikirkanlah.

ZAI SRI,

FAM tidak bela penyokong bola (Berita Harian Online)

2011/01/08

PADA perlawanan akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan tempat duduk khas dan kawalan keselamatan sebanyak 15,000 tempat duduk kepada penyokong Indonesia.

Apa yang kita lihat tempat duduk khas itu berlebihan jika dibandingkan kehadiran penyokong Indonesia bahkan penyokong Malaysia ramai yang terpaksa berdiri kerana tiada kekosongan tempat duduk walaupun kita sebagai tuan rumah.

Berikut saya nyatakan keluhan kira-kira 58 penyokong Malaysia yang menyertai rombongan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) ke Jakarta bagi memberi sokongan kepada pasukan negara. Rombongan adalah terdiri daripada penyokong dari Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan Johor.

Apa yang berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebaliknya, iaitu pihak Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) langsung tidak memperuntukkan tempat duduk khas untuk penyokong Malaysia. FAM ada menyatakan sebelum kami bertolak ke Jakarta, PSSI bersetuju untuk memberi tiket dan tempat duduk VIP serta kawalan keselamatan kepada penyokong Malaysia.

Amat mengecewakan pada hari perlawanan itu pihak FAM hanya diberikan tiket biasa bercampur penyokong Indonesia, masuk melalui 'pintu dua lokasinya di belakang pintu gol. Alasannya tempat duduk khas tidak mencukupi kerana terlalu banyak permintaan VVIP tempatan.

Di sini, kewibawaan FAM dipersoalkan dalam memperjuangkan mendapatkan tempat duduk khas kepada penyokong negara. Walhal permintaan kita tidak sampai 100 tempat duduk berbanding 15,000 tempat penyokong Indonesia diberikan di Bukit Jalil.

Adakah suara FAM terlalu lemah atau perlu campur tangan kerajaan Malaysia. Sebagai contoh lihat kehebatan penyokong bola sepak Jepun dan Korea Selatan kelihatan akan berada di mana-mana dan diberi tempat duduk khas.

Akhirnya memikirkan faktor keselamatan dan nasihat pihak Kedutaan Malaysia di Jakarta kami dipelawa menyaksikan perlawanan itu di skrin besar di dewan Kedutaan. Penyokong Indonesia dikatakan terlalu fanatik dan agresif dan tiada jaminan kawalan keselamatan.

Keputusan ini amat mengecewakan tambahan ada ahli rombongan kami adalah pelajar sekolah.

Dengan semangat yang cekal untuk negara, 14 orang daripada kami termasuk saya memberanikan diri masuk ke Stadium Bung Karno dalam lautan merah penyokong Indonesia tanpa mempedulikan risiko keselamatan.

RUFFEY,
Negeri Sembilan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...