Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Selangor PKNS. Show all posts
Showing posts with label Selangor PKNS. Show all posts

Tuesday, April 22, 2014

Muhammad Nazmi Sah Sertai Selangor, Tinggalkan PKNS FC


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Bekas pemain Harimau Muda A, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang beraksi dengan kelab Liga Super Selangor PKNS FC, bakal menyarung jersi Selangor dalam pusingan kedua Liga Super musim ini.

Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata perpindahan pemain muda berusia 19 tahun itu dipersetujui oleh pihak pengurusan pasukan setelah mengadakan beberapa perbincangan dengan pasukan Selangor.

"Kami melepaskan Nazmi Faiz demi pembangunan bola sepak Selangor. Walaupun beliau tidak lagi bersama pasukan, saya percaya ia tidak akan menjejaskan semangat pemain-pemain lain untuk mengharungi baki saingan liga musim ini.

"Semoga perpindahan ini dapat menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik seperti yang diharapkan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Nilai perpindahan pemain posisi tengah itu tidak didedahkan.

Siti Zubaidah berkata mereka akan terus bekerjasama dalam pertukaran pemain pada masa depan memandangkan kedua-dua pasukan adalah dari negeri yang sama.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Mahfizul Abdul Rashid mengesahkan skuad 'The Red Ants' berjaya mengikat kontrak dengan pemain Felda United FC, Shahurain Abu Samah bagi memantapkan pasukan berkenaan.

"Kami akan menggunakan masa rehat liga untuk membuat post mortem dan mengenal pasti mana-mana kekurangan yang ada.

"Saya yakin jurulatih Wan Jamak Wan Hassan akan membaiki segala kelemahan dan kembali bangkit selepas liga bersambung nanti," katanya.

Muhammad Nazmi mengejutkan peminat tempatan selepas membuat keputusan berpindah ke PKNS FC daripada kelab Portugal, SC Beira Mar pada tahun lepas setelah berkelana selama enam bulan di Eropah.

-- BERNAMA

Friday, March 14, 2014

PKNS FC Lonjak Ke Tangga Kedua Liga Super


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas T-Team pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu melonjak enam anak tangga ke kedudukan kedua liga, di belakang Kelantan dengan mengumpul 11 mata selepas tujuh perlawanan.

Tiga gol PKNS FC dijaringkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ketujuh, kapten pasukan, Helmi Remeli (45+1') dan Khairu Azrin Khazali (60') manakala gol tunggal skuad 'The Titans' dihasilkan oleh Mohd Mazuki Yusof pada minit ke-29.

Dalam pada itu, pasukan kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad 'The Cops' melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan dan mengumpul 18 mata.

Empat gol PDRM dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-23, Munir Amran (47'), Mat Saiful Mohamad (50'-gol sendiri) dan Ali Ashfaq (72').

Pulau Pinang mengekalkan kedudukan kedua liga dengan 16 mata walaupun sekadar terikat seri 1-1 dengan Felda United FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Andre Titi Buengo membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah seawal minit keempat sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan untuk Felda United FC pada minit ke-46.

Johor Darul Ta'zim (JDT) II melonjak empat anak tangga ke kedudukan ketiga liga hasil kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Dua gol skuad 'Harimau Selatan' itu dijaringkan oleh kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-51 dan Braulio Nobrega Rodriguez (71').

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Kedah meraih tiga mata penuh selepas menang besar 4-1 ke atas SPA Putrajaya FC.

Empat gol skuad 'Helang Merah' dijaringkan oleh Jose Franco Gomez pada minit ke-14, Mohd Syazwan Zainon (58'), Adam Aidil Iskandar (68') dan Billy Osman Mehmet (71') manakala gol saguhati pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Fadzly Iskandar pada minit ke-50.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Perlis dan Sabah berkongsi mata selepas seri 1-1.

Gol Kedah dijaringkan oleh Farouk Hashim pada minit ke-35 sebelum penyerang import dari Syria, Marwan Saydeh menyamakan kedudukan untuk Sabah, seminit kemudian.

Sementara itu, UiTM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-2 kepada DRB-Hicom FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

-- BERNAMA

Saturday, October 5, 2013

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, Jumaat.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

Dalam pada itu, juara dua kali, Pahang turut mengikuti jejak langkah ATM selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pahang mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh yang menumpaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada suku akhir pertama, Jumaat lepas, bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Matias Ruben Conti pada minit ke-28.

Azamuddin Mohd Akil terus menambah duka untuk skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol kedua pada minit ke-60 sebelum Muhammad Khairu Azrin Khazali merapatkan jurang jaringan untuk Selangor PKNS FC pada minit ke-65.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

Thursday, July 7, 2011

PKNS, Sarawak tetap layak ke Liga Super

2011/07/07

JANGAN nafikan hak PKNS dan Sarawak! Itu pendapat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang mengakui juara dan naib juara Liga Perdana itu perlu diberi hak beraksi dalam Liga Super musim depan tanpa perlu mengharungi perlawanan play-off.

“Saya berpendapat kita perlu mengekalkan format musim ini musim depan. Kita sudah membuat keputusan dua pasukan tempat teratas Liga Perdana musim ini secara automatik layak ke Liga Super. Jadi, mengapa perlu mengubah keputusan itu.
“Sepatutnya, keputusan penting ini perlu dibuat sekurang-kurangnya satu musim lebih awal bagi membolehkan pasukan bertanding memahaminya, sekali gus tidak menimbulkan kemarahan pasukan yang sudah bertungkus lumus mengesahkan tempat,” katanya di Kota Kinabalu, semalam.
Sebelum ini, juara Liga Perdana PKNS dan naib juara Sarawak meluahkan kebimbangan berikutan cadangan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang mahu mengurangkan pasukan dalam Liga Super daripada 14 kepada 12 pasukan musim depan.

Perkembangan itu menimbulkan tanda tanya mengenai jumlah pasukan yang bakal disisihkan ke Liga Perdana termasuk dua tiket untuk ke Liga Super yang kebiasaannya menjadi milik juara dan naib juara Liga Perdana.

Annuar yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) berkata, keputusan akhir mengenainya akan dibincangkan pada mesyuarat Exco FAM akan datang.

“Saya tidak pasti bila mesyuarat Exco diadakan, tetapi bagi saya kita jangan sesekali menafikan hak PKNS dan Sarawak,” katanya

----- Berita Harian Online

Saturday, May 21, 2011

PKNS Sahkan Juara Liga Perdana Musim Ini, Tumpaskan Johor 2-0

PETALING JAYA, 20 Mei (Bernama) -- Selangor PKNS mengesahkan diri sebagai juara Liga Perdana musim ini walaupun masih berbaki tiga perlawanan setelah menewaskan Johor 2-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Jumaat.

Skuad anak didik Abd Rahman Ibrahim sekaligus mengekalkan rentak cemerlangnya dengan melebarkan pungutan mata di persada liga dengan kedudukan 51 mata, 12 mata di hadapan Sarawak dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 19 perlawanan serta hanya bolos 5 gol sepanjang musim ini.

Abd Rahman berkata kemenangan ini nyata mengejutkan pasukan mereka dan beliau memuji semangat juang yang dipamerkan oleh anak buahnya sepanjang musim ini.

"Mereka telah menunjukkan satu permainan yang memberangsangkan dan saya berbangga dengan pencapaian kita yang tidak pernah kalah dan hanya bolos 5 gol setakat ini.

"Saya harap mereka akan terus memburu kemenangan seterusnya pada tiga lagi perlawanan akan datang untuk mengekalkan juara tanpa kalah musim ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan Jumaat malam, dua gol masing-masing disumbat oleh Ahmad Tarmini Saiban pada minit ke-56 hasil sepakan percuma yang diambil oleh kapten pasukan, Mohd Fadhil Hashim dan satu lagi gol disumbat oleh sepakan kencang yang dibuat oleh Mohd Azrif Nasruhaq pada minit ke-72.

Di KUCHING, dua jaringan Khairul Azahar Eidros pada minit ke-74 dan 90 serta satu gol dari Bobby Gonzales pada minit ke-78 memastikan pasukan tuan rumah menang selesa setelah membelasah Pos Malaysia 3-0 pada aksi di Stadium Negeri.

Kemenangan itu membolehkan Sarawak terus berada di kedudukan kedua carta liga dengan kutipan 39 mata selepas 19 perlawanan setakat ini.

Di Pulau Pinang, dua jaringan Muhamad Ikram pada minit ke-29 dan 54 menyaksikan SDM Navy memperoleh kemenangan yang kedua sepanjang liga berlangsung apabila menang tipis 2-1 menewaskan Sime Darby pada aksi di Stadium Batu Kawan.

Gol sagu hati pelawat hadir pada minit ke-68 yang dijaringkan oleh Mohd Faiz Mohd Isa.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Pulau Mutiara menyaksikan pasukan kelab dari Universiti Sains Malaysia (USM) FC menang tipis 1-0 mengatasi Harimau Muda B yang dijaringkan oleh Muhammad Afzan Zainal Abidin seawal minit keempat pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olahraga USM.

Di JOHOR BAHRU pasukan kelab dari Johor Majlis Perbandaran (MP) Muar gagal menggunakan peluang terbaiknya beraksi di tempat sendiri apabila sekadar terikat seri 2-2 kepada Pos Malaysia pada aksi di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Dua gol tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Fauzi Abdul Kahar pada minit ke-47 dan Mohd Fitri Omar (min-61) sementara gol posmen masing-masing dijaringkan oleh Mohd Hanifuddin (min-22) dan Khairul Zal Azmi pada minit ke-63.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kemenangan tipis 1-0 pada pertemuan menentang pasukan tercorot liga, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

Friday, March 4, 2011

Congak Dollah (Harian Metro Online)

Oleh Asrol Awang

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mengaku tugas getir dihadapi skuadnya apabila bertemu PKNS Selangor pada saingan Piala FA di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kelab dari Selangor itu kini berada pada prestasi terbaik.

“Namun, tiada yang mustahil untuk melakukannya jika kerjasama dan sokongan padu semua pemain dalam usaha memastikan Pahang melangkah ke pusingan seterusnya.

“Saya harap pemain tak melakukan kesilapan dan manafaatkan peluang menjaringkan gol,” katanya.

Pada perlawanan malam ini, Dollah berkata, sentuhan penyudah lebih berbisa daripada R Surendran terus ditagih.

Menurutnya, ketajaman bekas penyerang Selangor itu dinantikan selepas aksi hambar barisan serangan Pahang pada aksi Liga Super.

“Satu gol Surendran ketika membantu Pahang seri 2-2 dengan Sabah Selasa lalu memperlihatkan pemain itu kembali menemui sentuhan,” katanya.

Tuesday, March 1, 2011

PKNS kekal teraju liga belasah SDM Navy (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - PKNS mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana apabila mencatat kemenangan kelima berturut-turut dengan menjadikan SDM Kepala Batas sebagai mangsa terbaru dengan membelasah pasukan itu 5-1 di Stadium Batu Kawan, semalam.

Beraksi di laman lawan tidak menghalang PKNS meneruskan aksi konsisten mereka bagi mendapatkan mata penuh ketika menentang wakil Pulau Pinang itu.

Penyerang PKNS, Mohammad Khairul Akhyar Husain mengekalkan bisanya sebagai peledak utama apabila menjaringkan dua gol.

Begitupun, PKNS terpaksa menunggu sehingga minit ke-45 perlawanan untuk menembusi gawang lawan menerusi jaringan Mohammad Zambry Hassan.

Pesta gol PKNS bermula pada babak kedua dan ia dimulai dengan jaringan kedua PKNS menerusi Mohammad Khairul pada minit ke-48.

Sepuluh minit kemudian, tuan rumah dibolosi lagi, kali ini menerusi Muhamad Khairu Azrin Khazali untuk PKNS selesa mendahului 3-0.

Mohammad Khairul sekali lagi menghadiahkan gol keempat pada minit ke-76, sebelum Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul menjaringkan gol terakhir pada minit ke-88.

Sebelum itu, Ibrahim Ani menjaringkan gol sagu hati SDM Kepala Batas pada minit ke-80.

Dalam perlawanan lain, pasukan di tangga kedua, Sarawak kalah 0-2 kepada MP Muar di Stadium J-Corp Pasir Gudang.

ATM pula menang 2-1 ke atas Johor Pasir Gudang di Stadium MP Selayang.

Thursday, February 24, 2011

Rahman tak mahu pemain selesa (Sinar Harian Online)

SKUAD kendalian Abdul Rahman Ibrahim, Selangor PKNS berjaya melakar kemenangan keempat berturutturut selepas mengalahkan Kelab Bola Sepak USM 1-0, kelmarin.

Walaupun pasukannya bermula baik pada permulaan liga, namun Rahman mengakui masih
terlalu awal baginya untuk meletakkan sasaran layak ke Liga Super.

“Saya tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kepada pasukan untuk ke Liga
Super.

“Bukan meragui kemampuan pemain, tetapi untuk mengelakkan pemain daripada tertekan,”
katanya.

Rahman berkata, pasukannya akan berusaha untuk mengekalkan momentum kemenangan
dan sentiasa fokus dalam setiap perlawanan.

“Dengan memberi tumpuan kepada setiap perlawanan, saya yakin kami mampu mencatatkan
keputusan baik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Sementara itu, mengulas pertemuan menentang SDM Navy minggu depan, Rahman
berkata, akan sentiasa memperbaiki kelemahan pasukannya untuk memberi saingan kepada
pihak lawan.

“Jentera serangan dilihat sedikit lemah dan sesuatu mesti dilakukan,” katanya.

Tuesday, February 1, 2011

PKNS kecewakan Sime Darby FC (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Faridzwan Abdul Ghafar
bhsukan@bharian.com.my
2011/02/01

PENAMPILAN sulung pendatang baru Liga Perdana, Sime Darby FC berakhir dengan kekecewaan apabila dihampakan PKNS 1-0 pada tirai pembukaan musim baru di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Sime Darby, yang muncul juara Piala FAM dengan rekod sempurna musim lalu, mendapati saingan pada peringkat ini setakuk lebih tinggi apabila lawan mereka, PKNS yang terlepas untuk dinaikkan ke Liga Super mendominasi saingan.

Sebaik wisel dibunyikan, PKNS terus melancar serangan menerusi dua gandingan penyerang mereka, Irmee Mat dan Mohammad Zamri Hassan yang beberapa kali mencemaskan lawan tetapi hampa termasuk gol yang dibatalkan kerana ofsaid dan rembatan Mohd Fauzan Dzulkifli yang terkena palang.

Terdesak untuk menyaingi PKNS, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria membuat dua pertukaran pada babak kedua, memasukkan Abd Muiz Abd Khalid dan Mohd Saiful Mustaffa tetapi turut gagal membuahkan hasil hinggalah Irmee menghukum kesilapan mereka pada minit ke-76.

Di Stadium Batu Kawan, Sarawak memulakan kempen Liga Perdana 2011 dengan kemenangan memberangsangkan apabila mengaibkan tuan rumah Pulau Pinang 4-0, petang semalam.

Gol pelawat dijaringkan Wong Sai Kong hasil hantaran lintang Mohammad Shaiful Sabtu pada minit ke-32 sebelum Bobby Gonzales memanfaatkan peluang hasil gerakan kapten, Zamri Morshidi, empat minit kemudian.

Aksi pada babak kedua terus dikuasai Sarawak apabila Zamri melengkapkan kemenangan dengan sepakan penalti pada minit ke-86 sebelum gol kedua peribadi hasil sepakan percuma pada minit terakhir permainan.

Thursday, January 6, 2011

Selangor azam kekalkan Piala Sumbangsih (Sinar Harian Online)

SELANGOR berazam mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali ketiga berturut-turut apabila menentang Kelantan pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam pada 29 Januari ini.

Perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia musim ini, melibatkan Selangor, selaku penyandang juara Liga Super 2010 dan Kelantan sebagai juara Piala Malaysia musim lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata Selangor ingin melakar sejarah dengan mencipta kemenangan hatrik pada perlawanan Sumbangsih itu.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu lebih bersedia kerana berdepan dengan juara Piala Malaysia itu.

Tahun lepas, Selangor berjaya merangkul piala itu selepas menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Selain bertekad mengekalkan gelaran, Selangor juga yakin mampu merangkul gelaran juara Piala FA musim ini.

Hamidin berkata mengikut undian Piala FA, pasukan itu menghadapi laluan mudah hingga ke peringkat separuh akhir apabila mendapat ‘bye’ pada saingan awal bermula 19 Feb ini.

Tahun lepas, Selangor terkandas di separuh akhir Piala FA apabila kalah kepada juara bertahan, Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.

Perlawanan akhir Piala FA dijadual diadakan pada 11 Jun. - Bernama

Sunday, March 14, 2010

Felda United terus selesa (Sinar Harian)


KUALA LUMPUR - Felda United terus kekal selaku pendahulu liga selepas menumpaskan pasukan di tangga kedua, Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Khairul Izwan Khalid pada minit ke-18, sekali gus memberikan pasukannya tiga mata.

Kelebihan tiga mata membolehkan Felda United semakin selesa di persada liga selepas kedua-dua pasukan sebelum ini terikat dengan 19 mata selepas enam perlawanan namun kelebihan jaringan Felda United membolehkannya menjadi pendahulu.

Di Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelasah Harimau Muda 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Tuah.

Gol-gol PDRM dijaringkan oleh Khairul Izwan Abdullah (minit ketujuh), Mohd Fauzi Abd Majid (minit ke-11), Mohd Afis Aminuddin (minit ke-58) dan Abdul Rayjal Abd Jalil (minit ke-86) sementara gol Harimau Muda dijaringkan oleh Muhd Serris Daniel Mat Nasir (minit ke-79).

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Tentera menundukkan Pos Malaysia 4-1.

Di Kuantan, Shahzan Muda gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri selepas tewas 1-2 kepada Sarawak pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.

Skuad Bujang Senang membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma Mazwandi Zakeria sebelum Abg Mohamad Za Afari Abg Othman melebarkan jurang pada minit ke-41.

Tuan rumah yang dibimbing oleh Tajudin Nor hanya mampu memperoleh gol sagu hati pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti R Tharumarajah.

Di Kota Kinabalu, Sabah menewaskan Pulau Pinang USM FC 2-0 di Stadium Likas. Gol pertama Sabah dijaringkan oleh Mohd Farid Ideris pada minit keempat, manakala gol kedua diperoleh menerusi Muhd Azizan Md Arshad pada minit ke-15.: - Bernama

Sunday, February 21, 2010

Selangor, Kedah ke suku akhir Kelantan gigit jari (Berita Harian)

Oleh Muhd Khairil S Iswan, Norliza Wasilan, Hamid Salleh, Azizan Hashim dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my


PENYERANG Selangor, Mohd Safee Sali (kanan) berebut bola dengan pemain PKNS, Mohd Fadhil Hashim (tengah) dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium MBPJ, malam tadi.

FINALIS musim lalu, Kelantan ditunjukkan jalan keluar oleh Kedah yang mara ke suku akhir selepas seri 1-1 di tempat sendiri dalam perlawanan kedua pusingan dua Piala FA, semalam.

Selepas perlawanan pertama berakhir seri tanpa jaringan di Alor Setar, Selasa lalu, perkara yang dibimbangi Kelantan menjadi kenyataan apabila jaringan penyamaan Badrol Bakhtiar pada minit ke-74 menafikan kelebihan gol pendahuluan Indra Putra Mahayuddin hasil hantaran silang S Chanturu pada minit ke-71.

Menyedari keputusan seri tidak mencukupi, Kelantan terus mengasak mencari gol penyamaan, namun hasrat mereka tidak kesampaian, dengan The Red Warriors tersingkir berdasarkan gol di tempat lawan.

Juara musim lalu, Selangor pula dipaksa melalui detik sukar sebelum menempah tiket ke suku akhir dengan kemaraan agregat 2-1 walaupun kecundang 1-0 kepada PKNS.

Mohd Alafi Mahmud menyalakan harapan buat barisan Liga Perdana itu menerusi rembatannya yang terbias pertahanan Selangor pada minit ke-57, namun ia masih tidak mencukupi untuk memastikan kemaraan mereka.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan mara dengan agregat 8-2 selepas menewaskan Polis 5-0 malam tadi.

Gol pertama Negeri Sembilan hadir pada minit kesembilan menerusi Zaquan Adha Abd Radzak yang merembat masuk dari jarak dekat disusuli tandukan Shahurain Abu Samah (m-27), Rezal Zambery Yahya (m-45), Mohd Firdaus Azizul (m-55), Mohd Asyraf Al Jafri (m-71).

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Pos Malaysia memerlukan gol lewat pada minit ke-90 untuk menyingkirkan giant-killer Felda United dengan agregat 3-2 selepas kejayaan 2-1 semalam mengiringi keputusan seri 1-1 tempoh hari.

Wednesday, February 17, 2010

Selangor dapat bekalan selesa (Berita Harian)


PEMAIN Selangor, Safiq Rahim (tengah) cuba melepasi dua pemain PKNS pada perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 2-0.

Bawa kelebihan dua gol untuk perlawanan kedua di Stadium MBPJ, Sabtu ini

JUARA bertahan, Selangor bangkit daripada 'tempoh rehat yang lama' untuk memulakan aksi mempertahankan mahkota Piala FA dengan nota ceria menewaskan PKNS 2-0 dalam perlawanan pertama, pusingan kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas diberi laluan percuma pada pusingan pertama, skuad Merah Kuning bimbingan K Devan mendapati sukar untuk kembali ke rentak garang yang ditampilkan pada permulaan musim dan perlu menunggu sehingga minit ke-43 untuk menyaksikan rembatan kaki kiri Mohd Farderin Kadir menuju tiang kiri PKNS sebelum menerjah masuk ke dalam gawang.


Selepas rehat, gerakan barisan hadapan tuan rumah semakin tumpul yang memaksa jurulatih pasukan, K Devan memasukkan R Surendren bagi menggantikan Safee Salee pada minit ke-62.

Sejurus itu rentak permainan mula berubah dan Selangor kembali mendominasi perlawanan pertama di kejohanan, musim ini.

Selangor menggandakan kelebihan menerusi gol R Surendren yang tampil menanduk masuk hantaran lintang cantik Safiq Rahim untuk menewaskan penjaga gawang PKNS, Saiful Amar Sudar pada minit ke-87.

Sebelum itu, pelawat mendapat peluang terbaik pada minit ke-75 hasil gerakan K Premanathan, namun percubaannya sekadar melepasi palang gol Selangor.

Kemenangan itu meletakkan Selangor pada landasan betul dalam usaha mengekalkan kejuaraan - sekali gus memberi laluan sukar buat ‘adiknya’ menjelang pertemuan timbal balik, pusingan kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Sabtu ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...