Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Rozaimi Abdul Rahman. Show all posts
Showing posts with label Rozaimi Abdul Rahman. Show all posts

Saturday, November 10, 2012

Rozaimi akan buktikan


ROZAIMI antara sembilan pemain yang diserapkan dalam skuad Harimau Muda musim depan.


PENYERANG berbisa Sabah, Rozaimi Abdul Rahman mengakui semakin bersemangat apabila diserapkan dalam skuad Harimau Muda musim depan.
Pemain yang meledak 10 gol pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun (B-22) mendedahkan, dia sudah tidak sabar untuk kembali ‘bernaung’ dengan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee.
Jelas Rozaimi, dia berazam untuk mengulangi prestasi cemerlang sebaik kembali menyarungkan jersi skuad bawah B-22 negara itu kelak.
Pemain berusia 20 tahun itu telah mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk meneruskan karier bersama skuad kendalian Kim Swee itu.

“Jawapan saya mudah, saya mahu beraksi bersama Harimau Muda.

“Selepas berbincang dengan pihak SAFA, mereka telah membenarkan saya untuk kembali beraksi bersama Harimau Muda.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAFA kerana sentiasa memberikan kerjasama terhadap karier bola sepak saya.

“Saya mengakui teruja untuk membantu Harimau Muda dan berharap dapat mengekalkan prestasi terbaik sebagaimana yang telah saya buktikan sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Skuad Harimau Muda kehilangan khidmat Mahalli Jasuli musim depan yang akan menyertai Selangor pada musim depan kerana sudah melepasi had umur yang ditetapkan untuk beraksi dengan pasukan remaja negara itu.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk menjadi 'watak penting' dalam skuad Harimau Muda, Rozaimi menegaskan dia masih perlu bekerja keras bagi memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan saya boleh memegang peranan penting dalam skuad tetapi saya akan berusaha ke arah itu,” katanya.
Selain Rozaimi, lapan lagi pemain yang ditawarkan kontrak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai Harimau Muda ialah Muhammad Nurridzuan Abu Hassan (Perak), D.Kenny Pallraj (Perak), Muhammad Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan), Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC), Mohamad Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UITM FC) dan Adam Nor Azlan (SSBJ).

--- KOSMO

Friday, November 2, 2012

Rozaimi pasrah


ROZAIMI mengesahkan tidak mendapat tawaran susulan daripada kelab Thailand, BEC Tero Sasana.


JODOH antara peledak muda negara, Rozaimi Abdul Rahman bersama kelab Thailand, BEC Tero Sasana dilihat seakan-akan sudah ternoktah.
Semalam, penyerang muda Sabah itu mengesahkan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada kelab itu setakat ini.

Sebelum ini, Tero Sasana itu dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat Rozaimi musim depan.

Begitupun, ia menemui jalan buntu ekoran Rozaimi terlebih dahulu diikat Selangor sebagai pemain pinjaman sepanjang mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Biarpun telah menamatkan tugas bersama Gergasi Merah, tiada sebarang tawaran susulan dikemukakan Tero Sasana setakat ini.

“Buat masa ini, saya tidak menerima mana-mana tawaran daripada mana-mana pasukan termasuk Tero Sasana.

“Jika tidak ada rezeki, saya pasrah dan tidak kecewa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! pada 7 Julai lalu melaporkan hasrat naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002 itu berminat untuk mendapatkan khidmat Rozaimi musim depan.

Ia ekoran kecemerlangan Rozaimi meledak 10 gol pada aksi kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Myanmar, Jun lalu.

Untuk rekod, Tero Sasana menamatkan saingan Liga Premier Thailand musim ini di tempat ketiga apabila berjaya mengumpul 57 mata dari 34 perlawanan.

Dalam pada itu, Rozaimi masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu kekal bersama Sabah ataupun menyertai Harimau Muda musim depan.

“Keputusan masih 50-50, saya hanya boleh membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Sabah 8 November ini,” katanya ringkas.

--- KOSMO

Tuesday, August 28, 2012

Berikan Rozaimi sedikit masa lagi - Irfan Bakti


ROZAIMI (kanan) masih belum serasi bermain bersama Selangor pada saingan Piala Malaysia musim ini.


PRESTASI hambar peledak muda kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman dalam saingan Piala Malaysia musim ini sedikit sebanyak mengundang resah dalam kalangan peminat fanatik juara 32 kali, Selangor.

Menggalas tanggungjawab sebagai pencetak gol utama skuad Gergasi Merah gara-gara ketiadaan kapten, Amri Yahyah yang digantung tiga perlawanan, sentuhan penyudah Rozaimi, 20, sebagai pemain pinjaman Selangor sepanjang edisi Piala Malaysia kali ini dilihat tidak setajam mana.

Situasi itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan kehebatan Rozaimi yang berjaya meledak 11 gol semasa membantu Harimau Muda mengharungi saingan Piala AFC Bawah 22 Tahun di Myanmar, Jun lalu.

Pada masa sama, dia juga masih gagal meletakkan nama selaku penjaring skuad Merah Kuning setakat ini apabila seolah-olah 'tenggelam' dengan persembahan bertenaga penyerang import, Bosko Balaban dan seorang lagi penyerang pinjaman daripada USM FC, S. Veenod.

Disebabkan itu, sudah ada 'kata-kata sumbang' di luar padang yang mula mempertikaikan kemampuan penyerang muda Sabah itu berdasarkan persembahannya setakat ini.

Begitupun, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih percaya dengan kredibiliti Rozaimi yang dilihat masih relevan bagi membantu Selangor merealisasikan 'misi 33' tahun ini.

"Berikan Rozaimi masa, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan. Saya percaya, Rozaimi akan kembali menemui sentuhannya dalam beberapa perlawanan lagi," kata Irfan Bakti.

Selepas dua perlawanan setakat ini, Gergasi Merah yang sekadar mengutip satu mata kini ketinggalan di belakang Sarawak dan Pahang yang berkongsi empat mata dalam saingan Kumpulan D.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan kekalahan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan sebelum sekadar seri 2-2 dengan skuad Tok Gajah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Dalam masa sama, Irfan Bakti kekal berteka-teki sama ada mahu menurunkan Rozaimi ataupun tidak semasa berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini ekoran persembahan bertenaga yang dipamerkan Veenod semasa menentang Pahang, Sabtu lalu.

"Prestasi Veenod dilihat cukup cemerlang (semasa menentang Pahang), jadi kita tengok dahulu macam mana (sama ada menurunkan Rozaimi ataupun Veenod) menentang T-Team nanti.

"Yang paling utama, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team tidak kira di tempat lawan (malam ini) ataupun di gelanggang sendiri (Sabtu ini) bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak," katanya optimis.

--- KOSMO

Sunday, July 8, 2012

'Saya cuma anak kampung'

Rozaimi Abdul Rahman

KOTA KINABALU - "Seingat saya, pengalaman saya bermain bola sepak cuma di peringkat kampung-kampung saja, tidaklah hebat sangat tetapi saya punya semangat tinggi," kata bintang sensasi bola sepak negara, Rozaimi Abdul Rahman.

Nama Rozaimi tiba-tiba melonjak selepas meledakkan 10 gol dalam kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun di Myanmar, minggu lalu. Biarpun gagal membawa Malaysia melayakkan diri ke pusingan akhir, namun kelibat lincah bintang tengah ini berjaya mencuri tumpuan banyak pihak.

Terbaru, kelab Liga Perdana Thailand yang pernah muncul naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002, Bec Tero Sasana telah mengemukakan tawaran rasmi kepada pemain muda berusia 19 tahun itu.

Malah, terdapat spekulasi yang mengatakan Rozaimi turut memikat kelab dari Eropah.

"Saya memang meminati bola sepak sejak kecil tetapi tidak pernah terfikir untuk sampai sejauh ini.

"Saya memegang kepercayaan bahawa saya boleh buat yang terbaik. Syukur kerana dapat menterjemahkannya pada Piala Asia bawah 22 tahun,'' ujar Rozaimi lagi.

Penyerang kelahiran Bongawan, Sabah itu berkata, dia bersyukur kerana kariernya mendapat sokongan keluarga, terutama sewaktu mula menceburi sukan bola sepak pada 2009.

Akui Rozaimi, bapa dan abangnya adalah orang kuat yang sering memberi kata-kata semangat apabila dia mula diterima masuk ke dalam skuad Liga Simpanan Sabah semasa berumur 17 tahun.

Secara berseloroh, pemain yang bakal mencecah usia 20 tahun pada 6 Oktober ini mengakui, terpilih mewakili negara ibarat mimpi menjadi nyata.

Jelas Rozaimi, dia amat mengagumi bintang Sabah yang pernah membawa cabaran Malaysia seperti Hassan Sani dan Matlan Marjan.

Justeru, terbit sekelumit rasa bangga dalam diri apabila berjaya mengikut jejak mereka.

"Saya kurang pengalaman dalam bola sepak khususnya beraksi pada perlawanan besar di peringkat antarabangsa, jadi terpilih mewakili negara merupakan satu penghormatan buat saya,'' ujar Rozaimi.

Begitupun, Rozaimi mengakui kepercayaan dalam diri serta doa daripada keluarga adalah rahsia kecemerlangannya dalam penampilan pertama bersama skuad muda negara.

Dalam kelayakan Piala Asia bawah 22 tahun, Rozaimi menjaringkan 10 gol.

Malangnya, jaringan penaltinya semasa menentang Myanmar gagal membantu Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir.

Dia menjaringkan empat gol ketika Malaysia membelasah Filipina 7-0. Anak kelima daripada lapan beradik itu kemudian menyumbat dua gol untuk membantu skuad negara menewaskan Taiwan 4-2 dan mencipta hatrik ketika kita membenam Vietnam 3-0.

Ditanya sama ada statusnya kini mengubah dirinya, Rozaimi berkata, dia lebih selesa merendah diri dan fokus terhadap bola sepak.

"Nasihat bapa supaya saya jangan besar kepala. Beliau berkali-kali mengingatkan saya perkara itu," kata pemain yang meminati bintang tengah Sepanyol dan Manchester City, David Silva itu.

Dalam pada itu, Rozaimi turut menyatakan minatnya untuk mengikut jejak langkah Nazmi Faiz dan Safee Sali yang bermain untuk kelab luar negara.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, July 1, 2012

Garang benam Vietnam 3-0

Rozaimi Abd. Rahman

KUALA LUMPUR - Rentak konsisten terus dipamerkan pasukan Bawah 22 tahun negara dalam perlawanan kelayakan Kumpulan G Piala AFC apabila meraih kemenangan kali ketiga berturut-turut dengan mengatasi Vietnam 3-0 di Stadium Aung San, semalam.

Kejayaan itu juga memastikan Malaysia masih berada dalam landasan untuk menempah tiket ke pusingan akhir Piala AFC 2013 sebelum turun berdepan misi 'hidup atau mati' ketika menentang tuan rumah, Myanmar pada 3 Julai ini di Stadium Thuwunna.

Penyerang berbisa dari Sabah, Rozaimi Abdul Rahman terus menjadi 'duri dalam daging' kepada mana-mana pasukan lawan apabila meledak jaringan hatrik pada minit ke 52,92 dan 94.

Gol pertama Rozaimi berpunca daripada hantaran kemas Wan Zack Haikal Wan Noor daripada sebelah kanan yang mudah disudahkan oleh pemain berasal dari Bogawan itu sebelum jaringan kedua hadir pada masa kecederaan apabila bijak melepasi perangkap ofsaid dan tenang menyudahkan peluang.

Tidak sampai dua minit kemudian, dia akhirnya merakamkan jaringan hatrik selepas bijak memperdayakan dua pertahanan lawan pada sebelah kiri dan melepaskan sepakan yang menewaskan penjaga gol Vietnam, Tran Buu Ngoc.

Menurut Kim Swee, dia lega dengan kemenangan itu tetapi tidak mahu memberikan pujian kepada Rozaimi sahaja walaupun pemain itu meledak hatrik bagi membantu kemenangan pasukan.

Namun, dalam keseronokan pasukan negara melakar kemenangan ketiga, dia sedikit kecewa apabila tonggak pertahanan, Shahrul Mohd. Saad terpaksa melupakan aksi penting berdepan Myanmar apabila sudah mengutip dua kad kuning.

''Hatrik Rozaimi berpunca daripada kerjasama satu pasukan dan semua pemain wajar mendapat pujian kerana mempamerkan persembahan yang cukup cemerlang.

''Walaupun pasukan ini buntu pada separuh masa pertama, percaturan saya memasukkan Nazirul Naim menggantikan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk babak kedua ternyata memberikan hasil kerana kita mampu mencapai kemenangan.

''Namun, saya terpaksa melupakan Shahrul untuk perlawanan terakhir kerana digantung satu perlawanan dan akan mungkin melakukan sedikit rombakan di bahagian pertahanan," katanya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...