Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Abdul Hadi Yahya. Show all posts
Showing posts with label Abdul Hadi Yahya. Show all posts

Saturday, July 9, 2011

Hadi, Fitri peledak terbaik

2011/07/09

pix_gal0
WAJAH ceria ini jelas menceritakan segala-galanya. Semalam, Abdul Hadi Yahaya (kanan) dari Terengganu dan Fitri Omar masing-masing menerima Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak buat menyuntik semangat baru dalam kerjaya bola sepak mereka.

Mereka menerima pengiktirafan itu di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Abdul Hadi tunjuk belangnya dengan meledakkan empat gol pada perlawanan terakhir Liga Super bertemu FELDA United untuk mengumpul jumlah 20 gol musim ini - memintas penyerang bintang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang ketinggalan satu gol walaupun meledak dua gol pada perlawanan terakhir menentang Sabah di Kota Kinabalu, tempoh hari.
Sementara itu, saingan Liga Perdana menyaksikan Fitri - tonggak kelab MP Muar mengungguli kedudukan penjaring dengan 16 gol walaupun pasukan diwakilinya sekadar menamatkan saingan di tangga kelapan.

Kancah Liga Malaysia musim ini menutup tirainya dengan menyaksikan Kelantan muncul juara Liga Super dan PKNS menjuarai Liga Perdana.

----- Berita Harian Online

Impian Hadi terlaksana

Oleh Malik Muhamad
am@hmetro.com.my

PENYERANG Terengganu, Abdul Hadi Yahaya membuktikan statusnya sebagai penyerang berbisa apabila menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Super untuk dinobat pemenang Kasut Emas musim ini.

Lebih menarik saingan merebut anugerah penjaring terbanyak itu juga menjadi rebutan penyerang Kelantan yang juga ‘kembarnya’ dalam skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

“Saya memang tidak jangka ditabal pemenang Kasut Emas musim ini kerana sebelum perlawanan terakhir bertemu Felda United, saya mengumpul 15 gol, kurang satu gol berbanding Norshahrul.

“Namun selepas berjaya menghasilkan empat gol ke atas Felda United, keyakinan mendakap Kasut Emas semakin kuat dan akhirnya menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas Terengganu membaham Felda United, 6-2 kelmarin.

Pemain berasal dari Kelang, Selangor itu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantunya selain kepercayaan dan tunjuk ajar ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan penolongnya Khalid Mohd Dahan.

“Tanpa kepercayaan jurulatih yang sentiasa meniupkan semangat selain sokongan padu rakan sepasukan serta gandingan di posisi serangan, Abdul Manaf Mamat, saya mungkin tidak dapat mencipta kejayaan ini,” katanya.

----- Harian Metro Online

Wednesday, July 6, 2011

Mat Yo, Hadi rebut Kasut Emas 2011

BIARPUN pemburuan trofi Liga Super terarah kepada pasukan Kelantan, Selangor dan Terengganu bersaing hebat, namun perebutan anugerah Kasut Emas 2011 tidak kurang hebatnya.

Peledak berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha memimpin senarai penjaring terbanyak Liga Super apabila mengegar jaring sebanyak 17 gol.

Namun, ia diekori rapat penyerang oleh Terengganu, iaitu Abd Hadi Yahya yang menjaringkan 16 gol sepanjang musim ini.

Sukar bagi menentukan siapakah bakal merangkul anugerah berkenaan kerana kedua-duanya merupakan pemain kebangsaan yang hebat dan memiliki peluang untuk menjaringkan gol pada bila-bila masa.

----- Sinar Harian Online

Monday, June 20, 2011

'Noktah terakhir isu rasuah'

Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/06/20

ABDUL Hadi  (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Myanmar dalam  perlawanan persahabatan  di Kota Bharu, kelmarin.
ABDUL Hadi (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Myanmar dalam perlawanan persahabatan di Kota Bharu, kelmarin.

PENYERANG Harimau Malaya, Abdul Hadi Yahya mahu kemenangan membenam Myanmar 2-0 dalam aksi persahabatan di Kota Bharu kelmarin, dijadikan ‘noktah terakhir’ kepada desas-desus yang mengatakan pemain kebangsaan terbabit dengan isu rasuah.

Sambil mengharapkan skuad negara tidak lagi dikaitkan dengan perkara ‘jijik’itu, penyerang Terengganu itu turut menyimpan hasrat supaya semangat juang rakan-rakannya yang lain tidak terganggu bagi meneruskan misi lebih mencabar terutama menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan, hujung bulan ini.

“Puncanya mungkin daripada dua pasukan yang beraksi dalam Piala Presiden dan isu itu terus merebak hingga mengaitkan dengan pemain pasukan kebangsaan. Saya percaya rakan-rakan dalam skuad kebangsaan tidak terbabit dengan perkara ini.
“Saya sebenarnya kecewa dengan isu itu kerana saya percaya 100 peratus pemain kebangsaan tidak terbabit dengan gejala tidak bermoral itu. Saya harap dengan kemenangan ini, tiada lagi cakap-cakap berkenaan isu itu kerana ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran pemain,” katanya yang diberi kepercayaan buat kali kedua menyarung jersi kebangsaan selepas bertemu Hong Kong, awal bulan lalu.

Pemain 26 tahun itu berkata, biarpun nasibnya untuk menyertai skuad kebangsaan menghadapi kelayakan Piala Dunia masih samar, dia berjanji untuk menampilkan persembahan terbaiknya andai diberi kepercayaan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

“Saya dipanggil untuk dinilai prestasi dan sudah tentu jika diberi peluang, saya akan lakukan yang terbaik untuk pasukan negara,” katanya yang turut mengidamkan aksi berdepan gergasi Inggeris - Liverpool, Chelsea dan Arsenal - yang bertandang ke Malaysia bulan depan.

----- Berita Harian Online

Saturday, June 11, 2011

Hadi, Manaf yakin bolosi gawang


ABDUL Hadi menjadi harapan skuad Penyu untuk meledakkan gol pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.


KUALA TERENGGANU - Jika aksi ketika tewas 0-3 di tangan Kelantan dalam saingan liga tempoh hari dijadikan ukuran, baik Abdul Hadi Yahaya mahupun Manaf Mamat, kedua-duanya nyata gagal memberikan sentuhan penyudah yang berkesan selaku penyerang.

Hadi umpamanya dilihat seakan hilang punca di tengah padang meskipun beraksi cemerlang ketika menyumbat gol untuk skuad kebangsaan bagi mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan terdahulu, manakala Manaf pula kerap kehilangan bola dan gagal berfungsi seperti biasa pada malam itu.

Justeru, ramai pihak beranggapan bahawa kedua-dua penyerang itu sukar untuk mencipta peluang sebaliknya bergantung harap kepada umpanan pemain sayap kiri iaitu Ashaari Samsudin.

Secara kebetulan, Ashaari pula tidak dapat diturunkan pada malam itu kerana digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning kedua.

Namun, kembalinya Ashaari daripada penggantungan menjelang final Piala FA, hari ini dilihat petanda baik untuk ketiga-tiga mereka kembali membentuk rangkaian serangan terbaik.

Hadi ketika ditemui mengakui bahawa aksinya ketika menentang Kelantan pada malam itu tidak begitu menjadi dan dia gagal mengekalkan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan.

"Bagaimanapun, saya akan main sebaik mungkin dan cuba cari gol awal jika diturunkan pada final nanti," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Sementara itu, Manaf turut melafazkan janji yang sama untuk memberikan persembahan terbaik pada malam esok.

"Saya harap penyokong juga akan terus 'support' kami dari belakang dan lupakanlah apa yang telah berlaku sebelum ini (kalah kepada Kelantan)," katanya.

----- Utusan Malaysia Online

Abdul Hadi tiup semangat juang rakan sepasukan

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

PENYERANG utama Terengganu, Abdul Hadi Yahya sedia menjadi duri dalam daging buat Kelantan bagi membantu pasukannya mencipta kegemilangan pada pentas final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dengan ledakan 15 gol dalam Liga Super musim ini, pemain berusia 26 tahun itu bertekad melakukan apa saja untuk membolosi gawang lawan yang bakal dikawal rapi penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat.

“Saya tahu beban yang dipikul pada perlawanan itu, tipulah kalau saya cakap tiada tekanan. Tapi saya akan berusaha melaksanakan tugas yang diberikan dengan baik,” katanya yang ditemui selepas berakhirnya sesi latihan skuad Terengganu semalam.

Kehebatan Abdul Hadi yang cukup berbahaya di depan pintu gol turut terbukti di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan gol ketika skuad kebangsaan seri 1-1 dengan Hong Kong baru-baru ini pada aksi pertamanya.

Malah dia turut memainkan watak penting dalam mencipta laluan Terengganu ke final Piala FA dengan menjaringkan empat gol setakat ini.

Menurut Abdul Hadi, moral pemain tidak terjejas walaupun tumpas 0-3 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super Isnin lalu.

“Perlawanan ini saya jangkakan 50-50 tapi berbekal semangat dipamerkan pemain ketika ini, saya yakin Terengganu boleh menang,” katanya yang bakal beraksi pada final Piala FA pertama dalam karier.

----- Harian Metro Online

Monday, June 6, 2011

Hadi tekad ratah Kijang

Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

SELEPAS menyelamatkan reputasi dan maruah skuad kebangsaan daripada dicalar Hong Kong pada perlawanan persahabatan Jumaat lalu, penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, sekali lagi mahu membuktikan kelibatnya cukup berbisa apabila turun menentang Kelantan pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Abdul Hadi yang juga penjaring terbanyak Liga Super dengan 15 gol berkata, dia tidak rela berputih mata di gelanggang sendiri ketika perlawanan amat penting bagi memastikan Terengganu merampas kedudukan teratas liga.

“Selepas berjaya menyumbat gol penyamaan pasukan kebangsaan lebih-lebih lagi kali pertama dipanggil dalam skuad kebangsaan, saya bagaikan mendapat tonik baru menjelang pertemuan penting dengan Kelantan malam ini.

“Gol penyamaan itu diharap dapat menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan untuk memburu kemenangan penting ini,” katanya.

Pada perlawanan dengan Hong Kong Jumaat lalu, Abdul Hadi membuktikan dia layak membarisi skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol penyamaan minit ke-72, enam minit selepas menggantikan Safee Sali. Penyerang berusia 26 tahun berasal dari Klang, Selangor itu berkata, perlawanan menentang Kelantan adalah penentu hala tuju skuad Terengganu sama ada mampu menjulang Liga Super atau sebaliknya kerana kedudukan mata sama, 47, cuma berbeza satu gol sahaja.

Selain itu, Abdul Hadi turut mengharapkan tiga lagi rakannya dalam skuad kebangsaan, Ismail Faruqi, Helmi Remeli dan Mohd Sharbinee Alawee memperagakan aksi mantap walaupun tanpa kelibat Ashaari Shamsuddin yang digantung satu perlawanan.

“Inilah masa terbaik bagi skuad Terengganu untuk mencatat kemenangan lebih-lebih lagi bermain di gelanggang sendiri dalam misi untuk merampas semula kedudukan tangga teratas liga,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata ketajaman ledakan Abdul Hadi ketika mewakili skuad kebangsaan sekali lagi ditagih untuk mencipta kemenangan malam ini bersama gandingannya Abdul Manaf Mamat.

“Walaupun ketiadaan Mohd Ashaari sedikit dirasai, saya percaya gandingan Abdul Hadi dan Abdul Manaf dibantu pemain lain mampu memberi keceriaan kepada kem Terengganu dalam misi mencatat kemenangan untuk mencipta sejarah muncul juara Liga dengan baki tiga perlawanan lagi termasuk malam ini,” katanya.


----- Harian Metro Online

Wednesday, June 1, 2011

Hadi yakin bantu Terengganu

Oleh Hamid Saleh

2011/06/01

PENJARING terbanyak Terengganu , Abdul Hadi Yahya sedikit lega kerana kecederaan kaki kirinya kian beransur pulih menjelang pertemuan dengan Kelantan di Kuala Terengganu dalam saingan Liga Super, Isnin ini.

Penyerang itu memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik bersama rakan sepasukan agar Kelantan dapat ditumbangkan di depan penyokong setia bagi menebus kekalahan kepada Kedah 0-1 yang menyebabkan Kelantan mengambil alih tangga teratas liga.
Abdul Hadi berkata, kecederaan yang dialaminya ketika bertemu Pahang minggu lalu menyebabkan dia sukar bergerak untuk melakukan rembatan tepat ke gawang lawan.
“Saya sudah bersedia untuk mengalas tugas sebagai penggempur dan yakin dapat menjaringkan gol bagi membantu Terengganu mencatat kemenangan,” katanya.

Namun Abdul Hadi yang kini menyertai latihan skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan di Hong Kong, terkilan kerana rakan gandingan Ashaari Samsuddin tidak dapat bersama memperkuatkan jentera serangan berikutan penggantungan satu perlawanan akibat tiga kad kuning.

“Saya semakin serasi dengan Manaf Mamat di depan dan kehadiran Ashaari yang memahami corak permainan kami memudahkannya membuat umpanan tepat,” kata Abdul Hadi.

Dengan 15 gol dikumpul setakat ini, Abdul Hadi berkata dia mahu menambah angka itu tetapi tetap mengutamakan kejayaan pasukan berbanding matlamat peribadi.

-- Berita Harian Online

Saturday, May 28, 2011

Hadi, Manaf tekad julang Terengganu (Harian Metro Online)

Oleh Hamid Saleh

PENJARING terbanyak Terengganu, Abdul Hadi Yahya berazam memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukannya menewaskan Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, sekali gus memastikan kedudukan skuad Penyu di tangga teratas Liga Super tidak tergugat.

“Saya sudah sedia menggalas tugas sebagai penggempur dan yakin mampu menjaringkan gol bagi membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, sebagai penyerang dia sentiasa berusaha memastikan setiap peluang diperoleh di depan gawang lawan mampu diterjemahkan sebagai jaringan.

Dia juga mengaku cukup serasi bergandingan bersama Manaf Mamat di barisan serangan dan memahami corak permainan masing-masing.

“Saya harap kami dapat membolosi gawang lawan seberapa banyak yang boleh.

“Yang penting seluruh pasukan berusaha bersungguh-sungguh memastikan matlamat memburu kemenangan tercapai.

“Saya sudah menjaringkan 15 gol liga dan mahu menambah koleksi jaringan supaya menjadi penjaring terbanyak musim ini,” katanya.

Sementara itu, Manaf yang sudah menjaringkan 10 gol turut bertekad menghasilkan jaringan bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.

“Sebagai pemain barisan serangan, saya akan cuba sedaya upaya membolosi gawang lawan,” katanya.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik supaya matlamat mengutip tiga mata penuh tercapai.

“Saya yakin pemain bertambah semangat selepas mencapai kemenangan besar ke atas Pahang dan mereka mampu mengulangi pencapaian itu dalam pertemuan dengan Kedah,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...