Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Fadzli Saari. Show all posts
Showing posts with label Fadzli Saari. Show all posts

Wednesday, March 2, 2011

Selangor atasi asakan Kedah di Shah Alam (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fiesal@bharian.com.my
2011/03/02

JUARA bertahan, Selangor gah merakamkan kemenangan kedua di halaman sendiri selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua gol masing-masing daripada Mohd Fadzli Saari pada minit ke-7 dan Mohd Asraruddin Putra (m-80) mencipta sorakan gemuruh penyokong skuad Merah Kuning yang kini berjaya mengutip 11 mata hasil enam perlawanan untuk menghambat pendahulu liga, Kelantan yang turut menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan juga di gelanggang sendiri.

Anak didik K Devan yang bermula agresif tidak menunggu lama untuk menemui sasaran apabila Fadzli - penyerang yang kini disebut pengganti kepada Safee Sali yang berpindah ke kelab Pelita Jaya di Indonesia - membuka tirai jaringan ketika permainan berusia tujuh minit sahaja. Dia berjaya menanduk masuk hantaran lintang Mohd Hardi Jaafar.

Pada babak pertama, kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan dengan Kedah yang menurunkan kesebelasan terbaik tampak lebih menguasai permainan.

Apapun, Selangor memastikan mata penuh milik mereka apabila Asraruddin meledak gol kedua buat lawan pulang menggigit jari.

Saturday, February 26, 2011

Fadzli dapat keyakinan ambil alih tugas Safee (Berita Harian Online)

Oleh Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my
2011/02/26

DUA gol daripada empat penampilan Liga Super memberikan Mohd Fadzli Shaari keyakinan baru dalam membantu cabaran penyandang juara Selangor untuk mengekalkan mahkota kejuaraan, musim ini.

Sumbangan penyerang ini amat ditagih Selangor selepas ketiadaan Safee Sali yang berpindah mewakili Pelita Jaya FC dalam Liga Super Indonesia (ISL).
Bekas pemain kebangsaan itu juga tidak menolak keinginan untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan Safee dan menambah jumlah gol peribadi membuatkan dia lebih agresif dalam permainan.

“Tiada yang mustahil kerana jurulatih (K Devan) memberi kepercayaan penuh kepada saya mengetuai barisan serangan sejak Safee berpindah ke Indonesia.

“Sebagai pemain, saya akan buktikan kepada jurulatih, pengurusan FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) serta peminat bahawa jaringan daripada saya akan berterusan,” katanya, semalam.

Pada aksi pembuka tirai Liga Super, Mohd Fadzli dilihat hanya sebagai watak pembantu kepada Safee.

Ditanya peluang Selangor apabila berdepan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini, Fadzli berkata, tiga mata menjadi buruan utama Selangor dan menambah gandingannya bersama Mohd Amri Yahyah juga semakin serasi.

Thursday, January 13, 2011

Fadzli senjata terbaru Selangor (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Keputusan K. Devan mengambil kembali Mohd. Fadzli Saari untuk memperkuatkan pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia 2011 mungkin mengundang sedikit kekeliruan di kalangan penyokong Red Giants.

Sudah 'berkarat', tidak konsisten dan malas bergerak, itu antara alasan-alasan utama diberikan oleh peminat setia Merah Kuning, yang beranggapan dia tidak layak lagi beraksi di dalam sebuah skuad hebat seperti Selangor.

Bagaimanapun, itu hanya penilaian kasar yang mungkin difikirkan oleh peminat, sebaliknya buat Devan, dia lebih arif terhadap kemampuan sebenar Fadzli yang pernah menyarung jersi Selangor selama tiga musim dari tahun 2006 hingga 2008.

Menurutnya, Fadzli bakal menjadi taruhan terbaru Selangor ketika situasi set-piece berdasarkan kelebihan fizikal dan berkeupayaan mendapatkan gol melalui tandukan.

''Pada musim lalu, kami agak sedikit lemah dalam situasi perebutan bola di udara dan percubaan mendapatkan gol melalui set-piece, kehadiran Fadzli saya jangka akan banyak membantu Selangor dalam aspek terbabit.

''Fadzli boleh menjadi senjata terbaru kami dalam memburu gol ketika situasi sepakan sudut atau sepakan percuma.

''Dia telah membuktikan prestasinya masih di puncak selepas menjaringkan 17 gol bersama KL Plus pada saingan musim lalu dan atas faktor itu, saya tertarik mendapatkan khidmatnya kembali ke Selangor,'' katanya yang merupakan jurulatih Selangor.

Fadzli bukan satu nama yang asing di kalangan peminat bola sepak tempatan. Bekas pemain kebangsaan ini pernah menempa nama kerana pernah beraksi di luar negara bersama kelab SV Wehen pada tahun 2001.

Selain Fadzli, Devan berkata kemasukan beberapa muka baru seperti Saiful Amar Sudar, Azidan Sarudin dan Yosri Derma Raju akan meluaskan lagi pilihan pemain.

''Kehadiran mereka adalah untuk menampung beberapa posisi yang saya anggap masih perlu diperbaiki di samping menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain, '' ujarnya.

Mengenai sasaran musim ini, Devan mengakui dia amat kepingin melihat Selangor kembali menjulang trofi Piala Malaysia, selepas lima tahun gagal melakukannya.

''Bagi nama besar seperti pasukan Selangor, lima tahun adalah satu tempoh yang agak lama, walaupun kami tidak ketandusan gelaran termasuk meraih gelaran juara Liga Super selama dua tahun berturut-turut.

''Selain mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi tiga tahun berturut-turut, impian paling utama buat saya pada musim ini adalah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Selangor, '' jelasnya.

Devan juga meluahkan rasa puas hati mengenai tahap persiapan Selangor yang baru pulang dari persiapan pra musim di Perth, kerana buat pertama kali dapat mengumpulkan semua pemainnya berlatih bersama.

''Berdepan antara tiga pasukan yang handal di sana, saya dapat kenal pasti beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan,'' katanya.

Saturday, November 6, 2010

Fadzli, Azidan, Amar muka baru Selangor? (Utusan Malaysia Online)



FADZLI dikatakan bakal menyarung kembali jersi Selangor pada saingan Liga M musim depan.


JUARA Liga Super, Selangor dikatakan sudah berjaya mendapat khidmat tiga pemain baru iaitu Fadzli Saari, Azidan Sarudin dan Saiful Amar Sudar bagi menggantikan lima pemain yang digugurkan.

Fadzli, 27, penyerang KL Plus musim ini pernah menyarung jersi Selangor pada 2007 dan 2008 manakala Azidan, 24, yang beraksi di posisi tengah adalah kapten Kuala Lumpur musim ini.

Saiful Amar, 28, pula yang beraksi sebagai penjaga gol PKNS FC musim ini pernah dipinjam Selangor pada saingan Piala Malaysia 2006.

Sumber Kosmo! memberi- tahu, kehadiran tiga pemain tersebut mungkin akan disusuli dua atau tiga lagi pemain baru bagi mengisi enam tempat kosong.

"Lima pemain yang dilepaskan Selangor ialah Liew Kit Kong, Farderin Kadir, Mohd. Zaiza Zainal Abidin, Azrine Efendy Saduddin dan R. Surendren.

"Bagaimanapun, seorang lagi pemain yang dikekalkan iaitu penjaga gol utama, Hamsani Ahmad memilih untuk berhijrah ke Felda United. Sebab itulah kami ambil Saiful Amar," kata sumber Kosmo! itu semalam.

Jelasnya lagi, segala spekulasi tentang perpindahan ketua pasukan, Amri Yahyah, Safee Sali, Khairul Anuar Baharom, Asrarud- din Putra Omar, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal sudah boleh dilenyapkan kerana kesemua mereka sah kekal bersama Selangor.

Turut dikekalkan ialah baki 11 pemain lain iaitu Iqbal Suhaimi, Fairul Azwan Shahrullail, Razman Roslan, Nasriq Baharom, Rudie Ramli, Bunyamin Umar, Hardi Jaafar, P. Gunalan, D. Surendran, Fitri Shazwan Raduwan dan Fazilidin Khalid.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin enggan mengulas lanjut tentang perkhabaran keluar masuk pemain Selangor untuk musim baru itu.

"Memang ada pemain yang kita gugurkan dan ada pemain baru yang sudah kita dapat tetapi ada beberapa perkara lagi yang sedang diperhalusi dan perlu dimuktamadkan.

"Insya-Allah dalam minggu depan, mungkin pada hari Isnin, FAS akan buat sidang media untuk mengumumkan secara rasmi skuad Selangor musim 2011," kata Hamidin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...