Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Pulau Pinang FA. Show all posts
Showing posts with label Pulau Pinang FA. Show all posts

Thursday, December 12, 2013

FAM Minta K.Devan, Felda United, Selesai Tuntutan Di Luar Jawatankuasa Status


KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pengendali baharu skuad Liga Premier Pulau Pinang musim depan K. Devan akan berunding sendiri dengan Felda United untuk menyelesaikan tuntutannya.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa itu memutuskan Devan dan Felda United perlu berunding bagi menyelesaikan masalah itu.

"Boleh jadi mereka akan cuba mencari penyelesaian atas dasar penamatan kontrak pekerjaan secara persetujuan bersama. Ia telah dimaklumkan oleh kami dan Felda United sedia menerimanya.

"Kita harap mereka akan berunding untuk menentukan keputusan terbaik bagi kedua-dua belah pihak. Itu antara mereka. Kalau ia tidak dapat diselesai secara sendiri, baru datang balik kepada jawatankuasa," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain FAM di Wisma FAM Khamis.

Takiyuddin berkata Felda United masih membayar gaji kepada Devan sebagai jurulatih walaupun telah melantik Irfan Bakti sebagai pengendali baharu pasukan itu untuk saingan musim depan.

"Felda United boleh melantik Irfan, dua jurulatih dalam satu pasukan tidak menjadi masalah. Seorang jurulatih bagi dua pasukan memang tidak dibenarkan. Sebab itu Felda United bersedia jika Devan menamatkan kontrak secara persetujuan bersama," katanya.

Devan akan menggantikan Merzagua Abderrazak yang tidak mempunyai sijil kejurulatihan Kelas A, untuk melatih Pulau Pinang.



-- BERNAMA

Tuesday, March 8, 2011

FAP bohong (Kosmo Online)


PEMAIN Pulau Pinang (jersi putih) mendakwa tidak menerima gaji sejak bulan Januari.


KENYATAAN Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim bahawa tiada isu gaji tertunggak melibatkan pemain-pemain skuad Liga Premier Pulau Pinang merupakan satu pembohongan, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Ini kerana, para pemain Pulau Pinang sebenarnya ketika ini sedang menanggung sengsara akibat gaji mereka bagi bulan Januari dan Februari masih belum diterima sehingga semalam.

“Saya sedih dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden FAP dalam akhbar hari ini (semalam). Ia sama sekali tidak benar kerana dia kata tidak timbul isu gaji tertunggak. Ia bohong.

“Malah pemain sebenarnya turut dianiaya oleh FAP. Pada awal musim, mereka dijanjikan gaji sekitar RM3,500 hingga RM4,000 sebulan.

“Tapi sehari sebelum tarikh tutup pendaftaran, nilai gaji dalam kontrak hanyalah RM2,000 sebulan bagi setiap pemain,” kata sumber rapat FAP kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan Zahrain yang mahu menyiasat kemungkinan pemain-pemain Pulau Pinang menjual perlawanan sehingga menyebabkan pasukan itu kini menduduki tangga tercorot Liga Premier.

Pulau Pinang tewas kesemua lima perlawanan Liga Premier setakat ini iaitu kepada Sarawak (0-4), Pos Malaysia (0-4), Sime Darby (2-3), MP Muar (2-3) dan USM FC (0-3) selain tewas 1-5 kepada Johor pada pusingan pertama Piala FA.

Tambah sumber itu lagi, apabila gaji sudah dua bulan tidak dibayar, skuad bimbingan Robert Scully yang sedang dalam proses mencari keserasian kerana dibarisi 90 peratus pemain baru musim ini gagal memberikan perkembangan positif.

“Apabila gaji tiada, pemain hanya dapat beraksi ala kadar dan tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya. Anggapan Zahrain bahawa para pemain menjual perlawanan juga tidak benar dan keterlaluan.

“Apabila ia keluar dalam akhbar, apa perasaan keluarga, isteri dan anak-anak para pemain yang membacanya. Ia menjatuhkan maruah para pemain dan negeri Pulau Pinang sendiri.

“Sebagai rakyat Pulau Pinang, saya sedih dan malu. Zahrain sepatutnya turun padang, bukannya mencari alasan lain untuk melepaskan tanggungjawabnya selaku Presiden FAP,” jelas sumber itu.

Monday, March 7, 2011

Pemain Pulau Pinang disiasat (Kosmo Online)

AKSI buruk dan tidak konsisten skuad Pulau Pinang yang kini menduduki tangga tercorot Liga Premier nyata tidak disenangi.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim berkata, prestasi skuad Harimau Kumbang yang tewas kesemua lima perlawanan termasuk menentang pasukan bawahan amat memalukan.

Malah katanya, ada pihak menganggap mereka (pasukan) ini telah menjual perlawanan.

"Amaran saya kepada pemain cukup mudah, tunjukkan prestasi atau dibuang.

"Kebanyakan mereka adalah pemain profesional dan kita juga akan siasat apakah punca sebenarnya perkara ini berlaku," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang semalam.

Menurut beliau lagi, isu gaji tidak timbul kerana FAP telah membayar gaji termasuk jumlah yang tertunggak kepada semua pemain seperti yang dijanjikan.

Tegas beliau, yang menghairankan ialah para pemain dapat beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi mempamerkan aksi rapuh dan hilang rentak pada separuh masa kedua sehingga mudah menyerah kalah.

"Perkara yang memalukan ini bukan pertama kali berlaku tetapi hampir dalam setiap perlawanan musim ini hingga menimbulkan persoalan kepada penyokong tempatan.

"Justeru, FAP telah menubuhkan satu jawatankuasa pemantau yang diketuai bekas jurulatih pasukan, Abdul Shukor Salleh bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan," ujarnya.

Difahamkan, jawatankuasa itu turut diberi mandat sepenuhnya untuk menyiasat serta mencari bukti sekiranya terdapat unsur jual perlawanan yang membabitkan pemain pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, badan pengurusan FAP juga akan mengadakan sesi dialog bersama Kelab Penyokong Bola sepak Pulau Pinang iaitu Penang Panthers dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah dan mencari jalan penyelesaian.

Jelas Zahrain, pertemuan itu penting kerana skuad Harimau Kumbang perlu mencari rentak untuk mengembalikan kepercayaan penyokong kepada pemain serta pihak pengurusan FAP pada saingan musim depan.

Tuesday, March 1, 2011

FAP tubuh jawatankuasa pemantau pasukan (Sinar Harian Online)

PEMAIN Harimau Kumbang yang tidak menunjukkan permainan konsisten dan bersemangat ketika beraksi berkemungkinan dipecat jika masih leka sehingga menyebabkan pasukan itu kalah teruk.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim berkata, beliau malu dengan aksi dan kualiti permainan yang ditunjukkan pemain sepanjang musim ini sehingga ada yang beranggapan setiap permainannya sudah dijual.

Beliau berkata, prestasi yang ditunjukkan pasukan Pulau Pinang sehingga kini sangat mendukacitakan seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk memalukan FAP.

“Semalam (kelmarin) saya memanggil jurulatih untuk mendengar penjelasannya mengenai prestasi pemain namun dia hanya menjawab tidak tahu.

“Saya arahkan dia (jurulatih) memaklumkan perkara ini kepada pemain dan berharap baki tiga perlawanan mereka akan menunjukkan perubahan dengan mempamerkan aksi lebih baik,” katanya pada sidang media di pejabat FAP di sini, semalam.

Sehubungan itu, FAP menubuhkan satu jawatankuasa pemantau pasukan Liga Premier bagi mengenal pasti masalah sebenar yang berlaku sehingga pasukan itu kalah teruk kepada pasukan tidak handal.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan diketuai bekas jurulatih, Abdul Shukor Salleh dan berperanan untuk meneliti, memantau dan mengenal pasti segala kelemahan yang ada dalam pasukan itu.

“FAP memberi mandat sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk mengambil apa-apa keputusan sekiranya mereka dapat membuktikan ada unsur jual permainan atau usaha pihak tertentu untuk memalukan FAP.

“Apa yang menghairankan pada beberapa perlawanan, pemain beraksi baik pada separuh masa pertama tetapi mereka hilang rentak permainan apabila masuk separuh masa kedua sehingga bolos empat atau lima gol.

“Perkara ini bukan sekali atau dua kali berlaku tetapi beberapa perlawanan. Itu yang menimbulkan persoalan,” katanya.

Zahrain tidak mahu menuduh ada unsur menjual permainan melibatkan pasukan Pulau Pinang tetapi prestasi pemain menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi sedemikian.

Menurutnya, masalah gaji tertunggak bukanlah isu utama yang menyebabkan mereka bermain dengan tidak konsisten kerana FAP sudah melunaskan kepada semua pemain.

“Kebanyakan pemain kita adalah profesional dan kita akan siasat punca sebenarnya masalah ini berlaku.

“Jika ada pemain yang tidak menunjukkan sebarang perubahan, kita akan beri surat amaran dan selepas tiga kali, kita akan singkirkannya dari pasukan.

“Disiplin pemain mesti ditingkatkan untuk mengembalikan sokongan penyokong. Saya tahu ramai yang kecewa dengan aksi pemain.

Sebagai presiden saya pun malu. Saya hanya mampu minta maaf dan akan berusaha memantapkan kembali pasukan Pulau Pinang,” katanya.

Friday, December 17, 2010

PP mampu bentuk skuad mantap (Harian Metro Online)

PULAU Pinang melengkapkan senarai 22 pemain Liga Perdana dengan kehadiran bekas pemain tengah Kuala Lumpur, Mohd Arsyad Mohd Ayob, 31, yang akan dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam erti kata lain, cabaran negeri utara tanah air itu dipikul 16 pemain luar dan enam pemain tempatan.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Ariffin Yatim yakin jurulatih baru, Robert Scully mampu membentuk skuad mantap.

“Ramai pemain tempatan hadir pada sesi pemilihan tetapi mereka tidak memperlihatkan kesungguhan dan kematangan meyakinkan,” katanya.

Ariffin turut menafikan dakwaan kononnya FAP sengaja mengetepikan pemain tempatan.

Thursday, December 16, 2010

FAP janji bonus (Harian Metro Online)

SEMUA pemain terpilih menyarung jersi Pulau Pinang bagi menghadapi Liga Perdana bermula pertengahan Januari ini boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mengumumkan mereka bakal menerima bonus jika berjaya mencatat kemenangan.

Begitupun, jumlah bonus itu tidak diumum sebaliknya FAP mengakui pemberian itu setimpal dengan taraf negeri berkenaan yang akan bertarung pada Liga Perdana.

Pada musim lalu, pemain menerima bonus hasil daripada jualan tiket di pintu masuk stadium tapi FAP melihat cara itu tidak sesuai kerana jumlah diterima pemain terlalu kecil.

“Musim lalu, jumlah kehadiran penonton terlalu sedikit, tidak sampai 100 orang, sudah tentu bonus diterima pemain tidak berbaloi jika diambil kira jumlah jualan tiket,” kata Setiausaha FAP, Ariffin Yatim.

Menurutnya, mulai tahun ini, FAP mengutamakan pemain di samping melegakan mereka yang bergaji kecil tidak seperti negeri lain.

“FAP bercadang membayar bonus jika menang di tempat lawan ataupun gelanggang sendiri. Kami yakin pemain akan memperlihatkan persembahan lebih menarik untuk mencatat kemenangan,” katanya.

Wednesday, December 15, 2010

Bajet FAP dikurangkan (Harian Metro Online)

PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) hanya mampu menyediakan peruntukan RM40,000 sebulan untuk membayar gaji kepada 21 pemain yang akan menghadapi Liga Perdana musim terbaru bermula pertengahan Januari ini.

Jumlah itu tidak termasuk gaji jurulatih serta pegawai pengurusan dan bajet itu sudah dimaklumkan kepada semua pemain dalam satu perjumpaan khas di Rumah FAP di Jalan Scotland, semalam.

Setiausaha FAP, Ariffin Yatim berkata, bajet Liga Perdana musim ini dikecilkan kerana persatuan menghadapi masalah kewangan meruncing.

“Kami terpaksa menjimatkan belanja untuk membayar gaji pemain dan pegawai termasuk jurulatih baru, Robert Scully,” katanya.

Menurutnya, FAP tidak mampu berbelanja besar seperti negeri lain kerana tidak mahu berakhir dengan hutang yang membebankan semua pihak.

“Pemain bersetuju dengan bajet diumumkan. Ramai pemain luar dari Pulau Pinang bersedia menerima gaji rendah,” katanya.

Daripada 21 pemain disenaraikan untuk dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya enam saja pemain musim lalu dikekalkan.

Mereka ialah Kugen Subramaniam, Mohammad Idzwan Salim, K Kuyilan, R Paremeswaren, Ramat Najib dan Khairul Azri Jamal Abd Haziq.

Untuk melengkapkan senarai pemain, Pulau Pinang mendapatkan khidmat 17 pemain luar dan FAP bersyukur kerana mereka bersedia menerima gaji rendah tidak seperti dinikmati ketika mewakili pasukan masing-masing musim lalu.

Penjaga gol Perak musim lalu, Megat Amir Faisal Ibrahim (gambar) mengetuai pemain luar yang menyarung jersi Pulau Pinang.

Megat Amir yang berasal dari negeri itu pernah mewakili skuad kebangsaan ke kejohanan bertaraf antarabangsa sebelum ini dan pengalamannya pasti membantu Pulau Pinang.

Turut mengikut jejak Megat Amir bermain dengan skuad Harimau Kumbang ialah S Sathiakumaran dan Mohd Arif Fazlie Saidin.

Pemain luar lain yang mewakili Pulau Pinang ialah Mohd Hafidz Romly dari KL Plus, S Kumaresan (Johor), Hafizi Roslee (PKNS), Muhamad Riduwan Ramlee (Kedah), Wan Zain Wan Azizan (Kedah), Noorshahheirmiezal Sharudin (Kedah), Rizal Ahmad (Felda United), Mohd Noraslan Makhtar (USM), Abd Latiff Suhaimi (Melaka), Premnath (Selangor), Suvinart (Perlis) dan Muhammad Elfie Harizam (Perlis). FAP melantik Teoh Soo Beng sebagai pengurus baru pasukan itu.

Sunday, February 28, 2010

Selangor menang tipis di Batu Kawan (Utusan Malaysia)

NIBONG TEBAL - Pendahulu Liga Super, Selangor nyaris dikejutkan pasukan bawahan Pulau Pinang apabila sekadar menang tipis 1-0 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini, semalam.

Jaringan Rudie Ramli pada minit ke-77 memberikan tiga mata berharga kepada skuad Red Giants apabila lorongan cantik pemain gantian Mohd. Safee Sali berjaya memberikan mata berharga buat Selangor.

Barisan pemain muda Pulau Pinang ternyata memberi saingan sengit kepada skuad kendalian K. Devan itu apabila berjaya mengikat permainan tanpa sebarang gol pada babak pertama.

Selangor hampir membuka jaringan seawal minit kesembilan apabila Rudie Ramli menanduk kemas hantaran jauh Mohd. Zaiza Zainal Abidin, namun bola berjaya ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata.

Pulau Pinang turut mendapat peluang menjaringkan gol tetapi rembatan jauh ketua pasukan, V. Jaganathan pada minit ke-26 dinafikan Hamsani Ahmad yang ampuh di pintu gol Selangor.

Tanpa kelibat Amri Yahyah yang digantung permainan, skuad bimbingan K. Devan sedikit goyah dan barisan serangan mereka terus buntu menembusi pertahanan tuan rumah.

Keputusan tipis itu bagaimanapun membuatkan Selangor menarik nafas lega kerana berjaya menjarakkan lima mata dengan Terengganu di tangga kedua yang kini mengutip 14 mata.

Selangor kini mengumpul 19 mata selepas lapan perlawanan manakala Skuad Harimau Kumbang terus menghuni dasar liga dengan hanya empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...