Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Lions XII (Singapura). Show all posts
Showing posts with label Lions XII (Singapura). Show all posts

Saturday, October 5, 2013

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, Jumaat.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

Dalam pada itu, juara dua kali, Pahang turut mengikuti jejak langkah ATM selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pahang mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh yang menumpaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada suku akhir pertama, Jumaat lepas, bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Matias Ruben Conti pada minit ke-28.

Azamuddin Mohd Akil terus menambah duka untuk skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol kedua pada minit ke-60 sebelum Muhammad Khairu Azrin Khazali merapatkan jurang jaringan untuk Selangor PKNS FC pada minit ke-65.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

Thursday, March 8, 2012

Lions XII Kalahkan Felda United 3-1

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Lions XII dari Singapura mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United dalam perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, Selasa.

Pada perlawanan itu, pemain tengah Hariss Harun membuka tirai jaringan untuk pasukan rumah pada minit keenam, selepas berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol pelawat.

Raimi Mohd Noor menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi sepakan percuma yang kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah Hyrulnizam Jumaat.

Sufian Anuar menggandakan jaringan gol pasukan tuan rumah pada minit ke-51 menerusi sepakan leret dari luar kotak penalti untuk menewaskan Mohd Hamsani Ahmad di pintu gol Felda United.

Kapten pasukan Lions XII Shahril Ishak menambah derita pasukan pelawat menerusi gol ketiga pada minit ke-66 selepas pemain tuan rumah Isa Halim dijatuhkan Mohd Lot Hassan dalam kotak penalti.

-- BERNAMA

Tuesday, July 12, 2011

Harimau Muda A Beraksi Dalam Liga Singapura, Young Lions Dalam Liga Super


PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Bermula musim 2012, skuad Harimau Muda A akan bersaing dalam Liga Singapura sementara pasukan Young Lions dari Singapura akan beraksi dalam liga elit Malaysia, Liga Super.

Musim depan juga bakal menyaksikan pertembungan Juara Piala Malaysia menentang juara Piala Singapura sementara juara Liga Super menentang juara Liga Singapura.

Timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata ketiga-tiga siri pertemuan itu merupakan inisiatif terbaru persatuan induk bola sepak negara dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS).

"Kita semua tahu hubungan istimewa FAM dan FAS yang terjalin sejak dahulu.

Pertukaran skuad muda negara masing-masing untuk bersaing di Liga Malaysia dan Liga Singapura serta pertemuan juara-juara dari kedua-dua negara pasti akan mengembalikan nostalgia lama, terutama persaingan di atas padang," katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama melibatkan kedua-dua persatuan induk bola sepak Malaysia dan Singapura di Wisma FAM di sini pada Selasa.

FAM diwakili Setiausaha agungnya Datuk Azzuddin Ahmad sementara FAS oleh Setiausaha Agungnya Winston Lee. Turut hadir presiden FAS, Zainudin Nordin.

Tengku Abdullah berkata FAM dan FAS kini cuba menyesuaikan jadual perlawanan yang melibatkan Liga Super dan Liga Singapura bagi membolehkan Harimau Muda A dan Young Lions beraksi.

Beliau berkata bermula musim depan, skuad Harimau Muda A yang kini dikendalikan Ong Kim Swee mungkin akan berpengkalan di Johor Baharu bagi memudahkan logistik pasukan itu ke Singapura.

Zainudin pula berkata terdapat desakan daripada penyokong di Republik itu yang mahukan skuad mereka beraksi di Liga Malaysia.

"Bagi FAS, langkah menarik Harimau Muda A bersaing dalam Liga Singapura diharap dapat menarik kembali sokongan peminat ke stadium," katanya.

Pasukan Singapura pernah bergelar juara Piala Malaysia sebanyak 24 kali sejak piala itu diperkenalkan pada 1921 sebelum menarik diri pada 1994.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...