Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Badri Radzi. Show all posts
Showing posts with label Badri Radzi. Show all posts

Sunday, May 11, 2014

Kelantan Seri 3-3 Dengan Felda United

KOTA BAHARU, 6 Mei (Bernama) -- Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelangang sendiri apabila seri 3-3 kepada Felda United pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam ini.

Pada separuh masa pertama Kelantan memulakan perlawanan dengan aksi hambar apabila pasukan pelawat lebih banyak melakukan serangan menerusi tiga penyerangnya iaitu Indra Putra Mahyuddin, Edward Junior Wilson dan Zah Rahan Krangar.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas hantaran dari Zah Rahan Krangar dimanfaatkan oleh Edward Junior Wilson yang bijak menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-24, pelawat menggandakan jaringan menerusi bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahyuddin yang menanduk hantaran Zah Rahan Krangar.

Kelantan kemudiannya memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-33 tetapi tandukan Brendan Gal hanya melewati palang gol.

Pasukan pelawat yang kelihatan seperti bermain di tempat sendiri memperoleh gol ketiga pada minit ke-35 hasil jaringan Mohd Khairul Ismail selepas pertahanan pasukan Kelantan gagal mengeluarkan bola dalam kawasan kotak penalti.

Selepas tersentak dengan tiga gol awal dari pasukan pelawat, Kelantan kemudiannya memperoleh gol pertama pada minit ke-40 hasil jaringan Francis Forkey Doe yang bijak membaca hantaran kapten pasukan Mohd Badri Radzi.

Kelantan yang seakan-akan mendapat rentak permainan merapatkan kedudukan jaringan pada minit ke-43 hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani.

Pada aksi separuh masa kedua, skuad 'The Red Warriors" memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Mohamed Shawky Aly, Mohd Fitri Omar dan Khairul Izuan bagi memburu gol penyamaan.

Kelantan kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 hasil jaringan Wan Zaharul Nizam menewaskan penjaga gol pelawat Mohd Farizal.

Felda United hampir memperoleh gol kemenangan pada minit ke-89 selepas Indra Putra Mahyuddin menewaskan Khairul Fahmi Che Mat namun sepakan leretnya itu diselamatkan Nik Shahrul Azim.

Pada aksi separuh akhir kedua, Kelantan akan menentang Felda United pada 31 Mei ini.

KELANTAN Khairul Fahmi Che Mat (GK), Nik Shahrul Azim, Farisham Ismail, Wan Zaharul Nizam Zakaria, Francis Forkey Doe, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Badri Radzi, Zairul Fitree Ishak, Hussein Ala Salman, Brendan Gan.

FELDA UNITED Mohd Farizal (GK), Mohd Rahman Zabul, Yaroslav Krushelnitskiy, Mohd Khairul Ismail, Zah Rahan Krangar, Thanaraj, Solihin Kanasian, Mohd Aizulridzwan, Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahyuddin. Mohd Syahid Zaidon.

-- BERNAMA

Friday, March 14, 2014

Liga Super: Obinna Nwaneri Mampu Sekat Kemaraan Dickson Nwakaeme

KOTA BAHARU, 14 Mac (Bernama) -- Kapten Kelantan Mohd Badri Mohd Radzi menyifatkan pemain import mereka, Obinna Nwaneri mampu menyekat kelincahan penyerang Pahang Dickson Nwakaeme dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV esok.

Mohd Badri yang lebih mesra dengan panggilan Piya berkata ini kerana selaku bekas rakan sepasukan Obinna tahu corak permainan Nwakaeme.

"Kita tahu yang dia (Nwakaeme) memang berbahaya walaupun bermain di pasukan lain, tetapi kita tahu Nwaneri yang telah lama bermain dengannya tahu cara untuk menyekatnya daripada menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau juga mengakui selain gandingan Nwakaeme dan Matias Conti di bahagian serangan, Pahang mempunyai pemain lain seperti R. Gopinathan dan Hafiz Kamal yang mampu memberi masalah kepada Red Warriors.

Akan tetapi katanya, Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri yang harus dimanfaatkan untuk kekal sebagai peneraju liga.

Ketika ditanya mengenai jadual ketat yang dilalui pasukannya apabila perlu beraksi enam perlawanan dalam tempoh 17 hari termasuk pertemuan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Asia), beliau berkata situasi itu menuntut persediaan mental dan fizikal pemain.

"Musim lepas pun macam ini jadi kami perlu menghadapinya dan apa yang penting kita tidak melakukan kesilapan ketika perlawanan," katanya.

Kelantan menjadi pendahulu liga selepas enam perlawanan dengan empat kemenangan dan tewas dua.



-- BERNAMA

Saturday, November 3, 2012

Piya: 'Dengar pandangan Presiden Kafa sebelum hijrah'

ALAUDIN MA
3 November 2012
Mohd Badhri Radzi atau Piya
Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya
 
“PEMAIN masih terikat dengan kontrak. Kita perlu dengar dahulu pandangan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sebelum membuat keputusan ingin berhijrah ke pasukan lain.

“Tan Sri mungkin mempunyai pandangan yang konkrit untuk sama-sama kita terima dan kita tunggu sekembalinya bos kita itu dari menunaikan Haji di Makkah nanti untuk kita bincangkan perkara berkenaan,” kata Kapten Pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi atau lebih dikenali Piya, di Gua Musang, semalam.

Ditanya mengenai kemelut keputusan ada pemain untuk menyertai pasukan lain selepas ini, beliau berkata, setiap pemain ada hak masing-masing untuk membuat keputusan sendiri, tetapi sebaik-baiknya runding dahulu dengan Presiden Kafa nanti.

Kemelut yang timbul itu membabitkan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan hingga sanggup Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menebus kontrak pemain itu dengan TRW.

Dalam kenyataan terbaru Mat Yo, kelmarin menyuarakan tidak menolak kemungkinan meninggalkan Kelantan sekiranya mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain bagi menghadapi  Liga Malaysia musim depan.

Menurut Piya, dia sendiri ada menerima tawaran daripada Selangor dan Terengganu, tetapi setakat ini tidak terfikir untuk berhijrah kerana menganggap lebih selesa berada dengan pasukan negeri sendiri.

“Perkara biasalah dalam pasukan bola sepak untuk memilih pasukan yang mereka suka kerana ingin menukar perubahan sebagaimana rakan-rakan kita yang membangkitkan perkara berkenaan sebelum ini.

“Namun, bagi saya tidak ada yang dikejarnya asalkan kita boleh bermain dengan cemerlang seperti yang kita berada dengan pasukan TRW sekarang yang mempunyai banyak kelebihannya,” katanya.

Beliau mengakui Presiden Kafa itu adalah pemimpin yang dianggap terbaik dan cemerlang yang bukan sahaja dari segi tunjuk ajar, tetapi juga menjaga kebajikan pemain tanpa ada sebarang masalah.

“Kita boleh tengok sendiri kemajuan dan kecemerlangan pasukan TRW sejak diterajui Tan Sri Annuar dan mungkin agak berlainan sekiranya kita menyertai pasukan lain pula,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Friday, October 5, 2012

Piala Malaysia: Piya terkilan dengan kecaman

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Oktober 2012
Mohd Badhri Radzi
Mohd Badhri Radzi
 
KOTA BHARU – “Sebagai pemain, kami juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan," luah Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang nyata kecewa dengan kecaman hebat dilontarkan segelintir penyokong terhadap prestasi terburuk The Red Warriors dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini.

Mengakui terkilan dengan situasi tersebut, Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, tidak ada salah untuk para peminat menyuarakan rasa tidak kurang puas hati mereka, namun biarlah secara berlapik dan tidak menjatuhkan maruah seseorang pemain.

“Memang saya akui itulah aksi terburuk saya (perlawanan dengan Felda United tempohari) pada musim ini. Kalau peminat mahu 100 peratus komitmen dari pemain, kami sebenarnya beri lebih daripada itu. Tak ada mana-mana pasukan pun bermain untuk kalah,” katanya semalam.

Menurutnya, namun, janganlah sampai mengeluarkan kata-kata kesat atau cercaan kepada pemain sehingga melibatkan ibu-bapa mereka.

"Kalau main teruk sedikit kena kutuk, apatah lagi jika kalah, pasti pelbagai tohmahan dilemparkan. Sehingga ada yang menganggap kami jual permainan.

“Kadang-kala saya sedih dengan situasi seperti ini. Kami pun ada keluarga, hati serta maruah yang perlu dijaga.

"Tapi itulah adat bola sepak, ketika menang disanjung, apabila kalah macam-macam kata cacian kami terima. Apa pun kami terima semua ini dengan hati terbuka,” katanya.

Isi hati jeneral padang berusia 30 tahun itu diluahkan setelah tindakan jurulatih, Bojan Hodak mengeluarkannya rentetan prestasi buruk mengundang cemuhan penyokong ketika pertemuan suku akhir kedua menentang Felda United FC di Kota Bharu pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, pemain yang pernah menyarung jersi pasukan PDRM musim 2005 hingga 2007 itu menolak andaian prestasi buruk Kelantan berpunca daripada kemerosotan permainan beliau sendiri.

“Tak adil untuk membuat penilaian sedemikian. Kalau orang kata saya main bagus, jadi Kelantan pun main bagus, itu pendapat yang tidak betul. Bola sepak dimainkan dengan 11 pemain. Semua pemain ada peranan masing-masing, bukan saya seorang yang bertanggungjawab jika pasukan kita beraksi cemerlang,” katanya.

Justeru, menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Selangor malam esok, Mohd Badhri mengharapkan sesuatu kelainan daripada penyokong setia Kelantan dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi menenggelamkan kehebatan pemain Gergasi Merah di Kota Bharu.
Dalam perkembangan sama, pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad menganggap prestasi rakan sepasukannya itu tidak seburuk yang disangka.

“Saya harap peminat faham, prestasi pemain ada turun naiknya. Ada hari kita boleh bermain dengan cemerlang, ada hari kita main teruk. Begitulah yang terjadi kepada Piya.

"Saya pun pernah melalui perkara yang sama. Janganlah nilai prestasi buruk pemain hanya menerusi satu perlawanan sahaja,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Friday, September 14, 2012

Kelantan ada kelebihan - Badhri



KOTA BHARU - Red Warriors mempunyai kelebihan ke atas seteru tradisi Terengganu pada aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini selepas pasukan lawan dilanda kontroversi.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menganggap kontroversi yang melanda skuad Peteh memberikan kelebihan buat Kelantan untuk meraih kemenangan bagi mengesahkan tempat ke suku akhir.

Sehubungan itu, Mohd. Badhri menuntut rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik dan fokus bagi meraih kemenangan.

"Ini peluang terbaik buat Kelantan untuk menebus kekecewaan tumpas 0-2 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan Piala Malaysia.

"Jadi saya harap rakan sepasukan dapat mengulangi aksi terbaik seperti mana yang ditampilkan ketika menumbangkan ATM di Kota Bharu sebelum ini," katanya di sini, semalam.

--- UTUSAN MALAYSIA

Tuesday, May 22, 2012

'Fokus pertahan Liga Super pula'


Oleh Mohd Fitrie Muhamad dan Mohd Nor Asri Yaacob
bhsukan@bharian.com.my
2012/05/21

TAN Sri Annuar Musa bersama Piya mengetuai perarakan Piala FA di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, semalam. - Foto Zulkifle Che Abdullah
TAN Sri Annuar Musa bersama Piya mengetuai perarakan Piala FA di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, semalam. - Foto Zulkifle Che Abdullah

"PIALA FA dah dapat, lepas ini kami fokus untuk kekalkan trofi Liga Super pula."

Itu keyakinan dilaungkan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya, sebaik membantu The Red Warriors menjulang Piala FA buat kali pertama sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 1990, selepas menewaskan 1-0 Sime Darby FC di pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
“Kami cukup gembira dengan kejayaan ini. Ia menjadi idaman sejak sekian lama terutama selepas gagal dalam dua penampilan di final sebelum ini, dan semua pemain sepakat menghadiahkan kemenangan ini kepada presiden (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Kami cukup gembira dengan kejayaan ini. Ia menjadi idaman sejak sekian lama terutama selepas gagal dalam dua penampilan di final sebelum ini, dan semua pemain sepakat menghadiahkan kemenangan ini kepada presiden (KAFA), Tan Sri Annuar Musa. - Mohd Badhri Radzi, kapten Kelantan.
“Selepas Piala FA ini, kami mahu alih perhatian untuk kekalkan status kami sebagai juara Liga Super tapi kami tidak mahu terburu-buru, sebaliknya fokus satu ke satu perlawanan,” katanya.

Skuad Kelantan turut dijanjikan ganjaran RM500,000 dalam bentuk wang tunai dan percutian oleh Annuar sebagai insentif kepada pemain yang mengakhiri pe-nantian 22 tahun saingan Piala FA itu.

Dalam penampilan final pada 2009, Kelantan tewas kepada Selangor manakala tahun lalu, Kelantan yang dikendalikan Datuk M Karathu, tunduk pula kepada pasukan jiran, Terengganu.

--- BERITA HARIAN

Buru Liga Super


BADHRI (kiri) sudah memasang hajat untuk memburu gelaran Liga Super.


SELEPAS berjaya menjulang Piala FA, Kelantan kini berhajat memburu gelaran Liga Super pula.

Demikian tegas kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi selepas membantu pasukannya meraih ge laran juara Piala FA malam kelmarin.

Menurutnya, untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super, dia mahu rakan- rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh pada aksi liga selepas ini.

Pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, Kelantan menewaskan Sime Darby 1-0 menerusi sepakan penalti penyerang importnya, Muhamad Ghaddar pada minit ke-58.

Badhri mahu kemenangan tersebut akan menjadi motivasi terbaik buat mereka untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

“Kami puas apabila berjaya menjulang Piala FA pada edisi tahun ini. Ia merupakan sasaran utama kami terutama selepas gagal dalam dua percubaan sebelum ini.

“Kami mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang begitu banyak memberikan sokongan kepada kami.

“Namun, kami tidak boleh leka selepas muncul juara Piala FA, sebaliknya kami harus meneruskan kerja keras bagi mengekalkan momentum ini untuk mempertahankan status sebagai juara Liga Super,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pada dua penampilan di pentas akhir Piala FA sebelum ini, Kelantan dikecewakan Selangor pada 2009 yang menyaksikan mereka tewas selepas penentuan sepakan penalti.

Pada musim lalu pula, mereka dikecewakan oleh Terengganu pada perlawanan akhir.

“Ini sejarah baharu buat pasukan Kelantan. Memang puas selepas impian menjulang Piala FA sudah tercapai dan ia cukup bermakna kepada semua pemain,” katanya.

--- KOSMO

Thursday, May 17, 2012

Pemain kami tertekan: Badri

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

2012/05/17

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhCH1utPsNuzIxgIrXWnWxmHthiiJgJMmhXpRnIUMA0kDtmcP-_jv1Q1KdUYor3HGtz64O5zoBJPvkhVM76WGAjNIBlrsvAeQzl_QAK3B2GamQnp6l9vL3IzEauOKiQTf71Bc6KXBPuDw/s320/badri+radzi.jpg

KAPTEN Kelantan, Mohd Badri Radzi akur pemain The Red Warriors menghadapi sedikit tekanan memenuhi harapan peminat yang menganggap skuad berkenaan berdepan tugasan mudah membenam Sime Darby yang dianggap kerdil menjelang final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Mohd Badri atau lebih dikenali dengan panggilan Piya berkata, setiap pemain bola sepak perlu pandai menyerap semua tekanan yang ada dan menjadikannya sebagai satu cabaran yang boleh memberi semangat mendapat kemenangan terutama dalam pertemuan penting seperti ini.
“Detik perit yang kami lalui di pentas final Piala FA 2009 dan 2011 yang mana terpaksa akur dengan kekalahan kepada Selangor dan Terengganu juga salah satu faktor yang memberi satu semangat kepada pemain menebus kekecewaan itu di final kali ini.
“Pemain Kelantan sudah bersedia menghadapi pertemuan dengan Sime Darby dan kini hanya terserah kepada keputusan jurulatih mengatur strategi dan memilih barisan terbaik diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata dia dan rakan sepasukan akan mempamerkan aksi terbaik memastikan badi kekalahan di pentas final Piala FA dapat dihapuskan tahun ini dan sekali gus mencipta sejarah membawa pulang Piala FA yang baru ke bumi Cik Siti Wan Kembang buat kali pertama.

“Ingat....Sime Darby akan bermain mati-matian mencipta sejarah selaku pasukan kelab pertama bergelar juara Piala FA. Tapi saya yakin dengan semangat yang tinggi rakan sepasukan yang lain mampu mengatasi sebarang cabaran dan tekanan untuk memburu kejuaraan kali ini.

Piya berkata, pemain Kelantan memang akan dicabar habis-habisan tapi dia yakin dengan strategi dilakar ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, mereka mampu mengatasi sebarang tentangan yang ada.

--- BERITA HARIAN

Sunday, March 4, 2012

Kelantan Tewaskan Negeri Sembilan 2-1

KOTA BAHARU, 4 Mac (Bernama) -- Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Ahad malam.

Kelantan yang bermula garang di hadapan penyokong sendiri tidak perlu menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 hasil rembatan kencang ketua pasukan Mohd Badri Radzi.

Gol pembuka semangat itu menyaksikan pasukan The Red Warriors terus mengasak namun beberapa percubaan tidak membuahkan hasil.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan apabila tandukan Shakir Ali pada minit ke-53 menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Hasrat pasukan pelawat itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagaimanapun tidak kesampaian apabila S. Chanturu menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit terakhir perlawanan.

-- BERNAMA

Saturday, January 28, 2012

Nilai but bola bagi Piya

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
28 Januari 2012
nilai-but

BAGI seseorang pemain bola sepak, anggota mereka yang paling bernilai ialah kaki.

Kerana itu, ia perlu dilindungi sebaik mungkin dengan kasut atau but yang bersesuaian.

Bukan sahaja keselesaan, malah but itu semestinya yang benar-benar menepati rasa hati kerana ia juga adalah pencetus semangat atau sumber inspirasi.

Tanpa but yang sesuai, seseorang pemain mungkin tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan.

Bagi Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi atau dikenali Piya, dia mempunyai kegilaan yang tersendiri terhadap but. Koleksi butnya kini sudah mencecah 18 pasang.

Memakai but bersaiz tujuh, pemain yang berusia 30 tahun itu berkata, koleksi peribadinya itu sentiasa dijaga dan disimpan rapi di dalam almari. Daripada 18 pasang but itu, dua daripadanya berjenama Puma, Nike (empat) dan 12 lagi jenama Adidas. Jenama Adidas F50 yang dijahit dengan nama ‘Piya 16’ merupakan but bola termahal yang dimiliki oleh Mohd Badhri.

Menceritakan mengenai but pertama yang dimilikinya, Mohd Badhri menjelaskan jenama Pro Spec merupakan but yang pertama dipakai ketika dia mula-mula mewakili Kelantan ke Kejohanan Bola Sepak Piala Milo pada 2001.

“Selepas dua tahun, saya menukar kepada jenama Nike yang cukup popular ketika itu. Malah but jenama tersebut paling lama saya gunakan bermula 2003 hingga 2008. Kemudian saya bertukar kepada jenama Puma namun hanya sempat bertahan setahun sahaja.

“Kalau diikutkan memang saya lebih menyukai jenama Puma kerana selesa digunakan namun kerana model yang saya pakai tidak lagi dikeluarkan memaksa saya beralih kepada jenama Adidas sejak tahun lalu.

Sejak itu saya terus jatuh cinta dengan jenama tersebut,” katanya.

Paling mahal bernilai RM1,500

Menurut Mohd Badhri, but paling murah yang pernah digunakannya berharga RM400 berjenama Puma sementara but termahal pula bernilai RM1,500 berjenama Adidas.

“Paling mahal pernah saya gunakan ialah model Adidas F50 yang turut dijahit nama timangan saya sendiri. Terbaru pula, saya menggunakan jenama Adidas model Adizero yang baru sahaja berada di pasaran.

“But baru ini berharga RM780 sepasang dan satu lagi model berharga RM1,300 yang mana ia dilengkapi dengan cip pintar yang dapat mengukur kepantasan dan berapa jauh jarak larian dilakukan ketika beraksi di padang.

“Memang sebelum ini saya mempunyai berpuluh-puluh pasang but namun ada yang sudah dijual secara ‘secondhand’ atau pun diberi percuma kepada saudara mara dan juga rakan-rakan.

“Seumpama kita jaga diri kita, begitu jugalah saya menjaga but bola saya.

Sebaik sahaja menggunakannya, tidak kira selepas sesi latihan atau pun perlawanan, saya akan pastikan but saya dibersihkan sepenuhnya," katanya.

But bola ini sebenarnya ibarat ‘nyawa’ bagi seseorang pemain bola sepak. Biar berharga beribu sekali pun tapi kalau tidak serasi dipakai, pun tidak ada guna juga.

Yang penting setiap but yang dipakai harus sesuai dengan kita.

---SINAR HARIAN

Saturday, January 7, 2012

'Kuasa Piya'

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bharian.com.my
2012/01/06

Mohd Badhri Radhzi

Kapten Red Warriors tekad bantu pertahan gelaran lagi

APA yang berkocak dalam minda Mohd Badhri Radhzi ketika ini adalah memastikan Kelantan dapat mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah dengan apa cara sekalipun apabila menentang Negeri Sembilan, malam esok.

Fokus ketua pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti untuk menang dan menjaga reputasi mereka selaku juara bertahan walaupun akur lawan mereka yang bergelar juara baru Piala Malaysia itu turut ada muslihat menafikan impian besar mereka itu.
“Kami tidak akan ambil mudah perlawanan Sabtu ini (malam esok). Selepas segala persiapan awal misi kami sudah pasti mempertahankan gelaran,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Piya.

Pemain tengah berusia 29 tahun itu menambah: “Negeri Sembilan masih pasukan kuat.

Walaupun ada beberapa tonggak utama mereka berpindah ke pasukan lain musim ini tapi mereka masih ada ramai pemain muda berkualiti dan berpengalaman. Kami perlu berwaspada.”

Bagi Negeri Sembilan kunjungan ke gelanggang harus dengan misi sama.
Ini adalah penampilan ketiga mereka da lam perlawanan Sumbangsih selepas menempuh detik kecewa gagal pada 2004 dan 2010.

The Red Warriors yang juga juara Liga Super, musim lalu berusaha untuk mengekalkan trofi itu buat kali kedua berturut-turut selepas berjaya melakukannya kali pertama, tahun lalu selepas mengetepikan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.

Ketika disentuh mengenai masalah komunikasi dihadapi bersama pemain import sebelum ini, Piya menjelaskan perkara itu semakin berkurangan malah ia bertambah baik dan berharap mampu dipertingkatkan sebelum aksi sebenar.

“Buat masa sekarang, masalah komunikasi dengan pemain import sekarang sudah semakin baik berbanding sebelum ini. Sebelum perlawanan esok, kami perlu terus memperbaiki aspek ini untuk menjamin keputusan yang lebih baik dan apa yang diharapkan kami mampu mengatasinya sebelum perlawanan itu nanti,” katanya.

Walaupun trofi yang dipertaruhkan malam esok bukan lagi dianggap sebagai rebutan utama pasukan bertanding namun kemenangan dalam aksi pertama liga begitu penting sebagai momentum sebelum meneruskan perlawanan seterusnya.

--- BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...