Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Malaysia 2010. Show all posts
Showing posts with label Piala Malaysia 2010. Show all posts

Wednesday, January 26, 2011

Pemain Kelantan dapat ganjaran (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan mengotakan janjinya apabila menyampaikan ganjaran bernilai RM200,000 kepada barisan pegawai dan pemain pasukan Kelantan di atas kejayaan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu.

Majlis Penyerahan Cek Kepada Pemain Pasukan Bola Sepak Kelantan Sempena Kejayaan Menjuarai Piala Malaysia 2010 disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis yang berlangsung di Kota Darul Naim semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Exco-exco Kerajaan Negeri, barisan kepimpinan tertinggi Kafa dan pemain Liga Super Kelantan.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, Kafa merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kelantan di atas kesudian menyampaikan ganjaran kepada barisan pemain dan pengurusan.

“Walaupun kita berhadapan pelbagai ujian seperti kehilangan tiga pemain, penggantungan jurulatih (B Sathianathan), masalah stadium tetapi semangat kental kita sebagai orang Kelantan akan sentiasa menempuhi cabaran.

“Saya beri jaminan kita akan buat segala usaha terbaik untuk memperkasakan pasukan dan menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat setia bola sepak Kelantan. Dan saya mahu pemain tidak terganggu emosi di atas penggantungan jurulatih kita,” katanya.

Sementara itu Datuk Nik Abdul Aziz dalam ucapannya berkata, walaupun nilai ganjaran itu tidak seberapa, tetapi tetap merupakan satu hadiah istimewa daripada Kerajaan Negeri dan diharap menjadi satu pencetus semangat kepada pemain Kelantan untuk terus berjaya pada masa akan datang.

“Saya ingin melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan Kafa, jurulatih dan pemain yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia pada tahun lalu. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh usaha untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pemain, kalau pada 2009 kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan menghadiahkan pakej umrah kepada semua pemain tetapi pada kali ini kita menghadiahkan ganjaran dalam bentuk wang tunai pula atas kejayaan menjulang Piala Malaysia," katanya.

Thursday, January 13, 2011

Kelantan Akan Bayar Intensif Kepada KAFA Sebelum 29 Januari Ini (BERNAMA)


KOTA BAHARU, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Kelantan telah memutuskan untuk membuat bayaran insentif sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam satu majlis sebelum perlawanan Liga Malaysia bermula 29 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata mesyuarat mingguan Exco pada Rabu juga memutuskan untuk membayar insentif kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) RM100,000 kerana berjaya membawa balik piala Emas Raja-Raja kembali ke Kelantan selepas menjuarai kejohanan piala itu baru-baru ini.

"Kita akan menjelaskan bayaran imbuhan kepada kedua-dua persatuan itu sebelum perlawanan sulung Liga Malaysia bermula 29 Jan ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco itu di sini.

Beliau juga yakin, pihak Perbadanan Stadium Negeri Kelantan akan dapat menyiapkan kerja-kerja membaik pulih stadium Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, termasuk lampu limpah dan padang bagi membolehkan perlawanan bola sepak diadakan pada sebelah malam sebelum tarikh berkenaan.

Katanya, ini sebagai memenuhi syarat-syarat piawaian yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, FAM memutuskan KAFA menganjurkan perlawanan bola sepak untuk musim ini pada sebelah siang sekiranya gagal membaikpulih dan menaikkan taraf stadium itu mengikut piawaian.

Mengenai cadangan KAFA untuk memajak Stadium selama 30 tahun dengan nilai RM10 juta seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, Abdul Fatah berkata, setakat ini pihak kerajaan negeri belum menerima cadangan secara rasmi daripada pihak berkenaan.

Katanya, pada mulanya difahamkan kertas kerja cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis KAFA, tetapi ditarik balik tanpa diketahui alasannya.

-- BERNAMA

Saturday, November 6, 2010

Piala Malaysia dipersembah kepada Sultan (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Buat pertama kalinya piala paling berprestij dalam bola sepak negara, Piala Malaysia yang dimenangi pasukan The Red Warriors minggu lalu akan dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, Al-Sultan Kelantan dalam satu majlis santapan yang akan berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Renaissance, Kota Bharu malam ini.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wan Badri Wan Omar berkata, Sultan Muhammad Ke-V akan mencemar duli berangkat hadir ke majlis santapan sempena meraikan kejayaan Kelantan memenangi Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun.

“Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Tengku Panglima dan Kerabat-kerabat Diraja Kelantan juga akan turut hadir dalam majlis itu.

“Pada malam ini, Sultan Muhammad Ke-V akan dipersembahkan dengan trofi Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan Kelantan dengan penuh adat istiadat Melayu Kelantan. Persembahan piala ini akan turut diiringi oleh tujuh pahlawan hulubalang Kelantan dengan berpakaian tradisional bagi menandakan kemegahan seluruh rakyat Kelantan terhadap piala ini.

"Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa bersama Ahli-ahli Majlis Kafa, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) serta penaja-penaja utama pasukan The Red Warriors musim ini juga akan turut sama hadir ke majlis tersebut katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Wan Badri berkata, Annuar Musa sendiri akan mengetuai barisan pemain pasukan juara Piala Malaysia 2010 untuk mempersembahkan piala tersebut kepada Sultan Muhammad Ke-V.

“Beberapa pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan, ketua-ketua jabatan negeri, agensi-agensi jabatan kerajaan persekutuan dijangka turut hadir ke majlis santapan tersebut.

“Orang perseorangan yang turut menjadi penyumbang kepada penajaan pasukan bola sepak Kelantan dan juga wakil daripada kelab penyokong juga akan turut hadir dalam majlis bersejarah itu,” katanya.

Thursday, November 4, 2010

giliran kelantan pula menjulang piala malaysia (Utusan Malaysia Online)

Setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Kelantan kerana buat pertama kali berjaya menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir Sabtu lalu. Kemenangan ini menamatkan penantian selama 89 tahun kalau dikira dari bermulanya Piala HMS Malaya pada tahun 1921.

Kelantan dan Negeri Sembilan buat dua tahun berturut-turut layak ke perlawanan akhir dan nampaknya final pada tahun 2010 ini lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun sudah. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pasukan Kelantan berjaya melangkah ke peringkat akhir sebanyak tiga kali sebelum ini dan hanya pada kali yang keempat mereka berjaya merebut piala yang melambangkan kemegahan sukan bola sepak tanah air.

Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri dengan lebih ramai penyokong pasukan The Red Warriors (hulubalang merah) dengan jumlah keseluruhan penonton kira-kira 90,000 orang. Siapa kata bola sepak tempatan tidak mendapat sambutan?

Sebenarnya Tan Sri Annuar Musa memang sukakan warna merah. Ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, blazer kementerian berwarna merah juga dan dikenali sebagai The Red Jacket. Jadi tidaklah hairan kalau pasukan bola sepak Kelantan turut bertemakan warna merah dan dipanggil The Red Warriors. Saya kira semangat beliau sebagai pemidato yang cukup memukau mahu diterjemahkan melalui pasukan bola sepak Kelantan yang memakai jersi warna merah menyala.

Sebenarnya mana-mana pasukan bola sepak profesional di negara kita sekarang ini pun mampu untuk memenangi piala-piala yang dipertandingkan, termasuk Piala Malaysia oleh kerana setiap FA negeri boleh mengambil pemain-pemain yang terbaik dengan syarat mereka mempunyai kemampuan kewangan dan jurulatih yang baik. Tidak seperti dulu, negeri-negeri terpaksa bergantung kepada pemain-pemain kelahiran negeri masing-masing.

Walaupun begitu, Selangor dilihat paling beruntung kerana pemain dari negeri-negeri lain berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan ketika sukan bola sepak masih bertaraf amatur. Sekarang ini, pemain-pemain berhijrah menurut di mana terdapatnya majikan yang lebih baik dalam menawarkan gaji masing-masing.

Apa yang amat menarik bagi pasukan bola sepak Kelantan ialah kerana ramainya penyokong dan peminat. Paling ramai kalau dibandingkan dengan pasukan-pasukan bola sepak negeri lain. Peminat bola sepak di Kelantan ini cukup istimewa termasuk gelagat mereka semasa menyaksikan perlawanan tidak kira di Kota Bahru atau di stadium yang lain. Akibat dari gelagat penyokong ini juga Kelantan FA terpaksa menanggung beban membayar denda kerana kesalahan yang dilakukan oleh penyokong-penyokongnya.

Kita sedia maklum bahawa pasukan bola sepak Kelantan adalah satu-satunya pasukan yang mempunyai ramai penyokong setia. Penonton yang ramai memberi pungutan tiket yang lebih baik kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan dan juga kepada FAM oleh kerana sebahagian daripada kutipan ini akan dibayar kepada badan induk bola sepak negara tersebut.

FAM patut menimbangkan supaya FA negeri yang berjaya melangkaui satu tahap sumbangan kepadanya melalui kutipan tiket perlulah diberi insentif. Insentif ini bertujuan untuk membezakan negeri-negeri yang mempunyai ramai peminat yang membeli tiket hasil dari usaha mereka membuat promosi pasukan masing-masing dibandingkan dengan negeri-negeri yang kurang pungutan tiketnya. Insentif ini juga akan merangsangkan FA negeri untuk berusaha menambah jumlah penonton dan kutipan tiket dan secara tidak langsung FAM juga akan mendapat faedah darinya. Insentif ini adalah juga satu cara FAM menggalakkan FA negeri untuk bekerja lebih keras untuk berdikari.

FAM boleh membenarkan FA negeri mengambil pemain-pemain import yang mana ketika ini dilarang dengan syarat mereka mempunyai kemampuan kewangan. Walaupun demikian, kita perlu melihat juga sama ada pemain-pemain import yang sudah bertapak untuk jangka masa yang lama berjaya atau tidak mempertingkatkan prestasi pasukan kebangsaan kita.

Jarak antara tahun 1989 dengan tahun 2009 di mana pasukan bola sepak negara berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah cukup lama. Sekali pandang pemain-pemain import ini tidak memberi apa-apa bantuan dalam memajukan pasukan kebangsaan kita. Dalam pada itu, Kelantan FA juga sudah membuktikan bahawa tanpa pemain-pemain import, stadium mereka tetap penuh juga.

Lebih 10,000 banjiri saksi Piala Malaysia (Utusan Malaysia Online)


Annuar Musa dan Indra Putra Mahayuddin (atas kereta) diberi sambutan raksasa di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam. Kelantan membawa pulang Piala Malaysia selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-1.


KOTA BHARU - Lebih 10,000 peminat setia pasukan The Red Warriors membanjiri pekarangan Kelantan Trade Centre (KTC) untuk meraikan kejayaan Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali pertama di sini, semalam.

Meskipun hujan renyai sejak awal pagi, ia tidak menghalang para penyokong untuk melihat piala berprestij itu dengan lebih dekat.

Menariknya, trofi tersebut mengharungi perjalanan jalan darat sejauh hampir 500 kilometer bermula dari Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Kuala Lumpur sebelum tiba di Kota Bharu kira-kira 6.30 petang.

Trofi tersebut diarak dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda, diikuti bas yang membawa para pemain Kelantan melalui beberapa jalan utama di bandar Kota Bharu singgah di KTC untuk dipertontonkan kepada peminat dan majlis doa selamat.

Pada Majlis tersebut, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa ketika berucap berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh para peminat The Red Warriors.

"Satu majlis meraikan para penyokong akan diadakan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Pada 6 November hadapan, piala tersebut akan dibawa bersama semua para pemain Kelantan menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Mahkota," katanya.

Sementara itu, seorang penyokong dari Kota Bharu, Mohd. Zainuddin Yusof, 47, berkata, keadaan cuaca mendung dan hujan tidak menghalangnya bersama-sama meraikan kejayaan tersebut.

"Saya selaku rakyat Kelantan gembira dengan kejayaan pasukan The Red Warriors. Ini merupaka sesuatu yang harus diingati oleh seluruh peminat.

"Setelah sekian lama menunggu untuk bergelar juara, hari ini impian tersebut sudah tercapai, lebih manis lagi saya dapat menyaksikan sendiri trofi keagungan bola sepak Malaysia dibawa pulang ke bumi Kelantan," katanya.

Tambahnya, ini membuktikan bahawa Kelantan kini sebaris dengan pasukan gergasi bola sepak negara.

Seorang lagi peminat dari Pasir Mas, Fatin Farhan Zainudin, 15, berkata walaupun tidak dapat ke Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lalu, kejayaan Kelantan muncul juara harus diraikan.

Thursday, October 28, 2010

Azizi, Subra terlepas peluang (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Andai ada ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini, pasti dua pemain pertahanan Kelantan, Azizi Matt Rose dan Subramaniam bersedia untuk turun beraksi. Namun itu sekadar omongan kosong kerana kedua-dua tonggak pertahanan Kelantan musim ini bakal menjadi pemerhati pada saat rakan sepasukan berjuang selama 90 minit pada pentas final Piala Malaysia pada Sabtu ini.

Dua nama besar di posisi pertahanan Kelantan musim ini, Azizi Matt Rose dan Subramaniam hampir pasti tersisih daripada senarai 11 pemain yang akan berjuang di padang Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Gara-gara mengalami kecederaan ketika perlawanan separuh akhir pertama menentang Kedah di Alor Setar minggu lalu, Azizi yang berasal dari Perlis manakala Subramaniam dari Perak, bakal menjadi sebahagian daripada penonton bersama penyokong setia Kelantan pada Sabtu ini.

Bagi pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam, perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan kerana tidak dapat membantu Kelantan berjuang menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir pada Sabtu ini.

“Perasaan terkilan kerana tidak dapat memberi sumbangan kepada Kelantan dalam perlawanan akhir nanti. Harapan semoga Kelantan dapat menjulang Piala Malaysia musim ini setelah gagal berbuat demikian pada musim lalu.

“Sudah pasti saya kecewa kerana musim pertama saya beraksi bersama Kelantan pada tahun ini dan kita berjaya melangkah ke perlawanan akhir, namun saya rakan-rakan seperjuangan memberikan persembahan yang terbaik membantu Kelantan menjulang piala buat pertama kali,” katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian semalam.

Sementara itu, seorang lagi pemain pertahanan, Azizi Matt Rose turut merakam detik kekecewaannya kerana gagal membantu Kelantan beraksi dalam perlawanan akhir.

“Ini merupakan kali keempat saya berpeluang beraksi dalam pentas final. Sebelum ini saya pernah merasai bersama dengan pasukan Perlis. Tetapi ini adalah lumrah selaku pemain bola sepak. Kecederaan datang dengan tiba-tiba dalam situasi genting seperti ini.

“Apa nak buat, kecederaan pangkal paha memaksa saya berehat panjang. Saya memerlukan masa dua minggu untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan ini.

“Saya berdoa semoga rakan sepasukan bermain dengan baik, dan saya mahu Piala Malaysia dibawa pulang ke bumi Kelantan buat pertama kali,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...