Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Sumbangsih 2011. Show all posts
Showing posts with label Piala Sumbangsih 2011. Show all posts

Monday, January 31, 2011

Karathu enggan dabik dada (Sinar Harian Online)


GERGASI Pantai Timur, Kelantan mencipta satu lagi lembaran baru apabila menjulang Piala Sumbangsih buat pertama kali setelah membenam Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Berkat bimbingan jurulatih berpengalaman, Datuk M Karathu yang kembali menerajui Red Warriors sejak 18 tahun membawa tuah apabila berjaya menyentap ego Gergasi Merah kuning di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka.

Namun, Karathu enggan angkuh dengan menegaskan Selangor turut memiliki kekuatan tersendiri dan kualiti taktikal serta menyifatkan Amri Yahyah dan Hardi Jaafar sebagai pemain terbaik Selangor.

“Ini satu perlawanan pembukaan yang baik untuk kami sekali gus memungut tiga mata penuh untuk dibawa pulang ke Kota Bharu.

“Saya lihat mereka (Selangor) mempunyai beberapa peluang malah turut diperkuat pemain seperti Amri Yahyah dan Hardi Jaafar yang cukup baik beraksi.

“Namun, apa yang bagus kami dapat atasi Selangor seterusnya meningkat motivasi pemain menjelang perlawanan akan datang,” katanya.

Selepas ini, Kelantan akan melayan kunjungan jirannya, Terengganu di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.

Karathu lulus ujian sulung (Sinar Harian Online)


SHAH ALAM – Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu selain daripada perasaan gembira setelah pasukannya berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali dan turut mengakhiri badi tidak pernah menang ke atas pasukan Selangor di Stadium Shah Alam sejak sekian lama.

Kelmarin, gelanggang keramat Gergasi Merah Kuning menjadi saksi apabila Karathu bukan sahaja berjaya melepasi ujian sulung membantu Kelantan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor, malah menjadi jurulatih pertama membantu skuad The Red Warriors menjulang piala selepas 72 jam diberi tanggungjawab menjadi pengendali baru.

Khamis lalu, Karathu, 67, dilantik sebagai pengendali baru Kelantan menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengeluarkan kenyataan bersifat mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu kepada pihak media.:

“Saya percaya kekuatan pasukan ini walau baru tiga hari bersama mereka, kita mempunyai kebolehan dan serangan berkualiti.

“Pasukan kita ada kekuatan tersendiri selain kita ada barisan pemain pertahanan muda dan penjaga gol yang beraksi cukup bagus,” katanya sejurus perlawanan berakhir.

Beliau berkata, hanya mengerahkan benteng tengah untuk bekerja keras mengekang asakan Amri (Yahyah) dan Hardi (Jaafar) dan saya fikir mereka telah melakukan tugasan tersebut cukup baik pada separuh masa pertama.

“Kita mempunyai dua pemain sayap yang cukup bagus iaitu Nurul Azwan (Roya) dan Solehin (Kannasian Abdullah), mereka memberi 100 peratus dalam perlawanan ini walau saya hanya sempat bersama mereka selama tiga hari, ini sesuatu yang bagus untuk Kelantan,” katanya.

Menurut Karathu, kemenangan ini tentunya melonjak moral pasukan dalam menghadapi perlawanan mendatang.

“Ini adalah perlawanan pertama dan saya fikir tiga mata adalah cukup penting bagi kita.

“Kita akan teruskan momentum ini, kita akan bina tahap keyakinan tinggi kepada pemain kita bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan pasukan Kelantan terhadap Selangor memberikan motivasi yang tinggi kepada pemain.

“Sebagai pemain, mereka harus percaya kepada diri, saya selalu cakap kepada pemain bahawa mereka lebih hebat daripada pemain lain, jangan terlampau merendah diri kepada pemain lawan.

“Saya memuji persembahan keseluruhan pemain Kelantan dalam perlawanan ini, mereka berhak menang dalam perlawanan ini, mereka tidak tertekan sebaliknya memberi tekanan pula kepada pemain lawan,” katanya.

Bukan prestasi terbaik skuad Selangor: Devan (Sinar Harian Online)


PENGENDALI Red Giants, K Devan mengakui perlawanan menentang Kelantan dalam aksi Piala Sumbangsih bukan prestasi terbaik pasukannya.

Malah, kehadiran pemain kebangsaan dalam kem Selangor juga tidak begitu membantu untuk menyekat Kijang daripada berpesta di Stadium Shah Alam, kelmarin.

“Saya akui pasukan Selangor tidak beraksi pada tahap sebenar bertemu Kelantan. Kehadiran pemain kebangsaan juga sedikit menghampakan kerana pemikiran dan tumpuan tidak begitu baik dalam permainan.

“Barangkali mereka mempamerkan aksi cemerlang bersama negara kejohanan Piala AFF Suzuki lalu namun gagal untuk diteruskan bersama pasukan negeri,” katanya.

Jaringan pasukan The Red Warriors menerusi tendangan penalti Norshahrul Idlan Talahan dan sepakan percuma Mohd Badri Razi pada babak kedua meranapkan impian Selangor mencipta hatrik julang Piala Sumbangsih sejak memenanginya pada 2009.

“Kelantan mendapat gol menerusi satu gerakan bola mati iaitu menerusi penalti dan sepakan percuma serta peluang itu tidak dipersiakan mereka.

“Apa pun, saya masih berbangga kerana barisan pertahanan kami hanya tewas menerusi ‘set-piece’ dan bukan dalam bentuk jaringan padang.

“Kami juga memiliki banyak peluang, namun gagal disudahkan dalam bentuk jaringan,” katanya.

Selangor memulakan kempen Liga Super 2011 dengan langkah sumbang setelah tewas 0-2 kepada skuad bimbingan Datuk M Karathu.

Aksi Safee longlai (Harian Metro Online)

BELAJAR dari kekalahan. Harapan itu disuarakan ketua jurulatih Selangor, K Devan selepas skuad Merah Kuning itu bermula dengan langkah kiri pada perlawanan pembukaan Liga Super 2011 kelmarin.

Selain gagal meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri menentang pesaing utama, Selangor juga gagal mencatatkan hatrik untuk meraih gelaran ketiga berturut-turut Piala Sultan Ahmad Shah.

Devan yang kecewa dengan kekalahan 2-0 itu menyifatkan ada pemain gagal mempamerkan persembahan yang sepatutnya.

“Ada pemain tidak memberikan persembahan sebenar terutamanya beberapa pemain kebangsaan yang baru kembali daripada aksi cemerlang di Piala Suzuki AFF. Mereka tidak memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan Sumbangsih itu.

Pada perlawanan itu kapten kebangsaan Mohd Safiq Rahim yang juga pemain tengah Selangor terpaksa dikeluarkan selepas tamat aksi babak pertama selain penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF Mohd Safee Sali yang gagal menembusi gawang Khairul Fahmi Che Mat.

Devan bagaimanapun tetap memuji persembahan keseluruhan pasukannya dengan menyatakan, mereka menguasai permainan terutama pada separuh masa kedua namun nasib tidak menyebelahi.

“Dua gol dihasilkan Kelantan berpunca daripada sepakan percuma. Barisan pertahanan kami tidak dibolosi oleh lawan,” katanya yang pertama kali menggandingkan Mohd Asraruddin Putra Omar dan Yosri Derma Raju di pertahanan tengah.

Pada perlawanan itu, Kelantan membuka jaringan seawal minit kelapan permainan melalui sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan Mohd Razman Roslan di dalam kotak penalti.

Kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi memastikan kemenangan pertama Kelantan untuk merangkul Piala Sultan Ahmad Shah menerusi sepakan percuma pada minit ke-84 menewaskan Mohd Iqbal Suhaimi di gawang Selangor.

Selangor yang juga juara bertahan Liga Super akan meneruskan usaha memburu mata pertama dengan bertandang ke Stadium Utama di Kangar untuk menentang Perlis yang turut tewas kepada Pahang, kelmarin.

Sunday, January 30, 2011

GOMO KELATE GOMO (Kosmo Online)


PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan ke jayaan mereka muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.


KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi.

Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58.

Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang.

Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.

Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol.

Trofi kejuaraan disampaikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Turun selaku juara Piala Malaysia, tekanan hebat terpaksa dipikul Kelantan. Tapi para pemain telah menunjukkan keyakinan diri yang tinggi.

“Ini merupakan kali pertama Kelantan muncul juara dan saya hadiahkan piala ini buat seluruh penyokong setia Kelantan," kata Karathu.

Devan pula berkata: “Gol awal Kelantan menerusi sepakan penalti telah mematikan rentak permainan kami. ”

Pada perlawanan tersebut, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Astro.

Trofi buat Sathia (Utusan Malaysia Online)


Penyerang Selangor, Mohd. Fadzli Shaari (tengah) cuba melepasi dua pertahanan Kelantan pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam. - MINGGUAN/Hafiz Johari


SHAH ALAM - Kelantan mencipta satu lagi sejarah bola sepak tempatan apabila menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama dengan mengejutkan penyandang juara, Selangor 2-0 dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan bersejarah itu pastinya menjadi hadiah istimewa buat bekas jurulatih B.Sathianathan yang digantung, selain penghijrahan lima tonggak utama mereka yang menjulang Piala Malaysia musim lalu.

Segala kemelut tersebut tidak memberi impak besar untuk Kelantan yang mempamerkan aksi penuh bertenaga.

Jaringan penalti menerusi ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha dan gol menerusi sepakan percuma Mohd.Badhri Mohd.Radzi sudah cukup buat Red Warrios mengecewakan Selangor yang berhasrat memburu kejuaraan hatrik Piala Sultan Ahmad Shah.

Sepakan penalti Kelantan berpunca daripada tindakan bek kanan Selangor, Mohd. Razman Roslan yang menjatuhkan Mohd. Nurul Azwan Roya di dalam kawasan sendiri pada minit kelapan.

Norshahrul mudah menewaskan Mohd Iqbal Suhaimi apabila melepaskan sepakan kencang ke arah kiri, ketika penjaga gol Selangor itu memilih merebahkan badan ke sebelah kanan.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd.Badhri Radzi menutup sisa kebangkitan tuan rumah pada minit ke-84 menerusi sepakan percuma, apabila melakukan rembatan lencong yang cantik dari arah sebelah kanan pintu gol Selangor yang gagal dijangkau Iqbal.

Bertambah manis buat Kelantan, anugerah Pemain Terbaik Perlawanan diraih oleh penjaga golnya, Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata taruhan terbaru Kelantan meletakkan K.Soley atau nama Islamnya, Solihin Kanasian, Mohd.Nurul Azwan Roya dan Danial Fadzley menggantikan ketiadaan Indra Putra Mahayuddin serta Mohd.Nor Farhan Muhammad cukup menjadi dalam perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan yang dihadiri kira-kira 40,000 penyokong itu, Kelantan dilihat cukup menyerlah pada separuh masa pertama melalui penguasaan di bahagian tengah yang cukup kemas oleh Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Mohd. Shakir Shaari.

Red Giants turut berpeluang mendapatkan jaringan menerusi percubaan terbaik Safee Sali pada minit ke-31, namun tandukannya terkena tiang walaupun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Ketangkasan Khairul Fahmi yang juga penjaga gol kebangsaan ternyata sukar dijinakkan oleh barisan serangan Selangor, yang bagaikan tidak bermaya di segenap penjuru malah kelibat Safee serta Safiq Rahim tenggelam sepanjang permainan.

Perlawanan terganggu seketika apabila pengadil, Mohd.Yusof Mat Karim memberhentikan perlawanan kira-kira 10 minit, ekoran insiden pembalingan objek berhampiran kawasan padang oleh penyokong Kelantan.

Selepas Kelantan memperoleh gol kedua, jurulatih Selangor,K. Devan memasukkan penyerang muda, S.Sritharan dan jentera Selangor dilihat sedikit hidup, tetapi ia sudah terlambat buat Red Giants melakukan kebangkitan ketika Khairul Fahmi tangkas menghampakan setiap percubaan anak-anak buah Devan.

Gergasi Merah Kuning rebah di kaki Kijang (Sinar Harian Online)

KELANTAN mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang Piala Sumbangsih buat kali pertama apabila menewaskan Selangor 2-0 di hadapan kira-kira 35,000 penyokong yang memenuhi Stadium Shah Alam,semalam.

Jaringan menerusi sepakan penalti oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke 6 dan tendangan percuma cantik menerusi Mohd Badhri Radzi pada minit ke-84 sudah cukup buat pasukan bimbangan Datuk M Karathu membawa pulang piala itu ke Pantai Timur seterusnya mengutip tiga mata berharga dalam saingan Liga Super musim ini.

Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan The Red Warriors terutamanya penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya merantai pergerakan pemain Selangor diketuai penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki, Saffe Sali.

Kemenangan itu disifatkan sebagai hadiah perpisahan buat bekas Ketua Jurulatih Kelantan sebelum ini, B Sathianathan yang mesra dipanggil Abe Ya dalam kalangan pemain The Red Warriors.

Bagi Selangor, kekalahan ini bermakna mereka gagal mencipta hatrik untuk gelaran Piala Sumbangsih sejak memenanginya pada 2009.

Malah, kegagalan jentera tengah Red Giants yang diterajui Amri Yahyah membuatkan mereka berputih mata di gelanggang sendiri musim ini.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan menjadi milik penjaga gawang Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat.

Perlawanan terhenti tujuh minit (Sinar Harian Online)



KECOH seketika apabila Perlawanan Piala Sumbangsih antara pasukan Kelantan dan Selangor terpaksa dihentikan tujuh minit pada separuh masa kedua, selepas penyokong Kelantan bertindak agresif dengan membaling objek ke tengah padang.

Segelintir penyokong Kelantan dilihat membakar mercun dan membaling ke tengah laluan trek bersama botol serta cawan minuman kerana tidak berpuas hati dengan pengadil permainan.

Perlawanan babak kedua itu bagaimanapun terpaksa dihentikan pada minit ke 62, selepas penyokong Kelantan berdegil untuk menghentikan perbuatan mereka.

Pihak pengurusan stadium juga terpaksa mengeluarkan arahan di papan markah meminta penyokong bersabar dan berhenti membaling objek ke tengah padang, namun tidak diendahkan.

Keadaan bagaimanapun kembali pulih sebelum perlawanan disambung kembali pada minit ke 71.

Kelantan julang piala lagi (Sinar Harian Online)


SHAH ALAM – Genap tiga bulan menjulang Piala Malaysia, Kelantan sekali lagi mencipta sejarah baru apabila muncul juara Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali setelah mengalahkan Selangor 2-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ini merupakan kejuaraan pertama pasukan The Red Warriors memenangi piala tersebut sejak ianya mula dipertandingkan dalam pentas bola sepak negara 27 tahun lalu.

Pertembungan Selangor dan Kelantan, bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah musim dipilih, berdasarkan kriteria Selangor yang muncul sebagai juara Liga Super dan Kelantan pula dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia musim lalu.

Beraksi di hadapan hampir 40,000 penyokong dengan sokongan padu yang seimbang oleh kedua-dua penyokong, Kelantan yang mendapat sentuhan jurulatih baru, Datuk M Karathu tiga hari lalu, membuktikan kemelut yang membelenggu pasukannya sebelum ini tidak menghalang impian mereka untuk meruntuhkan keyakinan tinggi pasukan Red Giants untuk mempertahankan kejuaraan di halaman sendiri.

Kelantan yang melakukan sepak mula terlebih dahulu, menguji kekentalan pintu gol Selangor seawal minit pertama perlawanan menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi namun sepakannya sedikit melewati palang.

Pada minit kelapan, Kelantan diberikan sepakan penalti apabila bek kanan Selangor, Mohd Razman Roslan menjatuhkan Mohd Nurul Azwan Roya didalam kotak penalti.

Penyerang prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha mudah menyepak masuk ke sebelah kiri pintu gol menewaskan Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor kembali menggandakan asakan menerusi serangan balas pada m-12 melalui Mohd Shafiq Rahim namun lorongannya terlalu jauh untuk disambut Mohd Safee Sali.

Selang seminit kemudian, Selangor hampir menyamakan kedudukan namun percubaan pemain kebangsaan Mohd Shafiq daripada luar kotak penalti diselamatkan pemain pertahanan Kelantan diatas garisan gol. Dominasi Selangor berterusan selepas itu apabila mempunyai dua peluang terbaik melalui Mohd Hardi Jaafar pada m-17 dan 20 namun percubaannya jauh tersasar daripada pintu gol Kelantan.

Namun anak buah pengendali baru, M Karathu jelas tidak mahu mengalah apabila turut mempunyai peluang menambahkan gol pada m-23 hasil situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Selangor tetapi kuisan Muhd Badhri sedikit melewati palang.

Pada m-32, Mohd Safee merakamkan kehampaan apabila tandukannya hasil hantaran lintang Mohd Shafiq terkena palang gol Kelantan biarpun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas. Sementara pada minit-minit akhir separuh masa pertama, kehebatan Khairul Fahmi sekali teruji menerusi percubaan jarak jauh 35 meter oleh Mohd Hardi yang hampir memerangkap beliau di gawang gol Kelantan.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi permainan pantas dan menghiburkan apabila saling menyerang ke pintu gol pasukan masing-masing. Pada m-52, Selangor sekali lagi hampir menyamakan kedudukan apabila hantaran jauh Mohd Amri ditampan Mohd Safee menerusi kuisan mengelirukan namun Khairul Fahmi berada tepat pada masanya menyelamatkan pintu gol Kelantan.

Pada m-61, giliran Kelantan pula membalas serangan menerusi lorongan Muhd Badhri yang ditampan kemas Mohd Nurul Azwan yang kemudian membawa masuk bola ke dalam kotak penalti tetapi sepakan kencangnya diselamatkan Mohd Iqbal.

Pada m-62, pengadil perlawanan Mohd Yusof Mat Karim terpaksa menghentikan perlawanan kira-kira 10 minit gara-gara tindakan penyokong Kelantan membaling mercun dan botol minuman ke kawasan padang.

Selang 13 minit kemudian, Mohd Safee sekali lagi kempunan untuk meletakkan bola ke dalam jaring apabila rembatan jarak jauhnya mudah dibaca Khairul Fahmi. Sementara itu, percaturan Jurulatih Selangor, K Devan mengeluarkan Ketua Pasukan, Mohd Amri dan memasukkan S Sritharan selepas itu tidak banyak membantu menguatkan jentera serangan pasukannya.

Pada m-84, Stadium Shah Alam sekali lagi bergema dengan sorakan setia penyokong The Red Warriors apabila sepakan percuma Muhd Badhri menerjah jaring seterusnya menewaskan Mohd Iqbal menghasilkan gol kedua Kelantan.

Sementara dua percubaan pemain gantian, S Sritharan pada masa kecederaan sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi turut diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan malam tadi. Kejayaan mengatasi Selangor dengan kemenangan dua gol, membolehkan Kelantan mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini, di samping menamatkan rekod tidak pernah menang di Stadium Shah Alam sejak sekian lama.

Liga Super 2011: Kelantan beri amaran awal (Utusan Malaysia Online)

29/01/2011 11:18pm

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan memberikan amaran awal dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2011 setelah menumpaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan sumbangsih dalam meneruskan saingan Liga Super musim ini.

Sepakan penalti penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan bebas ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi pada setiap babak permainan, turut memastikan tiga mata sulung liga buat Wira Merah di Stadium Shah Alam.

Juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan pula mengorak langkah kanan dalam Liga Super 2011 dengan menumpaskan Harimau Muda A 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Tiga mata turut digenggam satu lagi tuan rumah, Pahang selepas menumpaskan Perlis 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan Saiful Nizam minit ke-14, sepakan penalti R. Surendren (42) dan Mohd. Alafi Mahmud (73).

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, tuan rumah terlepas tiga mata apabila diikat Perak 1-1 biarpun mendahului menerusi Mohd. Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-12 sebelum disamakan oleh Shafiq Jamal, minit ke-66.

Tiga keputusan seri tanpa jaringan pula tercatat dalam perlawanan Terengganu-Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Johor FC-Felda United di Stadium JCorp, Pasir Gudang dan Kedah-T-Team di Stadium Darulaman, Alor Setar. - Utusan

Keputusan

Selangor 0 Kelantan 2

Terengganu 0 SABAH 0

Kuala Lumpur 1 Perak 1

Johor FC 0 Felda United 0

Kedah 0 T-Team 0

Negeri Sembilan 1 Harimau Muda A 0

Pahang 3 Perlis 1

Saturday, January 29, 2011

Hajat kapten Amri (Kosmo Online)


AMRI (kanan) tidak rela Piala Sultan Ahmad Shah terlepas ke tangan Kelantan.


KAPTEN Selangor, Amri Yahyah berpeluang melakar sejarah tersendiri menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah buat kali ketiga berturut-turut apabila berdepan Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini.

Amri yang sudah mencecah usia 30 tahun pada 21 Januari lalu dilantik sebagai kapten Selangor pada 2009 dan trofi pertama berjaya dijulangnya selaku kapten ialah Piala Sultan Ahmad Shah.

Pada ketika itu, Amri cemerlang meledak dua gol ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 pada aksi sumbangsih 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Musim lalu pula, Amri sekali lagi mengetuai Selangor untuk menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi sumbangsih yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Justeru malam ini, Amri bertekad membawa Selangor menjulang trofi tersebut buat kali ketiga dan lebih bermakna, di gelanggang sendiri berbanding dua edisi sebelum ini.

"Saya dan rakan-rakan akan berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik kami pada perlawanan esok (malam ini) dan sudah tentu kami mahu menang sekali lagi aksi sumbangsih untuk musim ini.

"Semangat kami kali ini pasti lebih membuak-buak kerana mahu membalas dendam kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia musim lalu.

"Atas alasan itu serta beraksi pula di tempat sendiri, kami semua akan beraksi habis-habisan untuk memastikan kemenangan milik Selangor," kata Amri pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.

Perlawanan malam ini turut bakal menyaksikan pertembungan pemain-pemain kebangsaan yang membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu.

Selangor memiliki enam pemain kebangsaan iaitu Amri sendiri, Safiq Rahim, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Razman Roslan manakala Kelantan memiliki Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha.

Aksi malam ini turut penting buat Safee, penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 yang mahu sambutan hari lahirnya yang ke-27 hari ini berakhir dengan kegembiraan menjulang piala.

Selangor tak leka (Kosmo Online)


BARISAN pemain dan pegawai skuad Selangor yang mahu pastikan Piala Sultan Ahmad Shah 2011 menjadi milik mereka.


SELANGOR turun memburu kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kesembilan di Stadium Shah Alam malam ini tatkala Kelantan pula baru pertama kali merasai bahang aksi perlawanan sumbangsih itu.

Namun ia tidak sesekali akan membuatkan Selangor mendabik dada dan leka sebaliknya mereka tetap menganggap Kelantan pasukan yang kuat berdasarkan rekod pertemuan musim lalu.

Pengurus merangkap Ketua Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kelebihan nyata milik Kelantan memandangkan daripada empat pertemuan musim lalu, mereka seri tiga kali dan satu lagi perlawanan menyaksikan Selangor tewas.

"Memang kebiasaannya apabila bertemu Kelantan, ia akan menghadirkan kesukaran buat Selangor. Rekod musim lalu pun berkelebihan kepada mereka.

"Apa pun Selangor cuma mengharapkan kehadiran penyokong sendiri dapat melebihi penyokong Kelantan untuk memastikan kelebihan gelanggang sendiri dimanfaatkan," kata Devan pada sidang media di Stadium Shah Alam petang semalam.

Devan turut memberi jaminan bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya malam ini biarpun tanpa kelibat tiga tonggak, Bunyamin Umar, Khairul Anuar Baharum dan Nasriq Baharom.

"Bunyamin belum pulih sepenuhnya, Khairul digantung tiga perlawanan manakala Nasriq mungkin akan berada dalam senarai 18 pemain.

"Untuk posisi pertahanan tengah, saya mungkin akan menggandingkan Yosri Derma Raju dan Asraruddin Putra Omar atau Yosri dan Nasriq. Saya akan tentukan selepas melihat sesi latihan terakhir petang ini (semalam)," jelasnya.

Perlawanan antara Selangor dan Kelantan itu juga dikira pungutan matanya untuk saingan Liga Super dan jika perlawanan berakhir dengan seri, kedua-dua pasukan akan berkongsi satu mata.

Namun tiada aksi masa tambahan 30 minit, sebaliknya penentuan sepakan penalti akan terus dibuat selepas 90 minit masa sebenar permainan untuk menentukan pemenang Piala Sultan Ahmad Shah 2011.

Khairul Fahmi janji sekat Selangor (Utusan Malaysia Online)


Kecemerlangan pada Piala Suzuki AFF bulan lalu pastinya mahu diteruskan oleh Khairul Fahmi Che Mat, apabila pasukannya Kelantan menentang Selangor pada Perlawanan Sumbangsih, hari ini.


KOTA BHARU - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjanjikan aksi terbaik jika diberi tugas mengawal benteng terakhir pasukannya menentang Selangor pada Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, hari ini.

Turun dengan misi membantu Kelantan merangkul kejuaraan pertama Piala Sultan Ahmad Shah, selain memungut tiga mata pada aksi sulung Liga Super musim ini, Khairul Fahmi berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan tersebut.

Menurutnya, walaupun Kelantan dilanda beberapa masalah, ia tidak menjejas tumpuannya menjelang perlawanan itu.

"Segala persiapan berjalan lancar. Untuk perlawanan esok saya akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membantu Kelantan memenangi perlawanan tersebut.

"Walaupun turun tanpa jurulatih B. Sathianathan yang digantung, kehadiran jurulatih baru Datuk M. Karathu memberi semangat buat seluruh pasukan," katanya ketika dihubungi sini, semalam.

Fahmi, kelahiran Kampung Cherang, membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF bulan lalu.

Mengulas pertembungan Kelantan-Selangor, Khairul Fahmi menjangkakan perlawanan sengit.

"Selangor sebuah pasukan yang kuat, mereka ada ramai pemain yang hebat dan berpengalaman. Namun saya dan rakan-rakan tidak akan memberikan laluan mudah buat Selangor.

"Kami akan berjuang bermati-matian seterusnya membawa pulang kejuaraan ke Kelantan, selain mendapatkan tiga mata," ujarnya.

Rekod lalu buat Devan gusar (Utusan Malaysia Online)


K. Devan (kanan) bersama Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim selepas sidang media Perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam. - Bernama


SHAH ALAM - Di atas kertas, Selangor mempunyai barisan pemain yang lebih gah berbanding Kelantan, namun itu tidak membuatkan pengendali Red Giants, K. Devan berasa terlalu yakin.

Devan menganggap Kelantan mempunyai banyak kelebihan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada Perlawanan Sumbangsih merebut trofi Piala Sultan Ahmad Shah di Shah Alam, hari ini.

Devan berkata, mereka gagal mengalahkan Kelantan musim lepas walaupun bertemu sebanyak empat kali.

''Tiap kali bertemu dengan Kelantan, perlawanan sentiasa menjadi sukar. Dalam empat perlawanan musim lalu, tiga daripadanya berakhir dengan keputusan seri dan kami kalah dalam satu perlawanan.

''Oleh itu, saya anggap kelebihan psikologi pada perlawanan esok sudah pasti memihak kepada Kelantan, peluang kami untuk menang agak sukar,'' katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan Perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam, semalam.

Dalam saingan Liga Super, kedua-dua pasukan seri dalam kedua-dua perlawanan, namun pada saingan suku akhir Piala Malaysia, Kelantan menang 3-0 dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, selepas seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam.

Karathu teruskan taktikal Sathianathan (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Tempoh dua hari yang dimiliki oleh pengendali baru Red Warriors, Datuk M.Karathu mencukupi untuk beliau menyusun strategi bagi menghadapi Perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini.

Bekas jurulatih Perak itu berkata, pada pertembungan dengan Selangor, anak-anak buahnya akan turun dengan taktikal yang telah dirancang oleh bekas rakan sejawatnya, B.Sathianathan.

Menurutnya, beliau hanya sempat menjalani latihan selama dua hari bersama pasukan selepas mengambil alih tugas Sathia, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Bagi saya keputusan terbaik adalah mengekalkan taktikal yang digunakan oleh bekas jurulatih Sathia. Tempoh dua hari tidak cukup buat saya untuk mengubah keseluruhan corak permainan pasukan.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan Sathia dan Hashim Mustapa untuk pemain merencanakan taktikal terbaik apabila turun menentang Selangor malam esok (malam ini)," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan untuk perlawanan yang berprestasi tinggi hari ini, iaitu aksi pertama musim ini.

"Masalah ini sering berlaku kepada pemain tempatan. Saya kira Selangor juga berdepan masalah yang sama," katanya.

Karathu menjelaskan, untuk perlawanan hari ini, pasukannya berdepan masalah apabila dua penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha belum pasti diturunkan, selepas mengadu kesakitan pada sesi latihan sejak dua hari.

Tambahnya, lebih memeritkan, beliau terpaksa melupakan khidmat pemain lincah, S. Chanturu yang masih cedera.

"Namun kami masih ada dua penyerang muda yang boleh diketengahkan iaitu Nizad Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.

"Bagi saya ia satu situasi yang cukup baik apabila semua pemain mempunyai keyakinan untuk turun beraksi dan pentas akhir tidak sama dengan perlawanan biasa, saya mahu para pemain beraksi dengan gembira dan buktikan kemampuan," ujarnya.

Karathu menyifatkan Selangor memiliki kekuatan dari segi serangan kerana memiliki pemain yang bagus seperti Safee (Sali), Amri (Yahyah) dan Amirulhadi (Zainal).

"Ini bermakna barisan pertahanan kami perlu bekerja kuat untuk mengekang mereka," ujarnya

Milik siapa? (Sinar Harian Online)






SIAPAKAH yang bakal menjulang Piala Sumbangsih akan terjawab malam ini apabila juara lapan kali, Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam.

Red Giants dibarisi enam pemain Harimau Malaya yang berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki tahun lalu dilihat sebagai pasukan pilihan.

Bagaimanapun, keupayaan Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia musim lalu tidak boleh dipandang remeh.

Kelantan yang dibimbing jurulatih baru, Datuk M Karathu sudah pasti mahu menjulang piala itu buat pertama kali seterusnya mengutip tiga mata berharga sebagai permulaan baik pada Liga Super musim ini.

Selangor dan Kelantan dilihat mempunyai kekuatan seimbang, apa pun tunggu saja perlawanan malam ini yang bakal menyajikan aksi menarik daripada kedua-dua pasukan.

Red Warriors terbayang juara (Sinar Harian Online)



MERAH Kuning atau Wira Merah? Itu persoalan yang bakal terungkai apabila dua gergasi bola sepak negara akan beradu nasib dalam perlawanan sumbangsih pembuka tirai Liga Super, Piala Sumbangsih Shah Alam, malam ini.

Kelantan dan Selangor yang menggabungkan pemain lama dan baru mempunyai kelebihan masing-masing untuk menjulang piala kebanggaan itu.

Selaku Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan ke perlawanan pembukaan Liga Super itu dengan kejutan yang tidak dijangka apabila jurulatih, B Sathianatan terpaksa digantikan dengan jurulatih baru, Datuk M Karathu berikutan keputusan FAM mengekalkan pergantungan bekas jurulatih kebangsaan itu.

Dalam masa sama, persiapan skuad yang sinonim dengan gelaran Red Warriors dikejutkan dengan penghijrahan tiga pemain utamanya, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose dan Nor Farhan Mohamad bamun tetap bersemangat dengan kehadiran M Karathu.

Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sendiri mengakui Kelantan memasuki Liga Super musim ini dengan kecacatan ekoran tindakan luar jangka yang dilakukan pemain tersebut.

Bagaimanapun, Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi atau Piya meminta rakannya bermain seperti biasa serta berusaha meraih kemenangan sebagai membalas kepercayaan peminat.

“Kita turun seperti biasa, bermain dengan tenang sekalipun tanpa Sathia dan suntikan semangat jurulatih baru, Datuk M Karathu memberi

keyakinan kepada kita,” katanya sebelum berlepas bersama M Karathu ke ibu negara, semalam.

Bagi M Karathu, perlawanan pertama kendalian beliau itu cukup getir kerana dia seakan dipertanggungjawabkan untuk mengekalkan rentak cemerlang Kelantan.

“Saya mengikuti perkembangan pasukan Kelantan sebelum ini dan mengenal pasti pasukan ini mempunyai ramai pemain berbakat, saya akan bina semula pasukan ini walaupun beberapa pemain bintang sudah berhijrah,” katanya.

Kelantan hilang dua tonggak (Sinar Harian Online)

KHABAR malang buat pasukan Kelantan, apabila dua tonggak utamanya S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha dilanda kecederaan.

Pengurus pasukan The Red Warriors Azman Ibrahim berkata, Chanturu yang bermain di posisi serangan sudah pasti tidak dapat diturunkan pada perlawanan malam ini.

Bagaimanapun, Norshahrul yang membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali tahun lalu masih diragui sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.

“Chanturu tidak akan bermain malam ini kerana kecederaannya masih belum sembuh.

“Bagi Norshahrul pula, kita akan memantau keadaannya jika cergas dia akan diturunkan,” katanya.

Sementara itu, cerita sama melanda kem Selangor apabila pertahanannya Khairul Anuar Baharom dan perancang Mohd Bunyamin Umar tidak dapat diturunkan.

“Kita tidak dapat turunkan Khairul dan Bunyamin tetapi kita ada pemain lain yang mampu membawa cabaran Selangor malam ini,” katanya.

Detik getir (Berita Harian Online)

2011/01/29

pix_gal0
Dua wira harumkan negara kini jadi 'musuh'

KEDUA-dua pengendali - K Devan dan Datuk M Karathu - harus ceria kerana memiliki limpahan pemain untuk mencongak kesebelasan terbaik bagi pertembungan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, malam ini.

Kelantan akan melangkah turun ke Stadium Shah Alam dengan sedikit perasaan gementar kerana beraksi buat julung kali dalam perebutan piala berusia 26 tahun ini manakala Selangor beranggapan sorakan padu penyokong Merah Kuning akan menjadi faktor pembantu utama dalam merencanakan satu lagi kejayaan di laman sendiri.

Perlawanan membabitkan dua skuad gergasi yang memiliki ramai pemain bintang, termasuk beberapa anggota yang membantu pasukan negara menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu tidak dinafikan bakal menjadi tarikan besar penonton tanah air.

Apapun, Kelantan seperti merendahkan diri apabila menganggap mereka sebagai barisan ‘underdog’ tetapi status selaku juara baru Piala Malaysia harus menyajikan satu lagi aksi terpuji daripada mereka, apa lagi sentuhan Karathu yang kembali menabur bakti selepas kali terakhir membimbing The Red Warriors pada 1993.

Perlawanan tumpuan lain seperti Negeri Sembilan melawan Harimau Muda A serta bekas juara, Kedah bertembung T-Team harus menerbitkan satu lagi saat ghairah kepada penonton ketika Liga Super yang membuka tirai, malam ini ditakrif akan kembali menambat hati penonton yang sudah mula mencintai bola sepak.

Sentuhan Karathu jadi sandaran Red Warriors (Berita Harian Online)

2011/01/29

MAHU dianggap sebagai 'underdog', Kelantan yang gah menjulang Piala Malaysia, musim lalu tidak mahu terlalu yakin dalam perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2011 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pertama kali dapat beraksi dalam perlawanan sumbangsih, keresahan persiapan pasukan The Red Warriors adalah berikutan kecederaan tiga tonggak utama pasukan itu.

“Kami akui Selangor sangat kuat namun pemain Kelantan akan cuba memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan sumbangsih ini untuk memberi kejutan. Kecederaan pemain utama kita - S Subramaniam (pertahanan), S Chanturu (penyerang) dan Norshahrul Idlan Talaha (penyerang) mungkin mengganggu rentak perlawanan,” kata pengurus Kelantan, Azman Ibrahim di sidang akhbar, semalam.
Azman berkata status Norshahrul yang sebelum ini membantu skuad Harimau Malaya membawa pulang Piala Suzuki AFF bagaimanapun belum diketahui dan mungkin dia masih boleh menyertai dalam perlawanan pembukaan musim baru Liga Super itu.

Mengenai jurulatih baru, Datuk M Karathu yang baru saja dua kali berkesempatan menjalani latihan bersama skuad Kelantan, Azman berkata motivasi dan komitmen pemain terhadap jurulatih yang pernah membimbing Kelantan 18 tahun lalu, adalah baik.

“Pelantikan Karathu tidak menjadi masalah buat pemain, lagi pun Karathu pernah membimbing skuad Kelantan pada 18 tahun lalu ,” katanya mengenai Karathu yang baru dilantik menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...