Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Berita Dari FAM. Show all posts
Showing posts with label Berita Dari FAM. Show all posts

Monday, October 7, 2019

Pasukan Liga-M perlu dapatkan lesen kebangsaan, AFC

Tarikh kemaskini: 07/10/2019


Oleh Mazani Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) perlu mendapatkan lesen kelab kebangsaan atau lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme pasukan masing-masing ke arah lebih baik.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John mendedahkan, kegagalan mendapatkan lesen itu bakal memberi impak kepada penyertaan sesebuah pasukan atau kelab, sama ada diturunkan beraksi di liga bawahan negara mereka, atau tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan anjuran AFC, jika layak.

Beliau menjelaskan sikap sambil lewa sesetengah pasukan yang memandang rendah lesen kelab kebangsaan atau AFC, menjadi punca persatuan bola sepak di negara masing-masing tidak meluluskan permohonan pasukan tersebut, untuk beraksi dalam saingan liga utama negara itu.

“Kalau tiada lesen, kita cuma main bola sepak amatur sahaja. Kita harapkan persatuan bola sepak kebangsaan mana-mana (ahli gabungan AFC) untuk menggunakan pelesenan kelab ini, untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan persatuan atau kelab.

“Banyak negara telahpun menaikkan tahap profesionalisme, dengan hanya menggunakan pelesenan kelab yang kita syorkan sebagai salah langkah mesti dan harus dilakukan, kalau ingin bermain bola sepak profesional,” katanya dalam temuramah ekslusif bersama Bernama di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Windsor mengakui penggunaan lesen kebangsaan mendapat sambutan dalam kalangan 47 ahli gabungannya, dengan hampir kesemua mereka telahpun melaksanakan peraturan yang mewajibkan kelab di negara masing-masing mendapatkan lesen berkenaan.

Beliau pada sama turut optimis pelaksanaan lesen kebangsaan dapat dijalankan oleh kesemua 47 ahli gabungannya, dalam beberapa tahun akan datang.

Pengerusi First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif baru-baru ini, mendedahkan hanya 12 pasukan Liga-M iaitu sembilan pasukan Liga Super dan tiga pasukan Liga Premier, lulus permohonan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga-M 2020.

Daripada sembilan pasukan Liga Super itu, hanya enam pasukan - Johor Darul Ta'zim, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Terengganu - diberikan lesen AFC bagi membolehkan pasukan berkenaan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2020, sekiranya layak.

Dua pasukan iaitu Melaka dan PKNS FC, diberikan lesen kebangsaan dengan bersyarat, manakala permohonan kelab PKNP FC ditolak, kerana gagal melengkapkan kriteria yang diperlukan.

Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, FAM mensyaratkan mereka perlu melepasi penilaian dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2019.

Lesen Kebangsaan dan lesen AFC ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja, bagi musim 2020.

-- BERNAMA

Monday, May 5, 2014

FAM Belum Ada Dasar Ambil Pemain Naturalisasi - Tengku Abdullah

KUANTAN, 4 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mempunyai dasar untuk mengimport pemain dari luar negara untuk dinaturalisasikan ke dalam skuad kebangsaan, titah timbalan presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah badan induk bola sepak negara itu tidak pernah membincangkan rancangan itu serta menegaskan ia lebih kepada kehendak individu dan bukan merupakan dasar FAM.

Bagaimanapun, Tengku Mahkota Pahang itu tidak menolak kemungkinan itu pada masa depan.

"Saya tak kata ia tak akan berlaku, mungkin dia (pemain) dapat passport (Malaysia) atas sebab-sebab tersendiri, mungkin dia kahwin dengan orang Malaysia atau dia ada anak orang Malaysia.

"Tapi kalau nak ambil orang luar nak bagi passport Malaysia, saya pun tak setuju. Kalau dia bagus sangat mungkin kita boleh tengok...dia perlu pemain yang luar biasa," titahnya kepada pemberita di sini, Ahad.

Baginda mengulas berhubung hajat penyerang Selangor, Paulo Rangel, 29, untuk beraksi dengan skuad Harimau Malaya jika diberi peluang mewakili negara di pentas antarabangsa.

Terdahulu, Tengku Abdullah, yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), merasmikan Seminar Kejurulatihan dan Pengadilan Hoki di sini.

Sebelum ini, hasrat Rangel, pemain kelahiran Brazil itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan malah jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee turut memberikan reaksi positif terhadap perkara itu.

Kim Swee menyatakan pemain yang berjaya menghasilkan 10 gol dalam 13 penampilan sepanjang saingan Liga Super musim itu diyakini mampu menambah lebih sengat di jentera serangan.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pula menyatakan pendirian sebaliknya atas alasan ia akan membunuh karier seseorang atlet atau pemain bola sepak tempatan.

Sementara itu, Tengku Abdullah, yang juga merupakan calon untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM, 25 Mei ini, mengingatkan ahli gabungan untuk memilih presiden yang terbaik, tanpa rasa takut atau berpihak pada sesiapa.

"Semua (calon) ada kelebihan tersendiri, itu (pemilihan) kuasa yang ada pada ahli gabungan. Saya tak pergi kempen, saya tak buat kempen, saya tak paksa. Pilihlah yang terbaik berdasarkan merit-merit tertentu," titahnya.

Penyandang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sebelum ini bertitah bahawa baginda akan mempertahankan jawatannya walaupun ditentang oleh anakanda, Tengku Abdullah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

Friday, March 21, 2014

JDT Dan Kelantan Didenda Akibat Tindakan Liar Penyokong

PETALING JAYA, 21 Mac (Bernama) -- Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) didenda sejumlah RM19,458.14 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tindakan liar segelintir penyokongnya pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 18 Jan lepas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman berkata JDT didenda selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu memecahkan kereta pengurus pasukan Perak, Datuk Azhar Ahmad; menyalakan suar selepas tamat perlawanan selain gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Beliau berkata setiap pertuduhan berkenaan membawa denda RM5,000 manakala bagi kos kerosakan kereta sebanyak RM4,458.14, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Jumaat.

Selain JDT, katanya pasukan Kelantan didenda sebanyak RM15,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika melayan kunjungan pasukan Sime Darby FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 18 Jan lepas.

Tiga pertuduhan tersebut adalah membakar kertas 'flash card', mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

"Setiap pertuduhan berkenaan dikenakan denda sebanyak RM5,000," katanya.

Dalam pada itu, Ednan berkata jawatankuasa berkenaan akan memanggil dua pemain import JDT dari Argentina; Pablo Aimar dan Luciano Figueroa, minggu depan.

Dua pemain berkenaan dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada pertahanan Pahang, Damion Stewart dari Jamaica pada aksi Liga Super di antara kedua-dua pasukan berkenaan di Stadium Darul Makmur, 7 Feb lepas.

Pada masa yang sama, Ednan memaklumkan pihaknya akan membicarakan insiden 'terowong Larkin' melibatkan pasukan JDT dan T-Team pada minggu depan, namun enggan mengesahkan mana-mana individu bakal dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan jawatan berkenaan.

"Kita akan bincang dengan pihak Sekretariat FAM dan rujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufik Abdul Razak) sebelum membuat keputusan kerana kes ini berprofil tinggi.

"Bukan kita sengaja melambatkan kes ini...kita akan ambil tindakan dan kes berkenaan dijangka selesai dibicarakan pada bulan ini," katanya.

Perlawanan antara JDT dan T-Team diberhentikan selepas T-Team tidak mahu meneruskan perlawanan susulan kekecohan membabitkan kedua-dua pasukan sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA, yang berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan, 1 Feb lepas.



-- BERNAMA

Wednesday, April 10, 2013

FAM Setuju Kuota Tiga Pemain Import Musim Depan

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bermula musim depan, setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana boleh mendaftarkan sehingga tiga pemain import berbanding dua pemain musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara berkenaan telah dipersetujui ahli majlis FAM pada mesyuarat exco yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah di sini hari Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata pasukan yang berminat perlu mengambil sekurang-kurangnya seorang pemain import dari benua Asia, dan mereka tidak dibenarkan mengambil pemain import yang bermain di posisi penjaga gol.

"Kita sedar mengenai bebanan sesetengah pasukan yang terpaksa mengharungi kejohanan penting seperti Kelantan dan Selangor yang bersaing dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Hamidin berkata ahli exco bersetuju dengan penubuhan sebuah jawatankuasa baharu bagi memastikan Liga-M diswastakan sepenuhnya menjelang 2015. Katanya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai oleh beberapa individu yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran sukan di peringkat kebangsaan termasukh wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), universiti-universiti tempatan dan sebagainya.

"Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat dengan AFC dalam masa terdekat dan selepas memperolehi kaedah sebenar (mengenai penswastaaan Liga Malaysia), kita akan panjangkan pada mesyuarat exco akan datang untuk dibincangkan di kalangan ahli exco," katanya.

Hamidin berkata banyak manfaat yang boleh diperolehi menerusi penswastaan sesebuah liga seperti perolehan keuntungan yang tinggi serta boleh bergerak dengan lebih bebas selaku liga bola sepak profesional.

Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata Artikel 88 Statut Perlembagaan FAM yang sering menjadi perdebatan hangat dalam arena bola sepak tempatan akan dibincangkan dengan lebih mendalam pada mesyuarat exco akan datang sebelum di bawa ke Kongres Tahunan FAM ke-49 pada 17 Ogos di sini.

"Kita prihatin dengan perkara ini (Artikel 88) yang banyak dibincangkan di kalangan peminat serta penggiat bola sepak tempatan, maka kita bersetuju untuk membincangkan dengan lebih lanjut," katanya.

Artikel 88 Statut FAM melarang anggotanya termasuk jurulatih dan pemain mengkritik badan induk bola sepak itu melainkan mendapat kebenaran daripada Kongres FAM.

Antara yang menjadi 'mangsa' Artikel 88 ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang didenda sebanyak RM18,000 selain digantung enam bulan oleh Jawatankuasa Tata Tertib FAM pada 8 Mac lepas.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut dikenakan tindakan di bawah Artikel 88 apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu.

Tahun lepas, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, yang merupakan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama.

-- BERNAMA

Monday, April 1, 2013

Tidak Ada Konspirasi Dalaman Untuk Singkir Rajagobal - FAM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak andaian wujudnya konspirasi dalaman untuk menyingkirkan ketua jurulatih skuad kebangaan Datuk K Rajagobal seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

FAM Isnin menyifatkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung pengendali skuad Harimau Malaya itu sebelum ini telah disalah tafsir beberapa media tempatan.

Kenyataan itu menyebut bahawa Azzuddin diajukan soalan oleh tiga wartawan akhbar berbahasa Inggeris dalam satu wawancara minggu lepas, sama ada wujudnya konspirasi dalaman FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

"Jawapan spontan Setiausaha Agung adalah di dalam semua isu, segala kemungkinan tidak boleh diketepikan. Dukacitanya jawapan ini dipetik sebagai kenyataan utama yang disiarkan di dalam akhbar.

"Justeru itu, FAM ingin memperjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung itu disalah ertikan. Dengan ini FAM ingin menyatakan bahawa tidak ada sebarang konspirasi dalaman sebagaimana yang dilaporkan," menurut kenyataan FAM itu.

Sebelum ini, Azzuddin dipetik sebagai berkata bahawa wujudnya konspirasi dalaman di FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

Rajagobal bakal berdepan tindakan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas dikatakan melanggar Artikel 88 iaitu membuat kenyataan media tanpa mendapat kebenaran FAM.

Jurulatih berusia 56 tahun itu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa kekalahan 1-4 skuad kebangsaan kepada Arab Saudi pada 17 Mac lepas di Stadium Shah Alam, disebabkan lambakan penyerang import dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau didakwa menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga Super yang mengakibatkan skuad kebangsaan ketandusan penyerang semulajadi.



-- BERNAMA

Thursday, February 21, 2013

Shahidan Digantung 30 Bulan Dan Denda RM39,000 - FAM

PETALING JAYA, 21 Feb (Bernama) -- Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun setengah dan denda RM39,000 kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan antaranya mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tataterbit FAM yang bersidang hampir tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, Rabu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan Ednan Othaman selepas pengerusinya Datuk Taufik Abdul Razak tidak dapat hadir.

Jawatankuasa tersebut turut menetapkan bahawa Shahidan tidak boleh mengemukakan rayuan.

Berikutan keputusan itu, Shahidan, bekas menteri besar Perlis, hilang status sebagai presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM.

Ednan berkata Shahidan didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM iaitu berkaitan mengkritik pentadbiran badan induk bola sepak kebangsan itu.

"Hukuman terhadap Shahidan akan berkuat kuasa apabila dia (Shahidan) menerima surat daripada FAM iaitu dalam tempoh 14 hari selepas tarikh hukuman dijatuhkan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Dalam tempoh penggantungan itu, Shahidan dilarang terbabit atau memegang jawatan dalam sebarang aktiviti berkaitan dengan bola sepak negara.

Atas pertuduhan pertama, Ednan berkata Shahidan dikenakan denda RM20,000 selepas didapati bersalah membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran.

Susulan daripada penyiaran berita tersebut di bawah pertuduhan kedua, Shahidan dikenakan denda RM10,000 dan digantung selama dua tahun kerana berniat menghina, mengaibkan serta menjatuhkan imej FAM, katanya.

Shahidan turut didapati bersalah atas pertuduhan ketiga apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah atau tidak tepat dengan mana-mana keputusaan FAM dan beliau digantung selama enam bulan dan didenda sejumlah RM8,000.

Ednan berkata Shahidan turut didenda RM1,000 kerana tidak menjawab surat tunjuk sebab selepas menerima surat pertuduhan bertarikh 1 Feb lepas yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

"Dia (Shahidan) tidak bertanggungjawab dan dianggap menghina FAM apabila tidak mengambil sebarang tindakan bagi surat pertuduhan yang dihantar oleh FAM," katanya.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM62,500 kerana gagal mengawal penyokong mereka pada aksi Liga Super antara pasukan The Red Warriors dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu, 15 Jan lepas.

"KAFA tidak boleh membuat rayuan di atas hukuman berkenaan dan ia perlu dijelaskan dalam masa 14 hari selepas menerima surat hukuman tersebut," katanya.

Beliau berkata Kelantan berkemungkinan bermain tanpa kehadiran penyokong sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama pada aksi Liga Super seterusnya menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

"Pegawai Jawatankuasa Disiplin FAM akan memantau perlawanan berkenaan dan sekiranya penyokong Kelantan gagal mengawal disiplin, maka kita akan mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, September 13, 2012

MP Muar tarik diri, FAM haram vuvuzela

KUALA LUMPUR - Tiada lagi kelibat MP Muar dalam saingan bola sepak tempatan apabila kelab dari Johor itu memberi pengesahan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mereka menarik diri daripada Liga Perdana musim depan.

Sebagai alternatif mencari pengganti, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, NS Betaria akan berdepan naib juara Liga FAM, Shahzan Muda bagi memburu slot yang ditinggalkan MP Muar.

"MP Muar secara rasmi mengemukakan permohonan menarik diri daripada bermain di Liga Perdana musim depan. Setelah berbincang dalam mesyuarat JKPT baru-baru ini, kami memutuskan slot itu akan menjadi rebutan NS Betaria dan Shahzan Muda.

"Kedua-dua pasukan akan bertemu pada 6 Oktober ini di salah satu gelanggang yang belum ditetapkan di Lembah Klang dan pemenang akan beraksi dalam Liga Perdana 2013, " katanya semalam.

Hamidin turut menjelaskan JKPT juga mempunyai perancangan jika T-Team dibubarkan.

"Kami hanya akan membuat pengumuman pasukan yang akan menggantikan T-Team jika mendapat pengesahan pasukan itu menarik diri, " katanya.

JKPT juga mencapai kata putus mengharamkan vuvuzela di semua stadium berkuatkuasa serta-merta bagi baki saingan Piala Malaysia.

"Persatuan bola sepak negeri seperti Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan membuat aduan vuvuzela menjejaskan keselesaan penonton lain, di samping mengganggu jurulatih yang mahu memberi kepada pemain di atas padang, " katanya.

Hamidin juga memaklumkan format pertandingan Piala Malaysia tahun depan yang sebelum ini menetapkan 24 pasukan akan dikaji.

Ini bagi memberi ruang kepada semua pasukan dan kelab menyatakan pendapat masing-masing sebelum seminar mengenai Liga Malaysia 2013 di di Hotel Grand Bluewave pada 8 dan 9 Oktober ini.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, July 8, 2012

Artikel 88 kekal relevan

Oleh AZIMAN ROSDI
aziman@hmetro.com.my

TENANG...Sultan Ahmad Shah (tengah) semasa menghadiri Mesyuarat Exco FAM.
TENANG...Sultan Ahmad Shah (tengah) semasa menghadiri Mesyuarat Exco FAM.

ARTIKEL 88 terus relevan dalam statut perlembagaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat masa ini apabila badan induk bola sepak tanah air itu belum bersedia untuk menggubal statut itu pada Kongres Tahunan FAM ke-48 2010 & 2011 semalam.

Biarpun Mesyuarat Exco FAM sebelum ini memutuskan mahu membentangkan Artikel 88 pada Kongres FAM yang dihadiri Presiden, Sultan Ahmad Shah dan semua barisan Ahli Majlis serta wakil Gabungan, namun perkara itu ternyata tidak ada dalam agenda kali ini.


Alasan yang diberikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Artikel 88 masih perlu dikaji dengan teliti sebelum dibentangkan.

“Bukan tidak dibentangkan pada Kongres Tahunan FAM kali ini tapi masih belum bersedia.


“FAM harus meneliti dan mengkaji dengan penuh mendalam terhadap statut itu dan FAM akan membentangkan usul itu pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel 88 menjadi perbualan hangat selepas Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa digantung dua tahun enam bulan atas alasan melanggar peraturan kerana membuat kritikan secara terbuka kepada skuad kebangsaan April lalu.

Ada pihak mendesak supaya statut itu dipinda dan Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan kesediaan untuk mengkajinya semula.


Dalam pada itu pada sidang media selepas tamat kongres, Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah memaklumkan beberapa ketetapan dicapai iaitu membuat penambahan anggota Exco daripada 8 kepada 10 anggota.

Katanya, penambahan dua slot ini akan diisi oleh wakil wanita yang akan dipilih menerusi pemilihan tahun depan yang bertujuan bagi memperkukuhkan usaha memartabatkan bola sepak wanita.

--- HARIAN METRO

Thursday, April 5, 2012

FAM putuskan Annuar bersalah

ANNUAR dikerumuni jurugambar ketika hadir ke Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.


JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuat kuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Taufik Razak memberitahu, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama lapan ahli Jawatankuasa Disiplin FAM yang bersidang hampir tujuh jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Terdahulu, Annuar didakwa melanggar statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, yang mana hanya Presiden FAM boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Atas kesalahan itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media. Bagi pertuduhan kedua itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.

“Ahli Jawatankuasa Disiplin FAM sebulat suara membuat keputusan bahawa Tan Sri Annuar Musa didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

“Justeru, pihak jawatankuasa tidak ada pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan terhadap beliau (Annuar).

“Pihak jawatankuasa juga telah menggunakan budi bicara (dengan) tidak mengenakan sebarang denda terhadap beliau,” kata Taufik pada sidang akhbar di Bilik Piala Liga Wisma FAM semalam.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan ke atas Annuar itu menyebabkan jawatan yang disandang Annuar selaku Timbalan Presiden FAM serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung serta-merta.

Selain menjawat kedua-dua jawatan utama itu, Annuar turut memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia.

“Pihak kami tidak pernah menghalang Annuar untuk memberikan penjelasan. Ini bukan kesalahan pertama beliau dan hukuman tersebut tidak boleh dibuat sebarang rayuan memandangkan ia hukuman paling mininum,” ujarnya.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui pemberita selepas kes perbicaraan tersebut berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang ahli majlis FAM.

“Kepada kawan-kawan media, (saya) minta maaf sebab dalam FAM telah ditetapkan saya tidak boleh cakap kepada media, kecuali ada kebenaran bertulis daripada kongres.

“Jikalau saya nak cakap pasal FAM, saya kena tulis surat kepada kongres terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum kes perbicaraan itu bermula, kira-kira 300 penyokong Annuar berhimpun di luar pekarangan Wisma FAM sejak pukul 12.45 tengah hari sebagai tanda sokongan kepada Timbalan Presiden FAM itu.

--- KOSMO

Saturday, September 10, 2011

FAM pinda jadual suku akhir Piala Malaysia

2011/09/10

DEMI memberi ruang buat skuad kebangsaan menentang Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Sydney 7 Oktober depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam bersetuju meminda jadual suku akhir pertama dan kedua serta separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jadual baru suku akhir pertama ialah pada 10 Oktober, suku akhir kedua (14 Oktober), separuh akhir pertama (18 Oktober).
Saingan separuh akhir kedua yang ditetapkan 22 Oktober dan final pada 29 Oktober kekal tidak berubah.
Jadual diubah bagi membolehkan pemain kebangsaan ke Sydney dari 4 hingga 8 Oktober, sekali gus tidak menjejaskan pasukan negeri masing-masing untuk saingan suku akhir tetapi bagi pemain pemain skuad Skuad SEA yang terpilih ke kejohanan jemputan B-23 Piala VFF (Persekutuan Bola Sepak Vietnam) di Hanoi yang turut disertai Vietnam, Thailand dan Kemboja (17-24 Oktober), mereka tidak dapat beraksi untuk separuh akhir pertama dan kedua Piala Malaysia.

Bagi suku akhir pertama dan kedua, pemain skuad Sukan SEA hanya diberi pelepasan dua hari sebelum perlawanan terbabit, kata Hamidin selepas mesyuarat tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang semalam.

Antara pemain yang bakal terlepas kedua-dua aksi separuh akhir Piala Malaysia andai negeri mereka layak ialah Khairul Fahmi Che Mat, Izuan Salahuddin (Kelantan), Faizal Abu Bakar, Baddrol Bakhtiar (Kedah), Asraruddin Putra Omar, Bunyamin Umar (Selangor), Zubir Azmi (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS).

Hamidin turut menegaskan mana-mana pasukan yang tidak dapat menyelesaikan tunggakan hutang pada tarikh akhir pendaftaran pasukan 31 Oktober depan, tidak akan dibenar menyertai saingan Liga Malaysia 2012.
Aksi pembuka tirai musim 2012, Piala Sumbangsih dijadual 7 Januari di antara juara Liga Super, Kelantan bertemu juara Piala Malaysia, disusuli aksi sulung Liga Super pada 10 Januari dan Liga Perdana pada 13 Januari manakala final Piala FA dijangka 21 April manakala final Piala Malaysia pada 3 November.

----- Berita Harian

Tuesday, July 12, 2011

Dua Pemain Import Dibenar Dalam Liga Malaysia Tahun Depan

12 Julai, 2011 19:42 PM

PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia dibenarkan menggunakan khidmat dua pemain import mulai musim 2012.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bagaimanapun berkata terdapat beberapa klasifikasi bagi pemain import untuk menjaga kualiti pasukan yang disertai.

Katanya pemain import dari negara-negara Asean dan yang bernaung di bawah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mestilah pemain dari divisyen satu manakala dari benua-benua lain seperti Eropah, Amerika Latin dan Afrika pemain perlu sekurang-kurangnya dari divisyen dua.

"Pemain import yang kini beraksi dalam Liga Singapura, Indonesia dan Thailand tidak dibenarkan diambil dalam tempoh dua tahun ini," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Tengku Abdullah berkata penggunaan pemain import bagaimanapun bukanlah wajib dan terbuka kepada persatuan yang mempunyai kewangan yang kukuh sahaja.

Pemain-pemain import mula beraksi dalam Liga Malaysia pada Liga Semi Pro 1989 sebelum FAM pada Ogos 2008 mengambil tindakan menamatkan khidmat mereka sejak 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pula berkata dua pasukan tercorot Liga Super musim ini, Pahang dan Perlis, akan beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Juara dan naib juara Liga Perdana, Selangor PKNS dan Sarawak, pula dinaikkan ke Liga Super bagi musim 2012.

"Saingan Liga Super musim depan masih kekal dengan 14 pasukan.

Tempat Harimau Muda A akan diganti oleh pasukan dari Singapura, The Young Lions," katanya.

Perjanjian kerjasama antara FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura menyaksikan Harimau Muda A akan bersaing dalam Liga Singapura manakala "The Young Lions" akan beraksi pada liga elit Malaysia, Liga Super, bermula musim depan.

-- BERNAMA

Exco FAM jadi tumpuan

azlanmz@hmetro.com.my
Oleh Azlan Muhammad Zain

UNGGUL...pasukan PKNS menjulang trofi Liga Perdana selepas mengalahkan Harimau Muda B, 2-1 di Kelana Jaya pada 1 Julai lalu.
UNGGUL...pasukan PKNS menjulang trofi Liga Perdana selepas mengalahkan Harimau Muda B, 2-1 di Kelana Jaya pada 1 Julai lalu.

MESYUARAT Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menjadi tumpuan apabila bakal mencorakkan perjalanan Liga Malaysia 2012 dan 2013 dengan beberapa keputusan penting dinanti-nantikan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam arena bola sepak tempatan bakal diputuskan.

Antaranya adalah jumlah sebenar pasukan yang bersaing dalam Liga Super dan Perdana 2012 selepas ada laporan mengatakan berlaku perubahan terutamanya membabitkan jumlah pasukan dinaikkan ke Liga Super serta yang bakal turun beraksi di Liga Perdana.

Mengikut amalan biasa, tempat Selangor PKNS dan Sarawak yang bergelar juara dan naib juara Liga Perdana 2011 sepatutnya sudah terjamin untuk layak ke Liga Super 2012, namun hingga kini kedudukan mereka masih tidak terjamin, begitu juga dua pasukan terbawah Liga Super yang sepatutnya turun ke Liga Perdana.

Selangor PKNS dan Sarawak bagaimanapun perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya FAM memutuskan untuk mengurangkan jumlah pasukan Liga Super kerana mungkin perlawanan play-off akan menjadi penentu namun apa juga keputusan yang diambil, ia perlu dipatuhi sekiranya mahu terus bersaing dalam kancah bola sepak tempatan.

Satu lagi keputusan yang bakal mendapat perhatian adalah cadangan menggunakan semula khidmat pemain import selepas mengharamkannya bermula musim 2009.

Apapun keputusan ini pastinya sukar untuk diputuskan selepas menyaksikan perkembangan positif membabitkan pemain tempatan yang mampu bersaing di pentas antarabangsa sehingga meraih pingat emas Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010 selain jumlah peminat tempatan yang meningkat di stadium memberikan sokongan.

Namun daripada satu segi pula, khidmat pemain import berkualiti diperlukan untuk menaikkan lagi mutu liga tempatan selain memastikan pasukan tempatan boleh bersaing di pentas lebih tinggi dan tidak boleh berbangga sebagai ‘jaguh kampung’ saja. Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa (gambar) ketika ditanya mengenai mesyuarat exco kali ketiga itu menjelaskan banyak perkara yang bersifat dasar dan strategik perlu diputuskan untuk menjadikan liga tempatan antara yang terbaik di rantau ini.

“Saya juga berpendapat status pasukan yang dinaikkan serta diturunkan perlu dibuat awal supaya adil kepada semua pasukan bersaing. Begitu juga dengan pemain import, jika kita lambat membuat keputusan tenaga import yang kita dapat adalah dari kalangan mereka yang tidak mendapat kontrak dengan pasukan lain.

“Selain itu aspek penajaan juga perlu diambil kira kerana ia bukan membabitkan soal wang ringgit semata-mata. Mesyuarat kali ini penting kerana perkara pokok perlu diputuskan bagi mencorakkan liga musim depan dan 2013,” katanya yang juga Pengerusi Malaysian Super League.

----- Harian Metro Online

Monday, July 11, 2011

MSL cadang ganjaran ikut mata

Oleh Hussain Said

2011/07/11

Bonus tambahan untuk pastikan Liga Super lebih rancak, kompetitif

BAGI memastikan saingan Liga Super Malaysia (MSL) musim depan lebih rancak dan kompetitif, hadiah kemenangan tidak hanya ditawarkan kepada pasukan yang menduduki tempat pertama hingga ketiga seperti sebelum ini.

Sebaliknya, setiap pasukan bertanding akan mendapat ganjaran berdasarkan jumlah mata yang dikutip sepanjang saingan liga berlangsung.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi MSL, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan itu untuk dipertimbangkan pada mesyuarat Exco FAM akan datang.
“Formula cadangan ini ialah dengan kita menetapkan nilai mata dan sekiranya satu mata misalnya ditetapkan bernilai RM2,000, maka sekiranya sesebuah pasukan itu di akhir saingan mengumpul 30 mata, mereka akan mendapat habuan RM60,000.

“Jadi, ini secara tidak langsung akan menyaksikan saingan lebih rancak dan sengit kerana setiap pasukan sudah tentu mahu mengutip lebih banyak mata bagi mengumpul lebih banyak ganjaran,” katanya.

Annuar bagaimanapun menegaskan, ganjaran bagi pasukan yang menduduki tempat juara dikekalkan RM500,000, diikuti naib juara (RM300,000) dan tempat ketiga (RM200,000).

“Jadi, ganjaran mata yang diberikan ini adalah bonus tambahan selain memastikan setiap pasukan mendapat ganjaran selepas bertungkus lumus membentuk pasukan masing-masing,” katanya.

----- Berita Harian Online

Saturday, July 9, 2011

Format baru saingan Liga M 2012 ditentukan Selasa ini

PETALING JAYA - Teka-teki panjang mengenai jumlah pasukan, siapa dinaikkan dan siapa diturunkan dalam format baru pertandingan serta aksi pemain import dalam Liga Malaysia musim depan, bakal terjawab dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 12 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Amin berkata, segala keputusan dijamin akan mengambil iktibar dan bermatlamatkan untuk mengatasi masalah yang timbul akibat jadual padat liga musim ini dengan Piala Malaysia, September depan akan menjadi titik tolak awal komitmen persatuan.

"Saya akui memang ada sedikit kelemahan di pihak jawatankuasa ini bagi musim ini, tetapi kami berjanji akan mengambil iktibarnya demi menambah baik liga musim depan," katanya yang juga ahli Exco dan Naib Presiden FAM selepas majlis penyampaian hadiah kemenangan Liga Super dan Perdana 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Antara persoalan yang kerap dicetuskan pasukan dan persatuan bola sepak negeri ialah sama ada pasukan di tempat ke-13 dan 14 Liga Super musim ini, Pahang dan Perlis bakal diturunkan ke Liga Perdana musim depan lalu digantikan juara dan naib juaranya, PKNS dan Sarawak atau mungkinkah perlawanan penentuan tempat itu dilangsungkan sesama mereka.

Soal kepulangan pemain import yang kali terakhir disaksikan dalam Liga M 2007-2008, bagi musim 2012 turut menjadi agenda penting mesyuarat Exco yang dijangka dipengerusikan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah memandangkan pada pandangan Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, mereka mampu menjadi pelaris tiket atau penggalak kehadiran penonton ke stadium.

Annuar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Malaysia Super League pernah menyarankan pengambilan semula pemain import malah Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang diterajuinya, sudah berkira-kira untuk mendapatkan khidmat mereka dengan wawasan lebih jauh sebagai persediaan ke Piala AFC 2012 selaku juara Liga Super musim ini.

Sementara itu, kata Hamidin, ekoran pemergian Harimau Muda A ke Slovakia bagi siri persahabatan sebagai persediaan pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2014, Pahang dan Sime Darby dipilih untuk berentap secara timbal balik bagi mengisi kekosongan satu tempat skuad bawah 22 tahun negara itu dalam persaingan Piala Malaysia, September depan.

"Piala Malaysia terhad kepada 12 pasukan terbaik Liga Super dan empat terbaik Perdana. Tanpa Harimau Muda A, Pahang dan Sime Darby yang masing-masing menduduki tempat ke-13 Super dan kelima Perdana, akan menentukan slot terakhir Piala Malaysia di Kuala Lumpur, 19 Julai dan Kuantan, 22 Julai," jelasnya.

Majlis penyampaian hadiah kemenangan berupa piala dan pingat semalam turut menyaksikan Kelantan selaku juara Liga Super mengaut ganjaran RM500,000; naib juara Terengganu dengan RM300,000 dan pemenang ketiga, Selangor RM200,000 sementara PDRM di tempat ketiga Perdana, RM50,000.

Penyerang Terengganu dan kebangsaan, Abdul Hadi Yahya pula menerima anugerah Kasut Emas Liga Super 2011 selaku penjaring terbanyak dengan 20 gol sementara Mohd. Fitri Omar dari Majlis Perbandaran Muar meraihnya bagi Liga Perdana dengan menjaringkan 19 gol sepanjang musim ini.

----- Utusan Malaysia Online

Wednesday, June 15, 2011

Liga bola sepak wanita akan diwujudkan mulai 2012


15/06/2011 2:35pm

KOTA BHARU 15 Jun - Sebagai langkah memperkasakan sukan bola sepak wanita di negara ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan liga bola sepak wanita bermula tahun hadapan.

Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan untuk mewujudkan liga berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Kebangsaan yang dipengerusikannya beberapa hari lalu.

Menurut beliau, liga bola sepak itu akan menjadi medan terbaik buat FAM memilih pemain yang bakal menyarung jersi pasukan bola sepak wanita kebangsaan bagi menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa. - Utusan


Tuesday, June 14, 2011

Semua Stadium Negeri Tak Sesuai Untuk Perlawanan Antarabangsa: FAM

14 Jun, 2011 18:07 PM

KOTA BAHARU, 14 Jun (Bernama) -- Kecuali Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam, semua stadium negeri didapati tidak sesuai menjadi venue sebarang perlawanan di peringkat antarabangsa kerana tidak mematuhi piawaian oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata semua persatuan bola sepak negeri dengan kerjasama kerajaan negeri masing-masing perlu mengambil inisiatif untuk menambah baik stadium yang ada jika mahu perlawanan peringkat antarabangsa diadakan.

"Kecuali dua stadium itu, yang lain masih tidak menepati piawaian FIFA dan AFC untuk diadakan perlawanan di peringkat antarabangsa dan sebab itu FAM merasakan perlunya persatuan negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menaik taraf stadium yang ada.

"Bagaimanapun FAM tidak lepas tangan seperti di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV apabila stadium ini telah dinaiktaraf untuk diadakan perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa," katanya selepas mesyuarat penyelarasan perlawanan persahabatan Malaysia menentang Myanmar di sini Selasa.

Pada majlis itu Azzuddin turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang menjadi tuan rumah pada perlawanan persahabatan itu yang diwakili Timbalan Presiden KAFA, Datuk Afandi Hamzah.

Azzuddin berkata FAM pada bila-bila masa bersedia untuk membenarkan mana-mana persatuan negeri yang lain untuk menganjurkan perlawanan persahabatan seperti itu sekiranya langkah-langkah tertentu diambil untuk menaik taraf stadium yang ada.

"FAM gembira KAFA dan pihak stadium telah melakukan pelbagai langkah untuk membaik pulih dan menaik taraf agar dapat digunakan pada perlawanan itu nanti," katanya.

Beliau berkata perlawanan persahabatan yang kali pertama diadakan di luar Lembah Klang itu adalah sebagai penghormatan kepada KAFA sebagai tuan rumah selain bagi membuka peluang untuk penyokong pasukan negara di Pantai Timur menontonnya.

Afandi pula berkata semua kerja pengubahsuaian dan menaik taraf stadium akan siap sepenuhnya esok.

"Kerja-kerja seperti naik taraf padang, lampu limpah, bilik persalinan pemain dan pemasangan jam digital akan siap esok bagi membolehkan perlawanan persahabatan itu diadakan dengan jayanya," katanya.

Tiket berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM50 untuk astaka, RM20 untuk astaka dua dan RM5 bagi kanak-kanak mula dijual di kaunter tiket stadium dan juga pejabat KAFA di Kampung Chicha, Kubang Kerian, di sini.

Perlawanan persahabatan itu akan diadakan pada Sabtu ini bermula 8.45 malam.



-- BERNAMA

Tuesday, May 24, 2011

FAM boleh tampung kos penalti RM500,000 (Berita Harian Online)

Oleh Jumiati Rosly

2011/05/24

LAMPU hijau bagi penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil sudah diperoleh, namun persoalan pihak mana yang perlu menanggung kos penalti akibat penangguhan kerja membaiki trek masih belum dipastikan, apa lagi dengan sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seolah-olah ‘lepas tangan’ dalam soal itu.

Bukan sedikit perlu ditanggung. Kos penalti berjumlah RM500,000 dan FAM yang memohon menggunakan stadium itu berkata kos dikenakan tiada kaitan dengan badan induk itu, sebaliknya perlu diselesaikan antara Perbadanan Stadium Malaysia dengan kontraktor terbabit.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu akan dibincangkan semula memandangkan kerja pembaikan di stadium itu ditangguhkan semata-mata memberi laluan kepada FAM.

“Kita akan runding lagi dengan semua pihak yang terbabit sebab kita tidak mahu membebankan duit rakyat. Kalau FAM nak tampung kos itu, ia adalah satu perkara yang wajar,” katanya, selepas menghadiri majlis tajaan program Rentap Futsal yang akan diadakan bersempena Himpunan Sejuta Belia pada Hari Belia Negara, hujung minggu ini.

Sebelum ini, FAM meminta Stadium Nasional digunakan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa skuad negara menentang tiga kelab Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal, perlawanan kelayakan Piala Dunia serta final Piala FA yang akan berlangsung pada Jun dan Julai ini.

Ahmad Shabery juga mengingatkan FAM supaya memberi jadual program mereka lebih awal pada masa hadapan supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi memandangkan kerja membaik pulih trek di stadium itu sudah ditangguhkan beberapa kali.

Wednesday, May 18, 2011

Stadium Shah Alam dijangka venue aksi final (Harian Metro Online)

VENUE perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun ini hanya akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata, pemilihan venue itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa FAM dalam waktu terdekat.

“Ia masih dalam perbincangan. Kita pasti akan tentukan final Piala FA pada Jumaat ataupun selewat-lewatnya minggu ini,” katanya.

Ditanya sama ada pemilihan venue di Kelantan ataupun Terengganu, beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku memandangkan kapasiti kedua-dua stadium tidak mampu menampung jumlah penonton aksi final.

Perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 tempat duduk ketika Stadium Nasional di Bukit Jalil masih dalam proses penyelenggaraan.

Sekiranya FAM berhasrat menggunakan Stadium Nasional sebagai venue final, mereka perlu membayar RM500,000 untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek di stadium itu.

Ini kerana stadium itu baru menjalani proses baik pulih trek dalam bulan ini dan telah beberapa kali tertangguh.

Kali terakhir penangguhan kerja pembaikan adalah untuk memberi laluan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia pada Piala AFF Suzuki penghujung tahun lalu.

Selain menggunakan stadium untuk perlawanan akhir Piala FA, FAM juga berhasrat mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Jun dan Julai ini.

Tuesday, May 17, 2011

Venue Perlawanan Akhir Piala FA Dijangka Diketahui Dalam Masa Terdekat

Datuk Azzuddin Ahmad


KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Venue perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu yang akan berlangsung pada 11 Jun depan hanya akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata pemilihan venue untuk perlawanan akhir itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa FAM dalam waktu terdekat.

"Ia masih dalam perbincangan. Kita pasti akan tentukan perlawanan akhir Piala FA pada Jumaat ataupun selewatnya dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada hari Selasa.

Ditanya sama ada pemilihan venue akan melibatkan di Kelantan ataupun Terengganu, beliau berkata perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan kapasiti kedua-dua stadium tersebut tidak mampu menampung jumlah penonton pada perlawanan akhir.

Perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 tempat duduk ketika Stadium Nasional di Bukit Jalil masih dalam proses penyelenggaraan.

Sekiranya FAM berhasrat untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai venue akhir perlawanan tersebut, badan itu perlu mencari RM500,000 untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek di stadium itu.

Ini kerana stadium itu baru menjalani proses baik pulih trek dalam bulan ini dan telah beberapa kali tertangguh.

Kali terakhir penangguhan kerja pembaikan adalah untuk memberi laluan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia pada Piala AFF Suzuki penghujung tahun lalu.

Selain menggunakan stadium tersebut untuk perlawanan akhir Piala FA, FAM juga berhasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di antara skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Jun dan Julai ini.

-- BERNAMA

Wednesday, May 11, 2011

States, Clubs Who Owed EPF RM7 Million Have Settled RM6 Million - FAM

May 11, 2011 22:28 PM

PETALING JAYA, May 11 (Bernama) -- State and club teams in the M-League that owed the Employees Provident Fund (EPF) RM7 million have settled RM6 million said the Football Association of Malaysia (FAM).

FAM vice president Datuk Hamidin Mohd Amin said the balance of RM1 million could not be settled because the case was still in court.

"I am happy to note that state and club teams have taken the initiative and commitment to settle their outstanding dues with EPF," he told reporters at Wisma FAM here Wednesday.

He said teams were able to settle such a big amount because teams had made committed installment payments to EPF as agreed.

The RM7 million owed to EPF was due to non-paid EPF dues of players that had accumulated over the years and up to 2010.

The FAM had warned teams playing in the M-League that the teams that failed to settle their dues with EPF, Inland Revenue Board and Pertubuhan Keselamatan Social (Perkeso) would be barred from playing.

Hamidin said the FAM Competition Committee would continue to monitor state and club teams to ensure they pay up EPF contributions promptly.

Meanwhile, FAM secretary-general Datuk Azzuddin Ahmad said the FAM would give its fullest cooperation to FIFA in efforts to combat match-fixing.

"FAM view match-fixing very seriously and will assist FIFA and the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) from time to time," he said.

-- BERNAMA

_________________________

Negeri, Kelab Liga Tempatan Jelas Tunggakan KWSP RM6 Juta

PETALING JAYA, 11 Mei (Bernama) -- Pasukan negeri dan kelab yang bertanding dalam liga bola sepak tempatan berjaya menjelaskan RM6 juta daripada RM7 juta caruman pemain kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak sehingga tahun lepas.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata hanya tinggal baki RM1 juta belum dijelaskan kerana masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Saya berbangga dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh setiap pasukan sepanjang tempoh enam bulan lepas apabila mereka berjaya menjelaskan tunggakan KWSP sebanyak RM6 juta," katanya pada sidang media di Wisma FAM.

Beliau berkata kejayaan membayar sejumlah besar tunggakan KWSP tercapai apabila pasukan terbabit bersungguh-sungguh membuat pembayaran mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan oleh pihak KWSP.

Hampir setiap tahun pasukan yang bertanding menghadapi masalah untuk melakukan caruman KWSP pemain sehingga tunggakan mencecah angka RM7 juta pada tahun lepas.

Sebagai menyelesaikan masalah tersebut FAM mengambil tindakan meletakkan syarat akan menyingkirkan mana-mana pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Hamidin berkata Jawatankuasa Pertandingan FAM akan terus melakukan pemantauan setiap tiga bulan bagi memastikan bahawa pasukan bola sepak negeri dan kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia membayar caruman KWSP.

Katanya tindakan tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan pemain dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pencapaian tanpa dibebani dengan masalah pentadbiran pasukan yang mereka wakili.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata FAM akan sentiasa memberi kerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membendung kegiatan judi bola sepak di negara ini.

"FAM memandang serius perkara ini dan akan melakukan kerjasama dengan FIFA mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata antara langkah lain yang diambil oleh FAM ialah melakukan taklimat rasuah bola sepak kepada pengurus pasukan dan jurulatih setiap pasukan seperti yang dilakukan pada hari ini.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...