Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Portugal - FC Porto. Show all posts
Showing posts with label Portugal - FC Porto. Show all posts

Tuesday, March 9, 2010

Arsenal mahu tebus kesilapan jumpa Porto


Sol Campbell


LONDON, England - Pemain Arsenal, Sol Campbell berharap rakan sepasukannya mampu menebus kembali memori pedih tewas kepada Porto pada pusingan pertama Liga Juara-Juara menjelang pertemuan kedua di Stadium Emirates, esok.

Anak-anak buah Arsene Wenger perlu mengatasi defisit 1-2 di laman sendiri, setelah Lukasz Fabianski melakukan kesilapan yang memberikan dua gol kepada Porto pada perlawanan pertama.

Penjaga gol Poland itu menampan masuk percubaan Silvestre Varela ke dalam gawang sendiri bagi memberikan gol pendahuluan kepada Porto.

Namun, Campbell bingkas menanduk masuk gol penyamaan buat Arsenal, sebelum Fabianski sekali lagi melakukan kecuaian apabila membiarkan Falcao menolak mudah ke gawang yang kosong setelah menerima bola daripada Campbell.

Kekalahan itu umpama sebuah kisah daripada cerita komik, namun gol di tempat lawan oleh Campbell memberikan harapan buat Arsenal, kerana kemenangan 1-0 sudah memadai buat kelab dari Utara London itu mara ke peringkat suku akhir.

''Permainan masih separuh jalan dan peluang masih cerah buat kami dalam perlawanan kedua.

''Jaringan gol di tempat lawan cukup penting. Sekiranya kami tewas 1-0, ia mungkin satu perkara yang sukar. Satu jaringan berharga di tempat lawan mungkin akan memberikan perbezaan besar.

''Ia memberikan sedikit kelebihan kepada kami dalam pertemuan kedua. Namun, kami tidak gembira kerana tewas dalam perlawanan terdahulu.

''Apa yang kami perlu lakukan ialah mengambil positif daripada perlawanan terdahulu dan bersatu sebagai satu pasukan,'' kata Campbell.

Berada dalam lapan pasukan terbaik mungkin sudah mencukupi buat Arsenal, namun bekas pemain England itu percaya kesilapan pada perlawanan pertama akan memberikan motivasi tambahan buat Arsenal.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger kurang gembira cara pengadil dari Sweden, Martin Hansson yang membenarkan sepakan percuma diambil begitu cepat dan Campbell bersetuju Arsenal dihukum dengan cara yang sukar untuk diterima.

''Anda mungkin boleh bersetuju kerana pemain Porto bertindak cepat, namun pengadil langsung tidak memberikan peluang kepada saya untuk berada di hadapan pintu gol.

''Tiada langsung tiupan wisel dan saya tidak nampak langsung dia mengangkat tangan semasa sepakan diambil,'' kata Campbell.

Arsenal masih boleh berasa yakin untuk berdepan Porto kerana berdasarkan rekod pada tahun lepas, mereka berjaya membelasah pasukan kendalian Jesualdo Ferreria itu 4-0 diikuti kemenangan 2-0 pada September 2006. - AFP

--- UTUSAN MALAYSIA

Friday, February 19, 2010

Porto hukum Arsenal



PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Martin Hansson (dua dari kiri) memberi sepakan percuma kepada Porto, sambil diperhatikan pemain Porto, Ruben Micael (dua dari kanan) dan pemain Arsenal, Sol Campbell dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Porto semalam. – AP


LONDON – Dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan penjaga gol Arsenal menghukum kelab Liga Perdana England itu apabila tunduk 2-1 kepada Porto dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah di Porto, semalam.

Mimpi ngeri skuad Gunners bermula seawal minit ke-11 selepas penjaga gol keduanya, Lukasz Fabianski, yang mengisi tempat penjaga gol utama, Manuel Almunia terlepas bola tendangan lemah Silvestre Varela.

Penjaga gol muda Poland berusia 24 tahun itu kemudian melakukan satu lagi kesilapan amatur, menangkap bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukan, Sol Campbell, yang membawa kepada gol kemenangan Porto.

Walaupun Campbell berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan cantik pada minit ke-18, namun gol kontroversi Porto yang disempurnakan Radamel Falcao di minit ke-51 menafikan hajat skuad Gunners untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.

Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pemain Porto mengambil sepakan percuma yang pantas ketika pemain-pemain Arsenal masih bercakap dengan pengadil, Martin Hansson.

Amat malang sekali, Hansson membenarkan jaringan tersebut sekalipun dibantah keras oleh Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Porto, juara Eropah 2006 membawa bekalan apabila berkunjung ke London untuk perlawanan kedua di Stadium Emirates, 9 Mac ini.

Bagi pengurus Arsenal, Arsene Wenger tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut adalah satu kesilapan besar.

“Saya percaya ia (hantaran ke belakang) tidak disengajakan oleh Sol, dia tersentuh bola secara tidak sengaja.

“Malah, pengadil juga sepatutnya memberikan kami masa untuk membuat tembok pemain dan bukan membenarkan lawan mengambil sepakan yang pantas pada ketika pemain kami belum lagi bersedia,’’ ujar Wenger kepada televisyen Britain.

Kapten Arsenal, Cesc Fabregas pula berkata, pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kesilapan tidak sepatutnya.

“Bila anda melepaskan gol seperti ini, anda tidak boleh pergi ke mana-mana. Kesilapan budak sekolah, apa yang boleh anda lakukan ?,’’ kata Fabregas.

Jaringan tersebut juga menenggelamkan penampilan pertama Campbell dalam kancah Eropah, empat tahun selepas beraksi buat kali pertama buat Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Ia sepatutnya menjadi malam indah buat Campbell selepas menjaringkan gol penyamaan yang cantik, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Porto.

“Keputusan ini tetap baik buat Arsenal kerana mereka menjaringkan gol di tempat lawan,’’ kata pengurus Porto, Jesualdo Ferreira. – AP

--- UTUSAN MALAYSIA

Wenger selar pengadil punca kekalahan



PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) berhempas pulas menyelamatkan bola percubaan pemain Porto, Radamel Falcao dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium Dragon, semalam. - REUTERS


PORTO, Portugal - Arsene Wenger menyelar pengadil, Martin Hansson kerana menghadiahkan gol kemenangan kepada Porto ketika kelab Portugal itu mengalahkan Arsenal 2-1 dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah semalam.

Pengadil dari Sweden itu membenarkan Porto mengambil sepakan percuma yang pantas pada minit ke-52 ketika pemain-pemain Arsenal masih belum bersedia.

Sepakan tersebut diberikan selepas penjaga gol Arsenal, Lukasz Fabianski menangkap bola hantaran belakang Sol Campbell untuk membuka peluang kepada Falcao memperoleh gol kemenangan.

Hansson sebelum ini sudahpun mencetus kontroversi selepas gagal mengesan bola yang terkena tangan Thierry Henry untuk membenarkan Perancis layak ke Piala Dunia 2010 pada saingan playoff menentang Republik Ireland, November lalu.

"Ia (sepakan itu) lebih baik daripada penalti. Sukar dipercayai Porto dibenarkan mengambil sepakan seperti itu dan menyumbat bola ke gawang. Saya sudah terlibat dalam bola sejak sekian lama dan tidak pernah nampak sesuatu seperti ini.

"Sama ada penjaga gol sepatutnya memegang bola sehingga semua orang kembali ke posisi masing-masing atau menyerahkan bola kepada pengadil, peraturan yang digunapakai tetap tidak boleh diterima, ia menggalakkan pemain bermain secara tidak adil.

"Anda tidak boleh menerima layanan yang diberikan oleh pengadil. Ia sama sekali mustahil untuk mempertahankan diri dalam situasi ini. Anda serah bola, kemudian pengadil beri kepada lawan... yang terus melakukan hantaran kepada kawan... dan ia gol.

"Pemain lawan sebenarnya dalam situasi yang sukar untuk memperoleh jaringan tetapi tiba-tiba pengadil memberi gol begitu saja. Ia memang sukar difahami atau mungkin saya yang tidak cukup bijak,'' kata Wenger.

Wenger juga mempersoalkan tindakan pengadil menghadiahkan sepakan percuma kerana mendakwa Campbell tidak menghantar bola ke belakang secara sengaja kepada penjaga gol. - AFP

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...