RIO DE JANEIRO: Penyerang AC Milan, Ronaldinho hari ini membidas kelabnya kerana sengaja melewat-lewatkan rancangan perpindahannya ke kelab Brazil, Gremio, dengan mendakwa pengurusan kelab mengemukan tuntutan kewangan yang tidak munasabah kepadanya.
Pemain berusia 30 tahun yang juga bekas Pemain Terbaik Dunia dua kali berkata, beliau sepatutnya berhak membuat keputusan sama ada bersedia untuk bermain semula dengan bekas kelabnya itu dalam Liga Brazil.
“Saya bukan untuk dilelong. Terpulang kepada saya sama ada bersedia untuk menyarung jersi Gremio walaupun bermakna pendapatan saya berkurangan selepas ini," kata Ronaldinho kepada laman web sukan, Globoesporte.
“Masalahnya bukan tawaran yang dibuat oleh saya tetapi ia berkaitan dengan tuntutan yang bukan-bukan oleh Milan," katanya.
Akhbar sukan harian Itali, Gazzetta dello Sport semalam melaporkan, pemain Brazil itu sudah menandatangani kontrak untuk bermain semula dengan Gremio yang pernah disertainya ketika memulakan karier bola sepaknya pada 1998.
Akhbar itu juga mendakwa abang Ronaldinho yang juga agennya, Roberto de Assis sudah mencapai persetujuan dengan Gremio dan satu pertemuan diatur hari ini.
Kelab Liga Perdana Inggeris, Blackburn juga dilaporkan menawarkan kontrak yang tinggi kepada Ronaldinho untuk membawa bekas pemain Barcelona dan Paris St Germain itu beraksi di England. - AFP
WALAUPUN ingin mengakhiri karier di negara kelahirannya, Brazil tetapi Ronaldinho masih menjadi buruan kelab dari Eropah yang berminat mendapatkan khidmatnya daripada AC Milan.
BLACKBURN - Selepas menafikannya sebelum ini, pemilik Blackburn semalam telah menyatakan bahawa kelab itu sudah membuat bidaan bernilai £6.2 juta (RM29.5 juta) untuk mendapatkan Ronaldinho.
Syarikat dari India, Venky itu pada mulanya menulis tentang minat untuk mendapatkan pemain Brazil tersebut di laman sosial Face- book mereka pada Ahad lalu tetapi beberapa jam kemudian, pengarahnya, Venkatesh Rao menafikan berita tersebut.
Beliau menegaskan bahawa berita tersebut tidak benar sama sekali dan Black- burn langsung tidak berminat terhadap Ronaldinho.
Namun awal pagi semalam, kakaknya yang juga Pengerusi Venky, Anuradha Desai memberitahu bahawa mereka telah pun menyata- kan tawaran kepada AC Milan.
Ronaldinho kini sedang berehat di Brazil dengan beberapa kelab di sana berminat untuk mendapatkan tandatangannya.
Penasihat dan juga abang kepada pemain itu, Roberto Assis mengesahkan bahawa Flamengo, Palmeiras dan Gremio berminat untuk mendapatkan khidmat Ronaldinho.
Assis turut mengakui beliau telah dihubungi Black- burn dan berkata: "Kami tidak tahu apa yang akan berlaku. Tetapi kami sebenarnya mahu dia kembali beraksi di Brazil."
Namun, Blackburn dikatakan tiada masalah untuk memberikan sebarang gaji kepada Ronaldinho dan dikatakan bersedia membayar lebih £6 juta (RM28.6 juta) setahun kepada bekas pemain kebangsaan Brazil itu. - Agensi
RONALDINHO masih menjadi sandaran Milan musim ini.
MILAN - Pemilik AC Milan, Silvio Berlusconi menegaskan bahawa perancang kelahiran Brazil, Ronaldinho tidak akan dijual.
"Ronaldinho tidak akan terlibat dengan perpindahan dan kami semua telah bersetuju bahawa dia akan kekal di Milan selagi mana dia mahu terus bermain.
"Saya belum lagi bercakap dengan Ronaldinho dalam masa terdekat ini tetapi kami yakin dapat memperbaharui kontraknya dan dia akan terus kekal di sini.
"Saya anggap dia sebagai pemain terbaik sepanjang masa," kata Berlusconi yang juga Perdana Menteri Itali.
Ronaldinho pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah 2005 dan mencapai kemuncak prestasinya setahun kemudian dengan membantu Barcelona merangkul kejuaraan berganda, Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.
Namun dia telah mengalami penurunan prestasi selepas itu dan menyertai Milan pada Julai 2008.
Ronaldinho, 30, masih belum mengulangi tahap kecemerlangannya sepanjang berada di Itali biarpun dia dilihat kembali mempamerkan aksi terbaik ketika membantu Milan menduduki tempat ketiga Serie A musim lalu.
Baru-baru ini, Ronaldinho telah dilaporkan akan kembali beraksi di Liga Brazil bersama kelab Flamengo tetapi Berlusconi bingkas menafikan khabar angin tersebut.
"Dia (Ronaldinho) merupakan daya tarikan terbesar di AC Milan. Harganya sebenarnya bernilai 10 kali ganda lebih tinggi daripada nilai yang ditulis dalam laporan akhbar tersebut," jelas Berlusconi.
Dalam pada itu, Milan turut mengumumkan pembelian pemain pertahanan tengah Greece, Sokratis Papastathopoulos.
Pemain berusia 22 tahun itu dibeli daripada Genoa dengan harga 4.5 juta euro (RM18.6 juta) dengan kontrak selama lima tahun.
Papastathopoulos menjadi pemain pertama yang dibeli Milan sejak bekas jurulatih Cagliari, Massimiliano Allegri dinamakan sebagai pengurus baru kelab itu bagi menggantikan Leonardo. - AFP