Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Skuad Kebangsaan Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Skuad Kebangsaan Malaysia. Show all posts

Monday, August 11, 2014

Malaysia Kalah 1-4 Kepada Tajikistan Pada Aksi Persahabatan Antarabangsa


KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh nyata bukan tandingan Tajikistan selepas kalah 1-4 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan pada Jumaat.

Majibur muncul wira pasukan yang berada pada ranking ke-124 dunia itu selepas meledak empat jaringan, masing-masing pada minit ke-15, 35', 51' dan 53'.

Penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim Mohd Amri Yahyah menjaringkan gol tunggal untuk skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama perlawanan.

Ia merupakan tugasan antarabangsa pertama Dollah sejak dilantik pengendali baharu skuad Harimau Malaya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 9 Julai lepas.

Beliau menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tidak disambung kontrak oleh FAM selepas gagal membawa Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Asia 2015 di Australia.

Malaysia dijangka menentang Jordan pada aksi persahabatan seterusnya, 11 Okt ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan itu antara persiapan skuad Harimau Malaya dalam menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadual berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 Nov hingga 20 Dis ini.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar pada kejohanan bola sepak membabitkan negara rantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Okt ini membabitkan empat negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir kejohanan.

-- BERNAMA

Thursday, December 5, 2013

Kim Swee Senarai 20 Pemain Utama Galas Cabaran Negara Pada Sukan SEA Myanmar

PETALING JAYA, 5 Dis (Bernama) -- Ketua Jurulatih skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) Datuk Ong Kim Swee hari ini mengumumkan senarai 20 pemain yang akan menggalas cabaran negara di Sukan SEA Myanmar.

Beliau berkata senarai akhir itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan Pengurus Pasukan Datuk Seri Afandi Hamzah, yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, selain barisan kejurulatihan dan doktor pasukan berkenaan.

Katanya, beliau terpaksa mengetepikan beberapa pemain utama, termasuk pemain sayap Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang dilanda kecederaan pangkal paha dan memerlukan tempoh rawatan antara dua hingga empat minggu.

"Jadi, saya terpaksa mengeluarkan beliau daripada senarai asal saya namun saya masih mempunyai beberapa pemain yang boleh menggantikan tempat beliau seperti D. Saarvindran dan Ashri Chuchu.

"Selain itu, saya juga mempunyai Mohd Azrif Nasrulhaq (Badrul Hisham) yang boleh bermain di sayap kanan serta Nazirul Naim (Che Hashim) yang boleh beraksi di sayap kiri... jadi, saya tidak nampak sebarang masalah," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Kim Swee berkata beliau sedia berdepan sebarang tekanan di Myanmar namun tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana fokus utamanya kini ialah mempertahan pingat emas yang dimenangi pada 2011 di Indonesia.

"Tekanan sentiasa ada, terutamanya seluruh rakyat negara ini mengharapkan kita mengekalkan pingat emas dan bagi saya, ia merupakan satu cabaran dan kita harus terima cabaran berkenaan dengan cukup positif," katanya.

Jurulatih berusia 42 tahun itu berkata beliau sudah menyusun strategi tersendiri bagi memastikan para pemain mengekalkan kecergasan masing-masing memandangkan mereka dijadual beraksi pada empat perlawanan pusingan awal dalam tempoh seminggu.

"Yang mustahak ketika ini ialah pemain kekal fokus dengan semua perlawanan yang kita lalui dan tidak diganggu oleh perkara yang boleh menyebabkan mereka hilang konsentrasi," katanya.

Berkongsi pandangan sama ialah Kapten skuad berkenaan Mohd Irfan Fazail, yang menggesa rakan sepasukan tidak terbawa-bawa dengan provokasi daripada pasukan lain, terutama tuan rumah iaitu Myanmar.

"Bagi saya sendiri, saya cuba beri yang terbaik dan menaikkan semangat rakan sepasukan supaya kita dapat mengekalkan pingat emas.

"Semua pemain kita sudah bersedia dari segi mental dan fizikal apabila berlepas ke sana (Myanmar) nanti," kata pemain yang bakal mewakili pasukan Liga Super, Johor Darul Ta'zim, musim depan.

Pandangan Mohd Irfan turut dikongsi pemain tengah skuad berkenaan Muhammad Nazmi Faiz Mansor, yang berharap mampu mengekalkan persembahan ketika membantu Malaysia meraih pingat emas pada edisi 2011.

"Saya akan gunakan segala pengalaman beraksi pada Sukan SEA di Indonesia dua tahun lepas untuk memastikan pingat emas terus kekal menjadi milik pasukan kita," kata perancang tengah pasukan Liga Super, Selangor PKNS FC itu.

Senarai 20 pemain ke Sukan SEA Myanmar:

Mohd Farhan Abu Bakar, Mohd Izham Tarmizi Roslan, Muhammad Zubir Mohd Azmi, K. Reuben, Shahrul Mohd Saad, Mohd Fadhli Mohd Shas, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Nazirul Naim Che Hashim, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, D. Kenny Pallraj, Mohd Irfan Fazail (Kapten), Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Ashri Chuchu, Mohamad Nasir Basharuddin, S. Sivanesan, D. Saarvindran, A. Thamil Arasu, Md Rozaimi Abd Rahman, Ahmad Hazwan Bakri dan Izzaq Faris Ramlan.

-- BERNAMA

Tuesday, June 4, 2013

Harimau Malaya Perlu Tonjolkan Kepelbagaian - Rajagobal

PETALING JAYA, 3 Jun (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya perlu mempelbagaikan rentak dan kebolehan dalam apa jua situasi pada perlawanan persahabatan di Australia, kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal, di sini, Isnin.

Beliau berkata kesemua pemain perlu menunjukkan aksi dan permainan yang terbaik dalam tiga perlawanan di negara tersebut meskipun bukan berhadapan dengan pasukan utama Australia.

"Beraksi dalam situasi cuaca sejuk atau tidak sejuk, tidak ada perbezaan...ketika beraksi di Qatar juga kita bermain dalam cuaca sejuk, kita tetap beraksi.

"Saya akan memberi peluang kepada kesemua iaitu 26 pemain beraksi dalam tiga perlawanan di Australia dalam usaha mencari satu pasukan yang kuat untuk menentang Bahrain pada Oktober ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini Isnin.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Australia hari ini bagi sesi latihan dan perlawanan persahabatan yang merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan D, pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, 15 Okt ini.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab seperti Canberra All Stars pada 6 Jun dan diikuti Marconi Stallions FC (11 Jun) dan Sydney United FC (13 Jun).

Mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang Bahrain, Rajagobal berkata beliau telah membayangkan kesebelasan utama namun tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan kecil sekiranya perlu.

Ketika mengulas mengenai prestasi hambar penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali dan Shafiq Rahim bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) sepanjang musim Liga Super, beliau berkata prestasi mereka tidak perlu dipertikaikan kerana tumpuan perlu diberikan kepada prestasi semasa kedua-dua tonggak utama Harimau Malaya itu.

Sementara itu, Shafiq ketika ditemui berkata sebagai ketua pasukan beliau berjanji tidak akan mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk mengetuai skuad Harimau Malaya sepanjang berada di Australia.

"Saya akan membalas balik kepercayaan yang diberikan kepada saya dan pasukan. Saya harap dapat beri aksi yang terbaik. Saya percaya enam pemain baharu mampu memberi kerjasama yang baik sebagai satu pasukan," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, December 16, 2012

Lupakan Piala AFF Suzuki, Fokus Kepada Pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 - Rajagobal


SEPANG, 14 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal meminta anak buahnya supaya melupakan episod duka kekalahan kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Supachalasai, Bangkok, Thailand, semalam.

Beliau sebaliknya menuntut komitmen kesemua pemain skuad Harimau Malaya itu untuk memberikan fokus sepenuhnya pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula Februari depan.

"Saya mahu (semua pemain) lupakan (kekalahan) pada Piala AFF Suzuki dan fokus kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di mana kita akan bertandang ke Qatar untuk perlawanan pertama," katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba bersama skuad kebangsaan dari Bangkok di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, Jumaat.

Kekalahan tersebut dengan agregat 1-3 itu sekali gus meleburkan hasrat skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi mereka pada 2010 di Indonesia.

Rajagobal, 56, berkata beliau tidak menyangka bahawa skuad bimbingannya bakal mengalami kekalahan pada perlawanan itu memandangkan mereka telah membuat persiapan rapi.

-- BERNAMA

Rajagobal Tidak Harus Dipecat - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tidak harus dipecat atas kekalahan skuad kebangsaan Harimau Malaya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Khamis lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap jurulatih itu malah beliau perlu diberi peluang melakukan penambaikan dan pembaharuan dalam skuad bimbingannya dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai...tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya Nurkhalida dan pasangannya, Qaiyum Hasnul, kedua-dua berusia 25 tahun, di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertanggungjawab untuk melihat pembangunan mutu sukan itu secara lebih menyeluruh.



-- BERNAMA

Thursday, December 13, 2012

Malaysia Gagal Pertahankan Piala AFF Suzuki, Kalah Kepada Thailand Di Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Hajat Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2012 tidak kesampaian selepas mereka kalah secara agregat 1-3 kepada Thailand pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, Thailand, Khamis.

Kedua-dua pasukan sebelum ini mencatatkan keputusan seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad lepas.

Kekalahan tersebut sekali gus meleburkan rekod skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi pada 2010 di Indonesia.

Thailand yang menggunakan khidmat pembantu jurulatih Mano Polking ekoran penggantungan ketua jurulatih Winfried Schafer nyata unggul dengan menguasai sebahagian besar permainan dengan serangan bertali arus ke kubu skuad kebangsaan.

Nasib malang menimpa skuad Harimau Malaya apabila pengadil perlawanan, Lee Min Hu dari Korea Selatan melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan, Mohamad Fadhli Mohd Shas pada minit ke-44 kerana bergaduh dengan pemain tengah Thailand, Datsakorn Thonglao.

Bersambung separuh masa kedua, Rajagobal membuat pertukaran dengan mengeluarkan pemain sayap kiri, S. Kunalan dan memasukkan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri pada minit ke-52 untuk menguatkan bahagian tengah.

Kelekaan barisan pertahanan negara kemudian membawa padah apabila penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda membuka tirai jaringan pada minit ke-60 setelah beliau memanfaatkan hantaran rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.

Lima minit kemudian, pemain pertahanan Theerathon Butmathan menjaringkan gol kedua untuk skuad 'Changsuk' (Gajah Perang) itu.

Skuad Harimau Malaya berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-81 menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha hasil sepakan percuma kapten pasukan, Safiq Rahim namun ditepis keluar oleh penjaga gol pasukan Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Keputusan tersebut menyaksikan pasukan Thailand yang muncul juara pada 1996, 2000 dan 2002 layak ke perlawanan akhir buat kali kelima.

Skuad bimbingan Winfried Schafer itu akan membuat perhitungan dengan pasukan Singapura pada perlawanan akhir yang akan diadakan secara timbal balik pada 19 dan 22 Dis.

Singapura mara ke perlawanan akhir buat kali keempat semalam selepas menundukkan Filipina, 1-0 secara agregat pada separuh akhir kedua di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Perlawanan akhir pertama akan diadakan di Singapura sebelum aksi timbal balik di Thailand.

-- BERNAMA

Monday, November 26, 2012

Malaysia Diaibkan Singapura 3-0 Aksi Pertama Piala AFF Suzuki

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia terpaksa menelan pahit setelah diaibkan oleh Singapura 3-0 di gelanggang sendiri pada perlawanan Kumpulan B Kejohanan Bolasepak Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil,Ahad malam.

Kebimbingan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal akhirnya menjadi kenyataan apabila Singapura mendahului 2-0 pada separuh masa hasil jaringan kapten Mohd Shahril Ishak pada minit ke-32 dan 37.

Harimau Malaya, yang dikritik kerana persembahan hambar pada siri perlawanan persahabatan sebelum ini, bagaimanapun bertindak garang sebaik sahaja perlawanan bermula.

Penyerang Norshahrul Idlan Talaha hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun sepakan beliau melewati pintu gol pasukan Singapura.

Tiga minit kemudian, kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim hampir memberikan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma namun ia terus ke dakapan penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud.

Kelekaan barisan pertahanan negara dihukum oleh Singapura menerusi jaringan pertama Shahril selepas beliau mendapat lorongan daripada rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohd Shahril sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat skuad kebangsaan dengan gol kedua, lima minit kemudian menerusi tandukan selepas berlaku keadaan kelam labut di hadapan pintu gol skuad negara.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, Rajagobal menggantikan Mohd Khyrill Muhymeen Zambri dengan Wan Zack Haikal Wan Nor bagi mempertajamkan jentera serangan namun masih gagal menembusi kekebalan pertahanan Singapura yang tinggi lampai seperti Baihakki Khaizan dan Daniel Mark Bennett.

Pemain naturalisasi mereka dari Bosnia, Aleksandar Duric mengesahkan kemenangan pasukan Singapura menerusi gol ketiga pada minit ke-75.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad juara tiga kali itu iaitu pada 1998,2004 dan 2007 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata manakala skuad Harimau Malaya berada di tangga tercorot daripada empat pasukan.

Selepas ini, skuad Harimau Malaya akan menentang Laos manakala Singapura akan berhadapan dengan naib juara 2010, Indonesia pada Rabu ini.

-- BERNAMA

Friday, November 16, 2012

Khairul Fahmi janji bangkit

PENJAGA gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat mahu melupakan 'kesilapan' ketika menentang Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Skuad Harimau Malaya dilihat mampu mencapai kemenangan pada perlawanan tersebut selepas membuka jaringan menerusi penyerang berbisa negara, Mohd. Safee Sali pada minit ke-58.

Begitupun, hasrat untuk meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Hong Kong 3-0 pada 16 Oktober lalu, tidak kesampaian apabila penyerang, La Ka Wei menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan.

Ia gara-gara kesilapan antara Khairul Fahmi dengan tonggak pertahanan skuad negara, Mohamad Aidil Zafuan Radzak.

"Dalam bola sepak, segalanya boleh terjadi.

"Saya akui kesilapan itu berpunca daripada salah faham dengan Aidil.

"Meskipun kami memiliki banyak pengalaman di pentas antarabangsa, ia tidak bermakna kami tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan. Apa pun saya menerima pengajaran berguna dalam perlawanan tersebut," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Khairul Fahmi berharap skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu kembali bangkit sebelum memulakan kempen pada Piala AFF Suzuki 25 November ini.

Jelasnya, skuad negara kini semakin terdesak untuk mencari rentak dan dia percaya, Harimau Malaya tidak akan mengulangi kesilapan menjelang pertemuan menentang Bangladesh dalam siri terakhir perlawanan persahabatan pada 20 November ini.

"Mungkin persembahan (menentang Hong Kong) sedikit mengecewakan tetapi saya yakin ia tidak akan berulang. kami akan kembali bangkit," kata Khairul Fahmi.

--- KOSMO

Thursday, November 15, 2012

Rentak Harimau Malaya longlai


SAFEE (kiri) menanduk masuk gol pembukaan Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam malam tadi. Malaysia dan Hong Kong seri 1-1.



APA lagi alasan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.
Keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi membuktikan betapa skuad Harimau Malaya belum mampu menunjukkan taring sebenar.
Kurang dua minggu sebelum kempen Piala AFF Suzuki 2012 bermula, Rajagobal harus segera memperbaiki setiap kepincangan yang ada dalam skuad kendaliannya itu.
Jika anak-anak buah Rajagobal terus menampilkan aksi longlai sebagaimana ditampilkan ketika menentang Hong Kong, mereka mungkin sudah boleh melupakan misi untuk mempertahan kejuaraan Piala AFF Suzuki kali ini.
Terdahulu, Harimau Malaya mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi sebelum kecundang 0-2 di tangan Thailand di Bangkok.
Dua kekalahan itu jelas sekali mencetuskan panik dalam kalangan penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan yang berharap anak-anak buah Rajagobal sekali lagi mengecap kejayaan selaku juara Piala AFF Suzuki.
Pada aksi malam tadi, Rajagobal menurunkan barisan terbaik dengan Khairul Fahmi Che Mat diberi tugas selaku penjaga gol utama.
Benteng pertahanan pula dikemudi Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak, Mohd. Bunyamin Umar, Mohd. Fadhli Shaas dan Zubir Azmi.
Jentera tengah pula diterajui kapten, Safiq Rahim sambil dibantu Amar Rohidan, S. Kunanlan dan Azzamuddin Mohd. Akil manakala Safee Sali serta Norshahrul Idlan Talaha bertanggungjawab merobek gawang Hong Kong.
Biarpun menurunkan ‘barisan impian’, Rajagobal pastinya resah melihat aksi longlai anak-anak buahnya itu yang gagal menghadirkan gerun pasukan lawan.

Dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, Harimau Malaya masih gagal merobek gawang lawan biarpun memiliki beberapa peluang menerusi percubaan Safee dan Norshahrul.

Satu-satunya peluang terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-16 menerusi gerakan Norshahrul, namun sepakan gunting Safee tersasar di sebelah kanan gawang Hong Kong.

Harimau Malaya akhirnya membuka tirai jaringan menerusi tandukan Safee pada minit ke-58.

Pasukan pelawat terpaksa beraksi 10 pemain selepas Lee Chi Ho dilayangkan kad merah oleh pengadil, Suhaizi Shukri selepas tonggak pertahanan Hong Kong itu mengasari Safee pada minit ke-82. 

Namun, di sebalik keghairahan Harimau Malaya memburu jaringan, mereka dihukum menerusi jaringan penyamaan Hong Kong oleh Lam Ka Wei pada minit ke-88 gara-gara kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi.

--- KOSMO

Tuesday, November 13, 2012

Safiq tidak hiraukan kritikan peminat

KETUA pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim tidak menghiraukan setiap kritikan yang dilemparkan ke atas skuad bola sepak negara.

Sebaliknya, bekas pemain tengah Selangor itu menegaskan, dia bersama rakan-rakan sepasukannya mahu menjadikan setiap kritikan sebagai penyuntik semangat sebelum mengharungi Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bakal membuka tirai pada 25 November ini.

Pakar sepakan percuma negara itu memberitahu, sudah tiba masanya skuad negara membuktikan tanggapan para pengkritik itu silap.

“Sebelum ini kami juga pernah melalui situasi yang lebih teruk tetapi kami tetap mengharunginya dengan tabah.

“Kami akan mengambil setiap kritikan sebagai satu cabaran dan sebagai pemain profesional kami harus memiliki ketahanan dari segi mental.

“Skuad negara mahu mengambil setiap kritik tersebut sebagai suntikan semangat dan berazam untuk membuktikan bahawa kritikan terhadap keupayaan skuad negara itu salah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu menyeru rakan-rakan sepasukannya agar terus bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam esok.

“Dalam dua perlawanan sebelum ini yang menyaksikan kami tewas 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand, merupakan keputusan biasa dalam bola sepak. Tidak semua pasukan mampu mengekalkan konsistensi. Ada kalanya prestasi turun.

“Saya berharap kami akan memperbaiki segala kelemahan selain memberikan komitmen seratus peratus bagi meraih keputusan terbaik,” katanya.

--- KOSMO

Monday, September 17, 2012

Tekanan pertahan emas lebih dirasai

TUGAS mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 menjadi keutamaan skuad Harimau Muda Malaysia.


TEKANAN mempertahankan emas temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar pastinya lebih dirasai pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee sekiranya impian ‘berguru’ di Brazil menjadi kenyataan.

Apa tidaknya, peluang meraih pengalaman beraksi di Liga Brazil pastinya mengundang 1,001 kecaman peminat fanatik tempatan sekiranya Harimau Muda gagal menterjemahkannya menjadi satu kejayaan di bumi Myanmar tahun depan.

Enggan melatah dengan situasi itu, Kim Swee sebaliknya menegaskan anak-anak buahnya sentiasa bijak mengendalikan tekanan selaku juara bertahan ‘ibu segala emas’ (emas bola sepak) pada temasya sukan SEA buat kali kedua berturut-turut.

“Sebagai juara bertahan, kami perlu melakukan sesuatu serta selalu berada di hadapan.

“Saya percaya pasukan lain seperti Indonesia, Thailand dan juga Myanmar sebagai tuan rumah tidak hanya ‘duduk diam’ tanpa sebarang persiapan rapi.

“Jadi, saya yakin kami mampu mengendalikan tekanan sebagai juara bertahan dengan sempurna tidak kira sama ada dapat menimba ilmu di Brazil ataupun tidak,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Hasrat Harimau Muda ‘berguru’ di Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA sebelum ini mendapat ‘lampu hijau’ pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Biarpun pendedahan di Brazil dilihat memberikan impak lebih positif buat anak-anak buahnya, Kim Swee menjelaskan bahawa situasi itu belum muktamad selagi belum mendapat ‘hitam putih’ daripada pihak-pihak berkenaan.

“Saya sendiri akan ke sana (Brazil) terlebih dahulu bagi mengenal pasti sama ada sesuai atau tidak Harimau Muda pergi ke Brazil. Jika hanya mendapat skuad bawah 17 tahun sebagai lawan pun tiada guna juga.

“Biarpun Brazil dilihat pilihan yang bagus, keberkesanan menimba ilmu di Slovakia seperti mana sebelum ini juga tidak boleh diketepikan sebegitu sahaja,” tegas Kim Swee.

--- KOSMO

Wednesday, September 12, 2012

Hubungan Di Antara Barisan Tengah Dengan Penyerang Perlu Diperbaiki - K.Rajagobal



SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Pemain barisan tengah dengan penyerang pasukan kebangsaan negara perlu memperbaiki hubungan mereka sekiranya mahu mempertahankan Piala AFF Suzuki semasa bermain di tempat sendiri tahun ini, kata ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal.

Beliau berkata ketiadaan hantaran bola di antara pemain tengah dengan penyerang menyebabkan pasukan negara gagal menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa melawan Vietnam di Stadium Shah Alam di sini malam tadi mengakibatkan Malaysia kalah 0-2.

Gol Vietnam dijaringkan oleh pemain penyerangnya, Le Cong Vinh pada minit ke-32 dan pemain tengah, Phan Thanh Hung di minit ke-48.

"Kebimbangan saya sekarang terhadap pemain penyerang dan di barisan tengah kerana mereka terus menerus terlepas bola dan kita lihat ketiadaan menghantar bola di antara satu sama lain di kalangan mereka.

"Kita hanya tingal kurang daripada dua bulan bagi persiapan menghadapi kejohanan tersebut, jadi saya akan mencari jalan bagi mengatasi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas selesainya perlawanan.

-- BERNAMA

Rajagobal: 'Kalah bagus buat pemain'

Noor Hafiza Che Abdullah dan Siti Fatimah Muhammad Ali
12 September 2012
K. Rajagobal
Aksi pemain Harimau Malaya dan Vietnam pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor

JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menganggap kekalahan 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi perlawanan persahabatan malam tadi sebagai sesuatu yang "bagus" buat anak buahnya.

Jelasnya, dengan kekalahan itu, ia memberi peluang kepada dirinya untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dihadapi oleh anak buahnya.

"Bagi saya, kekalahan ini satu perkara yang bagus.

"Ini kerana dengan kekalahan itu, ia memberi pengajaran kepada pemain untuk bangkit dan mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan seterusnya," kata Rajagobal ketika sidang media di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib Malaysia untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini selepas kalah kepada Vietnam, Rajagobal menegaskan, beliau tidak mahu terlalu awal menekan butang panik.

Sebaliknya, beliau menganggap peluang Malaysia masih terbuka berikutan mempunyai lebih banyak masa untuk menghadapi saingan tersebut.

"Kenapa saya perlu tekan butang panik. Bagi saya, kalah atau menang adalah adat perlawanan.

"Lagipun, apa yang penting kita perlu sentiasa yakin yang kita mampu mempertahankan kejuaraan itu.

"Saya kenal pemain saya dan saya tahu mereka mampu bangkit nanti," kata Rajagobal yang menganggap kekalahan semalam memberi peluang kepadanya untuk mengatur strategik menjelang Piala Suzuki AFF.

Mengulas lanjut prestasi semalan, Rajagobal mengakui pemainnya tidak mempamerkan aksi bertenaga.

"Rentak permainan pemain agak perlahan berbanding Vietnam yang mempamerkan aksi bertenaga.

"Malah, boleh dikatakan pemain agak sedikit tertekan untuk menghasilkan sebarang gol.

"Tapi, kekalahan ini perlu diterima. Dan jadikan ia satu pengajaran untuk terus bekerja keras mencipta kemenangan," kata Rajagobal yang sentiasa yakin dengan kemampuan pemainnya.

--- SINAR HARIAN

Wednesday, July 25, 2012

Arsenal FC Kalahkan Malaysia 2-1 Dalam Aksi Persahabatan



25 Julai, 2012 01:00 AM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal FC bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan Malaysia 2-1 pada perlawanan persahabatan sengit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa malam.

Kemenangan itu adalah yang kedua bagi kelab berkenaan yang juga dikenali sebagai 'The Gunners' selepas mengalahkan skuad kebangsaan 4-0 di venue yang sama semasa Jelajah Asia pasukan itu tahun lepas.

Pasukan negara yang diberi jolokan 'Harimau Malaya' terlebih dahulu mencemaskan The Gunners menerusi tendangan voli Mohd Safee Sali seawal minit kelima namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Arsenal, Vitor Mannone.

Marouane Chamakh hampir membuka jaringan buat kelab Inggeris itu pada minit kelapan tetapi percubaannya berjaya ditolak keluar penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias.

Anak buah Datuk K. Rajagobal berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan di separuh masa pertama apabila pemain pertahanan Mohd Azmi Muslim merembat kencang dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mannone.

Buntu untuk mencari gol penyamaan, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger membuat rombakan kepada pasukannya pada separuh masa kedua namun benteng pertahanan negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S. Subramaniam berjaya mengekang asakan pasukan lawan.

Pemain yang baharu menandatangani kontrak dengan The Gunners dari Jerman, Thomas Eisfeld berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 akibat kelalaian benteng pertahanan negara.

Pemain muda, Chuks Aneke muncul wira dengan gol kemenangan Arsenal selepas rembatannya terkena pemain pertahanan Malaysia untuk Farizal tewas buat kali kedua pada minit-minit terakhir permainan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah menyampaikan piala dan pingat kepada kedua-dua pasukan berkenaan.

Arsenal akan mengakhiri Jelajah Asia mereka menentang pasukan Kitchee FC dari Hong Kong di Stadium Hong Kong pada Ahad ini.

-- BERNAMA

Sunday, June 3, 2012

FAM Perlu Kaji Kemerosotan Skuad Harimau Malaya Dalam Perlawanan Persahabatan

Gambar: www.theborneopost.com

PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji kemerosotan skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bagi memastikan pasukan itu benar-benar bersedia mempertahan Piala AFF Suzuki pada November.

Mengambil contoh keputusan seri 1-1 ketika bertemu Filipina di Stadium Shah Alam Jumaat, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan keputusan itu jelas tidak mencerminkan kekuatan sebenar skuad Harimau Malaya.

"Malahan ramai yang berpendapat, pemain yang diturunkan semalam tidak bermain dengan sepenuh hati, jadi saya mahu FAM melihat perkara ini lebih serius kerana Kejohanan Piala AFF Suzuki akan berlangsung tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-36 di Lapang Menembak Sasar Kebangsaan di Subang hari ini.

Kejohanan 10 hari bermula esok itu menyaksikan penyertaan Taiwan, Hong Kong, Macau, Singapura, Thailand, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Malaysia selaku tuan rumah.

-- BERNAMA

Cuma perlawanan persahabatan?

REAKSI kecewa ditunjukkan bintang penyerang negara, Mohd. Safee Sali selepas Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Filipina di Stadium Shah Alam, semalam.

KUALA LUMPUR - "Tiada apa untuk dirisaukan, ini bukannya pertandingan. Perlawanan persahabatan adalah perlawanan persahabatan, apa tujuan perlawanan persahabatan, kamu patut tahu,'' itu reaksi jurulatih bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal selepas melihat Malaysia gagal menumpaskan Filipina di Stadium Shah Alam kelmarin.

Ketumpulan jentera serangan Harimau Malaya menembusi benteng lawan biarpun melancarkan serangan bertali arus sedikit pun tidak menggusarkan Rajagobal, sebaliknya beliau lebih gemar melihat aspek positif, iaitu mutu persembahan keseluruhan yang dipamerkan anak-anak buahnya.

Tegas Rajagobal lagi, apa yang mustahak mengenai aksi persahabatan antarabangsa bukanlah keputusannya semata-mata, sebaliknya ia menjadi pentas untuk menguji prestasi keseluruhan pemain.

"Memang benar kita berpeluang untuk memenangi perlawanan ini, Kita mensia-siakan 15 hingga 16 peluang jaringan dan memang patut memenanginya.

"Kamu perlu melihatnya secara positif, kami berjaya menangani sebuah pasukan yang amat kuat secara fizikal, malah dapat juga mempamerkan kombinasi permainan mantap.

"Jadi, lebih baik kita melihatnya secara positif daripada yang negatif. Dalam proses (persiapan menghadapi misi mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini) itu, saya nak beritahu bahawa kita akan memperolehi pelbagai keputusan.

"Ada masa menang dengan jaringan besar, ada masa kita seri dan ada masa kita akan kalah. Sebagai jurulatih, saya mahu tengok keseluruhannya.

"Lihatlah pasukan-pasukan pilihan yang membuat persiapan Euro 2012, mereka juga memerlukan masa untuk mendapatkan momentum, jurulatih dan pengurus mereka juga tak berapa risau," ujar Rajagobal pada sidang akhbar selepas perlawanan kelmarin.

Untuk rekod, Malaysia yang tugasan antarabangsa seterusnya bertemu Singapura pada 8 dan 12 Jun ini, telah mencatat empat kemenangan dan tiga seri dalam kesemua tujuh aksi persahabatan setakat ini.

Malaysia menewaskan Kelantan 5-0, Sabah (1-0), Filipina (1-1), Sarawak (1-1), Sri Lanka 6-0) dan Felda United (2-1).

Rajagobal juga gembira dan memuji kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemainnya dalam usaha merebut tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Ia mewujudkan persaingan sihat antara mereka dan memberikan saya lebih banyak pilihan. Masih ada lagi pemain yang baik dan belum saya panggil seperti Khyril Muhymeen (Zambri), Badrol (Bakhtiar), Fakri (Shaarani), Hazwan (Bakri) dan Muslim (Ahmad)," jelasnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Wednesday, April 25, 2012

Manchester City FC lawan Harimau Malaya 30 Julai

25 April 2012
Manchester City FC melawan Harimau Malaya
Manchester City FC melawan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR - Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City Football Club (Manchester City) akan mengadakan kunjungan julung kali ke Malaysia dan dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya pada 30 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Ketua Pegawai Jenama Komersil Manchester City Ian Cafferky berkata pasukan yang menjadi pencabar pilihan Liga Juara-Juara itu berjanji akan membariskan pemain utama mereka dan ini merupakan peluang para peminat pasukan Sky Blues.

"Kami akan membawa setiap pemain yang ada ke Malaysia. Lawatan ini sangat mengujakan pasukan Manchester City FC.

"Ini jelas membuktikan terdapat satu keghairahan ketara terhadap Liga Perdana (Inggeris) di Malaysia dan kami sangat teruja untuk membawa pasukan kami menemui para peminat di Asia Tenggara dan menyaksikan sendiri keterujaan peminat adalah suatu pengalaman yang menarik," katanya pada sidang media mengenai Jelajah Kelab Bola Sepak EPL oleh ProEvent International di sini hari ini.

Turut hadir Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad, Ketua Jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Events International Sdn Bhd (Pro Events) Julian Kam.

Sementara itu, Rajagobal berkata kehadiran pasukan Sky Blues ke negara ini dan mengadakan perlawanan persahabatan merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan kerana Malaysia sekali lagi dipilih oleh satu daripada kelab utama Inggeris sebagai sebahagian daripada latihan persediaan pramusim pasukan.

"Ini adalah peluang skuad negara untuk bermain bersama pasukan bertaraf dunia. Tumpuan kita adalah persiapan Piala AFF Suzuki. Saya nak beri peluang kepada mereka (Harimau Malaya) bermain dengan pemain kegemaran mereka.

"Saya harap skuad negara dapat belajar sesuatu daripada mereka, kita kena fikir secara positif daripada menyatakan perlawanan ini tidak sesuai untuk skuad," kata Rajagobal.

Beliau berkata dua perlawanan persahabatan dengan skuad antarabangsa iaitu Arsenal FC dan Manchester City telah diatur pada bulan Ramadan ini adalah tepat dan perlu dilihat dengan positif.

"Kita cuba fikir, mengapa kelab-kelab ini datang ke Malaysia, kemungkinan dia tahu kemudahan di Malaysia terbaik dan mereka melihat pasukan kita ada peningkatan. Ini penghormatan pada kita.

"Wakil mereka juga memberitahu bahawa Manchester City serius membawa pemain yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

Skuad Harimau Malaya turut dijadualkan mengadakan perlawanan persahabatan menentang satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris, Arsenal pada 24 Julai nanti.- Bernama

--- SINAR HARIAN

Thursday, March 8, 2012

Skuad Olimpik tekad raih satu mata

azlanmz@hmetro.com.my
Oleh Azlan Muhammad Zain

SEANDAINYA tidak mahu dilabelkan pasukan belasahan, skuad Olimpik negara perlu bangkit meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi terakhir kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C Zon Asia, menentang Syria pada Rabu depan.

Sehingga kini skuad kendalian jurulatih Ong Kim Swee itu adalah pasukan tunggal yang gagal meraih mata berbanding 11 pasukan lain yang bersaing dalam pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 selepas mengharungi lima perlawanan.


Skuad Olimpik negara kini menghuni tangga terbawah Kumpulan C selepas tewas dua kali kepada Jepun dan Bahrain selain tewas 0-2 kepada Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November tahun lalu.

“Kami memang mengharapkan sekurang-kurangnya satu mata namun sekiranya tiga mata mampu diraih, ia adalah sesuatu yang menggembirakan bagi menamatkan saingan ini dengan lebih bermakna. “Kami tidak tertekan kerana sudah tidak layak namun sebaliknya buat Syria kerana mereka memerlukan kemenangan untuk memastikan tempat kedua kekal dan layak ke pusingan play-off.


“Jadi saya mengharapkan semua pemain, terutamanya muka baru mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan ini kerana jurulatih (Kim Swee) akan menggunakan kesempatan ini sebagai salah satu medan untuk menilai pemain bagi menggalas cabaran pada kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pertengahan tahun ini,” kata penolong jurulatih, Hassan Sazali.


Seramai 22 pemain melaporkan diri petang semalam bagi persiapan menentang Syria yang berlangsung di gelanggang berkecuali iaitu Stadium Antarabangsa Raja Abdullah di Amman, Jordan.

Hanya kapten pasukan yang juga penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat serta pertahanan Terengganu, Mohd Zubir Azmi diberikan pelepasan bersama pasukan masing-masing yang bersaing dalam pusingan kedua Piala FA pada Sabtu dan perlu melaporkan diri bersama skuad Olimpik sehari selepas itu.


Selain mengekalkan kebanyakan pemain Harimau Muda A, Kim Swee turut memanggil dua muka baru iaitu Rozaimi Abd Rahman (Sabah) dan Ashri Chu Chu (Sarawak) dengan enam pemain akan digugurkan sebelum terbang ke Jordan.


--- HARIAN METRO

Sunday, February 26, 2012

'Nasib baik bukan perlawanan antarabangsa'

KOTA KINABALU - Datuk K. Rajagobal menganggap kemenangan tipis 1-0 ke atas Sabah dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin memadai buat pasukan negara.

Ketua jurulatih negara itu menjelaskan, pemainnya gagal membuktikan kekuatan sebenar apabila tampak keletihan dalam perlawanan tersebut hingga membataskan pergerakan pantas mereka.

''Kita boleh nampak ada sedikit keletihan. Boleh nampak pemain-pemain tidak bermain macam apa saya harapkan, menggerakkan bola dengan pantas. Kami juga tidak berapa agresif.

''Nasib baik ini bukan perlawanan antarabangsa. Sabah bermain dengan agresif dan saya sebenarnya nak lihat macam mana pemain kebangsaan menghadapi situasi seperti ini.

''Saya kira, (perlawanan) ini adalah persiapan yang baik sebelum kita bertandang ke Filipina," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, malam kelmarin.

Dalam pertemuan itu yang disaksikan lebih 20,000 penonton itu, pasukan Malaysia menewaskan Sabah dengan jaringan 1-0 yang dihasilkan lewat babak kedua perlawanan.

Meskipun beraksi di bawah keupayaan sebenar, pasukan negara berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan menerusi jaringan Amar Rohidan pada minit ke-79.

Malaysia berpeluang membuka tirai jaringan awal tetapi percubaan Sharudin Yakub minit ke-13 tinggi melepasi tiang gol.

Tidak dinafikan, Sabah boleh berpesta gol malam itu selepas menyaksikan kerapuhan benteng pertahanan negara yang gagal menghalang asakan bertali arus Zainizam Marjan, Michael Baird dan Brendan Gan.

Cuma pasukan tuan rumah tidak bernasib baik apabila banyak percubaan yang dilakukan tersasar dan berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Farizal Marlias.

Rajagopal berkata, pemainnya tetap bermain baik di sebalik tekanan dan serangan daripada Sabah.

''Saya mahu lihat dan uji pemain yang saya ganti kerana saya tidak akan tahu (keupayaan) mereka dan kita mungkin tidak nampak corak permainan itu mungkin lebih efektif dengan pertukaran pemain-pemain.

''Hanya saya tidak boleh turunkan Safee Sali sepenuh masa kerana semalam dia cedera dan saya tak nak ambil risiko dan kalau Norshahrul Idlan Talaha ada di sini mungkin peminat boleh melihat kekuatan sebenar pasukan kita," ujarnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Saturday, February 25, 2012

Harimau Malaya Hanya Sempat Sumbat Satu Gol Menentang Sabah

25 Februari, 2012 00:11 AM

KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) -- Skuad kebangsaan iaitu Harimau Malaya mengatasi pasukan Liga Super, Sabah 1-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas di sini Jumaat malam.

Ahmad Rohidan menjadi penyelamat maruah skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol tunggal itu pada minit ke-80.

Beraksi di hadapan kira-kira 20,000 penonton, Malaysia, yang dinobatkan juara Piala AFF Suzuki 2010, nyata mendominasi permainan selepas mendapat peluang awal membuka jaringan menerusi sepakan Mohd Zaquan Adha di luar kotak penalti.

Separuh masa perlawanan menyaksikan Sabah mencipta empat percubaan untuk membolos pintu gawang Malaysia namun gagal.

Pada babak kedua, penonton negeri di Bawah Bayu itu hampa apabila jaringan pemain tengah Rozaimi Abdul Rahman dibatalkan kerana terkena tangan selepas menerima hantaran lintang pemain import Michael Biard pada minit ke-60.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...