PEMEGANG saham terbesar Atletico Madrid, Miguel Angel Gil menyatakan kelab Sepanyol itu menolak tawaran lumayan Chelsea RM250 juta dalam usaha mendapatkan Sergio Aguero dan Diego Godin.
Atletico sebelum itu menolak bidaan RM188 juta daripada Real Madrid yang ingin menggunakan khidmat ‘Kun’ Aguero.
“Semalam, saya menerima tawaran RM188 juta daripada Madrid untuk pembelian Aguero, namun dia bukan untuk dijual.
“Minggu ini, Chelsea sanggup mengeluarkan perbelanjaan RM25 juta untuk ‘Kun’ dan Godin, namun jawapannya tetap sama.
“Saya tidak berminat berunding dengan Real Madrid atau mana-mana pasukan buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu enggan mengulas mengenai pembelian dua pemain Atletico untuk dibawa ke England, musim ini.
MADRID: Real Madrid menyingkirkan musuh dari bandar sama, Atletico daripada Piala Raja-Raja dengan kemenangan 1-0 dalam suasana perlawanan tegang di Calderon untuk mara ke pusingan empat terakhir menerusi agregat 4-1. Cristiano Ronaldo menambah jumlah jaringan peribadinya musim ini dengan ledakan pada minit ke-23 untuk menjelmakan separuh akhir timbal balik menentang juara bertahan, Sevilla selepas kelab Andalusia itu menyingkirkan Villarreal, Selasa lalu.
Ketegangan menyelubungi pelosok stadium barat daya ibu negara Sepanyol itu ketika penyokong Atletico mencemuh jurulatih Real, Jose Mourinho dan beberapa pemainnya.
Pelawat yang belum pernah menang piala domestik Sepanyol sejak 1993, terlebih dulu dikejutkan apabila kawalan bola Iker Casillas dirampas oleh Jose Antonio Reyes, yang menghalang sepakan penjaga gol Sepanyol itu yang mahu mengeluarkan bola tetapi Reyes gagal memanfaatkan lantunan bola.
Pasukan tuan rumah kemudian disentak dua kali berturut-turut. Sergio Ramos diberikan terlalu banyak ruang di sayap kanan dan Ronaldo meluru laju ke dalam kotak penalti untuk merembat tinggi ke dalam gawang.
Ia adalah jaringan ke-32 penyerang Portugal itu sepanjang musim yang menyusul selepas jaringannya pada kemenangan 3-1 timbal balik pertama di Bernabeu. Reyes kemudian terpaksa meninggalkan padang berikutan kecederaan lutut ketika bertembung dengan Alvaro Arbeloa dan bekas pemain sayap Arsenal itu, yang pernah beraksi untuk Real, digantikan Diego Costa. - Reuters
MADRID - Diego Forlan menjaringkan dua gol ketika Atletico Madrid menang 4-1 ke atas Valencia, yang menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain pada aksi La Liga, kelmarin.
Walaupun kalah, Valencia kekal di tangga ketiga dengan 46 mata, manakala Atletico naik ke tangga ke-11 dengan 30 mata.
David Silva meletakan Valencia di depan pada minit ke-20, apabila mengelecek penjaga gol, David de Gea sebelum mudah meletakan bola ke dalam gawang.
Forlan menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-30, selepas bola didakwa terkena tangan Carlos Marchena.
Pengadil, Perez Burrull tidak terus mengenakan hukuman, sehingga Atletico menyakinkan Burrull, yang mendapat pengesahan daripada pegawai keempat perlawanan.
Sergio Aguero meletakan Atletico di depan menerusi tandukan hasil sepakan sudut Simao Sabrosa pada minit ke-78, iaitu jaringan ke-50 dalam liga Sepanyol.
Forlan sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-85 dan Jose Manuel Jurado menambah gol keempat pada masa kecederaan.
"Saya gembira dengan kemenangan ini, kami amat memerlukan tiga mata,'' kata Aguero.
Sabtu lalu, Barcelona mengalahkan Malaga 2-1 untuk kekal di tangga teratas liga.
Real Madrid menjadi pendahului sementara selepas menang 5-1 ke atas Tenerife sebelum itu.
Barcelona mengumpul 61 mata dan Madrid di tangga kedua dengan 59 mata.
Dalam perlawanan lain kelmarin, Joseba Llorente menjaringkan gol untuk Villarreal mengalahkan Deportivo La Coruna 1-0, dan semakin menghampiri slot untuk layak ke kejohanan Eropah.
Pemain penyerang itu menjaringkan gol pada minit ke-35, untuk menjulang Villarreal ke tangga kelapan dalam liga dengan 32 mata.
Mallorca naik ke tangga kelima dengan 40 mata, selepas menang 2-1 di Valladolid, hasil jaringan babak akhir perlawanan Julio Alvarez.
Kemenangan itu mengurangkan perbezaan dengan Sevilla, di tangga keempat dengan 43 mata, selepas seri 0-0 dan beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua, ketika menentang Athletic Bilbao. - AP