Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Polis. Show all posts
Showing posts with label Polis. Show all posts

Monday, August 25, 2014

PDRM Kekal Rekod Tanpa Kalah Pusingan Pertama Piala M'sia


KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan diri dalam kedudukan selesa ke suku akhir Piala Malaysia 2014 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah pada pusingan pertama perlawanan peringkat kumpulan malam ini.

PDRM, selaku juara Liga Perdana musim ini, melengkapkan pusingan pertama dengan rekod bersih selepas mengalahkan T-Team 4-1 bagi saingan kumpulan D di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

'The Cops' membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Bobby Gonzales, seterusnya pemain import, Ashfaq Ali yang berasal dari Maldives, meledakkan gol kedua pada minit ke-23 dan Bobby sekali lagi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66.

Seterusnya, Charles Souza Chad mengesahkan kemenangan PDRM menerusi jaringan keempat pada minit ke-83 manakala gol tunggal T-Team disumbangkan oleh pemain import dari Rwanda, Jimmy Mulisa pada minit ke-86.

Dalam pada itu, pasukan Pahang gagal mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tewas 2-3 kepada Felda United dalam saingan kumpulan A di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dua gol Felda United dijaringkan oleh pemain import Edward Junior Wilson dari Liberia pada minit ke-23 dan minit ke-63, seterusnya gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh Shukor Adan (76') manakala gol Pahang dijaringkan oleh R.Gopinathan pada minit ke-17 dan sepakan penalti Matias Conti (49').

Selangor pula menduduki tempat kedua kumpulan D dengan pungutan enam mata selepas menewaskan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pemain import skuad Gergasi Merah, Paulo Rangel menjaringkan gol pertama pada minit ke-16 dan Mohd Hazwan Bakri (34').

Bagi perlawanan kumpulan C pula, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatatkan kemenangan selesa menewaskan pasukan tuan rumah Pulau Pinang 3-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

JDT meraih gol pertama menerusi Mohd Amri Yahyah pada minit ke-13, Safiq Rahim (15') dan pemain import, Jorge Pereyra Diaz (67') manakala gol tunggal pasukan tuan rumah menerusi Lee Gil Hoon (65').

JDT kekal mendahului Kumpulan C dengan pungutan tujuh mata manakala Kelantan berada di tangga kedua, dengan enam mata selepas menewaskan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Shah Alam.

Selepas terikat 0-0 pada separuh masa pertama, 'The Red Warriors' menerusi pemain import mereka Francis Forkey Doe berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-51 diikuti dua gol oleh Mohd Badhri Radzi pada minit ke-60 dan 89'.

Sementara itu, pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menewaskan wakil dari Singapura, Lions XII 2-1 bagi saingan kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Fandi Ahmad menjadi wira pasukan JDT II apabila menjaring gol kemenangan pada minit ke-84.

Gol pertama JDT II dijaringkan oleh Shafiq Shaharudin pada minit ke-21 sebelum Lions XII menyamakan kedudukan menerusi Hafiz Abu Sujad pada minit ke-51.

Perlawanan kumpulan B pula, menyaksikan Terengganu menewaskan Perak 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol Terengganu itu dihadiahkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-30 dan Mohd Norfarhan Muhammad (50') manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Mohd Nasir Basharudin (32').

Satu lagi saingan kumpulan B, Sarawak gagal menggunakan kelebihan bermain halaman sendiri apabila kalah 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Billy Mehmet menjadi wira pasukan Kedah dengan jaringan pada minit masa tambahan babak kedua. Kedah membuka jaringan menerusi Muhd Farhan Roslan pada minit ke-33 sebelum penyerang import Ryan Griffiths menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

-- BERNAMA

Saturday, May 25, 2013

Kelantan Langkah Sebelah Kaki Ke Final Piala FA


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Piala FA, Kelantan melangkah sebelah kaki ke final setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu malam Sabtu.

Dengan kelebihan itu, Kelantan selaku juara trebel musim lepas membawa bekalan selesa dan tidak perlu bekerja keras apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, Selasa ini.

Skuad Penyu bermula garang apabila mengejutkan Kelantan menerusi gol pembukaan yang dijaringkan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin menerusi tandukan seawal minit kedua perlawanan.

Tertekan dengan kedudukan itu, Kelantan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' kembali bangkit pada babak kedua perlawanan apabila Dickson Nwamuso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Kelantan menambah duka Terengganu apabila Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-89 manakala Obinna Nwaneri menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani yang berjaya melepasi pertahanan lawan mengesahkan kemenangan bagi pasukan Kelantan apabila meledakkan gol pada masa tambahan.

Nasib berbeza menimpa pasukan Johor Darul Takzim apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad bimbingan Fandi Ahmad perlu memperoleh jaringan besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan pusingan kedua Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke final.

Pemain Import dari Brazil skuad Harimau Selatan, Leonel George Nunuez menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Kedah mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-32, Alen Guc (minit ke-42 dan ke-58) dan Mohd Sabre Mat Abu pada minit ke-48, manakala gol saguhati PDRM disumbangkan Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-68.

-- BERNAMA

Tuesday, January 22, 2013

PDRM Terus Ungguli Liga, Walaupun Catat Keputusan Seri



KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus mendahului pasukan lain dalam saingan Liga Perdana walaupun hanya mencatat keputusan seri 1-1 ke atas Pos Malaysia pada perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka Isnin.

Skuad bimbingan R.Nallathamby itu kini mengumpul 13 mata untuk mendahului 11 pasukan lain.

Sementara itu, Kedah berjaya melonjak ke tangga kedua carta liga setelah mengalahkan Sabah 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Pasukan Kuala Lumpur pula menang tipis 1-0 ke atas Perlis di Stadium Utama, Kangar dan Syafiq Johari menjadi wira apabila menjaring gol kemenangan pada minit ke-44.

Di Stadium Pasir Gudang, pasukan Johor menewaskan pasukan tercorot UiTM 2-0, meneruis kesilapan pemain UiTM Mohd Khairul Ismail yang memberi mata percuma kepada tuan rumah apabila menjaring gol sendiri pada minit ke-37 dan Kapten pasukan Johor Mohd Farid Ramli mengganda jaringan pada minit ke-90.

Pasukan Betaria FC mencipta kemenangan pertama pada musim ini setelah mengalahkan pasukan S.P.A, 3-2 di Stadium Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sime Darby pula seri tanpa jaringan dengan Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

-- BERNAMA



Tuesday, January 8, 2013

Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia Dan Polis Kutip Tiga Mata Penuh Liga Perdana


KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan saingan Liga Perdana dengan langkah kanan apabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan Isnin.

PDRM mencatat kemenangan besar apabila membelasah Negeri Sembilan Betaria 5-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan Sarawak pula menang tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Utama Kangar, sementara Impian Kedah untuk memperoleh kemenangan sulung menjadi kenyataan setelah mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengalahkan pasukan berstatus kelab, S.P.A Putrajaya 2-1.

Pos Malaysia pula mencatat kemenangan tipis 3-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang smentara pada perlawanan sebelah malam di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, pasukan Johor seri tanpa jaringan 0-0 kepada Sime Darby.

-- BERNAMA

Monday, February 21, 2011

Seladang belasah PDRM (Harian Metro Online)

EMPAT gol yang diledak anak buahnya ketika menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada saingan Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin melegakan ketua jurulatih Perak, Norizan Bakar.

“Ini petanda baik kepada pasukan. Saya harap keadaan ini berterusan dan jentera serangan Perak terus konsisten,” katanya.

Pada perlawanan itu, gol-gol Perak disumbang Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Muhammad Shafiq Jamal, Razali Kandasamy dan ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapa.

Begitupun seperti biasa jurulatih itu mengingatkan anak buahnya tidak terlalu yakin berikutan kemenangan terbaru itu.

“Tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana kami belum menang apa-apa. Ini baru permulaan dan perjalanan kami masih jauh. “Saya harap pemain tumpukan perhatian terhadap tugasan yang mendatang,” katanya.

Norizan atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Jan berkata, masih ada kelemahan berdasarkan persembahan menentang PDRM itu.

“Sebenarnya setiap perlawanan mendedahkan kelemahan dan kepincangan baru pasukan. Usaha perlu diteruskan untuk memperbaiki kepincangan itu,” katanya.

Jurulatih itu bagaimanapun lega kerana memiliki beberapa hari untuk memperbaiki kelemahan anak buahnya sebelum turun bertemu Pahang di Kuatan, Sabtu ini.

“Tempoh sebelum ke Kuantan akan digunakan memantapkan lagi pasukan.

“Pemain perlu terus bekerja kuat agar kami turun dalam keadaan terbaik untuk menghadapi pertemuan dengan Pahang nanti,” katanya.

Saturday, January 22, 2011

Polis ujian terakhir skuad NS (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/22

Wan Jamak nilai kemantapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia

SELEPAS merakamkan lima kemenangan, satu seri dan satu kalah dalam perlawanan pemanas badan, Negeri Sembilan akan terus menguji barisan pemainnya pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Polis di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini, dalam usaha menilai kemantapan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia bermula 29 Januari ini.

Ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, berkata perlawanan persahabatan terakhir itu penting untuknya menilai prestasi pemain dan mengenal pasti setiap kelemahan yang ada dalam pasukan selain memberi peluang memuktamadkan senarai kesebelasan utama sebelum turun menentang Harimau Muda A pada aksi permulaan Liga Super nanti.

“Memandang hanya tinggal kira-kira seminggu lagi saingan Liga Super akan membuka tirainya, perlawanan persahabatan terakhir menentang Polis malam esok (ini) boleh dianggap penting kerana ia menjadi sebahagian daripada persiapan terakhir pasukan sebelum memulakan cabaran musim, baru ini.

“Justeru, saya amat berharap pemain Negeri Sembilan dapat menunjukkan persembahan terbaik dan beraksi pada tahap keupayaan sebenar dengan catatan kemenangan sebagai bukti keberkesanan terhadap persiapan rapi yang dibuat sejak pertengahan November lalu,” katanya semalam.

Beliau bagaimanapun mengakui Negeri Sembilan sudah bersedia dari segala aspek untuk memulakan cabaran sekalipun terdapat beberapa pemain yang masih dalam proses mengembalikan kecergasan susulan kecederaan yang dialami antaranya membabitkan Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dan Mohd Farizal Harun.

Sunday, February 21, 2010

Piala FA: Kelantan tersingkir awal (Kosmo)

KELANTAN tersingkir daripada saingan Piala FA selepas sekadar seri 1-1 dengan Kedah pada aksi kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan Kedah layak ke pusingan suku akhir menerusi jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi pertama di Alor Setar, minggu lalu.

Pada aksi malam tadi, Kelantan berada di depan hasil jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-71.

Baddrol Bakhtiar muncul wira Kedah selepas menjaringkan gol penyamaan tiga minit kemudian.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-0.

Negeri Sembilan layak ke suku akhir menerusi kemenangan agregat 8-2.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menang 2-1 ke atas Sarawak seterusnya layak ke saingan suku akhir dengan agregat 4-1.

Di Stadium Perak, Ipoh, Perak gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 0-2 kepada T-Team.

Kemenangan tersebut membolehkan T-Team mara ke pusingan suku akhir secara agregat 3-1.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, KL Plus seri 1-1 dengan Kuala Lumpur. Namun KL Plus layak ke suku akhir dengan agregat 4-1.

Di Stadium MP Selayang, Pos Malaysia menewaskan Felda United 2-1, sekali gus mara ke suku akhir dengan agregat 3-2.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, biarpun tewas 0-1 kepada PKNS, juara bertahan, Selangor tetap mara ke peringkat suku akhir menerusi kemenangan agregat 2-1.

Di Stadium Mini UiTM Arau, Perlis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menang 3-0 ke atas UiTM FC. ATM layak ke suku akhir dengan agregat 6-0.

Wednesday, February 17, 2010

Kelantan berdepan tugas sukar (Berita Harian)

Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Bashah Zainol Abidin, Hamid Salleh dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my


PEMAIN Kedah, Azlan Ismail (kirI) melepasi pemain Kelantan, Mohd Rizal Fahmi pada saingan Piala FA di Stadium Darulaman, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

FINALIS tahun lalu, Kelantan berdepan ranjau agak sukar sekalipun memaksa Kedah seri 0-0 dalam perlawanan pertama, pusingan kedua kejohanan bola sepak Piala FA di Stadium Darulaman, malam tadi.

Keputusan ini bermakna sebarang keputusan seri dengan jaringan di tempat sendiri, Sabtu ini bakal menyingkirkan Kelantan ketika hanya kemenangan boleh menjamin laluan The Red Warriors meneruskan cabaran, musim ini.

Di Stadium Sarawak, Sarawak gagal menggunakan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila kecundang 2-0 kepada Terengganu dengan pelawat mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Joseph Kalang Tie, minit ke-60 dan Abdul Manaf Mamat, minit ke-78.

Satu lagi pasukan berpangkalan di Terengganu, T-Team seri 1-1 dengan Perak apabila Haris Safwan Kamal memastikan saingan kekal terbuka dengan merembat masuk gol penyamaan minit ke-80 minit - lima minit selepas Azmeer Yusof membuka tirai jaringan.

Di Stadium Paroi, Polis yang berkongsi gelanggang sama dengan Negeri Sembilan seri 3-2 dengan Zaquan Adha menjadi wira Negeri Sembilan apabila menyumbat dua gol minit ke-25 dan 74, ditambah jaringan S Kunanlan minit ke-70. Eddy Gapil (minit ke-30) dan S Haribarman (m-82) membalas buat Polis yang sekali lagi akan bertandang ke Stadium Paroi. Dalam perlawanan lain Felda United menang 1-0 ke atas Pos Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...