Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala FA 2011. Show all posts
Showing posts with label Piala FA 2011. Show all posts

Tuesday, June 14, 2011

Pemain, Pegawai Dan Pengurus Skuad Penyu Terima Ganjaran

14 Jun, 2011 13:53 PM

KUALA TERENGGANU, 14 Jun (Bernama) -- Pemain bola sepak pasukan Terengganu, pengurus dan pegawai menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai RM10,000 seorang.

Lebih istimewa, skuad penyu akan dibawa ke London dan penaja utama skuad penyu iaitu Top IT turut menghadiahkan komputer riba kepada pasukan itu.

Ganjaran berkenaan diberikan setelah skuad penyu berjaya meraih gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA, setelah menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis meraikan Skuad Penyu dan wira-wira Sukan Malaysia ke-14 di Dataran Shahbandar malam tadi yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong.

Pada majlis yang sama, sekali lagi Piala FA dan Piala Sukan Malaysia diarak dan dipamerkan kepada orang ramai.

Sementara itu Ahmad mengigatkan para pemain agar tidak leka dan lalai dengan ganjaran yang diberikan kepada mereka.

Katanya dengan ganjaran yang diberikan kepada pemain diharap dapat menyuntik semangat para pemain untuk terus memburu kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu bagi atlet Sukan Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas, kerajaan negeri memberi ganjaran wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 bagi pemenang pingat gangsa.

Dalam pada itu Menteri Besar itu turut mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri itu Ahad ini sempena kemenangan membawa pulang Piala FA dan juga sempena kejayaan kontinjen Terengganu menjuarai Sukan Malaysia ke-14 di Kuala Lumpur, buat kali ketiga berturut-turut.

-- BERNAMA

Monday, June 13, 2011

PBSNT Berhasrat Letak Piala FA Di Muzium Negeri Terengganu

12 Jun, 2011 20:29 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhasrat untuk meletakkan Piala FA yang dimenanginya setelah menewaskan Kelantan 2-1 malam tadi di Muzium Negeri Terengganu.

Presidennya Datuk Che Mat Jusoh berkata bagaimanapun satu rundingan akan dilakukan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Katanya setakat ini PBSNT telah mengadakan perbincangan bersama pihak FAM sama ada untuk menyerahkan kembali piala tersebut kepada FAM ataupun diberikan kepada negeri pemenang.

"Kita akan membuat rayuan terakhir dalam masa terdekat kepada pihak FAM bagi membolehkan meletakkan piala kebanggaan rakyat Terengganu di muzium negeri untuk tatapan peminat," katanya kepada pembeita di sini, hari ini.

Menurut beliau piala berkenaan akan diletakkan di negeri ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan pemain serta penyokong yang tidak jemu memberi sokongan dalam arena bola sepak.

Skuad Terengganu penyu berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi penjulang terakhir trofi yang diperkenalkan pada 2005 itu, yang sempat digunakan untuk tujuh edisi.

Trofi baru akan diperkenalkan untuk edisi musim depan.

Sementara itu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hampir 5,000 rakyat Terengganu membanjiri ruang ketibaan lapangan terbang itu bagi menyambut kepulangan wira-wira Terengganu yang berjaya menjulang Piala FA malam tadi.

Kesemua pemain bersama piala kemudiannya diarak dari LTSM sehingga ke Dataran Shahbandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Berpuluh-puluh buah kenderaan peminat pasukan itu turut mengiringi sambil mengibarkan bendera negeri dan membunyikan hon kereta sepanjang perjalanan ke Shahbandar petang tadi.

Sambutan secara besar-besaran juga diadakan di Dataran Shahbandar bagi membolehkan peminat serta penyokong melihat piala itu dari dekat.

Terengganu menamatkan kemarau selama 11 tahun untuk menjulang Piala FA selepas berjaya menumpaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

-- BERNAMA

Skuad Kijang kena terima kekalahan

PENYERANG utama Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha menganggap kegagalan membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke Kota Bharu dipikul bersama oleh semua pemain dan bukannya hanya terletak dibahu Mohd Daudsu Jamaludin.

Katanya, adalah tidak wajar rakan sepasukannya itu dipersalahkan sebagai punca kekalahan Kelantan 2-1 di tangan Terengganu di final kelmarin kerana menjaringkan gol sendiri di penghujung babak kedua.

“Saya rasa dia (Daudsu) nak keluarkan bola, tapi bola itu secara tiba-tiba masuk. Kalau saya di tempat dia pun saya tak boleh terima. Satu pasukan kena terima kekalahan ini,” katanya Norshahrul yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Daudsu yang bertindak di posisi pertahanan kanan menjaringkan gol sendiri ketika cuba menyelamatkan percubaan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat.

Gol itu membolehkan Terengganu mengikat kedudukan 1-1 sebelum bangkit mencipta kemenangan pada masa tambahan untuk menjulang trofi Piala FA buat kali kedua.

Norshahrul yang turut dikenali dengan panggilan Mat Yo, menyuarakan rasa kekecewaan kerana gagal menunaikan janji untuk menghadiahkan kemenangan buat ribuan penyokong The Red Warriors yang memberikan sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Mental semua pemain terjejas apabila tersentak dengan gol penyamaan Terengganu di saat-saat akhir. Kami cuba bangkit tapi semua pemain kepenatan tapi kami tetap mencuba,” katanya.

----- Harian Metro Online

Saya minta maaf: Daudsu



“SAYA minta maaf di atas kesilapan yang berlaku,”. Demikian luahan pemain pertahanan kanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin selepas tertanduk masuk bola ke gawang sendiri pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Jaringan Daudsu pada masa kecederaan itu membolehkan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mengheret The Red Warriors ke masa tambahan sebelum muncul juara menerusi kemenangan 2-1 hasil jaringan pemain gantian, Ahmad Nordin Alias pada minit ke-110.

“Saya tidak sengaja tertanduk bola ke gawang sendiri ketika cuba berusaha mengeluarkan bola rembatan kencang pemain Terengganu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Cukup perit mengingatkan kejadian itu. Bukan itu sahaja, saya tidak tidur lena memikirkan kekalahan kelmarin kerana hanya beberapa saat sahaja wisel dibunyikan untuk kami menjulang Piala FA buat kali pertama dalam sejarah bola sepak Kelantan.

“Saya akui, selepas gol penyamaan itu moral pemain merudum malah penyokong juga terkejut kerana sudah bersedia meraikan kejayaan pasukan,” kata pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin yang membuka ruang buat Terengganu mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas tertanduk bola ke gawang sendiri.

Menceritakan kembali detik hitam dalam perlawanan tersebut, Mohd Daudsu menjelaskan cuba menanduk keluar rembatan kencang Abdul Manaf Mamat yang cuba ditepis keluar penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Ia berlaku dalam sekelip mata, saya berlari ke arah pintu gol untuk menutup ruang kerana Khairul Fahmi sudah keluar menyelamatkan keadaan namun bola rembatan Abdul Manaf cukup kencang dan saya tertanduk masuk ke gawang sendiri.

“Dua pemain Terengganu, Mazlizam Mohamad dan Joseph Kalang Tie ketika itu berada di belakang saya. Kalau tidak menutup ruang mungkin mereka berjaya menjaring gol namun saya pula tersilap langkah,” katanya.

Sambil menepis tanggapan segelintir peminat yang mendakwa Kelantan sudah mengatur perlawanan di sebalik kekalahan tersebut, Daudsu menjelaskan tidak ada mana-mana pasukan beraksi dalam perlawanan akhir mahu pasukan mereka kalah.

“Maruah pasukan negeri terletak di tangan pemain Kelantan. Tidak terlintas sedikit pun bagi kami melakukan perkara sedemikian apabila diberi peluang menyarung jersi negeri.

“Kalau hendak bagi kalah awal-awal, tak perlulah kita main sampai ke perlawanan akhir,” katanya

----- Sinar Harian Online

Cuti ke London menanti pemain


BUKIT JALIL – Impian pemain pasukan Terengganu untuk melancong ke London menjadi kenyataan sekiranya memenangi piala FA menentang Kelantan di Stadium Bukit Jalil.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang ditemui wakil sinar harian Terengganu di pintu masuk ruang kenamaan Stadium Bukit Jalil berkata, sehingga kini pendirian Kerajaan Negeri tidak berubah.

Beliau berkata, insentif lain juga akan difikirkan kemudian bersesuaian dengan pencapaian pasukan Terengganu pada perlawanan berkenaan.

“Setakat ini apa yang kita putuskan tempoh hari tidak berubah.

“Untuk seterusnya saya tidak boleh beri sebarang komen lagi, biar menang dahulu,” katanya.

Beliau turut ditemani isteri, Toh Puan Norliza.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

----- Sinar Harian Online

Saturday, June 11, 2011

Peteh janji RM1,000 kepada pemain jika menang Piala FA

2011/06/11

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) berjanji akan memberi imbuhan RM1,000 kepada setiap pemain sekiranya pasukan negeri itu berjaya menjadi juara Piala FA musim ini.

Setiausahanya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata selain itu, mereka akan mengadakan jamuan besar-besaran sekiranya Terengganu mengalahkan Kelantan pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

"Peteh menjanjikan wang tunai RM1,000 kepada setiap pemain adalah sebagai suntikan semangat kepada pemain berjuang berhabis-habisan pada perlawanan akhir itu," katanya.
Peteh menempah tujuh bas untuk membawa penyokong dan ahli kelab ke Stadium Nasional, Bukit Jalil di Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka. - BERNAMA

----- Berita Harian Online

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

2011/06/11

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebentar tadi mengisytiharkan esok sebagai cuti umum di Kelantan.

Beliau berkata, perisytiharan itu untuk keselesaan penyokong Kelantan pulang selepas menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

"Besok diisytiharkan cuti umum di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa. Semoga penyokong dapat menjaga tata tertib sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini," katanya menerusi laman Facebooknya.

----- Berita Harian Online

Dulu kawan kini lawan


KOTA BHARU – Hampir dua dekad lalu, Datuk M Karathu dan Irfan Bakti Abu Salim pernah bersama-sama berganding bahu, membantu Kelantan mencipta sejarah layak ke saingan separuh akhir Piala Malaysia sebelum ditumpaskan oleh Kedah menerusi agregat 4-2.

Namun situasi kali ini cukup berbeza, di mana kedua-dua mereka terpaksa melupakan seketika hubungan persahabatan mereka selama 90 minit. Ini kerana, Karathu kini kembali mengemudi pasukan Kelantan setelah meninggalkannya 18 tahun lalu, sementara Irfan Bakti yang gemar berkelana kini bersama Terengganu untuk musim kedua berturut-turut.

Malam ini, pentas perlawanan akhir Piala FA edisi ke-22 di antara Terengganu bertemu Kelantan bakal menyaksikan pertemuan kembali antara ‘guru dan anak murid’nya setelah sekian lama terpisah.

Bagi Karathu sendiri, pertandingan Piala FA begitu nostalgia baginya, apatah lagi beliau merupakan jurulatih pertama negara yang berjaya menjulang piala tersebut pada tahun 1990, yang menyaksikan pasukan kendaliannya, Perak mengalahkan Selangor 4-2 dalam perlawanan akhir.

Setidak-tidaknya, sudah pasti kegagalannya membawa Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 18 tahun lalu terubat dengan menghadiahkan piala yang diidam-idamkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa setelah gagal dalam percubaan pertama beliau ketika Kelantan dibimbing Peter James Butler dua tahun lalu.

Sementara itu, Irfan Bakti, 51 tahun, jurulatih yang disifatkan penuh pengalaman dalam merencanakan taktikal, sudah pasti tidak mahu terlepas peluang untuk membantu Terengganu merangkul kejuaraan setelah pasukan Sang Penyu kali terakhir menjulang piala itu kira-kira 11 tahun lalu.

Namun ada misi peribadi bagi Irfan Bakti, betapa beliau sendiri sebenarnya memburu kejuaraan kali kelima sepanjang kariernya bergelar jurulatih. Kali terakhir beliau menjulang Piala FA ialah pada tahun 2002, di mana ketika ini beliau mengemudi Pulau Pinang mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak dalam perlawanan akhir.

Baik Terengganu mahupun Kelantan, kedua-dua tidak mahu kecewa lagi dan mempunyai alasan yang tersendiri untuk menjulang piala pada edisi kali ini. Namun penentuan sebenar hanya berkisar oleh perwatakan sang juara 22 pemain, yang akan berentap sepanjang 90 minit atau mungkin juga berlarutan sehingga masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Bagi Irfan Bakti dan M Karathu, keduanya sudah menurunkan segala ilmu kepada anak didik mereka masing-masing. Tinggal lagi penentuan nasib bersandarkan kepada perjalanan skrip oleh 22 pemain di atas padang Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

----- Sinar Harian Online

Karathu yakin menang


KEJAYAAN menumpaskan Terengganu 3-0 pada perlawanan Liga Super minggu lalu, bukan jaminan buat Kelantan untuk meratah Sang Penyu sekali lagi pada pertembungan akhir Piala FA, malam ini.

Jurulatihnya Datuk M Karathu berkata, Liga Super dan perlawanan akhir Piala FA adalah dua perkara yang berbeza dan pastinya Terengganu akan melakukan pendekatan yang berlainan kali ini.

“Kita lupakan keputusan lalu. Kemenangan minggu lalu bukan kayu pengukur kejayaan esok (hari ini). Namun, kelebihan buat Kelantan, kerana kita sudah tahu di mana kelemahan dan kekuatan lawan.

“Saya yakin dengan permainan yang begitu konsisten ditunjukkan pemain dengan kekuatan mental mereka tidak mustahil Kelantan boleh berjaya.

“Ini kali kedua kami ke final. Jadi inilah peluang kami untuk merangkul kejuaraan selepas gagal pada 2009 kepada Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, The Red Warriors tetap menghormati kekuatan dimiliki Terengganu dan tidak boleh memandang rendah kelebihan mereka.

----- Sinar Harian Online

Rombongan 233 bas ke Bukit Jalil

KIRA-kira 10,300 penyokong The Red Warriors dari Kelantan dijangka tiba awal pagi ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Rombongan tiba dengan 233 buah bas, bergerak secara berjadual bermula jam 10 malam tadi di tiga kawasan berasingan sekitar Kota Bharu iaitu di Wisma Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wisma Tabung Haji dan Stadium Sultan Muhammad IV.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Ali berkata, 33 bas disediakan untuk ahli kelab manakala 200 bas untuk penyokong yang membeli tiket melalui mereka.

“Kesemua bas tidak bergerak secara konvoi bagi mengelakkan kesesakan. Jadi setiap bas akan bergerak mengikut jadual ditetapkan.

“Rombongan dijangka tiba di Bukit Jalil jam 10 pagi esok (hari ini) ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kelab itu juga akan membuat persembahan dikir barat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

----- Sinar Harian Online

Kelantan Isytihar Cuti Peristiwa Esok Sempena Piala FA

11 Jun, 2011 17:06 PM

KOTA BAHARU, 11 Jun (Bernama) -- Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa esok sempena perlawanan akhir Piala FA Kelantan bertemu Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Aiseri Alias bagi menjaga keselamatan dan memberi peluang kepada penyokong-penyokong bola sepak negeri itu pulang dengan selesa dari menyaksikan perlawanan berprestij itu.

Katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengisytiharkan cuti esok kerana turut meraikan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh penyokong-penyokong bola sepak negeri ini.

"Inilah kali ketiga berturut-turut Kelantan mengisytiharkan cuti peristiwa selepas kali pertama muncul naib johan Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 2009,dan johan bertemu Selangor pada tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dengan perisytiharan itu beliau berharap penyokong-penyokong bola sepak Kelantan dan rakyat negeri ini supaya pulang dengan selamat sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur dan tidak terlalu gopoh untuk pulang ke rumah masing-masing.

-- BERNAMA

'Mat Yo' ada kenangan indah di Bukit Jalil


JIKA dibiarkan bebas, Norshahrul (kiri) mampu menjadi pemusnah impian Terengganu malam ini.


BUKIT JALIL mungkin sudah terlalu biasa bagi Norshahrul Id- lan Talaha.

Perlawanan melibatkannya di sana acap kali berakhir dengan kegembiraan seperti apa yang berlaku pada final Piala Malaysia dan Piala AFF Suzuki lalu.

Sebagai pemain berpengalaman, pentas perlawanan akhir seharusnya tidak mengundang kebimbangan malah, dia tentunya lebih arif bagaimana untuk memecah gawang Terengganu yang dikemudi Mohamad Sharbinee Allawee yang juga rakan sepela- tihnya bersama skuad kebangsaan.

Dua musim bersama Kelantan, nama Norshahrul tiba-tiba melonjak dan hampir setiap hari meniti di bibir, bukan sahaja penykong Kelantan tetapi pemerhati dan pencinta bola sepak tempatan walaupun dia sebelum itu sudah bersama pasukan kebangsaan ketika mewakili UPB-MyTeam.

Kemahiran dan ketajaman yang dimiliki sebagai seorang penggempur dilihat begitu sempurna, terutamanya ketika menggelecek lawan melalui garisan belakang padang sehingga ada yang menggelarkan Norshahrul sebagai The Linesman dan peluang di- miliki di dalam kotak penalti jarang disia-siakan.

Kelibatnya di padang memberi azimat dan tonik yang cukup berharga buat para peminat sehinggakan tatkala dia terbaring di padang kerana mengalami kecederaan, pasti ramai peminat yang resah dan tidak senang duduk.

Sebagai ‘anak emas’ puluhan ribu penyokong Kelantan, misi membawa pulang Piala FA buat kali pertama ke bumi Cik Siti Wan Kembang ini pasti terarah kepada Norshahrul dan sudah pastinya mengharapkan sentuhannya mam- pu mengecewakan Terengganu.

Bagi Norshahrul atau mudah dikenali sebagai ‘Mat Yo’, dia berharap mampu mencipta gol awal untuk menaikkan semangat rakan-rakan sepasukan dan tamba- han gol untuk memadamkan harapan Terengganu.

“Sebagai pemain perlawanan akhir berbeza dengan perlawanan biasa, jadi apa yang perlu diberikan mestilah lebih daripada biasa. Semua pemain kena beri lebih daripada seratus peratus untuk memastikan kejayaan.

“Kelantan perlu mencari gol awal untuk menambahkan lagi tahap keyakinan dan kalau dilihat pada perlawanan di Terengganu tempoh hari, saya yakin kita akan dapat membawa piala tersebut pulang ke Kota Bharu,” katanya baru-baru ini.

Tambahnya, kemenangan malam ini bukan saya membolehkan mereka melakar sejarah baru bola sepak Kelantan tetapi lebih daripada itu ia adalah hadiah dan tanda penghargaan kepada seluruh peminat yang sentiasa memberi sokongan padu.

Dalam pada itu, pemain pertahanan Kelantan, Daudsu Jamaluddin memberitahu, tiada apa yang perlu dibimbang mengenai pertemuan menentang Terengganu malam ini kerana semua pemain sudah bersedia.

Ketika ditanya kehadiran semula Ashaari Shamsuddin yang akan turun beraksi malam ini bersama Terengganu mungkin akan memberi ancaman besar kepada Kelantan, Duadsu berkata:

“Bukan mungkin tetapi pasti. Dia (Ashaari) seorang pemain yang cukup berkualiti. Pergerakannya perlu sentiasa dirantai dan diawasi dan dia tidak boleh diberi ruang kerana dia pemain yang laju dan licik.

“Terengganu sebuah pasukan yang baik. Mereka cukup bahaya, terutamanya melalui bola tinggi dan set piece. Coach (jurulatih) dan kami sudah berbincang mengenai perkara itu dan insya-Allah kami akan menyekat mereka,” jelasnya.

----- Kosmo Online

Milik siapa Piala FA


KELANTAN dan Terengganu memasang impian untuk menjadi pasukan terakhir menjulang trofi Piala FA yang mula diperkenalkan pada tahun 2005. Musim depan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memperkenalkan trofi baru.


FINAL Piala FA 2011 antara Kelantan dengan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bakal mencatat sejarah tersendiri.

Mana-mana pasukan yang muncul juara bakal dikenang sebagai pasukan terakhir menjulang trofi yang mula diperkenal pada final edisi 2005 itu.

Ini kerana, satu trofi baharu akan diperkenalkan bermula pada Piala FA musim depan menggantikan trofi sedia ada itu yang hanya sempat digunakan untuk tujuh edisi final.

Sebelum itu, trofi pertama Piala FA digunakan pada 15 edisi terdahulu iaitu dari 1990 hingga 2004 dan pasukan Perak selaku juara pada final pertama dan terakhir diberi penghormatan menyimpan terus trofi tersebut.

“Kelantan tak pernah menang Piala FA setelah percubaan pertama pada 2009 gagal. Jadi ini kali kedua Kelantan melangkah ke final dan inilah peluang kita untuk bergelar juara.

“Harap Kelantan jadi penerima terakhir trofi ini dan dipertimbangkan untuk simpan terus trofi ini,” kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil petang semalam.

Namun tidak semudah itu buat Kelantan bergelar juara Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kerana Terengganu berhasrat menjulang Piala FA buat kali kedua selepas muncul juara pada tahun 2000.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super pada Isnin lalu telah dilupakan bagi memastikan mereka tampil lebih mantap pada aksi final malam ini.

“Pertandingan Liga Super dan Piala FA kami anggap dua perkara yang berbeza. Saya harap para pemain Terengganu dapat mempamerkan aksi terbaik mereka bagi mengatasi kekuatan pasukan lawan,” ujar Che Mat.

Dalam pada itu, pihak polis akan menempatkan seramai 2,600 anggota keselamatan di dalam dan luar stadium bagi mengawal kehadiran kira-kira 85,000 penonton kedua-dua pasukan malam ini.

----- Kosmo Online

Irfan berang, Karathu tetap bertenang

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meluah- kan rasa marah dan kecewa apabila sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam ‘diintai’ lawan mereka, Kelantan.

Kehadiran para pemain Kelantan lebih awal daripada waktu ditetapkan bagi Irfan telah mengganggu sesi latihan pasukan Terengganu, terutamanya untuk mereka membuat latihan sepakan penalti.

“Sepatutnya mereka (pasukan Kelantan) tiba di stadium pada pukul 5.30 petang kerana sesi latihan kami patut berakhir pada pukul 5.45 petang. Tetapi mereka sudah tiba ketika kami baru saja mula latihan.

“Saya cukup kecewa. Bukan sebab kami nak buat taktikal saat akhir pun tetapi ia menyebabkan perasaan tidak selesa. Ia sesuatu yang tidak beretika, melihat pasukan lawan berlatih.

“Sebab itulah juga saya terpaksa membatalkan latihan sepakan penalti kerana nanti Kelantan akan tahu pemain mana akan sepak ke kiri atau kanan,” kata Irfan ketika ditemui selepas sesi latihan itu.

Biarpun ia mungkin dianggap perkara remeh, namun harus diingat bahawa lima final terakhir Piala FA (2006- 2010) menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti kecuali pada final 2008.

Namun Irfan tetap melaungkan keyakinan bahawa Terengganu akan bergelar juara Piala FA musim ini seterus- nya menempah tiket beraksi di Piala AFC 2012.

“Insya-Allah kami akan menang. Saya cukup yakin dan optimis ditambah kehadiran semula Ashari Samsudin dan Zubir Azmi yang tidak beraksi pada Isnin lalu.

“Lagipun kami sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super itu. Ketika itu, lima pemain kami keletihan kerana baru pulang dari Hong Kong beraksi untuk skuad kebangsaan,” jelas Irfan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu tampak lebih tenang dari raut wajahnya tetapi tidak mahu para pemainnya terlalu yakin dengan kemenangan pada aksi Liga Super itu.

“Perlawanan itu sudah berlalu dan ini final, satu perla- wanan yang berbeza. Memang kami akan turun dengan pendekatan berbeza untuk menghadapi 90 minit yang cukup penting ini.

“Tetapi dari segi permainan dan taktikal, kita tidak akan melakukan perbezaan. Cuma saya harap para pemain dapat beraksi pada tahap sebenar,” ujar Karathu.

----- Kosmo Online

Mat Yo idam Piala FA pertama Kelantan


NORSHAHRUL mahu bukti kehebatan sebagai pemegang status oenyerang kebangsaan pada perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu, malam ini.


KUALA LUMPUR - Tidak mahu menghampakan penyokong, itulah ikrar penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang akan beraksi pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Terengganu, malam ini.

Tonggak kebangsaan itu berkata, sebagai penyerang dia tidak mahu melakukan kesilapan jika mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol kerana ia adalah perlawanan penting buat The Red Warriors menjulang Piala FA buat kali pertama.

"Saya juga akan menasihatkan pemain pertahanan agar tidak leka, mereka perlu mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu sebaik mungkin, semua sedar bahawa kekuatan Terengganu terletak di bahagian serangan," katanya ketika ditemui pemberita di Stadiuam Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Jelasnya, persefahaman antara pemain sangat penting, sesiapa sahaja mampu muncul juara dalam perlawanan akhir.

"Saya tidak mahu menghampakan penyokong yang datang. Perlawanan terdahulu tidak boleh dijadikan ukuran, walaupun menjadi pasukan pilihan semua pemain harus berhati-hati, Terengganu bukan calang-calang pasukan.

"Jika saya diberi tumpuan sekali pun oleh pemain pertahanan lawan ia juga akan memberi kelebihan buat kami. Pemain lain yang tidak dikawal mampu untuk meroboh benteng pertahanan mereka," katanya.

Norshahrul yang terkenal dengan nama jolokan Mat Yo berkata, dia juga akan memberikan persembahan terbaik untuk membuktikan bahawa dia adalah penyerang kebangsaan yang berbisa dan bersaing secara sihat dengan Abdul Hadi Yahya.

"Dua penyerang kebangsaan akan beraksi, tidak kira siapa lawan kami, sudah pasti sebagai penyerang masing-masing ingin menunjukkan kebolehan yang dimiliki, saya ingin menjaringkan gol pada perlawanan ini.

"Mungkin jaringan yang akan saya lakukan adalah hadiah hari jadi terbaik saya pada Rabu lalu, tetapi ia lebih manis jika dapat membantu Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali," kata penyerang kelahiran Besut, Terengganu itu.

----- Utusan Malaysia Online

Hadi, Manaf yakin bolosi gawang


ABDUL Hadi menjadi harapan skuad Penyu untuk meledakkan gol pada perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.


KUALA TERENGGANU - Jika aksi ketika tewas 0-3 di tangan Kelantan dalam saingan liga tempoh hari dijadikan ukuran, baik Abdul Hadi Yahaya mahupun Manaf Mamat, kedua-duanya nyata gagal memberikan sentuhan penyudah yang berkesan selaku penyerang.

Hadi umpamanya dilihat seakan hilang punca di tengah padang meskipun beraksi cemerlang ketika menyumbat gol untuk skuad kebangsaan bagi mengikat Hong Kong 1-1 dalam perlawanan terdahulu, manakala Manaf pula kerap kehilangan bola dan gagal berfungsi seperti biasa pada malam itu.

Justeru, ramai pihak beranggapan bahawa kedua-dua penyerang itu sukar untuk mencipta peluang sebaliknya bergantung harap kepada umpanan pemain sayap kiri iaitu Ashaari Samsudin.

Secara kebetulan, Ashaari pula tidak dapat diturunkan pada malam itu kerana digantung satu perlawanan setelah menerima kad kuning kedua.

Namun, kembalinya Ashaari daripada penggantungan menjelang final Piala FA, hari ini dilihat petanda baik untuk ketiga-tiga mereka kembali membentuk rangkaian serangan terbaik.

Hadi ketika ditemui mengakui bahawa aksinya ketika menentang Kelantan pada malam itu tidak begitu menjadi dan dia gagal mengekalkan persembahan bertenaga sepanjang 90 minit perlawanan.

"Bagaimanapun, saya akan main sebaik mungkin dan cuba cari gol awal jika diturunkan pada final nanti," kata anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Sementara itu, Manaf turut melafazkan janji yang sama untuk memberikan persembahan terbaik pada malam esok.

"Saya harap penyokong juga akan terus 'support' kami dari belakang dan lupakanlah apa yang telah berlaku sebelum ini (kalah kepada Kelantan)," katanya.

----- Utusan Malaysia Online

Piala FA milik siapa?


MILIK siapa... Badhri Radzi (kanan) dan Mazuki Yusof bersama trofi Piala FA yang menjadi rebutan, malam ini.


KUALA LUMPUR – Ketika Kelantan berkeras bahawa kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Super, Isnin lalu bukan sekadar nasib, Terengganu pula menegaskan, perlawanan akhir Piala FA malam ini adalah cerita baru dan kekalahan enam hari lalu sama sekali tidak akan berulang.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof menegaskan, keputusan di Kuala Terengganu itu tidak boleh diambil kira apabila pasukannya melayani skuad Kijang sekali lagi, kali ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah tegasnya lagi, skuad Penyu telah memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kekalahan tempoh hari, malah beliau percaya, situasi Piala FA dan Liga Super jauh berbeza.

Namun bagi ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, kemenangan Isnin lalu bukan kerana nasib, disebabkan lawan tidak dapat menurunkan tonggak utama, sebaliknya mereka terbukti pasukan yang lebih baik.

Pertembungan akhir klasik antara dua negeri berjiran itu amat dinantikan penyokong fanatik mereka kerana ini merupakan kali pertama Kelantan dan Terengganu bertemu dalam mana-mana perlawanan akhir.

“Saya tidak menganggap kemenangan ke atas Terengganu sebelum ini sekadar nasib kerana mereka tidak dapat menurunkan Ashaari (Shamsuddin). Kami akan membuktikan Kelantan adalah yang terbaik pada perlawanan akhir .

“Saya berpesan kepada rakan-rakan agar mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu, terutama dengan kepulangan semula Ashaari,” kata Badhri.

Menurut Badhri, yang turut dikenali sebagai Piya, dia mahu membantu pasukannya menjulang piala yang diperkenalkan pada 1990 buat pertama kali sekali gus memadam kekecewaan final 2009 tewas kepada Selangor.

Sementara Marzuki pula optimis Terengganu mampu membawa kejuaraan, meskipun sedar pasukannya tidak memiliki kelebihan psikologi ekoran kekalahan buruk, Isnin lalu.

“Kami banyak buat kesilapan pada perlawanan itu tetapi esok (hari ini) kami tidak boleh mengulanginya dan harus memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah penampilan kedua saya dalam final Piala FA, kali pertama ketika bertemu Perak pada 2004 tetapi ketika itu kami tewas 0-3, saya tidak mahu sejarah berulang lagi,” katanya.

----- Utusan Malaysia Online

Terengganu, Kelantan mahu bukti kehebatan

KUALA LUMPUR - Pertembungan dua pasukan pantai timur antara Kelantan dan Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini berjaya mengundang debaran peminat bola sepak tanahair setelah mereka membuktikan kehebatan masing-masing di pentas Liga Super.

Malah, kedua-dua pasukan nampaknya cukup optimis untuk menghitung pertemuan di pentas akhir itu, lebih-lebih lagi Terengganu yang mahu menebus maruah setelah dihampakan Kelantan dalam aksi Liga Super, Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh tidak beranggapan perlawanan akhir menentang Kelantan, hari ini sebagai medan untuk membalas dendam dan ia juga tidak sama seperti pertembungan Liga Super.

"Kami sudah bersedia kali ini. Pertemuan menentang Kelantan memang amat menarik dan harapan kami adalah untuk menamatkan kemarau 10 tahun selepas kali terakhir memenangi Piala FA mengalahkan Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.

Beliau berkata, segala kelemahan selepas mereka tewas 0-3 sebelum ini dijangka dapat diatasi sebaiknya pada perlawanan akhir, seterusnya dapat menjulang piala pertama musim ini dan membawa pulang Piala FA ke Terengganu.

Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi pengubat kekecewaan dua tahun lalu.

Pada 2009 mereka beraksi di perlawanan akhir menentang Selangor, namun gagal untuk menjulang piala buat pertama kali selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

"Saya berharap tahun ini tuah menjadi milik Kelantan, terutama sekali dengan sokongan padu yang akan diberikan oleh penyokong kami, sejarah akan tercipta lagi jika berjaya memenangi piala ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Azman tidak mahu menjadikan keputusan perlawanan Isnin lalu ke atas Terengganu sebagai ukuran kerana perlawanan akhir sangat berbeza, apa sahaja boleh berlaku.

----- Utusan Malaysia Online

Penyokong diingatkan kawal tingkah laku

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan sepenuhnya bagi memastikan keselamatan terkawal pada perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Salleh Abdul Rashid, seramai 2,600 anggota polis dan Rela akan ditempatkan di dalam dan luar stadium.

"Kami memandang serius tentang isu keselamatan. Pihak polis akan mengetatkan kawalan keselamatan di tahap maksimum berdasarkan kepada kehendak semasa.

"Soal keselamatan ini kita tidak boleh leka. Saya tidak mahu apa yang berlaku seperti perlawanan terdahulu yang dicetuskan oleh penyokong berulang semula," katanya dalam sidang akhbar Piala FA yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa di sini, semalam.

Sebelum itu, Annuar telah melancarkan lencana "Integriti" Liga Malaysia 2011 sebagai simbolik menyatukan bolasepak dengan meletakkan pelekat Integriti kelengan baju kedua-dua ketua pasukan Terengganu dan Kelantan, Mohd Marzuki Yusof.

Salleh yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM berkata, polis memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan dan mempamerkan disiplin tinggi untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sekitar 85,000 penyokong Kelantan dan Terengganu dijangka membanjiristadium itu seawal pukul 5 petang.

Sementara itu, Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, hampir 80,000 jumlah tiket telah habis dijual setakat ini.

"Dianggarkan lebih 10,000 tiket telah dijual di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini (semalam). Dijangkakan bakinya akan habis dijual pada hari perlawanan (hari ini)," katanya.

Beliau berkata, sekiranya tiket habis terjual pada perlawanan akhir kali ini, ia akan memecah rekod penjualan dan juga memecah rekod keuntungan dalam penjualan tiket tertinggi iaitu Piala Malaysia tahun ini.

----- Utusan Malaysia Online

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MALAM ini dua pasukan bola sepak berjiran dari Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu, akan berentap dalam perlawanan akhir untuk menentukan siapakah yang layak menjulang Piala FA. Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi pasukan mana lebih baik untuk menjadi juara.

Pertandingan akhir Piala FA ini merupakan edisi yang ke 22 selepas pertama kali diperkenalkan pada 1990. Perak menjadi juara pertama menewaskan Selangor dengan jaringan 4-2.

Inilah juga kali pertama Kelantan bertemu Terengganu dalam mana-mana perlawanan akhir bola sepak. Dalam keghairahan kedua-dua pasukan menjadi juara, apa yang kita harapkan biarlah perlawanan akhir itu berlangsung dengan penuh semangat kesukanan.

Dalam perlawanan akhir seperti ini harapan dan emosi penyokong juga amat tinggi. Jika tidak dikawal, emosi ini boleh mencetuskan suasana yang tidak diingini. Justeru dalam hubungan ini penonton janganlah membiarkan emosi menguasai diri.

Berilah sokongan dengan penuh semangat kesukanan. Terimalah dengan hati terbuka jika pasukan yang disokong tewas. Adat perlawanan ada yang kalah, ada yang menang.

Pasukan Kelantan dan Terengganu juga diharapkan dapat mempamerkan permainan yang berkualiti. Para penyokong sendiri sudah tentu mengharapkan mereka bermain dengan sebaik mungkin sejajar dengan sokongan yang mereka berikan.

Anggaplah perlawanan akhir Piala FA ini sebagai satu medan melonjakkan sukan bola sepak tanah air dan melahirkan pemain-pemain yang berkaliber demi masa depan bola sepak negara. Kepada yang berjaya tahniah. Yang tewas cuba lagi.

Awang – Penyokong ‘Kejor Yob Kejor’

----- Utusan Malaysia Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...