Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Kelayakan Sukan Olimpik 2012. Show all posts
Showing posts with label Kelayakan Sukan Olimpik 2012. Show all posts

Thursday, March 8, 2012

Skuad Olimpik tekad raih satu mata

azlanmz@hmetro.com.my
Oleh Azlan Muhammad Zain

SEANDAINYA tidak mahu dilabelkan pasukan belasahan, skuad Olimpik negara perlu bangkit meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi terakhir kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan C Zon Asia, menentang Syria pada Rabu depan.

Sehingga kini skuad kendalian jurulatih Ong Kim Swee itu adalah pasukan tunggal yang gagal meraih mata berbanding 11 pasukan lain yang bersaing dalam pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 selepas mengharungi lima perlawanan.


Skuad Olimpik negara kini menghuni tangga terbawah Kumpulan C selepas tewas dua kali kepada Jepun dan Bahrain selain tewas 0-2 kepada Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November tahun lalu.

“Kami memang mengharapkan sekurang-kurangnya satu mata namun sekiranya tiga mata mampu diraih, ia adalah sesuatu yang menggembirakan bagi menamatkan saingan ini dengan lebih bermakna. “Kami tidak tertekan kerana sudah tidak layak namun sebaliknya buat Syria kerana mereka memerlukan kemenangan untuk memastikan tempat kedua kekal dan layak ke pusingan play-off.


“Jadi saya mengharapkan semua pemain, terutamanya muka baru mempamerkan aksi terbaik dalam pertemuan ini kerana jurulatih (Kim Swee) akan menggunakan kesempatan ini sebagai salah satu medan untuk menilai pemain bagi menggalas cabaran pada kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pertengahan tahun ini,” kata penolong jurulatih, Hassan Sazali.


Seramai 22 pemain melaporkan diri petang semalam bagi persiapan menentang Syria yang berlangsung di gelanggang berkecuali iaitu Stadium Antarabangsa Raja Abdullah di Amman, Jordan.

Hanya kapten pasukan yang juga penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat serta pertahanan Terengganu, Mohd Zubir Azmi diberikan pelepasan bersama pasukan masing-masing yang bersaing dalam pusingan kedua Piala FA pada Sabtu dan perlu melaporkan diri bersama skuad Olimpik sehari selepas itu.


Selain mengekalkan kebanyakan pemain Harimau Muda A, Kim Swee turut memanggil dua muka baru iaitu Rozaimi Abd Rahman (Sabah) dan Ashri Chu Chu (Sarawak) dengan enam pemain akan digugurkan sebelum terbang ke Jordan.


--- HARIAN METRO

Tuesday, February 7, 2012

Tiada rezeki



SKUAD bola sepak negara sudah boleh melupakan misi memburu tiket pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Kekalahan 1-2 kepada Bahrain pada aksi keempat Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional di Manama kelmarin, menutup terus peluang skuad kendalian Ong Kim Swee menjejakkan kaki di bumi London.

Bagi Kim Swee, beliau tidak mahu melihat kegagalan itu sebagai titik kejatuhan skuad negara, sebaliknya tetap memandang positif keupayaan barisan pemain mudanya.

“Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut pada pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh para pemain bagi menghadapi perlawanan antarabangsa sebegini,” jelas Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

PINTU Sukan Olimpik 2012 kini sudah tertutup rapat buat skuad negara kendalian Ong Kim Swee

Kekalahan 1-2 kepada Bahrain pada aksi keempat Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional di Manama kelmarin, mematikan terus langkah skuad negara untuk menjejakkan kaki di bumi London.

Biarpun penyerang gantian, Ahmad Hazwan Bakri berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-84, namun kealpaan benteng pertahanan sekali lagi menghukum skuad negara apabila Bahrain memperoleh gol kemenangan ketika perlawanan berbaki seminit.

Kekalahan itu hampir sama dengan skrip di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 November lalu yang menyaksikan skuad negara tewas mengejut 2-3 di hadapan ribuan penyokong sendiri.

Walaupun kemenangan bagaikan hampir pasti memihak skuad negara apabila selesa mendahului dua gol menerusi jaringan Mohd. Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli tatkala perlawanan berbaki 12 minit, Bahrain bangkit dengan memperoleh tiga gol dalam tempoh lima minit.

Sebelum bertandang ke Manama, skuad negara dilihat berdepan misi sukar untuk menempah tiket Olimpik 2012 apabila tewas dalam tiga perlawanan awal, sekali gus menyaksikan anak-anak buah Kim Swee menghuni tangga tercorot Kumpulan C.

Dalam aksi pembukaan Kelayakan Olimpik 2012, skuad negara tewas 0-2 kepada Jepun di gelanggang lawan sebelum mereka sekali lagi menerima nasib yang sama apabila tumbang 0-2 kepada Syria di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dengan kekalahan terbaharu yang dialami kelmarin, hajat skuad negara untuk sekurang-kurangnya muncul naib juara peringkat kumpulan, sekali gus layak beraksi pada saingan playoff tidak kesampaian.

Biarpun mengakui agak kecewa dengan kegagalan barisan pemainnya, Kim Swee tetap mahu berfikiran positif, sambil menganggap anak-anak buahnya mendapat pengalaman serta pengajaran berguna pada kempen Kelayakan Olimpik kali ini.

Jelas Kim Swee, sejurus anak-anak buahnya berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012, beliau sedar dengan cabaran yang bakal diharungi mereka apabila diundi bersama pasukan berstatus gergasi khususnya Jepun.

Sebagai rekod, skuad negara menyingkirkan Pakistan pada pusingan pertama dan Lebanon (pusingan kedua) sebelum berjaya meloloskan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012.

“Selepas mengalami empat kekalahan berturut-turut pada pusingan ketiga Kelayakan Olimpik, banyak pengajaran yang boleh diambil oleh para pemain saya.

“Walaupun peluang (mara ke Sukan Olimpik 2012) sudah tertutup, mereka tidak boleh meratapi kegagalan itu. Sebaliknya, mereka harus memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

“Saya akan cuba memastikan tidak berlaku kesilapan yang sama pada dua baki perlawanan Kelayakan Olimpik akan datang,” jelas Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Skuad negara dijadualkan menentang Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 22 Februari ini sebelum mengakhiri aksi Kelayakan Olimpik 2012 bertemu Syria di gelanggang lawan pada 14 Mac.

“Dengan kekalahan kepada Bahrain semalam (kelmarin), kita sudah boleh melupakan misi memburu tempat pada Sukan Olimpik 2012 di London. Bagaimanapun, saya akan mengingatkan para pemain supaya tidak mengambil mudah dua lagi baki aksi Kelayakan Olimpik.

“Saya pasti, tidak banyak bezanya apabila kita menghadapi dua pasukan ini (Jepun dan Syria) nanti. Cuma saya berharap para pemain saya dapat cepat belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama,” tambah Kim Swee.


--- KOSMO

Thursday, December 1, 2011

Anugerah gagal ubati kecewa Wan Zack

ANUGERAH Pemain Harapan Terbaik 2011 yang diterima Wan Zack Haikal Wan Noor belum cukup untuk mengubati kekecewaannya terhadap keputusan buruk skuad Olimpik negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik London 2012 minggu lalu.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, kekalahan di tangan Bahrain 3-2, Ahad lalu seperti terus menghantui dirinya yang mengakui cukup sukar untuk diterima.


“Anugerah ini tidak dapat mengubati kekecewaan saya. Saya tidak berpuas hati dengan persembahan saya sendiri. Saya tidak tahu kenapa saya tidak boleh beraksi dengan baik, mungkin kerana tertekan mahu menjaringkan gol,” katanya yang ditemui pemberita sewaktu majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 di Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Pemain kelahiran Pahang itu dinobatkan selaku Pemain Harapan Terbaik selepas mengetepikan dua lagi rakan sepasukan dalam Harimau Muda A, Mohd Fadhli Mohd Shas dan Mohd Irfan Fazail.


Wan Zack Haikal terlepas peluang menikmati kejayaan skuad bawah 23 tahun negara meraih pingat emas Sukan Sea Indonesia kerana diketepikan akibat kecederaan.


Bagaimanapun aksinya begitu menyerlah ketika beraksi bersama Harimau Muda A dalam kancah Liga Super serta berjaya menambat hati pengurusan kelab liga Slovakia, Vion Zlate Moravce untuk beraksi secara pinjaman selama tiga bulan bermula September lalu.

Katanya, dia menyimpan hasrat untuk terus menimba pengalaman di luar negara bagi meningkatkan prestasinya.


“Kontrak saya sudah tamat dengan kelab Vion, jadi saya tidak tahu sama ada masih ada peluang lagi selepas ini. Tapi jika diberi peluang, saya mahu beraksi di sana,” kata Wan Zack yang mahu berehat seketika sebelum kembali menyambung latihan bersama skuad Olimpik, Isnin depan.

--- Harian Metro

Monday, November 28, 2011

Jepun benam ego Syria

TOKYO: Jepun meraih kemenangan pada minit-minit akhir ke atas Syria di saingan Kumpulan C kelayakan zon Asia untuk Sukan Olimpik London 2012 sekali gus menduduki tangga teratas selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut.

Tandukan penyerang Jepun, Yuki Otsu empat minit sebelum tamat perlawanan membolehkan Jepun meraih kemenangan 2-1 dan mengumpul sembilan mata untuk mendahului peringkat kumpulan sementara Syria menduduki tempat kedua dengan enam mata. “Saya rasa Yusuke Higa melakukan hantaran silang cantik kepada saya. Sejak saya berpindah ke Jerman, banyak yang saya pelajari mengenai hantaran silang,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

“Inilah stadium yang menyaksikan saya melakukan penampilan terakhir sebelum berpindah ke Jerman.

“Saya sangat gembira membantu pasukan menang di sini. Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan layak ke Sukan Olimpik,” kata Otsu yang beraksi di saingan Bundesliga.

Syria mempunyai peluang pertama pada minit ke-10 apabila sepakan percuma pemain tengah, Mohammed Fares gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang, Nassouh Nakkdahli. - AFP


--- Harian Metro

'Saya tak tahu nak cakap apa’

ANAK didik Kim Swee kecewa tumpas kepada Bahrain pada kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Yazit Razali

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Wan Fakhrul Bakar

2011/11/28


Tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam lima minit: Kim Swee

SUKAR buat jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menelan kekalahan 3-2 di tangan Bahrain dalam saingan kelayakan Kumpulan C 2012 malam tadi apabila tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam tempoh lima minit.

"Saya tidak tahu nak cakap apa, dalam lima minit segalanya berubah," kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. "Dua gol yang kita peroleh sia-sia selepas kehilangan Affize (Faisal) dan Nazmi (Faiz Mansor).
"Saya tidak punya banyak pilihan pada baki 20 minit terakhir selepas Affize cedera dan Nazmi kekejangan otot. Saya terpaksa meletakkan Shukor (Jusoh) dan penyerang, Ferris (Danial) di bahagian tengah dan ternyata kita gagal mengekang asakan Bahrain walaupun mereka bermain dengan 10 orang.
"Malah Irfan (Fazail) terpaksa menghabiskan permainan dengan buku lali yang tercedera dan ini menunjukkan betapa terdesaknya saya dalam minit-minit terakhir permainan. Walaupun sukar untuk layak, saya harap baki permainan ini digunakan pemain untuk belajar."

"Saya mahu pemain saya rehat secukupnya selepas perlawanan ini.
"Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya mahu mereka melupakan bola sepak seketika."

Sementara itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda menganggap perlawanan malam tadi cukup menarik dengan lima gol dijaringkan dan dia menganggap, Malaysia dan Bahrain adalah pemenang selepas masing-masing beraksi cemerlang.
"Cuma di dalam bola sepak kita perlu bermain hingga 90 minit dan walaupun kami ketinggalan dua gol, semangat juang anak buah saya untuk memburu tiga mata selepas tewas di tangan Syria dan Jepun, membawa hasil lumayan," kata Salman.

Selepas mendahului 2-0 menerusi Nazmi (m-30) dan Mahali Jasuli (m-67), Malaysia dikejutkan tiga gol pelawat dalam tempoh lima minit hasil jaringan Saad Saiah Al-Amer (m-81) dan Isa Ahmed Muthanha (m-85, 86)

--- Berita Harian

Friday, November 25, 2011

Saya juga ada perasaan - Fakri


FAKRI dikutuk peminat tempatan gara-gara persembahan yang kurang meyakinkan sebagai peledak utama skuad Harimau Muda.


“SAYA juga ada perasaan, sesiapa pun pastinya terkilan jika dikutuk sebegitu rupa.“Mulut orang memang susah nak ditutup, jadi saya tidak peduli dengan kutukan itu dan menganggapnya sebagai suatu cabaran buat saya.”

Demikian respons ringkas penyerang Harimau Muda, Ahmad Fakri Saaraini ketika menjawab segala tohmahan dan kejian yang dihamburkan kepadanya ketika ini.

Kegagalan Ahmad Fakri, 22, dalam menyempurnakan beberapa peluang terhidang ketika tewas 0-2 kepada Syria dalam aksi kelayakan Olimpik Zon Asia Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, ternyata mengundang kemarahan majoriti peminat fanatik bola sepak tempatan yang lantang mengecam pemain Negeri Sembilan itu secara terbuka, tidak kira dari tepi padang mahupun di laman sosial Facebook.

Ternyata, peminat tempatan masih belum dapat melupakan ‘dosa’ Ahmad Fakri yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Indonesia sekali gus mempertahankan pingat emas Sukan SEA baru-baru ini.

Sama ada sedar atau pun tidak, mungkin ada yang terlupa dengan jasa pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang berjaya meledak gol tunggal ketika menewaskan Myanmar pada pusingan separuh akhir, sekali gus menempah slot untuk beraksi di final Sukan SEA 2011.

Malah, mungkin ramai juga yang tidak percaya betapa Ahmad Fakri sebenarnya merupakan antara penyerang termuda terbaik yang dimiliki negara selain Thamil Arasu ketika ini, gara-gara kecederaan yang menimpa Syahrul Azwari Ibrahim dan Izzaq Faris Ramlan.

“Apa salah saya sebenarnya? Bukannya saya sengaja tidak mahu menjaringkan gol, cuma saya kurang bernasib baik.

“Hendak kutuk pun biarlah berpada-pada dan ada batasnya, namun setakat ini saya masih mampu bersabar,” katanya kecewa.

Menurut Ahmad Fakri, dia berazam untuk membuktikan sesuatu sekiranya diturunkan Ong Kim Swee ketika menentang Bahrain, Ahad ini.

“Jika saya berjaya menjaringkan gol ketika menentang Bahrain nanti, sudah tentu ia memberikan moti- vasi yang lebih baik buat saya.

“Cuma pada masa sama, saya tetap berharap supaya penyokong faham dengan kesungguhan saya setiap kali beraksi. Cuba bayangkan jika mereka berada di tempat saya, sudah tentu ia tidak semudah dijangkakan,” katanya yang memohon dimengertikan.


--- Kosmo

Saturday, September 10, 2011

Penyudah tumpul

SENTUHAN penyudah jelas masih perlu menjadi perhatian utama jurulatih Olimpik negara, Ong Kim Swee sekiranya berhasrat untuk mengejutkan Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik 2012 Zon Asia pada 21 September ini.
Deretan peluang yang terhidang semasa aksi menentang kelab Iraq, Al-Arbil di padang Wisma FAM malam kelmarin gagal disempurnakan walaupun pengendali kelahiran Melaka itu dilihat mencuba beberapa penyerang gandingan penyerang seperti Izzaq Faris Ramlan dan A Thamil Arasu.

Namun pujian harus diberikan kepada barisan tengah dan benteng pertahanan negara yang bermain dengan baik terutamanya kapten Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat yang ampuh bertahan di gawang terakhir untuk memastikan gawang negara tidak dibolosi.
Hakikat ketumpulan jentera serangan skuad Olimpik negara itu turut diakui Kim Swee yang melihatnya perlu diasah dalam baki dua minggu yang ada.

“Kita bagaimanapun berjaya melakukan banyak serangan pantas, namun kegagalan menukar peluang dimiliki untuk menjaringkan masih lagi menjadi masalah. Saya akan terus beri penekanan terhadap aspek ini,” katanya selepas perlawanan persahabatan yang berkesudahan seri tanpa jaringan malam kelmarin.

Beliau bagaimanapun tetap memuji corak bertahan dipamerkan barisan pemainnya dengan menyifatkan mereka akhirnya mencapai kematangan ketika bertahan apabila setiap pemain melakukan tugas masing-masing serta membantu antara satu sama lain.

----- Harian Metro

Monday, July 11, 2011

Bahrain bimbang

aziman@hmetro.com.my
Oleh Aziman Rosdi

IMBAS KEMBALI...pemain Malaysia meraikan gol pertama pada  pertemuan dengan Taiwan pada perlawanan Kelayakan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.
IMBAS KEMBALI...pemain Malaysia meraikan gol pertama pada pertemuan dengan Taiwan pada perlawanan Kelayakan Olimpik London di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini.

BAHRAIN tetap menganggap Malaysia sebagai satu ancaman dalam perebutan slot automatik ke Sukan Olimpik London 2012 dalam saingan peringkat Kumpulan C yang akan bermula September ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Bahrain, Hafedh E Al Dosary, biarpun Malaysia dianggap pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan C yang turut membabitkan gergasi Asia Jepun dan Syria, kemampuan wakil tunggal dari Asia Tenggara itu tidak boleh diambil mudah selepas berjaya menumpaskan Lubnan pada pusingan sebelum ini.

“Malaysia bukan lawan yang mudah, kami tahu kemampuan Malaysia. Kami menyaksikan bagaimana Malaysia menewaskan Lubnan dan saya fikir Malaysia pasukan yang bagus dan mempunyai peluang dalam kumpulan ini,” katanya yang ditemui pada majlis undian pusingan akhir kelayakan Olimpik London 2012 di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia baru-baru ini.

Dalam undian itu, Kumpulan A membabitkan Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman manakala satu lagi pasukan pilihan, Australia berdepan Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab bersatu dalam Kumpulan B.

Bahrain antara pasukan yang mampu mencabar dalam saingan Kumpulan C bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Palestin pada pusingan kedua sebelum ini.

Pada aksi di Manama, skuad kendalian Salman Ahmed Rashed Shareeda itu tumpas 1-0 pada perlawanan pertama namun berjaya menewaskan Palestin 2-1 pada aksi timbal balik kedua untuk mengikat agregat 2-2 sekali gus mara menerusi jaringan gol di tempat lawan.

Biarpun mengakui kurang selesa dengan kehadiran Jepun dalam saingan Kumpulan C, Hafedh yang juga pengurus pasukan Olimpik Bahrain tetap menganggap semua pasukan memiliki peluang yang sama untuk muncul juara kumpulan bagi meraih tiket automatik ke London.

“Ini adalah undian yang baik bagi kami biarpun Jepun berada dalam kumpulan yang sama. Tapi jika dibandingkan dengan kumpulan lain, peluang dalam kumpulan ini lebih baik. Bagi saya semua pasukan mempunyai peluang yang sama,” katanya.

Skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee berjaya menempatkan diri dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia apabila menewaskan Lubnan pada pusingan kelayakan kedua menerusi agregat 2-1.

Pada pusingan awal, skuad bawah 23 tahun negara itu mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0.

Barisan muda negara itu akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Jepun di tempat lawan pada 21 September depan.

Juara kumpulan bakal mendapat slot automatik ke Olimpik London manakala pasukan di tangga kedua akan beraksi dalam saingan play off untuk menentang wakil dari benua Afrika bagi satu lagi slot.

----- Harian Metro Online

Saturday, July 9, 2011

Harimau terpaksa telan


Ong Kim Swee menunjukkan saingan Kumpulan C dalam tulisan Jepun selepas cabutan undian pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 di Rumah AFC dekat Bukit Jalil, semalam. Malaysia diundi bersama Jepun, Bahrain dan Syria. - BERNAMA


KUALA LUMPUR - Seperti dijangka, Malaysia tidak punyai pilihan melainkan bakal berdepan gergasi-gergasi Asia dalam misi untuk layak ke Sukan Olimpik London tahun depan.

Pada majlis undian yang dilangsungkan di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil semalam, skuad Harimau Muda diletakkan dalam Kumpulan C bersama pemenang pingat pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010, Jepun di samping Bahrain dan Syria.

Dapat mengelak bertemu Australia, Korea Selatan, Iraq, Qatar mahupun Uzbekistan mungkin dianggap sebagai undian yang memihak Malaysia, namun dua negara Asia Barat yang bakal dihadapi anak-anak buah Ong Kim Swee bukanlah calang-calang pasukan.

Lebih getir, Harimau Muda akan bertandang ke Jepun bagi aksi pembukaan pada 21 September ini.

Negara Matahari Terbit - Jepun, tiada perlunya untuk diuar-uarkan keunggulan pasukan itu dalam kancah bola sepak Asia.

Skuad Blue Samurai adalah satu-satunya pasukan dari benua ini yang pernah meraih pingat dalam sejarah sejak acara bola sepak mula diperkenalkan pada 1990 di Paris. Mereka meraih gangsa di Mexico City 1968.

Malaysia pula pernah tampil sekali pada Munich 1972, sementara Syria pula beraksi sekali pada Moscow 1980 - temasya yang Malaysia layak tetapi diboikot. Syria ketika itu menggantikan Iran yang turut menyertai boikot tersebut.

Bahrain yang merupakan satu-satunya pasukan dalam Kumpulan C yang masih belum pernah layak ke saingan temasya sukan terbesar dunia itu, pastinya mengintai peluang mengulangi kejayaan skuad senior mereka layak ke Piala Dunia 2010.

Setiap juara kumpulan akan menempah tiket automatik ke London, sementara tiga naib juara kumpulan akan bertembung sesama sendiri untuk merebut slot terakhir, dengan pemenangnya akan bermain dalam perlawanan penentuan bertemu pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

Kim Swee yang ditemui selepas majlis semalam menyifatkan keputusan undian tersebut sebagai 'tidak banyak berbeza' memandangkan Malaysia diletakkan sebagai pasukan tercorot di kalangan 12 pasukan.

"Sebelum undian lagi saya tahu kita bakal mengharungi ujian getir berdepan pasukan-pasukan terkuat Asia, jadi undian sebentar tadi tidak membawa sebarang perbezaan.

"Jepun, seperti kita tahu, baru memenangi pingat emas Sukan Asia tahun lalu dan saya percaya masih ada sebilangan besar pemainnya dikekalkan dalam skuad Olimpik.

"Syria pula ialah pasukan yang sentiasa beraksi cemerlang dalam kejohanan remaja AFC, begitu juga Bahrain, antara pasukan gergasi Asia," ujarnya.

Mengenai perlawanan pembukaan di Jepun dua bulan akan datang, Kim Swee berkata, dia akan cuba mengaturkan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Korea Selatan sebelum bertandang ke Jepun.

Katanya, perlawanan menentang Korea Selatan akan memberi input terbaik mengenai Jepun kerana kedua-dua pasukan tersebut mempunyai ciri yang hampir serupa.

"Dari aspek cuaca, saiz fizikal, corak permainan, Korea dan Jepun tidak banyak berbeza, maka daripada perlawanan itu kita akan lebih bersedia menghadapi Jepun pada aksi sebenar nanti.

"Pendekatan sedemikian adalah sama seperti persiapan sebelum turun menentang Lebanon tempoh hari di mana kami bersinggah di Qatar terlebih dahulu untuk aksi pemanas badan sebelum perlawanan kelayakkan," jelasnya.

Sambil mengharapkan tuah beraksi di laman sendiri, Kim Swee mengakui tiga perlawanan yang dilangsungkan di tanah air harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu mata penuh.

"Tiga perlawanan di sini adalah sangat penting untuk kita cipta kejutan dan lakar kemenangan. Saya yakin dengan adanya perancangan rapi tiada apa yang mustahil," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Jepun, Hiromi Hara enggan mendabik dada biarpun pada hakikatnya pasukannya diundi dalam kumpulan yang agak mudah.

Hiromi juga menjangkakan saingan sengit datangnya daripada Malaysia pada aksi pembukaan nanti.

"Malaysia sebuah pasukan yang kuat, mereka memiliki pemain-pemain yang mantap," tambahnya.

----- Utusan Malaysia Online

Friday, July 8, 2011

Malaysia Diundi Dalam Kumpulan C, Menentang Jepun 21 Sept Ini

07 Julai, 2011 19:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Malaysia berhadapan misi getir bila diundi bertemu dengan pasukan yang telah lapan kali layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik, Jepun, dalam perlawanan pertama saingan kumpulan C pada 21 Sept depan.

Dalam undian pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 yang berlangsung di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, pada Khamis, Malaysia turut diundi bersama Syria dan Bahrain.

Jurulatih skuad Olimpik Ong Kim Swee mengakui cabaran berada dalam kumpulan C pastinya getir kerana tiga pasukan tersebut mempunyai corak perlawanan yang berbeza.

"Kita sedia maklum Jepun telah lapan kali ke Olimpik. Ia sememangnya satu permulaan cabaran yang sukar buat Malaysia, lebih-lebih lagi perlawanan pertama berlangsung di negara mereka. Malah mereka merupakan juara Sukan Asia 2010 di Guangzhou.

"Selain itu, saya melihat potensi Bahrain sebagai satu pasukan yang bersiap sedia dengan baik dan Syria merupakan pasukan yang mempamerkan permainan yang konsisten khususnya dalam pasukan remajanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat AFC di Bukit Jalil hari ini.

Beliau berkata bertemu dua jaguh Arab dan satu jaguh Asia merupakan cabaran yang berbeza dan cuba mendapatkan perlawanan persahabatan seperti menentang skuad Korea Selatan, untuk mengenal corak permainan Jepun sebelum ke kelayakan tersebut.

"Ia merupakan cadangan. Kita akan memutuskan keputusan ini selepas skuad Olimpik pulang dari Slovakia.

"Namun sebagai persediaan awal menentang Jepun nanti, pasukan Olimpik akan diberi tugas menentang Chelsea sebelum 25 pemain dipilih menyertai kem latihan berkampung di Vion, Slovakia dari 23 Julai hingga 28 Ogos ini," katanya.

Skuad Olimpik diberi kesempatan untuk menguji Chelsea selepas skuad kebangsaan yang dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal terpaksa memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Singapura bagi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia pada 23 Julai dan 28 Julai ini.

Ong berkata sekiranya Persatuan Bolasepak Korea Selatan bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk membuat latihan di sana kelak, skuad Olimpik negara akan menjadikan negara itu sebagai kem latihan pusat dan terus ke Jepun.

Mengenai perlawanan kedua menentang Syria pada 23 Nov depan, pihaknya akan memohon dan berbincang dengan penganjur temasya Sukan SEA untuk menunda atau mempercepatkan jadual perlawanan ke tarikh yang sesuai memandangkan Malaysia sahaja yang mewakili Asia Tenggara ke kelayakan Olimpik tersebut.

Temasya Sukan SEA akan berlangsung dari 11 hingga 25 Nov.

"Perlawanan tersebut berselang dua atau tiga hari. Saya mahukan setiap pemain mempunyai keadaan dan stamina yang cergas hadapi setiap perlawanan kerana kita mahu mendapat mata penuh.

"Kita akan menghantar permohonan tersebut kepada penganjur bagi melonggarkan masa kita bermain nanti," katanya.

Dalam undian hari ini, sebanyak 12 pasukan yang layak dari pusingan kedua kelayakan Olimpik termasuk Malaysia diundi kepada tiga kumpulan.

Dua lagi kumpulan iaitu kumpulan A ialah Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi dan Oman sementara kumpulan B dibarisi Australia, Iraq, Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Juara dalam setiap kumpulan iaitu tiga pasukan akan layak ke perlawanan temasya Sukan Olimpik.

Bagaimanapun tiga naib juara dalam setiap kumpulan perlu bermain dalam perlawanan kelayakan 'play off' untuk bersama tiga juara dalam setiap kumpulan ke London.

Skuad Olimpik melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Lubnan dengan agregat 2-1. Terdahulu skuad kendalian Ong tersebut mara ke saingan kedua selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat.

-- BERNAMA

Monday, June 20, 2011

Malaysia ikat Lebanon


BIARPUN diturunkan sebagai pemain gantian, Faizal Abu Bakar (kiri) masih mampu memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Lebanon semalam.


MALAYSIA berjaya mendapat bekalan terbaik apabila mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sports City, Beirut semalam.

Ia keputusan yang mampu memberikan kelebihan kepada anak-anak buah Ong Kim Swee itu untuk menanti kunjungan Lebanon pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini.

Pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang waktu Lebanon dengan cuaca panas terik itu semalam, Malaysia tampil dengan berhati-hati dan lebih bertahan pada separuh masa pertama.

Namun pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sempat melakukan percubaan yang ditepis penjaga gol Lebanon pada minit ke-11 manakala tandukan Izzaq Faris Ramlan 10 minit kemudian sedikit tinggi.

Biarpun lebih banyak mengasak, Lebanon tidak banyak dapat melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, tempo permainan berubah sama sekali apabila Malaysia dilihat mula menguasai perlawanan.

Pada minit ke-51, Izzaq terlepas peluang terbaik apabila gagal menampan kemas bola hantaran leret Irfan Fazail di dalam kotak penalti.

Wan Zack selepas itu berjaya melepaskan dua rembatan kencang pada minit ke-54 dan ke-61 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Lebanon.

Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim hampir memberikan gol kemenangan tetapi percubaannya di hadang keluar pemain pertahanan Lebanon.

----- Kosmo Online

Skuad Olimpik lega

Daripada Aziman Rosdi di Beirut, Lubnan

BIARPUN kedudukan skuad Olimpik negara untuk melepasi halangan pusingan kedua Kelayakan Olimpik London 2012 masih belum terjamin namun keputusan seri 0-0 dengan Lubnan pada aksi pertama di Beirut memberi sedikit kelebihan apabila mereka bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur, Khamis ini.

Walaupun gagal mencatat kemenangan dengan aksi positif di tempat lawan, sekurang-kurangnya anak buah jurulatih Ong Kim Swee boleh pulang ke tanah air dengan lapang dada kerana berjaya mengelak lawan daripada mendapat bekalan gol untuk perlawanan kedua nanti.

Aksi awal perlawanan yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut tampak agak hambar apabila kedua-dua pasukan terlalu berhati-hati mengatur permainan.

Berbekalkan sorakan semangat yang diberikan lebih 300 penyokong yang kebanyakannya anggota tentera daripada pasukan Malbatt dan Malcon Malaysia yang bertugas menjaga keselamatan di Lubnan, skuad negara yang pada mulanya tenggelam berjaya mengancam kubu tuan rumah.

Asakan awal bermula dengan rembatan pemain sayap kanan Wan Zack Haikal Wan Nor yang Berjaya ditepis penjaga gol tuan rumah Mohamad Dakramanji pada minit ke-11.

Seminit kemudian Malaysia terlepas peluang terbaik apabila tandukan Izzaq Faris Ramlan melambung tinggi walaupun mendapat hantaran cantik Fandi Othman di depan pintu gol.

Bagaimanapun, Lubnan yang dikendalikan jurulatih Samir Saad hampir mendahului pada minit ke-32 namun rembatan kencang Hassan Chaito sedikit tersasar walaupun penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah tertewas.

Permainan lebih terbuka pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan.

Pada minit ke-55, Malaysia hampir di depan tapi ketangkasan Mohamad Dakramanji menafikan rembatan jarak dekat Wan Zack.

Percaturan Kim Swee memasukkan Syahrul Azwari Ibrahim menggantikan Izzaq hampir membuahkan hasil namun pemain gantian itu gagal menggunakan peluang pada minit terakhir.

Skuad Olimpik negara sebelum ini layak ke pusingan kedua selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 Mac lalu.

----- Harian Metro Online

Saturday, May 14, 2011

Kim Swee lega anak buah ‘tak dicuri’ Raja (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

KETIADAAN pemain Olimpik dalam senarai skuad kebangsaan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong 3 Jun ini legakan jurulatih, Ong Kim Swee.

Pengendali negara itu menganggap keputusan rakan sejawatnya, K Rajagobal itu memberi ruang untuknya menyusun barisan terbaik sebelum menghadapi tugas getir pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik London 2012 bulan depan. Biarpun hampir sebilangan besar pemain skuad Olimpik adalah anak buahnya daripada skuad Harimau Muda A, kehadiran semua 26 pemain yang dipanggil bagi latihan pusat pada 29 Mei ini amat penting untuk persediaan lebih awal.

“Saya berterima kasih kepada Rajagobal kerana memberi ruang kepada pemain bersama skuad Olimpik. Keputusan ini menunjukkan betapa Rajagobal memahami betapa mustahaknya persiapan skuad Olimpik dan kita sama-sama mahu memberikan yang terbaik demi kepentingan negara.

“Walaupun rata-rata pemain skuad Olimpik ini adalah pemain Harimau Muda A, saya memerlukan lima pemain luar yang dipanggil untuk bersama skuad bagi membentuk keserasian di atas dan di luar padang. “Saya mahu memastikan pemain mempunyai semangat berpasukan tinggi apabila bersama nanti,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Pada mulanya timbul persoalan Rajagobal dan Kim Swee terpaksa berebut pemain kerana masing-masing mempunyai tugasan antarabangsa bermula penghujung bulan ini.

Ini kerana skuad kebangsaan dalam rangka persiapan pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan pada 29 Jun dan 3 Julai manakala skuad Olimpik akan mengharungi kelayakan Olimpik berdepan Lubnan 19 dan 23 Jun.

Bagaimanapun akhirnya, Rajagobal membuat keputusan mengetepikan pemain skuad Olimpik iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Mohamad Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Shas, Mahali Jasuli, K Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan yang sebelum ini sering mendapat tempat dalam skuad senior.

Sementara itu, Kim Swee turut lega dengan kebangkitan dipamer Harimau Muda A dalam saingan Liga Super termasuk ketika menewaskan T-Team 3-1 di Kuala Terengganu, kelmarin sekali gus memberi petanda baik menjelang saingan kelayakan Olimpik.

“Saya gembira dengan peningkatan prestasi pemain, walaupun ketinggalan, kami masih mampu menang dengan T-Team. Apa yang saya harapkan agar kejayaan ini mampu diulangi apabila bertemu Sabah, Ahad ini. “Kemenangan dengan Sabah penting untuk kami baiki kedudukan liga sebelum bertemu tiga pasukan teratas Terengganu, Kelantan dan Selangor,” katanya

Thursday, March 31, 2011

Perhitungan dengan Lebanon (Kosmo Online)


SKUAD Olimpik kebangsaan diundi menentang Lebanon pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012.


MALAYSIA akan bertemu Lebanon pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2012 London.

Skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee (gambar kecil) itu akan bertandang ke Lebanon pada 19 Jun dan akan menanti kedatangan lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun.

Negara Timur Tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.

Atad kertas, dalam ranking Fifa, Malaysia berkemungkinan tiada masalah bertandang ke bumi Lebanon kerana Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia dan ke-21 Asia sementara lawan mereka itu berada dalam ranking ke-169 dunia dan ke-32 di Asia.

Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam bagaimanapun mengakui perlawanan menentang Lebanon pastinya getir kerana kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Kita tidak tahu corak permainan mereka dan akan membuat analisis terlebih dahulu serta membuat perancangan latihan pusat.

“Selain itu kita juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Syria ataupun Bahrain bagi memantapkan skuad Olimpik negara.

“Bagaimanapun ia masih dalam perancangan. Masih belum muktamad. Kita memilih Syria atau Bahrain kerana mahu membiasakan pemain dengan keadaan cuaca di sana, yang sama seperti cuaca di Lebanon,” katanya.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya mempunyai cadangan untuk membuat latihan pusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana cuaca yang terlalu panas di sana tidak sesuai untuk anak-anak buahnya.

Menurut Kim Swee, jika salah satu negara sama ada Syria atau Bahrain bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk mengadakan latihan di sana, skuad Olimpik negara akan berlepas pada 8 Jun untuk membuat latihan pusat sehingga ke hari perlawanan itu.

Ditanya mengenai persediaan skuad bimbingannya itu, beliau berkata kesemua pemain kini berlatih di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

“Saya akan menumpang enam atau tujuh pemain saya bermain bersama skuad K. Rajagobal (Harimau Malaya) pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada awal Jun depan.

Namun, beliau tidak menyatakan nama-nama pemain yang akan bersama skuad Harimau Malaya nanti yang akan bertanding pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada Julai.

Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Wednesday, March 16, 2011

Kim Swee amat harap bantuan (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/03/16

 KIM Swee (kiri) tidak berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada  selepas peringkat pertama kelayakan Olimpik.
KIM Swee (kiri) tidak berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada selepas peringkat pertama kelayakan Olimpik.

JURULATIH 'tiga dalam satu', Ong Kim Swee yang memikul tanggungjawab mengendali tiga pasukan tahun ini - skuad Harimau Muda A, Olimpik dan Sukan Sea - memerlukan bantuan jurulatih tempatan lain untuk mencadangkan nama pemain muda lain yang berpotensi mewakili negara.

“Bersama saya sudah ada senarai beberapa pemain bawah 22 tahun dari pasukan negeri atau kelab yang beraksi dalam Liga Super mahu pun Liga Perdana, tetapi pada masa sama saya memerlukan bantuan jurulatih terbabit untuk memberi maklum balas mengenai pemain-pemain muda mereka,” kata Kim Swee.

“Saya sendiri akan cuba turun menyaksikan permainan mereka jika tidak bertembung dengan perlawanan Harimau Muda A dan untuk perlawanan lain mungkin terpaksa melihat menerusi rakaman dan pemantauan oleh jurulatih masing-masing.

“Saya tidak mahu berpuas hati dengan senarai 47 pemain yang ada sekarang walaupun kita baru melepas cabaran Pakistan di peringkat pertama kelayakan Olimpik. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah dan jentera serangan.

“Jadi saya akan beri peluang kepada pemain lain yang belum berdaftar dengan skuad Olimpik untuk membuktikan keupayaan sebenar mereka menjelang pertemuan pusingan kedua 19 dan 23 Jun ini.” Malaysia akan diundi bertemu salah satu daripada 13 pasukan terbaik Asia pada 30 Mac ini.

Kim Swee juga sudah menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meminta penangguhan tiga perlawanan Liga Super sepanjang Jun bagi membolehkannya membuat persediaan rapi pada pusingan kedua kelayakan nanti.

JKPT yang akan bersidang hari ini dijangka tidak mempunyai masalah untuk menunaikan permintaan Kim Swee yang bercadang mahu mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jun nanti.

Sementara itu Kim Swee sedikit kesal apabila ada beberapa pihak mengatakan dia cuba menjadikan isu jadual padat sebagai alasan. “Saya sentiasa bersedia menyahut apa juga cabaran, baik jadual padat atau masalah kecederaan pemain,” katanya.

“Apa yang menjadi masalah bagi saya hanya percaturan untuk menurunkan pemain mana pada setiap perlawanan, kerana semua pemain di bawah bimbingan saya bersemangat tinggi untuk bermain, baik untuk Harimau Muda mahupun negara.“

“Saya harap tidak ada pihak yang salah faham dengan kenyataan saya mengenai jadual padat sebelum ini. Saingan sengit Liga Super dan Piala FA yang kami harungi sebelum bertemu Pakistan antara faktor yang memberi keyakinan tinggi kepada pemain Harimau Muda.”

Mahali tak kisah lawan siapa sahaja (Harian Metro Online)

SKUAD Olimpik negara semakin berdebar menantikan undian pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 pada 30 Mac ini namun bagi pemain pertahanan kental Mahali Jasuli, tidak kira pasukan mana yang bakal ditentang, mereka bersedia memberikan aksi terbaik untuk tidak menghampakan harapan menggunung peminat Malaysia.

Walaupun mengakui tugas yang bakal ditempuh selepas ini lebih mencabar berbanding ketika melepasi halangan awal ke atas Pakistan menerusi agregat 2-0, pemain berusia 22 tahun itu percaya misi untuk melangkah jauh dalam saingan merebut tiket ke London bukan sesuatu yang mustahil.

“Pusingan kedua kelayakan Olimpik memang sukar sebab Malaysia akan diundi bertemu dengan pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi dan Australia. Tapi saya tidak terfikir memilih mana-mana pasukan menjadi lawan Malaysia selepas ini kerana bagi saya semua pasukan kuat.

“Tapi kami juga mempunyai pengalaman bertemu pasukan kuat seperti Jepun dan China pada Sukan Asia (Guangzhou) tahun lalu, jadi saya fikir kami juga sudah mengetahui sedikit sebanyak kekuatan mereka.

“Memang takut juga kalau tidak dapat memenuhi harapan peminat tapi kami akan berusaha memberikan aksi terbaik,” katanya selepas menjadi tamu kepada program Skim Latihan Pra-Kewartawanan (Pets) Harian Metro, semalam.

Mahali yang menjadi tonggak skuad kebangsaan ketika menjulang Piala Suzuki AFF Disember lalu berpendapat, cadangan jurulatih Ong Kim Swee supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia menunda tiga perlawanan Harimau Muda A pada bulan Jun adalah wajar.

Ini kerana sebahagian besar pemain Harimau Muda A adalah tonggak skuad Olimpik dan jika mendapat pengecualian itu, mereka boleh membuat persiapan rapi sebelum mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan.

Monday, March 14, 2011

Amaran Kim Swee buat anak buah (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

TIADA keistimewaan diberikan jurulatih Ong Kim Swee kepada pemain Harimau Muda A untuk terus kekal dalam skuad Olimpik negara.

Mereka kini sepatutnya berasa terancam apabila pengendali skuad muda negara itu memberi isyarat untuk memanggil lebih ramai pemain luar bagi persiapan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 Jun depan.

Dengan ujian selepas ini lebih mencabar apabila Malaysia bakal diundi bersama 13 pasukan pilihan antaranya Australia, Jepun, Korea Selatan, China dan Arab Saudi pada 30 Mac ini, Kim Swee bersedia memberi ruang kepada pemain lain untuk memperkuatkan pasukannya.

“Saya akan fikirkan pemain lain yang mempamerkan permainan yang baik dalam Liga Perdana ataupun Liga Super. Saya masih membuka peluang kepada pemain bawah 20 tahun daripada pasukan lain untuk beraksi dalam skuad Olimpik negara,” katanya.

Kim Swee yang membimbing skuad Olimpik negara mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 pada pusingan pertama berkata, beliau tidak berdepan masalah untuk memanggil pemain bukan daripada skuad Harimau Muda A kerana tidak terikat dengan pemain yang didaftarkan dalam perlawanan sebelum ini.

“Saya mempunyai masa tujuh hari sebelum perlawanan (pusingan kedua) untuk mendaftar pemain,” katanya.

Sebelum ini, hanya empat pemain luar menyertai skuad Olimpik negara iaitu Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali, Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

Selain itu, apa yang diharapkan Kim Swee supaya persiapan mereka tidak hanya bergantung kepada aksi dalam Liga Super sebaliknya mahu mengadakan latihan dan perlawanan antarabangsa di luar negara sebelum perlawanan pertama pusingan kedua, 19 Jun depan.

“Perancangan memang mustahak, kalau kami tahu lawan selepas ini lebih awal baru boleh membuat perancangan lebih rapi. Kami mahu mencipta kejutan layak ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Kim Swee merancang untuk mengadakan latihan pusat bermula 25 Mei depan dan menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menunda tiga perlawanan Liga Super yang membabitkan Harimau Muda pada bulan Jun bagi persediaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik.

Sunday, March 13, 2011

Fahmi tiada masalah berlatih berasingan (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/03/13

pix_gal0
KHAIRUL Fahmi Che Mat (gambar) - tonggak yang kini menjadi sandaran utama menerajui skuad negara layak ke Sukan Olimpik 2012 - tiada masalah menjalani latihan berasingan dengan barisan yang majoritinya adalah pemain Harimau Muda A.

“Bagi saya tidak ada masalah kerana kami sudah serasi dan tahu corak permainan masing-masing,” kata penjaga gol Kelantan itu yang sekali lagi memastikan gawang negara tidak dibolosi ketika bertemu Pakistan pada perlawanan kedua pra-kelayakan Olimpik di Stadium Punjab, Lahore, Rabu lalu.
“Kini skuad negara sudah layak ke pusingan kedua di mana bakal menanti kami ialah salah satu daripada 13 pasukan terbaik Asia. Jadi untuk perlawanan ini, mungkin kami perlu lebih banyak latihan bersama bagi memantapkan lagi pasukan.”

Ketika ditanya mengenai pemilihannya sebagai kapten pasukan, Fahmi mengakui lilitan kapten di lengannya mencetus semangat dan keyakinan lebih tinggi buatnya untuk memberi arahan kepada rakan sepasukan dalam memastikan benteng pertahanan negara tidak dibolosi.

“Siapa menjadi kapten tidak penting, tetapi sebagai penjaga gol saya dapat melihat pergerakan pemain dengan lebih jelas dan mudah bagi saya untuk memberi arahan kepada barisan pertahanan,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Fahmi yang menjadi antara tonggak negara ketika menjuarai Piala Suzuki, Disember lalu turut mendedahkan keinginan bermain di luar negara seperti penyerang Selangor, Safee Sali yang menyertai kelab Indonesia, Pelita Jaya.

“Impian itu memang ada, tetapi buat masa sekarang saya akan memberi tumpuan kepada perlawanan Liga Super bersama Kelantan dan kelayakan Olimpik bersama skuad kebangsaan. Bila tiba masanya, mungkin saya akan memikirkan mengenai perkara itu,” katanya.
Selain Fahmi, tiga pemain lain dari dua pasukan negeri turut disenaraikan jurulatih Ong Kim Swee untuk perlawanan pusingan pertama sebelum ini - Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Mohd Shakir Ali dan Mohd Faizal Muhamad dari Kedah.

Saturday, March 12, 2011

Ong Mohon FAM Tunda Perlawanan Liga Super Jun Ini Untuk Persiapan Olimpik

11 Mac, 2011 19:10 PM

SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee, meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunda beberapa perlawanan Liga Super pada Jun ini bagi memberi masa yang cukup untuk membuat persiapan menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012.

Katanya tarikh perlawanan terbabit ialah pada 14, 18 dan 21 Jun ini.

"Dalam tempoh itu, kemungkinan latihan pusat akan diadakan di luar negara," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Lahore, Pakistan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada Jumaat.

Ong berkata pasukan lawan pada pusingan kedua kalah-mati itu akan ditentukan melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, di sini.

Katanya perlawanan pusingan kedua akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun ini.

Malaysia mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik dengan agregat 2-0 selepas seri tanpa jaringan menentang Pakistan di Stadium Punjab, Lahore, Rabu lalu.

Pada 23 Feb lepas, skuad anak buah Ong Kim Swee menewaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertama, pusingan pertama di Stadium Shah Alam.

Mengikut format pusingan kedua kelayakan zon Asia, 13 negara terbaik Asia akan beraksi bersama 11 negara yang menang dari pusingan pertama dengan format timbal-balas pada 19 dan 23 Jun ini.

Sebanyak 12 pasukan yang menang kemudian akan dibahagikan kepada tiga kumpulan kelayakan dan perlawanan kumpulan kelayakan akan berlangsung dari 21 Sept 2011 hingga 14 Mac 2012.

Juara setiap kumpulan kelayakan akan mendapat tiket automatik ke temasya Sukan Olimpik London 2012 manakala naib juara dari ketiga-tiga kumpulan kelayakan itu akan saling bertemu untuk merebut satu lagi tiket play-off.

Pada kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia sekadar menduduki tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

-- BERNAMA

Malaysia tak gentar (Kosmo Online)


SKUAD Malaysia bergambar sebelum memulakan aksi menentang Pakistan di Stadium Punjab, Lahore malam kelmarin.


HALANGAN pusingan pertama berjaya dilepasi skuad bola sepak Olimpik kebangsaan setelah mereka mengikat Pakistan 0-0 pada aksi kedua di Stadium Punjab, Lahore malam kelmarin.

Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 berbekalkan kemenangan 2-0 pada aksi pertama di Shah Alam 23 Februari lalu.

Kini semua mata tertumpu kepada majlis undian pusingan kedua yang akan berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil pada 30 Mac ini.

Untuk aksi pusingan kedua secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bersama 10 lagi pemenang pusingan pertama bakal diundi bertemu 13 pasukan yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Kemungkinan lawan Malaysia pada pusingan kedua itu ialah Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, beliau tidak gentar siapa yang bakal ditentang pada pusi- ngan kedua nanti sambil menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mencipta kejutan.

“Tiada mana-mana pasukan saya harapkan untuk diundi bertemu nanti. Ini kerana, jika telah mendapat bye, sudah tentu mereka semua pasukan yang bagus.

“Tetapi kita tidak akan menye- rah kalah sebelum turun beraksi dan akan memberi saingan. Dengan persiapan rapi, tak mustahil untuk kita mencipta kejutan,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Lahore semalam.

Andai berjaya melepasi pusingan kedua, Malaysia berpeluang menjadi 12 pasukan terbaik Asia yang akan dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk bersaing dalam enam perlawanan sepanjang 21 September 2011 hingga 14 Mac 2012.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke Sukan Olimpik 2012 di London manakala tiga naib juara bakal bertarung merebut satu slot pertemuan playoff dengan pasukan di tangga keempat saingan kelayakan zon Afrika.

Diminta mengulas aksi para pemainnya di Lahore kelmarin, Kim Swee berkata, sasaran untuk tidak melepaskan sebarang gol berjaya dicapai biarpun mereka gagal meraih kemenangan.

“Seperti dijangka, Pakistan mengasak dari awal tetapi pemain kita telah menjalankan tugas dengan baik. Cuma keadaan padang yang teruk tidak membenarkan kita bermain mengikut rentak sebenar.

“Pada babak kedua, kita mula menguasai permainan dengan mendapat tiga percubaan terbaik tetapi gagal disempurnakan dengan baik,” ujarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...