Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala AFF-Suzuki 2010. Show all posts
Showing posts with label Piala AFF-Suzuki 2010. Show all posts

Thursday, March 3, 2011

Wira Piala Suzuki dapat imbuhan (Berita Harian Online)

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/03

 AZIZAN  diiringi Exco Belia dan Sukan, Hamdan Mohamed Khalib (tiga dari kiri) bersama pemain pasukan Kedah    (dari  kiri)   Sabri,  Khairul Helmi   dan Amar (empat dari kiri). Turut hadir   penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe dan penolong pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin selepas majlis penyerahan sagu hati di Wisma Darulaman, semalam.
AZIZAN diiringi Exco Belia dan Sukan, Hamdan Mohamed Khalib (tiga dari kiri) bersama pemain pasukan Kedah (dari kiri) Sabri, Khairul Helmi dan Amar (empat dari kiri). Turut hadir penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe dan penolong pengurus pasukan Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin selepas majlis penyerahan sagu hati di Wisma Darulaman, semalam.

KERAJAAN Kedah, semalam menunaikan janji memberi imbuhan RM5,000 seorang kepada lima pemain bola sepak dari negeri ini yang mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010, Disember lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata imbuhan berkenaan adalah tanda penghargaan kerajaan negeri kepada pemain berkenaan termasuk penolong jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang juga anak negeri Jelapang Padi ini yang menunjukkan prestasi persembahan mantap dalam kejohanan terbabit.

Azizan menyampaikan sumbangan berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Alor Setar kepada pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu serta Amar Rohidan yang kini menyertai Kedah bagi persaingan Liga-M musim ini.

Dua lagi pemain yang tidak dapat hadir dalam majlis penyerahan berkenaan, pemain sayap, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan pemain tengah, Mohammad Faizal Abu Bakar.

Azizan berkata, kelima-lima pemain berkenaan perlu mengekalkan prestasi cemerlang untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak tempatan di persada antarabangsa.

Sementara itu, Azizan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika diminta mengulas mengenai prestasi hambar Skuad Kenari dalam Liga Super musim ini termasuk kekalahan kepada Selangor, malam kelmarin berkata, persembahan pasukan Kedah masih lagi di tahap memuaskan.

Tuesday, January 18, 2011

Ganjaran Negeri Untuk Pemain Selangor Dalam Skuad Kebangsaan Yang Menang Piala AFF Suzuki (BERNAMA)

SHAH ALAM, 18 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memutuskan dalam sebulan lagi bentuk ganjaran kepada pemain-pemain Selangor yang memainkan peranan dalam Skuad Kebangsaan merangkul kejuaran Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta baru-baru ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata, "Kita perlu melihat apa yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri lain kepada pemain-pemain mereka, kalau kita nak beri mesti ada nilai tambah," katanya.

Abdul Khalid berkata kalau boleh ganjaran yang bakal diberikan itu membolehkan pemain membuat persediaan bagi meneruskan kehidupan mereka selepas menggantung kasut bola mereka.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pasukan Bolasepak Liga Super dan Piala Presiden Selangor dan Pelancaran Jersi untuk Musim Baru di sini hari Selasa.

Pemain Selangor yang mewakili negara pada Piala Suzuki ialah Mohd Amri Yahyah, Mohd Razman Roslan, Mohd Nasriq Baharom, Mohd Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Safee.

Pada majlis itu, wartawan diperkenalkan jersi baru Selangor berwarna merah bila beraksi di gelanggang sendiri dan kuning di gelanggang lawan, ditaja oleh Novature Sdn Bhd.

Penaja utama bagi pasukan merah kuning pada tahun ini ialah Menteri Besar Inc dengan tajaan berjumlah RM4 juta setahun.

-- BERNAMA

Thursday, January 13, 2011

Hanya satu permulaan (Harian Metro Online)


MENCUIT HATI...Najib bermesra dengan pemain negara di Seri Perdana, semalam.
MENCUIT HATI...Najib bermesra dengan pemain negara di Seri Perdana, semalam.

DI SEBALIK pujian diberikan atas kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menjulang trofi Piala Suzuki AFF, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peringatan kepada semua pemain bahawa kejayaan itu hanyalah satu permulaan.

Beliau berkata, skuad negara perlu bersedia menggalas misi lebih besar untuk meletakkan Malaysia kembali menjadi kuasa bola sepak Asia serta melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012 dalam masa terdekat ini.

“Saya harap kejayaan ini bukan bersifat sementara tapi sebagai batu loncatan untuk mencapai dua kejayaan lain dalam waktu terdekat.

Dalam jangka masa terdekat ini, kita mahu layak ke Sukan Olimpik London 2012 serta mengembalikan status sebagai kuasa bola sepak Asia,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra meraikan kejayaan skuad kebangsaan di kediaman rasminya di Seri Perdana semalam.

Dalam majlis itu juga, Perdana Menteri menyampaikan ganjaran RM65,000 kepada setiap 25 anggota skuad Harimau Malaya termasuk pemain dan jurulatih sebagai tanda penghargaan kerajaan di atas kejayaan menjuarai Piala AFF buat kali pertama dengan menumpaskan Indonesia di final menerusi agregat 4-2 bulan lalu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta menteri kabinet.

Menurut Najib, kejayaan yang membangkitkan semangat luar biasa hingga mencetuskan rasa bangga seluruh rakyat Malaysia itu membuktikan skuad kebangsaan mempunyai kemampuan untuk pergi lebih jauh.

“Kita ambil iktibar daripada kejayaan ini bahawa kita tidak boleh jadikan alasan tidak boleh berjaya kerana kalau memiliki keazaman dan keyakinan kita boleh atasi halangan. Mungkin kita memiliki kemahiran tapi kalau tiada semangat juang tak mungkin boleh mencapai kejuaraan,” katanya.

“Kalau dulu kita sering dikaitkan dengan masalah mental pemain tapi kejayaan ini membuktikan Harimau Malaya sudah mempunyai kekuatan mental,” katanya.

Selain itu beliau turut memberi pujian kepada K Rajagobal kerana berjaya membuktikan kewibawaan jurulatih tempatan dalam membentuk skuad muda negara menjadi pasukan yang disegani di rantau ini.

Senario bola sepak tanah air yang sebelum ini suram kembali berubah apabila Malaysia muncul pasukan handal rantau Asia Tenggara dengan memenangi Piala AFF selepas skuad bawah 23 tahun kebangsaan memenangi pingat emas di Sukan Sea Laos 2009.

Ganjaran RM1.625j (Harian Metro Online)

KERINGAT dan pengorbanan 25 anggota skuad Harimau Malaya yang menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk menjuarai Piala Suzuki AFF ternyata berbaloi apabila kerajaan memperuntukkan ganjaran sebanyak RM1.625 juta dalam bentuk saham amanah dan wang tunai buat mereka.

Daripada jumlah itu, pemain dan jurulatih kebangsaan menerima RM65,000 setiap seorang yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis ramah mesra meraikan pasukan juara itu di kediaman rasminya di Seri Perdana semalam.

Ganjaran itu diberikan dalam bentuk unit saham Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 bernilai RM50,000 serta wang tunai RM10,000 manakala RM5,000 pula menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam ucapannya, Najib berkata, kejayaan skuad kebangsaan kendalian jurulatih K Rajagobal itu wajar diiktiraf kerana ia kejayaan yang istimewa.

“Setiap pemain dan jurulatih akan menerima Amanah Saham Wawasan bernilai RM50,000 setiap seorang. Ganjaran ini adalah untuk masa depan mereka, kena tunggu sampai 10 tahun (tempoh matang).

“Kejayaan menjuarai Piala AFF bukan sebarang kejuaraan, walaupun banyak lagi kejohanan lebih tinggi di peringkat Asia dan dunia tetapi kejayaan ini mencetuskan semangat patriotisme luar biasa di kalangan rakyat. Bila menang memang rasa nak menitiskan air mata,” kata beliau yang mengikuti setiap perkembangan skuad kebangsaan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Pada majlis itu, semua pemain dan jurulatih hadir kecuali pemain sayap Mohd Ashaari Shamsuddin yang berada di Terengganu untuk bersama isterinya menantikan kelahiran cahaya mata pertama.

Malaysia menjuarai Piala AFF buat julung kalinya sejak dianjur pada 1996 dengan menumpaskan Indonesia menerusi agregat 4-2 selepas menang 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum tumpas 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno Jakarta.

Selain itu, Najib turut menyuarakan kesudian kerajaan untuk memberikan sokongan penuh kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam membentuk pasukan negara lebih mantap.

Sebagai permulaan, kerajaan bersedia membiayai program latihan pemain negara ke kelab ternama serta memberikan peruntukkan RM500,000 menerusi Kementerian Belia dan Sukan kepada FAM untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya untuk kegunaan pemain.

“Kerajaan bersedia menaja pemain bagi ditempatkan ke kelab ternama pada masa depan dan terserah kepada FAM untuk memilih kelab sesuai,” kata Najib.

Sponsored stints and cash prize await Suzuki Cup winners (The Star Online)

Thursday January 13, 2011

By MAZWIN NIK ANIS
mazwin@thestar.com.my

PUTRAJAYA: Players of the victorious AFF Suzuki Cup team will be sponsored by the Government for attachment stints with prominent international football clubs in an effort to gear them for “bigger and greater successes”.

The attachment offer comes with a cash reward totalling RM65,000 for each of the 25 players and coaches of the Harimau Malaya football team, whose win had raised patriotism among Malaysians to a “highly extraordinary level”, said Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.

The cash reward comprises RM50,000 worth of shares in Amanah Saham Wawasan 2020, RM10,000 special incentive from the Govern­ment and another RM5,000 from the National Sports Council.

Najib also said the Youth and Sports Ministry would allocate RM500,000 to the Football Association of Malaysia (FAM) to upgrade facilities like the gymnasium and sauna room at Wisma FAM in Kelana Jaya.

“We will let the Football Association of Malaysia (FAM) decide on the players’ attachment stints, which the Government will sponsor.

“We hope the experience will be put to good use in preparing our players physically, tactically and mentally for many more successes as Malaysia aims to become the football power house in Asia. The move will also help our Road to London (Olympic) 2012 quest,” he said, adding that the country’s football development would be a “national agenda and effort”.

Najib was speaking at a luncheon to honour the national football team, which won the AFF Suzuki Cup after beating Indonesia by a 4-2 aggregate on Dec 29.

It was Malaysia’s first victory since the cup was introduced in 1996. Also present to honour the team were FAM deputy president Tengku Mahkota of Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Youth and Sports Minister Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek and other Cabinet members.

Najib said the victory proved that the team could work together, transcending race with good tactical skills and mental strength.

Najib also confessed to having “felt like crying” when Malaysia made it to the finals after beating Vietnam, adding that he was happy to join thousands of Malaysian supporters in watching the match on a giant screen at Bukit Bintang.

“The tremendous sense of pride I felt for the team was overwhelming.”

Pemain Dan Jurulatih Terima Habuan RM65,000 Seorang Juarai Piala AFF Suzuki (BERNAMA)

PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan pemberian insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 setiap seorang kepada 25 pemain dan jurulatih bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lepas.

Setiap pemain dan jurulatih diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun, kata Perdana Menteri ketika meraikan skuad itu di kediaman rasminya, Seri Perdana, di sini Rabu.

Pada majlis yang turut dihadiri menteri-menteri kabinet, Najib berkata imbuhan wang tunai RM10,000 adalah daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain.

Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki buat julung kalinya dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di sini dan kalah 2-1 di Jakarta.

Najib juga berkata kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu menghantar pemain-pemain untuk menjalani latihan dengan mana-mana kelab bola sepak di luar negara.

"Untuk pembangunan di masa depan, kerajaan akan memberikan kerjasama dan sokongan yang sebaik-baiknya kepada FAM untuk memajukan bola sepak di negara ini.

"Kerajaan akan menaja latihan pemain-pemain kita dengan kelab-kelab ternama di luar negara sebagai persediaan pemain.

Terserahlah kepada FAM untuk menentukan di mana, siapa dan sebagainya. FAM perlulah juga berunding dengan KBS dan MSN," katanya.

Mengenai kejayaan sulung skuad negara memenangi Piala AFF Suzuki, Najib berkata ia perlu dijadikan contoh oleh semua rakyat Malaysia khususnya generasi muda.

"Ia bukanlah sebarang kejayaan kerana ia suatu kejayaan yang mencetus satu semangat patriotisme yang luar biasa di kalangan rakyat.

"Tidak ada satu peristiwa lain ataupun kejohanan lain yang boleh dianggap setanding dengan apa yang telah dilalui dalam peristiwa yang membolehkan kita menjulang Piala AFF Suzuki ini. Suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dikatakan sebagai 'electrifying' (bersemangat), walaupun saya tidak berada bersama tetapi saya dapat saksikan jaringan yang menarik pemain Malaysia melalui YouTube," katanya.

Perdana Menteri turut mengimbau saat-saat manis beliau duduk di atas jalan raya bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam.

"Saya sendiri mencatat sejarah peribadi, belum pernah ada Perdana Menteri duduk di atas jalan raya bersama-sama rakyat untuk menyaksikan perlawanan bola...dan saya berbangga. Bila kita (Malaysia) menang hari itu, rasa macam hendak menitiskan air mata.

"Saya dapat selami kekuatan mental pemain ketika itu begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan oleh peminat-peminat. Saya dapat saksikan perubahan besar dalam bola sepak Malaysia," katanya.

Najib menyeru semua pemain supaya terus berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada Piala AFF Suzuki dengan meningkatkan prestasi.

Tumpuan skuad bola sepak kebangsaan kini, katanya, adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada 2012 dan berusaha untuk menjadi kuasa besar sukan bola sepak di rantau Asia.

-- BERNAMA

Lima Pemain Kedah Yang Bermain Dalam Piala Suzuki Terima RM5,000 Seorang (BERNAMA)

ALOR SETAR, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah pada Rabu mengumumkan pemberian ganjaran sebanyak RM5,000 seorang kepada lima pemain negeri itu yang mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini.

Ganjaran turut diberikan kepada seorang penolong jurulatih skuad tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mengumumkan perkara itu berkata pemain yang menerima ganjaran ialah pemain sayap Mohd Khyril Muhymeen Zambri, pemain pertahanan Mohd Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari serta pemain tengah Mohammad Faizal Abu Bakar dan Amar Rohidan.

Penolong jurulatih yang menerimanya ialah Tan Cheng Hoe yang berasal dari Kedah dan pernah bermain untuk skuad Kedah.

Kata Azizan, kerajaan negeri turut mempertimbangkan untuk memberi ganjaran berupa tanah yang akan diumumkan kemudian.

"Kita rancang untuk beri tanah di Pokok Sena kerana kawasan itu membangun. Kita akan dapatkan maklumat lanjut dan umumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini pada Rabu.

Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF setelah menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

-- BERNAMA

PM umum habuan skuad Harimau Malaya (Berita Harian Online)

2011/01/12

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pemberian insentif kepada setiap pemain skuad Harimau Malaya yang berjaya membawa pulang kali pertama Piala Suzuki AFF, bulan lalu.

Beliau berkata, setiap pemain diberi 50,000 unit Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 dan wang tunai RM15,000.

Wang tunai RM15,000 itu adalah RM10,000 menerusi insentif khas kerajaan manakala RM5,000 adalah menerusi skim hadiah kemenangan sukan Majlis Sukan Negara (MSN).

Tuesday, January 11, 2011

'Belum rezeki saya' (Metro)

PENYERANG tengah skuad Harimau Malaya, Amar Rohidan, 23, tidak berkecil hati apabila mendapati sebahagian besar rakan sepasukan memperoleh ganjaran besar disumbangkan kerajaan negeri masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, sebagai anak jati Perlis beliau berasa terkilan apabila mendapati sumbangannya kepada negara selepas buat kali pertama menjulang Piala AFF Suzuki 2010 di Indonesia, seolah-olah tidak dihargai kerajaan negeri.

“Mungkin ini (sumbangan daripada kerajaan negeri) adalah rezeki kawan-kawan dan mungkin rezeki saya ada selepas ini. Saya tidak mengharap sangat tapi jika boleh, mereka menghargai sumbangan saya mengharumkan nama negara,” katanya ketika mengulas kelewatan kerajaan negeri memberi ganjaran kepadanya selaku pemain tunggal Perlis dalam skuad kebangsaan yang menjulang Piala Suzuki AFF, menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Sebahagian besar pemain pasukan negara dijanjikan dan menerima ganjaran besar, termasuk rumah dan lot tanah selain wang tunai daripada kerajaan negeri masing-masing.

Amar berkata, pihak kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian dan Penguatkuasaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim, hadir ke rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri, untuk menyatakan penghargaan kepadanya.

“Beliau memaklumkan kerajaan negeri akan menganjurkan majlis khas untuk meraikan saya dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum itu, bapanya, Rohidan Rashid, 51, dihubungi salah seorang pegawai kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat berhubung butiran peribadinya, termasuk asal usulnya sama ada benar-benar penduduk Perlis.

“Saya adalah penduduk Perlis dan beraksi bersama skuad negeri sejak beberapa tahun lalu sebelum ke Kedah untuk menghadapi Liga Super musim ini. Saya masih tertunggu-tunggu majlis berkenaan, tambahan pula ketika ini saya mempunyai jadual ketat termasuk latihan bersama skuad baru,” katanya.

Amar berkata, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebelum ini memberikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepadanya sebagai menghargai sumbangannya mengharumkan negara dan Perlis.

Saturday, January 8, 2011

Wira Harimau Malaya terus dihargai (Berita Harian Online)

Oleh Kamudin Baharom

2011/01/08

KEJAYAAN skuad kebangsaan kendalian K Rajagobal menamatkan penantian 14 tahun Piala AFF Suzuki terus diberi penghargaan apabila apabila bekas pemain Perlis, Amar Rohidan menerima sumbangan wang tunai RM5,000 daripada Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di Pengkalan Assam, Kangar, semalam.

Pemain tengah kelahiran Taman Mas, Balai Baru dekat Kangar itu menerima sumbangan daripada Pengerusi YPK, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

“Majlis dan sumbangan ini adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan Amar (Rohidan) kerana membantu pasukan negara menamatkan penantian 14 tahun negara dengan memenangi Piala AFF Suzuki di Jakarta, baru-baru ini.
“Walaupun Amar tidak lagi beraksi untuk Perlis musim ini kerana menyertai Kedah, dia adalah anak Perlis dan beraksi untuk Perlis sejak beberapa tahun lalu.

“Justeru, sewajarnya Amar menerima penghargaan dan sumbangan ini dengan harapan dia dapat terus mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan selain apabila kembali berbakti dengan Perlis,” katanya.

Turut hadir Ketua Jurulatih Perlis, Mosthakeen Omar dan penolongnya, Azamri Zali serta pegawai pasukan dan barisan skuad Liga Super Perlis 2011.

Shahidan berharap, kejayaan Amar itu mampu membangkitkan semangat dan kesungguhan barisan muda dan baru Perlis untuk mengharungi cabaran Liga-M, bermula 29 Januari ini.

“Semua pemain Perlis juga mampu mencapai kejayaan sekiranya mencontohi semangat dan kesungguhan serta tahap disiplin tinggi Amar ketika dia bersama Perlis dan skuad kebangsaan,” katanya.

Thursday, January 6, 2011

Pemain terima imbuhan Isnin (Utusan Malaysia Online)


Norshahrul Idlan Talaha (kanan) antara pemain yang akan menerima imbuhan dari kerajaan negeri setelah membantu Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF.


KUALA TERENGGANU - Enam pemain negeri ini yang membantu skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini, akan menerima insentif tanah kediaman dan wang, seperti yang dijanjikan pada Isnin ini.

Pemain tersebut ialah Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee, yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha dari skuad Kelantan.

Tiga lagi pemain skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, majlis tersebut akan diadakan di sini, serentak dengan majlis menandatangani perjanjian para pemain skuad Terengganu dan T-Team.

Beliau memberitahu, pada majlis tersebut, pemain terbabit akan menerima imbuhan RM5,000 seorang dan diberi borang bagi urusan pemberian sebidang tanah untuk kediaman.

Beliau berkata demikian selepas selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Sabtu lalu, beliau mengumumkan pemberian insentif tersebut kepada enam pemain berkenaan sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara dan negeri.

Menurut Menteri Besar, pemberian insentif itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pelajaran.

Pada 29 Disember lalu, skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih K. Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Jakarta dengan agregat 4-2.

Monday, January 3, 2011

Disepak penyokong fanatik Indonesia (Harian Metro Online)

KANGAR: Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Amar Rozidan, 23, tergamam apabila disepak seorang penyokong fanatik Indonesia ketika memasuki pekarangan hotel di Jakarta, sejurus pasukan negara buat pertama kali menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, baru-baru ini.

Amar berkata, selain dilempar kata-kata kesat, penyokong terbabit turut melontar beberapa objek keras termasuk pemetik api terhadap skuad kebangsaan walaupun pekarangan hotel yang menjadi tempat penginapan pemain dikawal ketat anggota keselamatan negara itu.

Katanya, puluhan penyokong fanatik Indonesia bertindak demikian kerana sukar menerima kekalahan pasukan kesayangan mereka kepada Malaysia dengan agregat 4-2 dan berada di pekarangan hotel untuk menunggu kepulangan pemain Malaysia dari Stadium Gelora Bung Karno, selepas perlawanan terbabit.

“Secara tiba-tiba salah seorang penyokong berkenaan bertindak menyepak paha saya dan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keadaan ketika itu agak tegang manakala pasukan keselamatan mengarahkan kami segera memasuki hotel bagi mengelak perkara lebih buruk.

“Insiden terbabit menjadi pengalaman menarik bagi menutup tirai kalendar 2010 serta sepanjang empat tahun saya bersama skuad Harimau Malaya dan ia tidak akan dilupakan,” kata anak jati Perlis tunggal yang menyarung jersi kebangsaan ketika ditemui di rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri, dekat sini, petang kelmarin.

Terdahulu, keluarganya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Emas mengadakan kenduri kesyukuran bagi menyambut kepulangan Amar yang dianggap wira serta mengharumkan nama Perlis.

Lebih 200 tetamu hadir pada majlis itu serta dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik. Bapanya, Rozidan Rashid, 51, dan ibunya, Che Ah Mad Isa, 51, tidak menang tangan melayan tetamu pada majlis berkenaan.

Amar yang 15 kali beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, kini bersiap sedia untuk menyarung jersi Kedah bagi menghadapi kejohanan Piala Malaysia 2011 selepas beberapa tahun bersama skuad Perlis.

Anak ketiga daripada empat beradik yang semuanya lelaki itu baru mengikat pertunangan dengan gadis pilihan, Farhana Ahmad, 23, seorang jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini. Pasangan terbabit dijangka melangsungkan perkahwinan pada Mac depan.

“Saya akan cuba meningkatkan mutu permainan supaya lebih mantap untuk menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di England. Perkahwinan nanti tidak akan menjejaskan karier bola sepak saya” katanya.

Sementara itu, Rozidan yang bertugas sebagai Penyelia Teknik di TM Malaysia di sini pula bertindak membotakkan kepala sebagai menunaikan nazar selepas skuad Harimau Malaya yang disertai anaknya itu menjuarai Piala Suzuki.

“Saya tunai nazar membotakkan kepala di sebuah kedai gunting rambut di Arau pada keesokan hari perlawanan (30 Disember 2010) dan saya berbangga dengan prestasi cemerlang Amar membantu pasukan untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.

“Kami sekeluarga turut menonton perlawanan akhir menerusi televisyen di rumah dan saling berpelukan apabila wisel penamat ditiupkan pengadil bagi mengesahkan piala terbabit menjadi milik negara,” katanya.

Menurutnya, tindakannya membenarkan Amar memilih bidang bola sepak sebagai kerjaya tetap berbaloi berdasarkan kedudukan dan prestasi persembahannya sekarang.

Katanya, Amar pernah mendapat tawaran untuk memasuki politeknik sejurus keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan tetapi dia tetap memilih mengikuti latihan di akademi bola sepak negara.

“Saya sebelum ini berbelah bagi untuk membenarkan dia mengikuti latihan bola sepak tetapi kini bertambah yakin apabila melihat prestasi cemerlang serta menjadi skuad utama dalam pasukan negara,” katanya.

Khairul Fahmi Dapat Rumah Pemberian Kerajaan Kelantan (BERNAMA)

KOTA BAHARU, 3 Jan (Bernama) -- Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku di sini, pada Isnin.

"Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab," kata Nik Aziz.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan merupakan satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terlibat dalam gejala najis dadah.

"Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, January 2, 2011

Durian runtuh buat wira Terengganu (Kosmo Online)


PARA pemain skuad bola sepak negara dijanjikan hadiah lumayan selepas memenangi Piala Suzuki AFF 2010, Rabu lalu.


ENAM anak Terengganu yang membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini bakal memperoleh habuan lumayan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, setiap daripada pemain itu akan menerima hadiah berupa sebidang tanah selain wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurutnya, pemberian itu merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan negeri di atas kesungguhan anak-anak kelahiran Terengganu yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Katanya, pemain-pemain yang akan menerima hadiah tersebut ialah Mohd. Ashari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha dari skuad Kelantan.

Tiga lagi pemain lain ialah dari skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

“Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki selepas menanti selama 14 tahun. Kita masih mampu menjaringkan gol sekali pun beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia dan ia adalah satu kejayaan penuh bersejarah.

“Apa yang pasti, kejayaan ini turut melibatkan enam anak Terengganu dan kita (kerajaan negeri) telah bersetuju untuk memberi hadiah berupa sebidang tanah untuk tapak rumah dan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mereka,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Ahmad lagi, pemberian sebidang tanah itu akan ditentukan mengikut daerah masing-masing dan majlis penyerahannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kalau pemain itu berasal dari Kuala Terengganu, maka kita akan carikan sebidang tanah di Kuala Terengganu. Begitu juga kalau dia berasal dari Dungun ataupun dari daerah-daerah lain.

“Kita lakukan semua ini kerana mahu menghargai jasa mereka pada ketika Terengganu kini merupakan antara kuasa utama sukan di Malaysia,” jelasnya lagi.

Rabu lalu, skuad kebangsaan yang dikemudi jurulatih K. Rajagobal mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai juara Piala Suzuki 2010 selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir dengan agregat 4-2.

Gelora bra laser (Utusan Malaysia Online)

SEGALANYA serba baru buat penulis yang kini berada di Jakarta, Indonesia. Ditugaskan sebagai wakil baru akhbar ini menggantikan Borhan Abu Samah.

Apa lagi permulaan tugas di sini dibuka dengan kegilaan masyarakat negara ini terhadap sukan bola sepak yang mencetuskan fenomena luar biasa membuatkan penulis menyifatkan suasana ini sebagai satu kelainan dalam kerjaya sebagai wartawan kerana selama ini skop tugasan penulis di Malaysia lebih terjurus kepada lapangan hiburan.

Lalu, Jakarta awal-awal lagi sudah menjanjikan penulis iklim baru dalam kewartawanan. Bukan hanya kisah-kisah unik rakyat Indonesia, bahkan juga tentunya banyak lagi benda-benda yang di luar kotak pemikiran penulis akan dilalui.

Maka benar kata teman-teman serta menerusi pembacaan, warna-warni kehidupan masyarakat Indonesia sebetulnya amat menarik dan berbeza dengan budaya kehidupan masyarakat di negara lain.

Biarpun pola kehidupan rakyatnya dipisahkan oleh dua status - kaya dan miskin, namun seperkara yang harus dicemburui oleh orang asing terhadap rakyat negara ini ialah semangat patriotisme mereka yang cukup kental.

Dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik, seluruh 236 juta penduduk negara ini memegang kepada prinsip yang sama mencintai negara sama seperti mencintai diri sendiri.

Kerana itu, semasa kerancakan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung baru-baru ini, kita dapat melihat bagaimana sukan berkenaan mengakrabkan lagi hubungan sesama mereka.

Selepas lebih sedekad sukan itu tidak diperkatakan dan mencatat pelbagai rekod buruk, kini gelanggang itu mula menarik perhatian rakyat Indonesia.

Semua ini dapat disaksikan melalui sokongan luar biasa bermula daripada Presiden negara ini, Susilo Bambang Yudhoyono, tokoh-tokoh korporat, penjawat awam sehinggalah penjaga parkir kereta semuanya mendokong skuad Garuda.

Tidak ketinggalan, bola sepak juga mencetus fenomena yang menggelikan hati apabila selebriti di negara ini turut memilih untuk melibatkan diri dan sekali gus menempa kemasyhuran sempena musim baru pertandingan itu.

Semasa demam pertandingan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 di sini yang turut dicemari isu insiden pancaran laser, selebriti Indonesia sama naik meluahkan kemarahan.

Menyalahkan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang kononnya didakwa mereka memulakan isu itu menjadi punca mereka mengemukakan idea 'gila'.

Selebriti Julia Perez menghangatkan laporan media massa di sini dengan berkongsi niatnya mahu 'membalas dendam' pada penyokong skuad Malaysia.

Sama ada dia benar-benar marah atau sengaja mahu mencuri perhatian sukar dipastikan tetapi yang didedahkan artis berusia 30 tahun itu ialah asalnya dia berniat mengenakan coli atau bra laser pada final kedua kejohanan bola sepak itu tempoh hari.

Selebriti

Bayangkan seorang selebriti jelita dan seksi seperti Julia Perez atau lebih mesra dikenali sebagai Jupe memakai hanya bra laser dan muncul di tengah-tengah 95,000 penonton.

Tidakkah bergelora Stadium Bung Karno dibuatnya?

Yang hebatnya, Jupe juga sudah menyiapkan tiga helai bra laser yang rekaannya mirip kepada bra yang pernah dipakai oleh artis terkenal Hollywood, Madonna dan Lady Gaga semasa mengadakan konsert.

Idea 'gila' Jupe itu dikongsinya dengan peminat-peminatnya menerusi lama sosial Twitter peribadi artis berkenaan. Dia juga menamakan bra laser itu sebagai Wonder Bra.

Mujur juga Jupe tidak berkesempatan hadir menyaksikan perlawanan itu kerana dia perlu menemani buah hatinya, Gaston Castano yang juga pemain bola sepak Argentina.

Kalau tidak, mahu kecoh pula Stadium Utama Gelora Bung Karno. Cukup-cukuplah dengan kekecohan semasa peminat berebut untuk mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan.

"Itu hanyalah cadangan awalnya. Sayangnya idea untuk memakai bra laser tidak kesampaian kerana aku tidak mahu kosentrasi penyokong Indonesia terganggu hanya kerana bra yang aku pakai. Bimbang juga aku andai peminat pula yang bernafsu melihat aku berpakaian sebegitu," kata Jupe dalam tawa manja saat ditanya kenapa dia tidak hadir menonton perlawanan akhir itu.

Selain Jupe yang obses dengan pasukan kebangsaannya, selebriti lain turut secara terbuka memberi sokongan pada perlawanan bola sepak piala berkenaan baru-baru ini.

Di kalangan selebriti-selebriti itu, kehadiran artis kontroversi, Luna Maya juga mendapat perhatian media massa di sini.

Kehadiran Luna untuk memberi sokongan kepada team Garuda diejek sejumlah kecil peminat sebagai bintang porno. Peristiwa ini terjadi ketika kekasih Ariel Peterpan itu hadir pada final kedua AFF di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu lalu.

Dia yang didakwa terlibat dalam penerbitan video porno bersama Ariel memasuki pintu kenamaan stadium berkenaan dengan ditemani seorang temannya terpaksa menebalkan muka ketika beberapa penonton berteriak ke arahnya dengan kata-kata kasar bernada menghina.

Mengenakan persalinan putih, Luna dilihat begitu terburu-buru memasuki stadium dan dia langsung tidak mengendahkan permintaan media untuk mewawancaranya.

Selain Luna yang terpaksa berdepan dengan rasa malu itu, penyanyi Syahrini misalnya, mendapat liputan meluas daripada wartawan.

Semasa bekas kekasih Anang itu berkunjung ke Kuala Lumpur untuk menyokong pasukan Garuda beraksi di Stadium Bukit Jalil, salah sebuah stesen televisyen Indonesia menyiarkan sebuah program khusus pengalamannya.

Dalam program itu, Syahrini berkongsi perasaannya mengenai pasukan negaranya, mengkritik sikap penonton Malaysia dan akhirnya terpaksa akur dan menyuarakan rasa sedih kerana Garuda berkesudahan dibaham Harimau Malaya.

Ketika perlawanan final kedua di Jakarta pula yang menyaksikan Indonesia gagal membawa trofi Piala Suzuki AFF 2010, Syahrini memilih untuk pulang lebih awal.

Dia meninggalkan kerusi stadium selepas Malaysia memperoleh jaringan pertama yang dijaringkan oleh striker negara Safee Sali.

"Sepertinya kita (skuad Indonesia) akan kalah," ringkas komen Syahrini ketika ditanya sebab dia meninggalkan stadium sebelum perlawanan tamat.

Artis yang sangat mengagumi pemain pertahanan kiri Garuda, Oktovianus Maniani itu mengakui, dia amat kecewa dengan kekalahan pasukan Indonesia pada kejohanan itu.

Sentimen yang serupa juga dirasakan oleh artis Manohara Odelia Pinot yang menangis apabila menyaksikan trofi Piala Suzuki AFF 2010 dibawa pulang oleh pasukan dari negara bekas suaminya, Tengku Fakhry Petra itu.

Sukan bola sepak ternyata medium terbaik untuk memperkasakan semangat nasionalisme warga di sebuah negara bahkan, ia mampu untuk mengakrabkan hubungan persaudaraan dua buah negara.

Enam pemain kebangsaan dari Terengganu terima tanah, wang (Sinar Harian Online)


ENAM pemain Terengganu yang membantu pasukan kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dengan mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2, di Stadium Gelora Bung Karno Indonesia, Rabu lalu bakal menerima hadiah sebidang tanah dan wang tunai RM5,000 daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu berkata, hadiah itu sebagai tanda sokongan dan penghargaan Kerajaan Negeri atas kesungguhan mereka membantu pasukan kendalian K Rajagopal itu menjulang pertama kali piala yang menjadi rebutan sejak dipertandingkan pada 1996.

“Saya terharu dan berbangga dengan kehebatan dan persembahan cemerlang pemain pasukan Harimau Malaya sehingga membuatkan pasukan tertekan walaupun terus menerima asakan dan sorakan penyokong fanatik Indonesia

Katanya, berbekalkan modal 3-0 yang dimenangi pasukan negara ketika bertandang ke Indonesia serta jaringan pembuka tirai oleh Safee Sali, menjadi persembahan lawan itu tertekan.

Ahmad berkata, hadiah sebidang tanah yang bakal disampaikan kepada enam pemain anak Terengganu itu sedang dikenal pasti mengikut daerah masing-masing.

"Saya berharap hadiah itu akan menjadi perangsang kepada pemain dan ahli sukan menempa nama dan kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), semalam.

Ahmad berkata, berdasarkan kecemerlangan yang direkodkan itu, secara tidak langsung melebarkan lagi peluang untuk membuktikan Terengganu adalah kuasa baru sukan di negara ini.

Enam pemain negeri yang membarisi pasukan kebangsaan ialah Mohamad Ashari Samsuddin, 25, Mohd Sarbinee Alawee Ramli, 24, Norshahrul Idlan Talaha, 24, Mohd Muslim Ahmad, 21, Izzaq Faris Ramlan, 20, dan Mohd Faizal Muhammad, 21.

22 wira negara dapat habuan (Sinar Harian Online)

Datuk Razali Ibrahim

SEMUA 22 pemain bola sepak negara yang menamatkan penantian selama 14 tahun untuk menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini, akan menerima habuan masing-masing daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala Suzuki AFF.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, ia adalah tambahan imbuhan RM5,000 setiap pemain yang akan diberikan kementerian.

Tabung Akujanji Ganjaran Piala Suzuki AFF, diwujudkan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 20 Disember lalu untuk memberi sumbangan kepada skuad negara jika memenangi Piala Suzuki AFF, kini mencecah RM90,000.

“Maknanya jumlah yang SAM dapat akan diberikan terus kepada setiap pemain. Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan perkara yang sama (beri imbuhan),” katanya.

Sementara itu Kementerian Belia dan Sukan sedia mempertimbangkan untuk menukar gelaran ‘Harimau Malaya’ sekiranya ramai yang berpendapat ia harus dilakukan berikutan ada yang menganggap tidak sesuai oleh sesetengah pihak.

Gelaran “Harimau Malaya” dilaporkan menyinggung sesetengah peminat bola sepak yang menyifatkan gelaran itu hanya menaikkan nama Semenanjung namun tidak memasukkan nama Sabah dan Sarawak. – Bernama.

Wira Piala AFF dari Terengganu terima habuan (Berita Harian Online)

Oleh Faizul Azlan Razak
bhsukan@bharian.com.my
2011/01/02

ENAM pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 29 Disember lalu, menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri mengumumkan setiap seorang akan menerima ganjaran RM5,000 dan sebidang lot tanah untuk tapak rumah.

Mereka yang menerima imbuhan itu adalah pemain Terengganu Mohamad Ashari Samsuddin dan Mohd Sarbinee Allawee Ramli, Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan) dan tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhammad.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata imbuhan daripada kerajaan negeri itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka selepas membantu negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terharu dan bangga apabila mendapat tahu enam anak kelahiran negeri ini berada dalam pasukan Malaysia yang membantu menamatkan penantian 14 tahun negara menjulang piala itu,” katanya ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) daripada percutian, semalam.

Katanya, imbuhan yang diberikan diharap menjadi suntikan semangat kepada bakat muda negeri ini untuk terus memberikan persembahan yang terbaik, seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti lot tanah yang akan diberikan kerana pembahagian akan dibuat mengikut daerah tempat tinggal dan mengikut kesesuaian.

Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata pengumuman imbuhan Menteri Besar itu membuktikan kerajaan negeri menghargai pemain yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya dua pemain menabur bakti bersama pasukan negeri dalam Liga Super, perkara itu tidak menjadi isu kerana mereka adalah anak kelahiran Terengganu, cuma terikat dengan pasukan masing-masing iaitu Kelantan dan Harimau Muda A.

'Kami diludah' (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2011/01/02

PENGURUS pasukan bola sepak Malaysia,  Datuk Subahan Kamal (kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak Malaysia, K Rajagobal.
PENGURUS pasukan bola sepak Malaysia, Datuk Subahan Kamal (kiri) dan jurulatih pasukan bola sepak Malaysia, K Rajagobal.

Layanan buruk terhadap skuad Harimau Malaya bakar semangat

KUALA LUMPUR: "Kami diludah, dimaki hamun, digelar anjing, dipukul dan dibaling objek keras dan dilayan buruk tetapi itu sebenarnya yang membakar semangat pemain negara untuk menang dan mencipta sejarah negara," kata Datuk Subahan Kamal.Pengurus pasukan bola sepak Malaysia itu berkata, pemain negara terpaksa diberikan motivasi berterusan setiap hari untuk menangani tekanan itu dan sentiasa diingatkan supaya berpegang pada prinsip 'biar muntah darah, kita akan bawa pulang piala ini'.

____________________

"Sepatutnya kita dapat peluang untuk latihan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, tetapi dibatalkan atas alasan keselamatan"

K Rajagobal
Jurulatih pasukan bola sepak Malaysia

__________________

Ketika mendedahkan tekanan dan formula kejayaan negara merangkul Piala Suzuki AFF buat julung kalinya, Subahan berkata, semua tindakan provokasi itu sebenarnya ‘terkena ke muka sendiri’ pasukan lawan.

“Banyak sejarah berlaku. Kita bawa pulang piala selepas 14 tahun, kita catat sejarah naik kereta perisai Baracuda ke stadium, umpama ke medan perang. Belum pernah dalam sejarah bola sepak dunia pasukan bola sepak naik kereta perisai.

“Bayangkan betapa panasnya berada di dalam Baracuda selama setengah jam sebab kenderaan perang tidak ada penghawa dingin. Itu semua dugaan yang menguatkan lagi semangat pemain untuk buktikan bahawa kita boleh menjadi juara walaupun menghadapi pelbagai tekanan,” katanya.

Tidak cukup dengan layanan teruk, Ketua Jurulatih, K Rajagobal sendiri diludah peminat Indonesia ketika keluar dari hotel penginapan bahkan, Subahan turut dipukul di kepalanya manakala pegawai perubatan dibaling objek keras ketika sesi latihan.
Rajagobal sendiri mengakui terkejut apabila dimaklumkan pasukan negara akan menaiki Baracuda kerana cuma dimaklumkan beberapa minit sebelum berlepas ke stadium.

“Saya langsung tidak menyangka sehingga ke tahap itu dan cuma dimaklumkan apabila turun ke lobi hotel dan berkumpul di sana. Kita anggap Baracuda itu macam burung Garuda. Saya sendiri tak pernah naik kereta perisai, ini pengalaman baru.

“Mungkin masa kecil dulu ibu saya pernah belikan kereta perisai mainan, tetapi sekarang sudah ada peluang dan pengalaman sendiri bagaimana rasanya duduk di dalam Baracuda,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tekanan ke atas pasukan negara, Subahan berkata, semua masalah itu bermula sebaik saja pasukan negara tiba di Jakarta apabila bas pasukan langsung tidak diiringi polis pengiring sepanjang perjalanan ke hotel.

Situasi itu jauh berbeza ketika pasukan Garuda itu tiba di Malaysia di mana mereka diiringi polis dan menginap di hotel lima bintang di Seri Kembangan pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil.

“Sepatutnya kita dapat peluang untuk latihan akhir di stadium Gelora Bung Karno, tetapi dibatalkan atas alasan keselamatan. Mereka bawa ke tempat lain dan ketika dalam perjalanan, saya dimaklumkan tempat itu jauhnya dua jam perjalanan.

“Saya terus batalkan latihan di sana dan arah bas berpatah balik ke hotel dan kami buat latihan ringan di tepi kolam renang.

“Itupun masih berisiko kerana kawalan keselamatan sangat teruk. Mereka biarkan penyokong Indonesia bebas keluar masuk hotel dan menghampiri tempat latihan,” katanya.

Apa yang paling menyentuh hatinya ialah kesungguhan, keikhlasan pemain untuk menaikkan nama negara melalui beberapa sesi dialog yang diadakan bertujuan memberi peluang kepada pemain meluahkan perasaan dan tekanan.

Setiap kali sesi dialog, pemain akan diberikan motivasi berterusan supaya melupakan segala ancaman dan provokasi yang bertujuan melemahkan semangat pemain.

“Ada pemain yang menangis kerana kecewa kita kalah 1-5 dalam perlawanan pertama menentang Indonesia. Rasa kecewa itulah yang membakar semangat mereka, apatah lagi Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah juga hadir dalam sesi dialog bersama pemain.

“Sebenarnya kami yakin bergelar juara apabila menang ke atas juara bertahan Vietnam kerana itulah pencabar paling kuat. Indonesia tidak sekuat Vietnam, sebab itu kita yakin boleh menang. Cuma perlu ikut percaturan dan kuatkan mental pemain,” katanya.

Secara peribadi, Subahan menganggap kemenangan 3-0 dalam perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil pada 26 Disember lalu yang jatuh pada tarikh hari lahirnya sebagai hadiah paling berharga dan kenangan paling manis.

Katanya, ikatan persaudaraan berlandaskan semangat kekeluargaan Malaysia Boleh adalah antara faktor penentu kejayaan pasukan.

“Pemain datang dari pelbagai latar belakang berbeza, tetapi boleh hidup bersama. Itulah konsep 1Malaysia, mereka mencontohi bagaimana barisan jurulatih dibentuk dan bekerjasama berteraskan konsep satu keluarga.

“Gabungan Rajagobal, Tan Cheng Hoe (penolong jurulatih) dan Mohd Faozi Mukhlas (jurulatih penjaga gol) itu melambangkan 1Malaysia. Ditambah pula sokongan padu Tengku Abdullah (Timbalan Presiden FAM) yang kerap datang ke tempat latihan dan hadir semua perlawanan hingga pada peringkat akhir,” katanya.

Kerajaan tidak pilih kasih beri layanan (Berita Harian Online)

2011/01/02

KUALA LUMPUR: Layanan istimewa kepada pasukan bola sepak kebangsaan yang muncul juara Piala Suzuki AFF 2010, termasuk pelbagai ganjaran yang dijanjikan bukan bermaksud kerajaan pilih kasih atau mengetepikan atlit bidang sukan yang lain, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

“Bila kita bagi insentif, bukan bermaksud pasukan bola sepak adalah pasukan kegemaran. Pada saya, bola sepak adalah antara sukan utama bukan saja di negara kita malah seluruh dunia dan ini (juara Piala Suzuki AFF 2010) sebagai penyuntik semangat.

“Ada juga badan di luar kerajaan yang ingin menyumbang... pada saya ini sesuatu yang bagus,” katanya selepas merasmikan Karnival Semarak 1 Belia 1 Malaysia 2011 peringkat Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Beliau berkata, setiap persatuan sukan menerima peruntukan, sekali gus tidak timbul soal pilih kasih dalam aspek pemberian insentif atau ganjaran dan persatuan juga skim tersendiri untuk diberikan kepada atlit masing-masing.

Sambil menyifatkan kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan itu mampu menyuntik semangat khususnya golongan belia dalam arena sukan, Razali berharap ia menjadi tirai pembukaan kepada lebih banyak lagi kejayaan pada 2011 dan menasihatkan atlit negara agar tidak mudah alpa dengan kemenangan.

Mengenai label Harimau Malaya buat pasukan bola sepak negara yang dikatakan mengguris perasaan masyarakat Sabah dan Sarawak berikutan penggunaan perkataan Malaya, beliau berkata, ia sudah lama digunakan dan tidak pernah menjadi isu selama ini.

“Sudah lama kita gunakan (Harimau Malaya), tak pula timbul masalah ketika itu. Pada saya ini semua mainan pihak tidak bertanggungjawab, tapi kita tetap akan mendengar suara ramai. Jika banyak tentangan, kementerian akan mengkaji semula penggunaan slogan ini. Jangan jadikan isu ini polemik,” katanya.
Sementara itu, Razali berkata, 2011 adalah tahun penting bagi kementeriannya menyusun strategi untuk memantapkan lagi mutu sukan negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...