Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Liga Malaysia 2012. Show all posts
Showing posts with label Liga Malaysia 2012. Show all posts

Sunday, July 15, 2012

The Red Warriors berpesta


PEMAIN-PEMAIN Kelantan meraikan kejayaan merangkul gelaran juara Liga Super bagi musim 2012 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.


JUARA Liga Super, Kelantan menampilkan aksi mantap pada babak kedua untuk menumpaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Skuad The Red Warriors berjaya mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kemenangan tersebut cukup manis buat semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan 18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors yang sudah dinobatkan selaku juara liga tidak memberikan laluan mudah buat pasukan bimbingan Robert Albert apabila mempamerkan aksi bertenaga meskipun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Situasi sama turut berlaku kepada pasukan pelawat yang menyaksikan jentera serangan yang dikemudi tonggak import, Joel Epalle gagal memecahkan kebuntuan, sekali gus menyaksikan kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Bersambung pada babak kedua, Sarawak yang dilihat cuba mendominasi perlawanan dikejutkan dengan jaringan pertama tuan rumah menerusi kapten, Mohd. Badhri hasil sepakan percuma pada minit ke-61.

Selang empat minit kemudian, Stadium Sultan Muhammad IV sekali lagi bergemuruh dengan sorakan penyokong apabila pemain sayap, Nor Farhan Mohammad meledakkan gol kedua tuan rumah.

Nor Farhan terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol ketiga Kelantan selepas menerima hantaran ketua pasukan, Mohd. Badhri pada minit ke-67, sekali gus melengkapkan jaringan kedua peribadi.

Gol tersebut tidak menjejaskan rentak permainan pelawat yang akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-69 menerusi Mohd. Hairul Moktar.

Keputusan 3-1 kekal berpihak kepada tuan rumah dan Stadium Sultan Muhammad IV bergemuruh dengan sorakan para penyokong setia Kelantan bagi meraikan kejuaraan mempertahankan trofi Liga Super buat kali kedua berturut-turut.

--- KOSMO

Sunday, July 8, 2012

Tahniah Red Warrior - Nik Aziz

Muhammad Faizal, 08 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan 'The Red Warrior' kerana berjaya mempertahankan kejuaraan juara Liga Super untuk kali kedua.

Beliau yang melahirkan ucapan tahniah itu melalui laman sosialnya 'facebook' turut bangga dengan kemenangan besar pasukan Kelantan ketika menentang Perak malam tadi.

"Tahniah saya rakamkan kepada pasukan The Red Warriors yang telah disahkan sebagai juara Piala Liga Super 2012 sebentar tadi setelah menewaskan pasukan Perak dengan kemenangan yang besar.... Tahniah!" jelasnya melalui laman sosial itu sebaik sahaja Kelantan menang ke atas Perak.

Sebelum itu Kelantan yang sebelum ini pada tahun 2011 telah dinobatkan sebagai juara liga super untuk kali pertama dan pada tahun 2012 Kelantan telah berjaya mempertahankan apabila menewaskan Perak dengan jaringan 6-0 di Kota Bharu malam tadi.

Kelantan yang sebelum ini telah membawa balik Piala FA dan dengan kemenangan kali ini piala kedua Juara Liga Super turut berada di Negeri Kelantan.

Pasukan Kelantan akan meneruskan cabaran memburu juara Piala Malaysia dan juga Juara Piala AFC.

--- HARAKAHDAILY

Kelantan pertahan juara Liga Super


Wartawan Sinar Harian
7 Julai 2012
Kelantan pertahan juara Liga Super
Pemain Kelantan Mohd Ghadar dikawal ketat pemain Perak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV. Kelantan menumpaskan Perak 6-0. - Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] KOTA BHARU - Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat dua tahun berturut-turut dengan membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.

Kejayaan ini lebih manis apabila Red Warriors muncul juara Piala FA Mei lalu.

Semalam, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (
ATM) muncul sebagai juara Liga Perdana.

Kemenangan ke-17 daripada 24 perlawanan liga itu membolehkan mereka memungut 57 mata, berkelebihan tujuh mata daripada pencabar terdekat, Lions XII dari Singapura dengan masing-masing masih mempunyai dua baki perlawanan.

Kelantan merupakan pasukan ketiga yang berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi oleh Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 sebelum Mohammed Ghaddar Mahmoud menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas memanfaatkan bola hasil lorongan Indra Putra.
Bernama melaporkan, Kapten skuad The Red Warriors,Mohd Badhri Mohd Radzi menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga, empat minit kemudian menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Nasril Nourdin di gawang Perak.

Indra Putra melengkapkan malam kegemilangan Kelantan apabila melakukan hatrik dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-29 dan gol keenam pada minit ke-48.

Satu lagi gol Kelantan dijaringkan oleh Nurul Azwan Roya pada minit ke-38.

Perak bertambah malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-47 apabila kapten mereka, Shahrul Nizam Mustapa dikenakan kad merah oleh pengadil, Rahmat Jantan kerana mengasari Mohammed Ghaddar.

Sementara itu, pasukan tangga keempat liga, Selangor mencatat kemenangan 4-0 ke atas jiran mereka, Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Azidan Sarudin pada minit ke-33, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-46 dan ke-79 dan Ramez Dayoub pada minit ke-62.

Gergasi Merah diekori rapat oleh Terengganu yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie pada minit keempat, Mohamad Ashari Samsudin (minit ke-44) dan gol sendiri Mohd Reithaudin Awang Emran pada minit ke-77 manakala gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan Rozaimi Abdul Rahman pada minit ketujuh.

Felda United turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hasil jaringan Farderin Kadir pada minit ke-22.

Negeri Sembilan yang tewas 2-3 kepada Kelantan, Selasa lepas bangkit dengan menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42 dan S. Kunanlan pada minit ke-82.

Satu lagi pasukan dari Terengganu, T-Team pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 dengan Johor FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat menerusi Mohd Haris Safwan Kamal pada minit ke-31 sebelum Mohd Fadzli Saari menyamakan kedudukan untuk T-Team menerusi jaringan pada minit ke-56.

--- SINAR HARIAN

Kedah Harap Khyril Muhymeen Bantu Pasukan Berada Pada Kedudukan Selamat

Foto - Sinar Harian

ALOR SETAR, 8 Julai (Bernama) -- Kedah mengharapkan kehadiran penyerangnya, Mohd Khyril Muhymeen Zambri dalam baki dua perlawanan Liga Super untuk membantu pasukan itu berada pada kedudukan selamat daripada zon penyingkiran.

Penolong Jurulatih Kedah Radzi Md Din berkata ketiadaan Khyril Muhymeen yang digantung perlawanan menyebabkan strategi Kedah untuk memburu tiga mata penuh menentang Negeri Sembilam malam tadi tidak menjadi.

"Saya akui kekurangan pemain berpengalaman menjejaskan rentak permainan pada malam ini (tadi). Pemain bermain dengan baik tetapi gagal manfaatkan peluang untuk jaringkan gol.

"Kehadiran Muhymeen pada dua perlawaman terakhir ini menjadi penentu sama ada kita kekal di Liga Super atau menyertai Liga Perdana musim depan... Saya tetap akur dengan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman di sini, malam tadi.

Beberapa pemain utama Kedah mengalami kecederaan iaitu Amar Rohidan, Vedran Gerc dan V. Thirumuguran, yang mungkin tidak dapat beraksi dalam baki dua perlawanan menentang Perak dan Felda United pada Selasa dan Sabtu ini.

Perlawanan menentang Negeri Sembilan malam tadi menyaksikan tuan rumah tewas di tangan skuad bimbingan Azrai Khor Abdullah 0-2 menerusi jaringan pemain importnya Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42.

Pada minit ke-82 S.Kunalan menjaringkan gol kedua pelawat ketika Kedah bermain dengan 10 pemain setelah Mohd Faizal Abu Bakar dibuang padang.

Kedah yang dibarisi pemain muda yang kurang pengalaman gagal untuk menghasilkan gol walaupun mempunyai peluang terhidang dalam kotak penalti Negeri Sembilan.

Jurulatih Negeri Sembilan Azrai Khor Abdullah berkata setelah kecundang 2-3 kepada Kelantan Selasa lepas, anak buahnya kembali bangkit mengutip tiga mata penuh di tempat lawan.

Katanya dengan baki dua perlawanan menentang Kuala Lumpur dan Sabah, beliau berharap dapat memperbaiki kedudukan kerana musim ini pasukan itu mensasarkan tempat lima terbaik.

Beliau berkata bertemu pasukan kedua tercorot liga tidak mudah kerana bimbang akan berlaku satu kejutan yang boleh memusnahkan harapan mereka untuk mendapatkan tiga mata penuh.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perasaannya melihat bekas pasukannya, Kedah yang kian merosot, Azrai Khor berkata beliau sedih dan simpati dengan prestasi Kedah yang berada pada kedudukan ke-12 liga.

Bekas jurulatih Kedah yang pernah melakar kejayaan bersama Kedah memenangi tiga piala dalam semusim iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA pada 2007 dan 2008 berkata beliau hanya mampu berdoa agar pasukan tersebut tidak kecundang ke Liga Perdana musim depan.

Kedah yang menduduki tangga ke-12 daripada 14 pasukan dengan 25 mata di belakang berpeluang untuk kekal berada dalam Liga Super jika Felda United di tempat ke-11 yang memiliki 29 mata tewas kepada Kelantan Selasa ini dan Kedah, Sabtu ini.

Jika Felda tewas dalam baki dua perlawanan Kedah dapat memintas kedudukan Felda United pada tangga ke-11 dan sekaligus terus kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

-- BERNAMA

Kelantan Pertahan Piala Liga Super Selepas Belasah Perak 6-0


KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kelantan berjaya mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pasukan itu musim lepas apabila membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu. Kemenangan ke-17 daripada 24 perlawanan liga itu membolehkan mereka memungut 57 mata, berkelebihan tujuh mata daripada pencabar terdekat, Lions XII dari Singapura dengan masing-masing masih mempunyai dua baki perlawanan. Kelantan merupakan pasukan ketiga yang berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi oleh Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Sementara itu, pasukan tangga keempat liga, Selangor mencatat kemenangan 4-0 ke atas jiran mereka, Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Azidan Sarudin pada minit ke-33, Mohd Amri Yahyah pada minit ke-46 dan ke-79 dan Ramez Dayoub pada minit ke-62.

Gergasi Merah diekori rapat oleh Terengganu yang mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Felda United turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu PKNS Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hasil jaringan Farderin Kadir pada minit ke-22.

Negeri Sembilan yang tewas 2-3 kepada Kelantan, Selasa lepas bangkit dengan menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-42 dan S. Kunanlan pada minit ke-82.

Satu lagi pasukan dari Terengganu, T-Team pula terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 1-1 dengan Johor FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

-- BERNAMA

Kelantan kekal kejuaraan

  Pemain Kelantan meraikan kejayaan mengekalkan juara Liga Super 2012 selepas   berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Pemain Kelantan meraikan kejayaan mengekalkan juara Liga Super 2012 selepas berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Menang penuh bergaya berpesta gol belasah Perak 6-0 di KB

Kota Bharu: Kelantan mengesahkan gelaran juara Liga Super buat musim kedua berturut-turut dengan penuh bergaya selepas berpesta gol membelasah Perak 6-0 di hadapan kira-kira 18,000 penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kejayaan skuad The Red Warriors itu dicapai ketika saingan musim ini masih berbaki dua perlawanan, lebih mudah berbanding ketika mereka hanya mengesahkan kejuaraan Liga Super musim lalu pada perlawanan terakhir.

Selepas 24 perlawanan, Kelantan tidak mampu lagi dicabar di tangga teratas dengan 57 mata sambil pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII turut mengesahkan status sebagai naib juara Liga Super musim ini dengan 50 mata.

Perebutan tempat ketiga masih terbuka.

Kelantan kendalian jurulatih dari Croatia, Bojan Hodak ternyata unggul musim ini apabila mereka bukan saja muncul juara Piala FA menewaskan Sime Darby 1-0, Mei lalu, malah mara ke suku akhir Piala AFC untuk bertemu kelab Iraq, Arbil, 18 dan 25 September depan.

Pada aksi malam tadi, Kelantan tampil garang dengan mendahului 5-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-16 dan 29, Mohamad Ghaddar (18), Badhri Radzi (22) dan Nurul Azwan Roya (38).

Perak bertambah parah apabila kaptennya, Shahrulnizam Mustapha dilayangkan kad merah selepas bertindak kasar terhadap Ghaddar pada masa kecederaan.

Pada babak kedua, Kelantan membawa masuk Norshahrul Idlan Talaha menggantikan Ghaddar manakala Perak memasukkan penjaga gol simpanan, Kamarul Effandy Abdul Rahim menggantikan Nasril Nourdin.

Namun gawang Perak terus bocor apabila Indra Putra melengkapkan hatriknya pada minit ke-48 untuk gol keenam Kelantan.

--- BERITA HARIAN

Selangor bergaya rampas tangga ketiga Liga Super


07:13:30 AM
Oleh Amin Ridzuan Ishak, Bashah Zainol Abidin dan Faizul Azlan Razak

Selangor berjaya merampas tangga ketiga Liga Super daripada Perak selepas membelasah jiran tetangga, Kuala Lumpur 4-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk kini mengumpul 40 mata.

Gol Selangor dijaringkan Azidan Sarudin pada minit ke-35, Amri Yahyah (46, 79) dan Ramez Dayoub (62).

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah terus terperosok di tangga kedua tercorot selepas tewas 1-3 kepada Terengganu.

Joseph Kalang Tie meletakkan pelawat di hadapan seawal minit keempat sebelum disamakan Sabah menerusi Rozaimi Abd Rahman, dua minit kemudian.

Namun tambahan dua lagi gol daripada Ashari Samsudin (44) dan jaringan sendiri Reithuddin Emran (77) membolehkan Terengganu mengumpul 38 mata di tangga kelima, hanya satu mata kurang berbanding Perak di tangga keempat.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah turut senasib dengan Sabah apabila kekal di tangga ketiga tercorot apabila tunduk 0-2 kepada Negeri Sembilan yang terus kekal di tangga keenam dengan 36 mata.

Dua gol Negeri Sembilan itu dijaringkan Jean-Emmanuel Effa-Owona (42) dan S Kunanlan (82) manakala pemain Kedah, Faizal Abu Bakar dibuang padang pada minit ke-77.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team seri 1-1 dengan Johor FC selepas jaringan pelawat Haris Safwan Kamal (32) berjaya disamakan Fadzli Saari (56).

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pasukan pelawat, FELDA United memperolehi tiga mata penting untuk menjauhi zon penyingkiran selepas menewaskan PKNS FC 1-0 hasil jaringan Farderin Kadir minit ke-20.

--- BERITA HARIAN

Kelantan juara Liga Super 2012

PEMAIN-pemain Kelantan meraikan kejayaan menjuarai Liga Super 2012 selepas membelasah Perak 6-0 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu semalam. - MINGGUAN/ Aizzul A. Majid

KOTA BHARU - Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan penuh bergaya selepas membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Red Warriors menjuarai kejohanan musim ini, meskipun saingan masih berbaki dua perlawanan selepas mengumpul 57 mata setakat ini. Pencabar terdekat mereka, Lions XII sekadar mengutip 50 mata.

Beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu 20,000 penyokong mereka, tuan rumah beraksi garang dengan ledakan lima gol pada separuh masa pertama.

Gol pertama Kelantan berjaya dijaringkan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke 16 sebelum Mohd. Ghaddar menambah derita pelawat dua minit ke 18. Selang empat minit kemudian gawang Perak bocor lagi melalui rembatan leret ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi.

Indra Putra berjaya menjaringkan gol keduanya pada mnit ke 29 sebelum Nurul Azwan Roya menyumbat gol kelima Kelantan pada minit ke 39. Kapten Perak, Shahrul Nizam Mustapha yang gagal mengawal emosi dilayangkan kad merah pada minit ke 45 oleh pengadil perlawanan, Rahmat Jantan selepas dia mengkasari Mohd. Ghaddar.

Skrip sama kekal sebaik wisel separuh masa kedua ditiup yang menyaksikan Indra Putra berjaya mencipta hatrik dengan jaringan gol pada minit ke 48. Meskipun bermain dengan 10 orang, Perak berjaya mengelak gawang mereka daripada dibolosi lebih banyak gol pada separuh masa kedua.

Kemasukan penjaga gol simpanan mereka, Kamarul Efendi ternyata memberi kesan positif apabila dia berjaya menggagalkan beberapa percubaan pemain Kelantan. Kekalahan tersebut mengekalkan kedudukan Perak di tangga ketiga liga dengan pungutan 39 mata.

--- UTUSAN MALAYSIA

Thursday, July 5, 2012

Liga Super: Taktikal Hodak jerat Rusa

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Julai 2012
Liga Super: Taktikal Hodak jerat Rusa
Mohammad Ghaddar (kiri) merembat masuk gol kedua Kelantan meskipun cuba dihalang Kapten Negeri Sembilan, Muhammad Shukor Adan.

KOTA BHARU – Percaturan Bojan Hodak merencanakan taktikal berkesan membolehkan Kelantan meraih tiga mata penting, setelah menewaskan Negeri Sembilan 3-2 di Stadium Tuanku Abdul Abdul Rahman, Paroi.

Meskipun bertandang ke Seremban dengan skuad tempang, namun Hodak bijak memanipulasi kelebihan pemain yang ada bagi membentuk barisan mantap ketika berhadapan skuad Jang itu.

Hakikat itu diakui sendiri Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim yang menyifatkan perancangan jurulatih dari Croatia itu menggunakan tenaga muda, terbukti membuahkan hasil setelah kehilangan ramai pemain akibat penggantungan dan kecederaan.

“Kita pergi ke sana dengan separuh kekuatan hilang setelah ramai pemain mengalami kecederaan. Namun, beliau memanfaatkan segala kekuatan pemain yang ada untuk membolehkan kita meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi.

“Beliau tidak ada pilihan, hanya membawa 16 pemain termasuk tiga pemain Piala Presiden ke sana namun berjaya melakukannya. Saya fikir pujian harus diberikan kepada beliau dan semua pemain yang memastikan kemenangan Kelantan.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan Kelantan seawal minit ke-14 menerusi jaringan Mohd Firdaus Azizul.

Namun Azlan Ismail memastikan kebangkitan Kelantan apabila menyamakan kedudukan dua minit sebaik babak kedua bersambung.

Mohammad Ghaddar dan Indra Putra Mahayuddin terus menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol pada minit ke- 63 dan 69 perlawanan.

Gol hasil tandukan Kapten Negeri Sembilan, Muhammad Shukor Adan sudah terlalu lewat untuk pasukannya mencipta kebangkitan.

Menurut Azman, kemasukkan Mohammad Ghaddar dan Mohd Badhri Radzi pada babak kedua, ternyata menghidupkan kembali corak persembahan Kelantan setelah dilihat terikut-ikut dengan rentak pemain tuan rumah pada awal permainan. "Aksi kita kurang menjadi pada awal babak pertama, sehingga membenarkan Negeri Sembilan menjaringkan gol awal. Namun sesuatu yang positif bagi pemain kita ialah tidak mudah tertekan, sebaliknya bangkit melawan sehingga mampu mendapatkan tiga gol,” katanya.

Sementara itu, Azman memberi peringatan kepada barisan pemainnya tidak memandang mudah baki tiga perlawanan selepas ini, meskipun Kelantan hanya memerlukan tiga mata untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu.

--- SINAR HARIAN

Sunday, July 1, 2012

Kelekaan punca Selangor kalah

MOHD FAHMI ISMAIL
1 Julai 2012
Kelekaan punca Selangor kalah
Irfan Bakti

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kelekaan barisan pertahanan punca kekalahan 1-0 di tangan Kelantan pada aksi Liga Super, kelmarin, lapor MOHD FAHMI ISMAIL.

Menurut Irfan, set-piece dilakukan pemain tuan rumah berjaya menghasilkan gol tunggal kemenangan dan turut akui pemain tidak beraksi seperti kebiasaan.

"Kelantan sebenarnya tidaklah bermain terlalu bagus. Cuma, sedikit kelekaan dilakukan pemain membawa padah.

"Malah, beberapa percubaan dilancarkan sedikit terbatas kerana pergerakan pemain kami sentiasa dikawal ketat pasukan Kelantan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Irfan enggan mengulas lanjut tindakan kapten Merah Kuning, Amri Yahyah yang dikatakan melakukan sikap tidak profesional terhadap bintang sensasi The Red Warriors, Mohammad Ghaddar.

"Saya tidak nampak insiden itu berlaku. Bukan mahu mempertahan Amri, tetapi saya difahamkan Ghaddar selalu membuat provokasi keterlaluan terhadap anak buah saya," katanya.

Kini, Irfan menumpukan pertemuan menentang pasukan Kedah di Shah Alam, Selasa ini dan optimis mampu menamatkan saingan liga pada kedudukan tiga terbaik musim ini.

--- SINAR HARIAN

Saturday, June 30, 2012

Kelantan Rampas Posisi Pendahulu Liga Super


KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Kelantan berjaya merampas kedudukan persada liga daripada pasukan Lions XII apabila mengalahkan Selangor 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini, malam ini.

Jaringan pemain import Mohamad Ghaddar pada minit ke-25 membantu Kelantan memintas Lions XII dari Singapura dengan kelebihan satu mata selepas 22 perlawanan.

Kelantan kini mengumpul 51 mata manakala Lions XII ketinggalan satu mata di tangga kedua selepas 24 perlawanan.

Kelantan menguasai perlawanan tetapi gagal mencari gol sehingga Mohamad Ghaddar menceriakan peminat dengan tandukan, hasil sepakan sudut oleh Norfarhan Muhammad.

Selangor kini menghuni tangga keempat liga dengan 36 mata daripada 22 perlawanan.

-- BERNAMA

Thursday, June 28, 2012

Che Mat tampil perjelas isu Forkey Doe

Wartawan Sinar Harian
28 Jun 2012
Che Mat tampil perjelas isu Forkey Doe
Forkey Doe menimbulkan kontroversi apabila tidak 'muncul' selepas pulang mewakili Liberia dalam perlawanan antarabangsa.

KUALA TERENGGANU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh akhirnya tampil menperjelaskan isu berhubung penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe yang tidak muncul bersama skuad Penyu selepas tugasan antarabangsa bersama negaranya pada 4 Jun lalu.

Menurutnya, isu itu tidak perlu dibangkitkan lagi memandangkan apa yang berlaku itu di luar kawalan semua pihak.

Katanya, perkara itu sebenarnya telah dijangka akan berlaku memandangkan surat pelepasan yang dihantar oleh pengurusan Liberia kepada pemain itu bertarikh sehingga 16 Jun lalu.

“Ini bermakna kalau dia (Doe) tak balik sebelum tarikh itu pun (16 Jun) kita tidak boleh ambil tindakan sebab negara dia minta dia dilepaskan sehingga 16 haribulan dan selepas itu barulah dia boleh kembali (bersama Terengganu). “Jadi, kalau kita ambil tindakan ke atasnya seolaholah kita (pengurusan) menafikan haknya dan kita tidak menghormati surat pelepasan yang dihantar negaranya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai tindakan yang akan diambil PBSNT ke atas pemain itu susulan isu tersebut.

Sebelum ini, pengendali skuad Penyu, Peter Butler berang dengan tindakan Doe yang dianggap tidak profesional dan membebankan pasukan selepas tidak pulang untuk bersama Terengganu pada 4 Jun lalu, walaupun berjanji untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut perkara itu, Che Mat berkata, tidak berlaku salah faham di antara Doe dan Butler sebaliknya perkara itu diputuskan oleh pengurusan bola sepak Liberia.

“Sebenarnya Doe sendiri yang berjanji kepada Butler untuk pulang pada 4 Jun atas kapasiti peribadi dan ia tidak melibatkan persatuan (PBSNT). “Namun, malangnya dia (Doe) tidak dapat berbuat demikian. Justeru kita tidak boleh mengambil tindakan ke atasnya melainkan dia tidak pulang selepas 16 Jun,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Wednesday, June 27, 2012

Tiada tindakan ke atas Forkey Doe


27 Jun 2012
Datuk Che Mat Jusoh

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak boleh mengambil tindakan atau mendenda pemain importnya Francis Forkey Doe berhubung isu lewat pulang selepas mewakili negaranya dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kawasan Afrika.

Yang Dipertua PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata ini kerana pihaknya menghormati persatuan bola sepak negara asal pemain itu, Liberia.

"Kalau kita ambil tindakan atau mengenakan denda ke atas Doe, maknanya seolah-oleh kita tidak menghormati negara mereka," katanya kepada pemberita berhubung punca Forkey Doe lambat pulang ke Terengganu dan sama ada PBSNT akan mengambil tindakan ke atas pemain importnya itu.

Che Mat berkata PBSNT telah melepaskan Forkey Doe pada 4 Jun untuk mewakili Liberia dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia dan pemain itu sepatutnya kembali ke Terengganu pada 16 Jun.

Menurut Che Mat, atas kemahuan pribadi, pemain itu cuba berusaha untuk balik ke sini sebelum 16 Jun namun pemain itu tidak dapat mengatasi kehendak persatuan bola sepak negaranya.

"Sebenarnya saya dah jangka perkara ini akan berlaku kerana perlawanan terakhir di negaranya ialah pada 16 Jun. Apapun kita kena patuhlah," katanya.

Che Mat berharap pemain itu akan dapat membantu Terengganu dalam lima lagi perlawanan Liga Super sebelum kejohanan itu menutup tirainya musim ini.

Beliau berkata Terengganu yang menduduki tempat keenam liga dengan 32 mata masih berpeluang merebut tempat kedua atau ketiga terbaik liga sekiranya memenangi kesemua baki perlawanan.

"Kita harap dengan kehadiran Doe sasaran itu akan tercapai," katanya. - Bernama

--- SINAR HARIAN

Tuesday, May 22, 2012

'Fokus pertahan Liga Super pula'


Oleh Mohd Fitrie Muhamad dan Mohd Nor Asri Yaacob
bhsukan@bharian.com.my
2012/05/21

TAN Sri Annuar Musa bersama Piya mengetuai perarakan Piala FA di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, semalam. - Foto Zulkifle Che Abdullah
TAN Sri Annuar Musa bersama Piya mengetuai perarakan Piala FA di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, semalam. - Foto Zulkifle Che Abdullah

"PIALA FA dah dapat, lepas ini kami fokus untuk kekalkan trofi Liga Super pula."

Itu keyakinan dilaungkan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya, sebaik membantu The Red Warriors menjulang Piala FA buat kali pertama sejak pertandingan itu diperkenalkan pada 1990, selepas menewaskan 1-0 Sime Darby FC di pentas final di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
“Kami cukup gembira dengan kejayaan ini. Ia menjadi idaman sejak sekian lama terutama selepas gagal dalam dua penampilan di final sebelum ini, dan semua pemain sepakat menghadiahkan kemenangan ini kepada presiden (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Kami cukup gembira dengan kejayaan ini. Ia menjadi idaman sejak sekian lama terutama selepas gagal dalam dua penampilan di final sebelum ini, dan semua pemain sepakat menghadiahkan kemenangan ini kepada presiden (KAFA), Tan Sri Annuar Musa. - Mohd Badhri Radzi, kapten Kelantan.
“Selepas Piala FA ini, kami mahu alih perhatian untuk kekalkan status kami sebagai juara Liga Super tapi kami tidak mahu terburu-buru, sebaliknya fokus satu ke satu perlawanan,” katanya.

Skuad Kelantan turut dijanjikan ganjaran RM500,000 dalam bentuk wang tunai dan percutian oleh Annuar sebagai insentif kepada pemain yang mengakhiri pe-nantian 22 tahun saingan Piala FA itu.

Dalam penampilan final pada 2009, Kelantan tewas kepada Selangor manakala tahun lalu, Kelantan yang dikendalikan Datuk M Karathu, tunduk pula kepada pasukan jiran, Terengganu.

--- BERITA HARIAN

Buru Liga Super


BADHRI (kiri) sudah memasang hajat untuk memburu gelaran Liga Super.


SELEPAS berjaya menjulang Piala FA, Kelantan kini berhajat memburu gelaran Liga Super pula.

Demikian tegas kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi selepas membantu pasukannya meraih ge laran juara Piala FA malam kelmarin.

Menurutnya, untuk mempertahankan gelaran juara Liga Super, dia mahu rakan- rakan sepasukan memberikan tumpuan penuh pada aksi liga selepas ini.

Pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin, Kelantan menewaskan Sime Darby 1-0 menerusi sepakan penalti penyerang importnya, Muhamad Ghaddar pada minit ke-58.

Badhri mahu kemenangan tersebut akan menjadi motivasi terbaik buat mereka untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

“Kami puas apabila berjaya menjulang Piala FA pada edisi tahun ini. Ia merupakan sasaran utama kami terutama selepas gagal dalam dua percubaan sebelum ini.

“Kami mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang begitu banyak memberikan sokongan kepada kami.

“Namun, kami tidak boleh leka selepas muncul juara Piala FA, sebaliknya kami harus meneruskan kerja keras bagi mengekalkan momentum ini untuk mempertahankan status sebagai juara Liga Super,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Pada dua penampilan di pentas akhir Piala FA sebelum ini, Kelantan dikecewakan Selangor pada 2009 yang menyaksikan mereka tewas selepas penentuan sepakan penalti.

Pada musim lalu pula, mereka dikecewakan oleh Terengganu pada perlawanan akhir.

“Ini sejarah baharu buat pasukan Kelantan. Memang puas selepas impian menjulang Piala FA sudah tercapai dan ia cukup bermakna kepada semua pemain,” katanya.

--- KOSMO

Thursday, May 17, 2012

Sentuhan pertama Butler suram

sukan@hmetro.com.my
Oleh Malik Muhamad

http://u.goal.com/161900/161926hp2.jpg

SENTUHAN pertama jurulatih baru Terengganu, Peter Butler nampaknya belum menyengat sebaliknya skuad Penyu nyaris menggigit jari ditundukkan Sarawak sebelum pemain import dari Brazil, Erison Da Silva menyamakan kedudukan 2-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Keputusan seri itu bermakna pasukan itu kian terdesak untuk memburu kejuaraan liga selepas jatuh ke tangga keenam berbanding tempat ketiga sebelum ini.

Butler kecewa dengan persembahan anak buahnya kerana gagal memperagakan aksi berkualiti biarpun bermain di laman sendiri.

“Saya harap kehadiran semula Francis Forkey Doe daripada kecederaan mampu menghadirkan permainan positif buat Terengganu tapi saya kecewa kerana pemain itu gagal beraksi dengan baik.

“Selain Doe, beberapa pemain di posisi tengah dan serangan juga gagal memikul tanggungjawab dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih T-Team, Yunus Alif gembira kerana anak buahnya kembali menemui sentuhan kemenangan dalam misi mengejar pendahulu liga walaupun jumlah perbezaan mata agak jauh selepas menundukkan Sabah, 2-1 di tempat lawan.

--- HARIAN METRO

Butler ganti Mat Zan 1 Jun

http://rakanbola.com/wp-content/uploads/2012/05/image3.jpg

KUALA TERENGGANU - Teka-teki siapa yang bakal menggalas tugas Mat Zan Mat Aris sebagai ketua jurulatih Terengganu akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih Kelantan, Peter James Butler disahkan memikul tanggungjawab tersebut.

Perkara itu disahkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini semalam dan menurut beliau, Butler akan memulakan tugas berkuatkuasa 1 Jun ini.

Ahmad berkata, pemilihan Butler bagi mengambil alih tugas Mat Zan dibuat berdasarkan rekod cemerlang jurulatih berketurunan Inggeris itu sebelum ini termasuk pernah mengemudi skuad Kelantan.

"Mulai 1 Jun ini, kita (skuad Penyu) akan dapat jurulatih baru iaitu Peter Butler untuk mengambil alih tugas Mat Zan yang kini direhatkan sementara," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu 2012 di sini semalam.

Beliau memberitahu, buat masa ini, Mat Zan masih dalam tempoh direhatkan selama dua minggu yang akan berakhir hari ini.

Ditanya sama ada Mat Zan akan meletakkan jawatannya dalam waktu terdekat ini, Ahmad bagaimanapun menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berhubung perkara itu.

"Itu saya tak tahu (sama ada Mat Zan akan letak jawatan), kita serahkan kepada pihak PBSNT untuk buat keputusan," ujarnya.

Sementara itu, Butler berharap pelantikannya sebagai ketua jurulatih mendapat kerjasama penuh terutamanya daripada penyokong setia skuad Penyu.

"Saya tahu Terengganu ada penyokong fanatik. Banyak kali saya datang sini. Jadi, saya harap mereka (penyokong) akan bantu saya dan bantu pasukan," ujarnya.

Pada masa yang sama, Butler menolak tanggapan negatif yang melabelkannya sebagai jurulatih yang tidak komited untuk satu-satu pasukan kerana membimbing tiga pasukan berbeza dalam tempoh setahun.

"Saya di sini (Terengganu) untuk jangka panjang. Kontrak sehingga tahun 2013. Jadi, mereka (pengkritik) harus faham situasi ini.

"Situasi di Persiba (Balikpapan, Indonesia) tidak sama seperti di Malaysia. Saya hormat mereka. Mereka orang baik-baik. Tapi saya tidak bisa bekerja di sana lagi.

"Sebelum saya tiba di sana, pasukan itu (Persiba) berada di tangga bawah. Tapi ketika saya tinggalkan mereka, mereka sudah berada di atas. Jadi, saya fikir saya telah buat kerja yang bagus," katanya.

Selain kelab Persiba, Butler juga pernah melatih Kelantan untuk dua musim iaitu pada tahun 2009 dan awal tahun ini.

--- UTUSAN MALAYSIA

Monday, May 14, 2012

Kelibat Red Warriors disanjung

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2012/05/14

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgjwATgcz-8d2HJtbzh7jnGe0D7IOSSGHEvWrmT9nSgGATrICazabdySR8EvundWAAKiPPUrIhiVj4WK4HjLr9MtHh_5uMbfDn7tTnkryMEuqiocKHAW6BkOz_QXCtRA-7kNLQjXAcSJtE/s1600/kelantan+fa.jpg

“PEMAIN dapat beraksi dengan baik!” Itu reaksi pengendali Kelantan, Bojan Hodak ketika ditanya mengenai rahsia kejayaan pasukannya selepas mencatatkan kemenangan selesa, 3-0 ke atas PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, kelmarin.

Malah aksi terbaik yang ditunjukkan pemainnya itu turut mengundang kesukaran kepada jurulatih dari Croatia itu untuk memilih kesebelasan utama sebelum perlawanan.
“Saya cukup gembira dengan aksi pemain malam ini (kelmarin). Semua menunjukkan satu semangat, satu kesungguhan dan mempamerkan disiplin tinggi untuk terus kekal dalam barisan utama.
“Tapi itulah masalah besar bagi saya sekarang. Situasi ini hanya ada dalam pasukan Kelantan kerana semua pemain pastinya mahu diturunkan. Saya semakin sukar untuk buat keputusan memilih kesebelasan utama,” katanya sebaik tamat perlawanan, kelmarin.

Tiga gol The Red Warriors terhasil menerusi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-27, diikuti jaringan Obinna Nwaneri (m-84) dan Mohammad Ghaddar (atas), dua minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas mengharungi 16 perlawanan Liga Super, Kelantan kini menduduki tangga kedua dengan 37 mata, di belakang Lions XII tetapi mempunyai empat perlawanan dalam tangan berbanding skuad kendalian V Sundramoorthy itu yang tercicir mata apabila seri 3-3 dengan Kedah di Stadium Jalan Besar.

“Selepas ini, kami perlu fokus bagi setiap perlawanan untuk mengutip mata maksimum dan mengejar kedudukan Lions XII. Walaupun kami ada empat perlawanan dalam tangan, kami tidak boleh leka dan perlu memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan.
“Selain itu, kemenangan ini juga menjadi motivasi buat pemain untuk mengharungi final Piala FA,” katanya merujuk kepada aksi bertemu Sime Darby FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

--- BERITA HARIAN

Monday, April 16, 2012

Ghaddar ganti Nwoha

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
16 April 2012
Ghaddar ganti Nwoha

 PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya memilih Mohammad Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan kempen Piala FA.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail berkata, keputusan menyenaraikan kembali Ghaddar dicapai dalam satu mesyuarat tertutup semalam.

“Kita yakin pengalaman yang dimiliki Mohammad Ghaddar diharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan terutamanya dalam keadaan di mana kita perlu mengharungi jadual perlawanan padat daripada beberapa pertandingan ketika ini,” katanya yang tidak menafikan Nwoha masih diperlukan dalam kempen dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC), namun tertakluk kepada perbincangan pihak pengurusan.

Penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) itu dijangka diturunkan dalam perlawanan bertemu T-Team pusingan kedua Liga Super di Kuala Terengganu, Selasa ini.

Mohammad Ghaddar, 28, di awal penampilannya bersama Kelantan mencetuskan kontroversi apabila digelar ‘pakar sepakan penalti’ setelah hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi cara tersebut dan memaksa beliau digantikan oleh Nwoha pertengahan Februari lalu.

Bagaikan sudah menemui tonik kebangkitan, Ghaddar kembali membuktikan sentuhan berbisa dengan meledakkan hatrik ketika Kelantan menewaskan Arema FC 3-0 dalam kempen Piala AFC di Kota Bharu selain turut menyumbang dua gol peribadi apabila menewaskan lawan yang sama 3-1 di Kota Malang, Surabaya pada 10 April lalu.

--- SINAR HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...