Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Darul Takzim FC (Johor FC). Show all posts
Showing posts with label Darul Takzim FC (Johor FC). Show all posts

Saturday, October 5, 2013

Kelantan Perlu Jaringkan Dua Gol Separuh Masa Pertama - Bojan Hodak

KOTA BAHARU, 4 Okt (Bernama) -- Kelantan perlu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok untuk berada dalam zon selesa, kata jurulatih Bojan Hodak.

Beliau berkata walaupun sukar untuk dicapai kerana Johor DT mempunyai barisan pemain seimbang baik dari segi penyerang dan pertahanan, The Red Warriors mampu melakukannya kerana bermain di laman sendiri dengan sokongan padu peminat.

"Saya tahu sukar untuk menjaringkan dua gol (dalam seprauh masa pertama) dan kami mempunyai kelebihan sekiranya dapat bermain sepertimana di Johor dalam perlawanan pertama...kami mencipta banyak peluang dalam babak kedua.

"Jadi buat masa ini saya pasti sekiranya stadium penuh, kami boleh menang dengan dua gol. Saya sentiasa percaya setiap kali kami bermain di Kota Baharu kami boleh kalahkan siapa sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lepas, Johor DT meningkatkan peluang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-2 ke atas juara bertahan Kelantan.

Namun Kelantan turut berdepan masalah kerana Mohd Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak cedera dan pasukan kini bergantung kepada pemain import mereka Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim untuk mengawal gawang.

Hodak juga mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Nurul Izwan Roya kerana gandingan ketiga-tiga pemain itu berjaya mencipta kemahiran unik dan amat serasi.

"Pemain paling bahaya pastinya Awe (Nurul Izwan), Mat Yo (Norshahrul) dan Safee Sali. Safee Sali beraksi dengan baik di Johor manakala Mat Yo ialah pemain yang sentiasa bersemangat tinggi...begitu juga dengan Awe.

"Awe bagi saya ialah seorang pemain yang baik...antara pemain pilihan saya, jadi saya rasa mereka bertiga adalah teras utama...Safiq Rahim juga bahaya," kata Hodak.

-- BERNAMA

Saturday, May 25, 2013

KAFA Dakwa PBNJ Mahu Balas Dendam

KOTA BAHARU, 25 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) mendakwa kawalan keselamatan yang lemah ketika perlawanan di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Larkin Rabu lepas bagaikan mahu membalas dendam terhadap pasukannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kafa Datuk Ismail Md Noor berkata persatuan itu dukacita dengan layanan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) kepada mereka sekali gus menganggap PBNJ gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada dengan baik.

"Kira-kira 1,000 hingga 1,500 penyokong Kelantan berada di Stadium Larkin pada minggu lepas. Mereka bukan sahaja tidak dipisahkan dengan penyokong Johor, malah provokasi yang ditunjukkan penyokong tuan rumah ketika kami tiba sehingga tamat perlawanan menyebabkan ada segelintir penyokong Kelantan cedera dibaling benda keras dan dipukul selepas perlawanan.

"Malah, gendang juga tidak dibenarkan dipalu ketika perlawanan berlangsung menyebabkan moral pemain merosot, selain permainan yang terpaksa ditangguhkan kira-kira 40 minit," dakwanya pada sidang akhbar di sini Sabtu.

Turut hadir timbalannya Tuan Aziz Tuan Mat, Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kelantan (KTBSK) Che Yahya Jamada Ali dan timbalannya Kapten (B) Mohd Izani Che Hassan.

Pada perlawanan di antara kedua-dua pasukan Rabu lepas, provokasi dikatakan bermula apabila ratusan penyokong Johor berada di atas trek padang sehingga mengakibatkan perlawanan tertangguh selama kira-kira 40 minit sebelum berjaya dikawal anggota polis bertugas.

Insiden itu dikatakan berlaku susulan perlawanan pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Januari lepas yang menyaksikan 200 penyokong JDT terpaksa dibawa masuk ke dalam padang selepas perlawanan kedua-dua pasukan tamat berikutan provokasi penyokong Kelantan yang tidak berpuas hati dengan tindakan Johor membawa beberapa anggota tentera ke stadium.

Ismail yang juga Naib Presiden Kafa berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu minggu ini dan berharap badan induk itu akan menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, Kafa mempunyai rakaman video dan gambar yang diambil penyokong Kelantan ketika provokasi tercetus sambil menambah, kejadian tersebut tidak pernah berlaku di mana-mana stadium di negeri lain.

"Ketika melayan kunjungan Johor pada awal tahun ini, kita turut sediakan pelan alternatif bagi menangani sebarang insiden buruk yang mungkin tercetus di antara kedua-dua penyokong dan situasi tersebut walaupun sedikit tegang, masih mampu dikawal Kafa.

"Namun, perkara sebaliknya berlaku ketika kunjungan kami ke Johor apabila kawalan keselamatan yang diberikan kepada penyokong Kelantan sangat lemah. Saya lihat mereka umpama 'lepas tangan' dalam menjalankan tugas," katanya.

Sementara itu, Che Yahya berkata PBNJ perlu memandang serius perkara berkenaan kerana walaupun ia hanya provokasi, namun boleh menyebabkan perkara lebih besar berlaku pada masa hadapan jika tidak dibendung dari awal.

-- BERNAMA

Kelantan Langkah Sebelah Kaki Ke Final Piala FA


KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Piala FA, Kelantan melangkah sebelah kaki ke final setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu malam Sabtu.

Dengan kelebihan itu, Kelantan selaku juara trebel musim lepas membawa bekalan selesa dan tidak perlu bekerja keras apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada perlawanan suku akhir kedua, Selasa ini.

Skuad Penyu bermula garang apabila mengejutkan Kelantan menerusi gol pembukaan yang dijaringkan pemain tengah, Mohamad Ashari Samsudin menerusi tandukan seawal minit kedua perlawanan.

Tertekan dengan kedudukan itu, Kelantan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors' kembali bangkit pada babak kedua perlawanan apabila Dickson Nwamuso berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Kelantan menambah duka Terengganu apabila Indra Putra Mahayuddin menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-89 manakala Obinna Nwaneri menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti tiga minit kemudian.

Zairo Anuar Zailani yang berjaya melepasi pertahanan lawan mengesahkan kemenangan bagi pasukan Kelantan apabila meledakkan gol pada masa tambahan.

Nasib berbeza menimpa pasukan Johor Darul Takzim apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad bimbingan Fandi Ahmad perlu memperoleh jaringan besar di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada perlawanan pusingan kedua Selasa ini untuk mengesahkan tempat ke final.

Pemain Import dari Brazil skuad Harimau Selatan, Leonel George Nunuez menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21.

Sementara itu dalam satu perlawanan Liga Perdana, Kedah mencatat kemenangan besar apabila mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pasukan tuan rumah dijaringkan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-32, Alen Guc (minit ke-42 dan ke-58) dan Mohd Sabre Mat Abu pada minit ke-48, manakala gol saguhati PDRM disumbangkan Mohd Fauzi Abd Majid pada minit ke-68.

-- BERNAMA

Monday, January 28, 2013

TMJ tidak pernah minta tukar venue Piala FA

NORSHIKIN MOHD SALLEH
28 Januari 2013
TUNKU ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
 
TIADA permohonan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk menukar  venue perlawanan dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA bulan depan.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim berkata, dakwaan itu tidak benar dan tidak mengetahui dari mana isu tersebut ditimbulkan.

“Kita tidak tahu dari mana cerita ini datang dan seterusnya disebarkan, malah kami tidak mengetahui niat sebenar cerita ini dibuat.

“Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak pernah menyatakan untuk menukar venue Piala FA, malah kami ikut  seperti yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah untuk beraksi di Darul Aman atau di mana sahaja kerana ia perkara biasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memohon kepada FAM untuk menukar venue dari Stadium Darul Aman ke Stadium Larkin bagi saingan kedua Piala FA menentang Kedah.

--- SINAR HARIAN

PBNJ sedia dihukum jika cuai dalam isu lagu


NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH
28 Januari 2013
PERSATUAN bola Sepak Johor (PBNJ) mengesahkan belum menerima sebarang surat amaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung ‘kecuaian’ mereka tidak memainkan lagu Negaraku serta lagu negeri pasukan pelawat ketika Johor Darul Takzim bertemu Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu.

Setiausaha Kehormat PBNJ, Suhairi Hashim ketika dihubungi bagaimanapun berkata, pihaknya akur dan bersedia untuk dihakimi oleh FAM.

"Tetapi, sekiranya kami didenda, kami akur dan bersedia untuk membayar hukuman yang dikenakan oleh FAM.

"Kami tiada masalah, bagi saya kalau melakukan kesalahan dan didapati bersalah, kita harus menerimanya dan membayar denda tersebut," kata Suhairi kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media tempatan hari ini iaitu PBNJ berdepan hukuman denda RM2,000 serta surat amaran daripada FAM berikutan kecuaian mereka tidak memainkan lagu Negaraku serta lagu negeri pasukan pelawat ketika Johor Darul Takzim bertemu Perak pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,  Jumaat lalu.

Dalam insiden yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen berbayar itu, hanya lagu negeri Johor dimainkan ketika pemain kedua-dua pasukan berdiri sebelum perlawanan bermula tanpa disusuli lagu negeri Perak dan paling utama lagu Negaraku.

Enggan mengulas lanjut mengenai kecuaiaan pihak PBNJ, Suhairi berkata, "saya tidak mahu komen mengenai hal itu."

"Kita tunggu sahaja surat FAM. Jika dikenakan denda, kita akan membayarnya," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya dakwaan berhubung perlawanan pusingan kedua Piala FA antara Kedah dan Johor Darul Takzim, 26 Februari depan dikatakan akan ditukar ke Larkin, Suhairi menafikannya dan berkata: “Tidak benar. Siapa yang buat cerita mengarut ini."

"Dari mana mereka dengar dan siapa yang mengeluarkan kenyataan ini.

"Setahu saya, perlawanan itu masih kekal di Stadium Darul Aman, Alor Setar seperti ditetapkan mengikut susunan ketika undian Piala FA," katanya lagi.

--- SINAR HARIAN

Wednesday, December 12, 2012

Polis Johor Tubuh Pasukan Khas Pantau Pasukan Johor Dalam Kempen Liga Malaysia

JOHOR BAHARU, 12 Dis (Bernama) -- Polis Johor menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan perjudian dan mengatur perlawanan membabitkan pasukan Johor pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu Januari depan.

Penubuhan pasukan khas itu dibuat atas permintaan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini, yang mahu semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak pada Liga M dibanteras.

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata pasukan khas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Siasatan Jenayah negeri, ACP Azizan Anan khusus untuk memantau pasukan bola sepak negeri itu.

"Pasukan khas itu akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memantau setiap perlawanan dan latihan membabitkan pasukan negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata pasukan khas itu akan mempunyai unit risikan dan tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas sekiranya mengesan aktiviti bookie atau mengatur perlawanan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...